17 Mac 2011

25 Termasuk Pelajar Perempuan Dicekup Di Pusat Karaoke

Kuala Kangsar – Niat 25 pelajar untuk berhibur di pusat karaoke sempena musim cuti sekolah ini terbantut apabila diserbu dalam satu operasi bersepadu di sini, Selasa lalu.

Operasi membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Jabatan Agama Islam Perak itu dilakukan di dua pusat karaoke berasingan di sekitar Pekan Kuala Kangsar kira-kira jam 8 malam.

Ketua Cawangan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF), KDN, Ngeh Kiet Fock berkata, dua buah karaoke diserbu ialah di Jalan Datuk Maharajalela dan Jalan Juragan Abdul Syukur membabitkan 80 pegawai dan anggota.

“Seramai 51 pengunjung termasuk 25 pelajar sekolah dari dua pusat karaoke berkenaan telah di tahan dan dibawa ke Pejabat AADK Cawangan Kuala Kangsar, di sini.

“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 16 hingga 55 tahun menjalani ujian air kencing,” katanya kepada Sinar Harian.

Kiet Fock berkata, daripada jumlah yang ditahan. 42 daripadanya lelaki sementara sembilan pengunjung perempuan.

Menurutnya, kebanyakan mereka terdiri daripada remaja dan sebahagiannya masih di bawah umur.

“Selain ujian air kencing, kita juga menjalankan pemeriksaan ke atas kandungan telefon bimbit bagi mengesan kewujudan klip atau video lucah,” katanya.

Dalam ujian berkenaan, seorang remaja lelaki telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut kerana didapati positif dadah.

Kiet Fock berkata, hasil maklumat orang ramai, pihaknya telah menjalankan intipan hampir seminggu ke atas dua pusat karaoke berkenaan sebelum serbuan di buat.

Katanya, MPKK turut mengeluarkan dua kompaun ke atas pengusaha pusat karaoke atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa permit dan membiarkan tandas premis kotor.

“Operasi tamat kira-kira jam 10 malam, selepas ujian saringan air kencing dan pemeriksaan telefon bimbit dilakukan, kesemua pengunjung dibebaskan,” katanya. -SH

Tiada ulasan: