16 Mei 2011

Tangkap Ibrahim Ali Segera - NGO Aman

NGO Aman mahu Ibrahim Ali ditahan guna Akta Darurat

KUALA LUMPUR, 16 Mei — Angkatan Warga Aman Malaysia (Aman) menggesa Kementerian Dalam Negeri menahan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali di bawah Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) ekoran kesediaan melancarkan “perang jihad” ke atas komuniti Kristian.

Ibrahim (gambar) dalam ceramahnya kelmarin memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.

Menurut Pengerusi Aman AP Raja Retinam, kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim itu “amat bahaya”, boleh mencetuskan keadaan tidak aman dalam negara.

“Kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim Ali berhubung perang jihad adalah satu kenyataan amat bahaya, kami mahu beliau ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Darurat kerana keluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

“Malah dalam kenyataannya itu beliau seolah-olah mencabar polis, macam mana sehingga hari ini masih tiada tindakan yang dikenakan terhadap Ibrahim Ali... sudah lebih 48 jam tapi kenapa tiada tindakan diambil?”
katanya selepas membuat laporan polis terhadap Ibrahim di Balai Polis Sentul di sini.

Selain itu, tegas Raja Retinam, Ibrahim perlu menerima hukuman seperti mana yang dikenakan terhadap ketua rangkaian Al-Qaeda Osama bin Laden awal bulan.

Sebelum ini Aman mendakwa ia merupakan gabungan kira-kira 200 pertubuhan bukan kerajaan.

“Beliau dilihat cuba menghasut rakyat untuk bertindak menentang komuniti Kristian, ini tidak boleh,” katanya.

Tambah Raja Retinam, ini bukan kali pertama Perkasa dan Ibrahim mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara.

“Kenyataan yang dikeluarkan beliau adalah amat dahsyat, Kementerian Dalam Negeri harus ambil tindakan segera, tahan beliau di bawah Akta Darurat.

“Ini bukan kali pertama Perkasa dan Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman seperti ini, ini sudah menjadi budaya Perkasa dengan sekarang disokong Pembela (Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam).

“Saya tidak nampak kenapa Ibrahim Ali ini kebal, begitu juga dengan Utusan Malaysia, sepatutnya terbitan Utusan Malaysia digantung dan editor juga perlu digantung sehingga siasatan selesai,” katanya merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian agama rasmi?” yang diterbitkan pada 7 Mei lalu.

Bercakap secara peribadi sebagai anak jati kelahiran Kelantan, Raja Retinam menyifatkan Ibrahim tidak layak untuk menjadi rakyat negeri itu.

“Saya sebagai anak Kelantan berasa malu dengan kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim Ali, saya anak jati Kelantan dan rakyat Kelantan tidak akan kata perkara sebegitu.

“Saya rasa kelayakan beliau sebagai anak Kelantan perlu digugurkan kerana mengeluarkan kenyataan yang menjatuhkan imej orang Melayu dan Islam, beliau tidak layak untuk jadi rakyat Kelantan, rakyat Kelantan bukan seperti itu,” katanya.

Selain itu, beliau juga menegaskan, Umno tidak sepatutnya bertindak mempertahankan Utusan Malaysia yang mengeluarkan laporan yang tidak benar dan bersifat fitnah.

“Umno terpaksa mempertahankan Utusan Malaysia sebab Umno adalah bos walaupun apa yang dilaporkan itu tidak betul.

“Utusan Malaysia bukan mewakili orang Melayu,” katanya dengan merujuk kepada edaran akhbar itu yang dikatakan merosot.

Ekoran kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan apa yang dikatakan Ibrahim itu tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu.

“Saya tidak melihat Ibrahim Ali mewakili keseluruhan orang Melayu atau (masyarakat) Muslim (negara ini). Seperti Osama bin Laden, beliau tidak mewakili keseluruhan umat Islam,” katanya.

Semalam, Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta polis agar menyiasat ucapan-ucapan Ibrahim sejak beberapa hari lalu.

Malah hari ini DAP menggesa Putrajaya mengambil tindakan tegas terhadap Ibrahim. -TMI


Perang Salib: Pemimpin gereja mahu tindakan

Pemimpin masyarakat Kristian hari ini memilih untuk tidak membidas ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali yang didakwa menyemaikan benih kebencian agama di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Sebalik mereka mendesak pihak berkuasa segera bertindak kerana kegagalan berbuat demikian akan membawa padah kepada keharmonian negara.

Ibrahim yang juga presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA, pada Sabtu lalu berkata beliau bersedia melancarkan perang salib terhadap orang Kristian jika mereka didakwa terus mencabar kedudukan Islam di negara ini.

“Kenyataannya yang tersirat itu boleh menghancurkan keharmonian dan menimbulkan rasa benci ke atas masyarakat Kristian tanpa sebarang asas.

“Gereja tidak rasa tidak selamat kerana keselamatan kita adalah berdasarkan hubungan dengan Tuhan, tetapi kerajaan mesti bertindak bagi menjamin ketenteraman awam,” kata presiden Majlis Gereja Sabah biskop Albert Voon.

Sikap membisu

Katanya, kenyataan Ibrahim itu tidak wajar kerana ia hanya berasaskan laporan Utusan Malaysia yang mendedahkan kononnya paderi Kristian berkonspirasi bagi menjadikan Kristian agama rasmi persekutuan.

“Apabila gereja kami dibakar, adakah awak melihat masyarakat Kristian bertindak balas dengan berang?...

“(Polis kata) mereka masih menyiasat (dakwaan konspirasi Kristian)…tetapi bayangkan jika ada seorang biskop yang menggunakan istilah Perang Salib - dia akan (ditangkap) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada keesokannya harinya.”

Dengan nada yang sama, presiden Majlis Gereja-gereja Reverend Thomas Philips berkata adalah penting bagi pemimpin kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kata-kata melampau berkenaan.

“Dengan semua kenyataan itu, siapa yang akan bercakap bagi pihak yang diserang itu? Sikap membisu pemimpin negara yang gagal mempertahankan hak minoriti menimbulkan kecurigaan di kalangan mereka. Seseorang meniupkan sentimen agama akan membangkitkan kemarahan ramai orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, terdapat pelbagai peruntukkan dan undang-undang di negara ini bagi menangani mereka yang cuba menyebabkan huru-hara di negara ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengulas isu berkenaan berkata kenyataan Ibrahim tidak mewakili majoriti orang Melayu-Islam. Namun beliau tidak mahu melabelkan Ibrahim sebagai seorang ektremis. -mk


Ulasan GB

Yang GB lihat, kenyataan Ibrahim Ali itu menambah-parahkan sakit tenat yang sedang menimpa UMNO BN kini.

Ditambahi pula dengan sikap kerajaan yang enggan untuk bertindak ke atas Ibrahim & Utusan akan menyebabkan pekung UMNO BN semakin terserlah. Pekung apa? Pekung assabiyah dan perkauman sempit.

Membiarkan Ibrahim bercakap dan bertindak sesuka hatinya, menimbulkan porak peranda dengan kalimah jihad yang dia sendiri keliru dan jahil mengenainya, akan hanya membantu kecepatan berakhirnya riwayat BN sendiri. Teruskan.

MP Kelana Jaya Pula Terima Video Seks, Polis Lansung Tak Bertindak

Petaling Jaya: Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya Loh Gwo Burne hari ini mendakwa menerima satu sampul surat berisi beberapa keping gambar lucah mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekeping cakera padat (CD) dipercayai klip video seks yang didakwa mirip ketua pembangkang itu.

Loh berkata, satu sampul surat berwarna coklat yang terletak dalam peti surat di pejabatnya di Mentari Kelana Jaya di sini, namun tidak beralamat dan hanya tertulis ‘CD’ itu ditemuinya kira-kira jam 3 petang semalam.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan sejak bila kewujudan sampul surat tersebut kerana berada di luar negara minggu lalu.

Sejurus membukanya, beliau mendapati beberapa helai kertas bersaiz ukuran A4 yang menunjukkan gambar video lucah menyerupai Anwar dan sekeping CD tidak berlabel.

Beliau kemudiannya mendakwa menerima satu panggilan telefon mencurigakan daripada seorang lelaki tidak dikenali kira-kira pukul 3.54 petang yang bertanyakan pendapatnya jika beliau sudah menonton CD tersebut.

Fasih berbahasa Inggeris, lelaki itu melalui perbualan telefon dengan Loh berkata beliau mungkin menemui sesuatu yang menarik tentang bosnya (Anwar) yang jelas bukan seorang pemimpin yang berkaliber.

“Saya tanya siapa yang bercakap, namun beliau berkata ‘kita mungkin boleh jadi kawan’.

“Lelaki itu juga berkata kepada saya jangan bimbang kerana saya akan diberi habuan jika menolongnya mengaibkan Anwar dan terus mematikan panggilan,”
katanya kepada pemberita di pejabat PKR Kelana Jaya di sini hari ini.

Terganggu dengan panggilan tersebut, Loh membuat satu laporan polis di balai polis Sungai Way 12.30 malam tadi.

Ditanya jika sudah menonton CD tersebut, Loh menafikannya.

“Tidak perlu kerana jika keluarga Anwar sendiri sudah mengesahkannya, kenapa perlu saya tonton dan mempercayai kesahihan video tersebut,” tegasnya.

Bulan lalu, Ahli Parlimen PKR Kapar S Manikavasagam turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kerana menerima cd yang sama, namun beliau mengesahkan itu bukanlah Anwar selepas empat kali menontonnya. -FMT

Ulasan GB

Manalah rakyat nak percaya kepada pihak polis. Setiap sesuatu yang berlaku menunjuk dan mengarahkan kepada maruah dan integriti polis yang tercemar.

Datuk Eskay menyatakan hanya ada satu salinan dan salinan itu diserahkan kepada polis.

Kini begitu ramai memperolehinya, sampaikan di masjid pun diedarkan.

Dan polis berdiam diri tanpa apa-apa tindakan... dan rakyat sudah mempersoalkan apakah polis juga berada di belakang konspirasi pengedaran video seks ini. Jika tidak kenapa polis lansung tidak bertindak menyekat pengedarannya.


Malaysia Today Kerjasama Dengan WikiLeaks

London: Laman web yang dikendalikan Raja Petra Kamarudin, Malaysia Today dijangka akan meningkatkan pelawatnya lagi apabila memulakan kerjasama dengan laman dari Australia, WikiLeaks.

(GAMBAR: Petra dan Assange bersalaman dan menunjukkan dokumen perjanjian kerjasama antara mereka)

Kedua-dua laman itu melalui pemiliknya, Raja Petra dan Julian Assange menandatangani perjanjian kerjasama antara kedua-duanya hari ini di the Sunday Roast lunch dekat the Duke of York.

Turut serta di majlis itu adalah anak Raja Petra, Sara Petra.

WikiLeaks menggegarkan dunia apabila membuat pelbagai pendedahan tentang dokumen yang kebanyakan dimiliki oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Turut didedah adalah dokumen-dokumen berkaitan dengan Malaysia.

Raja Petra pula banyak menggegarkan politik Malaysia apabila membuat pelbagai pendedahan.

Antaranya adalah membuat pendedahan melalui Kenyataan Bersumpah kononnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut berada di tempat pembunuhan Altantuya Shaariibuu di Puncak Alam.

Baru-baru ini, Raja Petra melalui TV3 menegaskan itu bukan kenyataan beliau tetapi kenyataan seorang pegawai kanan tentera sebagaimana yang dinyatakan dalam Kenyataan Bersumpahnya.

Beliau meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu.

Ekoran itu, Kementerian Pertahanan memaklumkan pegawai tentera berkenaan telah digantung tugasnya. -HD

Cedera Parah Dipukul Dengan Cota Polis

Ayer Keroh - Gara-gara dituduh merempit, seorang operator pengeluaran sebuah kilang di sini didakwa dibelasah dengan cota oleh seorang anggota polis sehingga cedera semasa terjatuh daripada motosikalnya.

Lebih malang, remaja terbabit dikatakan terjatuh selepas melanggar sebuah motosikal yang turut menjadi mangsa dipukul anggota polis berkenaan dalam kejadian kira-kira 12.30 malam, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Farhan Abdul Malek, 22, berkata, semasa kejadian, dia menunggang motosikal dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Kebaya, di sini untuk ke rumah saudara di Pegoh untuk menziarah sepupunya yang baru sampai dari Kuala Lumpur.

“Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu kon jalan melayang entah dari mana dan mengenai seorang penunggang motosikal di hadapan saya.

“Akibatnya, motosikal dan penunggang berkenaan terjatuh menyebabkan saya juga gagal menekan brek dan terlanggar motosikal berkenaan. Saya juga terjatuh dan terseret atas jalan raya,” katanya.

Bagaimanapun, semasa menahan sakit, katanya, tiba-tiba seorang anggota polis datang dan mengheretnya ke tepi jalan sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Menurutnya, anggota polis berkenaan menuduhnya merempit dan hendak melanggarnya semasa membuat sekatan jalan raya. sedangkan mangsa langsung tidak menyedari ada sekatan jalan raya memandangkan tiada pengadang diletakkan.

“Jalan berkenaan memang gelap dan saya tidak nampak apa-apa sehingga saya sedar penunggang motosikal di depan saya sehingga menyebabkan kami berlanggar sesama sendiri.

“Apa yang menghairankan saya, polis berkenaan tanpa usul periksa menarik saya ke tepi jalan dan terus memukul saya dengan cota sebanyak empat kali di belakang badan sebelah kiri tanpa menghiraukan kecederaan saya alami.

“Saya juga dituduh mahu merempit sedangkan saya beritahu mereka saya mahu ke rumah sepupu. Saya juga tidak melanggar kesalahan jalan raya kerana lengkap berhelmet dan mempunyai cukai jalan dan lesen memandu yang sah,” katanya.

Dia bagaimanapun dilepaskan kira-kira setengah jam selepas itu sebaik saja merayu kerana sakit dan luka teruk sebelum dihantar polis berkenaan ke Hospital Alor Gajah, di sini untuk rawatan.

“Saya kemudian bersendirian mendaftar di hospital berkenaan sebelum menghubungi sepupu dan bapa saya memaklumkan kejadian berlaku, sebelum dihantar ke Hospital Melaka pagi tadi (semalam) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Malek Enden, 57, berkata, akibat insiden berkenaan anaknya patah tulang rusuk belakang akibat dipukul dengan cota, selain cedera serius di kedua-dua belah tangan dan melecet di belakang badan.

Menurutnya, dia kesal dengan sikap anggota polis itu yang membuat tuduhan dan tindakan melulu terhadap anaknya sehingga menyebabkan kecederaan teruk.

“Sudahlah anak saya dituduh bukan-bukan, polis tersebut juga membuat sekatan jalan dengan cara tidak betul.

“Jika benar mahu membuat sekatan jalan, kenapa dengan peralatan yang tidak lengkap dan hanya dua pegawai sahaja terlibat?

“Tiada sebab untuk anggota polis ini membaling seorang penunggang motosikal dengan kon jalan jika tiada apa-apa kesalahan dilakukan penunggang berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Melaka, semalam.

Abdul Malek juga menjelaskan anaknya tidak pernah terlibat dengan kegiatan rempit.

“Saya masih keliru kenapa anak saya dipukul seolah-olah ada salah faham dan dendam dilepaskan kepada orang yang tak sepatutnya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Abdul Malek membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah, petang semalam berhubung tindakan keterlaluan anggota polis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Sariffudin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan bapa mangsa.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian tersebut sebelum membuat sebarang tindakan.

Sehingga petang semalam, mangsa masih dirawat di wad D aras empat Hospital Melaka. -SH

Mangsa Simbahan Asid Derita

Shah Alam – “Hampir dua bulan kejadian itu berlaku, namun saya masih trauma dan berasa tidak selamat apabila berada di mana-mana sahaja,” kata seorang daripada 23 mangsa simbah asid, Rohainah Hussin, 30, ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, walaupun kesan kecederaan pada muka sebelah kiri, leher serta telinga yang terbakar sudah beransur pulih, dia masih memerlukan rawatan lanjutan dan terpaksa mengambil cuti dalam tempoh yang lama.

“Dalam tempoh dua bulan ini, akak berulang-alik ke Hospital Pantai untuk rawatan termasuk mendapatkan ubat-ubatan khas bagi memastikan kesan luka yang masih berair dapat pulih segera.

“Selain itu, akak juga akan jumpa doktor pakar mata Rabu ini untuk pemeriksaan susulan kerana sewaktu kejadian cecair terbabitt turut menjejaskan penglihatan,” katanya.

Ketika ditanya berhubung pengedaran fotofit suspek oleh polis kelmarin, Rohainah berkata, dia tidak sempat melihat wajah lelaki yang menyimbah asid ke arahnya dan rakan pada 23 Mac lalu.

Menurutnya, kejadian terlalu pantas, namun rakannya hanya perasan lelaki yang menaiki motosikal bersendirian itu bertopi keledar dan berbadan gempal, berbeza berbanding fotofit diedarkan.

“Saya cuma berharap individu yang tidak bertanggungjawab itu ditangkap segera kerana perbuatannya menyusahkan orang ramai dan menimbulkan rasa tidak selamat terutamanya dalam kalangan wanita.

“Rasa takut serta tidak selamat sentiasa ada, tidak kira ketika berada di rumah atau di tempat awam. Kejadian itu boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja,” katanya yang terkena simbahan asid ketika sedang berjalan bersama rakannya untuk ke tempat letak kereta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Brickfields pada 23 Mac lalu.

Rohainah berkata, dia bersetuju dengan saranan beberapa pihak untuk memperketat penjualan asid di kedai untuk mengelak bahan itu disalah guna bagi tujuan jenayah.

Menurutnya, saranan itu bagaimanapun perlu dilakukan secara berterusan dan konsisten supaya kejadian sama tidak berulang.



AWAS WANITA

Kuala Lumpur – Mengejutkan. Meskipun sudah 23 kes simbah asid melibatkan mangsa dan pemangsa yang saling tidak mengenali dilaporkan di sekitar Lembah Klang sejak Mac lalu, dan semakin menjadi-jadi bulan ini, masih ramai wanita yang seakan tidak ambil endah, sekali gus mendedah­kan diri mereka sendiri untuk menjadi mangsa seterusnya.

Ini kerana, daripada laporan kes terdahulu, hampir kesemua mangsa diserang di tempat terbuka, tidak ada kaitan malah tidak mengenali penyerang selain daripada berimej sama iaitu bertudung.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, rata-rata wanita muda di Ibu Kota dan pusat bandar lain di Lembah Klang, bukan sahaja tidak takut malah tidak sedar keselamatan mereka kini terancam, meskipun berada di tempat terbuka seperti berhampiran stesen Komuter atau LRT.

“Saya tak tahu. Betulkah ada kejadian seperti itu?” tanya Amira Mohamad, 23, penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ketika ditemui di Jalan Pantai Bharu di sini.

Menurutnya, rutin harian sebagai penuntut sentiasa sibuk dengan pelajaran menyebabkan dia kurang memberi perhatian.

“Kalau baca surat khabar pun, setakat baca saja. Saya tak ikuti sepenuhnya dan tak ambil ingat sesuatu perkara. Terima kasihlah kerana beritahu” katanya.

Nur Ilyka Mohd Nasir, 17, seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Ampang mengaku, ada mendengar me-ngenai serangan itu, namun dia tidak berasa dirinya terancam.

“Saya pergi sekolah dengan bas, balik sekolah pun dengan bas. Semasa tunggu bas pun, ramai-ramai dengan kawan. Jadi saya tak rasa diri saya akan diserang ‘lelaki asid’,” katanya.

Tambahan, Nur Ilyka berkata, daripada apa yang pernah diberitahu ibu bapanya, serangan itu berlaku di kawasan yang hampir dengan pusat bandar.

“Setahu saya, serangan itu tak pernah berlaku di kawasan Lembah Jaya, Ampang tempat saya tinggal,” katanya.

Mengikut rekod, pagi Jumaat lalu, serangan seumpama itu berlaku di Seksyen 10, Wangsa Maju yang berjarak hanya kira-kira 10 kilometer dari Ampang, tempat di mana Nur Ilyka berasa selamat.

S Yasotha, 38, ketika ditanya mengenai hal itu berkata, dia tidak tahu mengenai ‘lelaki asid’ kerana tidak mengikuti laporan media massa.

“Saya tidak tahu mengenai simbah asid. Betulkah kejadian itu ada berlaku?,” katanya.

Seorang guru, Shobihah Ismail percaya, lelaki asid hanya menyerang mangsa tertentu.

“Oleh itu, tidak perlu khuatir dan berhati- hati menghadapi kemungkinan disimbah asid,” katanya.

Pandangan sama juga disuarakan pembantu kedai, Siti Hawa Ramly, 18, yang mengaku tidak bimbang keluar berurusan setiap hari walaupun tahu isu ‘lelaki asid’ berleluasa.

“Saya tidak bimbang kerana percaya serangan itu berlaku kerana ada sebab tertentu, mungkin dendam. Saya tidak terlibat dengan penyerang itu jadi buat apa nak rasa takut?,” katanya.

Penuntut kolej swasta, Nurhaliza Abd Razak, 21, mengaku tidak buat sebarang persediaan menghadapi kemungkinan seandainya dia dijadikan sasaran.

“Sudah tahu ini, rasa takutlah juga tapi saya buat macam biasa saja,” katanya.


Bersedia: Harga Minyak RON95 Bakal Naik Lagi

Menteri: Bersedia hadapi kenaikan petrol RON95

Rakyat perlu bersedia kemungkinan berlaku kenaikan harga petrol RON95, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.

"Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga," katanya kepada Bernama di Putrajaya, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini bahawa harga bahan mentah itu tidak akan naik buat masa ini.

Ismail Sabri berkata kenyataan tidak akan naik buat masa ini tidak bererti harga bahan mentah itu tidak akan naik.

"Jadi rakyat kena bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana trend penurunan harga minyak tidak mungkin berlaku. Ini bermakna sama ada harga akan kekal atau pun naik. Jadi ia bergantung kepada kajian itu," katanya.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember tahun lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

Tiga hari lalu, Ismail berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak petrol RON95 tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Beliau berkata, kerajaan masih mengkaji untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut pasaran minyak dunia. -mk


Kos subsidi naik, TPM bayang kenaikan harga barang

PUTRAJAYA, 16 Mei — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kos subsidi dijangka meningkat dua kali ganda daripada RM10.32 bilion tahun lalu kepada RM20.58 bilion pada 2011.

Justeru kata timbalan perdana menteri, negara tidak boleh mempertahankan jumlah kos subsidi semasa — syarat yang dilihat kerajaan tidak dapat mengelak kenaikan harga barang-barang keperluan.

“Ya, kita memberi subsidi tetapi kita tidak boleh kekalkan subsidi pada jumlah yang sama. Jadi, ada cara di mana kita sedang cuba untuk mengurangkan kos-kos subsidi seperti menaikkan harga gula. Kami melakukan secara berperingkat-peringkat,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Kuasa membeli yang kecil, diapit dengan kenaikan harga barangan telah memberi tekanan ke atas pentadbiran Najib untuk menyalurkan lebih banyak dana awam ke atas pemberian subsidi.

Tindakan ini dikatakan perlu untuk mengelakkan kemarahan rakyat berhubung kenaikan kos hidup selain membalas serangan Pakatan Rakyat terhadap mengurangkan subsidi.

Harga gula mengalami kenaikan 20 sen sekilogram minggu lalu.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi peningkatannya.

Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.

“Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga,” kata beliau sebagaimana dilaporkan media tempatan.

Ismail Sabri berkata, kenyataannya sebelum ini bahawa tidak akan naik buat masa ini tidak bererti harga bahan mentah itu tidak akan naik.

“Jadi rakyat kena bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana trend penurunan harga minyak tidak mungkin berlaku. Ini bermakna sama ada harga akan kekal atau pun naik. Jadi ia bergantung kepada kajian itu,” kata beliau.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

Tiga hari lalu, Ismail berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak petrol RON95 tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Harga RON97 mengalami kenaikan 20 sen seliter pada awal bulan ini.-TMI


Pandi Kutty & Pariah - Panggilan Manja & Mesra

Melihat ‘Pandi Kutti’ dalam kerangka ‘Interlok’ dan ‘Kamus Dewan’ Oleh Uthaya Sankar SB

Walaupun kedengaran jelek, frasa itu adalah panggilan manja dan mesra Anwar kepada Najib.

Perkataan Tamil, “Pandi Kutti” tiba-tiba menjadi sebutan di seluruh negara dan ruang siber sejak belakangan ini. Saya membaca berita di Free Malaysia Today (8 Mei 2011) bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan istilah/frasa itu semasa berucap di Dewan Hamzah, Klang pada malam 7 Mei.

Perkara pertama yang saya lakukan adalah merujuk Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (DBP: 1988) untuk mencari perkataan “Pandi Kutti”. Saya tahu makna frasa/perkataan itu dalam Bahasa Tamil tetapi saya juga teruja untuk mengetahui kalau-kalau ia sudah diterima pakai dalam konteks “bahasa Melayu, budaya Melayu” dengan konotasi yang berbeza.

Hal ini penting kerana portal rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia sudah menegaskan: “Sehubungan dengan perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu, dan bukan dari kaca mata bangsa lain”.

Maka, tentulah saya tidak mahu masuk campur urusan “bangsa Melayu” jika “Pandi Kutti” adalah sebahagian daripada “perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka”.

Terbukti bahawa “Pandi Kutti” bukan perkataan bahasa Melayu; sekali gus tidak termasuk dalam kerangka “hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu, dan bukan dari kaca mata bangsa lain” seperti dicadangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saya nyatakan demikian kerana Umno Online pada 9 Mei melaporkan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Datuk Dr Muhammad Yusoff Hussein sebagai berkata bahawa “tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘pandikutti’ atau anak babi adalah tindakan orang tidak berpelajaran”.

Turut dilaporkan bahawa “Islam melarang sama sekali perbuatan menggelar seseorang dengan panggilan yang mengaibkan” dan “Anwar sepatutnya tahu Islam melarang keras menggelar seseorang itu dengan panggilan yang tidak baik kerana ianya [sic] adalah satu penghinaan dan menjatuhkan maruah”.

Apa yang menarik, FMT pada 9 Mei melaporkan Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor sebagai berkata, “Anwarlah Pandi Kutti, bukan Perdana Menteri saya” pada sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Umno Online pada 9 Mei pula melaporkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, “Cercaan Anwar yang melabel Perdana Menteri sebagai ‘pandikutti’ atau anak babi, sebagaimana yang dilapor oleh Free Malaysia Today pada 8 Mei lalu, adalah suatu yang biadap dan sangat kurang ajar” serta “ia menampakkah kejelekan serta kedudukan beliau (Anwar) yang kini amat terperosok dan tertekan dengan permasalahan peribadi serta perbalahan yang meledak sesama anggota pembangkang”.

Di sebalik segala “kekecohan” itu, Perdana Menteri pula dengan tenang mengatakan bahawa kata-kata yang diucapkan oleh Anwar “has not caused me to lose sleep” (Bernama, 10 Mei 2011).

Saya tidak mahu masuk campur dalam hal-hal dalaman mana-mana parti politik kerana bagi saya, parti-parti politik umpama sarkas yang seronok disaksikan dari luar; tetapi menjijikkan kalau kita masuk menyertai dan menjadi sebahagian daripadanya.

Manja dan mesra

Sebaliknya, saya mahu mengekalkan sikap apolitikal dan meneliti secara ringkas isu “Pandi Kutti” dalam kerangka “Interlok” dan “Kamus Dewan” kerana amat sesuai dan wajar dengan konteks Malaysia.

Sudah terbukti bahawa isu “Pandi Kutti” tidak boleh dilihat dalam konteks “bangsa Melayu” dan “bahasa Melayu” kerana perkataan/frasa itu tidak (belum) terkandung dalam Kamus Dewan.

Sebaliknya ia adalah perkataan/frasa Bahasa Tamil dan “hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Tamil, dan bukan dari kaca mata bangsa lain” sebagai meminjam pendirian Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saya merujuk “Kamus Bahasa Tamil – Bahasa Melayu – Bahasa Inggeris” (Fajar Bakti: 1998) dan mendapat pengesahan bahawa “Pandi” (panri) adalah “sejenis binatang” iaitu “babi” atau “pig”. Maka, “Pandi Kutti” bermakna “anak babi” atau “piglet”.

Ternyata tidak ada apa-apa unsur penghinaan dalam frasa “Pandi Kutti”. Malah, kedengaran “manja” dan “mesra” apabila diucapkan oleh dua individu yang rapat – atau pernah rapat seperti bersaudara.

Untuk berlaku adil, saya menggunakan “Pandi Kutti” dan bukannya “pandi kutti” kerana saya masih ingat akan pelbagai hujah yang digunakan (antara lain) oleh Datuk Zainal Abidin Borhan dari Gapena, Profesor Teo Kok Seong dari UKM dan Raja Rajeswari Seetha Raman dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu.

Dalam mempertahankan novel Interlok Edisi Murid (DBP: 2010), mereka mengatakan bahawa penggunaan perkataan “P****” adalah tindakan memuliakan kaum India kerana menggunakan huruf besar “P”, sekali gus menjadikannya ‘kata nama khas’ dan bukannya ‘kata nama am’.

Dalam konteks ini, sedangkan perkataan “P****” boleh diterima dengan gembira – serta dipertahankan bermati-matian oleh kelompok akademik, persatuan penulis dan NGO – saya tidak nampak mengapa panggilan manja “Pandi Kutti” oleh Anwar kepada Najib dianggap menyentuh sensitif.

Jangan kita lupa (atau buat-buat lupa) bahasa Anwar tidak memanggil seluruh kaum dengan panggilan “manja dan mulia” itu tetapi khusus kepada seorang individu yang (pernah) rapat dengannya.

Bagi Khairy yang melihat penggunaan frasa “Pandi Kutti” sebagai “kejelekan” amat wajar segera bertemu Presiden Pena, Mohamed Saleeh Rahamad untuk memenangkan fikiran.

Dalam isu Interlok Edisi Murid, pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya itu berpendirian bahawa “Biarpun ada unsur kejelekan pada sesetengah tempat, pengakhirannya membawa kepada pemahaman bersama bahawa perpaduan antara kaum penting” (Berita Harian, 20 Disember 2010).

Berbalik kepada pandangan Datuk Dr Muhammad Yusoff (Umno Online, 9 Mei 2011) yang menegaskan bahawa “Islam melarang sama sekali perbuatan menggelar seseorang dengan panggilan yang mengaibkan” dan “sepatutnya tahu Islam melarang keras menggelar seseorang itu dengan panggilan yang tidak baik kerana ianya [sic] adalah satu penghinaan dan menjatuhkan maruah”.

Betapa baik jika beliau telah tampil mengeluarkan pandangan dan hujah yang sama sebaik kontroversi novel Interlok Edisi Murid bermula pada akhir Disember 2010 untuk menyedarkan orang ramai bahawa “Islam melarang sama sekali perbuatan menggelar seseorang dengan panggilan yang mengaibkan”. -FMT

6 hingga 30 Jun Perbicaraan Untuk Bela Diri - Anwar Bakal Dipenjara, Sekali Lagi?

Seperti yang dijangka, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Anwar Ibrahim untuk membela diri atas pertuduhan liwat fitnah kedua.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zabidin Mohamad Diah memutuskan bahawa pihak pendakwaraya berjaya mengemukakan bukti-bukti "prima facie" dan Ketua Pembangkang itu perlu membela diri.

Zabidin menetapkan 6 hingga 30 Jun ini bagi Anwar membela diri atas pertuduhan liwat fitnah kedua itu.

Zabidin mendakwa keterangan pengadu Saiful Bukhari Azlan boleh diterima sebagai kebenaran dan beliau seorang yang "berwibawa".

Saiful antara lain, memberitahu mahkamah beliau sempat makan karipap dan minum kopi setelah "dipaksa" oleh Anwar melakukan jenayah itu.

Dalam penghakiman hampir sejam itu, Zabidin menerima segala keterangan Saiful, tiga pakar-pakar dan penemuan ujian DNA sebagai sebagai bukti kukuh untuk mengarahkan Anwar membela diri.

Reaksi awal peguam Anwar, Sivarasa Rasiah adalah "keputusan sudah dijangkakan, apabila hakim mengatakan beliau menerima keterangan Saiful sebagai kredibel."

Dalam hujahnya, Zabidin berkata beliau menerima bahawa sampel-sampel DNA melalui proses kerosakan kerana disimpan terlalu lama, namun ia tidak mencalar keputusan ujian yang dilakukan.

"Kes prima facie telah dibuktikan ke atas tertuduh" kata Zabidin di akhir penghakimannya.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan jika sabit kesalahan.

Ratusan penyokong Anwar tiba seawal jam 4.30 pagi dan berkumpul ke Masjid Kuala Lumpur yang terletak bersebelahan kompleks mahkamah bagi menunjukkan sokongan mereka kepada ketua pembangkang itu.

Mereka juga bersarapan nasi lemak yang berbungkuskan akhbar Utusan Malaysia sebagai protes simbolik mengenai peranan akhbar milik Umno yang didakwa menyiarkan pelbagai fitnah dan pembohongan terhadap Pakatan Rakyat.

Penyokong juga menunaikan solat hajat subuh sebelum beredar ke mahkamah. Ada yang datang sejauh dari kawasan kerusi parlimen Anwar di Permatang Pauh dan terdapat juga beberapa bas yang dari Gopeng, Perak.

Beberapa anggota pemuda PKR membantah tindakan pihak polis yang membuat sekatan jalan ke perkarangan kompleks Mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, pagi ini.

Ratusan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat masuk ke bilik perbicaraan kemudian menyantikan lagu 'ole ole' dengan lirik 'bebas, bebas, bebas, bebas, bebas Anwar, bebas Anwar'.

Mereka juga membawa sepanduk yang tertera "Hapuskan Politik Fitnah", " Rakyat Bangkit Lawan Fitnah" dan mesej-mesej lain yang menuntut keadilan untuk ditegakkan. -tvsnews



Liwat II: Kes prima facie, Anwar diperintah bela diri

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, beliau mendapati bahawa keterangan Mohd Saiful itu boleh dipercayai dan diterima sebagai kebenaran kerana saksi berkenaan seorang yang "berwibawa."

“Berdasarkan bukti, saya dapati ada kes prima facie terhadap tertuduh dan arahkannya untuk mempertahankan diri,” katanya Mohamad Zabidin dalam penghakiman lebih dua jam.

Selain itu, beliau berkata kejadian liwat itu benar-benar berlaku dan tiada apa yang disoal ketika soal balas boleh menunjukkan bahawa dakwaan liwat tidak boleh dibuktikan.

Mendengar penghakiman itu, Anwar mengeluh manakala isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata keputusan itu satu lagi hari yang sedih untuk keadilan.

Mohamad Zabidin kemudiannya menangguhkan perbicaraan seketika untuk menentukan tarikh bagi mendengar pembelaan Anwar.

Beliau kemudiannya menetapkan 6 hingga 30 Jun ini untuk menyambung perbicaraan kes liwat peringkat bela diri.

Hakim Mohamad Zabidin membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan oleh saksi-saksi pendakwaan dan hujah daripada Peguamcara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, dan peguam-peguam bela diketuai Karpal Singh di penghujung kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan menyimpulkan kes mereka pada 24 Mac, dengan 26 saksi memberi keterangan di perbicaraan yang bermula 3 Feb tahun lalu.

Mohd Saiful, 25, saksi utama pendakwaan yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan memberitahu mahkamah mengenai kejadian yang didakwa itu.

Butir-butir kejadian didengar secara tertutup walaupun beliau memberi keterangan di mahkamah terbuka mengenai persekitaran yang mendorong beliau membuat laporan polis terhadap Anwar.

Pada 7 Ogos 2008 Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan liwat bertentangan dengan peraturan alami di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10ptg dan 4.30ptg 26 Jun, 2008.

Tuduhan itu dikemukakan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat. -mk



Kes liwat: Anwar diarah bela diri

KUALA LUMPUR, 16 Mei — Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi diarah membela diri berhubung tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah berkata pendakwa raya telah membuktikan kesemua keterangan dan saksi untuk mempertahankan tuduhan ke atas Anwar.

"Kes prima facie telah dibuktikan ke atas tertuduh," kata hakim yang membacakan alasan penghakiman kes peringkat pendakwaan, yang berlarutan kira-kira satu setengah jam bermula 9 pagi tadi.

Katanya, tiada sebab bagi mahkamah untuk tidak menerima bukti-bukti yang diketengahkan pendakwa raya dalam kes ini.

Anwar, 63, dituduh meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Ini kes liwat kedua melibatkan Anwar selepas yang pertama 13 tahun lalu.

Terdahulu, Mohd Zaibidin memutuskan bahawa Saiful, yang juga pengadu, merupakan seorang saksi yang berwibawa dan keterangannya boleh dipercayai.

Mohd Zabidin juga berkata kesemua tiga doktor telah memberikan keterangan secara positif dan memutuskan ada elemen peneterasi. -TMI


Ulasan GB

Rasanya tak perlu tunggu kot sampai 30 Jun. Keputusannya akan sama seperti kes Liwat I.

Chegubard pernah meramalkan begini:

Di dalam politik, kita mesti realistik. Daripada trend perbicaraan mahkamah, Anwar pasti akan disumbat ke dalam penjara. Barang siapa yang tidak berani untuk membicarakan perkara ini, mereka buta politik.

Chegubard meneliti dari sudut "trend perbicaraan mahkamah" dimana memang sudah dari awal bukti nyata setiap permohonan pembela akan ditolak dan setiap cabaran pembela juga akan dikatakan tidak relevan.

GB pernah mengulas sebelum ini dimana GB menyatakan hakim Zabidin adalah jelmaan hakim Augustine Paul dari kes liwat I. Kerana cara dan corak penghakimannya serupa. Kerana skrip itu dari pejabat Peguam Negara. Mana tahu? Bekas pegawai kanan polis beranama Datuk Mat Zain Ibrahim sendiri yang meminta supaya Tangkap Dan Siasat Gani Patail Segera!

TERKINI: Anwar Diarah Membela Diri

Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membela dirinya terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah menyatakan pihak pendakwa berjaya mewujudkan kes prima facie case dan Ketua Umum PKR yang berusia 63 tahun itu perlu membela diri.

Beliau juga menyatakan Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah seorang saksi berwibawa.

Tertuduh menghadapi pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabie mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan jika sabit kesalahan.

“Pihak pembela cuba untuk menunjukkan Saiful sebagai saksi yang tidak berwibawa dan bukan seorang Muslim yang baik. Dengan meghormatinya pembelaannya, namun ia tidak relevan,” tambahnya.

“Saiful tampil sebagai saksi yang jujur dan bahanbuktinya meyakinkan, dengan setiap perincian diberikan di dalam keterangannya.

“Oleh itu persoalan selanjutnya ialah samada wujud bahan bukti untuk menyokong kenyataan Saiful.

“Ketiga-tiga doktor mengesahkan terdapat tusukan.

“Mengenai pencemaran bahanbukti DNA, kesemua sampel telah diambil sejurus selepas kejadian dan telah dimeterai. Saya lihat kemungkinan untuk berlaku pencemaran terlalu kecil.

“Berdasarkan kepada semua sebab di atas, pihak pendakwa telah berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh dan mengarahkannya untuk mempertahankan diri,” katanya.

Hakim Zabidin kemudiannya menangguhkan perbicaraan seketika untuk menentukan tarikh bagi mendengar pembelaan Anwar.

Ia mengambil masa hampir setahun sebelum perbicaraan liwatnya itu dimulakan, dengan pasukan pembelaan cuba mengetepikan pertuduhan terhadap Anwar.

Setelah gagal dalam permohonan awal di mahkamah tertinggi, pihak pembelaan kembali dengan permohonan lain mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah untuk laporan perubatan mengenai Anwar yang dijalankan oleh doktor-doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Perbicaraan itu, yang bermula pada 3 Feb tahun lepas, di mana Mohd Saiful, 25, memberikan keterangan dengan memberitahu mahkamah mengenai tugasnya di pejabat Anwar sebagai pembantu dan dakwaan insiden tersebut.

Bagaimanapun, butir-butir mengenai dakwaan perbuatan itu didengar di mahkamh secara tertutup, tetapi pada perbicaraan dalam mahkamah terbuka beliau memberikan keterangan berkaitan kes tersebut yang membawanya membuat laporan polis terhadap Anwar.

Malah Mohd Saiful memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak buang air besar selama dua hari selepas mendakwa diliwat.

Mohd Saiful juga memberikan keterangan bahawa slek hitam yang dipakai beliau pada hari dituduh diliwat adalah hadiah daripada Anwar.

Pendakwaan memanggil 27 saksi, termasuk tiga pakar dari HKL yang memeriksa Mohd Saiful pada 28 Jun, 2008, dua hari selepas dakwaan insiden itu berlaku.

Pihak pendakwaan juga menggunakan sepenuhnya penemuan dua ahli kimia, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, bahawa profil DNA "lelaki Y" didapati di dubur Mohd Saiful yang dikatakan adalah milik Anwar.

Ulasan GB

Ramalan GB pagi ini benar.

Kata GB, skrip sudah ada. Anwar akan diarahkan untuk membela diri.

Dua Bahan Buat Kek, Roti Ada DNA Babi: JAKIM

Putrajaya: Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia minggu lalu menolak permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebuah syarikat pembekal bahan membuat kek, roti dan pastri selepas mendapati ia mengandungi DNA babi dalam dua ramuan yang digunakan oleh syarikat itu.

Dua ramuan terbabit ialah ‘Whole Egg Powder’ dan ‘Whole Milk Powder.’

Difahamkan, syarikat yang beribu pejabat di Eropah itu turut membekalkan roti, kek dan pastri untuk pasar raya besar dan restoran di negara ini. Berikutan itu, Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta semua pemegang dan pemohon baru SHPM yang menggunakan produk keluaran syarikat terbabit mengambil langkah untuk mengelakkan sijil mereka ditarik balik.

“Semua pemegang atau pemohon baru yang menggunakan produk syarikat terbabit diminta menukar produk itu kepada produk lain yang memiliki sijil halal yang diiktiraf.

“Mereka juga diminta mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web, semalam.

Selain itu, pemegang dan pemohon baru juga diminta menjalankan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan semak daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya melayari laman web www.halal.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarikat yang memiliki SPHM. -BH

Ulasan GB

Mengapa JAKIM tidak menamakan syarikat pembekal bahan membuat kek, roti dan pastri tersebut supaya umat Islam lebih berwaspada dan mudah bagi pengguna Islam membuat aduan kepada JAKIM jika ia masih terus berada di pasaran?

Kes Liwat II : Hari Penentuan

Keputusan kes liwat Anwar hari ini

KUALA LUMPUR – Selepas hampir tiga tahun berlanjutan, kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan diputuskan hari ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md. Diah akan memberi keputusan pagi ini selepas meneliti dan mempertimbangkan hujah kedua-dua belah pihak di akhir pendakwaan sama ada akan membebaskan Anwar atau memanggil bela diri.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 64, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful, 26, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh menyebabkan Anwar dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Anwar yang kini dihimpit kontroversi rakaman video seks pernah didakwa atas tuduhan serupa iaitu meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar pada 2000 namun selepas disabitkan bersalah dan menjalani hukuman penjara empat tahun, hukuman terhadapnya diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan.

Seramai 27 orang saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 3 Februari tahun lalu dengan saksi pertama ialah pengadu sendiri, Mohd. Saiful mendakwa diliwat oleh Anwar ketika menghantar fail yang tertinggal di pejabat.

Mohd. Saiful dalam keterangannya juga mendakwa tidak membuang air besar selama dua hari selepas kejadian sebelum membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008.

Ulasan GB

Skrip sudah ada. Anwar akan diarahkan untuk membela diri.

GB pernah mengulas sebelum ini. Petikana:

Cara bagaimana keseluruhan prosiding berjalan dan bagaimana hakim membuat keputusan tak ubah seperti prosiding semasa mendiang Hakim Augustine Paul menghakimi kes liwat 1. Plotnya serupa. Semua permohonanan peguambela akan diketepikan, walaupun hujjah kukuh dan tidak dapat dipertikaikan oleh Pendakwa.

Mungkin, hakim-hakim zaman mutakhir ini serupa.

Apakah kenyataan di atas menghina mahkamah. Tidak! Ia adalah pemerhatian secara keseluruhan tanpa melibatkan mana-mana hakim secara khusus.

Di bawah ini khusus, tetapi sekadar menyatakan perkara yang benar.

Hakim yang bernama Datuk Mohamad Zaibidin Mohd Diah, semalam menyatakan "Walaupun terdapat percanggahan dalam laporan polis dan pengakuan saksi. Namun kenyataan saksi tidak konflik dengan kejadian. Berdasarkan hujah itu, permohonan Karpal ditolak.”

Tidak konflik dengan kejadian? Liwat tanpa rela atau liwat suka sama suka?


Berhujjahlah banyak manapun, skripnya sudah ada.

Husam Sendiri Gantung Banner Selepas Aktivis GEGAR Dipukul

Selepas dipukul, Exco turun sendiri gantung banner

Selepas seorang aktivis Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak (Gegar) dibelasah ketika menggantung banner menuntut royalti di Masjid Kampung Sireh, Kota Bharu Jumaat lalu, hari ini Exco Kelantan, Datuk Husam Musa sendiri turun menggantungnya di tempat sama.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan berbuat demikian malam tadi sebagai simbolik bahawa hak royalti negeri itu wajar dituntut.

Tindakan itu juga bagi menyatakan bahawa tiada mana-mana pihak boleh menghalang rakyat negeri ini menuntut hak royalti tersebut.

Dalam kejadian 13 Mei lalu, Setiausaha Gegar, Hisyamuddin Ghazali dipukul seorang lelaki ketika beliau sedang memasang banner menuntut royalti Kelantan di hadapan Masjid Kampung Sireh.

Mangsa yang ditemani isteri dan ibu ketika kejadian itu mendakwa penyerang tersebut yang ditemani seorang lagi rakannya secara tiba-tiba datang memberhentikan kereta yang dipandunya di belakang kereta mangsa, dan terus keluar meluru dan memukul beliau tanpa usul periksa.

Beliau dipukul di perut, kepala, mata dan telinga sehingga dirinya pitam seketika.

Manakala ibunya pula telah ditolak sehingga jatuh di atas jalan raya.

Ekoran itu mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Hisyamuddin yang turut hadir bersama rakan Gegar yang lain malam tadi bagaimanapun berkata, biarpun dipukul beliau tidak akan serik untuk terus memperjuang hak royalti rakyat negeri itu.

“Saya dan rakan-rakan dalam Gegar tidak akan berdiam diri dalam isu ini dan akan ke seluruh negeri dalam menyedarkan kembali tindakan sesetengah pihak menghalang royalti minyak untuk Kelantan adalah satu langkah pengkhianat kepada bangsa dan negeri ini sendiri,” katanya kepada Harakahdaily.

Mereka mensasarkan 140 keping baner lagi untuk dinaikkan di seluruh negeri.

Sehubungan itu juga, beliau mewakili Gegar turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang turut memberi sokongan terhadap usaha mereka itu. -HD


Aktivis Gegar dipukul ketika gantung banner royalti

Kota Bahru: Seorang aktivis Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak (Gegar) hari ini dipukul seorang lelaki ketika beliau sedang menggantung kain rentang menuntut royalti minyak negeri itu di Masjid Kampung Sireh di sini tengah hari tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa, Hisyamuddin Ghazali (gambar) yang ditemani isteri dan ibu sedang memasang kain rentang tersebut tiba-tiba diserang lelaki yang tidak dikenali terbabit.

Menurut mangsa yang juga setiausaha Gegar, penyerang tersebut yang ditemani seorang lagi rakannya secara tiba-tiba datang memberhentikan kereta yang dipandunya dibelakang kereta mangsa, dan terus keluar meluru dan memukul beliau tanpa usul periksa.

"Kejadian berlaku dalam masa yang singkat dan luar jangka. Lelaki itu datang dan terus memukul saya.

"Tumbukkan ala komando menyebabkan saya pitam berberapa saat dan ibu saya ditolak terlentang diatas jalan raya di hadapan Masjid Kampung Sireh", ceritanya.

Selepas menumbuk mangsa beberapa kali di muka, mereka kemudiannya kembali menuju ke keretanya.

Namun selepas menyedari mangsa merakam gambarnya, lelaki tersebut meluru semula mendapatkan mangsa dan memukulnya.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di bahagian perut, kepala, mulut dan mata.

"Saya mengalami bengang di telinga, kabur mata kiri dan sakit di perut akibat ditumbuh di kepala dan perut.

"Adakah salah saya memperjuangkan Royalti untuk rakyat Kelantan?", soalnya sambil memberitahu beliau pitam beberapa minit sebelum bangkit mengambil gambar penyerang terbabit.

Ekoran itu mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira jam 1 tengahari tadi.

"Inilah budaya samseng yang Umno cuba bawa di Kelantan.. rakyat kelantan mesti bersatu dalam tuntutan royalti, kita mesti tuntut sampai dapat dari kerajaan zalim", tegasnya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak sesekali takut untuk terus menuntut hak royalti Kelantan itu.

Tindakan bacul

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Abdul Latiff Abdul Rahman menyifatkan perbuatan samseng tersebut sebagai bacul dan tidak bertanggungjawab dan yakin ada kaitan dengan pihak yang tidak senang dengan gerakan mendesak royalti Kelantan tersebut.

"Kita kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab individu yang tidak dikenali memukul seorang aktivis Gegar pada hari ini.

"Perbuatan samseng seperti ini adalah tindakan bacul dan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu yang sangat bermusuh dengan gerakan mendesak royalti minyak dikembalikan kepada Kelantan.," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan, hasil minyak merupakan hak milik Kelantan dan tindakan memunggah hasil mahsul ini tanpa sebarang bayaran royalti hanyalah merupakan tindakan perompak yang merompak dengan cara yang kononnya sah mengikut undang-undang.

Selain itu beliau turut kesal dengan tindakan kerajaan pusat yang terus membelakangi tuntutan tersebut namun dalam masa yang sama dapat menjelaskan bayaran royalti minyak kepada negeri Terengganu.

Sedangkan katanya perjanjian yang terpakai ialah perjanjian yang sama dan langsung tidak berbeza antara satu sama lain.

"Sewajarnya usaha-usaha NGO seperti Gegar harus disokong oleh semua pihak khususnya di Kelantan dan bukan menanganinya dengan cara samseng yang hanya mengesahkan sifat takut dan pengecut pihak-pihak tertentu.

"Lebih menyedihkan jika tindakan seperti ini dilakukan oleh anak Kelantan yang mengaku berjuang untuk kepentingan bangsa Melayu, nampaknya slogan ini hanyalah retorik semata-mata," katanya.

Untuk rekod, Gegar adalah sebuah badan bertindak yang mengabungkan lebih 57 buah badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Ia terdiri dari dua gabungan NGO induk iaitu Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan (GABUNGAN) dan Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) yang bermatlamat mendapatkan kembali hak royalti berasaskan kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut Seksyen 4 Akta pada 1975. -HD 13/05/11