22 Sep 2010

"Ganyang Malaysia" Bergema Semula Di Jakarta

Demonstrasi anti-Malaysia kembali, kali ini kerana isu pembantu rumah

JAKARTA, 22 Sept – Setelah menyepi sejak dua hari menjelang Aidilfitri baru-baru, kumpulan aktivis masyarakat Indonesia pada Rabu kembali mengadakan demonstrasi anti-Malaysia dengan kali ini membawa isu pembantu rumah dari negara itu yang diseksa dan diperkosa oleh majikan Malaysia.

Dalam cuaca hujan yang lebat dan renyai hari ini, demonstrasi berkonvoi 150 motosikal itu membabitkan kira-kira 300 penunjuk perasaan dari beberapa kumpulan aktivis yang menamakan diri “aliansi pemuda pemudi anti-Malaysia” dengan didominasi anggota kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera).

Dua lagi kumpulan yang turut serta ialah Gerakan Pemuda Daerah dan Relawan Pro Demokrasi.

Sambil membawa bendera Indonesia serta bendera kumpulan masing-masing serta sepanduk “Ganyang Malaysia”, mereka membunyikan hon motosikal dan meneria “Ganyang Malaysia” di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan dan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia, Kuningan, Jakarta Selatan.

Kedua-dua tempat itu dikawal ketat pasukan Polis Indonesia. Demostrasi dimulai pukul 1.30 petang di hadapan Kediaman Duta Besar Malaysia dan pukul 2 petang di hadapan Kedutaan Besar Malaysia dan berlangsung selama 10 minit di kedua-dua tempat itu.

Dalam pidato masing-masing, mereka mengutuk perbuatan penyeksaan dan pemerkosaan yang dilakukan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan di Malaysia dan meminta Duta Besar Malaysia dan rakyat Malaysia meninggalkan Indonesia dalam tempoh dua hari kerana menganggap perbuatan Malaysia yang keterlaluan.

Mereka kemudian meneruskan perjalanan ke kompleks beli-belah Senayan City untuk melakukan tindakan usir atau “sweeping” rakyat Malaysia di situ namun polis telah menghadang mereka kira-kira 100 meter dari pintu utama ke kompleks itu.

Penunjuk perasaan kemudian cuba berunding dengan polis agar membenarkan 65 anggota masuk ke dalam kompleks dan melakukan “sweeping” terhadap warga Malaysia yang mereka yakini berada di dalam, namun permohonan mereka tidak dilayan.

“Kami bukan ingin mencuri, kami bukan ingin mengambil barang di mall tapi kami hanya ingin mengusir warga Malaysia,” kata Mustar Bona Ventura, coordinator Bendera.

Kumpulan Bendera yakin Senayan City merupakan simbol yang tepat untuk mewakili Malaysia dan percaya warga Malaysia sering berkunjung ke tempat itu untuk berbelanja kelengkapan sehari-hari.


Isu penderaan pembantu rumah Indonesia bernama Win Faidah oleh majikannya itu turut dikutuk oleh Malaysia.

Menteri Luar Malaysia dalam kenyataan di Putrajaya pada Rabu menegaskan bahawa kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap mana-mana pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan atau sektor pekerjaan mereka.

Justeru itu kerajaan serta rakyat Malaysia amat sedih dan terharu di atas kes penderaan terbaru, membabitkan seorang pembantu rumah dikenali Win Faidah yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia pada 17 Sept lepas, katanya.

Pembantu rumah berumur 26 tahun itu, dikatakan telah didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan oleh majikannya dan berikutan itu sepasang suami isteri telah ditahan polis pada 19 Sept lalu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Sebelum memulakan demonstrasi itu, peserta berkenaan berkumpul di hadapan pejabat Bendera di Jalan Diponegoro, yang merupakan pejabat lama Parti Demokrasi Indonesia – Perjuangan (PDI-P) iaitu parti yang dipimpin bekas Presiden Megawati Soekarnoputri.

Beberapa anggota kumpulan Bendera sebelum ini telah bertindak melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia dalam salah satu demonstrasi sebelum ini mengenai isu penangkapan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia di sempadan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Kepulauan Riau.

Sebahagian daripada anggota Bendera turut mengotorkan bendera Malaysia dengan najis manusia selain memijak-mijak Jalur Gemilang semasa berdemonstrasi ketika itu.

Para pelaku yang mencemarkan kawasan Kedutaan Besar Malaysia serta Jalur Gemilang dengan najis manusia itu sehingga sekarang tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa Indonesia. – Bernama


Demonstran Datangi Rumah Dubes (Kedutaan) Malaysia

JAKARTA, KOMPAS.com — Rumah Duta Besar Malaysia untuk Indonesia yang bertempat di Jalan Patra Kuningan, Jakarta Selatan, didatangi demonstran dari Bendera (Benteng Demokrasi Rakyat). Hal ini terkait aksi 1.000 motor untuk memberikan ultimatum kepada Dubes Malaysia dan warganya agar keluar dari Indonesia dalam waktu 2 x 24 jam.

Sekitar pukul 13.35, rombongan aksi 1.000 motor tersebut tiba di kediaman Dubes Malaysia yang berada di Patra Kuningan. Mereka berteriak dan berseru lantang dengan mengumandangkan "Ganyang Malaysia!" ,"Usir Malaysia usir Malaysia usir Malaysia sekarang juga!".

Lagu "Indonesia Raya" juga turut dikumandangkan dalam aksi massa tersebut. Dalam seruan yang diteriakkan Ketua Bendera Mustar Bonaventura, mereka menginginkan Dubes Malaysia keluar dari Indonesia dalam waktu 2 x 24 jam.

Hal itu merupakan bentuk kekecewaan dan protes terhadap Malaysia yang dianggap telah melecehkan martabat bangsa Indonesia. Aksi protes di depan rumah Dubes Malaysia tersebut dilakukan selama lebih kurang sepuluh menit dan sekarang aksi massa tersebut bertolak menuju Kantor Kedutaan Besar Malaysia.

Sebelumnya, sekitar pukul 13.00, aksi 1.000 motor tersebut mulai beranjak keluar dari Markas Bendera yang berlokasi di Jalan Diponegoro Nomor 58, Jakarta Pusat.
Mereka bertolak menuju rumah Dubes Malaysia yang berada di daerah Patra Kuningan.

Arak-arakan konvoi terlihat memanjang di sepanjang ruas jalan menuju rumah Dubes Malaysia tersebut. -kompas


5 Remaja Direman, ADUN PR Ada Bantu Keluarga Cari Mereka Semasa Hilang?

Dua lelaki bersama tiga remaja perempuan yang hilang direman tujuh hari

Gambar: NURUL Ashiqin Kamarazmi,14, (kiri) menikmati roti canai sambil diperhatikan oleh kembarnya Nurul Ain (kanan) selepas pasangan kembar itu bersama teman sebaya, Suhaili Abd Razak (tengah) ditemui di Pulau Pinang. 21 Sept. - Bernama

GEORGETOWN: Dua lelaki yang ditemui bersama tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini, hari ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol gadis bawah umur.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu yang berasal dari Kampar dan Teluk Intan, Perak, ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka ditemui bersama remaja pasangan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, serta teman sebaya, Suhaili Abd Razak dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lalu dan ditemui dalam sebuah flat di sini, semalam. "Berdasarkan keterangan tiga remaja wanita terbabit, mereka mengaku melakukan hubungan seks dengan dua lelaki itu ketika berada di sebuah hotel murah di Jalan Pintal Tali di sini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang mendapati terdapat kesan koyak pada kemaluan tiga remaja perempuan terbabit dan polis kini sedang menjalankan siasatan.

Gan berkata, mereka memberi kerjasama dan mengakui secara rela hati mengikut teman lelaki ke negeri ini pada 14 September iaitu tiga hari selepas mereka dilaporkan hilang. - Bernama


Remaja kembar hilang ditemui

GEORGETOWN - Kehilangan tiga remaja perempuan di Kampar sejak 11 September lalu berakhir apabila polis Pulau Pinang berjaya menjejaki mereka selepas mendapat maklumat daripada rakan serumah di sini, awal pagi semalam.

Sepasang remaja perempuan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, bersama teman sebaya, Suhaili Abd Razak yang dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lalu, ditemui di sebuah flat di Paya Terubong, di sini, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Taman Bandar Baru, Kampar itu dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli pakaian di pekan Kampar pada Hari Raya kedua.

Ketua Balai Polis Air Itam, Cif Inspektor Mohd Fadzil Napiah berkata, ketiga-tiga remaja perempuan itu ditemui bersama dua rakan lelaki mereka iaitu Mohammad Akmal Hakim Ismail, 19, dan Shahrizan Zakaria, 20.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Air Itam untuk diambil keterangan. Kesemua remaja terbabit dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diserahkan kepada polis Kampar.

“Kami akan memberi butiran lanjut mengenai penemuan remaja ini dalam satu sidang akhbar tidak lama lagi,” katanya.

Di KAMPAR, Ketua Polis Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, ketika serbuan dibuat semua remaja berkenaan dipercayai sedang tidur dalam dua bilik berasingan di rumah berkenaan.

Beliau berkata, dua lagi remaja lelaki tersebut ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Air Hitam untuk siasatan lanjut.

“Polis juga telah melaksanakan siasatan selain memberi ikat jamin, terhadap seorang lagi remaja yang dikenali sebagai Roy, yang telah pulang ke rumah terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, keluarga remaja berkenaan juga telah dimaklumkan berhubung penemuan itu.

“Polis memandang serius perkara sebegini kerana sejak akhir-akhir ini, kes orang hilang boleh menjurus kepada kes-kes jenayah.

“Iba bapa disarankan agar sentiasa mengambil berat hal anak-anak seperti mengetahui ke mana mereka pergi dan dengan siapa mereka berkawan.

“Komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak adalah sangat mustahak bagi membendung gejala ini daripada berlaku," katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi Sinar Harian, ibu kepada pasangan kembar berkenaan, Harlizah Samah berkata, mereka menyerahkan segala urusan kepada polis.

Menurut sumber, ketika artikel ini ditulis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Sigh membawa keluarga tiga pelajar berkenaan ke Pulau Pinang.


Ulasan GB

Kisah remaja semakin liar, tak dapat nak diulas lagi. Budaya hedonisma nampaknya akan terus mengganas. Apatah lagi dah ada sekolah mengandung.

Kemaluan remaja perempuan koyak, rabak, malah berulat itu dah macam cerita basi di zaman moden ini. Nasiblah siapa dapat isteri dan menantu sedemikian.

Tapi tu, di tulisan kedua, ayat terakhir GB ada "bold"kan. Mana pergi ADUN-ADUN Pakatan Rakyat? Tak ambil ke kisah bab ni? Adakah anda semua ada berusaha membantu keluarga mencari anak-anak mereka? Atau setidak-tidaknya menziarahi keluarga itu sebelum anak-anak mereka ditemui? Tidak kisah ler di kampung mana pun asalkan ia di dalam negeri Perak.

Bising dan sibuk nak ambil balik negeri Perak, tetapi lalai untuk bekerja untuk rakyat akan mengundang padah di dalam pilihanraya akan datang.

Berapa Ramai Sebenarnya Yang Dah Dibunuh Peguam Berpuaka Ini?

Polis sahkan ahli perniagaan India dibunuh

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Polis hari ini mengesahkan ahli perniagaan warga India Allal Kathan Muthuraja yang dilapor hilang sejak awal tahun ini telah dibunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis kini menyiasat kes kehilangan lelaki berusia 34 tahun yang tiba di Malaysia pada 18 Jan lepas itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saya sahkan mangsa dibunuh hasil daripada petunjuk dan keterangan-keterangan yang telah dikumpul. Berdasarkan dari itu kita telah ‘upgrade’ kertas siasatan daripada orang hilang kepada kes bunuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes kehilangan ahli perniagaan hartanah, restoran dan barang kemas dari Chennai, India itu.

Kehilangan ahli perniagaan itu dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain apabila dia dilapor hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, yang juga merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Jan lepas.

Isteri ahli perniagaan itu, S. Usharani, 24, membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 Sept lepas.

Hari ini Usharani menemui polis di Banting berhubung kes kehilangan suaminya itu. – Bernama.


Jam tangan petunjuk mungkin suami senasib Sosilawati

SUNGAI PETANI: Seutas jam tangan yang disahkan milik seorang kontraktor yang dilapor hilang April lalu, Mohd Shafiq Abdullah, 37, menjadi petunjuk kemungkinan lelaki itu senasib dengan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Isteri kontraktor itu, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, berkata dia dipanggil oleh polis untuk mengenalpasti jam tangan berkenaan ketika ke Banting minggu lepas bagi membantu siasatan. "Saya tak pasti macam mana polis jumpa jam itu tapi yang saya ingat jumpa di ladang, saya cam jam itu sebab suami ada banyak jam berjenama tapi satu itu saja yang bertali kulit jenama Puma," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Raya di sini, hari ini. Samson Nahar berkata, beliau dipanggil oleh polis kerana dalam kenyataannya mengenai kehilangan suami di balai polis Petaling, Kuala Lumpur April lalu, beliau memberitahu telah menghubungi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati untuk mencari Mohd Shafiq.

Beliau berkata, laporan polis mengenai kehilangan suaminya dibuat pada 13 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini dan kes itu kemudian dipindahkan ke balai polis Petaling kerana suaminya hilang di Kuala Lumpur.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Samson Nahar berkata. Mohd Shafiq yang berasal dari Perak tinggal di sebuah rumah sewa di Kuchai Lama, Kuala Lumpur kerana bekerja di sana dan hanya pulang ke rumah mereka di Sungai Petani setiap hujung minggu.

Beliau berkata, selepas menyedari ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap Mohd Shafiq, beliau menghubungi semua rakan-rakan serta pihak-pihak yang pernah berurusan dengan suaminya termasuk suspek.

"Semua orang jawab tak tahu, tapi dia (suspek) seorang saja yang bagi jawapan ada jumpa suami dan beritahu suami saya ke luar negara dan akan balik lima enam hari lagi.

"Tapi bila saya tanya pergi mana, dia kata rahsia dan dari situ saya rasa pelik dan terus pergi ke rumah sewa suami di Kuchai Lama untuk mencari pasport suami saya," katanya.

Samson Nahar berkata, beliau menemui pasport suaminya di rumah sewa itu dan ketika itu beliau menyedari bahawa kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek.

Kali terakhir Samson Nahar berhubung dengan suaminya melalui telefon ialah pada 7 April lalu dan gagal menghubunginya sehari selepas itu.

Beliau berkata, polis juga telah mengambil sampel untuk ujian DNA daripada ibu Mohd Shafiq yang kini menetap di Dengkil, Selangor.

"Polis juga ada meminta barang-barang peribadi suami, saya ada serahkan kasut suami minggu lepas kerana itu sahaja yang ada untuk membantu siasatan dan saya dimaklumkan keputusan DNA akan siap dalam dua minggu," katanya.

Mengimbas kenangan bersama suami sejak 14 tahun lalu, Samson Nahar berkata, Mohd Shafiq seorang yang sangat bertanggungjawab dan tidak pernah lupa untuk memaklumkan destinasinya sekiranya mahu ke mana-mana.

Beliau berkata, walaupun ingin ke sesuatu tempat dalam tempoh yang singkat, suaminya akan tetap memberitahu dan pulang bertemu dengan keluarganya terlebih dulu.

"Dia memang selalu ke luar daerah dan ada juga pergi ke luar negara, tapi setiap kali sebelum pergi mana-mana dia mesti balik sini dulu sehari atau dua hari untuk bersama saya dan anak-anak," katanya.

Samson Nahar berkata, selepas dimaklumkan 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa jenayah kejam itu pada malam Hari Raya lepas, keluarganya mengadakan solat ghaib serta majlis tahlil untuk suaminya.

"Namun saya masih menaruh harapan suami selamat selagi belum ada pengesahan dan sekiranya disahkan dia sudah meninggal, kami kena terima dan saya harap dapat mengkebumikan tulangnya di sini (Sungai Petani)," katanya.

Samson Nahar berkata, beliau dan anak-anak akan berpindah ke rumah yang baru dibeli suaminya di kawasan perumahan berhampiran tempat tinggalnya sekarang dalam tempoh terdekat.

"Tapi saya tak tahu macam mana nak teruskan hidup lepas ini sebab hilang tempat bergantung, saya pula tiada kerja tetap," kata surirumah yang mengajar kelas tambahan kepada pelajar sekolah secara sambilan di rumah. - Bernama




Kes RM4 Billion: PAS Mampu Nafi Saja, UMNO Dah Buat Laporan Polis

PAS nafi terima sumbangan RM4 bilion Ida World Group

KUALA LUMPUR, 22 Sept — PAS menafikan parti itu ada menerima sumbangan RM4 bilion daripada sebuah syarikat asing, Ida World Group Ahad lalu, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub hari ini.

Malah menurut beliau, PAS Kelantan juga tidak pernah menerima permohonan syarikat yang dimaksudkan untuk membuat sebarang projek pembangunan di negeri itu.

Oleh itu tegas beliau, penyebaran berita tersebut adalah satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS.

“PAS memandang serius ekoran tersebar gambar kononnya sebuah syarikat perniagaan memberikan sumbangan sebanyak RM4 bilion kepada PAS melalui satu cek replika.

“Bagi mewakili PAS, saya dengan ini menafikan PAS pernah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion dari syarikat ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menambah, PAS juga tidak tahu-menahu tentang projek syarikat ini di Kelantan.

“Setelah menyemak dengan PAS Kelantan, saya juga mendapati PAS dan kerajaan negeri Kelantan tidak pernah menerima permohonan daripada syarikat ini untuk membuat sebarang projek pembangunan di sana.

“Sehubungan itu, kami sifatkan berita ini serta penyebaran berita sebegini satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS,” katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau pihaknya menyeru semua ahli PAS agar berhati-hati dengan isu ini kerana jelas cuba mengaitkan PAS dengan aktiviti tidak sihat.

Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menegaskan beliau tidak tahu menahu mengenai sumbangan sebanyak RM4 bilion oleh syarikat berkenaan kepada PAS Kelantan.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri juga tidak pernah meluluskan projek untuk membangunkan Pantai Sri Tujoh, Tumpat seperti yang didakwa oleh Pengerusi Eksekutif Ida World, Abdul Rahim Abdul Wahab.

“Sebagai ketua parti, saya tidak tahu pasal duit RM4 bilion, baru pagi ini saya tahu.

“Dia (Abdul Rahim) baru jumpa saya dua (tiga) hari lepas dan dua bulan lepas juga dia (ada) datang juga.

“Mengenai projek di Pantai Sri Tujoh, nak lulus (sesuatu projek) kena buat surat, (hantar permohonan) ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan kemudian ke Exco. Dia kata nak buat projek, saya kata marilah,” katanya.

Dalam laporan Bernama memetik adik Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion daripada syarikat berkenaan atas sifat peribadi dan bukannya mewakili parti atau kerajaan Kelantan.

Katanya, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tiada wakil kerajaan negeri atau Exco yang tampil mewakili Nik Aziz untuk menerima replika cek itu pada satu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini Ahad lalu.

“Oleh kerana tidak ada wakil kerajaan negeri dan parti yang tampil menerima cek (replika) bernilai RM4 bilion itu, maka saya naik ke pentas itu sebagai bertindak atas sifat peribadi,” katanya.

Ia dilaporkan sebagai sumbangan untuk kelulusan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Nik Din berkata, beliau tidak menaruh prasangka kepada mana-mana pihak dan tampil menerima replika cek itu kerana mengenali salah seorang anggota syarikat itu yang merupakan kawan baik beliau sejak di sekolah.


‘Hadiah’ RM4 bilion: Pemuda UMNO buat laporan polis

KOTA BHARU 22 Sept. – Pergerakan Pemuda UMNO negeri membuat laporan di balai polis Kota Bharu di sini hari ini berhubung sumbangan peribadi wang berjumlah RM4 bilion yang dikatakan diberikan oleh seorang ahli perniagaan kepada Pas Kelantan.

Laporan tersebut dibuat oleh Penolong Setiausahanya, Che Othman Che Will pada pukul 3.30 petang ini sambil diiringi oleh kira-kira 30 ahlinya.

Che Othman berkata, laporan tersebut dibuat disebabkan wujud keraguan mengenai sebab pemberian wang tersebut dan penerimanya yang hanya diwakili seorang individu bernama Nik Din Nik Mat bukannya wakil Pas Kelantan.

"Kita memohon agar pihak berkuasa dan agensi lain dapat menyiasat, meneliti dan memberi perhatian kepada perkara ini kerana timbul keraguan berhubung jumlah wang yang diberikan itu.

"Ia pula disumbangkan kepada seorang individu yang mendakwa dirinya adik dan mewakili secara peribadi kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya ketika ditemui selepas mengemukakan laporan tersebut di sini, hari ini. -UM


Ulasan GB

GB hairan dengan pimpinan PAS. Benda sebegini pun belum pas untuk mengatasi serangan musuh. Lemah di dalam mengatur strategi, lemah di dalam perang saraf. tapi berangan nak ke Putrajaya.

Kita menafikan menerima RM4 billion. Itu betul. Tetapi sudahkah dilaporkan fitnah itu kepada polis?

Kerana tanpa laporan polis, pihak musuh pula yang pergi ke balai polis untuk membuat laporan mereka menyatakan PAS Kelantan telah terima RM4 billion sebagai rasuah. Sekalipun ianya palsu tetapi polis akan bertindak menyoal siasat MB Kelantan nanti dan seluruh jentera pentadbiran PAS Kelantan.

Kemudian dengan bantuan media massa pencacai, mereka akan menyorokkan kebenaran tetapi membesarkan kisah rasuah yang direka-reka tetapi sudah cukup untuk membenankan kepala TGNA dan mencemarkan nama parti di kalangan rakyat yang tak tahu apa-apa.

Kes Nurul Izzah, TV Selangor, Shamsul Iskandar dipanggil polis kerana ada laporan polis dibuat oleh Perkasa terhadap mereka sudah cukup untuk mengesahkan sikap polis yang sebenarnya.

Sudahlah orang yang bernama Nik Din Nik Mat (adik TGNA) melakukan kerja yang tak sepatutnya iaitu menghadiri dan menaiki pentas di dalam satu majlis makan yang beliau tidak sepatutnya lakukan. Kita pun hairan bagaimana beliau boleh dipergunakan sedemikian rupa oleh musuh.

Sekarang di mana Dewan Harian PAS yang sepatutnya secara automatik telah bermesyuarat kalau tak pun berkoferens-video untuk menangani masalah ini?

Beribu-ribu pemuda PAS khabarnya akan berijtimak tarbawi di Rusila pada awal Oktober ini, kata Pengerusi Akademi Tarbiyah DPPP Nik Abduh Nik Abdul Aziz, tetapi tiada lansung yang "berijtimak" di balai polis hari ini untuk membuat laporan mengenai kejadian penipuan UMNO di Kelantan itu. Kayu besar di galas di bahu untuk meniti sungai yang belum nampak lagi tetapi duri yang menyucuk dibiarkan mendarahi kaki.

Pening kepala saya memikirkan lemahnya saf kepimpinan PAS yang ada kini untuk berhadapan dengan musuh yang semakin agresif. Suruh letak jawatan tak mahu, tapi kerja tak menampakkan hasil yang memuaskan. Amanah ahli dipermain-mainkan.

Kalau susah sangat, kita berdoa saja kepada Allah s.w.t. untuk tukar sahaja kepimpinan PAS ini kepada yang lebih baik dan hukum mereka yang malas-malas yang menyebabkan PAS yang lemah longlai sekarang ini. Habis cerita.

GB mewakili suara ahli-ahli bawahan yang tersiksa jiwanya dengan sikap pemimpin PAS yang GB telah nyatakan di atas.

Rumah Norhisham Disimbah Cat Merah. Kerja Siapa Pula & Apa Motifnya?

Rumah Noorhisham disimbah cat merah

KUALA LUMPUR: Kediaman Noorhisham Mohammad, 38, seorang daripada mangsa yang dibunuh bersama jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, disimbah cat merah semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang mengesahkan kejadian itu berkata ketika kejadian keluarga pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru itu tiada di rumah. Isteri dan anak-anak Noorhisham pulang ke Johor Bahru sejak Ahad lalu. Laporan polis mengenai perkara itu dibuat oleh seorang anggota keluarga Noorhisham di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang pada jam 9 malam setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran mereka.

"Seorang lelaki membuat laporan dan memberitahu rumah tiga tingkat Allahyarham di Taman Seraya, Ampang disimbah cat merah di halaman rumahnya (lantai)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Jalil berkata polis percaya kejadian itu bukan disebabkan dendam tetapi tersilap sasaran dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 kerana khianat.

Noorhisham, 38, dilapor hilang bersama Sosilawati, 47, pemandu Kamaruddin Shansuddin, 44, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat. - BERNAMA

Ulasan GB

Cat merah... ada kaitannya samada dengan gangster atau along. Kejadian yang menyerupai kes kediaman YB Manickavasagam sedikit masa lalu.

Sekali lalu ia seperti mencabar kewibawaan polis yang sedang menyiasat kes pembunuhan ini dan kedua mencabar rakyat yang sedang marah dengan pembunuhan itu.

Polis perlu menjelaskan hal ini. Kejadian ini berulang-ulang. ada kaitankah dengan gangster atau ia satu perencanaan pihak tertentu untuk tujuan tertentu?

Rumah siapa lagi yang bakal disimbah cat merah selepas ini sepertimana soalan siapa lagi yang akan mati selepas Sosilawati?

Anggota Keluarga Jutawan India Akan Diminta Datang Untuk Ujian DNA

Anggota Keluarga Muthuraja Akan Diminta Datang Untuk Pengesahan DNA

Gambar: Isteri jutawan India, S. Usharani, 24, (kiri) bersama Anggota Parlimen Kapar, S. Manikavasagam (dua kiri) meninjau Sungai Panchau, tempat suspek utama kes pembunuhan kejam yang membabitkan jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, membuang tulang dan abu mayat mangsa di Tanjung Sepat, dekat sini, hari ini. foto: BERNAMA

BANTING: S.Usharani, 24, isteri ahli perniagaan warga India A. Muthuraja yang dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini, melawat ladang ternakan milik suspek utama kes pembunuhan Datuk SosilawatiLawiya dan tiga lelaki lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini, Rabu.

Usharani, yang juga warganegara India, diiringi Anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam semasa lawatan itu.

Manikavasagam dan Usharani yang tiba di ladang itu pada pukul 11.35 pagi bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki kawasan ladang itu oleh pihak polis yangmasih berkawal di pintu utama.

Ketika ditemui pemberita, Manikavasagam berharap anggota keluarga Muthuraja terutama bapa atau adik beradiknya dapat datang ke Malaysia pada minggu depan untuk membantu pihak polis dalam proses pengesahan DNA Muthuraja.

Manikavasagam berkata semasa beliau menemani Usharani bertemu dengan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Supritendan Rizani Ismail, beliau dimaklumkan bahawa sebanyak 300 tulang-tulang kecil ditemui semasa siasatan yang melibatkan peguam yang merupakan supek utama kes pembunuhan Sosilawati. Laporan sebelum ini berkata tulang-tulang itu ditemui di Sungai Panchau oleh unit forensik polis semasa siasatan ke atas kes kematian Sosilawati dijalankan.

Manikavasagam turut membawa Usharani melawat Sungai Panchau dan Sungai Kanchong Laut yang masing-masing terletak satu dan dua kilometer dari Ladang Gadong, selepas melawat ladang milik peguam itu.

Beliau berkata tujuan beliau membawa Usharani ke ketiga-tiga tempat itu danmenemui polis ialah bagi mengetahui perkembangan siasatan kehilangan suaminyayang dilaporkan oleh Usharani kepada pihak polis dua minggu lepas.

Manikavasagam juga berkata beliau akan mengadakan sidang akhbar di pejabatnya di Kapar pukul 11 pagi esok untuk memberi beberapa maklumat atau bukti berkaitan dengan peguam itu.

Bila diminta memberi penjelasan lanjut, beliau berkata: "Keterangan yang ada padanya (Usharani) yang diperoleh semasa dihubungi peguam (suspek) semasa (suaminya) hilang, kami akan dedahkan dan berikan salinannya kepada polis."

Beliau berkata Usharani berhasrat untuk berada di sini selama seminggu tetapi tempat penginapan beliau dirahsiakan bagi tujuan keselamatan. - BERNAMA

Anak RPK Bebas Tanpa Dipanggil Bela Diri

Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melepaskan dan membebaskan Raja Azman, anak lelaki penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin, daripada tuduhan mencuri sebuah motosikal milik seorang operator pengeluaran dan memecah masuk rumah lelaki itu pada Mac tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Majistret Norkamilah Aziz membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap anak kedua editor laman web 'Malaysia Today' itu.

Timbalan Pendakwa Raya Sharon anak Jikin hadir bagi pihak pendakwaan sementara Raja Azman diwakili peguam J. Chandra dan Amarjit Singh Sidhu.

Raja Azman, 34, dibebaskan daripada tuduhan mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ milik Mohd Syaiful Setapa, 24, seorang operator pengeluaran, membabitkan kerugian RM8,000 di No 65, Jalan Batas 2, 19/6B, Seksyen 19 di sini pada pukul 9.30 pagi, 20 Mac tahun lepas.

Raja Azman yang ditangkap pada 6 Mei tahun lepas, juga dibebaskan daripada tuduhan memecah masuk rumah Mohd Syaiful dan mencuri beg duit mengandungi kad pengenalan, wang tunai RM20, cukai jalan, kad ATM Maybank dan BSN serta lesen memandu milik mangsa di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Raja Azman bagaimanapun mempunyai dua lagi pertuduhan yang masih belum dibicarakan.

Pertuduhan itu ialah mencuri telefon bimbit dan seutas jam tangan bernilai RM3,850 milik seorang pelajar, Saipul Adli Mohamed Yunus, 21, di rumah mangsa di No 16, Jalan Sastera, U2/1K Seksyen U2 di sini, pada 10 pagi 24 April tahun lepas.

Dia juga didakwa memiliki sebuah motosikal curi kepunyaan seorang pelajar, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23, bernilai RM6,000 di depan rumah No 3, Tingkat 1, Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong pada 10.40 malam, 5 Mei tahun lepas.

Mahkamah menetapkan 25 Nov depan untuk sebutan bagi kedua-dua kes itu.

Sejurus prosiding berakhir, Raja Azman yang kelihatan sangat gembira terus memeluk kedua-dua peguamnya.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Raja Azman yang memakai kemeja-T berwarna hitam dan putih bercorak kotak mengucapkan kesyukuran kerana dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tersebut.

Dia yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM10,500 berkata pembebasan itu secara tidak langsung turut membantu membersihkan nama bapanya.-Bernama

Memang Patut Dihukum Mati

Pemandu teksi terima hukuman mati

SHAH ALAM: Seorang pemandu teksi Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, Februari lalu.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohd Fazli Azri, 28, didakwa membunuh Syafiah Humaira yang merupakan anak teman wanitanya di padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang kali pada 6.30 petang 25 Feb lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Fazli Azri, teman lelaki kepada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, didakwa membunuh kanak-kanak itu dengan cara menendang dan memijak perut mangsa.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom manakala Mohd Fazli Azri diwakili peguam Gurbachan Singh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 7 Jun lalu, mahkamah sudah mendengar keterangan daripada 33 orang saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan. - Bernama


Syafiah Humaira Disepak, Pijak Guna Kasut Bola

SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan enam yang baru pulang dari menghiasi khemah rumah sukan di sekolah menyaksikan kejadian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun empat bulan, Syafiah Humaira Sahari ditendang dan dipijak pada bahagian perut kerana dikatakan enggan memakai selipar.

Ahmad Fikrihalis Zakaria, 19, saksi pendakwaan ke-enam berkata, kejadian itu berlaku di padang bola dan dia melihat pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil yang dituduh membunuh Syafiah Humaira memakai kasut bola jenama Puma semasa melakukan perbuatan itu.

Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Ahmad Fikrihalis menambah, dia yang menunggang motosikal menghampiri tertuduh kerana melihat Syafiah Humaira dipijak semasa sedang baring.

“Semasa saya berhenti, Abang Mat (nama panggilan tertuduh) bertanya pada saya jika saya pernah melihat budak kena terajang. Saya tanya kenapa buat begitu kerana dia (Syafiah Humaira) seorang budak.

“Selepas itu, Abang Mat sepak bahu kiri Syafiah Humaira yang duduk melunjur dengan kaki lurus ke depan...tendangan dari arah depan. Tendangan Abang Mat kuat kerana Syafiah Humaira terpelanting ke belakang,” kata saksi semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.

Pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor, Batang Kali, dekat sini menambah, Syafiah Humaira tidak menangis tetapi hanya terbaring selepas diperlakukan sedemikian.

Syafiah Humaira yang manja dipanggil ‘Pia’ juga tidak bermaya untuk bangun walaupun diminta berbuat demikian oleh tertuduh.

“Saya lihat Abang Mat menjinjing tangan Syafiah Humaira dan kemudian lepaskan tangan menyebabkan dia jatuh. Saya tanya apa yang berlaku dan Abang Mat cakap budak kecil itu enggan pakai selipar,” katanya.

Ahmad Fikrihalis juga memberitahu, dia menawarkan diri bagi mendukung Syafiah Humaira untuk dibawa masuk ke teksi tertuduh yang berada di tepi padang bola.

“Masa saya angkat, saya dengar Syafiah Humaira mengadu sakit. Saya bawa dia ke kereta dan sandarkan pada kerusi penumpang bahagian hadapan.

“Saya lihat Syafiah Humaira lebam di pipi kanan dan ada kesan tapak kasut bola di perut. Saya nampak kerana baju dia terselak,” katanya.

Saksi itu juga menambah, seorang budak kampung berkenaan, Muhammad Nur Afiq Othman turut membantu dia membuka pintu teksi dan beberapa kanak-kanak lain turut menghampiri teksi tertuduh.

Ini telah menyebabkan tertuduh marah lalu meninggalkan padang. Pada ketika itu, waktu sudah pukul 7 malam dan hampir masuk Maghrib.

Turut berada di dalam kereta ialah anak tertuduh, Syakimie Iqbal, dua tahun, yang dilahirkan hasil hubungan tertuduh dengan emak Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, 25 tahun.

Mohd Fazli Azri didakwa membunuh Syafiah Humaira pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Gurbachan Singh. -mstar


Debaran Menunggu DNA, Peguam Negara Pulangkan Kertas Siasatan

Kami sekeluarga berdebar-debar menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka diketahui dalam tempoh seminggu lagi dan berharap itu (cebisan tulang) bukan dia.

Gambar: Tengku Abdullah bertanya sesuatu kepada Irfan Aiman sambil diperhatikan Zainab (kiri) ketika melawat keluarga berkenaan, semalam.

“Tapi jika benar itu dia, kami reda dan walau diberi hanya tulang pun kami kena terima juga untuk dikebumikan,” kata kakak pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Kamaruddin Shansuddin, ketika ditemui selepas menerima kunjungan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di rumahnya di Indera Mahkota, di sini, semalam.

Ramlah, 49, berkata, dia sekeluarga masih berharap Kamaruddin, 44, dapat kembali dalam keadaan sempurna sama ada hidup atau mati.

“Jika cebisan tulang arwah dapat dikebumikan, anaknya yang masih kecil dapat menziarahi pusara bapa mereka apabila dewasa kelak.

“Sekarang ini pun, anak Kamaruddin masih bertanya sama ada bapa mereka akan pulang atau tidak kerana belum mengerti apa yang berlaku,” katanya.

Kamaruddin yang berpisah dengan isterinya, Noorfazilah Ab Sani mempunyai tiga anak, Balqis Dayana,12, Izran Akmal, 9, dan Irfan Aiman, 8.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut menzahirkan kesedihannya dengan kejadian yang menimpa keluarga Kamaruddin dan Sosilawati serta meminta keluarga mangsa supaya tabah dan sabar.

“Saya tidak tahu Kamaruddin asalnya dari Pahang dan satu ketika ketika ibunya pernah bekerja dengan Almarhum dan Almarhumah nenda saya.

“Kita berharap keluarga ini, terutama anak Kamaruddin dapat diawasi dan diasuh mendapat pendidikan sempurna,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Sosilawati yang menerima pingat kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk dari Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

TERKINI

Kes Sosilawati: AG arah polis buat siasatan lanjut

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Pejabat Peguam Negara telah memulangkan kertas siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dengan mengarahkan polis melakukan siasatan susulan.

Difahamkan keputusan itu dimaklumkan kepada polis hari ini.

Kertas siasatan itu telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara semalam.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengesahkan perkara itu turut memberi jaminan bahawa laporan lengkap kes pembunuhan itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Hishammuddin berkata polis kini menunggu laporan DNA yang ada ketikanya mengambil masa sedikit untuk disiapkan.

Bagaimanapun, tarikh dan tempoh untuk laporan lengkap itu telah ditetapkan iaitu dalam tempoh dua minggu lagi sebelum hasil siasatan lengkap kes itu diserah kepada Peguam Negara untuk proses pendakwaan, katanya.

Setakat ini lapan suspek ditahan berhubung kes pembunuhan ini.

Tahanan perintah mereka telah dilanjutkan baru-baru ini. -TMI


Kes Sosilawati: Kesemua 8 Suspek Jalani Ujian DNA Di HKL

Lapan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain hari ini dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dipercayai bagi menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

Gambar: SEBAHAGIAN daripada lapan suspek pembunuhan jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya diiringi anggota polis selepas menjalani ujian DNA di Hospital Kuala Lumpur, Rabu. - Foto BERNAMA

Kesemua mereka tiba di perkarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu kira-kira jam 3 petang menaiki sebuah trak polis yang diiringi dua kereta peronda polis. Mereka yang dibawa dari Pusat Tahanan Bukit Jalil itu kemudian memasuki sebuah bilik dipercayai bagi mendapatkan sampel DNA berhubung kes terbabit. Tujuh daripada mereka dilihat memakai pakaian lokap berwarna oren manakala seorang lagi memakai pakaian lokap berwarna ungu.

Kesemua mereka kemudian dilihat keluar dari perkarangan terbabit kira-kira jam 5 petang dan dikawal ketat anggota polis yang mengiringi mereka sebelum meninggalkan hospital itu.

Media cetak dan elektronik yang berkumpul di perkarangan hospital terbabit turut ditemani ratusan orang awam termasuk doktor, jururawat dan pesakit yang tidak melepaskan peluang melihat kehadiran suspek.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin menerusi laman web sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, polis sudah menerima kembali kertas siasatan kes terbabit yang dipulangkan Pejabat Peguam Negara semalam.

"Proses terbabit adalah prosedur biasa bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

Kes Sosilawati: Lembu, Kambing Dikeluarkan, Polis Jamin Siasatan Siap 2 Minggu

Veterinar bawa keluar kambing, lembu

Gambar: Empat anggota Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor menangkap seekor daripada empat ekor lembu milik suspek kes utama pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini, hari ini. Turut ditangkap ialah lapan ekor kambing. foto: Bernama

BANTING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor membawa keluar binatang peliharaan milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakannya di Ladang Gadong, di sini, bagi mengelak haiwan itu terbiar.

Masing-masing empat lembu, kambing dan biri-biri dibawa keluar menggunakan satu lori dan tiga pacuan empat roda milik jabatan berkenaan sebelum dibawa ke satu lokasi tidak diketahui.

Bagaimanapun, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Selangor, Dr Abdul Latif Borhan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai tindakan itu.

Kelmarin, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas empat merak India, tiga burung gembala kerbau, tiga tekukur dan seekor murai kampung milik suspek utama disangkarnya di Ladang Gadong. -HMetro


Pembunuhan kejam Sosilawati: Polis jamin siasatan siap 2 minggu

KUALA LUMPUR: Siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu dijangka siap sepenuhnya dua minggu lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata kertas siasatan awal berhubung kes itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pagi semalam untuk diteliti, seterusnya persiapan untuk proses pendakwaan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Datuk Seri Mohd Bakri Zinin) memberi jaminan proses siasatan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu. Ini termasuk laporan lengkap DNA bagi membolehkan proses pendakwaan dimulakan secepat mungkin, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau sebelum itu merasmikan Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laman sosial Facebook PDRM di Bukit Aman di sini.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail; Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti-Pengganas) PDRM, Datuk Muhamad Fuzi Harun dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun.

Hishamuddin berkata, proses mengenal pasti DNA sedang giat dilakukan sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia dan ia dijangka selesai dalam sedikit masa lagi.
Ujian DNA ini mengambil masa, namun saya dimaklumkan prosesnya berjalan lancar dan boleh membantu menyelesaikan kes ini.

Kita berharap kes ini dibawa segera ke mahkamah kerana ia sudah menarik perhatian banyak pihak, terutama orang ramai yang mengikuti perkembangannya sejak mula, katanya.

Selain Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, turut dibunuh ialah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangan, Noorhisham Mohammad, 38.

Hishamuddin secara keseluruhannya berpuas hati dengan pencapaian PDRM dan agensi berkaitan yang mengendalikan siasatan kes berkenaan, terutama daripada peringkat awal kehilangan Sosilawati bersama tiga individu yang membawa kepada pembongkaran kes pembunuhannya.

Masa yang diambil begitu cepat untuk membongkar kes ini. Cuma, pihak media perlu memahami keadaan dan prosedur siasatan.

Dalam kes Sosilawati, banyak laporan (media) yang kurang tepat sehingga menimbulkan spekulasi yang dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan dan pendakwaan, katanya.

Beliau turut mengingatkan media mengambil kira isu sensitiviti tertentu dalam setiap laporan berhubung perjalanan kes berkenaan agar tidak disalah tafsir hingga boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat.-BH


"Kamu Setaraf Lembu" Kata Hakim

Padah rogol anak kandung

KOTA BHARU – “Perlakuan kamu yang tidak berasa apa-apa apabila melakukan persetubuhan terhadap anak sendiri sama seperti kambing dan lembu,” kata Hakim Zainal L. Salleh ketika menjatuhkan hukuman terhadap lelaki berusia 35 tahun di Mahkamah Sesyen, petang semalam.

Tertuduh, Mohd Hanafi Yaakub, yang bekerja sebagai seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun mulai tarikh hukuman dijatuhkan semalam dan 20 sebatan selepas didapati bersalah merogol remaja berusia 15 tahun yang juga anak gadisnya.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Air Merah, Batu Gajah, Tanah Merah didapati melakukan kesalahan itu terhadap mangsa di bilik rumahnya di Tanah Merah itu pada jam 6 petang, 28 Februari dan 6.40 petang, 10 April tahun lalu.

Hakim Zainal dalam penghakimannya menegaskan perlakuan sumbang mahram yang dilakukan tertuduh sebagai sangat menjijikkan dan satu kesalahan serius yang perlu diambil kira ketika menjatuhkan hukuman supaya memberi kesedaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Melihat kepada keadaan kamu hari ini, (semalam) kamu tidak menampakkan rasa bersalah malah masih boleh tersenyum serta tidak menyesal terhadap perbuatan kamu.

“Hukuman yang dikenakan perlu dapat beri pengajaran dan menyampaikan mesej kepada kamu sendiri dan masyarakat supaya mereka tidak terjebak dalam kesalahan sama,” katanya.

Beliau bersetuju dengan hujan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nooriah Osman bahawa kesalahan tertuduh amat serius pengakuan salah yang dibuat tidak dapat memberi kelebihan kepada tertuduh.

Nooriah dalam hujahnya berkata, kesalahan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan adalah serius kerana boleh dipenjara antara lapan hingga 30 tahun dan sebatan tidak melebihi 10 rotan.

Menurutnya, tertuduh didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol anaknya sendiri yang berusia 15 tahun ketika kejadian.

“Notis kes sumbang mahram semakin meningkat dan sering dilaporkan media lebih-lebih lagi tertuduh yang sepatutnya memberi perlindungan kepada anaknya sendiri dan bukannya diperlakukan anak itu sewenang-wenangnya,” katanya.

Mengakhiri hujahnya Nooriah berkata, pihaknya memohon kepada mahkamah supaya hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh, berjalan berasingan untuk mencerminkan bertapa beratnya kesalahan yang dilakukan itu.

Mohd Hanafi tidak diwakili mana-mana peguam bela. -SH


Adik Nik Aziz Akui Terima Replika Cek Atas Sifat Peribadi

KOTA BARU: Adik Menteri Besar Kelantan, mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion dari sebuah syarikat Bumiputera, I'Da World Group Sdn Bhd, bagi membantu PAS Kelantan atas sifat peribadi dan bukan mewakili parti atau Kerajaan Kelantan.

Nik Din Nik Mat berkata beliau terpaksa berbuat demikian kerana tiada wakil kerajaan negeri atau Exco yang tampil mewakili Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik untuk menerima replika cek itu di suatu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

"Oleh kerana tidak ada wakil kerajaan negeri dan parti yang tampil menerima cek (replika) bernilai RM4 bilion itu, maka saya naik ke pentas itu sebagai bertindak atas sifat peribadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, dekat sini, Selasa.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai sebuah syarikat Bumiputera, I'Da World Group Sdn Bhd yang menimbulkan misteri dan kejutan banyak pihak kerana bermurah hati untuk menderma kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hettar melibatkan kos RM313.71 juta.

Nik Din berkata, beliau tidak menaruh prasangka kepada mana-mana pihak dan tampil menerima replika cek itu kerana mengenali salah seorang anggota syarikat itu yang merupakan kawan baik beliau sejak di sekolah.

Replika cek bernilai RM4 bilion itu disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif syarikat itu, Abdul Rahman Abdul Rashid, seorang anak Kelantan yang kini menetap di luar negara. BERNAMA


Ulasan GB

Geram tak terkata.

Dua berita tak berkaitan di atas saja GB letakkan di bawah tajuk yang sama.

Apa pulak tak pasal-pasal naik pentas terima replika cek kalau tuan bukan seorang yang berhak untuk mewakili kerajaan Kelantan ataupun parti? Apa pulak naik atas kapasiti peribadi sedangkan cek itu kononnya untuk kerajaan negeri dan ditulis pulak nama parti? Hidup tu biarlah berakal, kan ker tuan tu adik kepada seorang MB?

Senang-senang kena tipu, tak ke lembu namanya?

Mujur TGNA seorang yang mempunyai hikmah yang tinggi, mengetahui selok-belok pengurusan kerajaan dengan jawapannya:

pihak berkenaan tidak mengadakan pertemuan dengan saya mengenai pemberian itu. Sebagai ketua parti (PAS), saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini...

Berita berkaitan: Tiada Sumbangan RM4 Billion - Hanya Penipuan UMNO Untuk Jatuhkan PAS Kelantan

Kes Sosilawati: Suspek Tunjuk Lokasi Baru

Suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu, membawa polis ke satu lokasi baru di sini semalam, yang menjadi tempat beberapa lagi bahan bukti dipercayai milik mangsa kes bunuh dan bakar itu, dibuang.

Lokasi baru di sebuah tali air di Kampung Sungai Lang, terletak berdekatan kunci air, kira-kira 300 meter dari Pasar Besar Awam Banting. Suspek utama yang juga seorang peguam, dibawa ke situ untuk menunjukkan tempat semua barang milik mangsa dibuang. Usaha mencari barang yang cuba dilupuskan suspek kes berkenaan dilakukan tiga anggota penyelam Pasukan Gerakan Marin selama lebih dua jam mulai 3.15 petang.

Mereka dipercayai sedang mencari telefon bimbit milik seorang mangsa, tetapi dalam operasi semalam, pasukan penyelam hanya menemui objek yang kelihatan seperti seutas gelang tangan yang diselaputi lumpur.

Penemuan gelang tangan berkenaan kira-kira jam 4 petang itu menjadi bukti terbaru bagi membantu polis merungkai misteri pembunuhan empat mangsa berkenaan.

Terdahulu, pada jam 2.25 petang, suspek sekali lagi dibawa polis ke pejabatnya di Jalan Kemboja off Jalan Sultan Alam Shah, di sini, dipercayai bagi mendapatkan beberapa dokumen yang boleh membantu siasatan berhubung kes itu.
Kira-kira 40 minit berada pejabatnya, suspek dilihat dibawa keluar dari bangunan itu dengan dikawal ketat anggota polis dan diikuti dua wanita yang dipercayai kakitangannya.

Seorang anggota polis kemudian dilihat membawa tiga fail yang berisi dokumen dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan. -BH

Kes Sosilawati: Seorang Kontraktor Dan Rakannya Tak Pulang-pulang

Kes bunuh Sosilawati: Kontraktor tak pulang-pulang

SUNGAI PETANI: “Hati saya terdetik mengatakan suami akan pulang pada Aidilfitri lalu menyebabkan saya membeli sepasang baju Melayu biru untuknya,” kata Samsonnahar Mohd Dali, 35, isteri kepada kontraktor, Shafik Abdullah (gambar), 37, dipercayai turut menjadi mangsa peguam yang kini suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.

Menurut Samsonnahar, walaupun pada hakikatnya dia sedar suaminya mungkin tidak pulang, gerak hati itu menyebabkan dia tetap menaruh harapan berlaku keajaiban dan menunggu kemunculan suaminya pada pagi 1 Syawal lalu.

“Bagaimanapun, impian itu hanya tinggal angan-angan kosong,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, suaminya keluar dari rumah mereka di Taman Bunga Raya, di sini, pada 5 April lalu, kira-kira jam 5 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream warna emas menuju ke Kuala Lumpur dipercayai berurusan dengan peguam terbabit.

“Sehingga kini, suami tidak pulang ke rumah dan apabila menghubungi telefon bimbitnya, ia diputuskan. Kali terakhir saya bertemu suami pada hari itu manakala pada 7 April antara jam 10.30 malam dan 11 malam, suami menelefon saya memberitahu dia akan pulang pada 9 April.


“Dia juga berharap dapat pulang ke Sungai Petani secepat mungkin kerana mahu memasuki rumah baru yang dibeli di Taman Cemara, kira-kira satu kilometer dari rumah sekarang, tetapi dia sedikit pun tidak mengadu dan bercerita mengenai masalah dihadapinya,” katanya.

Samsonnahar yang mempunyai tiga anak berusia lima hingga 13 tahun berkata, dua hari selepas itu, dia ada menelefon peguam terbabit dan dimaklumkan suaminya ke luar negara dan akan pulang selepas lima atau enam hari lagi.

“Saya terkejut dengan jawapan peguam terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.

“Akibat tidak berpuas hati dengan penjelasan peguam itu, saya ke rumah sewa suami di Meadow Park 2, Jalan Kuchai Lama terkejut apabila menemui pasport antarabangsanya dalam beg, tetapi keretanya tiada di situ,”
katanya.

Menurutnya, kereta milik suaminya ditemui tersorok di tempat letak kereta di Pelabuhan Klang selepas sistem penggeranya berbunyi akibat perbuatan khianat.

Katanya, suaminya dipercayai mengenali peguam terbabit sejak setahun lalu selepas diperkenalkan seorang rakan dan sejak itu, suaminya sering berhubung dengan lelaki berkenaan.

Samsonnahar berkata, dia terkejut apabila Balai Polis Banting, baru-baru ini, memaklumkan bahawa 95 peratus siasatan polis mengesahkan suaminya seorang daripada mangsa peguam terbabit yang kini ditahan polis.

“Saya masih berharap menerima berita gembira. Apapun, saya bersedia menerima sebarang kemungkinan yang menimpa suami dan reda dengan kejadian menimpanya.

“Sejak kehilangan suami, saya banyak melakukan solat tahajud dan hajat. Alhamdulillah selepas lima bulan kehilangannya, saya dapat menerima kenyataan walaupun tidak tahu di mana kubur dan jasadnya,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, sumber polis mengesahkan ada menerima laporan mengenai kehilangan Shafik Abdullah dan seorang lagi rakannya sejak April lalu.

Sumber itu berkata, polis mengklasifikasikan kes kehilangan mereka sebagai kes orang hilang dan siasatan lanjut sedang dijalankan sama kehilangan mereka ada kaitan dengan suspek utama kes Sosilawati. -hmetro

Tiada Sumbangan RM4 Billion - Hanya Penipuan UMNO Untuk Jatuhkan PAS Kelantan

ADIK TOK GURU KENA TIPU?

Jom kita lihat laporan berita seperti berikut;

Berita Harian;

KOTA BHARU: Sebuah syarikat tempatan mengumumkan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan atas alasan untuk membantu kerajaan negeri membangunkan prasarana beberapa jajahan yang mundur di negeri ini.

Pengerusi Eksekutif I'DA World Group Sdn Bhd (I'DA World), Abdul Rahim Abdul Wahab, mendakwa sumbangan itu bukan membalas ganjaran diberikan Kerajaan Kelantan kepada syarikat itu membangunkan projek di Tumpat, Kelantan, yang bernilai lebih RM300 bilion. Sumbangan I'DA World ini tidak ada kena mengena dengan projek diperoleh syarikat daripada kerajaan negeri yang bernilai lebih RM300 bilion, malah ia lebih kepada membantu membangunkan beberapa jajahan di negeri ini seperti pekan Rantau Panjang, yang kelihatan mundur dan memerlukan bantuan untuk pembangunan, katanya.


Beliau memberitahu pemberita selepas majlis pelancaran projek dan makan malam I'DA World yang dihadiri lebih 200 tetamu di Hotel Renaissance di sini, malam kelmarin. Bagaimanapun, tiada kenamaan selaku wakil kerajaan negeri hadir pada majlis itu.[sila klik]

KOMEN:

apa persepsi yang UMNO/BN mahu timbulkan?

kerajaan kelantan adalah kerajaan yang mundur.

LAGI;

Sejurus penyampaian surat pelantikan kontraktor itu selesai, Abdul Rahim membuat kejutan apabila mempamerkan replika cek memaparkan nilai RM4 bilion atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selepas pengacara majlis membuat pengumuman mengenai sumbangan firma itu kepada Kerajaan Pas Kelantan.

komen:

Apa persepsi yang BN/UMNO mahu timbulkan?

Kononnya PAS kelantan terlibat dengan Rasuah.

PERSOALANNYA?

apakah benar wujud projek yang di maksudkan?

jawapannya;

Menteri Besar [tok guru nik abdul aziz] itu berkata, kerajaan negeri juga tidak pernah meluluskan projek untuk membangunkan Pantai Sri Tujoh, Tumpat seperti yang didakwa oleh Pengerusi Eksekutif I'Da World, Abdul Rahim Abdul Wahab. [sila klik]

lagi;

Pihak yang tampil menerima replika cek berjumlah RM4 bilion daripada syarikat I’DA World Group Sdn Bhd di sini malam kelmarin menjelaskan kehadiran di majlis itu tidak mewakili Menteri Besar seperti dilaporkan.

Nik Din Nik Mat adik kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu kehadiran di majlis berkenaan di atas kapasiti peribadinya sendiri setelah menerima jemputan.

“Saya tidak mewakili Menteri Besar di majlis berkenaan. Malah saya juga terkejut tiba-tiba dipanggil untuk menerima replika cek terbabit.

“Memang Ayah Din tak tahu menahu tentang perkara itu, Ayah Din pergi hanya memenuhi jemputan, siapa Ayah Din untuk mewakili kerajaan negeri dan Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi di sini. [sila klik]

JUSTERU;

Ini propaganda UMNO/BN yang baru. ia ingin melahirkan persepsi, kononnya PAS terlibat dengan rasuah. dan lagi, mereka mahu gambarkan kononnya Kelantan adalah negeri yang mudur.

Peliknya, nak bagi derma kepada PAS kelantan sehingga mencapai RM 4b, tapi seorang pun pimpinan PAS kelantan tidak tahu menahu tentang derma itu? yang peliknya lagi, macam mana adik tok guru yang tidak ada kena mengena dengan PAS dan Kerajaan negeri, boleh dijemput hadir sebagai penerima cek besar tu?

Cuba siasat sama, apakah wujud sebuah syarikat yang mempunyai eset sampai AS$2trilion????

sekian

pesanan kepada UMNO/BN - Kalau nak menipu, atau nak buat propaganda pun, biar logik sikit. Jangan sampai, budak belajar PASTI pun boleh perasan.

Wallahu 'Alam -Al-Bakistani

Ulasan GB

GB telah mengesani lebih awal sewaktu mula-mula berita ini tersiar di Berita Harian/ Harian Metro. GB tidak terus menyalin-tampal. Biar betul, RM4b, dalam hati kecil GB berkata.

Akhirnya terbukti ia hanyalah permainan UMNO untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.

Tetapi ada juga yang tertipu. Termasuk para blogger PAS yang begitu cepat tangannya untuk salin-tampal sebelum merujuk hal sebenar sehingga merekalah yang menyebabkan puak UMNO melebar-luaskan ketawa mereka.

Dan yang penting, jangan percaya kepada UMNO walau rapat macamana sekalipun. Tengoklah bagaimana adik TGNA sendiri ditipu oleh rakan baiknya sewaktu sekolah dulu. UMNO menggunakan iblis yang bijak menipu.


Azmin vs Zaid: Sedang Mengejar Keselesaan Berganda

Memikirkan pemilihan Parti Keadilan Rakyat Oleh RAHMAN SHAARI

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan pemilihan tidak lama lagi. Khabarnya, tokoh tertinggi, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mempertahankan kedudukannya sebagai presiden. Timbalannya yang telah berasa tua, Dr Syed Husin Ali, akan berundur daripada tempat itu. Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim akan bertanding bagi mengambil tempat yang dikosongkan oleh Syed Husin. Khabarnya masih ada calon lain yang akan turut bertanding.

Sesiapa yang mengikuti perkembangan PKR pasti tahu bahawa parti itu mengalami perkembangannya yang tersendiri. Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (sering juga disebut ketua de facto) tidak akan merebut jawatan presiden. Ini membezakan parti ini daripada parti-parti lain, kerana sungguhpun Anwar tidak bertanding, dia akan selalu ‘menang’. Kita telah melihat pergerakan hebat tokoh ini, bahawa tanpa menjadi ketua yang langsung, dia berjaya menentukan arah PKR. Anwar amat istimewa dalam PKR, dan saya jangka keistimewaan ini tidak mungkin dinikmati orang lain dalam jangka masa 20 tahun akan datang.

Sesetengah orang menyukai PKR kerana kelainan Anwar. Walau bagaimanapun, Bahagian atau Cabang Arau mencadangkan agar Anwar merebut jawatan presiden. Ini laporan Sunday Star 19 September 2010, “Datuk Seri Anwar Ibrahim received a nomination from the Arau branch for the post.” Maksud the post dalam konteks itu ialah jawatan presiden.

Ketika saya menulis makalah ini, saya tidak tahu mengapakah Cabang Arau berbeza. Paling mungkin dan munasabah, ahli-ahli Cabang Arau mengingini demokrasi tulen, iaitu mereka berhasrat agar PKR ditadbirkan secara biasa, bukan secara yang melebih-lebihkan penasihat atau ketua de facto. Jika itu ialah hasrat Cabang Arau, semua ahli PKR wajarlah menerima baik.

Hasrat untuk melihat demokrasi berjalan secara semolek-moleknya dalam PKR tergambar juga melalui tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang mahu bertanding untuk jawatan Timbalan. Beliau tidak mahu orang melihat Azmin Ali sebagai segala-galanya dalam PKR. Mungkin bagi Zaid, keistimewaan kedudukan Anwar sudah cukup, malah sudah lebih, maka janganlah kedudukan Azmin pun menuju ke arah keistimewaan sedemikian. Sesebuah parti politik zaman moden tidak wajar meletakkan seseorang di tempat yang menyamai amalan feudalisme.

Tanpa hasrat menyebelahi Zaid, saya berpendapat tokoh itu mempunyai kelebihan. Azmin ada keistimewaan sebagai pemimpin istimewa, terutama beliau telah lama bersatu-padu dengan Anwar, sehingga kelihatan tidak terpisahkan, biarpun langit bertangkup dengan bumi. Zaid tidak demikian. Beliau bergantung pada kekuatan peribadinya sendiri, seorang tokoh yang faham betul sistem politik sekular. Beliau telah memaparkan ketegasannya meninggalkan jawatan menteri, dan kemudian memilih parti pembangkang. Ini istimewa, walaupun rahsianya rahsia biasa, iaitu rahsia yang bukan rahsia.

Bagi orang miskin, ketegasan Zaid meninggalkan jawatan menteri cukup menghairankan, tetapi bagi jutawan, tindakan demikian samalah dengan seseorang membuang beberapa biji kacang. Beliau membuang kacang kerana meminati gajus. Bagi sesiapa yang memiliki wang kurang seringgit sejuta, Zaid ialah pemimpin bernilai sederhana, tidak begitu mundur, dan tidak juga begitu maju. Zaid meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional, menyeberang ke pihak pembangkang kerana (beberapa kali disebutkan) beliau yakin pembangkang memiliki demokrasi tulen. Zaid berhak berfikir begitu, walaupun hakikat dalam diri ketua-ketua parti tidaklah demikian.

Jika Zaid tidak bertanding sekarang, bilakah masanya beliau akan bertanding? Sesiapa yang berusia melebihi 55 tahun, masa dan usia amat difikirkan. Kita janganlah percaya bahawa Zaid menyertai PKR hanya untuk menolong parti, tanpa memikirkan segi untuk ditolong parti. Kita tahu Azmin, sama seperti Anwar sendiri, berada dalam keuntungan, kerana mereka menolong dan ditolong parti. Kita juga tahu, sejumlah besar ahli parti ialah orang-orang yang bersedia menolong parti, biarpun tidak ditolong parti. Mereka bersedia bekerja tanpa bayaran, kerana mereka menyangka parti ialah sesuatu yang amat baik untuk rakyat. Fikiran demikian tentulah berbeza daripada pemikiran pemimpin, kerana pemimpin memikirkan peningkatan dan pengekalan kuasa. Semua ini tersirat dalam pelbagai teori politik.

Orang yang paling layak memimpin PKR, malah memimpin Pakatan Rakyat, tentulah Anwar Ibrahim. Walaupun stailnya amat berbeza, beliau tahu menguasai sejumlah manusia yang dipimpinnya, kerana beliau banyak belajar daripada Tun Dr Mahathir Mohammad. Ketika mereka berdua mentadbir negara, kita dapati pertentangan daripada musuh-musuh – dalam dan luar – tidak pernah kuat. Kita dapati pola yang memberikan keistimewaan kepada Anwar adalah berasaskan ilmu daripada Mahathir, dan ilmu itu dipegangnya hingga kini.

Untuk memahami hal ini, kita hendaklah mempelajari konsep dan pelaksanaan intertekstualiti. Anwar mulai aktif dalam UMNO pada awal dekad 1980-an disebabkan rasa kagumnya kepada kehebatan Mahathir. Sejumlah besar orang Melayu berasa senang hati, gembira dan bersyukur, kerana dua pemimpin yang sukar dicari dalam masa satu atau dua dekad, tiba-tiba bersatu padu dalam sebuah parti politik.

Kita telah melihat negara berada dalam keadaan sejahtera ketika kedua-dua tokoh itu berbaik-baik. Itu telah menjadi sejarah.
Apa yang sedang kita lihat kini, Anwar berada di atas yang lain selaku penasihat dan ketua de facto, satu kedudukan yang tidak pernah dinikmati Mahathir. Ini menunjukkan Anwar telah memperlihatkan kebolehannya menambahkan segi yang tidak diajarkan Mahathir. Mahathir tidak pernah mengambil tempat begitu, biarpun beliau juga berjaya menjadikan dirinya pemimpin yang tidak ditandingi, hinggalah pada 1987.

Sekarang kita mendapati Anwar berada di kedudukan yang mengatasi presiden. Kata-kata beliau didengari secara sepenuhnya, tanda bahawa beliau di atas presiden. Jika beliau mengenang zaman bahagianya dalam UMNO, beliau pasti terbayang akan kedudukan Dr Mahathir yang tidak ditandingi atas alasan yang lain. Saya yakin, di samping beliau berasa tidak menyenangi Dr Mahathir kerana wujudnya alasan politik biasa, beliau pasti berasa terhutang budi kerana Dr Mahathir memberikan ilmu tinggi kepadanya dalam hal begini.

Sama ada ahli PKR, ahli UMNO, juga ahli parti-parti lain – seterusnya ahli politik tidak berparti – semuanya sedang menunggu tarikh pemilihan pemimpin baru PKR. Pada masa ini, Zaid Ibrahim dan Azmin Ali terlihat sebagai saling rival, iaitu masing-masing sedang mencari penyokong. Namun, dalam diri mereka, tiada kebimbangan apa-apa, kita yakin, kerana mereka bukanlah daripada kalangan kurang seringgit sejuta, apatah lagi dari kalangan orang miskin yang kurang seribu ringgit sebulan. Mereka berdua, menyamai tokoh-tokoh UMNO dan Barisan Nasional, adalah tokoh-tokoh yang sedang mengejar keselesaan yang berganda-ganda. Oleh itu, pertandingan mereka ialah pertandingan yang tidak begitu berbeza berbanding pertandingan yang membabitkan Nicol David atau Lee Chong Wei.

Oleh sebab pertandingan dalam politik moden hanyalah seumpama pertandingan sukan, maka eloklah kita mengikutinya dengan jiwa yang tenang. Jika terasa muncul rasa marah, atau tidak senang, eloklah orang Islam mendapatkan ayat al-Qur’an yang sesuai untuk menyembuhkan penyakit hati yang berbahaya. Ingatlah, dalam keseluruhan ruang kehidupan yang amat bermakna, politik amat kecil. -SH