13 Dis 2010

Wanita Pecah Kepala Digilis Lori Pasir

Wanita pecah kepala digilis lori pasir

Gambar: Tiga anggota polis mengangkat mayat seorang warga emas Junaidah @ Jayakodi Abdullah, 62, yang maut selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah lori pasir di Jalan Taman Permai dekat sini, pagi tadi.

SEREMBAN: Seorang wanita maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah lori pasir tanpa muatan di persimpangan lampu isyarat Taman Permai, di sini hari ini.

Junaidah@Jayakodi Abdullah, 62, yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Seremban untuk bedah siasat.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, motosikal yang ditunggang wanita itu digesel lori yang cuba memotong motosikal berkenaan menyebabkan Junaidah terjatuh dan kepalanya digilis lori itu.

“Ketika kejadian, wanita itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya,” katanya di sini, hari ini.

Di Ipoh, polis meminta pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian langgar lari yang menyebabkan sepasang suami isteri terbunuh di KM 3 Jalan Sitiawan-Teluk Intan semalam, supaya tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Trafik Negeri, Superintendan Wan Abdullah Wan Ishak, berkata dalam kejadian pada jam 4.30 pagi semalam Law Choon Ming, 64, dan isteri Goh Chew King, 63, terbunuh apabila motosikal mereka dirempuh sebuah kereta dari arah belakang ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Cina, Sitiawan.

Beliau juga meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-6899222 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

[Bergambar] Awas, Kicap Kipas Udang Tiruan Di Pasaran

3 360 Botol Kicap Manis Cap Tiruan Dirampas

Gambar: KICAP TIRUAN... Gambar menunjukkan perbezaan antara Kicap Kipas Udang yang tiruan dan asli yang mana kicap asli (kanan) mempunyai penutup lubang plastik berbentuk bulat manakala kicap tiruan (kiri) penutup lubangnya berlubang. Itu adalah salah satu perbezaan antara kicap asli jenama Kipas Udang dan kicap tiruan yang dirampas oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

SEREMBAN: Sebanyak 3,360 botol kicap manis tiruan yang menggunakan jenama 'Kipas Udang' bernilai hampir RM10,000 dirampas dalam operasi Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan, Isnin.

Rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan di sebuah syarikat pemborong di Jalan Tuanku Antah di sini, kata Ketua Pengerusi PPDNKK Mohd Nor Musa.

"Kami mendapat aduan dari orang ramai menyebabkan kita membuat pemeriksaan di setor syarikat pemborong terbabit. Pemilik syarikat itu yang berusia 50-an bagaimanapun tidak mengetahui kicap itu adalah tiruan," katanya ketika ditemuidi tempat kejadian.

Beliau berkata sampel daripada kicap tiruan itu akan dihantar ke makmal untuk melihat sama ada ia menggunakan bahan merbahaya atau tidak.

Terdapat perbezaan yang agak ketara di antara kicap tiruan itu dengan yang asli iaitu tulisan tamat tempoh penggunaan kicap tiruan itu tidak dicetak dengan laser sebaliknya menggunakan pencetak komputer biasa, katanya.

Beliau berkata pihaknya kini mengesan pembekal kicap itu dan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 3 (1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000. - BERNAMA





Media Negara Amalkan Demokrasi Terpilih - Mohd Sabu

Mohd. Sabu: Media negara amalkan demokrasi terpilih

Tindakan media arus perdana dalam negara ini yang tidak telus dalam melaporkan perkara sebenar menyebabkan mereka berada pada tangga ke-166 dalam senarai kebebasan dunia.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramah penerangan beliau di Dewan JKKK, Pajak Song, Kepala Batas, Seberang Perai Utara semalam.

Menurut beliau lagi, sikap "double standard" yang diamalkan oleh media perdana menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara fakta, kebenaran dan kebatilan.

"Apabila mereka tidak dapat membuat pertimbangan yang bijak, maka akhirnya yang menjadi mangsa adalah kebenaran. Yang lebih parah lagi apabila wujudnya ketidaktelusan dalam menyampaikan maklumat."

"Malah demokrasi yang diamalkan oleh pihak media yang condong kepada pemerintah, hanya menjadikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai sesuatu yang benar. Manakala parti lain yang berada dalam negara ini, walaupun sah dari segi perundangan akan dianggap sebagai tidak sah kepada mereka," ujarnya lagi.

Mohamad Sabu juga menyelar sikap kerajaan yang menjadikan demokrasi sebagai momokan sedangkan pada konsep sebenar ia tidak dilaksanakan.

Tambahnya lagi, demokrasi yang diamalkan oleh media luar negara seperti Indonesia, Filipina dan kebanyakan negara luar adalah lebih baik jika dibandingkan dengan sistem amalan yang dilaksanakan dalam negara oleh kerajaan sedia ada.

"Sebagai bukti kita dapat lihat bagaimana peranan berat sebelah yang dimainkan oleh media milik kerajaan. Semasa pilihan raya diadakan mereka akan menggunakan media untuk menghentam parti lawan seperti PAS, PKR dan DAP."

"Sedangkan kita tidak diberi ruang dan peluang untuk membela diri. Mereka boleh membelasah kita tanpa henti. Sekelumit masa pun tidak mereka berikan untuk menyatakan visi dan misi kita untuk memperjuangkan hak dan membela nasib rakyat."

"Sekiranya keadilan mahu dilihat terbentuk dan dilaksanakan dalam negara, maka rakyat harus segera membuat reformasi dalam pilihan raya umum yang akan datang. Hanya melalui mandat rakyat sahaja kita mampu merubah ketidakadilan yang ada dalam negara,
" katanya lagi.

Dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah dengan menyekat maklumat parti lawan seperti Pakatan Rakyat (PR) bukan satu perkara baru yang diamalkan dalam negara ini. Walau bagaimanapun dengan perkembangan siber terkini, maklumat kepada rakyat dapat dirobos melalui sistem yang ada tanpa perlu menaruh harapan yang tinggi kepada BN sebagai parti pemerintah untuk melebar-luaskan penyiaran maklumat bagi pihak PR.

Katanya lagi, Perhimpunan Agung UMNO yang seringkali diberikan liputan meluas oleh TV3 adalah bukti ketara bagaimana berlakunya diskriminasi media terhadap PR maupun parti politik yang tidak sehaluan dengan pemerintah.

"Namun begitu, PR tidak akan mengamalkan ketidakadilan yang menjadi amalan mereka menyelinap masuk seandainya tampuk pemerintahan berada dalam kekuasaan kita menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan datang."

"PR akan tetap mempraktikkan keadilan kepada semua golongan masyarakat tanpa mengambil kira kedudukan entiti, ras dan agama yang mereka anuti bagi memberi keadilan dan pembelaan yang sewajarnya," tegasnya lagi.

Majlis anjuran PAS kawasan Tasek Gelugor itu turut di hadiri oleh kepimpinan PAS, PKR dan DAP. -MR

Pemilihan DAP Pulau Pinang, Phee Bersama 4 ADUN Lain Tewas

Phee, empat Adun tewas pemilihan DAP Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 12 Dis − Pemimpin veteran negeri Phee Boon Poh dan empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tewas mengejut pada pemilihan 15 anggota jawatankuasa DAP Pulau Pinang hari ini.

Kekalahan Phee, yang juga exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, dianggap mengejut kerana beliau merupakan antara pemimpin yang paling rajin turun padang dalam melaksanakan tugasnya.

Pada pemilihan di Dome, Kompleks Tun Abdul Razak di sini, Phee, yang juga Adun Sungai Puyu, memperoleh 173 undi, iaitu kurang enam undi daripada Gooi Seong Kin yang menduduki tempat terakhir dalam barisan jawatankuasa itu.

Empat lagi Adun yang tewas ialah Lau Keng Ee (Pengkalan Kota), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong), Koid Teng Guan (Sungai Pinang) dan A. Tanahsekharan (Bagan Dalam).

Ketika ditemui selepas keputusan diumumkan, Phee kelihatan tenang dan berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh 466 perwakilan itu dan menganggap ia sebagai titik tolak bagi dirinya untuk berjuang dengan lebih gigih demi parti.

“Saya menerima kekalahan itu dengan hati terbuka. Mungkin saya belum cukup bagus, sebab itu perwakilan tidak mengundi saya,” katanya.

Pada pemilihan itu, Adun Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo, yang juga anak kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh, memperoleh undi terbanyak dengan 348 undi.

Keputusan rasmi pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang:

1. Jagdeep Singh Deo − 348 undi
2. Law Heng Kiang − 321
3. Chow Kon Yeow − 312
4. Chong Eng − 261
5. Lim Hock Seng − 257
6. Ng Wei Aik − 256
7. Wong Hon Wai − 250
8. Koay Teng Hai - 245
9. Lim Hui Ying - 241
10. Prof Dr P. Ramasamy - 240
11. Teh Yee Cheu - 219
12. D Harvinder Singh - 215
13. R.S.N Rayer - 190
14. Lay Hock Peng - 185
15. Gooi Seong Kin - 179

Pengerusi DAP Pulau Pinang: Chow Kon Yeow
Timbalan Pengerusi: Prof Dr P. Ramasamy
Naib Pengerusi: Jagdeep Singh Deo/Lim Hock Seng
Setiausaha: Ng Wei Aik
Penolong Setiausaha: Lim Hui Ying
Bendahari: Wong Hon Wai − Bernama


Pertama kali doa dibaca di konvensyen DAP

Konvensyen DAP Pulau Pinang 2010 yang berakhir semalam menempa sejarah tersendiri apabila bacaan doa berkumandang buat pertama kalinya dalam sebuah persidangan parti yang berusia 44 tahun itu di Pulau Pinang, yang selama ini diuar-uarkan sebagai parti cauvinis perkauman.

Bacaan doa selama lebih kurang empat minit itu dipimpinkan oleh Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar yang turut menegaskan bahawa Islam adalah untuk semua umat manusia tanpa mengira kaum, fahaman politik mahupun darjat.

Dalam ucapan ringkasnya sebelum membaca doa tersebut, Yaacob berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana pihak untuk membaca doa dalam majlis yang kebanyakannya dihadiri oleh bukan Islam kerana ajaran Islam itu membawa kebaikan kepada semua yang mengamalkannya.

Bacaan doa tersebut berkumandang sejurus selepas hampir 650 perwakilan yang menyertai konvensyen itu selesai menyanyikan lagu Negaraku, Lagu negeri Pulau Pinang dan lagu rasmi parti, demikian menurut kenyataan pejabat ketua menteri Pulau Pinang.

Puluhan ahli DAP berbangsa Melayu yang hadir di konvensyen sehari itu menadah tangan mengaminkan doa berkenaan di samping beberapa ahli PAS Pulau Pinang yang turut hadir sebagai tanda sokongan atas perjuangan bersama dalam Pakatan Rakyat.

Bacaan doa bagi memohon kesejahteraan para peserta persidangan tersebut selain meminta pertolongan dan rahmat Allah Taala agar memberkati majlis dan perjuangan parti berkenaan adalah sesuatu yang asing bagi mana-mana DAP sebelum ini.

DAP sering dituduh cauvinis kaum kerana bilangan keanggotaannya yang lebih memihak kepada masyarakat Cina dan dakwaan cuba untuk meminggirkan orang Melayu serta India di negara ini.

Konvensyen kali ini turut menyaksikan lapan calon Melayu daripada keseluruhan 88 calon yang bertanding untuk merebut 15 kerusi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang dalam pemilihan dwi-tahunan itu, namun kesemua lapan calon itu kalah.

Namun, jawatankuasa DAP negeri memutuskan untuk melantik calon tunggal Melayu, Zulkifli Mohd. Noor untuk menganggotai jawatankuasa itu bagi penggal 2010 hingga 2012.

Selain Zulkifli, antara calon-calon Melayu yang bertanding ialah Kamarulzaman Mohd. Sharif, Mohd. Razali Abdul Rahim, Nurul Baizura Ismati, Yusof Mohamad, Rozaini Abdul Kadir dan Suhaimi Chee Mugther. -mk


Pilihanraya Berasingan: Tok Guru Suruh Kaji Dahulu Kesannya

Kaji serangan BN jika Pakatan mahu pilihan raya asing, kata Nik Aziz

Nik Aziz menyempurnakan tugas harian beliau ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian semalam.

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Cadangan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berasingan bagi negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat memerlukan kajian mendalam sebelum ia diguna pakai, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sejak menerajui Kelantan sejak 1990, Menteri Besar ini biasanya akan membubarkan DUN seiring dengan pembubaran Parlimen oleh Barisan Nasional (BN), agar kedua-dua pilihan raya diadakan serentak.

Tradisi itu diteruskan ketika pada 2004 ketika Terengganu diterajui PAS.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, sama ada pilihan raya DUN wajar dilaksanakan berasingan atau sebaliknya, keputusan itu perlu dikaji terlebih dahulu khususnya terhadap kesan yang bakal dihadapi oleh kerajaan berkenaan sekiranya ia dilaksanakan.

Dipetik Harakahdaily yang menemui beliau di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini semalam, Nik Aziz mengulas kenyataan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipetik berkata kerajaan negeri dikuasai perikatan tiga parti itu mempunyai pilihan untuk mengadakan pilihan raya Dun berasingan jika kerajaan BN mengadakan pilihan raya umum tahun hadapan.

Katanya, kuasa membubarkan DUN adalah hak milik kerajaan negeri dan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat berhak mengadakan pilihan raya negeri.

Nik Aziz menambah sekiranya cara berkenaan dilaksanakan, ia akan memudahkan pelbagai jentera Umno dan BN menyerang negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

“Jadi saya rasa cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan,” ujarnya.

Pakatan Rakyat kini menerajui Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Laporan pertengahan tahun ini menyebut kemungkinan Kedah, Pulau Pinang dan Selangor akan mengadakan pilihan raya DUN yang berasingan iaitu selepas tahun keempat mandat semasa.

Mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013, tetapi spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 kemungkinan diadakan suku pertama tahun depan.

Laporan Bernama semalam menyebut, Nik Aziz kini menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana masalah pinggang.

Anaknya Nik Omar berkata Murysidul Am PAS itu dirawat di hospital itu sejak Jumaat lepas setelah dinasihatkan pakar perubatan pada Rabu.

Nik Omar berkata masalah pinggang itu dihidapi ayahnya sejak sekian lama selepas terjatuh dari kuda.

Menteri Besar Kelantan berusia 79 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan baik. -TMI


Anwar mahu pilihan raya negeri diasing

Dakwa kerajaan pembangkang berkuasa bubar DUN dalam tempoh berlainan dengan Pusat

PETALING JAYA: Kerajaan negeri dikuasai pembangkang mempunyai pilihan untuk mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) berasingan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) mengadakan pilihan raya umum tahun depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kuasa membubarkan DUN adalah hak milik kerajaan negeri dan negeri yang dikuasai pembangkang berhak mengadakan pilihan raya negeri berasingan dengan Kerajaan Pusat.

“Kita serah kepada kerajaan negeri untuk adakan pilihan raya negeri secara berasingan. Pada dasarnya pembangkang bersedia hadapi pilihan raya negeri jika ia diadakan tahun depan.

“Namun kita masih ada opsyen (mengadakan pilihan raya umum Parlimen dan DUN serentak atau tidak). Itu kuasa kerajaan negeri,” katanya pada sidang media mengenai konvensyen pakatan pembangkang yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 19 Disember ini.

Hadir sama, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggap cadangan mengadakan pilihan raya umum Parlimen dan DUN secara berasingan menimbulkan lebih banyak keburukan seperti melayan pelbagai kerenah politik selain membazir wang rakyat.

Sementara itu kata Anwar, konvensyen pakatan pembangkang di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Ahad depan tidak akan menyentuh langsung isu penubuhan negara Islam diperjuangkan PAS.

Anwar berkata, tidak ada keperluan untuk pakatan pembangkang membincangkan isu itu kerana ia bukan faktor utama konvensyen dan ia bukan isu yang menjadi agenda utama pembangkang.

Katanya, konvensyen itu akan membincangkan pelbagai perkara seperti persiapan pilihan raya umum termasuk mengadakannya secara serentak di negeri dikuasai pembangkang, isu perlembagaan, dasar dan hala tuju pakatan pembangkang, ekonomi serta pendidikan.

“Kita tidak akan membincangkan isu penubuhan negara Islam yang diperjuangkan PAS sebaliknya menumpukan isu yang selama ini disepakati pembangkang. Mengapa kita perlu bincangkan isu yang tidak menjadi dasar konsensus parti pembangkang,” katanya. -BH



Seorang Ibu Ditahan. Dipercayai Bunuh Bayi

Ibu dipercayai bunuh bayi

AHLI keluarga yang enggan ditemui wartawan sedang menunggu bedah siasat kematian bayi terbabit di Jabatan Forensik Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, semalam. Lelaki dengar jeritan, lihat anak riba cucu tidak sedarkan diri

PASIR PUTEH: Polis menahan seorang ibu berumur 31 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian bayi perempuannya yang berusia enam bulan dalam kejadian di Kampung Gaal Tengah di sini, pada jam 5 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata wanita terbabit ditahan selepas bapanya Che Muda Salleh, 60, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh satu jam selepas kejadian itu.

“Lelaki terbabit terdengar anaknya menjerit dan mendapati wanita itu sedang meriba bayinya yang tidak sedarkan diri.

“Bayi perempuan yang dikenali sebagai Al Miyazara Mohd Azim itu dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA),” katanya di sini, semalam.

Mohd Kamal berkata siasatan awal mendapati unsur mencurigakan punca kematian bayi itu.

Ibu mangsa dipercayai mengalami tekanan perasaan dan ketika kejadian bapa mangsa tiada di rumah, kerana berada di Kota Bharu.

“Mayat bayi terbabit ditempatkan di Unit Forensik HTA untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama media tidak menemubual keluarga mangsa bagi mengelak gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan.

Dunia Sokong Assange, Demonstrasi Diadakan Tuntut Pembebasannya

Washington: Ribuan orang di pelbagai pelosok dunia mengadakan tunju perasaan aman untuk menyokong pengasas WikiLeaks, Julian Assange. Mereka mendesak agar Assange dibebaskan dari semua tuduhan. Para demonstrasi menyeru melindungi wartawan menulis tanpa tapisan.

Saat para penyokong WikiLeaks, menyatakan sokongan kepada Assange, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Sabtu di Washington, mengajak pemimpin dunia mengutuknya. Obama menyebut tindakan WikiLeaks ”menyedihkan”.

Rumah Putih mengatakan, Obama mengungkapkan komentarnya ketika bercakap telepon dengan Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, Sabtu. Obama menyatakan ”penyesalan atas tindakan WikiLeaks. Kedua pemimpin tersebut sepakat bahawa hal itu tidak akan memengaruhi atau mengganggu kerja sama yang erat antara AS dan Turki”.

Percakapan dengan Erdogan amat penting bagi Obama kerana bocornya kawat diplomatik itu mengakibatkan hubungan Turki dengan AS agak terganggu. Pegawai, termasuk PM Turki, sempat memberi reaksi atas bocornya dokumen lewat WikiLeaks.

Harapan dan komentar serupa disampaikan Obama dalam percakapan dengan Presiden Meksiko Felipe Calderon, sahabat karib AS di Amerika Selatan.

Bukan ancaman tunjuk perasaan menyokong WikiLeaks dan pengasasnya, Julian Assange, pun diadakan di beberapa kota di dunia, seperti Barcelona dan Madrid (Sepanyol), Amsterdam (Belanda), Lima (Peru), Bogota (Colombia), Mexico City (Mexiiko), dan kota-kota lain di Australia, termasuk Sydney. Mereka yakin, dokumen yang disiar WikiLeaks bukan ancaman terhadap keselamatan negara.

Di Madrid, misalnya, massa menentang penahanan Assange, pengasas web pembocor kawat diplomatik AS, WikiLeaks, oleh pihak berkuasa England. Assange ditahan di London dan akan diekstradisi ke Sweden kerana kes tuduhan pemerkosaan.

”WikiLeaks berguna untuk masyarakat dan mendorong pemerintah bekerja secara telus,” kata David, seorang peserta demonrrasi, kepada BBC.

Para penunjuk perasaan di Amsterdam menyebut, penahanan Assange adalah bentuk sekatan yang menghambat kebebasan wartawan. Mereka menyeru kebebasan wartawan harus dilindungi. Internet juga dilahirkan untuk bebas berkata.

Dari Geneva, diberitakan bahawa pihak berkuasa sedang menyelidiki Postfinance, sebuah unit perbankan Swiss Post. Hal itu dilakukan setelah muncul berita bahawa akaun Julian Assange di bank itu juga ditutp.

Penyelidikan dilakukan untuk mengetahui, apakah Postfinance melanggar undang-undang tentang kerahsiaan perbankan Swiss. ”Kami sedang melakukan penyelidikan sehubungan dengan pernyataan Postfinance bahzwa telah dilakukan sebuah tindakan,” kata Hermann Wenger, seorang pegawai Switzerland di kawasan Bern-Mittelland, kepada harian SonntagsZeitung.

Jurucakap Postfinance, Marc Andrey, mengatakan, tidak ada pelanggaran undang-undang perbankan.





Hospital Cuai Sebabkan Kematian Anak Dan Isterinya, Kata Ahli Perniagaan

Ahli perniagaan dakwa hospital cuai

Khairul Anwar bersama arwah isteri, Norliza Shariff.

SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan mendakwa isteri dan anaknya meninggal dunia ketika proses kelahiran akibat kecuaian doktor serta jururawat sebuah hospital swasta di sini, pada 6 Disember lalu.

Khairul Anwar Abdul Halim, 40, mendakwa isterinya, Norliza Shariff, 40, diberikan gas nitrus oksida dan oksigen berterusan selama lebih dua jam sehingga menyebabkannya berada dalam keadaan separuh sedar.

“Isteri saya baru selesai makan pada jam 1.45 petang dan mula terasa sakit hendak bersalin kira-kira jam 3 petang lalu jururawat memakaikan topeng gas nitrus oksida dan oksigen untuk mengurangkan sakit.

“Saya menegur kerana bimbang isteri memuntahkan kembali makanan, tetapi tidak dipedulikan. Doktor kemudian mendapati bukaan serviks sudah empat sentimeter (sm) walaupun tidak memecahkan air ketuban.

“Doktor memecahkan air ketuban jam 4.15 petang dan beredar. Kira-kira 15 minit kemudian bukaan serviks sudah lapan sm dan isteri saya mengalami kontraksi setiap setengah minit dan berlanjutan selama 20 minit, namun jururawat tidak memaklumkan doktor sebaliknya menyuruh isteri saya meneran.

“Selepas itu isteri saya muntah dalam topeng gas dan berada dalam keadaan separuh sedar dengan mata terbeliak. Pada waktu sama doktor tiba dan panik melihat keadaan isteri saya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, doktor terbabit bagaimanapun tidak berusaha menyelamatkan isterinya, sebaliknya sibuk menggunakan telefon bimbit menyebabkan beliau sendiri mengambil inisiatif memanggil isterinya bagi mengelakkan pengsan.
Katanya, beliau kemudian menggesa doktor membuat pembedahan menyelamatkan isteri dan anaknya, namun pihak hospital mengambil masa setengah jam menyediakan dewan pembedahan.

Beliau berkata, lebih dikesalkan, isteri dan anaknya disahkan meninggal dunia pada jam 6.35 petang, tetapi beliau hanya dimaklumkan mengenainya sejam kemudian.

“Saya hairan sikap doktor terbabit yang mengelak untuk menyambut kelahiran secara caesarean walaupun diminta sejak beberapa bulan lalu.

“Sejak awal saya meminta doktor melakukan pembedahan kerana memikirkan usia isteri saya dan sehingga pagi hari kejadian saya masih mendesak, namun doktor terbabit berkeras melakukan secara normal,” katanya.

Khairul berkata, beliau sedang berbincang dengan peguamnya untuk menyaman hospital serta doktor terbabit sebagai peringatan kepada semua hospital swasta supaya tidak mengambil mudah keadaan setiap pesakit.

Sementara itu, seorang pakar perbidanan dan sakit puan hospital terbabit, berkata siasatan dalaman sudah dilakukan dan mendapati tidak ada sebarang kecuaian berlaku kerana semua dilakukan mengikut prosedur ditetapkan. -BH

[Bergambar] Bas Bawa Pelajar IKM Terhoyong Hayang Sebelum Tercampak Ke Longkang

Bas turun bukit terhoyong-hayang

IPOH: “Sebelum kejadian, saya merasakan sistem brek bas tidak berfungsi dengan baik sebaik melalui jalan licin sebelum bas yang kami naiki hilang kawalan dan terhumban dalam longkang ketika menuruni bukit.

“Kami bergegas menyelamatkan diri dengan keluar ikut pintu kecemasan di belakang bas,” kata Nurul Asmah Harun, 22, penuntut Sijil Lukisan Mekanikal, Institut Kemahiran Mara (IKM), Jasin Melaka yang cedera selepas bas dinaikinya terhumban dalam longkang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin di Kilometer 304.5 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Gua Tempurung, seramai 21 penuntut dan pensyarah dari IKM Jasin, Melaka bersama anggota keluarga masing-masing cedera termasuk seorang parah apabila bas dinaiki terhumban dalam parit.

Kejadian berlaku apabila sistem brek bas tidak berfungsi ketika menuruni bukit menyebabkan kenderaan itu terbabas masuk dalam longkang.

Bas berkenaan dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Jasin, Melaka membawa 38 penumpang dan mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Tapah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

Nurul Asmah dari Skudai, Johor berkata, ketika menuruni bukit, bas berkenaan terhoyong-hayang selain mengesan sistem brek bas seperti ada masalah.

“Sejurus kemalangan, saya terasa sakit di rusuk kiri, tetapi tetap gagahkan diri keluar menyelamatkan diri menerusi pintu kecemasan,” katanya ketika ditemui di HRPB semalam.

Katanya, akibat kemalangan itu, dia mengalami beberapa luka kecil di badan selain patah rusuk kiri.

Seorang lagi mangsa yang cedera, Nor Izrin Abd Hamid, 23, berkata, dia tidak dapat mengingati dengan jelas bagaimana kejadian berlaku kerana terlelap.

“Sebaik tersedar bas sudah terbalik dan terus menjerit meminta tolong sebelum bergegas mencari jalan keluar bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Nor Izrin patah tangan kiri dan menerima rawatan di Hospital Tapah.

Abdul Rahman Md Salim, 17, penuntut IKM berkata, ketika kejadian bas dinaiki menuruni bukit selain hujan lebat.

Katanya, pemandu bas cuba mengelak sebuah bas sekolah di depan sebelum cuba menekan brek, tetapi sistem brek mengalami masalah.

“Pemandu bas mengubah haluan ke kiri jalan bagi mengelak merempuh bas sekolah itu sebelum hilang kawalan dan terhumban ke longkang ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Asisten Superintendan Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi berkata, kebanyakan penumpang bas yang cedera sudah dibenarkan pulang selepas selesai menjalani rawatan di HRPB dan Hospital Tapah.

Beliau berkata, bas terbabit dibawa ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk diperiksa.










[Bergambar] Kes Bunuh: Mayat Lelaki Dengan Kesan 2 Tembakan Ditemui

Mayat Lelaki Dengan Kesan Dua Tembakan Ditemui Di Lebuh Raya KL-Karak

BENTONG: Mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemui dengan dua kesan tembakan di kepala dan belakang badannya, di Km 46.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Rosli Abdul Rahman berkata polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 3 petang oleh seorang pemandu bas.

"Pemandu terbabit kebetulan sedang mendapatkan bantuan kecemasan berikutan basnya yang rosak dan ternampak mayat lelaki itu terdampar di tepi lebuh raya berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata mayat itu ditemui berpakaian lengkap dengan kemeja-T dan berseluar jeans dalam keadaan terbaring di tepi lebuh raya berkenaan.

Tidak ada pengenalan diri ditemui namun mayat itu mempunyai tatu harimau di bahagian dada dan belakang badannya, kata Rosli.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu berusia dalam lingkungan 30an dan dipercayai mati akibat ditembak dalam tempoh antara 24 dan 36 jam lepas.

Polis juga percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain memandangkan tidak ada kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian, katanya.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-BERNAMA




Lee Kuan Yew Percaya Anwar Meliwat - Ulasan GB

Singapura percaya Anwar meliwat

Singapura - Pemimpin Singapura, Lee Kuan Yew percaya Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan hubungan seks dengan seorang pembantu lelakinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, menurut kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) yang didedahkan laman web WikiLeaks semalam.

Menurut agensi berita AFP, kabel diplomatik itu bertarikh November 2008 dan maklumat tersebut dibocorkan laman web WikiLeaks kepada kumpulan media Fairfax di Australia.

Akhbar The Sun-Herald di Australia semalam menyiarkan maklumat itu berdasarkan apa yang diberitahu Kuan Yew kepada Pejabat Penilaian Kebangsaan (ONA) yang merupakan agensi perisikan Australia.

Menurut kabel diplomatik itu: "Australia menyatakan bahawa perkhidmatan perisikan Singapura dan (bekas perdana menteri) Lee Kuan Yew telah memberitahu ONA dalam pertukaran (maklumat) mereka bahawa Ketua Pembangkang, Anwar pernah sesungguhnya melakukan perlakuan yang dia kini dituduh."

Kabel itu menyatakan bahawa pemerintah Singapura membuat rumusan tersebut berdasarkan "risikan teknikal".

Akhbar Australia melaporkan risikan teknikal itu berkemungkinan maklumat yang diperoleh daripada aktiviti memintas komunikasi.


...Dalam kenyaatan dikeluarkan lewat petang ini, Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat perlu faham kaedah operasi dan fungsi WikiLeaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya.

“WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.

“Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan antara ahli-ahli diplomat.

“Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee dan agensi perisikan negara itu,” katanya.

Saifuddin berkata, laporan The Sydney Morning Herald ditulis berdasarkan catatan pendapat peribadi ahli diplomat Singapura mengenai jiran serantau dalam Asean, Jepun, China dan India.

“Ia adalah pendapat peribadi mereka, bukannya fakta,” katanya lagi.... petikan dari TMI


Ulasan GB

Saifuddin sebenarnya cuba menafikan pendedahan itu, dan cuba bertindak menjadi pakar internet atau tidak mendapat maklumat yang betul dari penasihat ITnya apabila mengeluarkan kenyataan "operasi dan fungsi WikiLeaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya."

Sebenarnya, fungsi wikileaks sama seperti Wikipeadia, diterbitkan di bawah Lesen Dokumentasi Bebas GNU (GFDL). Di bawah lesen ini memanglah sesiapa pun boleh menghantar maklumat, dan jika maklumat itu tidak benar atau tidak tepat, sesiapa juga boleh menyuntingnya kembali sehingga "fakta sebenar" ditemui.

Hal ini samalah dengan apa-apa juga bahan yang dikeluarkan di bawah GFDL seperti sistem operasi dan perisian-perisian komputer yang kita gunakan seperti Linux Fedora, Ubuntu, Firefox, K-Meleon dan lain-lain di mana sesiapa juga boleh "menyumbang" ke arah perbaikannya.

Ini menunjukkan Saifuddin dan PKRnya sendiri yang tidak faham mengenai tatacara Wiki beroperasi tetapi cuba bertindak sebagai golongan yang mahir mengenainya.

Amerika Syarikat sendiri terpukul dengan pendedahan WikiLeaks dan begitu juga negara-negara barat yang lain sehingga pengasas WikiLeaks, Julian Assange telah ditangkap.

Seandainya maklumat yang terkandung di dalam WikiLeaks itu 100% tidak benardan jika Wikileaks hanya merupakan kenyataan-kenyataan rekaan, nescaya pihak berkuasa Amerika Syarikat sendiri tidak memperdulikan pendedahan yang ada di dalam WikiLeaks dan membiarkan Julian Assange meneruskan kegiatannya.

Soalnya kenapa Amerika Syarikat sendiri takut dengan pendedahan itu?

Justeru itu, pendedahan Wikileaks tidak 100%nya palsu apatah lagi isu tersebut dibincangkan oleh pemimpin-pemimpin dunia yang sepastinya maklumat yang diperolehi adalah maklumat yang ada asasnya dari risikan-risikan teknikal.

Percaya atau tidak mengenai maklumat di Wiki, bergantung kepada faktor masa di mana setiap detik maklumat itu dikemaskinikan sehinggalah maklumat sahih akhirnya terdedah.

Saifuddin dan PKR sepatutnya meniru sikap Presiden Iran, Ahmedinejad yang sekalipun Raja Arab Saudi menyatakan bahawa Amerika perlu mengebom Iran untuk menghentikan program nuklearnya dengan berkata: “Potong saja kepala ular itu”, namun bagi Presiden Iran ia tidak lansung gusar atau ambil berat terhadap pendedahan Wiikileaks tersebut, malah ia sekadar menganggapnya perang psikologis melawan Iran.

Malah hubungan Raja Arab Saudi dan Ahmedinejad terus intim sekalipun cuba digoyahkan dengan pendedahan maklumat di Wikileaks.

Najib juga terkedu dengan pendedahan Wikileaks yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya. Tetapi Najib mengambil sikap mendiamkan diri. Malah Saifuddin sendiri mengakui:

"Jika tidak katanya, Najib sendiri yang perlu berhempas pulas menjawab dakwaan demi dakwaan yang terkandung dalam kabel sulit yang sama; yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya.".

Persoalan kini kenapa Saifuddin dan PKR pula berhempas pulas menolak dakwaan Wikileaks jika sudah diketahui peranan WikiLeaks adalah di bawah perlesenan GNU?

Seperti GB nyatakan di atas, sebuah browser Firefox yang dilesenkan di bawah GNU, akan sentiasa mengalami improvisasi hasil sumbangan orangramai yang berpakaran di dalam bahasa pemprogramming sehingga akhirnya ia menjadi browser yang mantap untuk digunakan, itu pun akan sentiasa diperbaiki dari masa ke semasa.

Ternyata golongan yang mempertikaikan Wikileaks golongan yang tak berfakta mengenai Wiki dan internet, tetapi sekadar menegakkan benang basah dan tidak berilmu mengenainya.


[Bergambar] Enam Pendaki Sesat 15 Jam Ditemui Selamat

Enam pendaki sesat 15 jam ditemui selamat

PASUKAN menyelamat membawa keluar kumpulan pendaki yang sesat ketika mendaki Gunung Chabang di Perkampungan Orang Asli Pos Slim, Simpang Pulai, semalam.

SIMPANG PULAI: Sekumpulan enam pendaki bebas termasuk tiga pelajar, sesat lebih 15 jam ketika menyertai aktiviti mendaki Gunung Chabang yang terletak di Banjaran Titiwangsa, Simpang Pulai, dekat perkampungan Orang Asli Pos Slim, di sini, kelmarin.

Pendaki terbabit adalah Jea Jie Kong, 36, seorang akauntan; Yaul Ken Min, 26 (chef); Lin Yen Yin, 33, (arkitek) serta tiga pelajar dikenali sebagai Teo Guan Yew, 19; Michelle Kong, 21, dan Koh Ying Meng, 25.

Mereka dilaporkan hilang selepas seorang daripada mereka menghubungi talian kecemasan bomba, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin bagi memaklumkan mereka sesat sebelum berjaya tiba di tapak perkhemahan di pertengahan gunung itu.

Bagaimanapun, semua mereka termasuk dua yang cedera ditemui semula pada jam 1.27 petang semalam, selepas pasukan penyelamat berjaya menghubungi seorang daripada kumpulan pendaki itu menerusi isyarat telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata sebelum kejadian, sekumpulan 10 pendaki bebas kebanyakannya tenaga profesional dipercayai dari Kuala Lumpur dikatakan berpecah kepada dua kumpulan memasuki hutan itu bagi melakukan aktiviti perkhemahan sebelum memulakan pendakian kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Katanya, kumpulan pertama yang membabitkan empat pendaki termasuk seorang daripada mereka pernah memasuki hutan itu, manakala kumpulan kedua terdiri daripada enam mangsa yang hilang.

“Kumpulan pertama berjaya tiba di tapak perkhemahan mereka di kawasan puncak gunung, tetapi kumpulan kedua dikatakan hilang jejak dan tersesat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Beliau berkata, seorang daripada mangsa sempat menghubungi bomba dan memberitahu mereka tersesat sebelum telefon bimbit mereka kehabisan bateri.

“Satu operasi mencari diketuai Asisten Superintendan Ruzlan Mahmud dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh digerakkan bagi mengesan mangsa. Pasukan dengan kekuatan seramai 58 orang, disertai beberapa agensi lain termasuk bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA), Pasukan Gerakan Awam (PGA) serta anggota polis,” katanya.

Kesemua mereka termasuk empat pendaki iaitu Woon Boo Siong, 26, Keoh How Geok, 42, Ng Peak Hin, 34 dan Lee Kooi Zie, 52 daripada kumpulan pertama berjaya diselamatkan dan dibawa turun sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan kira-kira jam 6.30 petang.

Operasi menyelamat dihentikan kira-kira jam 7 petang semalam. -BH












Undang-undang Syariah Islam Mampu Cegah Aids

Syariah Islam cegah AIDS

Ketua Pegawai Syariah Islam Wilayah Aceh, Prof Rusydi Ali Muhammad mengatakan Undang-undang Syariah Islam yang dilaksanakan sejak tahun 2003 membantu mencegah penyebaran penyakit AIDS.

Logiknya, Kanun Khalwat, yang melarang orang yang bukan muhrim berduaan, boleh menyebabkan penderita AIDS di Aceh tidak sebanyak di wilayah-wilayah lainnya.

"Seberapa jauh keberkesanannya kita boleh berdebat juga, terbukti sekarang ini pun penyakit HIV ada juga di Aceh ini. Kita boleh katakan seandainya tidak ada undang-undang ini mungkin lebih parah lagi," kata Rusydi Ali Muhammad kepada BBC Indonesia.

Jumlah penderita HIV/AIDS di Aceh sejauh ini diketahui 46 orang, 15 di antaranya meninggal dunia.

"Untung ada undang-undang seperti itu, membatasi, membentengi sehingga kesnya tidak seberat Papua, misalnya," kata Rusydi Ali Muhammad lebih lanjut.

Takut

Ketika ditanya apakah Perda Syariah Islam membuat kehidupan masyarakat di Aceh lebih baik, dia mengatakan secara kualitatif boleh dilihat dari cara anak-anak berpakaian.

Kecenderungan berpakaian Islami sekarang tidak hanya boleh dilihat di sekolah-sekolah Islam tetapi sudah sampai pada sekolah-sekolah umum.

Hukuman sebat terbaru bagi pesalah Kanun Khalwat dilakukan hari Jumaat lalu(10/12) di Jantho terhadap seorang pria dan wanita bukan suami-istri yang berciuman. Mereka masing-masing disebat lapan kali dan ditonton oleh ratusan warga.

Namun beberapa undang-undang antara lain Kanun Aqidah dan Akhlaq dan Kanun Khalwat, kata Pengarah Koalisi LSM HAM Aceh, Evi Narti Zein, justeru menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat.

Menurutnya, selain Kanun judi dan minuman keras, tidak ada kanun lain yang efektif.

"Kalau bicara soal khalwat, definisinya sendiri masih sangat ganjil dan sangat multi interpretasi di dalamnya. Sekarang ini masalah terjadi ketika orang tidak dapat maklumat yang penuh dan kedua, menyangkut aturan khalwat harus dihukum dan lain sebagainya. Nah ada denda juga," kata Evi Narti Zein.

Pihak yang bertanggungjawab, katanya, lebih menekankan aspek penghukuman bukan soal maklumat, pendidikan dan pemahaman bagi masyarakat sehingga menimbulkan ketakutan.

"Lazimnya Syariah Islam ini suasana bukannya menjadi lebih baik menurut saya. Ini menjadi hampir sama dengan yang dulu," kata Evi Narti Zein.

"Bezanya dulu kan lawannya jelas. Masyarakat takut sama tentera, takut sama kelompok bersenjata atau GAM. Nah, sekarang tetap takut, takut dengan Polis Syariah atau Satpol PP atau WH (Wilayatul Hisbah), atau masyarakat yang melakukan kekerasan secara komunal atau kemarahan massa," tambahnya.

Berdasarkan data Koalisi LSM HAM Aceh, terdapat 100 lebih hukuman sebat sejauh ini utamanya kerana khalwat, judi dan minuman keras. Tetapi, kata Evi Narti Zein, jumlah pesalah diperkirakan lebih tinggi dari angka tersebut kerana pesalah Kanun Khalwat boleh mengelak dari hukuman sebat bila mampu membayar denda sekitar Rp3 juta (RM1,042.97).