6 Sep 2010

Najib Perlu Buktikan Teo Menyampaikan Tazkirah

Jawatankuasa surau nafi dakwaan Najib MP Teo sampaikan tazkirah

Pengerusi jawatankuasa pengurusan Surau Al-Huda Azemi Ahmad yang dipecat Mais menyangkal dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching menyampaikan “tazkirah” ketika mengadakan kunjungan ke premis itu akhir bulan lalu.

Azemi memberitahu The Malaysian Insider bahawa perdana menteri memperoleh maklumat yang tidak tepat kerana Teo tidak sama sekali menyentuh soal-soal berkaitan dengan agama.

“Jelas, beliau (Najib) memperoleh maklumat yang salah. Teo hanya bercakap mengenai skim pinjaman pendidikan yang disediakan oleh kerajaan negeri Selangor untuk memasuki universiti awam.

“Menyampaikan tazkirah bermakna beliau kena sentuh isu-isu agama, untuk bercakap mengenai Islam. Beliau tidak berbuat demikian,” kata Azemi ketika dihubungi hari ini.

Justeru tegas beliau, Teo dan jawatankuasa pengurusan tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Ketika berucap di Gombak sempena majlis berpuasa semalam, Najib bertegas Teo telah melanggar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan apabila beliau memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang pada 22 Ogos lalu.

Najib berkata, fatwa yang dikeluarkan Mac lalu adalah jelas bahawa bukan Islam mesti memperoleh kebenaran daripada masjid dan mengenakan pakaian sopan ketika memasuki kawasan masjid dan surau.

Teo memasuki ruang solat surau itu pada 22 Ogos lalu tanpa mengenakan tudung tetapi menegaskan beliau berbuat demikian dengan kebenaran pengurusan surau.

Najib yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, Teo telah melakukan satu lagi kesalahan dengan menyampaikan tazkirah ketika kunjungannya.


Azemi juga menegaskan bahawa Teo tidak melanggar fatwa ekoran kegagalannya mengenakan tudung apabila memasuki ruang solat surau berkenaan.

“Ia hanya sopan untuk memakai tudung. Beliau bukan Islam, jadi tidak semestinya wajib bagi beliau memakai tudung... ia hanya pilihan, dan digalakkan,” katanya.

“Sebagaimana saya kata tadi, sebagai seorang bukan Muslim, ia bukan satu kemestian. Ia satu obligasi dan wajib bagi Muslim memakainya,” kata beliau.

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga tidak bersetuju dengan Najib bahawa Teo telah melanggar fatwa.

Kata beliau, fatwa itu dengan jelas menyebut bahawa bukan Islam boleh memasuki kawasan masjid.

“Saya tidak akan fokus pada soal tazkirah kerana saya tidak hadir ketika Teo menyampaikan ucapan. Tetapi sudah pasti, sebagaimana saya sebutkan sebelum ini, surau tidak harus digunakan untuk tujuan politik.

“Tetapi, fokus saya sekarang ialah sama ada bukan Islam boleh memasuki masjid, dan jawapannya ialah Ya,” kata beliau.

Mengenai tindakan Teo tidak mengenakan tudung atau skarf, Asri berkata, ramai ahli Umno juga berbuat demikian.

“Ia bukan satu kesalahan dalam kes Teo kerana beliau bukan seorang yang beragama Islam,” kata beliau yang berpendapat bahawa mereka yang memasuki masjid perlu menghormati dengan menutup aurat.


“Seperti juga, jika saya hendak pergi ke pejabat perdana menteri atau pejabat menteri besar, saya perlu mengenakan pakaian yang sopan untuk menghormati budaya tempat itu. Ini fahaman bersama,” kata Asri.

Bagaimanapun Asri menekankan bukan kesalahan Teo kerana tidak mengenakan skarf ketika berada di Surau Al-Huda.

“Ia kesalahan jawatankuasa masjid, bukan Teo. Mereka sepatutnya memaklumkan beliau, dan jangan mengharapkan beliau mengetahuinya kerana beliau bukan beragama Islam.

“Sebagai umat Islam dan penyelia masjid, jawatankuasa seharusnya memaklumkan kepada beliau,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu beliau menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan agar mengadakan taklimat kepada semua jawatankuasa surau dan masjid untuk menentukan prosedur yang betul bagi mengelakkan salah faham seumpama itu berulang.

“Siapa tahu, kemungkinan mereka mengubah fatwa sekali lagi kerana mereka melihat amalan yang berbeza di luar negara. Mereka mungkin melihat (Presiden AS) Barack Obama memasuki masjid dan mereka mungkin mengubah fatwa.

“Kita perlu ada banyak keseragaman dan kita perlu menasihatkan jawatankuasa masjid tentang apa yang mereka perlu lakukan,” katanya lagi.

Bagaimanapun Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bersetuju dengan Najib bahawa Teo telah melanggar fatwa yang sedia ada keputusan dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan terpakai kepada semua termasuk bukan Islam.

“Ia satu undang-undang dan semua orang terikat dengannya. Dalam kes ini, beliau bertindak bertentangan dengan fatwa kerana beliau tidak menutup rambut ketika masuk ke surau dan beliau juga menyampaikan ucapan di ruang solat,” kata beliau.

“Bukan Islam boleh masuk masjid, tetapi mereka juga mesti menghormati peraturan dan kesucian (premis). Ini bermakna mereka mesti tutup aurat,” tambahnya. -TMI

Najib: MP Serdang langgar fatwa masuk surau, beri tazkirah

GOMBAK, 5 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Ahli Parlimen DAP Serdang Teo Nie Ching telah melanggar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan apabila beliau memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang bulan lalu.

Najib berkata, fatwa yang dikeluarkan Mac lalu adalah jelas bahawa bukan Islam mesti memperoleh kebenaran daripada masjid dan mengenakan pakaian sopan ketika memasuki kawasan masjid dan surau.

Dengan merujuk kepada fatwa, Najib berkata pelancong bukan Islam boleh memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mereka memperoleh kebenaran daripada pengurusan selain memastikan tindakan mereka tidak bertentangan dengan kesucian masjid.

Teo memasuki ruang solat surau itu pada 22 Ogos lalu tanpa mengenakan tudung tetapi menegaskan beliau berbuat demikian dengan kebenaran pengurusan surau.

“Garis panduan ini mesti kita patuhi sebelum memasuki masjid,” kata Najib ketika berucap pada majlis berbuka puasa di sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, Teo telah melakukan satu lagi kesalahan dengan menyampaikan tazkirah ketika kunjungannya.

“Hanya orang Islam dibenarkan menyampaikan tazkirah di masjid atau surau.

“Jika bukan Islam memasuki sebuah masjid dan mula memberikan tazkirah kepada Muslim, ia bertentangan dengan ajaran Nabi,” kata Pengerusi BN ini.


Najib yang juga Presiden Umno menambah, Sultan Selangor dan enakmen pentadbiran Islam negeri juga melarang bukan islam daripada memasuki ruang solat.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah menghantar surat amaran kepada Teo awal minggu ini.

Menurut Mais tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor yang menitahkannya menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Dalam kenyataannya, Teo pula menjelaskan kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberi sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor,” katanya.

Teo turut menegaskan bahawa lawatannya ke surau berkenaan tidak berniat politik dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.

Beberapa pemimpin PKR dan PAS termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam. -TMI


Ulasan GB

1) Najib berdusta atau mendapat maklumat dari pengampunya yang pendusta, menuduh Teo menyampaikan TAZKIRAH. Najib dan penuduhnya perlu buktikan Teo bertazkirah. Saya sendiri tidak yakin Najib tahu apakah pengertian tazkirah?

2) Najib perlu menasihat dan mengarahkan dahulu isteri kesayangannya, Rosmah, untuk menutup aurat secara sempurna sebelum meminta wanita bukan Islam berbuat demikian.

3) Begitu juga halnya mufti yang bernama Harussani, yang turut dilihat cenderung untuk membela pemimpin UMNO, membuat kenyataan berikut:

beliau (Teo) tidak menutup rambut ketika masuk ke surau dan beliau juga menyampaikan ucapan di ruang solat

Nasihatkan dulu wanita-wanita UMNO terutama isteri PM tersebut, jika anda tidak mahu digelar sebagai ulamak ussu' - ulamak pengampu yang busuk yang hanya memandang kesalahan orang lain tetapi mendiamkan diri terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Ternyata mereka dari UMNO ini dari PM sampai ke bawah hanya cuba mencari political mileage dari isu Teo ini. Dan akhirnya mendedahkan kebebalan UMNO terhadap agama sendiri dan populariti Teo yang semakin menjulang tinggi.

Rakyat beragama Islam semakin bersimpati dengan nasib Teo dan semakin meluat dengan UMNO yang jahil murakab.

Serdang - akan menyaksikan di dalam pilihanraya akan datang, UMNO semakin terkangkang!

Iklan Raya TV3: Rais Yatim Perlu Letak Jawatan

Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan Patut Dipersalahkan, Kata Mahfuz

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan patut dipersalahkan dalam kontroversi penyiaran iklan TV3 sempena Hari Raya tahun ini yang tidak menjaga sensitiviti umat Islam.

Pendirian Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ini berdasarkan kepada jawapan bertulis Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu, Datuk Shaziman Abu Mansor pada sidang Dewan Negara 2004.

Dalam jawapan itu, Shaziman menyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM bekerjasama dengan Lembaga Penapisan Filem untuk memastikan semua bahan siaran ditapis sebelum disiar TV swasta.

TV3 sejak Khamis lalu menyiarkan iklan yang menggambarkan seorang lelaki tua dan kanak-kanak menaiki beca ajaib ala kereta salju Santa Claus sehingga melintasi bulan, selain menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman Buddha.

Mengikut beberapa blog, iklan ini meminjam konsep 1 Malaysia bagi menggambarkan amalan kesamarataaan agama di Malaysia.

Dalam hal ini, Mahfuz menyalahkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kerana terlalu memberi tumpuan kepada pemantauan di internet hingga mengabai bahan siaran TV3.

Mahfuz yakin Rais mungkin tidak memantau bahan siaran dalam TV3 kerana terlalu percayakan media arus perdana ini

Beliau yakin jika iklan sedemikian disiar media alternatif, Rais Yatim dan pimpinan Umno pasti akan melenting dan bertindak pantas serta tegas.

"Jelas membuktikan pemimpin Umno menilai sesuatu perkara dari sudut kepentingan politik mereka,” kata Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Pas.

Iklan terbitan Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 yang menggunakan teknik janaan pengimejan komputer, dihentikan selepas lima kali siaran.

Selepas ditegur untuk tempoh tertentu, TV3 akhirnya memohon maaf.

Laknatullah Ke Atas Perampas Royalti

Penyakit Hati Punca Enggan Bayar Royalti Minyak Kelantan

Penyakit hati – iri hati, dengki, khianat, dendam, sombong, angkuh, tamak, adu dumba, fitnah dan lain-lain – menjadi punca manusia rosak akhlak dan tingkah laku buruk hingga menjadi buta dari melihat kebenaran dan keadilan. Sebaliknya sifat mazmumah (keji) ini akan mendorong manusia melakukan kejahatan, kezaliman, penindasan, kemaksiatan hingga sanggup merampas hak orang lain.

Kengganan kerajaan pusat membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan adalah berpunca dari para pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) yang mempunyai penyakit hati ini. Dendam kesumat dan iri hati terhadap rakyat Kelantan yang mengundi pembangkang sejak 20 tahun lalu.

Walaupun negara telah melalui empat lima pilihan raya umum namun percubaan kerajaan Umno-BN untuk merampas semula negeri Cik Siti Wan Kembang itu gagal. Maka ditaburkan berbagai fitnah dan dilakukan pelbagai kejahatan dan kemuncaknya menafikan rakyat Kelantan dari menerima wang royalti minyak.

Ekoran dari kezaliman Umno-BN ini maka negeri Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah memfailkan saman terhadap Petronas – di mana pemegang sahamnya adalah kerajaan persekutuan – di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Kerajaan negeri bertindak demikian terhadap Petronas akibat melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil dari minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan-Thailand, Kelantan-Vietnam dan Kelantan-Terengganu.

"Kita akan tuntut wang royalti ini sehingga dapat," kata Tok Guru, menambah, "sekiranya gagal kita akan tuntut di akhirat. Lebih baik dia bagi semasa di dunia ini."

Kelantan tuntut RM800 juta setahun

Tuntutan royalti minyak oleh Kelantan dianggarkan bernilai RM800 juta setahun sejak 2005 dan jika dicampur jumlah itu sehingga tahun ini maka jumlahnya ialah sebanyak RM4.8 bilion.

Tidak diketahui kenapa Tok Guru memilih bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan ini untuk memfailkan saman dan sejurus selepas itu, beliau dan rombongannya bergegas ke masjid yang berdekatan, Masjid Jalan Duta, untuk menunaikan solat hajat.

Barangkali mesej yang hendak disampaikan oleh Tok Guru ialah "di hari baik dan bulan baik ini, hentikanlah dari melakukan kezaliman. Berilah hak kami!" Tetapi tindakan beliau ini dapat dikiaskan dengan unsur-unsur kehidupan di akhirat apabila beliau bercakap kepada para wartawan.

Kata Tok Guru, "jika mereka masih menafikan hak rakyat Kelantan maka di akhirat nanti, mereka akan menerima padahnya. Pahala ibadat mereka akan diberi kepada orang-orang yang dizalimi. Jika pahala mereka habis maka dosa orang-orang yang dizalimi akan dilambakkan ke atas kepala orang-orang yang melakukan kezaliman."

Dendam kesumat Umno-BN

Apa yang alami oleh rakyat Kelantan ialah akibat dendam kesumat ekoran dari pemikiran politik sempit bagi menyeksa rakyat negeri itu kerana terus menerus menolak Umno-BN. Mereka tidak ada cara lain lagi melainkan dengan menafikan rakyat Kelantan dari mendapat pembangunan dan bantuan kewangan.

Sifat yang buruk dan keji ini, jika kita teliti adalah tidak menghairankan kerana sebuah lagi negeri, Terengganu, juga dinafikan hak royalti minyak, walaupun diperintah oleh mereka sendiri. Menteri Besarnya Ahmad Said terpaksa membawa kes ini ke mahkamah dan berita terbaru menurut beliau, kerajaan persekutuan akan mula membayar royalti minyak (bukan wang ehsan) sebanyak RM1.6 bilion setahun mulai 2011, seperti laporan Bernama pada 28 Ogos lalu.

Perkembangan ini adalah hasil dari janji bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengembalikan wang royalti kepada kerajaan negeri Terengganu pada Jun 2008. Rundingan di antara Petronas dan kerajaan persekutuan bermula pada September tahun yang sama.

Pendirian Ahmad Said adalah jelas. Beliau berkata, "kerajaan negeri tidak akan menandatangani sebarang perjanjian atau menggugurkan tuntutan mereka melalui mahkamah sehingga mereka berpuas hati bahawa semua hak dan kepentingan rakyat Terengganu berhubung royalti minyak disebut dengan jelas dalam perjanjian. Kerajaan persekutuan mesti mengembalikan hak ini kepada rakyat Terengganu berdasarkan perjanjian asal."

Apakah alasan mereka kali ini untuk memberi royalti minyak kepada Terengganu sedangkan kepada Kelantan tidak? Kalau dahulu, alasan yang diberi ialah kerajaan-kerajaan negeri tidak berhak mendapat royalti minyak sekiranya minyak dan gas ditemui lebih dari 3 batu nautikal dari pesisir pantai.

Mereka sanggup mereka cipta berbagai alasan hingga memuatkan alasan-alasan itu di dada-dada akhbar media arus perdana semata-mata untuk membohongi rakyat dengan menafikan hak rakyat Kelantan sedangkan perjanjian telah dimeterai di antara kerajaan-kerajaan negeri (termasuk Sabah dan Sarawak) sejak PDA di wujudkan lagi.

Survival politik

Sebenarnya, krisis royalti minyak ini dapat diselesaikan tanpa diseret ke mahkamah sekiranya para pemimpin pusat mahu mengadakan rundingan dan mempunyai niat yang ikhlas untuk sama-sama mengecap kekayaan negara, demi kesejahteraan rakyat, dan bukan tertumpu untuk mengaut keuntungan peribadi dan mementingkan survival politik mereka sahaja.

Bekas menteri kewangan berdarah raja, Tengku Razaleigh Hamzah, yang diamanahkan oleh perdana menteri ketiga, Tun Abdul Razak Hussein, untuk menggubal dan menandatangani perjanjian di antara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas berkata, "kalau saya masih Pengerusi Petronas, saya akan bayar wang royalti…….tidak perlu kecuh-kecuh."

Jadi, keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti minyak ini sebenarnya tidak bersandarkan kepada alasan yang kukuh melainkan kerana mempunyai sifat-sifat buruk dan keji yang disebutkan tadi hingga mendorong mereka melakukan penindasan dan kekejaman.

Orang yang biasa hidup senang dan mewah sepanjang hayatnya biasanya tidak akan merasa keperitan hidup orang-orang susah dan miskin. Sebab itu Allah SWT mewajibkan umat Islam menjalani ibadah puasa dengan menahan diri dari lapar dan dahaga di siang hari supaya dapat mendidik akhlak yang terpuji.

Ibadah puasa juga bertujuan untuk menghakis sifat-sifat keji tadi – iri hati, dengki, dendam, khianat, sombong, angkuh, tamak, adu dumba, fitnah dan lain-lain – agar sesuatu permasalahan itu dapat diselesaikan dengan cara yang baik dan mudah.

Jika tidak, ibadah kita (sebulan berpuasa) menjadi sia-sia!

Ulasan GB

Ringkasnya, Kelantan dinafikan hak royalti kerana ia diperintah oleh PAS.

Ia bukti bahawa UMNO BN tidak mengindahkan konsep federalisma yang termaktub di dalam Perlembagaan.

UMNO BN perlu diheret ke mahkamah bukan sahaja kerana tidak membayar royalti tetapi juga kerana tidak mematuhi konsep federalisma tersebut.

Dan akhir-kata, rakyat seluruhnya mengutuk perbuatan UMNO BN yang jahat itu, dengan doa semuga "laknatullah" ke atas kamu selagi kamu tidak mengembalikan hak itu kepada kerajaan negeri Kelantan.

Iklan Raya: TV3 Benar-benar Sudah Gila Akibat Salam 1Malaysianya

Adakah Apco Yang Lulus Terbit Iklan Raya TV3?

Kontroversi iklan raya yang diterbitkan atas brand TV3 telah sampai ke kemuncaknya apabila TV3 melalui Buletin Utama edisi 5 September telah memohon maaf kepada semua masyarakat Muslim yang terguris dengan penyiaran iklan tersebut.

Dengan memasukkan unsur Santa Claus iaitu simbol perayaan Krismas dan juga unsur bunga teratai yang menjadi lambang kepada upacara keagamaan Buddha, dapat kita lihat dengan mata kasar bahawa apa yang cuba ditonjolkan dalam iklan tersebut adalah peralihan dari slogan 1Malaysia terbitan Umno dan Apco menjadi slogan baru iaitu 1Agama.

Kepada rakan-rakan yang masih ketinggalan dan tidak sempat melihat iklan tersebut, boleh melihatnya sendiri dan seterusnya menilai, adakah ianya boleh memesongkan akidah anak-anak kita yang menontonnya sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri?

Setelah iklan tersebut diselidik dengan lebih halus seperti yang dikaji dalam blog aulakalimah, ianya menghasilkan sesuatu yang lebih memeranjatkan.

Dapat didedahkan bahawa dalam iklan tersebut juga dapat dilihat tulisan jawi atau tulisan Al-Quran yang dipaparkan dalam keadaan terbalik, dan menara masjid yang 'ditokok' menjadi bentuk salib!

Inilah kerja-kerja propaganda barat untuk mengelirukan umat Islam, malangnya ia disambut oleh media perdana yang dipelopori kerajaan pemerintah.

Ketelanjuran ini adalah disifatkan melampaui batas. Memohon maaf semata-mata disebalik melindungi mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan penyiaran iklan tersebut sememangnya tidak berbaloi.

TV3 harus lebih responsif dan bertanggungjawab dengan apa yang telah mereka lakukan! Ia umpama si perogol yang dilepaskan hanya setelah memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Justeru, TV3 atau lebih dikenali sebagai RTM3, harus mendedahkan siapakah yang melulus-terbit iklan yang berniat jahat tersebut.

Diikuti dengan mendedahkan siapakah atau kumpulan manakah yang melakukan kerja akhir menyiapkan iklan tersebut, diikuti mendedahkan 'director' iklan dan juga perekacipta 'storyboard' bagi iklan yang diklasifikasikan sebagai 18PL itu.

Demi menghalang sebarang agenda memurtadkan orang-orang Islam secara licik dan halus dilakukan secara terancang seperti iklan raya lari akidah terbitan TV3, pihak pembangkang atau NGO orientasi Islam harus memulakan langkah segera menyiasat dan memberkas mereka yang terlibat dan yang paling penting, menghambat siapakah yang menjadi dalang utama.

Kerajaan hari ini sememangnya tidak boleh lagi diharap dalam menjaga kesucian Islam apabila mereka bersama dengan agen Yahudi.

Persoalannya, adakah iklan promo raya TV3 itu berkaitan dengan Apco, yang menjadi konsultan kepada kerajaan Barisan Nasional? Tiada apa yang mustahil dilakukan oleh kerajaan pemerintah hari ini apabila telur mereka dipegang erat oleh anasir barat.

Staf TV3 yang mempunyai maklumat adalah digalakkan untuk membuat pendedahan sepertimana yang dituntut. Sesungguhnya pendedahan yang berjaya dilakukan akan menyelamatkan umat Islam daripada terus diasak arus kemurtadan yang sentiasa dicanang oleh barat keparat.

Kepekaan masyarakat Islam di negara ini dalam mentafsir iklan tersebut sangatlah dipuji.

Semoga kita semua selamat bersama Islam di dunia dan akhirat InsyaAllah. -edyesdotcom.


ISU IKLAN RAYA TV3 2010: Masyarakat mahu mohon maaf terbuka

Perbagai lapisan masyarakat menyatakan rasa sedih dan kecewa dengan iklan terbaru TV3 berkaitan ucapan “Selamat Hari Raya” khusus kepada para penonton TV3.

Video iklan yang berkenaan yang tersebar luas di facebook, youtube dan blog sejak 2 hari lepas mendapat kecaman hebat pelbagai pihak.

Imej beca terbang ala-santa claus jelas boleh mengelirukan penonton khususnya golongan kanak-kanak. Sekali imbas ia sudah kelihatan seperti iklan krismas bagi penganut agama kristian.

Lebih mengejutkan, terdapat penggunaan bunga “amithaba” atau bunga lotus yang amat sinonim dengan penganut Buddha. Bunga lotus adalah lambang kesucian tuhan Brahma atau “Brahma God” ditayangkan berulang kali sehingga ke akhir iklan.

Di peringkat awal iklan pula memaparkan penggunaan tulisan jawi secara terbalik menimbulkan persoalan apakah tujuan iklan ini dibuat di waktu umat Islam sedang berada pada kemuncak bulan Ramadhan. Selain itu, “close up” di tayangan awal mendapati paparan sehelai mukasurat yang mempunyai gambar sebuah beca bewarna merah dengan berlatarbelakangkan sebuah pokok ‘seakan-akan’ pohon Krismas dikelilingi dengan North Star (Bintang Utara), menutup sehelai mukasurat lain bertulisan JAWI yang diterbalikkan (inverted). Ia jelas menghina umat Islam pada bulan Ramadhan yang mulia ini di samping boleh menjejaskan akidah umat Islam dan mengelirukan golongan Non-muslim.

Para pengkritik mengaitkan imej ini dimasukkan sempena dengan konsep 1Malaysia yang dipaparkan kerajaan.

Masyarakat kini sedang giat menyebarkan maklumat protes dan kelab ‘anti’ TV3 juga kini giat mendapat sambuntan khususnya di kalangan pelayar facebook atau para bloggers.



Pihak TV3 digesa menarikbalik iklan berkenaan di samping menyiarkan permohonan maaf secara terbuka. Ianya bukanlah isu kecil malah melibatkan krisis akidah umat Islam. Penonton tv3 yang rata-ratanya dari kalangan orang Melayu Muslim seharusnya bangun menyuarakan bantahan kepada pihak berkaitan khususnya kepada Kerajaan Malaysia agar tindakan tegas diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab menyiarkan iklan yang sebegini rupa. -khirulrijal