27 Jul 2011

Apabila Majlis Perundingan Media Tiada Sambutan, Rais Pun Berdalih Kata Ia Hanya Cadangan

Majlis Perundingan Media hanya cadangan, kata Rais

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Di sebalik bantahan berterusan daripada organisasi media yang bimbang ia akan menambah kawalan pihak berkuasa, Putrajaya hari ini berkata, Majlis Perundingan Media (MPM) yang dihalusi Isnin lalu hanyalah satu cadangan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim (gambar) berkata, MPM “hanya satu percubaan”.

“Jika ia tidak menerima sokongan... kami tiada masalah untuk melepaskan daripada penyeliaan kami,” katanya.

Bagaimanapun Rais yang juga pengerusi bersama MPM berkata, “ramai yang sudah menyatakan persetujuan” tetapi hanya golongan “elitis tidak memberi persetujuan mereka”.

Seorang lagi pengerusi MPM ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mesyuarat Isnin lalu dikatakan gagal mencapai konsensus atau persetujuan mengenai cadangan Putrajaya mahu mengadakan MPM.

Ketika ditemui di sini hari ini, Rais berkata MPM bertujuan memastikan media bertindak dengan penuh tanggungjawab dan mematuhi undang-undang.

“Kami mahukan kerjasama, tiada agenda lain,” kata beliau.

Katanya, satu pakatan media mesti wujud dan “mereka boleh melakukan apa yang mereka hendak lakukan, tetapi undang-undang mesti dihormati.”

Pada Khamis lalu, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa beberapa ketua organisasi media dijangka membantah cadangan Putrajaya yang mahu membentuk MPM dengan tidak mempedulikan satu pertemuan bagi membincangkan terma rujukannya yang diadakan Isnin lalu.

Satu sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa daripada mereka sendiri menghadiri pertemuan itu, beberapa ketua media telah bersetuju untuk memperlihatkan protes dengan menghantar editor-editor junior sebagai wakil.


Difahamkan ketua-ketua berkenaan termasuk dari organisasi media yang dikawal oleh Barisan Nasional, bimbang majlis seumpama itu hanya akan mengenakan lebih banyak halangan ke atas kebebasan akhbar di Malaysia.

Menurut surat kementerian Rais, anggota MPM termasuklah wakil dari kerajaan, media cetak, elektronik dan media baru serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Antara yang dijemput agensi berita Bernama, Kumpulan Utusan, Astro TV, stesen Media Prima seperti TV3, NTV7, TV8, TV9, Hot FM, Fly FM dan One FM, AMP Radio Network, AlHijrah Media Corporation, Suara Johor, Star RFM, Husa Network, kesemua akhbar di bawah Kumpulan NSTP, Kumpulan Media Karangkraf, Star Publications (M) Berhad, The Sun, The Edge, Malay Mail, Makkal Osai, Tamil Nesan, Sin Chew Daily, Malaysia Nanban, Kwong Wah Yit Poh Press Berhad, China Press, Nanyang Siang Pau, Sarawak Press Sdn Bhd, See Hua Daily dan United Daily News.

Kesemua akhbar perlu mendapatkan permit penerbitan tahunan manakala stesen siaran elektronik dikawal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Blog House Malaysia telah dipilih sebagai wakil tunggal media baru manakala pertubuhan bukan kerajaan terdiri daripada Institut Akhbar Malaysia, Kesatuan Wartawan Malaysia dan Persatuan Penerbit Majalah.

Portal berita atas talian seperti The Malaysian Insider, Malaysiakini, Free Malaysia Today, Malaysia Today atau Merdeka Review sendiri tidak dijemput meskipun mereka mempunyai kad tauliah media dikeluarkan Jabatan Penerangan.

Surat jemputan kementerian itu juga disertakan dengan kertas cadangan penubuhan MPM, yang memperincikan terma rujukan untuk dibincangkan pada pertemuan Isnin ini termasuk peranan, objektif, fungsi, keanggotaan dan aktivitinya.

Kertas cadangan itu menggariskan lima fungsi MPM, antara lain memperbaiki pengurusan dan perkongksian maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan, program dan aktiviti komuniti dan membincangkan isu-isu semasa dan merangka pelan komunikasi untuk menangani mereka secara bersepadu dan teratur.

Dalam pada itu, Rais menganggap pelancaran kempen Kibarkan Jalur Gemilang tahun ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dianggap unik kerana ia melibatkan pemimpin pergi ke tempat tumpuan awam yang berbeza dari sebelum ini apabila rakyat dibawa ke lokasi sambutan.

Kata Rais, pelancaran kempen itu di Stesen KL Sentral di sini adalah istimewa kerana melibatkan pemimpin tertinggi negara bersama rakyat.

Ketika ditemui pemberita selepas pelancaran kempen itu, beliau berharap rakyat tidak lupa kepada amanat Najib dalam ucapan pelancaran itu bahawa kesejahteraan yang dicapai melalui transformasi akan mensejahterakan suasana dalam negara.

“Kerajaan yang beliau pimpin kini telah membawa kita ke tahap kemajuan, satu demi satu, sehingga gagasan 1Malaysia itu bererti kepada setiap insan yang menjadi warganegara Malaysia dapat bersama berasa megah dan bangga tidak kira apa pegangan politik, agama ataupun kebudayaan masing-masing,” katanya.

Sempena sambutan kemerdekaan ke-54 tahun ini, Rais berkata 244 program jalinan dirancang untuk diadakan di negeri-negeri menerusi Badan Bukan Kerajaan dan sektor swasta.

Selain melancarkan kempen itu, Perdana Menteri turut melepaskan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 Jabatan Penerangan ke setiap negeri untuk menjalankan aktiviti serta program kemasyarakatan bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan tahun ini.

Tahun ini, sambutan kemerdekaan diadakan pada 16 September serentak dengan sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka. -TMI

Berita Sebelum Ini

Rais Terkedu, Media Arus Perdana Bantah Keras Penubuhan Majlis Perundingan Media



Nik Aziz Nafi Sokong Biometrik SPR

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan bahawa beliau menyokong cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sistem biometrik untuk identiti pengenalan pengundi dalam pilihan raya umum.

"Saya hanya menyatakan akan menyokong apa jua sistem yang membawa kebaikan dan tidak diragui. Sekiranya biometrik meragukan, maka ia juga wajar ditolak. Adapun laporan yang menyatakan bahawa saya menyokong adalah tidak tepat.

"Lebih baik (guna) dakwat kekal yang kita (pembangkang) minta (dulu) itu, supaya tidak ragu, selagi biometrik ini meragukan maka tak usah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kota Baharu hari ini.

Semalam sebuah akhbar menyiarkan di muka depannya berita bertajuk "Nik Aziz sokong biometrik" dan memetik kenyataan Menteri Besar Kelantan itu selepas merasmikan pelan hala tuju ICT negeri Kelantan 2011-2015 di Kota Darulnaim, di Kota Baharu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak sistem biometrik itu kerana berpendapat sistem itu terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

Ditanya sama ada di Kelantan terdapat pertindihan dalam senarai daftar pemilih, Nik Abdul Aziz berkata PAS pusat sedang membuat semakan senarai daftar pemilih di seluruh negara dan dijangka siap dua minggu lagi. --Bernama


Nik Aziz sokong PAS tolak biometrik

KOTA BHARU, 27 Julai: "Saya hanya menyatakan akan menyokong apa jua sistem yang membawa kebaikan dan tidak diragui. Sekiranya biometrik meragukan, maka ia juga wajar ditolak. Tolak kotor, ambil BERSIH."

"Adapun laporan yang menyatakan bahawa saya menyokong adalah tidak tepat. Saya menyokong pendirian PAS Pusat yang menolak kaedah biometrik yang ingin diperkenalkan oleh SPR," tegas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebuah akhbar harian semalam membuat berita sensasi apabila menyiarkan di muka depannya berita bertajuk "Nik Aziz sokong biometrik".

Ekoran itu timbul kekeliruan di kalangan orang ramai apakah sikap sebenar PAS dalam isu penggunaan biometrik dalam pilihan raya umum akan datang kerana pemimpin lain PAS memaklumkan parti itu menolak penggunaan biometrik.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sistem biometrik terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

"PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam sidang media bersama pimpinan PAS yang lain menjelaskan, PAS mengambil keputusan menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini seperti yang diumumkan oleh SPR baru-baru ini.

Penolakan PAS terhadap sistem biometrik kerana diyakini sistem tersebut tidak berkemampuan menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan menghalang masalah yang berlaku dalam pilihanraya di negara kita sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan, sebaliknya PAS tetap bertegas untuk menggunakan dakwat kekal kerana hanya dengan cara itu yang dapat mengatasi masalah pengundian bertindih dalam pilihanraya di negara kita.

Menurutnya, keputusan menolak penggunaan sistem biometrik dibuat oleh PAS hasil perbincangan yang diadakan oleh para pemimpin PAS pada mesyuarat khasnya di Pejabat Agung PAS yang diadakan semalam.

Apa yang dikatakan oleh Nik Aziz sebenarnya bukanlah sebagaimana yang disimpulkan oleh akhbar harian berkenaan.

Wartawan Harakahdaily, Rizal Tahir, di Kota Bharu melaporkan Tuan Guru Nik Aziz PAS hanya akan membuat keputusan menyokong atau sebaliknya berhubung biometrik selepas diberi penerangan berhubung perlaksanaan perkara itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, walaupun tidak menafikan hanya akan menyokong sekiranya perkara itu baik, namun penerangan berhubung perkara itu perlu dilakukan terlebih dahulu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung sistem biometrik yang bakal dilaksanakan oleh SPR dalam pilihan raya umum selepas merasmikan pelan halatuju ICT negeri Kelantan 2011-2015 di Kota Darulnaim, Kota Bharu. -HD


Polis Buat Laporan Polis Untuk Tangkap 10 Pemakai Baju Kuning

Sambutan kuning untuk PM di KL Sentral: 10 ditangkap

Sepuluh orang termasuk pembantu ahli parlimen Ampang dan pemimpin pemuda PKR ditangkap di KL Sentral petang ini kerana berpakaian kuning dan cuba menyerahkan memorandum tuntutan BERSIH 2.0 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Fareez Kamal Intidzam, pembantu kepada Zuraida Kamaruddin, ditahan oleh sekumpulan anggota polis sejurus sebelum ketibaan Najib dan rombongannya.

"Ironinya, seorang daripada kami memakai jersi bolasepak pasukan Malaysia dan saya sendiri memakai warna merah 'Patriot' ketika kami ditangkap,” kata Fareez kepada Malaysiakini.

Semua mereka yang ditahan kemudiannya dibawa ke balai polis Travers.

Selain Fareez, timbalan ketua penerangan pemuda PKR Rozan Azem Mat Rasip adalah antara mereka yang ditangkap.

Najib dan beberapa anggota jemaah menteri menaiki kereta api laju Express Rail Link, dari Putrajaya menuju ke stesen KL Sentral bagi mengedarkan bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan hari kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Beliau dan rombongan yang sebelum itu dibawa dengan bas dari Pejabat Perdana Menteri ke Stesen Putrajaya Sentral pada 2.10 petang disambut 1,000 orang yang menunggu sejak 11 pagi.

Najib bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri lain meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai di stesen itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan di Facebook, Polis Kuala Lumpur, ASP Suffian Sulaiman berkata tangkapan itu dibuat ke atas sekumpulan orang awam yang memakai baju kuning dan membuat kacau.

“Berhubung majlis pelancaran kibar Jalur Gemilang di KL Sentral, polis KL telah tangkap seramai sepuluh orang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan di KL Sentral di Kuala Lumpur.

“Semasa tangkapan suspek memakai baju kuning tanpa apa-apa perkataan dan melaungkan reformasi. Tangkapan adalah bersabit laporan polis yang dibuat oleh ketua polis daerah Brickfields tentang maklumat mengatakan ada kumpulan pemuda berpakaian kuning akan membuat kacau,” tulisnya.

Menurut Suffian semua tahanan itu kemudiannya dibebaskan selepas percakapan mereka dirakamkan polis untuk siasatan lanjut. -mk


10 ditahan ketika cuba serah surat pada Najib

KUALA LUMPUR, 27 Julai: 10 orang temasuk enam anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang ditahan polis di stesen Sentral Kuala Lumpur siang tadi dibebaskan kira-kira jam 5.50 petang selepas diambil keterangan.

Kesemua mereka yang ditahan di Balai Polis Travers itu sebelum ini disoal siasat dibawah Seksyen 105, Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, mereka ditahan kira-kira jam 2.50 petang ketika sedang berbaris bersama pelatih PLKN menyambut ketibaan Datuk Seri Najib Razak untuk merasmikan kempen Kibarkan Jalur Gemilang di sini.

Antara yang ditahan termasuklah Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azin Mat Rasip, Exco AMK Pusat, Zaki Yamani, Zulfikar Ali Ariffin, Manivannan Gowindasamy, Chegu Sekar dan pembantu ahli parlimen Ampang, Mohamad Fareez Kamal Intidzan.

Insiden berlaku apabila Zaki cuba masuk ke dalam laluan Najib bagi menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri itu.

Sebaik sahaja beliau masuk sambil memanggil "Datuk Seri", empat pengawal peribadi Najib terus memegangnya dan mengheret beliau keluar dari tempat tersebut dan diserahkan kepada anggota polis yang sedia berkawal.

Najib juga dilihat sempat melihat ke arah Zaki dan pergelutan yang berlaku yang hanya berjarak kira-kira satu meter darinya.

Seorang rakannya, Zulfikar pula ditahan apabila cuba menayakan kepada polis kenapa Zaki ditahan dengan cara kasar.

Ekoran itu kesemua mereka yang memakai baju kuning itu ditahan pihak polis. -HD





Ulasan GB

Baca semula ayat yang GB merahkan:.

Tangkapan adalah bersabit laporan polis yang dibuat oleh ketua polis daerah Brickfields tentang maklumat mengatakan ada kumpulan pemuda berpakaian kuning akan membuat kacau,”

Bila tidak ada laporan polis untuk mereka bertindak, maka mereka (polis) sendiri membuat laoran polis untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Nampak jelas bahawa POLIS itu bekerja untuk Najib dan UMNO.

BERS✔H: Biometrik Bukan Penyelesaian Untuk Undi Bertindih


Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sistem biometrik untuk mengatasi masalah pengundi hantu tidak harus bersandar kepada rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semata- mata, kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreneevasan.

Ini kerana JPN sendiri tidak mempunyai rekod lengkap mengenai individu yang telah meninggal dunia, sekaligus memberi ruang kepada pihak tertentu memanipulasi butiran mereka untuk dimasukkan dalam daftar pengundi SPR, kata beliau.

Bercakap dalam forum "Apa Selepas 9 Julai" sebentar tadi, Ambiga mengambil sikap terbuka kepada cadangan SPR menggunakan teknologi biometrik namun mempersoalkan keupayaan JPN memastikan rekod- rekodnya adalah tepat dan terkini.

"Saya risau kerana sistem biometrik akan bergantung sepenuhnya terhadap JPN yang tidak boleh mengesan orang mati. Saya ada masalah dengan itu," kata beliau.

Justeru, saranan supaya SPR memperkenalkan dakwat kekal untuk mengelak isu pengundi bertindih adalah jauh lebih rasional, murah dan mudah untuk dilaksanakan.

Parti Keadilan Rakyat baru- baru ini mengenalpasti lebih 1,607 pengundi yang sudah mati di Perak tetapi masih disenaraikan dalam daftar SPR.

SPR sering dikecam bersabit dakwaan- dakwaan bahawa daftar pengundi dimanipulasi bagi membolehkan pengundian dua kali oleh individu sama atau kes individu menggunakan butiran pihak lain untuk mengundi.

Ambiga hari ini tampil di sebuah wacana untuk membincangkan hala tuju sistem pilihanraya susulan perhimpunan aman Bersih 9 Julai lalu.

Hadir sama di wacana itu Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar termasuk Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Ambiga seterusnya mempersolkan sama ada SPR mampu melaksanakan sistem biometrik menjelang pilihan raya umum yang dijangka di adakah dalam tempoh beberapa bulan lagi.

"Ia melibatkan jumlah teknologi yang besar. Sistem ini akan mudah tergendala kerana melibatkan sistem yang rumit," ujar beliau.

Beliau seterusnya menyarankan SPR mengorak langkah melaksanakan pendaftaran pengundi undi secara automatik apabila seseorang mencapai usia 21 tahun.

Ambiga gusar sistem yang ada sekarang akan menafikan hampir 3.5 juta pengundi hak untuk mengundi, semata- mata kerana nama- nama mereka tidak sempat diwartakan dalam daftar pengundi terbaru.

"Kita perlu mengorak langkah untuk memastikan (mereka boleh mengundi) dan bukan halang mereka. Untuk daftar pengundi mudah tapi (untuk mengundi mereka) terpaksa menunggu beberapa bulan. Tiga juta orang (kemungkinan) tidak boleh mengundi dan itu melanggar perlembagaan," ujarnya lagi disahut tepukan para hadirin. -tvsnews



Ust Zamri Di BERS✔H, TV9 Hentikan Program "Adik & Al-Quran"

Adik & Al-Quran dihentikan siaran

Mungkin ramai yang terkejut apabila program keagamaan, Adik & al-Quran yang disiarkan di TV9, telah dihentikan siarannya sejak seminggu lalu.

Perkara itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar hosnya, Ustaz Haji Mohd Zamri Haji Mohd Zainuldin (gambar) atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Zamri, ketika terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

Penerbit eksekutif TV9, Ezzah Aziz Fawzy, yang dihubungi berkata, arahan menghentikan program itu dikeluarkan oleh pihak atasan Prime Works atas sebab tertentu. Namun beliau tidak pula menafikan atau mengesahkan ia berpunca dari penyebaran gambar hosnya dalam perhimpunan Bersih itu.

“Pihak produksi telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Makluman dalam bentuk arahan ini sudah pasti ada sebab yang kukuh mengapa ia tidak dapat diteruskan, cuma ia tidak boleh diuar-uarkan kepada umum.

“Program Adik & al Quran sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan antara program yang mendapat rating tertinggi di kalangan penonton, tetapi stesen TV lebih mementingkan isu sensitiviti dan perlu memberi penekanan kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya lagi, memandangkan program tersebut telah mencapai satu rating yang baik, namun ia sedikit terjejas berikutan timbulnya perkara sebegini.

“Pada pandangan peribadi saya, seseorang yang bergelar ikon harus lebih berwaspada agar tidak terjadinya kejadian yang tidak diingini.

“Adalah wajar menjaga personaliti diri dan imej agar ia tidak memberikan sebarang perspektif tidak baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, program itu akan disiarkan semula cuma masih tidak mendapat tarikh yang baru.

“Berehat itu ada kalanya tidak mengambil masa. Namun, ia bergantung pada keputusan pihak atasan. Kadang-kadang cuma seminggu, ada juga yang tiga minggu. Semua itu bergantung pada keputusan mereka.

“Sebagai menggantikan program itu, ia digantikan dengan program Mari Bertarranum,” katanya.

Terima apa saja keputusan Ustaz Zamri

Sementara, Ustaz Zamri, berkata, dia sudah pun berbincang dengan pihak TV9 dan mengharapkan agar perkara itu tidak berlarutan.

“Saya telah dipanggil untuk berbincang dengan pihak TV9 beberapa hari selepas gambar itu tersebar. Alhamdulillah, kami berbincang secara mahabbah (aman). Apa sebenarnya yang berlaku pada 9 Julai itu sudah saya terangkan kepada mereka dan tidak perlu saya ceritakan kepada umum.

"Saya faham situasi ini. Mungkin ia nampak lebih berat apabila ia mendapat komen yang agak mendalam menerusi Facebook, saya sendiri tidak pasti mengenai hal ini dan terima apa sahaja keputusan,” katanya yang kini sedang menuntut pengajian dalam bidang tafsir Ulumul Quran di Universiti Antarabangsa Madinah, Malaysia.

Ulasan GB

Cukup bebal dan bangang jawapan Penerbit eksekutif TV9, Ezzah Aziz Fawzy:

“Pada pandangan peribadi saya, seseorang yang bergelar ikon harus lebih berwaspada agar tidak terjadinya kejadian yang tidak diingini.

“Adalah wajar menjaga personaliti diri dan imej agar ia tidak memberikan sebarang perspektif tidak baik,”


Sedangkan penyertaan Ustaz Zamri ke Bersih sebenanrnya lebih banyak mendatangkan kebaikan kepada TV9 sendiri apabila yang dikatakan "ikon" itu ada bersama-sama rakyat ... dan rakyat sepastinya menyokong program yang dihoskan oleh ikon tersebut.

Berbanding dengan pihak atas Prime Work itu sendiri atau Penerbit Eksekutif TV9 tersebut, Ezzah Aziz Fawzy, orang lebih mengenali dan menonton TV9 kerana rancangan itu dikendalikan oleh Ustaz Zamri, bukan kerana mereka-mereka di Prime Work atau Penerbit Eksekutifnya.

Sekarang lebih bertambah benci rakyat untuk menonton TV9.

Kepada Ustaz Zamri, teruskan perjuangan dan beristiqamah... rezeki di tangan Tuhan bukan di tangan pengarah-pengarah dan penerbit TV9 itu.

TV9 bakal bankrap, apabila setiap peserta himpunan Bersih memboikot siaran TV berkenaan.

Kes Sarbani: PKR Gesa Tubuh Suruhanjaya Elak Pesalah Terlepas

Bagi mengelakkan hal sama berulang dalam kes kematian mendiang Teoh Beng Hock, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed.

Terdahulu keluarga mangsa juga turut menyatakan pendirian sama mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan.

Bagaimanapun kerajaan hanya bersetuju menubuhkan inkues bagi menyiasat misteri kematian Allahyarham.

Lantaran tidak mahu mereka yang bersalah terlepas dari tanggungjawab, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau menyokong sepenuhnya usaha keluarga Allahyarham yang mahukan keadilan di atas kematian bekas penolong pengarah Kastam Selangor itu.

"Polis Diraja Malaysia telah menolak sebarang tindakan terhadap tiga orang pegawai SPRM yang dinamakan di dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Teoh Beng Hock, Hishamuddin Hashim, Mohamad Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus memandangkan polis menganggap mereka tidak menyalahi sebarang undang-undang dan bergantung kepada siasatan dalaman SPRM. Pun begitu SPRM hanya menggantung ketiga-tiga individu tersebut,"kata Nik Nazmi.

"Sebenarnya mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 304 dan 304A Kanun Keseksaan iaitu homisid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh (culpable homicide not amounting to murder) dan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.

"Harus diingat permintaan untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Teoh Beng Hock juga memakan masa yang lama dan hanya selepas keputusan koroner yang tidak muktamad dan tekanan politik barulah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan penubuhannya,"tambahnya lagi.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia berkata, laporan Suruhanjaya Diraja dalam kes Teoh Beng Hock mendedahkan kepada awam bagaimana teknik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan prosedur siasatan sehingga menyebabkan Beng Hock tertekan lalu bertindak membunuh diri.

Rumusan yang dibuat Oleh Suruhanjaya Diraja itu sebulat suara memutuskan bahawa ketiga-tiga pegawai SPRM bertanggungjawab di atas kematian mendiang.

"Bagaimanakah pengumuman penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Transformasi SPRM dapat mengembalikan imej dan kewibawaan SPRM apabila jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri?

"Memandangkan isu ini isu serius yang sudah timbul berkali-kali, nyata sekali siasatan dalaman bukanlah penyelesaiannya. Seperti kata pepatah Inggeris, who will guard the guards? Jadi kalau SPRM yang buat salah, kalau panel itu dipengerusikan oleh ketua pesuruhanjaya SPRM. Sejauh mana kewibawaan siasatnya,"kata beliau lagi.

Minggu lalu, isteri kepada Allahyarham Sarbani, Maziah Manap membuat laporan polis menggesa pendedahan blogger terkenal, Raja Petra Raja Kamaruddin disiasat.

Dalam lapan entrinya, Raja Petra antara lain berkata, Penolong Penguasa SPRM, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbani ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur, Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.

“Di sana, Sarbaini telah ‘didera’ secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

“Mohd Fauzi juga mengatakan ‘orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain’, terkejut dengan itu Sarbani memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

“Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbani tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia,” dakwa beliau.

Dakwaan ini dikatakan dalam tulisannya ketika inkues masih berjalan. Inkues yang sedang berehat dua minggu akan disambung awal bulan depan.

Kematian Sarbani, Penolong Pengarah Pejabat Kastam Selangor telah mengejutkan banyak pihak.

Allahyarham ditemui meninggal dunia di Pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April yang lalu. -tvsnews



Tindakan SPR Diamkan Salahlaku UMNO/BN Dikecam

Politik Malaysia Belum Matang

SHAH ALAM 26 JULAI: Kematangan politik di negara ini masih pada tahap rendah sebagaimana yang dizahirkan dengan keengganan pemerintah bekerjasama dengan pembangkang untuk menuntut sistem pilihan raya yang telus dan adil, menurut Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga.

Ambiga berkata usaha Bersih untuk menggembeling suara pemerintah dan pembangkang dalam menzahirkan hasrat rakyat yang mahukan proses pilihanraya lebih baik tidak berjaya apabila Barisan Nasional enggan memberikan kerjasama.

Parti pemerintah dan aparatus kerajaan seterusnya menyelar Bersih sebagai pertubuhan haram dan alat pembangkang untuk menggulingkan BN menerusi demostrasi jalanan.

"Kita jemput semua parti politik dan kerajaan sedia (supaya) menjadi pemangkin (pembaharuan) tetapi hanya pembangkang tampil dan sokong, selain pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat Malaysia. Adakah ini kerana kita tidak cukup matang untuk berkerjasama dengan pembangkang untuk reformasi pilihan raya," ujar beliau.

Ambiga yang dijemput khas oleh Sinar Harian disamping Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berbincang mengenai halatuju sistem pilihan raya di negara ini.

Forum bertajuk "Apa Selepas 9 Julai" antara lain membincangkan secara terbuka isu lapan tuntutan Bersih 2.0 selain cadangan pelaksanaan biometrik oleh SPR.

Ambiga seterusnya mengecam SPR kerana enggan berunding dengan gabungan Bersih 2.0 atas alasan gabungan itu mendapat kerjasama pihak pembangkang.

"SPR tidak patut cakap tidak mahu bincang dengan Bersih sebab kerjasama dengan pembangkang. SPR sepatutnya melangkaui parti-parti politik," ujar beliau.

Sebelum itu Wan Ahmad yang dihujani pelbagai soalan daripada bersabit sikap pasif SPR menangani salah laku pilihan raya.

Beliau sering memberi jawapan bahawa kuasa SPR terbatas untuk meminda peruntukan undang-undang sedia ada mahupun mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang dikesan melakukan kesalahan.

Mengulas jawapan Timbalan Pengerusi SPR itu, Ambiga berkata badan itu mempunyai kuasa untuk menubuhkan pasukan penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan membuat laporan tentang mana-mana pihak yang didapati melanggar akta pilihan raya.

Ambiga merujuk kepada beberapa bukti salah laku yang dikesan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, namun tidak diambil tindakan oleh SPR.

"SPR sepatutnya ke hadapan untuk menasihati kerajaan. SPR perlu mengemukakan kepada orang awam tentang apa yang dicadangkan dan kita akan sokong cadangan itu," katanya.


BIOMETRIK: PAS Tetap Tolak

Cadangan SPR untuk menggunakan keadah biometrik bagi menyelesaikan isu pengundi hantu dan pengundi bertindih bukan penyelesaian yang sebenar.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, malah ia juga terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

"PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, begitu juga dengan pendaftaran pemilih secara automatik.

"Kita pelik bagaimana SPR boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam pengendalian biometrik ini, tetapi tidak boleh bekerjasama dalam mengendalikan pendaftaran pemilih secara automatik," ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menjelaskan, PAS mengambil keputusan menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini seperti yang diumumkan oleh SPR baru-baru ini.

Penolakan PAS terhadap sistem biometrik kerana diyakini sistem tersebut tidak berkemampuan menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan menghalang masalah yang berlaku dalam pilihanraya di negara kita sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan, sebaliknya PAS tetap bertegas untuk menggunakan dakwat kekal kerana hanya dengan cara itu yang dapat mengatasi masalah pengundian bertindih dalam pilihanraya di negara kita.

Menurutnya, keputusan menolak penggunaan sistem biometrik dibuat oleh PAS hasil perbincangan yang diadakan oleh para pemimpin PAS pada mesyuarat khasnya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Katanya, kewujudan pengundian bertindih atau pengundian dua kali tidak boleh dinafikan oleh SPR atau pihak kerajaan kerana ia telah dikesan oleh PAS dengan menggunakan sistem komputer.

"Antara hasilnya, di Selangor sahaja sehingga kini, PAS telah berjaya mengesan 500 orang pengundi bertindih. Pengesanan itu bukan hanya dibuat menerusi sample-samplenya, tetapi dengan orang-orangnya sekali," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, menurut beliau, pihak SPR sendiri turut mengakui kewujudan pengundian bertindih pada senarai pendaftaran badan itu dan jumlahnya pula amat besar serta menakutkan.

"Pengakuan SPR itu menjadi bukti bahawa kebimbangan kita tentang kewujudan pengundian bertindih itu selama ini memang berasas dan ia merupakan fenomena yang amat membimbangkan," katanya.

Bertolak dari realiti itulah, Bersih 2.0 membuat cadangan agar SPR menggunakan kaedah dakwat kekal untuk mengatasi pengundian dua kali baru-baru ini, tetapi SPR pula menolaknya dengan memperkenalkan sistem biometrik.

"Penggunaan sistem biometrik itu sebenarnya adalah cadangan Perdana Menteri dan telah diterima oleh SPR untuk dilaksanakan, tetapi kita tetap menolaknya dan mahu menggunakan dakwat kekal seperti yang telah dicadangkan oleh Bersih 2.0 baru-baru ini," tegas beliau. -hd



Permohonan ADUN UMNO Batalkan Arahan Kosongkan Premis Ditolak

Kosongkan premis: Permohonan ADUN Umno ditolak

Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim hari ini gagal dalam usahanya untuk membatalkan arahan kerajaan negeri supaya beliau mengosongkan premis Pusat Komuniti ADUN Penaga, iaitu kawasan yang diwakilinya.

Hakim Datuk Rohana Yusof menolak permohonan semakan kehakiman itu di dalam kamar untuk mencabar arahan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara.

Dalam permohonan yang difailkan Disember tahun lalu, Azhar menamakan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai responden.

Beliau memohon mahkamah mengisytiharkan arahan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara melalui surat bertarikh 8 Nov tahun lalu, yang mengarahkan beliau mengosongkan premis berkenaan pada atau sebelum 19 Nov lepas, adalah batal dan tidak sah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, peguam Jenine Gill yang mewakili kedua-dua responden berkata hakim memutuskan pemohon (Azhar) tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mencabar arahan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata Azhar pada masa ini tidak perlu mengosongkan pusat komuniti itu kerana mahkamah telah membenarkan permohonan peguam beliau, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos, untuk menggantung sementara keputusan itu sehingga permohonan sebenar didengar.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Azhar berkata pusat komuniti berkenaan yang mula beroperasi sekitar tahun 2006 semasa kerajaan negeri itu diperintah BN, dibina khas untuk pelbagai aktiviti melibatkan kepentingan dan kebajikan penduduk di Penaga.

Beliau berkata sejak tampuk pemerintahan kerajaan negeri dipegang DAP, operasi pusat komuniti itu berjalan seperti biasa sehingga 18 Nov lalu, iaitu setelah arahan penyerahan kunci dibuat Pegawai Daerah berkenaan.

ADUN Penaga itu berkata beliau menghantar surat kepada Pegawai Daerah berkenaan pada 16 Nov 2010 meminta arahan tersebut disemak semula, namun sehingga kini kedua-dua responden tidak memberi sebarang jawapan.

Katanya beliau belum menyerahkan kunci premis berkenaan kerana berharap Pegawai Daerah mempertimbangkan permohonannya untuk menyemak semula arahan itu.

Azhar juga mendakwa arahan itu bermotifkan politik semata-mata kerana beliau adalah ketua pembangkang DUN. - Bernama

DIAMLAH! Najib Ditempelak Di Langit (Alam Siber)

Diamlah, kata pengguna internet pada Najib

Warga internet melepaskan kekecewaan berhubung kenyataan dan beberapa tindakan kerajaan akhir-akhir ini dengan menulis komen "diam lah" di halaman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mereka memulakan sindiran itu selepas tengah malam semalam setelah Najib memuatkan pautan ke artikel dalam blog terbarunya yang menyentuh soal tanggungjawab pemimpin dan keamanan negara.

Malah, ada yang menampal perkataan sama dengan tulisan yang besar di dinding (wall) halaman Facebook itu.

Perkataan “diam lah” turut dicatatakan di ruangan komen untuk masukan (posting) yang ditulis.

Warga internet yang pro-kerajaan bagaimanapun cuba berhujah bagi menangani tindakan itu dengan hamburan kata-kata kemarahan kepada penyokong Pakatan Rakyat. Bagaimanapun, tindakan itu gagal menangani tenaga lawannya yang jumlah jauh lebih ramai.

Sehingga berita ini ditulis, masukan menggesa perdana menteri supaya diam belum reda. Masukan terakhir dengan tulisan dengan blok besar baru dimuatkan hanya kira-kira lima minit lalu. -mk


Najib berdepan dengan kenakalan warga internet

Demikianlah realitinya dalam alam internet, apabila ahli politik terpaksa berdepan dengan kerenah warganya yang pelbagai ragam. Setiap hari kewibawaan politikus dicabar dengan informasi dari hujung jari warga internet, satu situasi yang tidak pernah dialami pada zaman di mana media tradisional boleh dikawal menggunakan telunjuk kuasa.

Terbaru, apabila Perdana Menteri Najib Razak memperbarui catatan dalam blognya, disusuli dengan memaklumkannya melalui twitter, dan kemudian di status Facebooknya: Blog terbaru saya menyentuh tanggungjawab pemimpin dan keamanan negara. http://t.co/ho8neN7; seorang warga internet telah meninggalkan komen "Diam lar" di bawah status Facebook tersebut.

Komen warga internet ini dipadamkan oleh admin Facebook Najib Razak, dan tindakan ini telah mencungkil ketidakpuasan warga internet yang lain, yang seterusnya meninggalkan komen untuk mengecam dan mengkritik Najib.

Banyak komen yang ditulis dengan nada untuk menyindir, antaranya "DS, apa harga benar cincin diamond yang Rosmah pakai tu? Siapa bayar?", sementara ada pula yang menyokong pimpinan beliau, "Sudah terbukti kerajaan yg memerintah sekarang adalah kerajaan yg terbaik dan yang bersungguh untuk memberi kehidupan yg baik untuk rakyat.....bersyukurlah dengan kenikmatan dan keamanan yg kita kecapi".

Tidak cukup dengan itu, sebagai reaksi kepada "terpadamnya" komen "Diam lar" itu, satu page bernama "Diam lar!" telah diwujudkan, dan telah memiliki lebih 5,000 orang penyokong dalam masa kurang daripada 13 jam.

Sebelum ini, pelbagai page telah diwujudkan sebagai desakan agar pimpinan kerajaan meletak jawatan, lantaran pendekatan yang keras oleh kerajaan ketika menangani perhimpunan BERSIH 2.0. Sebagai reaksi kepada trend ini, Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob mendakwa dirinya mampu mengerah tiga juta orang warga internet untuk menyokong agar Najib Razak dikekalkan.

Satu page ditubuhkan, dengan nama "3,000,000 People Want Najib To Stay", namun hanya disokong 353 orang buat setakat ini (1.19 tengahari, 26 Julai 2011). -MR


Ulasan GB

Demikianlah.

Apabila rakyat semakin meluat, rakyat semakin bosan,
maka tak kira dimana pun, tk mengira apa risiko pun yang dihadapi
rakyat sudah tidak perduli.

DIAMLAH!
Nak kata apa lagi selepas ini Najib?
Rakyat suruh anda diam.
Mungkin diam itu lebih baik kerana semakin banyak anda bercakap, semakin ramai yang meluat dan membenci anda.... fikir-fikirkanlah!

Mohd Sabu Cop Salleh Rashid Sebagai Pembohong

Mohamad dakwa Salleh berbohong

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rashid didakwa berbohong berhubung kecederaan yang dialami Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada 9 Julai lalu.

Dalam kenyataannya, Salleh mendakwa Mohamad Sabu berbohong tentang dirinya yang dilanggar oleh pihak polis sehingga mengalami kecederaan lutut, pada hal Mohamad sebenarnya tidak berbohong.

Menurut Mohamad, beliau sememangnya dilanggar oleh pihak polis dan mengalami kecederaan pada bahagian lututnya sehingga menyebabkan beliau terpaksa menjalani pembedahan di hospital pakar di Petaling Jaya pada 17 Julai lalu.

Malah, katanya, Salleh sendiri tahu tentang dirinya yang dilanggar oleh pihak polis sehingga mengalami kecederaan dan tidak dapat berjalan apabila beliau terpaksa dipapah oleh pihak polis untuk dimasukkan ke dalam kenderaan polis, dipapah ketika dibawa ke lokap polis, dipapah ketika dibawa ke Balai Polis Jinjang.

"Saya sendiri juga telah membuat laporan polis tentang kejadian saya dilanggar oleh pihak polis itu di Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 14 Julai.

"Dalam laporan polis itu, saya mengatakan saya telah dilanggar oleh kereta Waja polis, bukan Pajero polis dan laporan saya itu boleh dirujuk sendiri oleh Salleh pada bila-bila masa," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Selain itu, menurut beliau, keadaan dirinya yang dilanggar oleh pihak polis dan mengalami kecederaan pada bahagia lutut juga boleh dirujuk oleh Salleh kepada pihak hospital pakar di Petaling Jaya.

"Saya memang benar-benar mengalamai kecederaan. Ligamen lutut saya koyak. Pihak hospital pakar di Petaling Jaya terpaksa melakukan pembedahan di bahagian lutut saya dan memasukkan skru 2 1/2 inci untuk menyambungkan ligamen dan bahagian tulang di bahagian lutut saya.

"Akibat kejadian itu, saya tak boleh berjalan dan terpaksa menjalani pembedahan, tetapi sekarang alhamdulillah, saya dah beransur sihat dan dah boleh berjalan sikit-sikit," tegasnya.

Kejadian menyedihkan yang dialaminya itu berpunca dari keganasan polis dalam menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur 9 Julai lalu.

Insiden-insiden keganasan polis itu termasuk terhadap dirinya dan para peserta lain telah diadukan kepada pihak Suhakam dan beliau bersetuju serta akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Suhakam untuk mengadakan sisatan awam berhubung perkara itu.

(gambar)Beliau amat kesal kerana Salleh yang dipengaruhi oleh para pemimpin Umno dan kerajaan BN sanggup mempermainkan soal keselamatan dan kesihatannya, pada hal kedua-dua perkara itu adalah perkara serius yang tidak sewajarnya dipermainkan.

"Tindakan Salleh dan para pemimpin Umno BN itu ternyata amat berbeza dengan sikap beliau dan para pemimpin PAS yang sentiasa berdoakan orang lain termasuk para pemimpin Umno BN sendiri agar segera sembuh apabila menghadapi sesuatu penyakit.

"Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad sakit jantung dulu dan terpaksa dirawat di IJN, kita doakan supaya Mahathir cepat sembuh. Ketika Datuk Seri Najib sakit campak baru-baru ini, kita doakan supaya Najib cepat sembuh, semasa Ketua Polis Negara masuk hospital dulu pun, kita doakan supaya Ketua Polis Negara cepat sembuh.

"Kini apabila saya sakit dan puncanya kerana dilanggar oleh pihak polis, saya dituduh berbohong pula, pada hal saya memang benar-benar sakit dan mengalami kecederaan sehingga tidak boleh berjalan," katanya.

Beliau turut kesal apabila PAS yang dahulunya hanya berlawan dengan Umno BN, tetapi kini dihadapkan pula dengan institusi awam untuk mempermainkan rekod keselamatan dan kesihatan seseorang.

"Kita berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak secara profesional dan jangan menjadi alat politik BN. Kita memang memerlukan pihak polis. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah nanti, kita akan minta pihak polis supaya sentiasa bertindak dengan profesional," ujarnya.

Sementara itu, dalam blognya, mohamadsabu.com, Mohamad menggesa Salleh merujuk kecederaan dirinya itu kepada laporan polis, bukan hearsay.

Katanya, salinan laporan polis yang dibuatnya mengenai kejadian pada 9 Julai yang sepatutnya dirujuk oleh Salleh, bukan merujuk kepada hearsay atau laporan akhbar.

Berikut adalah salinan laporan polis berkenaan: