23 Ogo 2010

Malaysia Dihina, Polis Malaysia Perlu Bertanggungjawab

Kedutaan M'sia dilempar najis, bendera dipijak

Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia di Jakarta telah dilempar najis manusia oleh penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) pada satu demonstrasi petang ini.

Seorang daripada 37 penunjuk perasaan itu telah melemparkan najis itu ke dalam perkarangan kedutaan itu melepasi pintu pagar hadapan dan di atas kepala barisan anggota polis Indonesia yang sedang mengawal ketat di hadapan bangunan itu.

Mereka turut melepaskan najis itu ke atas bendera Malaysia yang dipijak-pijak di atas jalan tempat mereka berkumpul di hadapan kedutaan itu.

Kumpulan itu sebelumnya telah membawa lima bungkusan najis itu, ada yang diletakkan dalam kertas bungkusan makanan, dalam plastik dan dalam kotak polisterin dan dinyatakan sebagai "hadiah" untuk Duta Besar Malaysia ke Indonesia kerana Malaysia selama ini telah beberapa kali memberi "najis" yang lebih kotor kepada Indonesia.

Dengan tiba-tiba seorang daripada mereka melempar bungkusan kertas berisi najis itu ke dalam pagar kedutaan itu dan pada masa yang sama, najis turut dilepaskan ke atas bendera Malaysia yang mereka sedang pijak itu.

Demonstrasi itu diadakan bagi menandakan kemarahan mereka terhadap Malaysia yang mereka dakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu apabila polis Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia.

Ia juga untuk menyatakan kekecewaan rakyat terhadap kepemimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang dikatakan sangat lemah menghadapi Malaysia.

Berikutan kejadian lempar najis itu polis Indonesia menangkap tiga orang pelaku berkenaan.

Demonstrasi itu berlangsung selama sejam.

Seorang wakil kumpulan itu kemudian memberitahu wartawan yang meliputi peristiwa itu bahawa mereka telah memberi kata dua kepada polis Indonesia iaitu lepaskan rakan-rakan mereka itu daripada tahanan atau mereka akan melakukan operasi usir rakyat Malaysia petang ini.

Operasi yang dinamakan "Sweeping Rakyat Malaysia" itu dirancang akan dilakukan di hadapan bangunan kumpulan itu di Jalan Diponegoro, Menteng, di Jakarta.

Polis Indonesia telah menugaskan ramai anggota untuk mengawal ketat di hadapan bangunan kedutaan Malaysia, setelah mendapat maklumat bahawa demonstrasi berkenaan akan disertai antara 300 dan 500 penunjuk perasaan.

Dalam insiden di perairan Malaysia-Indonesia itu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai pengkuatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.

Kedua-dua negara kemudian membebaskan tahanan-tahanan itu pada 17 Ogos lalu. -Bernama


Indonesia Hantar Nota Diplomatik Bantah Insiden Di Bintan

Indonesia Rabu menghantar nota diplomatik kepada Malaysia bagi membantah penahanan tiga pegawai lautnya oleh Polis Marin Malaysia pada Jumaat lepas.

Menteri Luar Dr Marty Natalegawa berkata nota bantahan itu menyatakan pendirian tegas Indonesia bahawa Malaysia telah melakukan pelanggaran terhadap integritinya kerana kejadian itu berlaku dalam wilayah Indonesia.

"Kami sangat prihatin kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Kami tidak dapat menerima perlakuan terhadap pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nota diplomatik itu diserahkan kepada Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afzaruddin Syed Hassan di Kementerian Luar Indonesia di sini pagi ini.

Dalam kejadian Jumaat malam itu, para pegawai penguatkuasa Jabatan Kelautan dan Perikanan Indonesia pada mulanya telah menahan tujuh nelayan Malaysia yang didakwa menceroboh kawasan perairan Indonesia tetapi Polis Marin Malaysia pula dilaporkan menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian itu dengan dakwaan mereka menceroboh perairan Malaysia.

Kejadian dilaporkan berlaku di perbatasan perairan Malaysia dan Indonesia sekitar Pulau Bintan, Kepulauan Riau, Indonesia.

Natalegawa berkata Indonesia telah memastikan bahawa kejadian penahanan tujuh nelayan Malaysia oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia berlaku dalam wilayah Indonesia berdasarkan peta nombor 349 tahun 2009.

Kementerian Luar Indonesia sebelum ini dikritik hebat di sini terutamanya ahli politik dan pemerhati politik kerana tidak memperlihatkan ketegasannya dalam menangani insiden itu, lebih-lebih lagi apabila tiga orang pegawai kerajaan negara itu telah ditahan oleh polis Malaysia.

Natalegawa berkata pihaknya mengambil sedikit masa sebelum menghantar nota diplomatik itu kerana mengambil sikap berhati-hati terutamanya dalam menentukan bahawa insiden itu berlaku dalam wilayah Indonesia.

Sebelum ini, katanya, Kementerian Luar Indonesia telah menyuarakan protes keprihatinan dan pendiriannya berhubung insiden itu kepada Malaysia.

Natalegawa berkata Indonesia berharap perundingan perbatasan perairan negara dapat segera diadakan dengan Malaysia bagi mengelak insiden seumpama di Pulau Bintan itu daripada terus berlaku. -BERNAMA

Isu Khutbah : Bagaimana Kalau Doakan KM/MB Bukan PR?

Sejak seminggu yang lalu isu doa khutbah Jumaat telah menjadi satu perkara hangat yang diperkatakan setelah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kekecewaan beliau selepas mempegerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang di Tasek Gelugor pada 19 Ogos.

Pendedahan beliau yang menyatakan terdapat khatib di dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong telah mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggantikan doa yang sepatutnya dibacakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama,Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Namun begitu isu ini dengan spontan mendapat reaksi positif dari UMNO dan Barisan Nasional setelah Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat penafian atas apa yang didakwa berlaku dalam bacaan doa khutbah tersebut.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim dalam kenyataan beliau pada 20 Ogos di pejabatnya telah menafikan dakwaan yang dibuat berdasarkan kepada teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) memang tidak meletakkan nama Ketua Menteri sebagai doa dalam khutbah tersebut.

Manakala dalam sidang media pada 21 Ogos pula, sekali lagi Abdul Malik bersama-sama dengan Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman dan Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa telah memberi amaran kepada UMNO supaya tidak menjadikan isu agama sebagai meraih sokongan masyarakat Melayu di Pulau Pinang.

Mujahid: Masalahnya istilah "ganti"

Mujahid dalam kenyataannya juga meminta UMNO supaya mengenal pasti dengan bukti ada khutbah yang menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan media tersebut beliau juga berkata, jika doa untuk meminta kesejahteraan adalah "standard" dan tidak boleh diubah kepada nama-nama lain.

"Namun jika doa yang dibaca secara umum untuk diberikah hidayah, saya rasa itu tidak ada masalah kerana ia suatu perkara yang biasa apabila rakyat berdoa untuk diberi petunjuk kepada sesiapa sahaja termasuk Ketua Menteri."

"Apa yang menjadi isu iaitu satu fitnah UMNO terhadap Kerajaan Negeri ialah perkataan 'ganti' yang digunakan dan ia satu pembohongan besar yang sengaja diperbesarkan UMNO untuk menimbulkan kemarahan rakyat di Pulau Pinang," katanya lagi.

MAZA: Tidak salah untuk doakan sesiapa, tapi...

Sementara itu bekas Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dalam kenyataan beliau turut menyatakan pada zaman Rasulullah s.a.w. Baginda turut mendoakan supaya Allah s.w.t.menurunkan hidayah kepada Sayyidina Umar Al Khattab supaya menerima agama Islam.

"Sebenarnya tidak salah untuk mendoakan kepada sesiapa, tetapi kita perlu melihat konteks doa itu sendiri, apakah tujuan dan matlamat doa ini. Pada asalnya di dalam mana-mana khutbah, tidak semestinya perlu menyebut nama sesiapa kerana ia bukan menjadi rukun bagi khutbah."

Beliau menyambung, "Bagaimana pun sekiranya ingin menyebut nama seseorang di dalam khutbah tidak menjadi satu kesalahan."

Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor dan Masjid Jamek Kubang Buaya, Butterworth adalah antara masjid yang telah dikenal pasti berlakunya bacaan doa khutbah oleh ustaz Zakaria Ahmad selaku khatib jemputan.

Turut didakwa berlakunya bacaan doa khutbah yang melibatkan nama Ketua Menteri ialah masjid dalam kawasan Jelutong dan Permatang Pauh. Namun begitu sehingga ini belum ada nama masjid yang tepat dinyatakan.

Rentetan daripada itu dalam sidang media semalam yang dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman, Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Abul Kassim, Speaker Dewan Undangan Negeri, Abdul Halim Hussain, Exco Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain kesepakatan yang dicapai ialah menyarankan supaya tindakan diambil terhadap khatib yang terlibat sekiranya terbukti kebenarannya.

Mansor juga mendakwa tuduhan yang dibuat oleh UMNO terhadap Kerajaan Negeri dalam isu doa khutbah Jumaat ini adalah fitnah jahat seolah-olah arahan dari Kerajaan Negeri untuk menggunakan nama Lim Guan Eng.

Beliau juga berkata, Lim tidak pernah menerima atau mengarahkan mana-mana pihak untuk menggunakan nama beliau dalam teks khutbah Jumaat seperti yang didakwa oleh UMNO.

Bagaimana kalau KM/MB bukan dari PR?

Dalam pada itu sepatutnya semua pihak tidak menjadikan isu agama sebegini sebagai satu modal politik walaupun mempunyai ideologi yang berbeza.

Ulama dan para ilmuan agama harus bangun dan menyatakan hakikat kebenaran isu doa dalam khutbah kedua solat Jumaat ini. Apakah ianya menggugat khutbah Jumaat tersebut dari segi sah atau sebaliknya?

Sudah pasti masyarakat yang kurang mahir dalam ilmu agama dan syarat sah serta rukun khutbah yang tidak mewajibkan doa untuk dibaca kepada mana-mana pemimpin ini akan tertanya-tanya kedudukan sebenarnya.

Apa yang pasti lima rukun khutbah wajib ada. Pertamanya ialah dimulai dengan pujian bagi Allah seperti Alhamdulillah. Keduanya diikuti dengan salawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Yang ketiganya ialah mengandungi pesanan kepada jemaah agar bertaqwa kepada Allah. Yang keempatnya pula ialah membaca satu ayat Al-Quran samada pada khutbah pertama atau kedua. Yang akhirnya ialah mendoakan setiap muslim pada khutbah kedua.

Apabila polemik ini timbul maka kemungkinan besar masyarakat akan bertanya bagaimana pula sekiranya doa dibacakan untuk pemimpin seperti Menteri Besar atau Ketua Menteri yang datangnya dari parti lain selain dari Pakatan Rakyat? Persoalan juga kemungkinan timbul apakah akan wujud juga bantahan sedemikian terhadap khatib tersebut sepertimana yang berlaku kini? -Nazar hashim (MR)

Saifuddin Ditekan Untuk Tidak Bertemu Pemuda PAS?

Pertemuan Pemuda PAS dan Saifuddin dibatalkan

Pertemuan Dewan Pemuda PAS pusat (DPPP) dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang dijadualkan hari ini telah dibatalkan.

Menurut pegawai media DPPP pusat, Fadhil Osman, pembatalan itu adalah atas permintaan timbalan menteri pengajian itu sendiri "atas sebab-sebab tertentu".

"Satu tarikh baru akan diberitahu dalam waktu terdekat," kata Fadhil dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Sebelum ini, DPPP mahu menemui Saifuddin yang juga ahli majlis tertinggi Umno berhubung isu kewajaran mahasiswa terlibat dalam politik.

Melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Saifuddin 16 Ogos lalu, DPPP mencadangkan pertemuan itu diadakan pada jam 2.30 petang ini, di pejabat timbalan menteri berkenaan

Sementara itu, Fadhil mengumumkan bahawa Khairul Faizi Ahmad Kamil telah dilantik sebagai setiausaha DPPP yang baru.

Beliau menggantikan Kamaruzzaman Mohamed yang juga ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. -MK

Ulasan GB

Banyak pihak merasakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah telah ditekan oleh pihak tertentu daripada meneruskan rancangannya untuk bertemu dengan Dewan Pemuda PAS berhubung isu kewajaran mahasiawa melibatkan diri di dalam politik.

Ini kerana sebelum ini jemaah menteri telah memutuskan melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik.

Saifuddin sebelum ini telah melahirkan kesediaannya untuk menemui sesiapa sahaja termasuk Pemuda PAS bagi membincangkan idea membenarkan penglibatan mahasiswa dalam politik.

“Saya bersedia untuk berbincang dengan sesiapa sahaja, saya akan menerima jemputan sesiapa sahaja sama ada Pemuda PAS atau daripada mana-mana pihak,” kata Saifuddin.

Laporan awal Bernama menyebut Kabinet bersetuju melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik.

Laporan itu yang memetik Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin ditarik balik beberapa jam kemudian.



Hudud - Semakin Dijauhi Semakin Ia Diperlukan

DAP: Hudud, negara Islam bukan dasar Pakatan

DAP menjauhkan diri daripada soal memperbaharui perbincangan mengenai pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam dengan menegaskan, kedua-duanya aspek itu bukan dasar Pakatan Rakyat (PR).

Penasihat DAP Lim Kit Siang mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular.

“Undang-undang hudud dan negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat.

“Itu sebab isu-isu ini tidak disebutkan dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diumumkan Disember 2009,” kata Lim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dasar itu diputuskan pada konvensyen sulung PR, yang dibentuk April 2008, akhir tahun lalu.

Di bawah Dasar Bersama itu, PR membuat pendirian akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi persekutuan manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas.

“Undang-undang hudud dan negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat, apa-apa perubahan dasar perlu menerima persetujuan ketiga-tiga parti komponen dan tiada konsensus dalam Pakatan Rakyat mengenai undang-undang hudud dan negara Islam (setajat ini),” kata Lim lagi.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini menekankan idea negara Islam disokong dan digerakkan oleh tiga perdana menteri terkemudian — Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Ia bercanggah dengan pendirian tiga perdana menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn yang menganggap Malaysia negara sekular dan bukannya negara Islam.

Kata Lim, kepimpinan MCA, Gerakan, MIC, SUPP dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) yang bersedia memberikan sokongan bulat kepada tiga perdana menteri terakhir, bermula daripada deklarasi 929 Dr Mahathir bahawa Malaysia adalah negara Islam pada 29 September 2001.

Perbincangan baru berhubung pelaksanaan undang-undang hudud dan negara Islam bermula apabila Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh mengumumkan bahawa beliau kekal menentang undang-undang sedemikian jika PR mengambil alih kerajaan persekutuan.

Kata Karpal, undang-undang sedemikian “tidak berperlembagaan” dan setiap orang perlu menghormati perlembagaan.

DAP mengeluarkan kenyataan ini sehari selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadinya.

Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.

“Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti,” katanya.

Karpal tidak bersetuju dengan cadangan Nik Aziz, yang dibuat Khamis lalu bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

“Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini.

“Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud,” kata Karpal. -TMI

Ulasan GB

Ya memang benar apa yang dikatakan oleh Sdra Lim Kita Siang bahawa Hudud dan negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat. Namun tiada siapa dapat mempertikaikan bahawa ia dasar perjuangan Parti Islam SeMalaysia. Dan PAS tidak memaksa parti-parti lain menerima gagasan yang PAS bawa. PAS mengutarakan satu alternatif dan di dalam sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara, biar rakyat menentukan samada dasar ini diterima atau pun tidak.

PAS tidak memaksa - seperti arahan Allah yang tidak pernah memaksa agamaNya diterima. "Tiada paksaan dalam beragama" - firman Allah di dalam Al-Quran. Dan ini sekaligus meletakkan pemimpin-pemimpin PAS di dalam situasi mereka diuji - diuji setakat mana kemampuan, kebijaksanaan, ketrampilan dan upaya mereka agar gagasan mereka diterima oleh rakyat di negara ini, termasuk pemimpin-pemimpin DAP yang menjadi rakan sepakatan sendiri, yang vokal menentang hukum hudud dan negara Islam selama ini.

Bagi Tuhan, Tuhan tidak rugi sedikit pun jika hukumNya di tolak. Kerana sifat Tuhan itu Maha Kaya dari segala-galanya, jika Tuhan itu tidak kaya dari segalanya, bagaimana mungkin Dia dinamakan Tuhan? Tak begitu sdraku Lim dan Karpal?

Tetapi yang rugi ialah kita-kita yang bernama manusia kerana sebelum diberikan kesempatan untuk dicuba dan dilaksanakan kita telah awal-awal menolaknya.

Sekularisma - dengan segala kelemahannya yng terdedah selama ini dijadikan pilihan. Sekalipun kebejatannya terpampang jelas. UMNO BN telah menjadikan sekularisma sseagai dasar pemerintahan di negara ini sejak ia berkuasa. Sebutkan saja mana-mana pemimpin UMNO, MCA atau MIC yang boleh dijadikan role-model selama ia berkuasa?

Malah sistem sekularisma melahirkan masyarakat yang semakin bobrok, masyarakat yang semakin pincang segala masalah dari peringkat atas sampai ke bawah. Segala macam barah melanda seperti rasuah dan penyelewengaan hasil kerakusan manusia terhadap kuasa dna kekayaan ditambah pula dengan jenayah dan penyakit sosial yang melanda rakyat. Membuktikan bahawa sistem sekularima selama ini telah gagal.

Sistem Islam sudah ada role-model di dalam negara kita. Kelantan yang dipimpin oleh Nik Aziz menjadi bukti bahawa jika rakyat menerima sistem Islam, ia mampu menjadi alternatif terbaik dan teladan untuk rakyat berbilang kaum di negara ini.

Itu pun sistem yang dilaksanakan di Kelantan tidak sepenuhnya Islam lantaran sekatan Perlembagaan yang membataskan Kelantan daripada melaksanakan Islam sepenuhnya. Malah Kelantan pernah diugut oleh UMNO BN untuk diheret ke mahkamah jika melaksanakan undang-undang Islam.

Kendati pun begitu, dengan sedikit apa yang dilaksanakan di Kelantan oleh Nik Aziz selama 20 tahun memerintah menzahirkan sekilas cahaya di dalam kegelapan. Sistem Islam sudah ada role model - Nik Aziz orangnya - dengan segala keserhanaannya - yang saya kira hati-hati kecil Sdra Lim dan Karpal juga pasti turut mengakui "fakta" bahawa beliaulah teldaan terbaik sebagai pemimpin. Tidakkah begitu?

Memang sebagai seorang manusia biasa, Nik Aziz ada kelemahan - bukan 100% perfect - namun mana-mana pemimpin yang lain terutama UMNO BN yang lain sudah pasti mempunyai kelemahan yang lebih banyak dari beliau.

Islam memperakui keharmonian sejagat, malah "golden rules" yang terkandung di dalam masyarakat sekularisma kebanyakannya adalah terkandung kalau tak pun ia saduran dari ajaram Islam.

Justeru itu mengapa ianya dicemburui dan ditakuti?

Memang UMNO yang merupakan pengkhianat agamanya berhasil untuk memberikan gambaran negatif terhadap hukum hudud kepada bukan Islam.

Namun, semakin hudud dijauhi semakin ia dirindui dan diperlukan. Kerana tanpanya, penyakit masyarakat akan terus semarak dan lukanya terus bernanah. Tanpa ubat yang betul, penyakit masyarakat itu akan melumpuhkan dan mematikan tamadun manusia sendiri kerana tidak mungkin preskripsi sekularisma buatan manusia mampu mengubati penyakit yang terhasil oleh perbuatan tangan manusia sendiri. Kerana bagaimana mungkin tangan manusia yang berpenyakit ingin membedah pesakit yang malang?

"Doktor-doktor" yang berupa undang-undang sekularisme cuba membedah di pinggiran sedangkan mereka sebenarnya adalah sebahagian dari penyakit yang menyerang!