29 Ogo 2010

Kuil Atau Gereja Mana Yang Nak Jemput Ibrahim Ali Berucap?

Perkasa mahu undang-undang halang bukan Islam kunjungi masjid

Perkasa mahu undang-udang digubal bagi melarang bukan Islam daripada memasuki kawasan masjid dan surau meskipun tokoh agama berpandangan bahawa tidak salah bagi masyarakat bukan Muslim berbuat demikian.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa bukan Islam boleh mengunjungi rumah ibadat umat Islam.

Selain mereka, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga mempertahankan kunjungan bukan Islam ke masjid dan surau.

Malah pandangan Perkasa itu bertentangan dengan fatwa Mac lalu yang membenarkan pelancongan mengunjungi masjid.

“Perlu ada undang-undang bagi menghalang insiden bukan Islam memasuki kawasan surau dan masjid,” kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali pada sidang media di sini hari ini.

Meskipun beliau mengakui bahawa bukan Islam pernah memasuki masjid ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w, Ibrahim berkata, menjadi tanggungjawab Islam untuk mempertahankan kesucian rumah ibadat.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini turut menuduh Nik Aziz tidak menjalankan tanggungjawabnya sepenuhnya dengan mempertahankan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang mengunjungi Surau Al-Huda di Kajang, Ahad lalu.

“Sebagai Muslim, taqwa mengatakan bahawa kita mesti memelihara kesucian masjid. Nik Aziz seorang yang beriman tetapi kurang bertaqwa,” kata Ibrahim.

Ibrahim menggesa Majlis Agama Islam Selangor agar mengambil tindakan ke atas jawatankuasa pengurusan Surau Al-Huda yang membenarkan Teo menyampaikan ucapan.

“Tindakan ini telah mencemari kesucian Islam,” kata Ibrahim.

Ibrahim menuduh wakil rakyat penggal pertama menyampaikan ucapan dengan bermotifkan politik.

“Beliau bercakap tanpa tudung dan tidak menutup aurat. Ia keterlaluan, beliau mempunyai niat politik,” kata beliau lagi.

Ibrahim berkata walaupun beliau dijemput untuk menyampaikan ucapan di kuil-kuil selaku wakil rakyat tetapi lazimnya akan menolak jemputan sedemikian bagi mengelakkan politik dan agama bercampur.

“Apa akan berlaku jika saya bercakap mengenai politik di kuil atau gereja? Orang Hindu tidak akan menyukai. Orang Kristian juga tidak akan menyukai,” kata beliau.

Ulasan GB

Alahai, Presiden Perkasa cuba kononnya hendak mempertahankan "kesucian" masjid dan surau.

Dan katanya Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang mengunjungi Surau Al-Huda berucap mempunyai niat politik.

Kita cabar Ibrahim Ali sebutkan apa yang sebenarnya diucapkan oleh Ahli Parlimen Serdang itu jika beliau tahu.

Sedangkan apa yang sebenarnya ialah

Manakala ucapannya di dalam surau tersebut, jelas Teo, tidak menyentuh langsung soal politik, tetapi sebaliknya hanya menerangkan tentang bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor.

"Kebanyakan mereka tidak mengetahui tentang perkara ini, dan saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan perkara tersebut kepada mereka," katanya.


Kedua, Ibrahim menyatakan:

“Apa akan berlaku jika saya bercakap mengenai politik di kuil atau gereja? Orang Hindu tidak akan menyukai. Orang Kristian juga tidak akan menyukai,” kata beliau.

Baguslah jika Ibrahim Ali dapat jemputan untuk bercakap (tak kisah lah samada ucapan politik atau pun tidak) di dalam kuil atau gereja. Tetapi setahu GB takkan ada mana-mana pihak kuil dan gereja yang teringin nak jemput Ibrahim berucap. Hidungmu tak macunglah Ibrahim!

PAS Rancang Saman Utusan & MAIS, Hassan Ali Pula Kenapa Membisu?

PAS kaji saman Utusan, Mais fitnah isu MP Serdang kunjung surau

PAS mengkaji tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia dan pihak-pihak terbabit termasuk Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung isu kontroversi kunjungan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda, Kajang.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata laporan akhbar arus perdana itu yang mengatakan Teo memberikan bantuan kepada ahli PAS di surau tersebut adalah satu penipuan dan fitnah yang sengaja diperbesarkan.

“Kita telah bincang perkara ini dalam mesyuarat (bulanan) PAS hari ini dan kita serahkan kepada peguam untuk mengkaji perkara ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad.

“Selain Utusan Malaysia kita juga akan ambil tindakan kepada pihak yang menyebarkan fitnah termasuk Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kerana tidak menyiasat perkara ini terlebih dahulu,” kata beliau ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Anti Saman Ekor (KASE) di pekarangan Plaza Tol Sungai Besi di sini petang ini.

Beliau berkata, PAS juga akan membantu pengurusan Surau Al-Huda untuk mendapatkan keadilan dan mungkin tindakan sama akan diambil kepada pihak-pihak terbabit.

“Ya, kita juga akan dapatkan kebenaran bagi pihak pengurusan surau itu, kalau apa yang dilaporkan itu fitnah kita juga akan ambil tindakan undang-undang.

“Apa yang saya faham Utusan Malaysia membuat laporan palsu apabila mengatakan Teo menyambaikan sumbangan kepada ahli PAS, memberi tazkirah dan juga memberi ucapan politik,

“Sedangkan beliau (Teo) hanya dijemput untuk memberikan ucapan selepas memberikan sumbangan kepada surau tersebut untuk memperbaiki pagar di kawasan surau itu. Apa yang dilaporkan itu adalah satu penipuan yang nyata,” katanya.

Mais mendakwa tindakan Teo itu telah menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Majlis itu juga telah mengambil alih pengurusan surau itu.

Dalam kenyataannya malam tadi, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat surau itu yang terletak di Kajang Sental.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.


“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan bahawa Mais boleh menyerahkan surat amaran tetapi bukan kepada Teo, sebaliknya Majlis Muzakarah Fatwa.

“Majlis Muzakarah Fatwa telah mengeluarkan fatwa pada Mac tahun ini dengan mengatakan orang bukan Islam boleh memasuki kawasan masjid tetapi mesti mendapatkan kebenaran daripada pengurusan masjid terlebih dahulu.

“Dalam isu Teo ini juga sama kerana beliau telah mendapatkan kebenaran sebelum memasuki kawasan surau itu.

“Jadi ia bukan satu kesalahan, kalau Mais nak beri surat amaran beri kepada Majlis Muzakarah Fatwa bukan Teo kerana yang keluarkan fatwa adalah jawatankuasa itu,” tegasnya.

Dalam satu kenyataan semalam, Teo menjelaskan bahawa kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberi sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata tindakan memperbesarkan isu itu boleh memberikan persepsi buruk terhadap Islam.

“Orang bukan Islam melihat akan perkara ini dan tindakan pemimpin Barisan Nasional terutamanya Umno memperbesarkan isu ini akan memberikan tanggapan negatif terhadap agama Islam,” kata beliau yang juga Pengerusi KASE.

Dalam pelancaran KASE itu sebanyak 5,000 risalah diedarkan kepada pengguna jalan raya.

KASE telah dilancar 2 Ogos lalu dalam usaha PAS membela nasib mereka yang menjadi mangsa saman ekor. -TMI

Ulasan GB

Dalam kecoh-kecoh isu wakil rakyat DAP masuk ke surau, GB ingin tahu dimanakah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Selngor?

Pimpinan PAS Selangor selama ini dikaitkan dengan kumpulan Kerajaan Perpaduan dalam PAS. Apakah mereka cuba "play safe" di dalam isu ini kerana rakannya, Pengarah JAIS, Khusrin Munawi (Penyokong tegar UMNO) telah pun membuat kenyataan melarang orang bukan Islam memasuki ruang solat di dalam surau dan masjid?

Setelah berhari-hari isu ini dibincangkan dengan begitu hangat oleh semua pihak tanpa kelibat PJ PAS Selangor sehingga Naib Presiden PAS Pusat pula membuat kenyataan untuk menyaman Utusan dan MAIS? Ahli PAS seluruh negara saya kira menyetujui tindakan PAS untuk menyaman pihak terbabit, tetapi Pesuruhjaya PAS Selangor yang membisu mungkin perlu dicurahkan sebaldi air panas untuk disedarkan dirinya.

Dan seperti biasa juga pimpinan PAS Pusat pun berdiam diri terhadap kebisuan Pesuruhjaya PAS Selangor tersebut di dalam isu besar ini....

Marshanda Berjilbab Setelah Mimpi Kiamat

Aktress Indonesia, Marshanda memutuskan untuk mengenakan jilbab setelah mendapat mimpi buruk tentang Kiamat selama beberapa hari.

Bintang sinetron Benci Bilang Cinta itu mengaku sedikit kekok saat pertama kali mengenakan jilbab kerana wanita yang mesra disapa Chacha itu tidak pernah berpakaian seperti itu.

"Saya bermimpikan Kiamat selama lima hari berturut-turut seperti dalam filem Armageddon dan berasa sangat takut.

"Pada waktu itu saya belum konsisten untuk mengenakan jilbab sehingga pada 12 Jun lalu, saya telah sedar dan bersyukur kerana dibukakan pintu hati untuk berjilbab," ujarnya menurut detikhot pada Jumaat.

Kini, kekasih Ben Kasyafani itu menolak tawaran untuk berlakon sinetron yang memintanya membuka tudung.

"Insya-Allah saya akan sentiasa memakai jilbab dalam setiap sinetron yang dilakonkan," ujarnya.


Marshanda Berjilbab Setelah Mimpi Kiamat

Jakarta Artis Marshanda memutuskan untuk mengenakan jilbab setelah mendapatkan mimpi buruk. Selama beberapa hari, bintang sinetron 'Sejuta Cinta Marshanda' itu sempat bermimpi tentang kiamat.

"Lima hari berturut-turut itu mimpinya kiamat, kayak film 'Armageddon' gitu dan aku takut banget," ujarnya saat ditemui dalam acara santunan untuk anak yatim di Hotel Sofyan, Jalan Cut Mutia, Menteng, Jakarta, pada Jumat (27/8/2010).

Marshanda mengaku sedikit risih (kekok) saat pertama kali mengenakan pakaian tertutup. Perempuan yang akrab disapa Chacha itu pun sempat tidak konsisten dengan keinginannya itu.

"Saat itu aku belum konsisten, pas tanggal 12 Juni, itu aku semakin menyadari, aku dibuka banget matanya untuk bersyukur," ungkap kekasih Ben Kasyafani itu.

Kini, Marshanda telah memutuskan untuk terus mengenakan jilbab. Ia juga siap menolak tawaran main sinetron jika harus membuka kerudungnya itu.

"Insya Allah setiap ada sinetron aku mau tetap pakai jilbab, kalau harus melepas aku nggak mau," ujarnya.(nu2/hkm) - detikhot


Ulasan GB

Ya, banyak sudah kisah mimpi mengenai kiamat yang GB dengar dari orang persaorangan yang Allah pilih untuk dikhabarkan.

Dan banyak sudah tanda-tanda tentang ketibaan hari yang dijanjikan itu dipaparkan oleh Allah s.w.t. untuk manusia.

Pun ramai yang masih leka mengenainya.

Isu Bukan Islam Masuk Masjid: Kejahilan UMNO Semakin Terdedah

Bagaikan menahan lukah di pergentingan, UMNO dan para kuncunya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka. Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, UMNO dan para pendokongnya mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau baru-baru ini.

Peristiwa Dr. Xavier Jayakumar berucap di dewan utama sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos 2009 yang lalu, telahpun hampir dilupakan. Kini tindakan YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen DAP Serdang) masuk ke Surau Al-Huda, Kajang dan YB William Leong (Bendahari PKR, Ahli Parlimen PKR Selayang) masuk ke dalam Masjid At-Taqwa, Selayang Baru pula dijadikan isu besar.

Untuk menjelaskan pendirian kami mengenai isu ini, kami ingin membawa perhatian semua pihak kedudukan perkara ini dari perspektif fiqh (hukum Hakam Islam). Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai masalah ini. Pertamanya: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid. Keduanya: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah. Ketiganya: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah. Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.

Beberapa peristiwa di zaman Rasulullah juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"

Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya. Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di Negara ini. Lebih jauh lagi, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.

Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.

Sewajarnya, para wakil rakyat PR demikian perlulah diberikan pujian kerana kesungguhannya dalam menjalankan tugasnya dengan baik kepada masyarakat majmuk di negara ini. Apatah lagi ia memang telahpun mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid dan dilakukan pula atas tanggungjawab mereka sebagai wakil Kerajaan Negeri Selangor.

Kekecohan yang digembar-gemborkan hakikatnya akan memakan tuan. Inilah gambaran kegagalan UMNO selama ini dalam mendidik rakyat mengenai hakikat Islam. Sikap seperti ini akan menyuburkan pendirian fanatik melulu di kalangan orang Islam yang kurang berilmu. Lebih menghinakan apabila berita mengenainya ditokok tambah dengan pelbagai fitnah baru demi mencapai matlamat politik sempit yang diperjuangkan. Kita sentiasa mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh merelakan diri mereka terus dibelenggu dalam kerangka pemikiran sempit politik perkauman dan agama ala UMNO ini. Ini akan menjadikan kita semakin lesu dan masyarakat bukan Islam pula semakin menjauh dari kita. Yakinlah bahawa, kerja mereka ini akan menjadi sia-sia seperti mencari umbut di dalam batu.

Hakikatnya, tanpa mereka jangka, krisis yang mereka wujudkan ini akan menjadikan orang Melayu dan masyarakat Islam lebih memahami agamanya secara total dan lebih berkeyakinan bahawa Islam dan masyarakat Melayu akan lebih terjamin di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pada masa depan. Inilah keyakinan kita kerana Islam itu tinggi dan merupakan agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam.

28 Ogos 2010

DR MUHD NUR MANUTY
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat


FATWA JAKIM

Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid

Keputusan:


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah:

1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.

4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.




Kisah Si Alim Dengan Si Jahil

Asri: Guna agama cetus permusuhan kaum cemarkan Islam

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengulangi pendiriannya bahawa bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid atau surau atas tujuan yang betul dengan syarat tidak mencemarkan kemuliaan rumah ibadat.

Sehubungan itu kata beliau, pendekatan sesetengah golongan politik menggunakan isu agama untuk membangkitkan permusuhan kaum sehingga boleh menimbulkan salah faham terhadap Islam, “sebenarnya tindakan itulah yang mencemarkan Islam.”

“Bukan Muslim boleh masuk ke dalam masjid jika dengan tujuan yang betul seperti untuk mengenali Islam, memahami atau mempelajarinya.

“Juga untuk urusan dengan orang Muslim, dengan syarat tidak mencemarkan kemuliaan masjid. Ini kerana pada zaman Nabi s.a.w bukan Muslim masuk ke masjid untuk bertemu Rasulullah s.a.w,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata Asri, ada media yang melaporkan beliau mempertahankan tindakan Ahli Parlimen DAP Serdang Teo Nie Ching yang kini berhadapan dengan kontroversi berucap di Surau Al-Huda, Kajang pada Ahad lalu.

Bagaimanapun kata Asri, beliau tidak campur dalam urusan politik wakil rakyat itu dan tidak mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku di surau tersebut.

Ketika pelbagai pihak menyerang tindakan Teo itu, dalam kenyataannya malam tadi, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan wakil rakyat tersebut menyampaikan sumbangan dan berucap di ruang solat surau itu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

Dalam kenyataannyaa hari ini, Asri menegaskan, orang bukan Islam boleh memasuki masjid atau surau dengan niat yang baik, bukannya untuk tujuan berpolitik.

“Bukan Muslim, bahkan Muslim juga tidak boleh menggunakan masjid untuk tujuan politik puak dan peribadi,” katanya.

Asri juga berkata isu-isu agama Islam hendaklah dinilai dengan timbangan agama yang berteraskan dalil dan hujah.

“Menggunakan neraca politik kepartian untuk menilai isu agama boleh merosakkan kesucian agama ini.

“Islam dibina atas hujah dan dalil, sementara politik kepartian sering dibina atas persepsi dan prejudis,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pandangan dan pendapat mengenai Islam hendaklah berteraskan hakikat Islam yang sebenar.

Dalam kenyataan dua hari lalu, Asri menyifatkan perbuatan Teo memasuki bahagian dalam surau tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Selain diperkuat dengan fatwa yang dikeluarkan beliau berpendapat, amalan orang bukan Islam mendekati masjid atau surau adalah tanda positif terhadap penerimaan agama, selagi tidak bercemar kesucian agama.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Keputusan itu dicapai pada muzakarah 1 Mac 2010.

Bekas mufti itu menegaskan, bukan menjadi satu kesalahan kepada orang bukan Islam untuk memasuki surau dan masjid asalkan niatnya baik dan betul.

Dalam kenyataan itu, Asri berharap kepada umat Islam di negara ini tidak terikat dengan stigma tertentu hingga mendorong mereka membuat kesimpulan mudah tapi salah.

Teo dilaporkan akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memohon ampun serta memberi penjelasan kepada baginda tentang tindakannya.

Kata beliau, kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberi sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

“Saya kesal perkara ini telah menimbulkan perasaan resah antara umat Islam dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak tertentu atas sebab-sebab politik,” kata beliau. -TMI


Perkasa mahu Mais dakwa MP Serdang

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyertai senarai mereka menyokong tindakan ke atas Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching dengan menggesa agar wakil rakyat penggal pertama itu turut didakwa.

“Majlis Agama Islam Selangor (Mais) ada ambil tindakan terhadap bekas mufti (Perlis) Dr Asri kerana bagi ceramah dalam surau di Selangor tanpa tauliah.

“Oleh itu, Mais hendaklah segera mendakwa Ahli Parlimen Serdang yang mencemar Surau Al-Huda... kegagalan mendakwa bererti tidak menyahut titah Sultan Selagor yang amat murka dan dukacita,” kata Ibrahim dalam kenyataannya.

Kes ke atas Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dibawa oleh Jabatan Agama Islam Selangor akhir tahun lalu sedang didengar Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Dalam kenyataannya malam tadi, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat surau itu yang terletak di Kajang Sental, Ahad lepas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” katanya malam tadi.

Tindakan Teo itu dikritik Umno dan Perkasa sebelum ini dan turut dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Dalam kenyataannnya, Ibrahim juga membawa misalan nasib yang menimpa pendakwah Islam Amerika Syarikat Malcom X yang ditembak mati di Manhattan Audubon Ballroom pada 1965.

“Pendakwah Islam yang berdakwah kepada orang-orang Kristian hingga masuk ke gereja semata-mata berdakwah kepada bukan Islam akhirnya ditembak mati.

“Di Serdang (Selangor), wakil rakyat DAP, yang bukan Islam, yang sentiasa dalam ‘hadas besar’ telah ‘ditarik’ ke ruang solat, saf pertama surau, oleh PAS (yang pasti ahlinya Islam) dan PKR (ahlinya Islam dan bukan islam) semata-semata untuk memberi tazkirah Ramadan pada jemaah, yang sudah tentu dan pasti beragama Islam,” katanya,

Sehubungan itu, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas berkata, adakah Allah sedang memberikan satu ‘iktibar’ untuk berfikir bersama tentang realiti PAS, yang menurutnya menjual agama Islam demi survival politiknya ketika bulan Ramadan.

“Rumah Allah dicemari, dinodai dan segala-galanya halal demi undi, ini kerja syaitan yang memasong ‘orang yang dikatakan beriman tapi tidak bertaqwa,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya semalam Teo berkata beliau akan menghadap Sultan Sharafuddin bagi memohon ampun serta memberi penjelasan kepada baginda tentang tindakannya.

Kata beliau, kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberi sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

“Saya kesal perkara ini telah menimbulkan perasaan resah antara umat Islam dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak tertentu atas sebab-sebab politik,” kata beliau.-TMI


Ulasan GB

Dengan dua tulisan di atas mengenai dua orang manusia, seorang berpendidikan agama seorang lagi tidak. Seorang berilmu (alim) seorang jahil. Dr Mohd Asri dengan Ibrahim Ali. Mengulas isu yang sama iaitu isu surau Kajang yang menjembput wakil rakyat DAP.

Kata Mohd Asri:

“Bukan Muslim boleh masuk ke dalam masjid jika dengan tujuan yang betul seperti untuk mengenali Islam, memahami atau mempelajarinya.

“Juga untuk urusan dengan orang Muslim, dengan syarat tidak mencemarkan kemuliaan masjid. Ini kerana pada zaman Nabi s.a.w bukan Muslim masuk ke masjid untuk bertemu Rasulullah s.a.w,”
kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini....

Katanya:

Sehubungan itu kata beliau, pendekatan sesetengah golongan politik menggunakan isu agama untuk membangkitkan permusuhan kaum sehingga boleh menimbulkan salah faham terhadap Islam, “sebenarnya tindakan itulah yang mencemarkan Islam.”


Demikian penjelasan yang cukup terang dan nyata dari seorang yang tidak menyertai mana-mana parti politik.

Kemudian kita lihat tindakan UMNO yang memperalatkan isu lawatan wakil rakyat DAP di surau Al-Huda di Kajang itu menerima respons dari golongan yang jahil beragama juga. Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, sebuah pertubuhan pelampau Melayu mendesak agak Wakil Rakyat DAP itu didakwa.

Si jahil memang menyokong si jahil, si pelampau memang menyokong tindakan si pelampau yang lain.

GB dah ulas sebelum ini bahawa

Seperti yang GB ulaskan sebelum ini, tindakan UMNO yang cuba menunjukkan mereka lebih Islam itu menjadikan mereka sebagai golongan yang pelampau - pelampau yang bebal terhadap agama - tetapi hanya menggunakan agama sebagai alat politik untuk menyerang Pakatan Rakyat terutama PAS yang semakin dicemburuinya. Dan GB telah mendedahkan sebelum ini, 90% menteri-menteri dari kalangan UMNO ini tidak membaca Al-Quran, jauh sekali mengkaji ayat-ayatNya dan Hadith, justeru itu mereka bebal sebebalnya tentang agama. Mereka hanya bergantung kepada seorang dua "ustadz celup" dimana ustadz-ustadz ini menjadikan diri mereka lembu-lembu untuk habuan duniawi.

(tambahan: sebut sahaja siapa juga menteri UMNO.. Nong Chik ker, Awang Adik ker, Nazri Aziz ker, Anifah Aman ker, Rais Yatim ker, malah Muhyiddin atau Najib sekalipun, GB curiga sangat samada mereka boleh membaca Al-Quran)

Keras kritikan GB, namun demi kebenaran itulah yang sebenar-benarnya.

Anda UMNO boleh memujuk semua sultan agar UMNO memegang semua kunci masjid dan surau, jangan benarkan ahli-ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat masuk ke dalamnya. Ia akan mempercepat UMNO terlingkup. Bagi umat Islam sebenar, mereka boleh mendirikan solat di mana-mana hatta segala masjid dan surau terkunci untuk mereka. Kerana Allah memerintahkan "dirikan solat", bukan dirikan masjid.

Pegang kata-kata GB ini, bahawa UMNO BN tetap lingkup setidak-tidaknya di dalam pilihanraya kali ke 14!