15 Ogo 2011

Kesilapan Pengkeranian? BERS✔H 2.0 Pertimbang Heret SPR Ke Mahkamah

Kecewa dengan cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangani penyelewengan dan kecelaruan dalam daftra pemilih yang didedahkan media, BERSIH 2.0 bercadang mengheret suruhanjaya itu ke mahkamah.

Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan percaya apa yang dilakukan SPR dengan sewenang-wenangnya memadam atau meminda butiran pengundi sebagai tindakan yang tidak sah.

"Saya tidak pasti mereka sebenarnya boleh melakukannya - hanya membuang nama dan meletakkan nama dan menukar beberapa perkara. Mereka akan dakwa bahawa mereka beroperasi di bawah peraturan-peraturan yang melayakkan mereka memperbetulkan kesilapan pengkeranian," katanya.

"Tetapi ini bukan kesilapan pengkeranian ... jadi saya tidak pasti apa undang-undang yang mereka gunakan untuk melakukan pembersihan ini yang mereka kata mereka lakukan setiap hari."

Ambiga merujuk tindakan SPR yang mengeluarkan nama-nama 'pengundi klon' daripada daftar pemilih setelah didedahkan oleh Malaysiakini.

Pengundi klon merujuk kepada orang-orang yang mempunyai dua catatan dalam daftar pemilih, berdasarkan nama yang sama tetapi dengan nombor MyKad yang berbeza.

Sebelum ini, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof menjelaskan bahawa isu dua identiti berkenaan adalah kerana kesilapan manusia apabila nombor MyKad yang dimasukkan ke dalam sistemnya.

Bagi menangkis dakwaan bahawa terdapat 'pengundi hantu' dalam daftar pemilih, Abdul Aziz berkata SPR akan mengeluarkan 12,000 nama pengundi yang berumur 90 tahun dan ke atas. -mk

Ulasan GB

Begitu mudah alasan SPR! Kesilapan Pengkeranian katanya demi untuk menutup konspirasi yang semakin terdedah.

Maruah SPR kini sudah tiada lagi. SPR sudah tidak layak untuk mengendalikan pilihanraya. Keseluruhan operasi dan tindak tanduk SPR perlu disiasat, malah pegawai-pegawai tertingginya termasuklah Pengerusi, Timbalan dan Setiausahanya.

Mereka telah membuat kerja-kerja kotor sudah lama, iaiatu semenjak era Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Mana yang perlu ditangkap hendaklah ditangkap, yang perlu dipenjara hendaklah dipenjarakan!


SAHIH: Mentega Pure Creamery Butter-Golden Churn Mengandungi DNA Babi & Tidak Halal

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan mentega jenama ‘Pure Creamery Butter-Golden Churn’ yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.

Ketua Pengarahnya Othman Mustapha berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati produk tersebut datang dari kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza dan untuk pasaran berbeza.

“Perkara ini disahkan sendiri oleh wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand yang mengeluarkan produk itu. Sehubungan itu umat Islam seluruh negara diminta untuk tidak menggunakan produk tersebut,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Bernama Online hari ini.

Sehubungan itu juga, Othman meminta pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang telah menggunakan produk tersebut agar menukarnya kepada yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru.

Beliau berkata mereka juga perlu melakukan proses samak dengan disaksikan jabatan agama Islam negeri serta mengemukakan bukti akuan samak.

Othman berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran.

Pada 19 Julai lalu, Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi DNA babi, menyebabkan industri makanan itu terjejas.

Pengerusi SPR Dikecam Kerana Pertahankan Sistem Sedia Ada

Sistem p'raya cuba dikotorkan, dakwa Mahfuz

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff tidak wajar mempertahankan sistem sedia ada dengan mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada daftar pemilih yang bersih di dunia ini, kata PAS.

Naib presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu dikira memalukan dan tidak wajar" dikeluarkan oleh seorang yang mengetuai sebuah badan bebas.

"Yang (beliau) sepatutnya melihat persoalan-persoalan untuk memastikan daftar pemilihan dan proses sistem pilihan raya dapat berjalan dengan baik dan telus.

"Bukan kita membawa isu-isu yang tidak ada di dunia ini, (iaitu) daftar pemilih yang bersih seperti yang didakwanya," katanya.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena mendakwa pada masa ini terdapat pihak yang cuba "mengotorkan" sistem pilihan raya dan daftar pemilih.

"Jadi, bukan isu tidak ada (di) dunia daftar pemilih yang bersih. Itu satu persoalan yang lain.

"Dan saya sangat mempersoalkan apakah rakyat di negara maju yang lain begitu dungu sehingga tidak dapat mengesan daftar pemilih yang bersih," katanya.

Sementara itu, mengulas projek pemutihan rakyat asing yang sedang giat dijalankan, Mahfuz mendakwa terdapat usaha memberikan kerakyatan kepada bangsa asing untuk kepentingan politik BN.

"Saya menganggap bahawa perbuatan memberi warga asing taraf kerakyatan sampai ke peringkat menjadi pengundi, menunjukkan SPR dan kerajaan tidak patriotik terhadap negara kita.

"Ini sangat merbahaya, apabila sifat patriotik itu sudah tidak ada, sehingga sanggup menjual dan menggadai masa depan, kedaulatan dan keselamatan negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa penubuhan sebuah badan bebas yang diletakkan di bawah parlimen untuk memilih dan merombak suruhanjaya tersebut.

Katanya, badan bebas tersebut bertanggungjawab untuk memilih individu yang kredibel dan wibawa untuk mengendalikan SPR dan memastikan perjalanan pilihan raya yang bersih.


Tanah Runtuh Cameron Highlands: Bencana Alam Atau Gangguan Manusia?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat sedih dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands yang telah meragut tujuh nyawa.

Sementara punca kejadian tanah runtuh yang melanda penempatan Orang Asli tersebut disiasat oleh pihak berkuasa, terdapat spekulasi bahawa kerja membersih tanah dan kerja tanah berdekatan penempatan itu untuk pembangunan perumahan oleh sebuah sebuah syarikat berkemungkinan telah menyumbang kepada bencana itu.

CAP telah memaklumkan kepada pihak berkuasa dalam surat bertarikh 26 Mei 2011 berhubung kerja tanah secara besar-besaran untuk pembangunan projek selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan dan pelancong yang berang dengan keadaan itu.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengarahkan pihak kontraktor supaya menjalankan kerja kawalan dan penstabilan cerun memandangkan kawasan itu terdedah dan berpotensi untuk terhakis.

Persoalannya ialah adakah pembangunan projek ini menjadi pemangkin bencana di Kampung Sungai Ruil?

Walaupun aduan dan amaran awal telah dibuat, kami merasakan bahawa tindakan wajar yang berkesan tidak diambil. Jika pihak berkuasa telah memantau dengan teliti sekitar Kampung Sungai Ruil, mengesan tanda awal kegagalan cerun dan bahaya yang akan berlaku, mungkinkah bencana ini boleh dielakkan?

Terdapat lebih daripada 600 kematian akibat tanah runtuh sejak 1973. Siapakah yang bersalah terhadap kematian ini? Dalam banyak kejadian, alam telah dipersalahkan, menyebabkan pesalah sebenar terlepas dan bebas.


Mengambilkira bahaya geologi yang serius yang telah menyebabkan kematian, kecederaan, kerosakan dan pemindahan penduduk, kerajaan Malaysia telah mewujudkan Pelan Induk Cerun Negara (National Slope Master Plan - NSMP) 2009-2023 yang antara objektifnya ialah untuk mengurangkan risiko sebelum tanah runtuh berlaku.

NSMP menyatakan bahawa di Malaysia, daripada 1973 hingga 2007, kira-kira 440 tanah runtuh dilaporkan. Terdapat juga lebih beribu-ribu kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun kecil yang 'tidak dilaporkan'.

Jumlah kerugian ekonomi akibat daripada kejadian tanah runtuh adalah dianggarkan lebih daripada RM3 bilion dalam tempoh 35 tahun lalu.


Kerajaan Malaysia mempunyai pelan induk cerun, butiran lengkap, komprehensif dan rangka kerja dasar yang berkesan, strategi dan pelan tindakan untuk mengurangkan risiko daripada kejadian tanah runtuh di kawasan cerun di seluruh negara.

Adakah pelan tindakan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan?

Ramai daripada kita melihat bukit yang tandus, cerun yang terdedah akibat kerja tanah, pembangunan dan tanah runtuh ketika memandu sepanjang jalan utama dan lebuh raya di negara ini.

Kami bimbang cerun yang terdedah ini akan menjadi bencana yang akan datang. Kami berharap pihak berkuasa yang bertanggungjawab juga telah melihat kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh dan tertanya-tanya sama ada tindakan telah diambil.

Apabila bencana berlaku, kami tahu bahawa tindakan yang wajar tidak diambil.

Kesan pembangunan di atas bukit, tanah tinggi dan hutan yang berleluasa akan berterusan jika pihak kerajaan membenarkannya.

Alam mempunyai batasannya dan kemerosotannya biasanya memberi kesan buruk dan bebanan berat kepada komuniti miskin dan penduduk asli. Tanpa mengambilkira kesan terhadap alam sekitar, pembangunan ekonomi akan melenyapkan sumber alam.

Kerajaan, ahli perniagaan dan pengguna perlu mula bertindak secara bertanggungjawab untuk kebaikan diri dan generasi akan datang sebelum bencana yang lebih dahsyat menimpa kita semua.

Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Najib Masih Takut Panggil Pilihanraya Walaupun Merdeka Center Semacam Bagi Greenlight

Merdeka Center: Najib 'lebih terampil' dari Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat lebih berketerampilan sebagai pemimpin di mata masyarakat umum berbanding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini menurut Ibrahim Suffian dari pusat bancian Merdeka Centre adalah kerana keberkesanan penggunaan media arus perdana untuk menaikkan imej Najib.

Malah katanya, jumlah rakyat yang berpuas hati dengan kepimpinan perdana menteri, kukuh pada paras 69 peratus pada Disember lalu.

"Jika anda bertanya kepada saya - siapa yang rakyat fikirkan boleh melakukan kerja dengan lebih baik,- mereka berkemungkinan akan memilih Najib. Terdapat banyak berita mengenai Najib melakukan pelbagai perkara dan sebahagian besar berita itu sangat positif.

"Jadi mereka mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap Najib berbanding Anwar. (Persepsi Anwar) dalam media arus perdana diselubungi tindakan undang-undang yang bersilih ganti. Hampir setiap hari, ada sahaja orang yang menuduh beliau dengan pelbagai dakwaan.”

Jelas Ibrahim, walaupun komuniti siber di Internet - seperti laman Facebook anti-Najib - yang sebahagian besar menentang perdana menteri itu, tetapi pada hakikatnya bahawa sebilangan besar daripada rakyat tidak terdedah dengan sumber maklumat alternatif.

"Saya fikir orang ramai tidak mempunyai maklumat yang cukup mengenai apa yang dilakukan oleh Anwar untuk mempengaruhi keputusan. (Ini adalah) kerana hanya kira-kira 40 peratus daripada rakyat negara ini yang mempunyai akses kepada berita alternatif, jauh lebih rendah daripada akses internet.

"Tidak semua orang yang melayari Internet akan melawat portal dan membaca berita. Oleh itu, terdapat ketidakseimbangan bagaimana orang ramai boleh menilai seseorang pemimpin. "

Walau bagaimanapun, Suffian juga mengakui bahawa penilaian kelulusan seseorang pemimpin juga tidak semestinya diterjemahkan kepada undi.

"Ia hanya mencerminkan hakikat bahawa ramai orang, sekurang-kurangnya dua pertiga, bersetuju dengan apa yang perdana menteri sedang memperkatakan atau cuba untuk berbuat,” kata Ibrahim lagi.

Ulasan GB

Kajian Merdeka Center semacam sudah memberikan lampu hijau untuk Najib mengadakan pilihanraya. Najib pasti kembang dengan kenyataan Merdeka Center tersebut.

TETAPI apakah Najib berani untuk memangil pilihanraya dalam waktu terdekat ini?

Belum lagi.... mimpi ngeri beliau dikejar BERSIH masih menyebabkan tidurnya masih belum lena lagi.

Pendakwa Gagal Sediakan 6 Saksi, Kes Anwar Ditangguh Minggu Depan

Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan 22 Ogos depan untuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan dalam kes fitnah liwat II ke atas dirinya.

Kegagalan pihak pendakwaan menyediakan enam lagi saksi berpotensi yang disenaraikan menyebabkan perbicaraan itu yang ditangguhkan pada hari ini, terpaksa ditunda ke minggu hadapan.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selain mengarahkan pendakwaraya menyediakan baki enam saksi yang masih belum ditemubual peguambela Anwar sebelum mahkamah bersambung pada Isnin.

“Apa-apa sahaja hasil (daripada temubual) itu, Isnin awak (peguam bela) perlu mula,” kata Zabidin di kamar Mahkamah Jalan Duta pagi tadi.

Perbicaraan ini yang memasuki peringkat pembelaan sepatutnya sudah bermula 8 Ogos lalu namun ia ditangguhkan atas permintaan pendakwaraya yang gagal menyediakan 25 saksi yang ditawarkan kepada peguam bela.

Kegagalan menyediakan saksi itu menyebabkan peguam Anwar terpaksa memohon perintah mahkamah untuk memanggil saksi-saksi berkenaan.

Peguam Anwar, Ram Karpal Singh menegaskan pendakwaraya bertanggungjawab menyediakan semua saksi yang diminta sebelum perbicaraan bersambung Isnin depan.

"Menjadi tanggungjaawab dan tugas pendakwaraya sediakan saksi untuk ditemubual kami. Bukan perkara yang rumit. Mahkamah sudah beri arahan sebelum ini," kata beliau kepada media di lobi Mahkamah.

Peguam pembelaan yang diketuai oleh Karpal Singh telah menemubual 19 saksi berpotensi yang mungkin diminta tampil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Mereka yang dipanggil itu termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang hadir pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun kedua-dua Najib dan Rosmah enggan ditemubual dan berkata mereka tidak mahu menjadi saksi pembela kepada Anwar.

Hari ini, pihak pembelaan akan menemubual ibu kepada bekas tunang pengadu kes ini - Mohd Saiful Bukhari Azlan - iaitu Sharehah Md Salim.

Sementara Musa kini berada di luar negara dan dijangka akan kembali minggu depan.

Enam yang masih belum ditemubual termasuk Musa, dua bekas pembantu rumah Indonesia,Suliati dan Faria Dipan-yang sebelum ini bertugas dengan pemilik kondominium Hasanuddin Abdul Hamid dan jururawat Hospital Pusrawi, Yazihan Jusoh, serta pengawal peribadi Anwar, Mohd Rasid Mohd Rosdi.

Difahamkan pembantu rumah berkenaan telah pulang ke Indonesia dan polis dijangka memaklumkan perkembangan mereka mengesan kedua-dua wanita itu.

Pada 16 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah seorang saksi berwibawa.

Manakala pada 8 Ogos lalu, beliau membenarkan pihak pembelaan menemubual saksi-saksi yang disenaraikan oleh pihak pendakwaan termasuk Najib dan Rosmah.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1 Kondominimum Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.



Ulasan GB

Puak UMNO dan puak pencacai UMNO seperti GAPS bising-bising kerana perbicaraan Anwar dikatakan lewat, sering ditunda dan sebagainya.

Sekarang siapa yang bersalah di dalam penundaan kes ini?

Anwarkah atau Pendakwakah yang telah gagal meneyediakan saksi-saksi?

Serbu Gereja: JAIS Sudah Kemukakan Laporan Awal Kepada MB

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilaporkan telah menyerahkan laporan awal berhubung tindakannya ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada awal bulan ini kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Laporan itu mengandungi maklumat mengenai bagaimana pemeriksaan, menurut Jais, telah dilakukan dan butiran mereka yang berada dalam gereja tersebut.

Gereja Methodist Damansara Utama masih mempertahankan dakwaan bahawa premis itu diserbu Jais.

Akhbar Mingguan Malaysia semalam melaporkan laporan itu diserahkan kepada Tan Sri Khalid minggu lalu.

'Laporan yang dihantar kepada Menteri Besar hanya laporan awal dan laporan lengkap sedang disiapkan. Selepas siap kita akan hantar laporan itu kepada pihak berkenaan,' kata sumber itu, seperti yang dipetik akhbar tersebut.

Rabu lalu, Tan Sri Khalid berkata kerajaan negeri masih menunggu laporan lengkap Jais berhubung kontroversi serbuan ke atas sebuah gereja minggu lalu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, pihaknya telah meminta Jais menyediakan satu laporan lengkap dan terperinci mengenai serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Beliau menambah, laporan terperinci itu termasuk hasil siasatan ke atas kesemua 12 individu beragama Islam yang dilapor ada di gereja ketika serbuan.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa Jais mengalami kesulitan mendapatkan keterangan 12 individu itu yang tidak hadir membantu siasatan 'kerana beberapa undang-undang yang telah diketengahkan oleh peguam-peguam mereka'.

'Malah pejabat Menteri Besar juga telah menerima surat daripada firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakili 10 daripada 12 orang Islam yang terlibat,' kata beliau sambil menambah akan menyerahkan perkara itu kepada pakar undang-undan Jais bagi memberikan khidmat nasihat. -Agensi


14 Terbunuh 23 Cedera Di Sambutan Hari Kemerdekaan Pakistan

Quetta: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 23 yang lain cedera, apabila letupan bom meranapkan sebuah bangunan hotel dan restoran dua tingkat di bandar Dera Allah, 300 kilometer ke timur Quetta, ibu negeri wilayah Baluchistani barat daya Pakistan semalam.

Gambar: ORANG ramai membantu mengeluarkan mangsa yang terkorban dalam serangan bom di Dera Allah, Pakistan, semalam. - Foto Reuters

Di wilayah lain, empat orang menjadi mangsa serangan dan tembakan ketika Pakistan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-64 semalam.

Pegawai kanan polis di Dera Allah Javed Gharsheen berkata, bom terbabit disembunyikan di satu sudut hotel dan ia meletup ketika sekumpulan penghuni berada di dalam dewan. Saksi berkata bangunan hotel itu musnah sama sekali.

Beliau berkata angka kematian dijangka meningkat kerana ramai lagi dipercayai masih terperangkap di celah runtuhan bangunan itu.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab setakat ini, tetapi pihak berkuasa mengesyaki ia dilakukan kumpulan pemisah Baluch yang sejak sekian lama menuntut hak autonomi dan kuasa ke atas sumber asli di wilayah itu.

Di bandar Khuzdar, 300 kilometer ke selatan Quetta, kumpulan lelaki yang menunggang motosikal menembak mati wartawan agensi berita Online, Munir Noor ketika beliau dalam perjalanan pulang daripada membeli-belah di sebuah pasar berhampiran kediamannya.
“Beliau ditembak dari jarak dekat. Punca serangan masih disiasat,” kata ketua polis Khuzdar Abdul Qadir Sheikh.

Di Miranshah, wilayah barat laut Pakistan, sekurang-kurangnya tiga tentera paramilitari terbunuh manakala 25 lagi cedera apabila militan melepaskan bedilan roket ke arah kem mereka.

Seorang pegawai berkata, empat roket dibedil ke arah kem di bandar utama di Wiziristan Utara itu ketika pasukan askar membuat persediaan untuk mengadakan perhimpunan bagi menyambut Hari Kemerdekaan.

“Tiga anggota paramilitari terbunuh, 25 lagi cedera, lima daripada mereka parah,” kata pegawai perisikan di tempat kejadian.

Sementara itu di CHARIKAR, Afghanistan, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 40 lagi cedera dalam satu serangan bunuh diri di kediaman dan pejabat Gabenor Wilayah Parwan, Abdul Basir Salangi semalam.

Abdul Basir ketika memberitahu sebuah stesen televisyen tempatan berkata enam pengebom bunuh diri menyerbu kawasan kediaman dan pejabatnya sebelum meletupkan bom dan melepaskan tembakan.

“Saya berada di dalam bangunan pejabat ketika serangan dilakukan. Seramai 14 orang awam dan lima anggota polis terbunuh, manakala 40 lagi cedera,” katanya.

Seorang pegawai berkata, lima letupan besar berlaku di kompleks pejabat dan kediaman itu dengan tiga daripadanya meletup di bahagian dalam bangunan, hanya 15 meter dari pejabat gabenor.

Sekurang-kurangnya dua pegawai tentera Amerika juga berada di tempat kejadian tetapi mereka terselamat. – AFP

FELCRA Diarah Bayar Gantirugi Kepada Waris Kerana "Menceroboh"

Seorang waris kepada peserta Felcra di Tapah, Mohamad Ramly Sanji menang dalam samannya terhadap Felcra Berhad yang didakwa menceroboh tanah milik ibunya.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Hassan Abd Rahman yang memutuskan bahawa perjanjian yang dibuat oleh Felcra dengan ibu plaintif sebelum ini tidak sah.

Sehubungan itu pihak Felcra diarah membayar ganti rugi kepada plaintif dan kos tindakan itu akan ditaksirkan mahkamah.

Selain itu Hakim juga mengeluarkan perintah injuksi yang menetapkan bahawa pihak Felcra perlu mengosongkan tanah tersebut dalam masa 30 hari dan segala kos pengosongan itu perlu ditanggung pihak Felcra.

Plaintif menfailkan saman berkenaan pada 2008 selepas mendapati pihak defenden iaitu Felcra Berhad melakukan pencerobohan ke atas tanah seluas dua hektar dijalan Kacu Tapah, yang dibangunkan atas tujuan tanaman kelapa sawit.

Kes beliau antara yang mendapat bantuan dan sokongan Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), iaitu sebuah NGO yang memperjuangkan nasib peserta Felcra.

Kemenangan rakyat

Sementara itu, menurut pengerusi Bapa yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Perak, Tuan Haji Razman, beliau menganggap kemenangan tersebut sebagai kemenangan rakyat.

Beliau menyatakan, kes itu menjadi penyuntik semangat kepada NGO itu untuk terus memberi kesedaran serta membantu peserta-peserta mendapatkan semula hak-hak mereka yang selama ini tidak diendahkan oleh pihak pengurusan Felcra. -HD



Bukan PAS/PR, Tapi PERKASA Yang Bakar The Star

Star anti-Islam, kata PERKASA

Pertubuhan Hak Melayu, PERKASA, hari ini mengecam akhbar The Star sebagai musuh Islam, kerana menyiarkan artikel dan gambar masakan daging babi dalam sisipan juadah berbuka puasa.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali menegaskan beliau tidak menerima penjelasan bahawa ia adalah satu kesilapan.

"Kita semua tahu siapa editor the Star," katanya sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai menguji had toleransi orang Islam.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PERKASA di Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur, Ibrahim bertegas kesilapan The Star adalah "cabaran terang-terangan" terhadap Islam.

Beliau yang juga ahli parlimen Pasir Mas menuduhkan akhbar harian berbahasa Inggeris itu secara "konsisten menyerang Islam".

Oleh itu, tegas Ibrahim, adalah perlu bagi PERKASA "menuntut semula peranan sebagai pembela Islam", dengan menuduh PAS telah gagal memainkan peranan tersebut.

Ahli parlimen bebas itu juga mendakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri tidak lagi mengambil berat tentang Islam dan kini lebih tertarik dengan undi dan akan berkompromi terhadap apa saja.

Dalam satu majlis kecil selepas itu, Pemuda PERKASA membakar nashkah akhbar the Star. -mk


Perkasa bakar akhbar Star

Akhbar itu menyiarkan iklan juadah Ramadan mengandungi daging babi.

KUALA LUMPUR: Perkasa membakar akhbar The Star sebagai memprotes akhbar itu menyiarkan iklan hidangan Ramadan baru-baru ini.

Akhbar itu menyiarkan iklan juadah Ramadan mengandungi daging babi.

Pembakaran itu diketuai oleh Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Idris.

Dalam ucapannya, Irwan berkata. Penyiaran iklan oleh akhbar The Star itu menghina orang Islam.

“Perkasa meminta akhbar The Star meminta maaf secara terbuka kepada orang Islam,” katanya.

Dalam ucapannyqa, Irwan juga menyelar MCA dan MIC yang dianggapnya suka menjaga hal ehwal orang Melayu.

“Kamu kerjalah untuk kaum kamu sendiri kerana dalam pilihan raya tidak mendapat sokongan.

“Tolong hormati kaum majoriti,” katanya. -FMT

Ulasan GB

Bukan PAS, bukan PKR apatah lagi DAP yang bakar akhbar The Star. Tetapi PERKASA. Rakan karib UMNO yang selama ini dijulang oleh media arus perdana termasuk The Star/Mstar sendiri.

Isunya kerana The Star menyiarkan artikel dan gambar masakan daging babi dalam sisipan juadah berbuka puasa. Ia memang menghinakan umat Islam.

Tetapi PAS/ Pakatan Rakyat tidak mengambil tindakan melulu. Kita tahu bahawa tidak mungkin The Star boleh melakukan penghinaan keterlaluan sedemikian rupa terhadap umat Islam, tetapi kita juga tahu bahawa berkemungkinan ia dilakukan tanpa sengaja, atau kerana kejahilan atau kerana kecuaian, atau tanpa niat untuk menghina. Maka itu PAS/PR tidak mudah mengambil tindakan melulu... mengenepikan emosi/sentimen tetapi menunggu jawapan sebenar dan peryataan mohon maaf secara terbuka oleh The STAR.

Buka mata, Melayu yang mana bersentimen dan beremosi dan yang suka runs amuk?

Sekarang The Star sudah sepatutnya dapat menilai sendiri. Kebenaran telah bersuara dengan jelas di depan mata. Terpulang. Masih nak menghentam PAS/PR dan nak membela UMNO BN lagikah?

Jika ya, teruskan, kami akan terus juga memohon agar Tuhan dedahkan lagi kecelaruan "barisan" kamu yang sebenarnya sedang berada di jurang keruntuhan.

Mat Sabu: Di London Rakyat Mengamuk. Di Malaysia Polis Yang Mengamuk

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyelar tindakan beberapa pihak yang cuba menyamakan antara Himpunan aman Bersih 2.0 9 Julai lalu dan rusuhan yang berlaku di United Kingdom.

Mohamad merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata perhimpunan Bersih 2.0 mungkin menyebabkan rusuhan seperti apa yang berlaku di Kota London sekarang.

Menurut Mohamad, rusuhan di UK berbeza dengan gerakan menuntut perubahan secara aman di Malaysia dan diakui sendiri oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron bahawa rusuhan London tidak berkaitan politik.

"Saya tak tahu Timbalan KPN ini. Di London rakyat mengamuk. Di Malaysia polis mengamuk.

"PM Britain sendiri kata rusuhan tidak kena mengena dengan politik," kata Mohamad ketika ditanya Tv Selangor pada sidang media di Ibu Pejabat PAS semalam.

4 Ogos lalu, ribuan rakyat memprotes kematian seorang lelaki akibat tembakan polis di Tottenham, utara London.

Keesokan harinya, beberapa pemuda bertopeng memulakan rusuhan, merosak dan membakar kedai.

Kejadian itu merebak ke bahagian lain di London seperti Croydon dan Bayswater sebelum merebak ke arah Utara England dengan kejadian sama dilapor di Birmingham, Liverpool dan beberapa tempat lain.

Dalam posting di laman web Facebooknya beberapa hari lalu, Khalid berkata rusuhan berterusan di London yang kini merebak ke beberapa bandar utama di Britain adalah bukti bahawa mimpi ngeri seumpama itu boleh dielakkan dengan menghalang protes jalanan.

Menurut Mohamad situasi ini amat berbeza dengan demonstrasi di negara ini.

Beliau mengakui polis boleh menggunakan kekerasan mereka dalam rusuhan tetapi bukannya dalam himpunan aman.

"Saya sendiri berulang kali sebut jangan terbalikkan walau satu pasu bunga pun.

"Di sini tidak ada langsung berlaku kebakaran, terbalikkan kereta, pecah kereta atau (rosak) harta awam. Patutnya polis hadapi himpunan aman secara aman," tegas beliau lagi.

Dalam pada itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim semalam mendakwa ada peserta himpunan Bersih 2.0 yang diupah RM50 untuk memakai baju berwarna kuning.

Merujuk kepada tragedi di London, beliau berkata, polis di negara luar tidak teragak-agak melakukan kekerasan demi menegakkan undang-undang sebaliknya di Malaysia, meskipun berdepan ejekan peserta Bersih, mereka masih mampu bersabar.

"Lihat dengan apa yang kita alami di Malaysia, dan ini kita harus ambil sebagai satu perbandingan untuk keinsafan kita, yang mana betapa tertibnya Polis Diraja Malaysia mengawal keadaan berbanding dengan apa yang berlaku di luar negara," beliau dipetik sebagai berkata.

Terdahulu DAP turut membidas kegagalan pemimpin Umno-BN dalam menyamakan rusuhan dan sebuah perhimpunan aman.

Menurut setiausaha organisasi DAP, Teresa Kok, Bersih 2.0 adalah sebuah perhimpunan aman yang jelas matlamatnya dan bukanlah seperti yang didakwa pemerintah selama ini.

“Yang mengganas di London adalah perusuh, sebaliknya yang bertindak ganas di Malaysia sewaktu perhimpunan aman Bersih 2.0 adalah pihak polis.

“Di Kuala Lumpur, perhimpunan aman Bersih 2.0 mempunyai matlamat yang jelas dan telah dianjurkan secara terancang.

“Agenda, tarikh dan waktu bersurai telah dinyatakan secara terus-terang buat pengetahuan pihak kerajaan, polis, media dan orang awam dari awal-awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan media.