7 Sep 2011

Kenyataan Bercanggah, Siapa Yang Berdusta, Najib Atau Ketua Hakim?

Najib: Saya dijemput Ketua Hakim lawat Istana Keadilan

Datuk Seri Najib Razak menegaskan pentadbirannya komited untuk mempertahankan kebebasan kehakiman sambil menjelaskan, beliau hanya bersetuju untuk melawat Istana Keadilan hari ini selepas diberi jaminan isu campur tangan oleh eksekutif tidak timbul sama sekali.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, “saya terpaksa berfikir dengan mendalam” sama ada perlu mengadakan lawatan kerja ke Istana Keadilan hari ini kerana bimbang tentang persepsi negatif yang mungkin timbul.

“Saya hanya bersetuju untuk lawat selepas ketua hakim menjemput saya< dan memberi jaminan kepada saya bahawa tiada masalah,” kata Najib.

Najib berkata, pentadbirannya komited kepada kebebasan kehakiman yang sangat penting sebagai ramuan penting dalam mana-mana usaha membina negara yang berjaya.

“Hubungan tidak semestinya baik, ia harus dilihat baik,” kata beliau petang ini. -TMI


Ketua hakim pertahan pertemuan hakim - PM

Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan para hakim hari ini tidak akan menjejaskan kebebasan badan kehakiman, kata Ketua Hakim yang akan bersara, Tun Zaki Azmi.

Tujuan pertemuan tersebut, katanya kepada pemberita, adalah untuk memberi taklimat kepada perdana menteri mengenai bagaimana dana kerajaan persekutuan digunakan untuk menambahbaik sistem penyampaian mahkamah.

Zaki, 66, yang akan bersara Isnin ini, berkata pertemuan tersebut tidak akan mengganggu pentadbiran keadilan seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau juga berkata, pertemuan seumpama itu bukanlah sesuatu yang baru, tetapi juga pernah diadakan sebanyak dua kali dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi perdana menteri.

Badan kehakiman telah memohon peruntukan sebanyak RM130 juta untuk mahkamah bagi rakaman transkripsi dan sistem e-filing.

"Tiada apa yang luar biasa seperti yang didakwa (oleh pihak-pihak tertentu) kerana persidangan hakim-hakim telah dirancang enam bulan lalu dan perdana menteri memaklumkan kepada kami hendak melawat mahkamah, hanya minggu lepas," tegasnya.

Sejumlah 130 hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan akan menghadiri pertemuan dengan perdana menteri di Istana Kehakiman petang ini.



Ulasan GB

Istana Keadilan masih mengikut telunjuk eksekutif. Itulah persepsi rakyat.

Bagaimanakah hakim-hakim boleh bertindak dengan adil dan saksama jika mereka kini sedang tidak dapat membebaskan diri dari rasa "terhutang budi" kepada Perdana Menteri dengan menjemputnya untuk bersama-sama di dalam satu pertemuan di Istana Keadilan?

Muslihat apa yang ada disebaliknya? Malah rakyat berpendapat lawatan Najib dilihat cuba untuk memanipulasi institusi kehakiman. Hakim-hakim hendak dijadikan pak angguk-pak angguk kepada kehendak PM? Kedatangan Najib ke Istana Keadilan dilihat untuk "membeli" minda para hakim supaya mudah untuk diperlembukan.

Sementelah lagi kita lihat di atas bahawa terdapat percanggahan teramat nyata dmana Najib menyatakan beliau dijemput Oleh Ketua Hakim Negara untuk melawat istana Keadilan sementara kenyataan Ketua Hakim pula adalah bertentangan iaitu beliau menyatakan "perdana menteri memaklumkan kepada kami hendak melawat mahkamah, hanya minggu lepas".

Salah seorangnya adalah PENDUSTA.

Istana Keadilan tidak wajar dicemari dengan campurtangan eksekutif. Ia adalah tempat rakyat mengharapkan pengadilan yang adil, bersih dan telus. Tetapi dengan senario yang ada, ia telah pun tercemar.

Institusi kehakiman bukan hanya perlu berlaku adil tetapi ia juga perlu dilihat berlaku adil dan berkecuali kerana ia menjadi benteng terakhir rakyat dalam mendapatkan keadilan menerusi sistem perundangan yang dijamin oleh Perlembagaan.

Keluarga Mat Indera Telah Bersuara: Tuntut Kerajaan Bersihkan Nama Mat Indera [Video]

Keluarga Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, hari ini menuntut agar kerajaan membersihkan namanya - tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.

Baharom Shah Indera (tengah) bersama Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat (kanan) menunjukkan buku Pengukir Nama Johor pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Adiknya, Baharom Shah berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

“Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.

“Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” kata bekas jurutera elektrik dan jentera kor perkhidmatan Tentera Darat pada sidang media hari ini.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat PAS di sini, katanya, “saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya.”

Sidang media turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Isu Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong menjadi kontroversi selepas disentuh oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada satu ceramah bulan lalu. Beliau mengatakan bahawa peranannya dilupakan dan dilabel sebagai pengkhianat negara.

Baharom yang berusia enam tahun ketika tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh keluarga mereka, Mat Indera datang lewat ke lokasi kejadian semasa kejadian dan bukannya terlibat dalam serangan sejak awal lagi.

Katanya, Mat Indera datang ke lokasi kejadian bukan untuk bertempur, sebaliknya “datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.”

“Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah Yusof Rono, anggota polis dan Jamilah Abu Bakar, anak anggota Marin di Bukit Kepong. Saya difahamkan terdapat ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera,”
katanya.

Ketika ditanya berapa ramai diselamatkan, “yang diselamatkan itulah yang diselamatkan... ramai.”

Baharom berkata, Yusof sendiri ada mengaku kepadanya yang Allahyarham telah diselamatkan oleh Mat Indera.

“Saya sendiri jumpa dia di rumahnya di Bukit Kepong kira-kira 10 tahun lalu sebelum Yusof meninggal dunia... dia ada memberitahu saya diselamatkan oleh Mat Indera,” kata Baharom yang bekerja sebagai anggota perkhidmatan tentera selama 10 tahun dan mengadakan bengkel sendiri selepas bersara pada 1980-an.

Baharom menambah, abangnya sangat komited dengan agama dan mengajar agama sama ada di dalam hutan atau di luar hutan semasa terlibat dalam gerakan kemerdekaan negara.

“Beliau sering mengadakan perjumpaan dalam keluarga dan mendidik keluarga untuk komited dengan ajaran agama Islam.

“Beliau selalu menafikan, beliau bukan seorang yang berfahaman komunis. Beliau berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan British,” katanya lagi.

Kata Baharom, “sekarang negara sudah merdeka, kalau bukan kita yang membersihkan nama Mat Indera, siapa lagi yang boleh membersihkan nama beliau.”

“Saya berharap pihak kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan akan mengambil usaha segera... lakukan sekarang, isytihar beliau bukan pengkhianat,” katanya ketika ditanya siapa yang wajar dan dalam berapa lama isu ini perlu diselesaikan.

“Kita sudah merdeka lebih 50 tahun, saya berharap kerajaan akan melakukan dengan segera,” kata beliau yang turut berpegang pada buku terbitan kerajaan negeri Johor yang berjudul “Pengukir Nama Johor”.

Dalam bab mengenai Mat Indera, penulisnya berkata, “pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negaera, membelakangkan ajaran Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

Mat Indera merupakan salah satu daripada 12 adik-beradik, dengan dua ibu. Mat Indera merupakan anak kedua ibu pertama manakala Baharom merupakan anak ketiga sebelah ibu kedua.

Baharom berkata, beliau pernah menulis dua tiga artikel mengenai keperluan membersihkan nama abangnya di Utusan Malaysia pada 1978 atau 1979.

“Jadi ini harapan keluarga saya sekarang,” katanya dan menegaskan, pihaknya berpegang pada pendirian itu kerana “pegangan agamanya (Mat Indera) kuat dan seorang yang tegas dan tegar melawan British.”

“Saya serah kepada siapa yang hendak buat kajian, bersihkan nama dia,” tambah beliau.

Suhaizan juga berkata Mat Indera bukan seorang yang berideologikan komunis.

“Kalau dia seorang berideologikan komunis, sudah pasti dia tidak beragama,” katanya sambil menambah, “kemungkinan Mat Indera mempergunakan PKM untuk kemerdekaan negara.”

“Tetapi pada pandangan kami, dia tidak berideologikan komunis, dia hanya ahli PKMM dan API (Angkatan Pemuda Insaf,” katanya.

Mengenai laporan media bahawa Jamilah menafikan keluarganya diselamatkan oleh Mat Indera, Suhaizan berkata, “apa yang saya kata (dipetik Sinar Harian) adalah Mat Indera menyelamatkan Jamilah, bukannya menyelamatkan keluarga Jamilah.”

Jamilah dipetik berkata jika Mat Indera menghalang pihak komunis membunuh keluarganya ketika itu pasti ibu dan adik lelakinya tidak akan terkorban dalam serangan tersebut.

Kata Suhaizan, Naib Yang Dipertua PAS Pulai Zaba Ibrahim telah bertemu dengan Jamilah pada Ahad lalu, dan turut mengakui bahawa Mat Indera yang menyelamatkannya.

Ibu Jamilah dan adik lelakinya merupakan antara yang turut terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950.

Suhaizan juga berkata pihaknya akan menubuhkan sebuah sekretariat untuk mengkumpulkan maklumat dan bahan yang berkaitan.

“Dengan sekretariat itu, mana-mana keluarga yang hendak menuntut ganti rugi daripada British atas kecuaiannya sehingga ramai kakitangan polis dan anggota keluarga mereka terbunuh, akan dibantu dan diuruskan,” katanya.


Adik: Mat Indera bukan anggota PKM

Bukan sahaja tidak berfahaman komunis, tokoh kontroversi kemerdekaan Muhammad Indera atau lebih dikenali Mat Indera juga bukan anggota Parti Komunis Malaya (PKM), kata keluarganya.

Baharum Shah (gambar), 65, berkata, abang keduanya itu sebenarnya seorang pejuang kemerdekaan sayap kiri yang mahu menghalau penjajah British dari negara ini.

"Tidak. Itu peristiwa tahun 1948. Beliau (Mat Indera) komited pada perjuangan membebaskan negara ini," kata Baharum ketika ditanya sama ada abangnya mengganggotai mana-mana platun PKM.

Justeru, tampil dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Baharum (kiri) mahu kerajaan dan ahli akademik membuat kajian dan membersihkan nama abangnya.

"Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan perlu dikaji semula.

"Saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya," katanya dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat.

Ditanya kenapa baru tampil untuk tujuan itu setelah 54 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, Baharum berkata, beliau pernah menyuarakannya melalui kajian sendiri dan penulisan tetapi tidak mendapat perhatian.

Katanya, sekitar tahun 1970-an, beberapa siri rencananya berhubung perkara itu disiarkan akhbar milik Umno Utusan Malaysia.

"Saya pergi ke arkib negara untuk buat kajian dan tulis tentangnya," katanya yang sebelum itu memulakan sidang media dengan mengajak pemberita menyedekahkan al-Fatihah kepada arwah abangnya yang dikatakan kuat beragama.

Rangkaian komunis

Bagaimanapun, menurut pesara tentera itu, rekod tersebut tidak lagi disimpannya kerana hilang semasa berpindah rumah. Baharum kini tinggal berdekatan Cheras, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Suhaizan berkata, setelah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dianggotai Mat Indera diharamkan dan beliau sekali gus dikehendaki British, Mat Indera tiada pilihan selain menyertai gerakan gerila.

"Sama ada beliau bekerjasama dengan komunis atau tidak, itu kena ada kajian. Sama ada beliau alat PKR atau memperalatkan PKM (untuk menuntut kemerdekaan). Sebab itu kajian perlu dibuat.

"Dan adakah menggunakan PKM untuk menuntut kemerdekaan menjadi satu kesalahan?" kata anak kelahiran Johor itu.

Malah, kata Suhaizan, selain Umno yang berhaluan kanan, semua pertubuhan lain ketika itu diharamkan British.

Beliau berkata, dengan keadaan komunikasi terhad pada masa itu, Mat Indera juga sudah pasti tidak tahu kaitan antara PKM dengan rangkaian komunis antarabangsa.

"Yang dia tahu, di depannya ada sekelompok orang yang mahukan kemerdekaan," kata Suhaizan yang diberi kepercayaan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bagi berdebat berhubung perkara itu dengan Pemuda Umno.-mk




Dr.Asri Kecam JAIS Dakwa Khalid Samad Sampaikan Tazkirah Ramadhan

Dr Asri kecam tindakan Jais

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (gambar) menyifatkan apa yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekarang adalah mengekalkan sistem penjajah untuk mengekang agama sendiri.

Sehubungan itu, beliau yang melahirkan simpati terhadap anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang didakwa Jais semalam berkata, "jangan hairan jika ramai orang murtad.. kuasa agama untuk menyusahkan perkembangan agama."

Asri mengulas tindakan Jais yang mendakwa Khalid semalam dan akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Klang 24 November depan kerana memberikan tazkirah di sebuah surau tanpa tauliah dari Jais.

Sebelum ini, Asri juga adalah menjadi mangsa Jais apabila beliau dikepong oleh penguatkuasa Jais ketika sedang memberikan kuliah agama seumpama penjenayah.

Khalid dipanggil ke pejabat Jais Shah Alam semalam dan dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadhan pada 16 Ogos lepas di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Turut menerima tindakan dari Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadhan baru-baru ini.

"..simpati apabila ada ahli Parlimen yang diambil tindakan oleh Jais kerana memberi tazkirah..sekalipun tiada bukti ada kesalahan dalam tazkirah tersebut.

"Begitulah susahnya berdakwah..sistem penjajah dipakai untuk mengekang agama sendiri.. jangan hairan jika ramai orang murtad.. kuasa agama untuk menyusahkan perkembangan agama," tulis Asri dalam Facebook.

Bagi beliau, tindakan Jais ini seumpama arahan Nabi s.a.w "Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat" dimansuhkan.

Bagi Dr Asri, perkara ini berlaku kerana pihak yang tidak layak dan berilmu sewajarnya diberikan kuasa mkenjaga agama.

"Yang tidak layak menaungi agama diberikan kekebalan yang tidak diberikan kepada al-Khulafa al-Rasyidin sekalipun..apapun yang selamat HARD ROCK CAFE jua," tulis beliau.

Tazkirah: Jais dakwa Khalid Samad, tauliah Dr Rani dibatal

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Sementara isu membabitkan serbuan ke atas gereja belum lagi reda, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari PAS kerana memberikan tazkirah tanpa tauliah.

Turut menerima tindakan Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadan lalu.

Khalid (gambar) dipanggil di pejabat Jais hari ini dan dinyatakan pendakwaan ke atas beliau.

Perbicaraan ditetapkan 24 November ini Mahkamah Syariah Klang.

Beliau dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Dr Rani dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor Jun lalu manakala Khalid, Yang Dipertua PAS Shah Alam pula sebagai salah seorang timbalanya.

Dr Rani, Adun Meru, menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang merupakan Exco Kerajaan Negeri bagi hal ehwal agama sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

“Tauliah saya tamat Ramadan lalu selepas menerimanya tahun lepas dan saya telah memohon untuk menyambungnya. Namun saya menerima surat dari Jais permohonan saya ditolak dan tauliah saya ditarik balik oleh Jais,” kata Dr Rani dipetik Harakahdaily.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadan pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Sebelum ini, Jais mendapat kritikan pelbagai pihak apabila didakwa membuat serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.

Jais pula berkata, pihaknya membuat pemeriksaan dan bukannya serbuan di gereja itu atas dakwaan dan maklumat ada usaha mengkristiankan umat Islam.

Dalam pada itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily berkata, semasa tazkirah Ramadan itu beliau memang menyentuh peranan umat Islam dalam menguruskan hal ehwal agama di negeri ini.

“Saya memberikan tazkirah tentang cerita yang berlaku di zaman Saidina Ali menjadi khalifah Islam di mana semasa peperangan Sifin baginda dapati baju besi baginda hilang.

“Apabila pulang baginda dapati seorang Yahudi sedang menjual baju besi itu di pasar lalu baginda berkata itu baju besinya. Yahudi itu pula berkata, ini aku punya.

“Lalu kes ini dibawa ke mahkamah Islam ketika itu iaitu Qadhi. Qadhi bertanya Saidina Ali, apa bukti dan saksi bahawa baju besi itu baginda yang punya.

“Saidina Ali berkata, bukti tidak ada tetapi saksi ada iaitu Hassan dan Husein. Qadhi kata, kedua-duanya tidak boleh jadi saksi yang adil kerana mereka berdua anak baginda. Jadi kes ini ditolak oleh Qadhi dan jadilah baju besi itu milik Yahudi itu.

“Saya ingin beritahu kepada hadhirin keadilan Islam ini bukan kepada Islam sahaja bahkan kepada Yahudi pun hatta berlawan dengan Khalifah Islam sendiri.

“Saya nak kaitkan, kita umat Islam kena dengar kedua-dua belah pihak dalam kes Jais siasat gereja ini bukan dari sebelah pihak dan membuat keputusan,” cerita Khalid tentang tazkirah yang diberikannya. -TMI


Ulasan GB

PAS perlu siasat hal ini.

Mengapa Exco Agama yang bernama Hassan Ali boleh membiarkan JAIS bertindak sesuka hati di dalam negeri berkenaan sedangkan JAIS adalah agensi dibawah seliaannya atau apakah ia sebahagian daripada rencana Hassan Ali sendiri berdendam terhadap Ahli Parlimen Shah Alam dan Pesuruhjaya PAS Selangor tersebut? Itu setidak-tidaknya persepsi yang lahir pada kebanyakan ahli.

Jika Bukti Dari "Pengukir Nama Johor" Itu Lemah, Bakar Atau Haramkan Saja Buku Tersebut

Mat Sabu kemuka bukti lemah

SENAI – Buku Pengukir Nama Johor tidak layak dijadikan bukti bagi mengangkat nama Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan seperti yang dibangkitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Pensyarah Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohd Akbal Abdullah (gambar kecil) berkata, buku tersebut bukan bukti dalam ilmu sejarah kerana ia hanya pendapat penulis, Ismail Adnan.

Beliau yang juga ahli panel penulis buku Siri Tokoh Johor berkata, Mat Sabu tidak boleh menggunakan tulisan itu sebagai hujah kerana tidak mampu meletakkan Mat Indera sebagai pejuang.

“Tidak memadai dengan tulisan 10 halaman saja untuk kita anggap Mat Indera pejuang kerana dia (Mat Sabu) sepatutnya baca tesis dan buat penyelidikan sendiri.

“Jika tulisan sebanyak itu dijadikan rujukan, ia terlalu lemah dari segi ilmiah. Saya tak kata lemah hingga perlu kita tolak tapi perlu dibuktikan. Apa lagi menggunakan artikel Mat Indera sebagai hujah adalah kurang tepat dan tidak sempurna dari segi ilmu sejarah,” katanya, semalam.

Mohd Akbal berkata, beliau mengenali penulis buku itu, Ismail dan menyifatkannya sebagai seorang yang sangat rajin menulis.

“Apa yang saya tahu, Ismail hanya merujuk kepada Internet tanpa membuka dokumen rasmi kerajaan dan ia dilahirkan daripada pandangan beberapa pihak serta bukan pandangan majoriti,” katanya.

Menurutnya, Ismail berkhidmat dengan Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan jawatan timbalan pengarah.

Mohd Akbal mempersoalkan, jika benar Mat Sabu mahu mengangkat hero kemerdekaan, mengapa pula beliau menolak perjuangan Datuk Onn Jaafar yang turut ditulis dalam buku tersebut.

“Saya mohon Mat Sabu jangan politikkan buku ini dan kaitkan siapa-siapa (penulis) atau Kerajaan Johor, kerana beliau perlu bertanggungjawab atas kenyataannya mengangkat komunis,” katanya.

Buku Pengukir Nama Johor merupakan buku siri ketiga yang diterbitkan iaitu dua siri sebelum ini iaitu Pejuang Terbilang Johor dan Tokoh Ternama Johor yang dimasukkan dalam Siri Tokoh Johor yang mula diterbitkan pada 2002.

Penulis yang dilantik menyumbang karya dalam buku tersebut terdiri daripada Ahli Persatuan Sejarah, Persatuan Penulis, peminat sejarah Johor yang mempunyai kemampuan menulis.

Mohd Akbal berkata, dakwaan Kerajaan Negeri mengiktiraf Mat Indera selaku pejuang menerusi terbitan YWJ yang dinaungi Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman adalah tidak benar.

“Buku tersebut merupakan pendapat penulis tentang Mat Indera di mana kami kumpulan penulis dan Ismail dipilih YWJ.

“Projek ini dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan idea serta segala apa yang ditulis hanya pendapat penulis, bukannya pendapat Kerajaan Negeri dan pasukan penulis Pewaris. Dengan jelasnya, tidak semestinya pendapat penulis dan pendapat Kerajaan Negeri adalah sama,” katanya.

Mohd Akbal berkata, kumpulan penulis yang terdiri daripada 20 orang itu telah dibentuk enam tahun sebelum percetakannya yang dipilih dari segi kemahiran dan pengetahuan. -SH

Ulasan GB

Jika hujjah Mohd Sabu lemah kerana bersandarkan kepada buku yang diterbitkan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri Johor sendiri, Yayasan Warisan Johor (YWJ), maka sewajarnya buku itu diharamkan atau dibakar saja.

Ini kerana penerbitan buku tesebut dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan sebelum ianya diterbitkan sepastinyalah ia telah disemak dan diedit berali-kali untuk menentukan kesahihannya kerana ia akan menetapkan kredibiliti penerbitnya sendiri.

Mengapa kini baru dipersoalkan isi kandungannya dan merendah-rendahkan penulis rencana itu?

Apa hebatnya orang yang mengkritik penulis yang telah membuat kajiannya sendiri? Apa bukti yang Ismail Adnan hanya menulis bersandarkan fakta di Internet semata-mata? Apa sandaran untuk menyatakan kajian Ismail itu tidak sahih?

Sesebuah "kajian" tidak boleh dihukum benar atau salah. Itu disiplin di dalam dunia akademis. Tidak boleh menyalahkan hasil dari seseorang pengkaji sekalipun sesuatu kajian itu menyimpang dari penemuan-penemuan majoriti. Tak pernahkah pensyarah yang bernama Mohd Akbal yang menganggap hujjah Mohd Sabu lemah itu ada mempelajari 'RESEARCH METHODOLOGY'?

Sekarang buktikan pula hasil kajian kamu untuk menuduh Mohd Indera itu seorang penjenayah, bukan pejuang. Begitulah sepatutnya cara di dalam dunia akademis untuk menolak hujjah akademis yang lain. Bukan dengan menempelak hasil kajian orang lain melalui kenyataan akhbar semata-mata.

‘Jenazah Mat Indera Berbau Wangi’ & Kuburnya Sentiasa Ditaburi Bunga Kemboja Yang Gugur

Taiping – Secara tiba-tiba nama Mat Indera menjadi sebutan selepas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor 21 Ogos lalu mengangkat pejuang gerila itu sebagai hero tragedi Bukit Kepong.

Beliau dikatakan terlibat ketika serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dan menjadi watak utama meminta polis menyerah diri kepada komunis.

Rentetan peristiwa itu, Mat Indera menjadi buruan polis dan berjaya ditangkap pada 14 September 1952 sebelum dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953 di Penjara Taiping, Perak.

Jenazahnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping.

Wartawan Sinar Harian berkunjung ke kampung berkenaan untuk melihat sendiri kubur berusia lebih separuh abad itu.

Menurut penduduk, walaupun sudah lama tidak dikunjungi oleh sanak saudaranya, namun kubur berkenaan sentiasa bersih dan ditaburi bunga kemboja putih yang gugur dari pohon berhampiran.

Batu nisan jenis lama itu kelihatan agak usang dan hampir sukar untuk dibaca namun disahkan milik Mat Indera oleh penjaga kubur, Yaacob Din, 63, atau lebih dikenali sebagai Pak Akob.

Menurut Pak Akob, kubur Mat Indera tidak ditanda atau diletakkan kapok (pagar kecil) bagi mengelakkan perbuatan khurafat.

“Memang saya jaga baik kubur ni. Tapi saya sengaja tak letak sebarang tanda tertentu kerana bimbang ada yang salah gunakan untuk tujuan tidak elok,” katanya.

Menurutnya, keluarga Mat Indera sebelum ini sering menziarahi kubur berkenaan tetapi sejak tiga tahun kebelakangan tiada waris yang datang membersihkannya.

“Banyak cerita yang saya dengar tentang Mat Indera ni daripada orang tua-tua dulu, tapi saya sendiri tak berani nak beritahu sebab nanti orang cakap saya membohong,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kisah-kisah yang pernah didengar, ketika meninggal dunia, jenazah Mat Indera berbau harum dan kulitnya begitu lembut.

“Mat Indera dipercayai mempunyai keupayaan keluar masuk dari penjara untuk membeli makanan. Bagaimanapun, kebenaran kisah yang diceritakan itu tidak dapat dipastikan kerana tiada orang lama yang boleh mengesahkannya. Mereka sudah meninggal dunia.

Pak Akob berkata, terdapat tujuh kubur anggota polis yang terkorban ketika menentang komunis di Grik, Perak ketika zaman darurat di tanah perkuburan berdekatan. -SH

Ulasan GB

Penerimaan dan penilaian masing-masing.

Remaja 13 Tahun Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Ibunya Buat Laporan Polis

Hamba seks kekasih ibu akhirnya lapor polis

HULU SELANGOR: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dirogol teman lelaki ibunya sejak dua tahun lalu nekad membuat laporan polis berhubung tindakan keji lelaki terbabit, Jumaat lalu. Gambar hiasan

Difahamkan, pelajar tingkatan satu itu sering diugut lelaki berkenaan yang berusia 40-an jika tidak mahu tindakan sama dilakukan kepada adik perempuannya jika mangsa memberitahu keluarga atau membuat laporan polis.

Namun, rahsia tindakan keji lelaki itu terbongkar menyebabkan ibu dan adik perempuannya berusia empat tahun melarikan diri dari rumah mereka di Rawang, di sini dengan meninggalkan mangsa seorang diri.

Menurut sumber, mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, mangsa sering dirogol lelaki terbabit apabila ibunya tiada di rumah. “Lelaki itu merogol mangsa tanpa mengira waktu. Malah, turut mengugut mangsa supaya tidak mendedahkan perbuatan keji itu kepada ibunya.

“Malah, lelaki itu turut mengugut mahu merogol adik perempuan mangsa sekiranya mangsa enggan melayan nafsunya,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan tidak mampu berbuat apa-apa hinggalah rahsia itu terbongkar menyebabkan ibu dan adik perempuannya melarikan diri.

Berikutan itu, mangsa turut melarikan diri sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. -hm

Ulasan GB

Perbuatan jijik seorang "bapa" terhadap anak seperti kes di atas kerap berlaku dewasa ini.

Malah di dalam kes di atas, anak seusia Tkn 1 menjadi mangsa.

Aduhai. Seperti GB katakan sebelum ini aura seks sudah terlalu tebal sehingga sukar dibendung lagi.

Berapa peratuskan sebenarnya keluarga di negara ini yang mempunyai ilmu didikan Islam dan daripadanya pula berapa ramai mengamalkan cara hidup Islam di dalam kehidupan di dalam rumah seperti solat berjemaah sekeluarga dan sebagainya?

Angka itu sudah pasti sentiasa menurun setiap tahun.... dan kehidupan beragama semakin longgar...

Jika tidak mengamalkan cara hidup Islam, maka bersedialah untuk menerima parasit-parasit seperti kes di atas kerana iblis/syaitan akan sentiasa menggoda anak adam sampai kiamat..

Tetapi di dalam kes di atas, iblis dan syaitan tak payah goda lagi, "bapa"nya itu sudah pun menjadi iblis dan syaitan... bapa yang "tiada pegangan agama", tak semabahyang, tak puasa, tak baca AL-Quran dan tak amalkan hidup Islam, dan bapa sejenis ini ada di dalam kebanyakan keluarga di negara ini! Berwaspada.

Pakatan Rakyat Perlu Bentuk "J/K BERS✔H"nya Sendiri

Pendaftaran 2.3 juta PATI untuk tambah keahlian Umno?

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menyatakan kebimbangannya kemungkinan Umno cuba menambahkan keahlian melalui pendaftaran lebih 2.3 juta pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi program pemutihan 6P.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa 2,320,034 PATI telah mendaftar dalam program tersebut yang berakhir semalam.

Pendaftaran itu dilakukan melalui sistem biometrik sejak 31 Ogos lepas meliputi seramai 1,016,908 pekerja asing sah dan seramai 1,303,126 PATI.

“Nampak keadannya seperti kritikal, BN Umno kelihatan seperti cuba untuk menambah bilangan pengundi (yang menyokong mereka),” kata Zuraida yang juga merupakan Ketua Wanita KEADILAN.

Zuraida sebelum ini membuat pendedahan tentang kewujudan ‘sumpah taat setia’ kepada Umno dan Barisan Nasional yang perlu diangkat oleh pendatang asing dan PATI jika mereka mahu nama mereka diputihkan daripada senarai PATI.

Sumpah itu perlu dibuat mereka yang mendaftar untuk program 6P di agensi-agensi pekerjaan di Selangor.

Mengulas lebih lanjut, Zuraida berkata jika pendaftaran lebih 2.3 juta orang PATI itu dibuat untuk menambah keahlian Umno, ia sebenarnya merupakan bukti jelas parti itu tidak mendapat sambutan walau dari ahlinya sendiri.

“Walau pun ahlinya adalah seramai 2.7 juta orang, Umno tidak mungkin kalah di empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat jika semua ahlinya benar-benar mengundi Umno sewaktu pilihan raya umum ke-12 dahulu.

“Ini bermakna, ada di antara ahli-ahli Umno sendiri yang tidak yakin dengan Umno dan mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu,” kata Zuraida.

Justeru, kata Zuraida, perkara paling mustahak buat Pakatan Rakyat untuk terus disokong rakyat adalah terus merangka dan melaksanakan polisi-polisi yang memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Melalui cara itu, mana-mana warganegara yang baru sahaja mendapat kewarganegaraannya akan lebih cenderung untuk memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat bagi membela nasib mereka.

“Kita berharap Pakatan Rakyat diberikan undi oleh mana-mana warganegara baru,” kata Zuraida. -KD

Ulasan GB

Mengapakah BERSIH sudah mengendurkan perjuangan untuk pembersihan pilihanraya? Dan Pakatan Rakyat pula seperti lesu di dalam menangani isu ini dan malah sekarang ini lebih terjebak kepada isu-isu semasa yang lain?

Datuk Seri Anwar selaku Ketua De fakto Pakatan Rakyat perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas ala jawatankuasa Bersih di dalam Pakatan Rakyat sendiri untuk meneruskan perjuangan pembersihan pilihanraya sebelum mangkuk itu membubarkan parlimen. PR takkan menang jika SPR dibiarkan melakukan sesuka hatinya memanipulasikan daftar pemilih. Nak tunggu apa lagi?

CEMAS: Bas Express Diserang Di Plaza Tol

Bas disamun sejurus nahas

IPOH: “Saya terkejut apabila dihujani tumbukan dan tidak dapat mempertahankan diri ketika diserang,” kata pemandu kedua sebuah bas ekspres yang dibelasah sebelum disamun sekumpulan ‘samseng lebuh raya’ di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, Trans Liam, 45, cedera di kepala dan anggota badan selepas dibelasah dua lelaki dan dua wanita berhampiran kilometer 265.8, Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira dua kilometer dari Plaza Tol Jelapang, di sini.

Kejadian tidak diduga itu turut mengejutkan 25 penumpang bas ekspres berkenaan selepas mendapati pasangan samseng berkenaan meluru dan terus membelasah mangsa.

PECAH...cermin bas yang rosak selepas diserang sekumpulan empat samseng lebuh raya, malam kelmarin.

Tidak cukup dengan memukul mangsa, empat samseng terbabit turut merampas kunci bas dan mencuri kad Touch n’ Go sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.

Kejadian berpunca apabila bas Ekspres KKKL terbabit yang dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand ke Singapura terlanggar belakang sebuah Perodua Alza menyebabkan kereta berkenaan terbalik dan terhumban ke dalam longkang. -hm

Serang bas dekat plaza tol

SEBAHAGIAN daripada 25 penumpang bertindak keluar dari bas ekspres selepas berlaku kekecohan.

IPOH – Seramai 25 penumpang sebuah bas ekspres melalui pengalaman mencemaskan apabila mereka ‘ditawan’ selama 10 minit oleh sekumpulan empat individu termasuk dua wanita bersenjatakan kayu dan payung dalam kejadian berdekatan Plaza Tol Jelapang di sini kelmarin.

Kejadian mencemaskan pukul 7.30 malam itu berlaku apabila penyerang terbabit dikatakan tidak berpuas hati dengan pemandu bas tersebut kerana didakwa enggan berhenti selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Perodua Alza kira-kira dua kilometer sebelum plaza tol tersebut.

Kejadian itu didakwa berlaku apabila bas tersebut merempuh belakang Perodua Alza terbabit hingga menyebabkannya terbabas ke dalam longkang. Ekoran itu, salah seorang daripada tiga penumpangnya cedera manakala kesemua penumpang bas terselamat.

Pemandu bas tersebut merupakan warga Thailand dan mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Hatyai, Thailand. Rata-rata penumpang dari Singapura dan Hatyai.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, pemandu bas berusia lingkungan 50-an tersebut kemudian meneruskan perjalanan sejauh 1.2 kilometer sebelum berhenti di lorong kecemasan yang lebih selamat dan tidak membahayakan pengguna lebuh raya.

Katanya, sebaik berhenti, sebuah kereta Proton Iswara yang dinaiki empat individu terbabit berhenti berhampiran bas lalu bertindak memecahkan cermin bas dengan membaling batu. -kosmo


BERS✔H Kecam Hanya MP BN Diberi Dana Khas [updated]

Bersih 2.0 membidas Barisan Nasional (BN) sambil mendakwa perikatan itu secara tidak adil menyalurkan dana khas, hanya kepada kerusi-kerusi Parlimen dianggap putih tetapi mengabai bahagian-bahagian yang dikuasai pembangkang.

Gabungan bukan kerajaan yang menuntut pembaharuan pilihan raya ini berkata, rakyat Malaysia seharusnya perlu ada akses adil ke atas dana bahagian pilihan raya tanpa mengira latar belakang parti yang disokong.

“Bersih 2.0 mengecam ia (dana khas) sebagai satu jenayah ke atas demokrasi di mana dana bahagian pilihan raya diberikan kepada wakil-wakil BN berdasarkan pemilihan mereka,” kata gabungan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bersih 2.0 juga berkata, menggunakan peruntukan khas seperti ini sebagai alat pilihan raya untuk mendapatkan sokongan adalah tindakan memalukan dan satu bentuk rasuah menyalahgunakan dana awam.

“Ia satu penghinaan terhadap sambutan kemerdekaan, di mana pengundi tidak harus dipaksa untuk mengundi sesebuah parti yang khusus untuk mendapatkan akses kepada peruntukan ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Bersih 2.0, pihaknya mahu kesemua kerajaan negeri dan pusat, sama ada BN atau Pakatan Rakyat agar menghormati demokrasi dan menghentikan amalan semasa menyalurkan dana pembangunan bahagian pilihan raya kepada wakil rakyat daripada parti masing-masing.

Katanya, perlu ada undang-undang untuk menghalang dan mengenakan tindakan ke atas kesemua bentuk salah laku yang mengabur sempadan antara parti dan kerajaan atau penyalahgunaan sumber-sumber negara bagi tujuan memihak sesebuah parti.

Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa wakil rakyat BN disediakan dana wang tunai khas oleh kerajaan pusat untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan prasarana secara langsung di bahagian Parlimen masing-masing - ketika pilihan raya umum ke-13 semakin dekat sudah hangat diperkatakan.

BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008.

Akhbar harian Sin Chew Daily melaporkan bahawa peruntukan yang disediakan boleh mencecah sehingga RM2.5 juta bagi sesetengah bahagian.

Bagaimanapun tiada dana bagi kawasan yang dikategorikan sebagai “hitam”, di mana BN hilang kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Beberapa ahli Parlimen yang dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan mereka telah disediakan peruntukan khas, yang dibayar antara RM500,000 dan RM2.5 juta – bergantung pada jumlah pemilih dan sama ada kerusi terbabit dimenangi BN ataupun sebaliknya.

Seorang wakil rakyat berkata, pembayaran sudah mula dikeluarkan sejak sebelum sambutan Aidilfitri dan akan terus dibayar secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Mengambil kira perkembangan itu, The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya umum ke-13 dijangka akan berlangsung akhir suku pertama ataupun awal suku kedua tahun depan.

Dalam laporannya, Sin Chew Daily pula menyebut BN mengklasifikasikan sesuatu bahagian seperti “hitam”, “kelabu” dan “putih” – di mana BN dan Pakatan Rakyat menguasai kerusi atau BN menang dengan majoriti kecil – akan menerima antara RM1 juta dan RM2 juta.

Peruntukan akan diagihkan mengikut kawasan “putih” di mana BN memegang kedua-dua kerusi persekutuan dan negeri.

The Malaysian Insider membawa laporan Julai lalu bahawa Putrajaya telah meluluskan geran segera RM100,000 bagi setiap bahagian ekoran aduan ahli-ahli Parlimen BN mendakwa pentadbiran Najib hanya memfokus projek-projek besar di Lembah Klang, langkah yang menurut mereka tidak akan membantu perikatan itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan setiap ahli Parlimen BN RM100,000 pada satu pertemuan dengan sekitar 100 wakil rakyat BN Julai lalu.

Laporan itu menyebut dana itu dijangka disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri akhir Ogos.

Ahli-ahli Parlimen memberitahu Muhyiddin dan menteri-menteri yang lain bahawa kerajaan seharusnya memstikan lebih banyak dana disalurkan kepada bahagian-bahagian diwakili mereka berbanding tumpuan ke atas projek mega seperti Transit Rapid Massa (MRT) sekiranya BN mahukan mandat kukuh dalam pilihan raya umum ke-13.

Beberapa ahli Parlimen yang menghadiri majlis makan malam itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa rakan-rakan mereka mempersoalkan nilai projek MRT ke atas kempen BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut mereka, Kuala Lumpur merupakan “kubu” pembangkang sekarang dan menerima peruntukan pembangunan dalam jumlah yang begitu besar.

Justeru ramai ahli Parlimen mahukan lebih banyak peruntukan dana awam khususnya di bahagian masing-masing. -TMI

MP BN Dapat Dana Khas Hingga RM2.5 Juta Menjelang PRU 13

Kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) memperuntukkan sejumlah besar dana wang tunai khas kepada wakil rakyatnya bagi mengadakan pelbagai aktiviti dan prasarana secara langsung di bahagian Parlimen masing-masing ketika pilihan raya umum ke-13 semakin hangat diperkatakan, lapor The Malaysian Insider.

BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008.

Akhbar harian Sin Chew Daily melaporkan bahawa peruntukan yang disediakan boleh mencecah sehingga RM2.5 juta bagi sesetengah bahagian.

Bagaimanapun tiada dana bagi kawasan yang dikategorikan sebagai “hitam”, di mana BN hilang kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Beberapa ahli Parlimen yang dihubungi mengesahkan mereka telah disediakan peruntukan khas, yang dibayar antara RM500,000 dan RM2.5 juta ─ bergantung pada jumlah pemilih dan sama ada kerusi terbabit dimenangi BN ataupun sebaliknya.

Seorang wakil rakyat berkata, pembayaran sudah mula dikeluarkan sejak sebelum sambutan Aidilfitri dan akan terus dibayar secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Mengambil kira perkembangan itu, The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya umum ke-13 dijangka akan berlangsung akhir suku pertama ataupun awal suku kedua tahun depan.

“Peruntukan ini membolehkan wakil rakyat mengadakan aktiviti mengikut keperluan kawasan dan pengundi masing-masing,” kata wakil rakyat itu sambil menambah, “malah ia memudahkan kami menjalankan aktiviti dengan cepat dan segera, yang menggembirakan pengundi.”

“Itu kelebihan. Pengundi dapat melihat permintaan mereka ditunaikan dengan segera. Mereka dapat respons positif,” kata sumber itu.

The Malaysian Insider difahamkan, jika seorang ahli Parlimen diperuntukkan RM2 juta, mereka sudah pun menerima peringkat pertama peruntukan sebanyak RM400,000 sebelum Aidilfitri. Difahamkan, mereka yang diperuntukan RM1 juta telah disalurkan RM250,000.

“Kawasan yang BN kalah pada pilihan raya umum lalu hanya disalurkan RM500,000. Kepimpinan BN telah mengadakan satu taklimat khas mengenai peruntukan ini pertengahan bulan lalu,” kata seorang lagi wakil rakyat.

Katanya, pada taklimat itu tujuan dan kaedah penyaluran dana telah diperjelaskan kepada ahli-ahli Parlimen BN.

“Bagaimanapun jika kawasan BN yang pengundinya melebihi 60,000 orang, misalnya, wakil rakyat akan dibayar lebih RM2 juta. Ini yang dijanjikan, mungkin RM2.5 juta dan sebagainya,” kata pemimpin itu lagi.

Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN Datuk Bung Mohtar Radin menafikan adanya peruntukan sedemikian.

“Tidak ada, tidak. Kami tidak menerima apa-apa peruntukan seperti ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dalam laporannya malam tadi, Sin Chew Daily menyebut BN mengklasifikasikan sesuatu bahagian seperti “hitam”, “kelabu” dan “putih” - di mana BN dan Pakatan Rakyat menguasai kerusi atau BN menang dengan majoriti kecil - akan menerima antara RM1 juta dan RM2 juta.

Peruntukan akan diagihkan mengikut kawasan “putih” di mana BN memegang kedua-dua kerusi persekutuan dan negeri.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa wakil-wakil BN di Selangor menerima peruntukan bulan lalu.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Adun Janauri lalu tetapi tidak kepada wakil rakyat BN.

The Malaysian Insider membawa laporan Julai lalu bahawa Putrajaya telah meluluskan geran segera RM100,000 bagi setiap bahagian ekoran aduan ahli-ahli Parlimen BN mendakwa pentadbiran Najib hanya memfokus projek-projek besar di Lembah Klang, langkah yang menurut mereka tidak akan membantu perikatan itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan setiap ahli Parlimen BN RM100,000 pada satu pertemuan dengan sekitar 100 wakil rakyat BN di PWTC.

Laporan itu menyebut dana itu dijangka disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri akhir Ogos.

Ahli-ahli Parlimen memberitahu Muhyiddin dan menteri-menteri yang lain bahawa kerajaan seharusnya memstikan lebih banyak dana disalurkan kepada bahagian-bahagian diwakili mereka berbanding tumpuan ke atas projek mega seperti Transit Rapid Massa (MRT) sekiranya BN mahukan mandat kukuh dalam pilihan raya umum ke-13.

Beberapa ahli Parlimen yang menghadiri majlis makan malam itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa rakan-rakan mereka mempersoalkan nilai projek MRT ke atas kempen BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut mereka, Kuala Lumpur merupakan ‘kubu’ pembangkang sekarang dan menerima peruntukan pembangunan dalam jumlah yang begitu besar.

Justeru ramai ahli Parlimen mahukan lebih banyak peruntukan dana awam khususnya di bahagian masing-masing.






Ulasan GB

Itu petanda UMNO BN bakal berkubur tidak lama lagi.

Menganggap hanya ahli parlimen BN sahaja yang berhak dan layak untuk diberikan dana pilihanraya dan menafikan hak ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Hal yang sama pernah berlaku sewaktu pilihanraya lalu dimana MB Selangor semasa itu menghabiskan peruntukan kerajaan negeri Selangor hanya untuk ADUN-ADUN BN yang kemudiannya membawa kehancuran kepada kerajaan UMNO BN Selangor sendiri.

UMNO BN terlupa hampir separuh pengundi di seluruh negara telah memilih Pakatan Rakyat di dalam PRU 2008 yang lalu. Justeru tiada sebab mereka menganak-tirikan ahli parlimen PR.

Najib akan mendapat nasib seperti Khir Toyo Selangor nanti.

Kezaliman UMNO BN itu pasti ada "harganya" untuk dibayar - kekalahan besar di dalam PRU nanti di seluruh negara!