2 Sep 2010

Khusrin Pijak Kepala JAKIM

Mais: Larangan bukan Islam masuk ruang solat liputi semua

Larangan ke atas bukan Islam memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor tidak terhad kepada Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang kini berhadapan dengan kontroversi.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menegaskan larangan dikenakan ke atas Teo menerusi surat amaran, yang diterima wakil rakyat itu semalam, merangkumi semua orang bukan Islam di Selangor termasuk wakil rakyat dan ahli-ahli politik.

Setiausaha Mais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata larangan itu perlu dipatuhi demi menjaga kesucian dan kehormatan masjid dan surau.

“Dalam surat amaran yang diberikan Teo, kita melarang beliau daripada memasuki ruang solat masjid dan surau di negeri ini.

“Kalau beliau mahu buat program boleh buat di kawasan luar ruang solat... keputusan kita tegas,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Selain itu, beliau berkata larangan daripada memasuki ruang solat itu juga turut melibatkan semua orang bukan Islam termasuk wakil rakyat sama ada dari Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN).

“Semua orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat masjid dan surau. Mereka hanya boleh memasuki kawasan lain tetapi dengan syarat mesti ikut peraturan yang ditetapkan.

“Kalau ada pihak pengurusan masjid dan surau yang membenarkan orang bukan Islam memasuki ruang solat kita akan ambil tindakan terhadap mereka kerana melanggar arahan yang dikeluarkan,” katanya.

Mohammed Khusrin juga menegaskan jika masih ada wakil rakyat bukan Islam memasuki ruang solat tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

“Kita tidak ada undang-undang untuk dikenakan kepada orang bukan Islam yang memasuki masjid dan surau tetapi jika secara berterusan ia dilakukan kita akan ambil tindakan lain termasuk membuat laporan polis,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat amaran yang dihantar kepada Teo kerana dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Dalam surat amaran itu, Mais meminta supaya beliau tidak lagi memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Mais juga menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Namun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

Selain itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid atau surau bertentangan dengan semangat keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dicapai awal tahun ini.

Perkasa meminta kerajaan mengadakan undang-undang baru menghalang bukan Islam memasuki masjid dan surau. -TMI


Larangan MAIS: Program DAP di surau tak terjejas

Timbalan setiausaha DAP Teo Nie Ching berkata, walaupun beliau mendapat amaran daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung lawatannya ke surau Al-Huda di Kajang, program semua wakil rakyat parti itu tidak terjejas sama sekali.

Ahli parlimen Serdang itu berkata, ini kerana surat MAIS yang diterimanya semalan hanya melarang orang bukan Islam memasuki dewan solat surau dan masjid sahaja.

"Bagi kami (wakil rakyat DAP), perkara ini bukan isu. Kami masih boleh hadir di perkarangan masjid," kata Teo.

"Bagaimapun, kami akan lebih berhati-hati pergi ke masjid dan surau untuk menjalankan program, berbuka puasa bersama umat Islam dan menyampaikan sumbangan."

Sebelum ini, ekoran dilaporkan memasuki ruang solat Surau Al-Huda dan memberikan 'tazkirah' di dalamnya, Teo semalam 'dianugerahi' surat amaran daripada MAIS yang melarangnya memasuki ruang solat di Selangor tanpa kebenaran.

Memberikan reaksi spontan dalam laman Twitter, Teo bertanya kembali: "How about tourists?" (Bagaimana dengan pelancong?)

Beliau juga secara berseloroh menulis: "Terima kasih kepada Utusan Malaysia (yang melaporkan). Setakat ini saya terima empat helai selendang daripada pelbagai orang. Saya fikir tak lama lagi saya boleh buka butik selendang."

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Teo - ahli parlimen termuda DAP - berkata walaupun selepas mendapat surat amaran itu semalam, masih terdapat surau yang masih menjemputnya hadir berbuka puasa bersama-sama.

"Esok malam saya dijemput ke sebuah surau di Bangi," katanya yang akan mengaku akan hadir ke majlis itu seperti biasa.

Menjawab soalan tentang selendang-selendang yang diterimanya, Teo memberitahu, beliau menerima kesemuanya melalui serahan tangan dalam program yang dihadirinya.

"Mereka kata, YB, pakailah selendang ini, nanti Utusan buat isu lagi," jelas Teo.

Menurutnya lagi, kesemua selendang itu diberikan oleh umat Islam yang bersimpati terhadapnya.-mk


Ulasan GB

Pertama, dimana Hassan Ali? Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri yang berkata akan memanggil Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammad Khusrin Munawi? Mengapa Hassan Ali lemah dan lambat bertindak di dalam hal ini, membiarkan saja MAIS mendahului?

Mengapa Selangor masih membiarkan beliau menjadi exco yang tidak dapat mengawal MAIS dan JAIS? Mengapa PAS Pusat membiarkan tindakan-tindakan Hassan Ali yang banyak kali telah menyusahkan dan merugikan Pakatan Rakyat di Selangor?

Kedua, bagaimana sekarang apabila Khusrin Munawi boleh bertindak wewanangan melanggar fatwa JAKIM? Khusrin yang tidak ada kelulusan agama boleh bertindak sedemikian? Bagaimana si jahil ini boleh secara enak melakukan perlarangan perkara-perkara yang tidak dilarang oleh agama?

Pecat Hassan Ali dan seret Khusrin ke muka pengadilan!
Apa lagi yang Selangor tunggu?

Jika tiada tindakan diambil, samada oleh kerajaan Selangor dan PAS Pusat, pasti saja Allah yang akan menetapkan keputusanNya pula kepada kerajaan Selangor dan PAS Pusat. Ini adalah ujian kepada kedua-dua pihak ini samada tegas atau pun lemah. Kedua-duanya ada implikasi di dalam pilihanraya akan datang!


Pengetua Rasis Mengapa Masih Tidak Dikenakan Tindakan?

Umno-BN Takut Ambil Tindakan Terhadap Pengetua Rasis

Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa membantah sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa Wee Meng Chee atau Namewee harus disiasat kerana filem terbarunya "Nah!" disifat boleh mencetus api perkauman.

Teck Hwa dalam kenyataan media yang mewakili DAP Bahagian Muar berkata Namewee dalam filem terbarunya telah menyampaikan pendirian kebanyakan kaum Cina iaitu tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak yang cuba memprovokasikan sentimen perkauman.

"Kami kesal dengan tindakan polis yang menghantar 3 kereta peronda polis ke rumahnya semasa tinggal 15 minit negara menyambut kedatangan hari kemerdekaan yang ke-53.

"Namewee sudah menjelaskan pendiriannya dalam filem terbaru iaitu membantah kenyataan perkauman daripada Pengetua sekolah Puan Siti Insyak Mansor dan pendirian Kementerian Pendidikan yang tidak mengambil sebarang tindakan tegas terhadapnya," tegas Teck Hwa.

Namun, sehingga ke hari ini, katanya pihak yang terbabit masih bebas dari segi undang-undang dan hukuman terhadapnya hanyalah memindahkannya tersebut ke sekolah lain untuk meredakan kemarahan orang ramai.

Seruan masyarakat Cina adalah tegas dan sama iaitu pihak yang terlibat harus dihadapkan ke mahkamah untuk meneriman tindakan yang sewajarnya.

"Sekiranya ia hanya merupakan satu kes kecuaian dalam sistem pendidikan maka guru tersebut boleh dimaafkan kerana jasa guru yang berat iaitu mendidik generasi akan datang.

"Kementerian Dalam Negeri masih meneruskan pendakwaan terhadap Namewee maka ini menunjukkan kerajaan bersetuju dengan kenyataan rasis daripada Pengetua tersebut dan pendirian KPM yang memandang ringan insiden ini.

"Secara tersirat, kerajaan telah bersetuju dengan tindakan rasis segelintir pihak di negara ini," kata Teck Hwa.

Beliau turut melahirkan kekesalannya dengan tindakan pihak tertentu yang masih bebas menyamakan sesuatu kaum dengan pendatang, pelacur, pengemis.

"Dalam hal ini, slogan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak iaitu "1Malaysia" kini sudah terkecai," ujarnya lagi.

Ulasan GB

Inilah akibatnya perjuangan bangsa yang tidak bersandarkan agama yang ditaja oleh UMNO.

Rasulullah bersaabda: "Ya Rasulullah? Apakah dia fanatik (assabiyah) itu ya Rasulullah? Jawab Rasulullah saw… ”Engkau menolong kaum mu di atas dasar kezaliman”. Itulah fanatik namanya.

Musibat Dalam Video Intip MB Selangor Itu Dikenalpasti

Isu video intip MB Selangor: Beberapa individu dikenalpasti

Beberapa individu telah dikenalpasti melalui rakaman video kamera intip yang ditemui tersembunyi di pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, awal bulan lalu.

Setiausaha politik kepada Tan Sri Khalid, Faekah Husin dalam satu sidang media yang diadakan pagi tadi berkata individu yang dikenalpasti bertugas di tingkat sama dengan pejabat Menteri Besar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam.

"Hasil daripada siasatan dalaman yang dijalankan, terdapat beberapa wajah dan suara individu yang dapat dikenalpasti di rakaman video berkenaan, bagaimanapun kita tidak mahu memberikan butiran lajut (mengenai individu terbabit) buat masa ini.

Ada diantara mereka memang sepatutnya berada di kawasan berkenaan manakala ada juga yang dikenalpasti tidak sepatutnya berada di bilik terbabit," katanya kepada wartawan.

Beliau menambah pasukan bertindak yang ditubuhkan bagi menyiasat isu kewujudan video kamera intip berkenaan akan menemui Menteri Besar esuk untuk menentukan tindakan susulan yang bakal diambil.

Faekah berkata, pasukan bertindak terbabit memerlukan kebenaran menteri besar sebelum mereka meneruskan langkah menemubual mereka yang dikenalpasti dalam rakaman video terbabit.

Menurutnya lagi, individu terbabit perlu disoal siasat untuk mengenal pasti dalang yang merancang meletakkan video kamera berkenaa di dalam pejabat menteri besar.

"Siasatan awal yang dijalankan oleh pasukan bertindak berkenaan telah menjurus kepada kesimpulan bahawa dalang yang terbabit dengan perbuatan itu adalah percubaan 'nakal' membabitkan politik," tambah Faekah lagi.

Beliau juga mengesahkan telah menemui tiga pegawai polis pagi tadi dan seterusnya lagi mengesahkan bahawa tiada siasatan telah dijalankan oleh pihak polis kerana setakat ini tiada sebarang laporan polis telah dibuat.

Tan Sri Khalid, 10 Ogos lalu telah mendedahkan bahawa beliau telah menemui sebuah video kamera intip di pejabatnya.

Menurutnya video kamera terbabit telah diletakkan dalam keadaan tersorok di sebalik langsir tingkap pejabatnya yang terletak di tingkat 21 Bangunan SUK.

Menurutnya lagi, kewujudan video kamera terbabit disedari beliau selepas ia mengeluarkan bunyi amaran kehabisan bateri. -SK

Khalid Cabar Rozali Letak Jawatan, Tanding Pilihan raya

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mencabar supaya presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) Tan Sri Rozali Ismail meletakkan jawatan dan bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Cabaran itu disuarakannya hari ini, berikutan tindakan Rozali mengkritik pemimpin Pakatan Rakyat di sebuah majlis berbuka puasa yang turut dihadiri sultan Selangor.

Turut hadir pada majlis itu ialah menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan juga ahli parlimen PAS Dr Dzulkefly Ahmad.

Khalid berkata, Rozali bertindak secara tidak berbudi bahasa apabila menjemput mereka ke majlis berkenaan, tetapi mengambil peluang berkenaan untuk menyerang Pakatan Rakyat.

"Dia bantai kita, (katanya) orang Islam (sepatutnya) bersaudara tapi ada yang lebih rela bekerjasama dengan orang (bukan Islam)," kata Khalid dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Tambahnya, pemimpin Pakatan tidak diberi peluang untuk berucap di majlis berkenaan.

"Kita nak tengok berapa ramai orang Melayu yang reda dengan tindakan dia kaut duit orang Melayu untuk kepentingan dia," katanya lagi ketika menyuarakan cabaran itu hari ini.

Beliau juga mengesyorkan supaya DPPMS menganjurkan simposium dan latihan kepada usahawan bumiputera bagi mendedahkan golongan itu kepada suasana perniagaan baru yang memerlukan kemahiran dan daya saing.

"(Supaya mereka) bukannya bergantung kepada kronisme dan hubungan politik semata-mata," katanya lagi.

Sebelum ini, Rozali kerana mendakwa kerajaan negeri Selangor meminggirkan orang Melayu dalam bidang perniagaan.

Bagaiamanapun Exco kerajaan Selangor Teresa Kok dalam satu kenyataan yang keras berkata, Rozali tidak puas hati dengan kerajaan negeri, berpunca daripada pertikaian mengenai kadar tarif air.

Rozali adalah pengerusi eksekutif syarikat konsesi air, SYABAS, yang menyaman kerajaan Selangor yang enggan menaikkan kadar tarif air.

Teresa berkata, beliau percaya Rozali membuat kenyataan tidak berasas kerana dendam peribadinya terhadap Khalid dan kerajaan Pakatan Rakyat kerana cuba membeli SYABAS yang menjadi penjana sumber kewangannya.

Pada 12 Julai lalu, Khalid menyelar tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperkecilkan kecekapan beliau mentadbir sumber air di negeri itu yang didakwanya hanyalah untuk melindungi kepentingan Rozali.

"Ini dibangkitkan oleh timbalan perdana menteri bertujuan melindungi ketua eksekutif puncak niaga kerana beliau juga bendahari (Umno) Selangor dan juga Hulu Selangor.

"Jadi lebih baik jaga hati kroni daripada beri peluang kepada Selangor dapat air lebih murah dan lebih cekap diuruskan," katanya.

Tambah Khalid, walaupun beliau "tidak berapa cekap" dalam menguruskan sumber itu di Selangor, tarif bagi penggunaan air lebih murah daripada yang dibayar oleh penduduk Johor.

"Johor yang pernah diperintah oleh timbalan perdana menteri juga pernah kenakan kenaikan harga air," perlinya. -mk

Ulasan GB

DPMMS mendakwa kononnya peniaga Melayu dipinggirkan oleh Kerajaan Selangor di dalam perniagaan. Satu dakwaan yang bertujuan untuk mencari publisiti murahan untuk membela para kroni yang telah puas mengaut kekayaan semasa pemerintahan UMNO BN.

Kini apabila peluang itu dibahagi-bahagikan supaya peniaga Melayu yang dulunya terpinggir akibat amalan kronisme di bawah pemerintahan UMNO BN, geng-geng kroni ini melenting seperti ayam yang berak kapur.

Rozali yang menerima gaji hampir 1/2 juta sebulan sebagai Pengerusi SYABAS, merasa tertekan apabila kerajaan Selangor enggan menaikkan tarif air demi untuk kepentingan seluruh rakyat Selangor.

Tunggu saat dan ketika, si Qarun yang mengambil harta rakyat yang bernama Rozali ini ditelanjangkan seluruhnya dan dirampas sekalian kekayaannya apabila PR membersihkan segala macam kekotoran yang ada di dalam sistem pemerintahan negara seperti institusi peguam negara, institusi kehakiman, PDRM, SPRM, SPR dan sebagainya. Qarun-qarun seperti beliau tidak akan dilepaskan!

Bukan dendam tetapi hak rakyat perlu dikembalikan dan kamu yang sudah lama melakukan kerja merompak harta rakyat perlu menerima balasan di sebalik jerisi besi pula.


Pesta Fitnah UMNO Sepanjang Ramadhan

UMNO BERPESTA FITNAH DI BULAN BARAKAH Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Cuba bayangkan jika Rasulullah s.a.w ditakdirkan Allah masih hidup di zaman ini. Tidakkah kita fikirkan bahawa Utusan dan Umno mungkin juga akan menemplak tindakan Rasulullah s.a.w yang membenarkan orang-orang Kristian Najran masuk ke masjid dan bersembahyang di Masjid Nabi.

Ahli Parlimen DAP Y.B Teo Nie Ching diserang-serang habis-habisan kerana berkunjung ke Surau Al-Huda Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut. Beliau telah dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas. Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Kerana seronok memfitnah di bulan Ramadhan, Umno dan Utusan tidak peduli seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang berjaya menonjolkan ruh tasamuh ( toleransi ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim. Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Ibnu Ishak meriwayatkan golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka bejumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan mereka ).

Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang mengikut cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur ( lihat buku tulisan Yusuf Al-Qardhawi “ Religious Minority from Shariah’s Perspective ). Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Dewan Ulama Pas,Dato Harun Taib iaitu mereka yang arif tentang Islam menyatakan tidak salah orang bukan Islam memasuki masjid.

Jika Rasulullah s.a.w yang digambarkan oleh Al-Quran sebagai qudwatun hasanah ( role model ) membenarkan orang bukan Islam bersembahyang cara mereka di Masjid Nabi siapakah Utusan dan Umno yang ingin melarang Ahli Parlimen DAP dari memasuki surau Al-Huda, Kajang.

Umno dan Utusan mendakwa kononnya pihak Surau Al-Huda membenarkan Nie Ching memberikan tazkirah sedangkan beliau adalah orang bukan Islam dan tidak memakai aurat.

Sebenarnya ini hujah makan tuan. Baiklah katakan, untuk tujuan berhujah, kami terima pendapat Umno bahawa Nie Ching tidak sepatutnya bertazkirah kerana beliau adalah orang bukan Islam dan tidak menutup aurat. Jika itu hujah Umno kita juga berhak bertanya kenapakah semasa Umno menjadi Kerajaan di Selangor dahulu para alim ulama’ seperti Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din, Almarhum Dato Ishak Bahrum dan beberapa alim ulama' yang lain juga dilarang memberikan tazkirah oleh pemimpin Umno.Bukankah Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din, Almarhum Dato Ishak Bahrum adalah orang Islam dan bukankah mereka juga menutup aurat !

Umno katakan Nie Ching tidak menutup aurat ketika bertazkirah. Kita ingin bertanya Umno, adakah hukum atau perintah menutup aurat hanya untuk orang Islam atau juga terpakai untuk orang bukan Islam ? Jika menutup aurat hanya wajib untuk orang Islam sahaja kenapakah kita harus mewajibkan ke atas orang bukan Islam dalam perkara yang Allah tidak wajibkan ke atas mereka. Bukankah pendirian kita bahawa orang bukan Islam yang ingin berkunjung ke masjid mestilah berpakaian sopan. Saya tidak nampak Nie Ching berpakaian tidak sopan hanya kerana beliau tidak bertudung.

Jika Umno begitu serius tentang isu menutup aurat mengapakah Umno tidak ambil peduli sebahagian besar isteri pemimpin Umno dan sesetengah pemimpin wanita dan Puteri Umno yang masih tidak menutup aurat !

Apabila Ahli Parlimen Selayang, Y.B William Leong Jee Keen menyampaikan sumbangan kepada wakil Masjid al-Taqwa, Selayang akhbar Mingguan Malaysia menulis dengan tajuk berikut “ Ahli Parlimen Selayang pula “ bertazkirah” Kesucian Masjid terus dinodai” ( Mingguan Malaysia 29/8/2010 m/s 3 ). Akhbar itu melaporkan pengarah JAIS Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.

Saya tidak pelik jika JAIS mengambil pendirian begitu kerana bagi saya saki baki pengaruh Umno masih tebal dalam JAIS. Bukankah JAIS di zaman BN dahulu sibuk mengambil tindakan kepada AJK masjid yang dilihat tidak cenderung kepada Kerajaan BN. Saya mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam isu tersebut kerana saya mewakili lebih kurang 7 buah masjid dan surau yang diganggu oleh JAIS !

Untuk Khusrin kita ingin bertanya soalan berikut : Adakah Rasulullah s.a.w tidak tahu orang-orang Kristian Najran berhadas besar semasa Rasulullah s.a.w membenarkan mereka masuk Masjid Nabi dan bersembahyang di Masjid Nabi ?

Apabila Ustaz Zakaria Ahmad mendoakan di dalam khutbah agar Lim Guan Eng diberi hidayah akhbar proksi Umno memfitnah beliau dengan mengatakan doa Ustaz Zakaria berbunyi begini “ Ya Allah, Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Lim Guan Eng… ( lihat Mingguan Malaysia 22/8/2010 m/s 5 ). Malahan ada disiarkan di dalam TV bagaimana seseorang membuat komen bahawa khutbah tersebut boleh dikatakan tidak sah kerana tidak ada doa kepada Yang Dipertuan Agung ( YDPA ). Wow ! sejak bila doa kepada YDPA menjadi rukun khutbah. Habislah semua khutbah Nabi tidak sah kerana di zaman Nabi YDPA tidak ada !

Mengapakah Umno terus menerus memainkan isu seperti ini ? Jawapannya mudah sekali iaitu amat mudah memainkan emosi rakyat dengan isu-isu sensasi ini. Percayalah Umno akan terus menerus memainkan isu seperti ini kerana bagi Umno undi adalah segala-galanya. Bagi mendapatkan undi matlamat menghalalkan cara. Umno tidak akan peduli sama ada isu yang dimanipulasi itu selaras dengan syara’ atau tidak.

Lihatlah pendirian Umno dalam isu kalimah Allah di dalam akhbar the Herald. Emosi mengatasi ilmu. Lihat pula dalam isu kuil dan memijak kepala lembu. Sekali lagi perasaan mengatasi ilmu pengetahuan. Lihat pula isu orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Umno tidak peduli seerah dan sunnah Rasulullah s.a.w. Lihat pula isu khutbah. Umno seronok memfitnah di dalam bulan yang penuh barakah.


Exco sedia buat kursus agama

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari bersedia menganjurkan kursus agama buat pemimpin UMNO.

Menurutnya, ia bagi memastikan pemahaman dan penghayatan agama Islam di kalangan pemimpin parti itu dapat dilaksanakan.

Katanya, beliau akan menganjurkan kursus berkenaan pada bila-bila masa sekiranya mendapat maklum balas positif daripada pemimpin UMNO.

“Saya selaku Pengerusi Biro Pemahaman dan Penghayatan Agama PKR sanggup beri kursus agama secara percuma buat pemimpin UMNO pada bila-bila masa.

“Tawaran ini bukan main-main sebaliknya saya mahu menganjurkannya demi melihat pemahaman dan penghayatan agama Islam dilaksanakan di kalangan pemimpin UMNO,”katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Hari Raya, di sini kelmarin.

Pada masa sama, beliau mengajak pemimpin UMNO untuk bersama-sama mengimarahkan institusi surau dan masjid yang ada di negeri ini.

Katanya, melalui cara itu isu perpaduan orang Melayu dapat diselesaikan.

“Jika mereka (pemimpin UMNO) benar-benar mahu menjaga kesucian surau dan masjid di negeri ini, marilah kita mengimarahkan dan bersembahyang berjemaah bersama-sama.

“Bukannya hanya tahu melatah dan politikkan isu surau dan masjid. Melalui langkah ini juga, secara tidak langsung perpaduan di kalangan orang Melayu dapat diselesaikan,”katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan seramai 300 orang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan, ibu tunggal dan anak yatim dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menerima hamper dan sumbangan wang tunai berjumlah keseluruhan RM30,000.

Mengulas lanjut mengenai kontroversi yang menyelubungi Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, Yaakob berkata isu itu sengaja diperbesarkan UMNO.

Katanya, isu itu bertujuan menanam kebencian rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-90 telah memutuskan bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat izin pengurusan masjid dan menjaga tingkah laku serta tidak mencemarkan kesucian masjid.

“Saya juga bersetuju dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz bahawa di Malaysia, fikiran dicemari sentimen politik kepartian sehingga kita lupa kepada prinsip asas agama Islam itu sendiri,”katanya. -SH



Inkues Teoh: "Surat Terakhir" Sebagai Pelengkap Konspirasi

Inkues Kematian Teoh Beng Hock Disambung 20 Sept Dan 22 Okt

Mahkamah Koroner di sini, hari ini menetapkan20 Sept dan 22 Okt untuk menyambung prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock.

Pada tarikh itu, pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal akan memberi keterangan dan seorang ahli kimia yang juga pakar tulisan tangan turut dipanggil bagi mengesahkah satu nota yang dikatakan milik Teoh.

Koroner Azmil Muntapha Abbas menetapkan tarikh itu pada prosiding hari ini dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh dan peguam Malik Imtiaz Sarwar bagi kerajaan negeri Selangor.

Ketika prosiding Mohd Abazafree berkata beliau akan memohon supaya seorang jurubahasa Mandarin hadir pada tarikh itu bagi menterjemah kandungan nota itu sebelum dijadikan eksibit dan diserah kepada semua pihak.

Menurutnya permohonan rasmi secara bersurat akan diserahkan kepada koroner secepat mungkin.Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai tahun lepas di Tingkat Lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14 bangunan sama.. -SK

Ulasan GB

Nampaknya yang dikatakan "nota terakhir Teoh" akan dikemukakan oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal yang akan memberi keterangan dan seorang ahli kimia yang juga pakar tulisan tangan turut dipanggil bagi mengesahkah satu nota yang dikatakan milik Teoh.

Perancanaan konspirasi sudah sampai ke peringkat cuba menipu rakyat Malaysia dengan kononnya wujud nota terakhir yang ditulis oleh Teoh sebagai bukti Teoh membunuh diri. Begitu licik perencanaan yang dimainkan dan rakyat Malaysia sedang memerhatikan pakar kimia yang mana pula dipanggil untuk dilembukan oleh pihak pendakwa bagi mengesahkan kononnya tulisan itu adalah tulisan tangan Teoh sepertimana ahli-ahli patologi tempatan telah dilembukan untuk memberikan keterangan kononnya Teoh membunuh diri dengan terjun dari bangunan.

Mereka bisa melembukan sesetengah orang tetapi tidak seluruh rakyat Malaysia.

Rakyat telah menyaksikan dan mendengar dengan jelas keterangan-keterangan ahli-ahli patologi tempatan yang penuh sarat dengan hujjah dan rumusan-rumusan dangkal yang direka-reka untuk menjustifikasikan kononnya Teoh membunuh diri.

Untuk apa? Untuk menyelamat seorang manusia yang merupakan pembunuh sebenar mendiang Teoh!

Di bulan mulia ini, sepertimana di bulan Ramadhan tahun lalu, mereka para konspirator ini tidak pernah takut kepada Tuhan, sewenang-wenang mereka menjalankan konspirasi mereka dan selain rakyat 1Malaysia hendak ditipu, mereka juga hendak menipu kebenaran dan lebih jelek mereka hendak menipu Tuhan.

Kita ingin tegaskan, bangkai gajah tidak mungkin boleh ditutup dengan nyiru.

Kebenaran akan tetap terdedah sekalipun mereka cuba menipu dengan pelbagai cara. Mereka mengelak untuk ditubuhkan Suruhanjaya Diraja dengan digantikan dengan inkues yang dapat mereka manipulasikan demi mempastikan konspirasi berjalan sempurna, namun Allah s.w.t. akan tetap menyempurnakan perencanaanNya juga. Kamu-kamu jika masih terus-terusan hendak menipu, tunggu balasan dari Dia Yang Maha Benar! Lambat-laun kesemua kosnpirator bakal menghadapi balasanNya yang amat pedih.