5 Jul 2011

Tragedi Menyayat Hati: Kembar Seiras Rentung Berpelukan Dalam Kebakaran

Kuala Terengganu: Pasangan kembar perempuan berusia tiga tahun ditemui rentung dalam keadaan berpelukan setelah rumah mereka di Kampung Durian Mas, Manir di sini musnah dalam satu kebakaran pagi Selasa.

Gambar: Hamid Mustafa menenangkan isterinya, Suriani Sulong selepas rumah mereka terbakar dan turut mengorbankan dua anak kembar mereka di Kampung Durian Mas, Manir di sini, hari ini.

Nor Fatin Fazanah Hamid dan Nor Fatin Fazana ditemui mati dalam timbunan kain di bilik mereka oleh pasukan bomba sejurus selepas berjaya memadamkan kebakaran yang bermula kira-kira 9.18 pagi itu.

Menurut bapa kembar itu, Hamid Mustafa, 44, ketika kejadian dia sedang tidur di ruang tamu dan hanya menyedari tentang kebakaran tersebut setelah dikejutkan oleh sepupunya Wan Norizan Wan Ismail, 40, yang duduk berjiran dengannya.

"Saya hanya menyedari kejadian setelah sepupu menjerit rumah saya terbakar dan saya cuba mencari dengan memanggil kedua anak tetapi gagal," katanya dengan penuh sugul ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Hamid yang menghidap penyakit epilepsi tidak menyangka kerenah kembarnya yang merupakan anak kelima dan keenam itu meminta dihantar ke klinik setelah demam dua hari merupakan petanda mereka akan pergi untuk selama-lamanya.

"Sebelum tidur, anak ada menyuruh hantar ke klinik sebab demam dan ada mereka memberitahu nak ke klinik dan tidak mahu balik lagi," katanya.

Ibu kanak-kanak itu, Suriani Sulong, 40, yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah pula berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.

Gambar: Seorang anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa tempat kebakaran yang meragut pasangan kembar di sebuah rumah di Kampung Durian Mas, Manir di sini, hari ini.

"Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan kira-kira 9.30 pagi yang menyatakan rumah saya terbakar," katanya dengan sayu dan kelihatan masih kebingungan dengan kejadian malang itu.

Menurutnya, pasangan kembar itu sempat memintanya mencium mereka sebelum dia keluar bekerja kira-kira 7.30 pagi.

Pasangan suami isteri itu mempunyai enam anak terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan yang berumur antara tiga dan 18 tahun, bagaimanapun kerana kesempitan hidup, dua daripada anaknya yang berumur 11 dan 17 tahun tinggal dengan saudaranya di Kemaman.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Salleh Sarbini berkata bomba tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit selepas menerima panggilan 9.20 pagi dan apabila tiba di tempat kejadian hampir 95 peratus rumah itu telah terbakar.

Katanya tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bersama 20 anggota dan pegawai mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran rumah itu yang dibina di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Kita masih menyiasat punca kebakaran ini dan nilai kerugian dianggarkan RM50,000," katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said turut melawat keluarga mangsa dan berjanji memberikan bantuan segera kepada keluarga malang itu. -BERNAMA

Ramai Lega BERSIH Diteruskan Walaupun Di Stadium

Jika perarakan tidak boleh, acara lain mesti ada’

PETALING JAYA: PAS tetap mahu aktiviti menuntut pilihan raya yang bersih dan adil diteruskan kerana ia kehendak rakyat.

Pemuda PAS Johor umpamanya menegaskan sekalipun Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya perhimpunan Bersih dibatalkan, satu acara dalam bentuk lain perlu diadakan.

Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat berkata, jika Bersih memberhentikan terus aktiviti rakyat akan kecewa.


“Ini kehendak rakyat. Rakyat mahu event (acara), walaupun yang berbeza sedikit dari perhimpunan tetapi bagi saya yang paling baik ialah perarakan.

“Tetapi kalau perarakan tidak boleh, event dalam stadium pun tidak mengapa. Yang penting ada event,” katanya.

Suhaizan berkata, Bersih boleh mencontohi program seperti gerakan memansuhkan judi Piala Dunia 2010 anjuran PAS pada tahun lalu.

Katanya, PAS membuat perhimpunan di perkarangan Masjid Negara menjelang kejohanan tersebut dan akhirnya kerajaan membatalkan pengeluaran lesen judi Piala Dunia.

`Buat di rumah sahaja’

Bagaimanapun, PAS Melaka tidak setuju jika perhimpunan tuntutan pilihan bersih dan adil hanya dibuat di dalam stadium

“Kalau buat di dalam stadium baik tidak payah buat, lebih baik buat di rumah sahaja,” katanya.

Menurutnya, tindakan kerajaan mahu perhimpunan itu diadakan di dalam stadium bertujuan untuk membekukan jiwa rakyat.

Timbalan Setiausaha Agung PAS, Syed Azman Ahmad Nawawi yang dihubungi berkata, mesyuarat Pakatan Rakyat esok akan menentukan tindakan lanjut.

“Biar Pakatan Rakyat membuat keputusan esok,” katanya ketika dihubung hari ini.
Bersih akan mengadakan mesyuarat esok untuk menentukan sama ada perhimpunan besar-besaran Sabtu ini diadakan atau tidak.

Ini berikutan titah Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bahawa perhimpunan seumpama itu memberi lebih banyak keburukan dari kebaikan.
Semalam, Perdana Menteri membenarkan Bersih menggunakan stadium untuk mengadakan perhimpunan. -FMT


PAS Sokong Apa Saja Keputusan Penganjur BERSIH 2.0 - Mohamad Sabu

Penganjur himpunan BERSIH 2.0 diberikan mandat untuk menilai tawaran Perdana Menteri Najib Razak agar himpunan rakyat itu diadakan didalam stadium, Sabtu ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata apa sahaja keputusan penganjur Gabungan Pilihan raya Bersih & Adil (BERSIH) bersabit tawaran itu akan dituruti, malah PAS tetap akan memberi sokongan di mana sahaja perhimpunan itu diadakan.

"Itu terserah kepada jawatankuasa Bersih untuk menentukan saranan Perdana Menteri itu."

Najib semalam dilaporkan membuat tawaran tersebut tatkala Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengeluarkan titah agar himpunan aman itu harus dipertimbangkan semula agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Baginda juga bertitah agar kabinet Najib melaksanakan tugas yang diamanahkan rakyat dengan baik dan adil disamping mengelakkan kerajaan daripada terus dimusuhi rakyat negara ini.

Titah baginda disambut baik Mohamad Sabu. Beliau berkata kematangan berhujah baginda yang menegur kedua- dua belah pihak meredakan kemarahan rakyat terhadap jentera kerajaan pemerintah.

Mohamad Sabu juga berkata, melalui pemahamannya, titah Baginda Sultan lebih menjurus kepada golongan yang mahu menimbulkan kekacauan semasa perhimpunan itu berlangsung, seperti Perkasa dan Pemuda UMNO yang diwakili oleh Patriot.

Beliau turut mengulas mengenai keputusan PAS yang berhasrat mahu menghadap YDPA bagi memanjangkan aduan mengenai kezaliman polis terhadap beberapa tangkapan yang dilakukan berikutan menyokong perhimpunan ini.

"PAS akan menghadap Yang Dipertuan Agong, terutamanya untuk membuat aduan tentang kekejaman polis yang bekerja tidak mengikut undang-undang," katanya.

Untuk rekod, sejak majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu, lebih daripada 150 orang yang dikaitkan dengan Himpunan BERSIH 2.0 telah ditahan antaranya Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jayakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969. -tvsnews




Ulasan GB

Ramai lega dengan pengumuman Pengerusi BERSIH petang tadi bahawa perhimpunan BERSIH tetap diadakan, tetapi kali ini di stadium.

Tiada siapa kacau lagi selepas ini.

tidak perlu ada katak,
tidak perlu ada FRU
tidak ada apa-apa yang rosak
tidak ada sesiapa yang boleh ganggu

Tambahan: Dengan sendirinya baju BERSIH sudah boleh dijual dan dipakai jika perhimpunan itu diadakan di stadium.

Jika sebelum ramai yang takut kerugian baju BERSIH tak laku, kini peniaga-peiaga boleh tersenyum, boleh cetak lagi untuk dijual kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dan kepada polis yang telah merampas baju-baju BERSIH sebelum ini, sila kembalikan SEGERA kerana rampasan itu sudah tidak sah.

Klik dan baca artikel sebelum ini:



Ibrahim Ali Terkujat, Ambiga Diperkenankan Menghadap Agong

Ibrahim Ali pertikai BERSIH 2.0 jumpa Agong

Datuk S Ambiga tidak harus dibenarkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung perhimpunan yang hendak dianjurkannya memandangkan pertubuhan yang diketuainya adalah tidak sah, kata Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Presidennya Datuk Ibrahim Ali memberitahu Bernama hari ini bahawa Ambiga sepatutnya patuh kepada titah Seri Paduka Baginda supaya membatalkan perhimpunan yang dicadangkan itu tanpa perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Katanya tujuan Ambiga mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong kononnya bagi mendapat titah supaya beliau membatalkan perhimpunan haram itu semata-mata untuk mengabui mata rakyat kerana selepas itu, kumpulan berkenaan akan mendakwa ia berjaya dalam "perjuangannya".

"Kenapa perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong? Kumpulan ini tidak sah. Juga (jika dibenarkan menghadap) ia akan menjadi ikutan kurang baik serta mempersendakan institusi diraja," kata Ibrahim.

Dalam satu titah khas pada Ahad lalu, Tuanku Mizan meminta semua pihak membatalkan hasrat masing-masing menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.

PERKASA dan satu lagi kumpulan dikenali PATRIOT, yang bercadang mengadakan perhimpunan bagi menghalang perhimpunan oleh kumpulan diketuai Ambiga itu, mengumumkan keputusan masing-masing untuk patuh kepada titah Seri Paduka Baginda.

Ulasan GB

Besar sangatkah kuasa Ibrahim Ali yang nak menghalang orang lain bertemu Agong?

Ambiga sudah pun menghadap ke bawah Duli Yang Dipertuan Agong dan telah pun mendengar nasihat Agong supaya perhimpunan BERSIH di adakan di stadium.

Diantara salah sebab himpunan di jalanraya dibatalkan adalah kerana provokasi melampau PERKASA sebelum ini dan ia di dalam pengetahuan Agong.

Maka sebab itu Agong menasihatkan BERSIH untuk stadium.

Kini PERKASA boleh menghisap jari... melompat sana-sini untuk mewujudkan provokasi sesama sendiri denghan UMNO.

Sehari dua ini, kita harap kita tidak menerima berita ada Ahli Parlimen yang bakal masuk ICU semula kerana kali ini, jantungnya lemah kerana gagal menjalankan misi busuknya untuk timbulkan huru-hara dan kekacauan di perhimpunan BERSIH.



Waran Tangkap Pembantu Taska Di Dungun

Dungun - Seorang pembantu taska menghadapi satu waran tangkap kerana kegagalannya hadir pada perbicaraan membabitkan dakwaan kes jenayah syariah yang dikenakan ke atasnya dan pasangannya di Mahkamah Rendah Syariah, pagi semalam.

Tertuduh, Norfazilah Che Mat Zin, 19, beralamat di Kampung Sura Tengah gagal hadir perbicaraan tanpa sebarang makluman kepada pihak mahkamah selepas dia bersama pasangannya, Wan Mohd Amirul Shafiq Wan Ibrahim, 20, didakwa mengikut Seksyen 29(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 kerana kesalahan perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan.

Mengikut fakta kes yang dibentangkan pihak pendakwa raya, ketika serbuan dilakukan pihak penguat kuasa syariah kira-kira jam 10.55 malam di rumah sebuah rumah di sini, pintu rumah dibuka oleh seorang lelaki yang hanya memakai tuala manakala pemeriksaan lanjut mendapati tertuduh berada dalam bilik di atas tingkat rumah dalam keadaan badan hanya tertutup dengan ‘toto’.

Pasangan terbabit dalam keterangannya juga mengakui terlanjur sebelum serbuan itu dilakukan dan beberapa barang milik tertuduh dirampas sebagai bahan bukti.


Pasangan lelaki yang hadir menghadapi dakwaan terbabit bagaimanapun mengaku bersalah sebelum Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Dalam kes berasingan pula, seorang pekerja spa di sebuah resort terkemuka didenda RM2,000 atau satu bulan penjara oleh mahkamah selepas dia didapati bersalah berkhalwat bersama pasangannya.

Normala Aziz, 27, berstatus janda ditahan penguat kuasa agama ketika berada bersama seorang lelaki yang bukan muhrimnya, Mohd Faizal Abu Bakar, 30, di sebuah rumah di Taman Rakyat Jaya, kira-kira jam 8.40 pagi 5 November 2010 lalu.

Mohd Faizal yang beralamat di Sungai Buaya dan Normala dari Kampung Binjai yang hadir tanpa diwakili peguam itu menjelaskan denda. -SH

Pemuda PAS Kesan 10,000 Pengundi Hantu Di Selangor

Pemuda PAS dakwa 10, 000 pengundi hantu di Selangor

Timbalan Ketua Pemudanya, Mohd Sany Hamzah berkata semakan daftar pemilih yang dilakukan mendapati individu terlibat tidak mengetahui kad pengenalan mereka di daftar di kawasan lain untuk tujuan pengundian.

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Selangor mendakwa mengesan 10,000 pengundi hantu di negeri itu bagi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Ketua Pemudanya, Mohd Sany Hamzah berkata semakan daftar pemilih yang dilakukan mendapati individu terlibat tidak mengetahui kad pengenalan mereka di daftar di kawasan lain untuk tujuan pengundian.

“Melalui semakan oleh para petugas kami mendapati 10,000 nama pengundi yang didaftar secara tidak sah dan mengundi secara dua kali dalam pilihan raya umum akan datang.

“Tuan rumah tidak mengetahui kad pengenalan mahupun nama mereka digunakan. Mereka tidak tahu kewujudan para pengundi yang tidak berdaftar ini.

“Dengan angka sebanyak itu kita bimbang pengundi-pengundi hantu ini di hantar ke DUN atau parlimen di kawasan Pakatan Rakyat untuk memenangkan BN,” katanya.

Sokong Bersih

Berikutan itu, Mohd Sany menyokong Bersih 2.0 tuntutan Bersih untuk membersihkan daftar pemilih dan mengadakan pilihan raya yang adil.

Sementara itu, peguam DPPN, Zainal Said mendakwa SPR mahupun PDRM melanggar undang-undang apabila membiarkan pemalsuan daftar pemilih ini.

Beliau mendakwa akibat kegagalan siasatan ke atas pemalsuan daftar pemilih itu, kerajaan boleh diambil tindakan undang-undang.

“Saman boleh dikenakan ke atas kerajaan dan jabatan-jabatan tertentu yang didapati tidak menjalankan tanggungjawab menyiasat pemalsuan dan penyelewengan daftar pemilih itu,” katanya. -FMT

BERSIH Di Stadium. Polis Perlu Pulangkan Semua Baju & Lepaskan Semua Tahanan [updated]

Setelah mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong hari ini, BERSIH 2.0 bersedia mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium.

Bagaimanapun setakat ini belum ditentukan stadium mana yang akan digunakan tetapi tarikh pada 9 Julai ini tidak berubah.

Jawatankuasa itu yang terdiri daripada pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, petang tadi.

Menurut Ambiga, pada sidang media selepas pertemuan itu, pihak jawatankuasa BERSIH 2.0 berjanji memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Ditanya wartawan sama ada tindakan itu satu bentuk tolak ansur, Ambiga menjawap 'Ya".

Sebelum ini, sumber yang rapat dengan pihak penganjur, memberitahu Malaysiakini tidak ada ahli politik yang menyertai pertemuan berkenaan.

Sejak jam 1.30 petang, ketiga-tiga pemimpin itu menunggu di pondok pengawal menanti untuk masuk sebelum dibenarkan berbuat demikian pada jam 1.55 petang tadi.

Kira-kira 15 anggota polis bertugas mengawal keselamatan di pintu masuk Istana negara.

Ahad lalu, Seri Paduka bertitah dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, mereka diminta supaya tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.

Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Titah Seri Paduka, baginda selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Sehubungan dengan titah itu, Ambiga berkata gabungan BERSIH 2.0 yang terdiri daripada lebih 60 NGO, akan menghantar permohonan untuk mengadap Seri Paduka. -mk


Bersih Beralih Ke Stadium, Penganjur Ikut Nasihat Tuanku Mizan

KUALA LUMPUR 5 JULAI : BERSIH 2.0 kini akan diadakan di sebuah stadium atas sebab- sebab keselamatan, selaras dengan nasihat Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenaan menemui penganjur perhimpunan aman itu di Istana Negara petang tadi.

Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenavasan berkata pihaknya akan berkerjasama dengan kerajaan untuk memilih stadium yang sesuai bagi mengadakan perhimpunan itu yang dijangka membabitkan lebih 100 ribu peserta.

Turut hadir bersama Ambiga menghadap Tuanku Mizan adalah Sastarawan Negara A.Samad Said dan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin selaku ahli jawatankuasa penganjur Bersih 2.0.

Ambiga meminta semua pihak khususnya mereka yang menyokong perhimpunan Bersih 2.0 untuk memberi kerjasama dengan perkembangan terbaru ini kerana “ia adalah langkah yang terbaik buat masa sekarang.”

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini mengecam hebat hasrat Bersih 2.0 untuk berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum kepada Istana Negara bagi menuntut pilihanraya umum adil dan telus.

Perhimpunan itu disokong oleh parti- parti pembangkang namun ditolak oleh Barisan Nasional yang mendakwa tidak ada sebarang isu mengenai kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

BN menyifatkan perhimpunan itu sebagai demostrasi jalanan yang ingin digunakan oleh pembangkang untuk mengguling pemerintah. Tuduhan itu dinafi dengan keras oleh Pakatan Rakyat dan penganjur Bersih 2.0.

Susulan kecaman BN, polis menahan lebih 200 orang, kebanyakkannya hanya kerana memakai baju berlogo Bersih 2.0.

Sementara enam yang lain ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.

Polis juga mendakwa pihak tertentu mahu menggunakan perhimpunan itu untuk kononnya menghidupkan semula fahaman Komunis.

Masjid- masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula diwajib menyampaikan Khutbah Jumaat yang melabelkan penganjur Bersih 2.0 sebagai pelampau yang sanggup mencederakan anggota pasukan keselamatan.

Keadaan yang tegang itu akhirnya reda dengan campurtangan Yang diPertuan Agong yang menggesa penganjur Bersih untuk mengadakan dialog dengan kerajaan dan membatalkan perarakan itu, sungguhpun niatnya baik.

Ambiga memberitahu pemberita hari ini, pihaknya akur keperluan untuk mengadakan perhimpunan itu disebuah stadium dengan mengambil kira aspek- aspek keselamatan.

Butiran baru penganjuran majlis itu akan diumumkan malam ini. -tvsnews




Ulasan GB

Akhirnya cadangan GB yang GB kemukakan semalam menjadi kenyataan sekalipun belum diketahui stadium mana yang akan dipilih. Di dalam ulasan GB semalam, GB menyatakan:

Oleh kerana sudah ada titah Agong mengenai perhimpunan BERSIH 2.0 ini, maka GB berpendapat bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 tidaklah wajar dibatalkan lantarannya, tetapi diteruskan dengan diubah perancangannya supaya diadakan di Dewan/ Stadium.

Ia adalah bagi mempastikan tuntutan BERSIH 2.0 tetap berjalan, dalam masa yang sama menghormati dan menjunjung tinggi titah Yang Dipertuan Agong.

Ia juga untuk mengelakkan provokasi yang telah dirancang oleh UMNO dan PERKASA.

Dan kita akan buktikan jumlah yang hadir benar-benar boleh mencecah 1 juta orang, bukan macam Himpunan Belia Najib yang 5,000 dikatanya 1 juta.

Dan jika kita berhimpun di stadium, dengan sendirinya tiada lagi tangkapan gila, sekatan dan penahanan yang disebabkan baju BERSIH.

Kita tidak berundur, tetapi kita ingin menutup pintu fitnah menyatakan kita hendak tumbangkan kerajaan melalui jalanraya bukan pilihanraya.


Kini, pihak Polis perlu kembalikan semua baju-baju yang dirampas dan lepaskan semua orang-orang yang ditahan. Tiada perhimpunan di jalanraya hanya di stadium, dan Perdana Menteri dan Agong sendiri mengizinkan perhimpunan Bersih di stadium. Jadi polis tidak perlu sibuk-sibuk untuk menahan dan menangkap orang pakai baju BERSIH dan menahan kenderaan yang akan menuju ke stadium.

Tidak perlu ada provokasi lagi samada oleh Patriot, PERKASA, PESAKA atau dari polis sendiri.

Tidak perlu kata ada unsur kominis, ada molotov coctail, ada parang, ada kepala bapak bom dan seumpamanya lagi. Jangan ada katak-katak kuang dan katak-katak puru juga terlompat-lompat untuk ikut BERSIH ke stadium.

Pakatan Rakyat kini berhak untuk berhimpun seberapa ramai yang kami mahu. Agong telah memperkenan dan merestuinya. Jangan ada yang derhaka.

Kita kuningkan (BERSIHkan) seluruh negara hari Sabtu ini nanti.

Kita himpun sebarapa ramai yang boleh di stadium nanti. Kita meminta pihak J/K Bersih mengadap semula Yang Dipertuan Agong agar memohon Agong mencemar dulinya bertemu rakyat di stadium itu nanti.

Bongkar: "Pengundi Klon" Trend Baru Dalam Daftar Pemilih Ganti "Pengundi Hantu"

Kuantan – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) didakwa gagal mengesan berlakunya penipuan dalam daftar pemilih sehingga mewujudkan fenomena seorang individu yang mempunyai dua identiti berbeza.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, trend pengundi hantu menjelang pilihan raya kini dilihat sudah berubah apabila muncul trend baru yang juga dikenal pasti sebagai pengundi klon.

Beliau juga mendakwa dalam semakannya di laman web SPR berjaya mengesan perkara itu.

“Semakan hampir satu jam yang dibuat semalam berjaya menemukan lebih 60 data mewakili seorang pengundi yang mempunyai dua identiti berbeza, berdaftar dalam daftar pemilih SPR.

“Saya yakin, jika terus melakukan semakan, masih banyak lagi pengundi klon yang berjaya dikesan.

"Justeru, saya mengambil keputusan untuk tampil menunjukkan bukti terdapat penipuan dalam daftar pemilih,”
katanya ketika ditemui semalam.

Azan yang juga Pengerusi PKR Terengganu berkata, taktik ini merupakan satu perkara baru yang diketahui serta SPR kini terpaksa berdepan dengan isu yang lebih mencabar.

“Dari segi kelayakan, mereka memang layak untuk mengundi kerana mempunyai butiran diri lengkap yang telah didaftarkan.

“Saya tidak terkejut mengapa perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) masih diteruskan biarpun mendapat tentangan daripada parti pemerintah. Bersih dijalankan bukan untuk tuntutan politik, sebaliknya untuk mencari kebenaran,” katanya.

Beliau mahu SPR tampil membuat pengakuan bahawa wujudnya penipuan dalam daftar pemilih serta mahu pihak berkenaan membersihkan data-data pengundi klon bagi memastikan pilihan raya akan datang berjalan secara adil.

“SPR perlu melakukan sesuatu kerana saya bimbang jika perkara ini tiada penyelesaian segera, ia akan mengelirukan rakyat dan pengundi. Hanya SPR sahaja yang mempunyai hak untuk membersihkan pendaftaran pengundi klon.

“Sekiranya pihak SPR mengesahkan perkara tersebut dengan segera dan mendedahkan kepada masyarakat, ia adalah peluang keemasan untuk redakan ketegangan berikutan perhimpunan Bersih yang semakin hebat diperkatakan.

“Jika tidak, saya yakin pasti ada pihak yang akan terus mempertikai perhimpunan Bersih,” katanya. -SH

Usaha Kotorkan BERSIH: "Ada Bom Dan Parang Dengan Baju Bersih Ditemui", Kata Polis

Polis kesan pihak cuba cetus huru-hara ketika perhimpunan haram 9 Julai

KUALA LUMPUR: Polis menemui empat bahan letupan molotov coktail yang diletakkan dalam plastik hitam di Jalan Raja Laut, awal pagi semalam, dipercayai akan digunakan ketika perhimpunan haram BERSIH berlangsung Sabtu ini.

Bahan letupan itu ditemui bersama beberapa senjata tajam seperti pisau dan parang serta 15 mercun bola dan T-shirt tertera perkataan BERSIH yang dibungkus dalam plastik hitam dan diletakkan dalam pasu bunga di belakang pusat beli-belah Sogo, di sini.

Hasil siasatan awal polis berdasarkan maklumat saksi mendapati bahan letupan berkenaan diletakkan tiga suspek lelaki menaiki sebuah kereta Proton Waja yang didaftarkan di Negeri Sembilan.

Suspek dilapor dalam keadaan mencurigakan selepas dilihat keluar dari kereta dengan memakai penutup muka dan sarung tangan sambil memerhatikan keadaan sekeliling, ketika menyembunyikan bahan letupan itu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata polis tidak menolak kemungkinan bahan letupan itu akan digunakan ketika perhimpunan haram, tetapi siasatan lanjut sedang dilakukan secara terperinci.

“Polis kini mengesan suspek berkenaan bagi mengetahui sama ada wujud bahan letupan turut diletakkan di beberapa lokasi lain yang kita percaya akan digunakan pada hari perhimpunan haram itu Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Beliau berkata, orang ramai diminta tidak panik menghadapi situasi berkenaan kerana polis sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk cubaan beberapa pihak mengganggu-gugat ketenteraman awam di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, polis berusaha mengesan suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan dan Kakisan.

Difahamkan, ini adalah penemuan pertama polis ke atas bahan letupan berbahaya yang dipercayai akan digunakan ketika perhimpunan haram itu.

Sementara itu, sebuah kumpulan anti-BERSIH membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh dan diancam akan diserang dengan kumpulan bersenjata jika kumpulan berkenaan cuba menghalang perhimpunan BERSIH.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata kumpulan anti-BERSIH itu menerima SMS berbunyi ‘Lu Melayu Mau Mati ka, masa 13 Mei kami belum sedia, tapi 9 Julai sapa yang mati.. jadi jangan cuba mengganggu Perhimpunan BERSIH, kami yang akan bersenjata tidak akan teragak-agak menyerang anda seperti 13 Mei 1969.’

Sementara itu, Polis Selangor menemui satu beg berisi molotov coktail, dua plastik hitam mengandungi puluhan baju kuning BERSIH dan dua beg berisi parang serta bebola besi di Batu 12, Jalan Lama Gombak di tepi jalan kawasan hutan petang semalam.

Penemuan itu berdasarkan maklumat beberapa Orang Asli yang terlihat barang berkenaan ketika sedang mencari rotan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut kes itu. -BH Gambar dari China Press.

P/s: BERSIH disabotaj? Tuduhan yang dilemparkan ini sangat-sangat berniat jahat. Penggunaan kata "dipercayai" dalam kenyataan polis itu memberikan implikasi kepada nama baik BERSIH. Apa justifikasi polis mengaitkan penemuan senjata dan bahan letupan itu dengan BERSIH? Hanya kerana ada baju BERSIH bersama-sama senjata atau bom itu? Siapalah bangang mahu letak bahan letupan dan senjata sekali dengan baju BERSIH? Siapalah yang bangang bunuh orang kemudian letak ICnya di tepi mayat?? Penemuan itu boleh jadi angkara orang yang mahu mensabotaj BERSIH! Boleh juga angkara... -PASPB

Bukti SPR Tidak Bersih: 125 Bantahan Kota Raja Diakui Sah

Siasatan Awam SPR : Parlimen Kota Raja Menang Besar

Kesemua 125 bantahan yang dikemukakan oleh YB Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja diterima oleh SPR semlam yang merupakan hari terakhir bagi siasatan awam SPR untuk suku tahun pertama tahun 2011.

Seramai 15 orang pembantah telah hadir termasuk YB Dr Siti Mariah yang menjadi pembantah terakhir dan menang 100% dari bantahan yang dibuat oleh beliau.

Blog Parlimen Kota Raja melaporkan dari jumlah 140 bantahan yang dibuat, sejumlah 125 kes kita menang dan hanya 15 kes sahaja ditolak iaitu 3 dari DUN Sri Muda dan 12 dari DUN Sri Andalas.

PAS Kawasan Kota Raja mengucapkan tahniah kepada Tn Hj Hakim Kari yang juga Pengarah JPrD Sri Muda yang mengetuai operasi bantahan ini dan telah berjaya membuktikan kepada SPR bahawa OKB memang bukan pemastautin di Daerah Mengundi yang di daftarkan.

Turut hadir memberi sokongan moral pagi tadi ialah ADUN Sri Muda YB Shuhaimi Shafiee.

Berdasarkan pengalaman ini, kepada semua PAS Kawasan sila bersedia dengan RDPT suku tahun 2/2011 yang dijangka akan dikeluar pada minggu ketiga bulan ini (takut-takut dimasukkan balik atau dipindahkan pula ketempat lain dan sebagainya)

Inilah bantuan PAS Kota Raja dan Selangor kepada SPR supaya pilihanraya menjadi BERSIH. Kita WAJIB meneruskan usaha ini walau pun dipandang sinis oleh SPR.

Astora Jabat Tewas Dalam Pilihanraya Di Thailand

Astora Jabat sudah jangka kalah

KOTA BHARU - Bekas wartawan Utusan Malaysia, Asae Toramae atau lebih dikenali sebagai Astora Jabat kalah dalam pilihan raya umum Thailand yang menyaksikan Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva tumbang.

Beliau sudah menjangkakan kekalahan tersebut kerana pencalonannya bagi kawasan Parlimen Ruso/Jabat iaitu kawasan majoriti Melayu-Islam dalam Wilayah Narathiwat di selatan Thailand hanyalah satu permulaan baginya menceburi dunia politik.

"Saya sudah jangka akan kalah kerana menjadi orang terakhir mendaftar sehari sebelum tamat pencalonan.

"Tetapi saya tidak anggap kalah kerana saya seorang yang tidak akan mengalah dalam perjuangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau yang mewakili Parti Harapan Baru (NAP) pimpinan bekas Perdana Menteri, Jeneral Chawalit Yongchaiyud, tewas dalam pertembungan tujuh penjuru.

Astora menjelaskan, banyak faktor menyebabkan kekalahan antaranya kerana beliau tidak dapat berkempen lebih lama.

Beliau yang berasal dari Ruso masih belum cukup dikenali masyarakat tempatan.

"Masyarakat belum cukup mengenali saya kerana selama 35 tahun saya berada di luar negara seperti Mesir, Maghribi dan Malaysia.

"Saya anggap ini pengalaman baharu yang bagus dan ia percubaan saya untuk mengenali dunia politik di sini,'' katanya. -kosmo

Mayat Nurrahayu Ditemui Dikerat Dan Dibakar Di Tanah Perkuburan Hindu

Johor Bharu: Misteri kehilangan pelajar tingkatan empat, Nurrahayu Qomarodin Bajuri, 16, terjawab apabila polis menemui beberapa anggota badannya yang dikerat dan dibakar di dua lokasi termasuk di tanah perkuburan Hindu di Masai dan di ladang sawit di Sungai Tiram, Ulu Tiram, kira-kira 5 petang kelmarin.

Polis turut menemui serpihan tulang selain pakaian milik remaja perempuan itu yang hilang dari tapak pembinaan berhampiran tempat kerja bapanya di pekan Seri Alam di Masai, selepas dihantar pulang teman lelakinya jam 2 pagi pada 14 Jun lalu.

Ibu angkat Nurrahayu atau dikenali sebagai Ayu, Juliana Jumail, 35, berkata, dia tidak sangka anak kesayangan keluarganya itu ditimpa nasib malang apabila ditemui dalam keadaan menyayat hati, petang kelmarin.

“Ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk membuat pengecaman mayat selepas dihubungi polis, kami bukan saja bimbang, malah sebak mengenangkan nasib Ayu.

“Saya yakin mayat yang ditemui itu milik Ayu berdasarkan keadaan fizikalnya selain penyepit rambut bercorak bunga yang gemar dipakainya dijumpai di tempat kejadian,” katanya.

Juliana berkata, dia tidak sangka jenazah yang terbaring kaku di depan matanya adalah Ayu di mana pengecaman itu dilakukan berdasarkan keadaan fizikal gadis bertubuh kecil dan gemar memakai penyepit rambut.

Gambar: UJI...bapa Ayu, Qomarodin Bajuri (berkopiah) hadir di HSA untuk ujian DNA.

Malah, menurutnya, keluarga kandung Ayu juga diminta ke hospital untuk membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan penemuan mayat itu.

“Sebelum kejadian, Ayu yang tinggal bersama saya di Taman Universiti di Skudai, berkelakuan pelik apabila menggosok baju sekolah dan mencuci kasut seolah-olah beria-ia hendak ke sekolah.

“Saya berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertindak kejam membunuh Ayu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat dipercayai dibunuh dengan kesan kerat di badan dan dibakar di dua lokasi berbeza iaitu di Tanah Perkuburan Hindu Masai serta di ladang sawit berhampiran Sungai Tiram, Ulu Tiram.

“Polis menjumpai serpihan tulang terbakar dan beberapa bukti termasuk baju, seluar, selipar dan penyepit rambut jam 5 petang kelmarin.

“Hasil ujian DNA mendapati ia sepadan dengan mangsa.

“Berikutan itu, polis menahan reman suspek utama iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun selama tujuh hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya yang enggan mengulas sama ada gadis itu mangsa rogol.

Pada 2 Julai lalu, akhbar ini melaporkan kehilangan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun hilang di satu tapak pembinaan di pekan Seri Alam, 14 Jun lalu, selepas dihantar pulang oleh teman lelakinya. Nurrahayu pada mulanya menjerit meminta teman lelakinya mengambilnya semula tetapi tidak dihiraukan lelaki terbabit.

Ketika mendedahkan perkara itu, kakak mangsa, Wayaaliasanti, 19, berkata teman lelaki adiknya itu tidak mengendahkan rayuan Ayu supaya mengambilnya semula selepas meninggalkannya berhampiran tapak pembinaan.

“Teman lelaki adik menurunkannya di depan pondok pengawal keselamatan tapak pembinaan terbabit,” katanya. -HM

Mengapa Unit Forensik Selalunya Akan Memberi Keterangan Berpihak Kepada SPRM Sahaja?

Ahmad 'cuba keluar bangunan melalui tingkap'

DSP Sharul Othman Mansor yang bertugas di Makmal Forensik Bukit Aman memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa beliau berpendapat penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed terjatuh dari tingkap di Bilik Pantri di Aras 3, bangunan SPRM itu ketika dia ingin keluar dari pejabat berkenaan melalui tingkap itu.

"Saya percaya si mati (Ahmad Sarbani) cuba melompat ke bumbung di bangunan SPRM yang berhampiran dengan tingkap tersebut tetapi tidak sampai dan terjatuh di gelanggang badminton di aras satu bangunan itu," katanya ketika disoal timbalan pendakwa raya Hanim Mohd Rashid dalam inkues kematian Ahmad Sarbani.

DSP Sharul Othman berkata apabila seseorang berada di bilik pantri itu, dia boleh nampak bumbung berkenaan dekat dengan tingkap di Aras Tiga, namun apabila dibuat ukuran, jaraknya agak jauh iaitu sembilan kaki 11 inci.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Koroner Aizatul Akmal Maharani, yang mendengar prosiding itu, dijadual melawat ke tempat kejadian di bangunan SPRM, Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 10 pagi esok. - Bernama


Isteri Ahmad Sarbani yakin suami tak bunuh diri

Isteri kepada penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed hari ini memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa suaminya tidak mungkin membunuh diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, pada 6 April lepas.

Masiah @ Maziah Manap, 50, yang merupakan saksi pertama dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbani, berkata suaminya adalah seorang yang tenang, bersikap rasional, penyabar dan bukan seorang yang suka bertindak melulu.

"Sebagai orang Islam yang menunaikan sembahyang lima waktu, tidak mungkin suami akan berbuat demikian," katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata pada hari kejadian suaminya ada memaklumkan kepada anak perempuan mereka bahawa dia akan pulang ke rumah tengah hari itu.

"Suami tidak cakap apa-apa pada saya tetapi arwah memaklumkan perkara itu kepada Shahirah (anak) sebelum beliau pergi ke pejabat SPRM dan ini yang meyakinkan saya bahawa dia nak balik," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohamad Abbas.

Masiah, yang mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Sarbani hampir 28 tahun, berkata pada 1 April lepas, dia menerima panggilan daripada anaknya, Shahira yang memaklumkan arwah ingin bercakap dengannya tetapi panggilan berkenaan terputus.

"Apabila saya pulang ke rumah pada 9 malam, anak saya memberitahu abah (panggilan untuk Ahmad Sarbani) tidur di SPRM dan saya kemudian cuba menghubungi beliau tetapi gagal.

"Pada keesokannya (2 April), saya cuba menghubunginya sekali lagi
namun tiada jawapan dan lebih kurang 10 pagi saya ada menghantar SMS kepadanya menyatakan: Kalau kita di pihak yang benar, Allah akan bantu... kalau boleh, balik la, hari Ahad ni (3 April) kita ada kursus haji," katanya.

Masiah, yang bekerja sebagai penyelia di Petronas, berkata arwah suaminya pernah memberitahu bahawa dia telah dianiayai oleh ejen.

"Saya pernah bertanya kepadanya, apa masalah yang berlaku sekarang ini hinggakan SPRM menahannya dan dia (Ahmad Sarbani) berkata ejen menganiayainya berkenaan baucar bernilai RM100.

"Menurut suami saya, ejen itu mengaku bahawa RM70 daripada RM100 baucer itu dia ambil manakala RM30 diberikan kepada suami saya... namun suami memaklumkan kepada saya dia tidak ambil RM30 dan tidak tandatangani baucer tersebut," katanya.

Selain itu, Masiah berkata pegawai SPRM menghubunginya dan memberitahu bahawa suaminya rebah dan telah meninggal dunia tanpa dimaklumkan bahawa Ahmad Sarbani sebenarnya telah jatuh dari tingkat tiga bangunan itu.

"Apabila saya pergi ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bersama empat anak perempuan untuk membuat pengecaman mayat suami, saya nampak muka arwah seperti dihempuk ke dinding dan mukanya penuh dengan ketulan darah beku.

"Mereka (pegawai SPRM) memberitahu saya bahawa dia (Ahmad Sarbani) rebah, tetapi saya tengok mukanya kelihatan mencurigakan," katanya.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Koroner Aizatul Akmal Maharani, yang mendengar prosiding itu, dijadual melawat ke tempat kejadian di bangunan SPRM, Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 10 pagi esok. - Bernama


Ulasan GB

Rakyat tertanya-tanya, mengapa setiap kali inkues diadakan maka kita mendapati jawapan yang hampir serupa dari unit forensik yang rata-rata akan menyebelahi SPRM dan lansung tidak memberikan pandangan yang berlaku kemungkinan penganiayaan kepada mangsa?

Apakah tugas forensik dalam negara hanya untuk membersihkan nama SPRM dan bukan untuk mencari kebenaran yang hakiki?


Atau apakah mereka "dipaksa" membuat laporan sedemikian untuk menunjukkan sememangnya mangsa "membunuh diri" dengan perlakuan terjun dari bangunan?

Kes Ahmad Sarbani mengulangi kes Teoh Beng Hock dan jawapan dari unit forensik nampaknya tidak jauh berbeza.

Tidak takut kepada Allah yang Al-Haq (Maha Benar) kah semuanya?

Dan kemudiannya di dalam Siasatan Diraja Teoh Beng Hock tiba-tiba terbukti wujudnya beberapa pegawai SPRM yang lansung tidak mahu membuka mulut seperti sudah diajar untuk berperlakuan demikian berkemungkinan agar tidak menimbulkan percanggahan dengan maklumat forensik.

Sehinggalah di satu ketika penyiasat persendirian membuktikan terdapatnya pegawai-pegawai SPRM yang bersifat syaitaniah menyimpan dan menonton gambar/video lucah di dalam komputer di pejabat sewaktu soal siasat berjalan.

Itupun yang anehnya pegawai-pegawai berkenaan ada yang dikurniakan pangkat kebesaran negeri dan ditukarkan ke pejabat SPRM yang lain.

Apa yang nyata teori-teori terjun membunuh diri hanyalah andaian-andaian yang begitu lemah tetapi diwarwarkan seolah-olah itulah kebenaran hakiki.

Sungguh pelik.

Itulah pentingnya untuk kita berdoa dan mengharap kepadaNya seperti yang pernah GB tuliskan di dalam tulisan-tulisan yang lalu:

1) Allahumma arinal haqqan haqqa, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathilan bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.