1 Jun 2011

PRU13 Patut Diadakan Pada Tahun Ini Untuk Selamatkan Malaysia

Adakah kenaikan tarif elektrik dan kemungkinan peningkatan harga bahan api akibat harga minyak global yang terus melambung akan melewatkan pilihan raya umum ke-13 (PRU Ke-13)?

Jangkaan pelbagai pihak termasuk penganalisa politik popular Bridget Welsh nampaknya tidak yakin dengan kemungkinan PRU Ke-13 diadakan pada tahun ini.

Pelbagai faktor dilontarkan dalam teka-teki sedemikian. Namun saya berpendapat, tidak kira sebesar mana kesan kenaikan tarif elektrik kepada rakyat jelata, Perdana Menteri Najib akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan mengumumkan pembubaran Parlimen ke-12 dalam masa singkat - seawal bulan Jun tahun ini - ya, seawal bulan ini! Malahan saya menjangkakan dan berharap, PRU Ke-13 diadakan seawal bulan Julai tahun ini dan selewat-lewatnya akhir tahun ini juga.

Saya masih ingat, semasa teka-teki tarikh PRU Ke-12 mula menjadi hangat, pendapat sesetengah pihak adalah bahawa Parlimen ke-11 hanya akan dibubarkan selepas "projek koridor Pak Lah" menampakkan hasil pada peringkat awal yang dapat meyakinkan pengundi bahawa Kerajaan Pak Lah berkemampuan mentadbir urus ekonomi negara dengan baik dan berkesan. Maka PRU Ke-12 tidak akan diadakan seawal Mac 2008 seperti yang umum sedia maklum.

Sebagai imbasan ingatan, apa yang berlaku pada ketika itu adalah Parlimen ke-11 dibubarkan sejurus selepas pelancaran Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) di Bintulu Waterfront Prominade oleh Pak Lah. Dengan kata lain, Parlimen ke-11 dibubarkan pada 13 Februari 2008, dua hari selepas Pak Lah "menyempurnakan" pusingan pelancaran projek koridor selama dua tahun bermula dengan pengumuman Koridor Iskandar Malaysia pada 30 Julai 2006. Bukan selepas laporan kemajuan secara keseluruhan diumumkan.

Hari ini, kita telah menyaksikan pengumuman satu per satu pelan transformasi yang kononnya dapat mentransformasi ekonomi negara khususnya menaik-taraf Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Adakah Parlimen ke-12 hanya akan dibubarkan selepas laporan kemajuan secara keseluruhan diumumkan? Saya rasa tidak. Meskipun laporan satu per satu terus dipaparkan melalui akhbar harian mengenai apa yang bergelar "pencapaian KPI" pelan transformasi, kemajuan sebenar yang bermakna masih tidak kelihatan. Laporan akhbar sedemikian lebih merupakan propaganda daripada menonjolkan transformasi.

Rintangan transformasi datang dari UMNO-Putra

Semenjak krisis kewangan 1997/98, masalah struktur ekonomi negara terus diabaikan dan kitaran ekonomi sering dibangkitkan sebagai sesuatu yang semula jadi dalam arena ekonomi. Maka tiada kaitan langsung dengan rejim pemerintah yang korup. Setelah "khayalan wawasan 2020" berkecai dan rakyat jelata bangun dari "mimpi 2020" atau lebih tepat "jampi 2020", kedua-dua Perdana Menteri yakni Pak Lah dan Najib sedar bahawa transformasi ekonomi negara hanya akan terjadi apabila perubahan besar dilakukan. Namun, rintangan besar yang menghalang perubahan atau transformasi datang dari dalaman UMNO itu sendiri, khususnya golongan UMNO-putra dan kroni mereka.

Hari ini, apa yang menjadi rebutan golongan UMNO-putra ialah keterlibatan mereka dalam proses bergelar transformasi supaya projek-projek dan kontrak-kontrak diberikan kepada mereka, bukan pelaksanaan dasar ekonomi berdasarkan saranan awal Model Ekonomi Baru (MEB). Respons Pengerusi UDA Holdings Bhd Nur Jazlan Mohamed terhadap dakwaan berhubung projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) jelas memperlihatkan betapa ghairah dan tidak sabarnya golongan UMNO-putra dalam mengumpul kekayaan sebelum ketibaan PRU Ke-13.

Nur Jazlan mempersoalkan mengapa pemimpin PERKASA dan UMNO menuduh UDA Holdings mengetepikan keperluan syarikat Bumiputera dalam membangunkan projek bernilai RM6.7 bilion itu walaupun keputusan rasmi masih belum dibuat. Antara ungkapan Nur Jazlan seperti "saya juga ahli UMNO, ini bukan pembangkang yang serang kita, tapi ahli UMNO sendiri" dan "agenda Bumi ada kosnya dan UDA tidak boleh lagi untuk menanggung kos-kos ini", jelas membuktikan betapa tidak yakinnya golongan UMNO-putra dalam soal kemenangan PRU Ke-13 oleh UMNO-Barisan Nasional, khususnya selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011.

Dalam konteks ini, Najib berhadapan dengan dilema yang sama dengan Pak Lah. Meskipun Pak Lah berjaya melancarkan senarai projek koridor dan Najib berjaya mengumumkan senarai pelan transformasi satu per satu, mustahil mereka yang merupakan pemimpin UMNO tidak tahu bahawa kelemahan struktur ekonomi negara tidak akan dapat ditangani selagi mentaliti golongan UMNO-putra masih memegang kuat kepada kuota Bumiputra demi kepentingan peribadi.

Dengan kata lain, jikalau PRU Ke13 tidak diadakan dalam tahun ini, apa yang akan dipertikaikan tahun depan bukan lagi sekadar soal inflasi tetapi termasuk kemajuan sebenar ekonomi dan pembangunan negara yang tidak dapat dijawab oleh Perdana Menteri melainkan jika politik talam dua muka diteruskan.

Bayangkan perasaan dan tekanan hidup golongan berpendapatan kurang daripada RM2,300 khususnya orang Melayu pada tahun depan apabila harga barangan utama dan harian semakin tidak terkawal sementara golongan UMNO-putra teruskan gaya hidup mewah selagi kuota Bumiputra dikekalkan untuk mengayakan mereka dan saranan asal MEB diketepikan.

Tarif elektrik di negara ini bakal dinaikkan setiap enam bulan. Ketidaktentuan harga minyak di pasaran dunia lebih besar pada tahun depan. Kerajaan Najib bukan sahaja berdepan dengan tekanan kenaikan harga minyak dan inflasi, tetapi juga berdepan dengan hutang negara dan defisit fisikal yang semakin tidak terkawal akibat keghairahan golongan UMNO-putra yang tidak terhingga dan tata kelola yang lemah.

Pengiraan kasar MerdekaReview pada akhir tahun 2010, mendapati bahawa "Kerajaan Malaysia dijangka berdepan dengan saat-saat gentingnya untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM101.65 bilion dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2010 hingga 2012, apabila Sekuriti kerajaan Malaysia (bon kerajaan) dan Sukuk yang berjumlah ratusan bilion ringgit ini sampai tarikh tebusannya."

UMNO-putra ada masa untuk kaut kekayaan

Lantaran itu, jika sekiranya Parlimen Ke-12 dibubarkan pada tahun depan, golongan UMNO-putra mempunyai masa yang lebih untuk mengumpul kekayaan yang lebih sementara lubang hutang negara akan menjadi lebih besar. Kemarahan rakyat tidak akan diredakan biarpun PRU Ke-13 dilewatkan kepada tahun depan.

Jangan lagi Najib mimpikan perubahan pola pengundian bandar! Undi akan kekal diberi kepada Pakatan Rakyat. Jangan juga Pakatan Rakyat sekadar mimpikan perubahan pola pengundian desa tanpa gerak kerja seluas-luasnya dalam kawasan kampung Melayu, rumah panjang Iban dan Kadazan.

Sesungguhnya, persoalan "Bilakah PRU Ke-13 akan diadakan?" patut ditukar kepada "Bilakah PRU Ke-13 wajar diadakan?" Sebab satu sahaja: jangan kita biarkan kekayaan negara dikaut habis-habisan baharu didesak diadakan PRU Ke-13!

Ekonomi negara lemah kerana golongan UMNO-putra dan dasar UMNO yang mementingkan kepentingan peribadi. Golongan sedemikian juga mahukan PRU Ke-13 dilewatkan. Ayuh kita bangkit mendesak agar PRU Ke-13 dijalankan tahun ini! Biar kita selamatkan negara yang berada di ambang bahaya! Demi rakyat, demi generasi akan datang dan demi masa depan yang lebih cerah.

Segera kita bangun dari "jampi 2020"! Tanpa perubahan dan pembaharuan besar, Malaysia tidak akan menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Perubahan dan pembaharuan besar bermula dengan pertukaran rejim di peringkat Persekutuan. -MR

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

[Video] Kes Kematian Ahmad Sarbani: PKR Serah Memo Kepada KPN Tuntut Jawapan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menuntut penjelasan terbuka mengenai siasatan keatas kematian seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed yang kelihatan dipinggirkan.

Ini berikutan sehingga kini tiada maklumat atau tangkapan dibuat pihak polis walaupun laporan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya dikenali sebagai Ghani mengakui bahawa pihaknya terlibat dalam kes kematian itu.

"Kita tidak nampak mengapa IGP tidak boleh memberi maklumbalas. (Sebentar tadi) kita hanya dapat nama pegawai yang kita akan hubungi dalam masa beberapa hari lagi untuk mendapatkan sedikit maklumat.

"Tapi saya juga desak pihak wartawan memberi tekanan untuk mendapat respon daripada pihak polis," kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang ditemui media turut berpendirian persepsi umum terhadap polis semakin menipis apabila siasatan polis diperhatikan menjurus kearah pendakwaan terpilih.

"Maka dalam isu penyiasatan sekalipun, kita perlu ada keutamaan. Kes kematian, bersabit dengan kerajaan sebegini, SPRM perlu mendapat keutamaan daripada PDRM," ujar beliau.

Allahyarham Ahmad Sarbani ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM, Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Beliau yang ketika itu berkhidmat sebagai pembantu pengarah di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor ditahan pada 1 April lalu bagi membantu siasatan membabitkan cukai tidak dibayar dan telah dibebaskan dengan ikat jamin pada 2 April.

Allahyarham kemudian datang semula ke pejabat SPRM untuk bertemu seorang pegawai penyiasat berhubung kesnya, namun menemui mayat pegawai kastam itu di tingkat bawah bangunan tersebut pada jam 10.15 pagi.

Siasatan ke atas Allahyarham dijalankan ekoran penahanan sejumlah 62 orang pegawai Kastam dalam satu operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.

Operasi berkenaan dijalankan oleh satu tindakan bersama oleh SPRM, JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

Turut hadir menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Naib Presiden PKR, N Surendren dan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip. -tvsnews


Kes Ahmad Sarbani: Memorandum untuk Ketua Polis Negara

TAN SRI HAJI ISMAIL BIN HAJI OMAR
KETUA POLIS NEGARA
IBU PEJABAT POLIS BUKIT AMAN
JALAN BUKIT AMAN
TASIK PERDANA
50560 KUALA LUMPUR

MENUNTUT TINDAKAN SEGERA ATAS MAKLUMAT BARU DALAM KES AHMAD SARBANI MOHAMED

1) Pada 6 April 2011, Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohamed (umur 56 tahun) dijumpai mati di Tingkat 1, Ibu Pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

2) Insiden ini yang mirip dengan kematian Teoh Beng Hock di SPRM Shah Alam, telah mengejutkan seluruh negara dan adalah diharapkan oleh rakyat bahawa tindakan cepat di ambil dan keluarga Ahmad Sarbani mendapat keadilan.

3) Walau bagaimanapun sehingga hari ini, tidak ada apa-apa tangkapan atau dakwaan di Mahkamah dibuat terhadap mana-mana individu berhubung kematian Ahmad Sarbani.

4) (a) Pada 2 Mei 2011, balu Ahmad Sarbani, Puan Maziah Bt Manap membuat satu laporan polis yang amat serius.

(b) Beliau menyatakan dalam laporannya bahawa Pegawai Penyiasat dari SPRM bagi kes kematian Ahmad Sarbani membuat pengakuan bahawa "orangnya" terlibat dalam kematian tersebut.

(c) Walaupun telah hampir sebulan sejak laporan tersebut dibuat, masih tiada tindakan lanjutan diambil oleh pihak polis.

5)Penyiasatan kes Ahmad Sarbani melibatkan kepentingan awam dan integriti institusi SPRM. Apakah sebab-sebab mengapa pihak polis dan Peguam Negara tidak mengambil tindakan sewajarnya dan secepat mungkin ?

DENGAN INI KAMI MENUNTUT

a) Bahawa tindakan menurut undang-undang dan prosedur jenayah dilakukan dengan dengan segera ke atas kesemua anggota SPRM yang terlibat dan/atau bertanggungjawab dalam kematian Ahmad Sarbani;

b) Bahawa PDRM memberi penjelasan terbuka mengapa tiada tindakan diambil sehingga sekarang terhadap pihak-pihak yang terlibat dan/atau bertanggungjawab dalam kematian Ahmad Sarbani;

c) Bahawa penyiasatan segera dilakukan atas kandungan laporan polis bertarikh 2 Mei 2011.

d)Bahawa perkembangan kes ini dimaklumkan kepada rakyat dan keluarga Ahmad Sarbani pada kadar segera.

e) Bahawa Ketua Polis Negara memberi akujanji bahawa kesemua kes profail tinggi seperti ini yang melibatkan kepentingan politik BN akan disiasat dengan adil, cepat dan telus, tanpa memihak kepada sesiapa dan walaupun melibatkan agensi kerajaan yang lain.

Tuntutan dari:
PARTI KEADILAN RAKYAT





Benarkah "Geng Terengganu" Tonjol Datuk T Gantikan Nasha?

Ulama bakal singkir Nasha

Setelah berkhidmat selama tiga penggal, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dijangka dihumban keluar daripada kepimpinan tertinggi parti Islam itu oleh tokoh ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim juga diramal bakal melangkah bergaya ke kerusi nombor dua PAS dengan sokongan ulama yang kini beralih arah kepadanya, sekali gus turut mengetepikan pemimpin popular di peringkat akar umbi Mohamad Sabu.

Hasrat golongan ulama mahu mengangkat Tuan Ibrahim sebagai 'ayam tambatan' baru bagi menggantikan Nasharudin tidak dapat dibendung lagi apabila dikatakan beberapa kali memujuk Tuan Ibrahim yang pada mulanya enggan bertanding.

Menurut pemerhati politik PAS Mohd Sayuti Omar, penyertaan Tuan Ibrahim -- kini naib presiden -- dilihat seakan-akan "firman" yang mampu memenangkannya.

"Penyertaan Tuan Ibrahim ini seperti firman, tidak kiralah daripada atas atau bawah (hierarki parti)," katanya kepada Malaysiakini semalam.

"Bagaimanapun kelemahannya, (apabila) perwakilan melihatnya sebagai oportunis kerana mengumumkan kesediaan di saat-saat akhir (sebelum tarikh akhir penerimaan). Oleh kerana dapat pencalonan banyak, beliau pun masuk."

Mohd Sayuti yang juga ketua pengarang Siasah -- akhbar yang banyak melaporkan kegiatan PAS -- bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas dari mana datangnya "firman" itu secara terperinci.

Sementara menurut sumber yang dekat dengan golongan ulama, usaha mengetengahkan Tuan Ibrahim dijalankan oleh beberapa "pemikir" di belakang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebanyakannya terdiri daripada beberapa "ilmuan" dan ahli akademik.

Pujuk, ziarah rumah

Menurutnya, bagi menjayakan agenda ini, beberapa pemimpin penting PAS, antaranya Ketua Dewan Ulama Dato Harun Taib diutuskan menemui dan memujuk Tuan Ibrahim secara berterusan sehingga didakwa memberikan tekanan kepadanya untuk bertanding.

"Peranan ini dimainkan oleh Dewan Ulama dan apa yang disebut sebagai 'Geng Terengganu'. Usaha mereka ini termasuklah mengadakan ziarah ke rumah Tuan Ibrahim. Usaha yang sama juga dijalankan pada (Ketua Pemuda) Nasrudin Hasssan," jelasnya.

Menurut sumber lagi, golongan ulama dalam PAS terpaksa mengambil langkah drastik itu kerana mereka tidak boleh lagi bergantung kepada Nasharudin untuk menjalankan agenda kumpulan itu.

"Imejnya sudah terjejas," katanya merujuk kepada prestasi anggota parlimen Bachok itu yang menjadi sudah menjadi cakap-cakap di kalangan pemimpin PAS.

Kemasukan Tuan Ibrahim sebelum ini dilihat ekoran kebimbangan golongan ulama terhadap asakan kuat Mohamad yang bertanding untuk jawatan itu buat kali kedua dan menjadi yang paling awal mengumumkan hasratnya itu.

Ia juga dikatakan mengambil perkiraan jumlah pencalonan Tuan Ibrahim yang memberangkang. Menurut sumber, pesuruhajaya PAS Pahang itu mendapat 39 pencalonan di belakang Mohamad (47) dan Nasharudin (43).

Bagaimanapun, terdapat difahamkan sekurang-kurangang 15 kawasan yang menyokong Tuan Ibrahim gagal menghantar pencalonan pada masanya untuk diterima.

Sementara itu, ramai penganalisis politik rata-rata melihat pertembungan tiga penjuru untuk merebut kerusi nombor dua itu bakal berlangsung sengit dan tiada kemenangan mudah akan berlaku.

Tapi dia 'nobody'

Ramai daripada mereka sepakat bahawa pertembungan sebenar masih antara Tuan Ibrahim dam Mohamad Sabu. Nasharudin pula dilihat agak terkebelakang dan masih bergelut mempertahankan sokongan sedia ada, di samping memenangi hati golongan profesional PAS.

Felo Kanan Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Kamaruzaman Yusoff mengakui bahawa kali ini Nasharudin masih menghadapai protes terhadap kepimpinannya yang besar.

"Cuma persoalannnya, ke mana undi itu akan pergi? Sama ada pada Mat Sabu atau Tuan Ibrahim. Tetapi saya dok jangka, kemungkinan besar Tuan Ibrahim akan memang. Kemungkinan ada kompromi dengan Mat Sabu (di saat akhir)," katanya.

Bagaimanapun, menurut Dr Kamaruzaman, cabaran bagi kumpulan ulama apabila berlakunya perpecahan undi di antara Nasharudin dan Tuan Ibrahim dan populariti Mohamad sebagai pemidato terkenal yang didakwa kukuh menguasa beberapa negeri seperti Sabah, Johor, se sebahagian Selangor dan Kelantan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan pula berpendapat sebaliknya.

Baginya, walaupun Mohamad masih memikul beban pemikirannya yang berbeza, pendekatan kempennya setakat ini "bagus" dan tidak berlebih-lebihan.

"Ia berjalan dengan betul," katanya sambil memberita dalam PAS, calon yang lebih berkempen boleh mengundang kekalahan.

Walaupun Tuan Ibrahim dianggap cabaran itu, tetapi bekas 'selebriti agama' itu dilihat "nobody" (bukan sesiapa) dalam sepak terajang poitik tanah air dan hanya berpengaruh dalam lingkarannya sendiri sahaja, dakwa Wan Saiful.

Ulasan GB

Tulisan yang tersiar di malaysiakini di atas samada ia benar atau pun tidak telah mendedahkan beberapa perkara: iaitu adanya kumpulan dari Terengganu yang mendesak Datuk T (Datuk Tuan Ibrahim) masuk bertanding bagi jawatan nombor dua dalam parti.

Ia dikatakan diantara usaha terdesak "geng Terengganu" bagi melaksanakan agenda mereka.

"Peranan ini dimainkan oleh Dewan Ulama dan apa yang disebut sebagai 'Geng Terengganu'. Usaha mereka ini termasuklah mengadakan ziarah ke rumah Tuan Ibrahim. Usaha yang sama juga dijalankan pada (Ketua Pemuda) Nasrudin Hasssan,"

golongan ulama dalam PAS terpaksa mengambil langkah drastik itu kerana mereka tidak boleh lagi bergantung kepada Nasharudin untuk menjalankan agenda kumpulan itu.

Jika benar seperti yang dilaporkan, bererti telah wujud parti di dalam parti, jemaah di dalam jemaah dan ia amatlah keterlaluan dan mendukacitakan. Kerana itulah punca kepada apa yang dinamakan "perpecahan" di dalam parti.

Kita yakin pemilihan di dalam PAS sepatutnya berlansung di dalam suasana yang harmonis dan jujur, tidak berlaku adegan untuk "agenda-agenda" tersembunyi kerana seperti yang kita telah nyatakan sebelum ini, kemenangan jawatan di dalam parti adalah taklif (amanah dan tanggungjawab), bukan tasyrif (kemegahan dan kemuliaan).

Namun GB sejak daripada awal merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena, itu sebab mengapa ada kes yang pelik-pelik berlaku seperti nama calon AJK tercicir, jumlah pencalonan setiap calon tidak diumumkan, campurtangan Setiausaha Agong PAS di dalam J/K Pemilihan, serangan ke atas Mohd Sabu secara berlebihan (malah telah wujud blog antimohdsabu seperti mana wujud blog anti-husam di dalam pemilihan yang lalu), peranan harakahdaily yang hanya melaporkan aktiviti beberapa pemimpin terpilih sebelum penamaan calon dan mengatur nama calon seperti ada usaha menonjolkan calon tertentu dan bermacam-macam lagi.

Jika dahulunya "geng Terengganu" ini menonjolkan Ustadz Nasha, kali ini mereka mengenepikan Ustadz Nasha sesuka hati dengan menaikkan pula Datuk Tuan Ibrahim. Dan apa pula terjadi nanti jika Tuan Ibrahim tidak memenuhi hasrat mereka? Mereka jugakah yang akan menjatuhkan Datuk T dan kemudian mengangkat orang lain pula?

"Sama sahaja dengan perangai UMNO. Patutlah Terengganu terlepas ke tangan UMNO!" - kata seorang pengkomen di blog GB.

Kita berharap jika benar "geng Terengganu" itu wujud, maka bubarkanlah dan hentikan segala perlakuan yang tidak baik di dalam jemaah sebelum Allah s.w.t. menurunkan kaffarah secara merata kepada kita semua.

Muga Allah selamatkan jemaah ini dari hancur binasa dan mempertautkan ukhwah Islamiah di antara kita semua menjelang muktamar ini adanya.

Mangsa Sempat Mengucap, Sampan Tenggelam Setelah Dipukul Ombak

Pasir Mas – Jeritan seorang bilal menenggelamkan suasana sunyi di Sungai Kelantan, Kampung Galok Chetok apabila perahu yang dinaiki tenggelam dipukul air sungai, jam 12 malam kelmarin.

Bilal, Aziz Husin, 63, keluar bersama rakannya, Hasan Addul Ghani (foto kecil), 25, pada jam 10.30 malam, untuk menjala ikan, namun pukulan air sungai yang kuat menyebabkan air memenuhi ruang sampan dan menenggelami sampan mereka.

Aziz berkata, dia menjerit sekuat hari menyuruh rakannya, untuk mengucap apabila mangsa kelihatan tenggelam timbul dipukul ombak sungai.

“Saya sempat bertaut pada sebatang buluh berdekatan perahu dan menyuruhnya mengucap. Dia sempat mengucap, namun selepas itu, dia terus tenggelam,”
katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Ghani Saad, 63, terkedu apabila kepulangannya dari Pahang mengundang berita mengenai kehilangan anak lelakinya yang dikhuatiri lemas.

Abdul Ghani berkata, dia yang tiba di rumah jam 11.45 malam terkejut apabila penduduk kampung memberitahu mengenai anak ketujuh dari 10 beradik itu, lemas di sungai berdekatan.

“Saya tidak menyangka perubahan anak saya, yang sebelum ini agak pendiam, berubah dan banyak bercakap, lebih-lebih lagi mengenai kematian.

“Sebelum ini juga dia jarang menghadiri majlis keraian di kampung, namun kelmarin, dia begitu bersemangat untuk bertemu penduduk kampung dan saudara-mara di sana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Ghani berkata, sudah menjadi kebiasaan jika ada masa terluang, dia pasti keluar menjala bersama rakan atau penduduk kampung ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohamed Adenan Said berkata, seramai 12 anggota skuba jabatan bomba dan penyelamat Kelantan bersama lima anggotanya bergegas ke tempat kejadian.

“Kita sudah menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejauh satu kilometer dari tempat kejadian, bermula jam 9 pagi namun tidak menemui mangsa,” katanya. -SH

Video Seks: Fitnah Punca Keruntuhan Kerajaan (UMNO BN)

Fitnah punca keruntuhan

SHAH ALAM - Penyebaran fitnah dalam dunia politik yang berselindung di sebalik nama agama boleh menjadi punca utama keruntuhan sesebuah kerajaan.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sejarah lampau perlu dijadikan pedoman apabila banyak tamadun Islam musnah akibat salah guna agama dalam berpolitik seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Usman bin Affan.

“Khalifah Usman sendiri jatuh dari tampuk pemerintahan kerana fitnah apabila beliau dituduh tidak telus dalam pelantikan pegawai kerajaan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan fitnah sebagai senjata politik dapat dilihat di Malaysia di mana golongan politik sejak dahulu lagi kerap menyalahgunakan agama untuk menarik sokongan orang ramai.

“Orang politik sedar agama yang menjadi tunjang kehidupan rakyat boleh digunakan untuk mempengaruhi orang ramai bagi mencapai kepentingan politik sesebuah parti itu.

“Jika kita lihat, banyak ulama kini mengeluarkan dalil berbeza mengikut isu berkaitan pemilihan politik mereka sendiri. Ini tidak betul,” katanya semasa wacana anjuran Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Asri, agama boleh menjadi madu dan penawar bagi menghentikan semua kepincangan dalam politik tetapi ia juga boleh menjadi racun dan menyebabkan kacau-bilau jika disalahgunakan.

“Manusia melakukan fitnah kerana ingin bersaing dan mahu mewujudkan pengaruh. Golongan yang mempunyai kuasa pula ingin terus kekal di atas dan menggunakan fitnah untuk menumpaskan pesaing mereka.

“Sebab itu, agama perlu berada di atas politik dan bukan parti politik yang mengarah golongan ulama supaya mengeluarkan fatwa yang sesuai dengan kehendak mereka,” katanya lagi diikuti dengan tepukan gemuruh hadirin. -SH


Video: Pemuda PAS-Umno sepakat tolak fitnah


Pemuda PAS dan Umno serta ahli agama hari ini menegaskan menolak budaya fitnah, termasuk dalam isu video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berkongsi pentas dalam forum antifitnah di Shah Alam hari ini, mereka mengulangi desakan supaya pihak yang menayangkan video tersebut dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin yang juga ahli parlimen Rembau berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan mengaibkan mana-mana ahli politik.

"Saya rasa kita setuju tidak mahu aibkan mana-mana orang. Itu penting dalam mana-mana politik, khususnya dalam negara Islam. Kita perlu ada peradaban," katanya.

Forum berjudul "Fitnah: Ancaman Umat Akhir Zaman" anjuran akhbar Sinar Harian itu dihadiri kira-kira 500 orang.

Mengulas perkara yang sama, Nasrudin mengulangi pendirian PAS bahawa berdasarkan peraturan Islam pihak yang menuduh sesorang itu berzina mestilah mengemukakan empat orang saksi.

"Mengikut kaedah Islam, salah membebaskan orang yang silap lebih baik daripada menjatuhkan hukuman orang yang tidak bersalah... Hikmahnya, kerana untuk memelihara maruah orang," katanya.

'Betul, salah isu kedua'

Sementara bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas golongan agamawan daripada Umno dan PAS yang didakwanya gemar menggunakan masalah peribadi seseorang sebagai modal politik mereka.

Tokoh agama muda itu berkata, beliau tidak dapat menerima keadaan tersebut sehingga menyebabkan rakyat lupa kepada isu-isu yang lain.

"Kita suka menggunakan kelemahan peribadi orang lain untuk diangkat menjadi isu politik. Bukan sahaja isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu (pembunuhan) Altantuya (Shaariibu), dan berbagai isu sebelum ini.

"Dan adalah tidak betul bagi orang agama, (keadaan) yang tidak berpihak kepadanya, dia keluarkan dalil, kata tak boleh digunakan kerana Al-Quran cakap. (Apabila) kena kepada orang lain diamkan dalil. Maka itu tidak boleh.

"Kita kena konsisten, PAS atau Umno mesti sentiasa adil dalam hal ini tidak boleh keluarkan keaiban dijadikan sebagai bahan politik disebar secara meluas. Tidak PAS, tidak Umno, secara adil," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Berhubung isu video seks tersebut, beliau menegaskan bahawa beliau antara tokoh yang awal tidak bersetuju dengan pendedahan keaiban individu termasuk menjadikan ia sebagai modal politik.

"(Ia) budaya fitnah, saya kata tidak bersetuju dengan perkara yang membabitkan penyebaran (video itu) dan masuk dalam akhbar. Betul atau salah isu kedua," katanya. -mk

Ribut Melanda Muar, Lebih 30 Kediaman, Warung Rosak

Muar: Lebih 30 rumah rosak dengan sebahagian bumbung diterbangkan dalam kejadian ribut di beberapa taman perumahan di sekitar Jalan Bakri, dekat sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ribut hampir sejam bermula kira-kira jam 5 pagi.

Kejadian itu juga menyebabkan dua pokok berusia puluhan tahun sebesar lebih sepemeluk tumbang dan hampir terkena d

Antara kawasan teruk dilanda ribut termasuk Taman Jaya, Taman Jeram Mulia, Taman Meranti dan Kampung Jeram Tepi yang menyebabkan kebanyakan bumbung rumah rosak akibat diterbangkan ribut.

Mangsa, Zainun Salamon, 59, menyifatkan kejadian ribut itu sebagai peristiwa menakutkan apabila beliau terperangkap dalam biliknya hampir setengah jam selepas gagal membuka pintu akibat angin yang kuat.

"Saya cuba berulang kali membuka pintu bilik saya tetapi angin yang kuat menolak sehingga menyebabkan saya hanya mampu tersandar di pintu bilik dan menunggu kira-kira setengah jam sebelum pintu boleh dibuka," katanya.

Katanya, kejadian ribut berlaku kira-kira jam 5 pagi itu menyebabkan sebahagian bumbung dapur rumahnya tercabut menyebabkan air hujan melimpah.

Beliau berkata, ribut yang kuat itu menyebabkan sebuah kontena diletakkan di kawasan lapang projek pembinaan bersebelahan rumahnya turut terangkat dan diseret kira-kira 50 meter sehingga hampir mengenai rumahnya.

Mariam Ali, 52, pula berkata kejadian ribut itu menyebabkan hampir keseluruhan warung buah dan orkid miliknya di tepi Jalan Bakri, rosak teruk dengan sebahagian besar bumbung tercabut.

Seorang penduduk Taman Meranti, Abdul Wahab Laiman, 46, berkata hujan lebat dan ribut itu menyebabkan bumbung rumahnya turut rosak diterbangkan angin. -BH

Bongkar: Adik MB Pahang Adalah Bekas Pengerusi IAEA

Nampaknya teori penyelewengan projek pembinaan kilang memproses rare-earth oleh Lynas Corporation di Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini bertambah panas. Ia susulan terdapat pendedahan sebelum ini dan terkini mengatakan Chairman Board Of Governors Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ialah adik bongsu kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob sendiri.

Beliau yang dimaksudkan itu ialah Dato´ Muhammad Shahrul Ikram Yaakob (foto). Beliau difahamkan bertugas dengan agensi terbabit mulai tahun 2009 hingga 2010.

Tiada apa lagi yang boleh kita perketakan dengan pendedahan ini sebenarnya. Namun, apa yang jelas kita boleh rungkaikan ialah bagaimana kumpulan pakar IAEA yang berada di sini sekarang mahu membuat laporan negatif terhadap projek tersebut jika bekas boss mereka adalah adik kepada Menteri Besar Pahang itu sendiri?

Bukankah, ini membuktikan kepada kita memang ada permainan "adik beradik" dalam meluluskan atau pun membawa projek berisiko ini ke Malaysia. Apa jua alasan yang diberikan oleh MB Pahang untuk menidakkan perkara ini sudah tidak wajar dipercayai lagi.

Mana mungkin seorang adik mahu melanggar sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh abangnya. Inikan pula projek bernilai ratusan juta seperti Lynas ini sebenarnya.

Oleh itu, rakyat tidak hairan sekarang, kenapa pakar-pakar yang sepatutnya mengambil masa sebulan untuk mengkaji tahap keselamatan Lynas telah awal-awal lagi mengatakan projek tersebut mengikut "standard yang telah ditetapkan".

Padahal mereka belum pun turun padang untuk melawat ke kilang Lynas di Gebeng itu sebenarnya. Kita tidak mahu menuduh sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam hal ini. Namun, secara kesimpulannya rakyat memang tahu apakah "kaedah" mana-mana pelabur dan pihak yang mahu mendapatkan apa-apa projek di Pahang sejak dulu kini dan selamanya.

Bukti kukuh, adik MB Pahang, Dato Muhammad Shahrul Ikram Yaakob rupanya adalah IAEA Board Of Govenors Chairman tahun 2009-2010

GM IAEA Yukiya Amano bersalaman dengan adik MB di Mesyuarat Ahli
Lembaga (Gabenor) IAEA di Vienna, Austria pada 13 September 2010

[Malah banyak pendedahan telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini tentang ketirisan yang berlaku dalam pentdbiran Kerajaan Negeri Pahang itu sendiri.

Oleh itu, kepada mereka yang bermati-matianmenyokong projek ini diminta berfikir secara rasional. Apakah kita mahu diri kita ditipu oleh kebodohan kita sendiri.

Jangan dibiarkan diri kita dipermainkan oleh mereka yang berkuasa hanya untuk kepentingan periuk nasi mereka sendiri.

Kami sungguh terkejut dengan maklumat terbaru ini. Namun kami boleh merasakan, memang ada sesuatu yang tidak kena bila adik MB menjadi orang kuat IAEA, sedangkan apa yang dipertikaikan ialah bagaimana projek berisiko seperti Lynas itu boleh dibawa masuk ke Malaysia terutamanya ke negeri Pahang ini?

Rupanya ada "kabel besar" yang telah bersedia untuk membawa masuk projek itu ke sini sebenarnya.

Siasatan lanjut akan dijalankan tentang beberapa aspek lain lagi yang membuktikan projek Lynas wajar dibantah oleh rakyat Kuantan biarpun ada yang menyokongnya.

Ini kerana sokongan yang diberikan oleh pihak terbabit adalah berdasarkan "skrip semata-mata", tambahan pula mereka dibayar untuk hadir menyokong projek Lynas seperti yang berlaku di Hotel Hyatt dan Pantai Teluk Chempedak]. -pahangdaily

Ada Orang Campak Bayi Ke Dalam Sungai Gombak

Bayi Ditemui tersangkut celah batu dalam Sungai Gombak berdekatan PWTC

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang sibuk bergegas ke tempat kerja gempar dengan penemuan mayat seorang bayi tersangkut di celah batu di Sungai Gombak, berdekatan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Bayi perempuan itu dikatakan dibawa arus sungai berkenaan ke kawasan itu berikutan maklumat daripada orang awam menyatakan ternampak kelibat ‘anak patung’ terapung di kawasan berdekatan Stesen LRT Titiwangsa.

Orang awam yang curiga dengan objek itu menghubungi polis dan bomba sebelum mereka tiba di kawasan berkenaan kira-kira jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, mayat bayi perempuan itu dipercayai baru dilahirkan dan dicampak di dalam sungai sebelum dihanyutkan.

Menurutnya, kejadian itu disedari orang awam yang terlihat objek seperti ‘anak patung’ dihanyutkan arus sebelum menghubungi polis.

Sepasukan bomba dari Sentul dihantar ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mayat bayi berkenaan.

“Bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu dibawa arus dari kawasan Stesen LRT Titiwangsa di Jalan Pekeliling.

“Setelah membuat operasi mengesan, kami (polis) menemui mayat bayi itu berdekatan PWTC yang tersangkut di celah batu. “Mayat itu dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya. -hm

Kesan Kenaikan Tarif Elektrik: PRU 13 Dilewatkan

Najib mungkin lewatkan PRU-13 elak ‘protes’ kesan tarif elektrik naik

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Kesan keputusan Malaysia menaikkan tarif elektrik dan juga kemungkinan harga minyak ekoran perubahan harga peringkat gloabal kemungkinan bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil pilihan raya umum sangat tipis kerana kepimpinannya perlu menangani rasa tidak puas hati terlebih dahulu.

Semalam, pentadbiran Najib mengumumkan kenaikan tarif elektrik purata 7.1 peratus yang dikuatkuasakan mulai esok.

Bagaimanapun penganalisis berkata sebarang kemungkinan kenaikan harga bahan api masih sedang diteliti.

“Kenaikan tarif elektrik adalah balon ujian politik bagi Najib untuk mengukur rasa tidak puas hati orang ramai sebelum beliau memutuskan kenaikan harga bahan api,” kata Bridget Welsh, seorang pakar tentang Malaysia di Singapore Management University.

Najib dalam ucapan terbaru di London menyifatkan subsidi bahan api sebagai candu tetapi beliau sangat berhati-hati dalam mencetuskan rasa tidak senang di kalangan pengundi ketika cuba membina semula sokongan bagi BN selepas prestasi buruk ketika 2008.

Mandat semasa hanya berakhir pertengahan 2013 tetapi ramai meramalkan Najib akan memanggil pilihan raya seawal tahun ini selepas KDNK mencatati 7.2 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun dalam nota penyelidikannya, HwangDBS dan J.P.Morgan berkata jadual masa pilihan raya itu tidak mungkin.

“Pengumuman Isnin (semalam) menunjukkan bahawa kerajaan sanggup membuat beberapa tindakan politik yang tidak popular tetapi positif secara ekonomi dalam waktu terdekat, yang (menyebabkan) kemungkinan pilihan raya ditangguh hingga 2012,” kata HwangDBS. -TMI

Ulasan GB

Dipercepatkan atau dilambatkan, apabila gelora kemarahan rakyat sudah memuncak, mahu tidak mahu, BN bakal dijadikan pembangkang pula di Parlimen.

Rencanakanlah apa bentuk penipuan pun.... kuasa rakyat & Tuhan, mampukah BN melawan?

Tindakan Pantas Seorang Bapa Selamatkan Anaknya Dilarikan Ke Lombok

Bakal pengantin nyaris ke Lombok

JOHOR BAHRU - Tindakan pantas seorang bapa menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengesan anak perempuannya yang bakal berkahwin pada Sabtu ini dapat menyelamatkan wanita berkenaan daripada dilarikan seorang lelaki ke Lombok pada 9 Mei lalu.

IBNU SINA menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap seorang lelaki yang ingin melarikan Nurul ke Lombok ketika ditemui di Kota Masai, Johor Bahru semalam.

Ibnu Sina, 50, mendakwa, dia menyedari kejadian itu pada pukul 4 pagi apabila mendapati anaknya yang dikenali sebagai Nurul, 21, hilang ketika dia bangun untuk menunaikan solat Subuh.

Katanya, dia terus memberitahu penduduk kampung sebelum anak kedua daripada lapan beradik itu dikesan di laluan 'tikus' di Ulu Tiram di sini yang biasa digunakan oleh warga asing untuk pulang ke Indonesia.

"Dalam SMS itu, saya nyatakan segala maklumat peribadi mengenai anak saya sebelum seorang tekong bot di situ dapat mengesan Nurul sebelum dia dilarikan ke Lombok.

"Ketika disoal, lelaki Lombok yang dikenali sebagai Hasan Basri berusia 24 tahun itu memberitahu wanita itu berketurunan India namun pemeriksaan pada Mykad menunjukkan namanya sama dengan SMS yang diterima," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Masai di sini semalam.

Tambahnya, lelaki Lombok itu kemudian dibelasah sebelum diserahkan kepada polis. -kosmo



Motivasi: Kaki Dimakan Tikus, Kura-kura Berjalan Dengan Skateboard

London - Tuly, seekor kura-kura malang yang kehilangan satu kakinya, kini tidak perlu gusar lagi. Kini dia justeru sudah dapat melangkah lebih cepat, dibandingkan teman-teman yang lainnya.

Tuly kehilangan kaki depan kanannya kerana dimakan seekor tikus ketika ia sedang tidur.

Berkat idea gadis cilik Eleanor, anak dari Philip Chubb (64), seorang pengasas kelompok pecinta kura-kura, Tuly tak lagi kesulitan berjalan.

Di bawah badan Tuly dipasangkan papan yang diselipkan sebuah roda sebagai pengganti kaki. "Kami mendapatkan Tuly di sebuah klinik doktor haiwan, setelah ia menjalani operasi pemotongan kaki demi keselamatan nyawanya,” ujar Philip Chubb, seperti disiarkan majalah Orange, Jumaat (27/5/2011).

“Pada saat itu dia terlihat sangat lemah. Boleh bergerak dan berjalan namun sangat lemah,” imbuhnya.

Kulit bawahnya pun selalu tergesek ketika ia berjalan. Hal tersebut dapat menambah kesukaran bagi Tuly.

Akhirnya Chubb membeli sebuah traktor mainan dan dicabut salah satu rodanya. Lalu dia membuat penjepit dari logam dan strip kain pelekat (velcro).

"Tuly tampak tak keberatan diletakkan di atas roda tersebut dan tampak senang berselancar guna memakan gulma. Dia sekarang benar-benar kura-kura tercepat yang kita miliki dan lucu," tambahnya. -okezone


Ulasan GB

Moralnya: Binatang pun apabila ia menderita, kita perlu mencari jalan untuk ia dapat hidup normal seperti yang lain. Inikan pula manusia. Berapa ramai yang kudung dan berapa ramai mereka yang diberikan Allah kemewahan yang sanggup membelikannya sebuah kaki palsu untuk orang kelainan upaya itu dapat hidup seperti insan biasa?

Tragedi tanah runtuh anak yatim tempohari menjadikan kita terkesima. Sebelumnya ramai yang tidak hirau tentang keadaan dan keberadaan mereka, lantas Allah turunkan peringatan untuk kita yang pelupa - bahawa di sana rupa-rupanya ada yang malang yang memerlukan perhatian kita semua!