9 Ogo 2010

Rakyat Tidak Akan Berdiam Diri Dengan Kezaliman

Bantahan Anti ISA Merebak Ke London, Anifah Terkedu

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman disambut dengan laungan 'Anti ISA' dan 'Mansuhkan tahanan tanpa bicara' oleh aktivis Gerakan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di luar bangunan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London semalam.

Beliau yang tiba di kotaraya itu dalam sesi rangka lawatan kerja ke United Kingdom dan Jerman bermula 1 Ogos lalu terkedu dengan laungan dan bantahan aktivis yang menentang sekeras-kerasnya akta drakonian itu dan menggesa kerajaan Umno-Barisan Nasional memansuhkan segera undang-undang lapuk yang sudah bertapak dinegara ini sejak 50 tahun lalu.

Sekumpulan 30 aktivis berhimpun di luar bangunan suruhanjaya itu untuk menyampaikan bantahan mereka kepada Anifah menyebabkan tetamu yang telah berada di dalam bangunan Pesuruhjaya Tinggi itu terpaksa menunggu lama untuk mendengar ucapan Menteri Luar itu.

Anifah juga dijangka menyampaikan ucapan beliau kepada ketua komuniti dan pelajar Malaysia di London untuk memberi penerangan berhubung situasi semasa polisi kerajaan.

Menurut sumber, kebanyakan peserta demonstrasi adalah daripada kalangan muka baru yang menggunakan pembesar suara sambil melaung-laungkan "Hentikan tahanan tanpa bicara".

Turut hadir, Six Oranges, penerbit filem berhubung isu sosial yang berpangkalan di London - mereka kini dalam proses menerbitkan dokumentari mengenai ISA.

Sebelum ini di lapan lokasi di seluruh negara, pihak polis menahan 30 peserta perhimpunan aman anti ISA pada 1 Ogos lalu termasuk di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan.

Antara yang ditahan pada sambutan sempena ulangtahun ke-50 kewujudan ISA, Pengerusi Gerakan Mansuh ISA Syed Ibrahim Syed Noh, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi amaran kepada kepada orang awam supaya tidak menghadiri perhimpunan memasang lilin yang dianggap sebagai perhimpunan haram. -SK


Presiden Pakistan dilempar kasut

BIRMINGHAM: Presiden Pakistan Asif Ali Zardari menerima lemparan kasut ketika mengakhiri lawatannya ke Britain dengan menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan politik di sini semalam.

Beliau berhadapan kritikan dan penunjuk perasaan kerana meneruskan lawatan ke luar negara ketika Pakistan dilanda banjir teruk yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,500 orang.

Pada perhimpunan itu, seorang lelaki melempar kasut ke arah Asif tetapi tersasar, sementara di luar Pusat Konvensyen Antarabangsa di Birmingham, lokasi beliau berucap, polis mengepung lebih 100 penunjuk perasaan.

Asif semalam menyifatkan kunjungannya ke Britain sebagai berjaya kerana dapat mengumpul beribu-ribu pound Sterling buat mangsa banjir di Pakistan.

Kira-kira 2,000 hadirin berkumpul di pusat konvensyen tersebut bagi mendengar ucapan Presiden itu serta pemimpin-pemimpin lain daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP).

Kunjungan Asif ke Britain juga penuh ketegangan kerana ia dibuat tidak lama selepas Perdana Menteri Britain David Cameron menuduh Pakistan ‘membawa ketakutan’.

Kenyataan Cameron itu membangkitkan kemarahan rakyat Pakistan dan mengakibatkan tercetus perselisihan diplomatik, kerana kenyataan itu dibuat ketika kunjungan Cameron ke India.

"Kita mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Britain dan masalah yang ada telah diselesaikan dengan bantuan penggubal undang-undang Pakistan," kata Asif semalam pada satu perhimpunan di mana poster isterinya yang mati dibunuh, bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto, digantung di dinding.

Beliau diiringi anak perempuannya, Asifa yang memakai selendang berwarna putih.

Di luar dewan, sebahagian penunjuk perasaan mengangkat sepanduk tertulis ‘Amerika Syarikat (AS) keluar dari Pakistan dan Afghanisan’.

Sehari sebelum itu, anak lelaki Asif yang juga pengerusi bersama PPP, Bilawal Bhutto Zardari, merayu bantuan untuk mangsa banjir di Pakistan.

Harga barangan keperluan melambung tinggi

Sementara itu di ISLAMABAD, rakyat Pakistan hari ini bergelut dengan masalah kenaikan harga buah-buahan dan sayur-sayuran yang melambung tinggi, berikutan banjir yang memusnahkan sekurang-kurangnya 570,000 hektar tanaman.

Harga barangan keperluan yang melonjak itu menambah lagi derita penduduk negara itu yang sudah pun dibelenggu kemiskinan dan masalah kekurangan makanan sebelum banjir melanda negara ini dua minggu lalu.

Pakistan bekerjasama dengan agensi bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan lebih 100,000 penduduk dan menyalurkan bantuan makanan serta tempat perlindungan kepada beribu-ribu yang lain.

Namun kerajaan menghadapi kesukaran untuk menangani bencana sebegitu buruk yang dianggarkan telah menjejaskan kehidupan 13 juta penduduk.

Keadaan dijangka bertambah buruk kerana Pakistan dilanda hujan lebat lagi hari ini.

"Banjir memusnahkan tanah pertanian dan menghanyutkan tanaman sayur yang sudah sedia untuk dituai.

"Hasil tanaman yang dapat diselamatkan tidak dapat dipasarkan kerana jalan musnah dan hubungan komunikasi terputus," kata seorang petani di bandar Multan, tengah negara ini.

Sekurang-kurangnya 570,000 hektar tanaman musnah di wilayah Punjab yang merupakan sumber bahan makanan untuk seluruh Pakistan, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AP


Ulasan GB

Rakyat sekarang bukan seperti rakyat yang difikirkan oleh UMNO BN serta pencacai mereka seperti Peguam Negara, SPRM, SPR, Polis dan sebagainya.

Rakyat yang hidup di era digital ini adalah rakyat yang bermaklumat, rakyat yang berani menghadapi apa jua kemungkinan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.

Telah berlalu zaman dimana UMNO BN dengan segala pencacainya untuk melakukan pembodohan ke atas rakyatnya. Ini zaman k-workers, k-community, k-people. "K" yang membawa pengertian "knowledge-based".

Anda hendak menekan dan menzalimi rakyat? Anda wajar menanggungnya sendiri.

Rakyat Semakin Marah Dengan Perkembangan Sistem Kehakiman Negara

Peguam Gobind Singh Deo menuduh Jabatan Peguam Negara menyembunyikan bukti yang dipercayai boleh menjejaskan perjalanan inkues Teoh Beng Hock yang bermula tahun lalu.

Terdahulu peguam keluarga Teoh menemui dengan koroner Azmil Munthapa Abas di kamarnya sebelum keluar dengan perasaan tidak memuaskan dan marah.

“Kami tidak mahu menerima keadaan ini tanpa memberi reaksi,” kata Gobind kepada pemberita.

Gobind membidas tindak laku Peguam Negara sambil mengingatkan bahawa kes itu menarik perhatian antarabangsa.

“Peguam Negara mesti menjelaskan perkara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata bukti itu wujud sejak Oktober lalu, tiga bulan selepas pembantu politik pemimpin DAP itu ditemui mati.

“Malah mereka ada bukti itu sebelum bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat Teoh tetapi mereka tidak memberitahu kami,” katanya.

Prosiding inkues Teoh Beng Hock ditangguh kepada 18 Ogos.

Gobind memberitahu koroner membuat keputusan itu selepas pihak yang membantu koroner itu dalam inkues memberitahu bukti baru akan dikemukakan.

Azmil membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri Gobind, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan Selangor, peguam yang dilantik kerajaan Tan Hock Chuan, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Abas dan Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Pada tarikh itu juga, pakar forensik Thailand Dr Pornthip Rojanasunand akan memberi keterangan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Di luar mahkamah, Gobind memberitahu pemberita keadaan wujudnya bukti baru menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang dan beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.

“Sekarang bukti baru dikemukakan kepada kami, tetapi bukan baru bagi mereka. Mereka mempunyai dokumen itu yang dalam pemilikan mereka sejak Oktober lepas,” katanya yang dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu pagi ini.

Sebelum prosiding bermula, beliau memohon supaya semua pihak berbincang dalam kamar kira-kira pukul 10.37 pagi.

Sejam kemudian, Gobind dilihat keluar dari kamar dan masuk ke dalam mahkamah tanpa berkata apa-apa dan kelihatan marah.

Hanya 15 minit kemudian kesemua pihak keluar tetapi enggan menyatakan apa-apa dan menurut Tan mahkamah hanya memutuskan kes disambung minggu depan.

Sejam kemudian barulah Gobind bersedia memberi sidang media.

Laporan Bernama menyebut, Gobind akan memohon supaya inkues dibicarakan menerusi Suruhanjaya Diraja dan berharap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru ini.

Sementara itu, Malik Imtiaz berkata semua dokumen yang relevan sepatutnya diserahkan kepada semua pihak dan selama ini beliau menganggap semua dokumen telah lengkap.

Katanya, keadaan ini akan memberi kesan kepada semua pihak yang terlibat dan timbul persoalan di pihaknya kenapa bukti tersebut tidak diserahkan lebih awal.

Ramai saksi termasuk pegawai SPRM, pakar patologi dan rakan Teoh telah dipanggil memberi keterangan pada prosiding yang bermula sejak 29 Julai tahun lepas.

Hari ini sepatutnya pegawai penyiasat memberi keterangan manakala pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand pula dijangka memberi keterangan berhubung laporan bedah siasat kedua pada 18 Ogos ini. -TMI


Gani Patail Sengaja Simpan Bukti Kes Teoh Beng Hock

Proses mahkamah berhubung inkues kematian Teoh Beng Hock telah dicemari dengan tindakan Peguam Negara yang sengaja melengahkan bukti dan dokumen dalam kes berkenaan.

Menurut peguam yang mewakili keluarga mangsa Gobind Singh Deo, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengakui memiliki dokumen tersebut sejak Oktober tahun lalu.

Bagaimana pun, selepas lebih setahun, kini pihak pendakwa raya tampil menyatakan memiliki dokumen baru berkaitan kes itu.

"Dokumen ini telah dihasilkan lama dahulu, saya ingin bertanya Peguam Negara untuk beritahu kami apakah dokumen yang mereka ada tidak dikemukakan. Ini adalah hal yang sangat serius dan saya fikir Peguam Negara perlu hentikan permainan ini.

"Kes ini bukan sahaja mendapat perhatian di sini tetapi juga di luar negara. Kami telah tunggu setahun dalam pendengaran ini. Ramai pakar telah memberikan bukti dari bedah siasat kedua yang telah dibenarkan dijalankan," kata Gobind.

Tambah beliau, tindakan Abdul Gani sengaja melengahkan dokumen itu dikemukakan seminggu sebelum saksi penting dipanggil iaitu pakar patalogi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.

"Sebab saya katakan ini adalah mudah, dokumen ini adalah penting. Dokumen ini perlu disediakan lebih awal kerana ini boleh mengubah asas kes ini secara signifikan," ujarnya.

Beliau berkata Abdul Gani sepatutnya meletakkan jawatan disebabkan tindakannya menyimpan bukti berkenaan dan sebuah suruhanjaya diraja perlu dibentuk segera.

"Saya rasa sekarang adalah masa kita akan mendesak Suruhanjaya DiRaja. Adalah jelas apa yang terjadi pagi ini, ada dokumen dalam pegangan Peguam Negara yang tidak diberi kepada kami. Dan sekarang, mereka kata ada bukti baru, tetapi ini bukan baru kepada mereka.

Katanya, pihak keluarga Beng Hock telah menunggu sekian lama untuk mendapatkan keadilan terhadap mendiang.

"Ini adalah hari gelap bagi keadilan di Malaysia. Ini adalah cara Peguam Negara bertindak," tegas Gobind lagi.

Sementara itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan negeri Selangor berkata, dokumen berkenaan penting kerana pihak peguam keluarga mangsa dapat meneliti bukti berkenaan dan saksi yang disoal mungkin berbeza jika dokumen itu didedahkan lebih awal kepada mahkamah.

Sebelum itu, inkues kematian Beng Hock menimbul persoalan apabila para peguam menemui koroner Azmil Mustapha Abas dalam kamarnya bagi membincangkan isu berkaitan dokumen berkenaan.

Malik Imtiaz, Ketua Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Abdul Razak Musa dan peguam yang mewakili kerajaan Tan Hock Chuan bertemu bagi membincangkan perkara itu dalam kamar koroner sebelum Gobind berang dan keluar meninggalkan kamar koroner.

Koroner hari ini juga memutuskan tidak memanggil dua saksi yang dijadual memberi keterangan hari ini iaitu Lee Wye Weng dan Mohd Harun Abdullah yang disiasat SPRM pada petang yang sama Teoh disoalsiasat.

Sementara itu, inkues kematian pembantu politik itu ditangguhkan sehingga 18 Ogos ini Dr Pornthip dijangka akan memberi keterangan dalam inkues itu. -SK


Ulasan GB

Memang sistem kehakiman negara terus diperkosa, diperkosakan oleh Peguam Negara yang jijik sifatnya bagi mempastikan dua konspirasi berjalan serentak dalam satu masa. Konspirasi inkues Teoh Beng Huat untuk menunjukkan kononnya Teoh membunuh diri dan kospirasi liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam Negara ini adalah Peguam Negara paling dasyat yang negara pernah miliki. Dan hakim-hakim menjadi durjana dan bacul lantaran si peguam Negara ini.

Sifat marah rakyat akan terus membara. Peguam Negara dansekalian para hakim yang durjana akan tetap menerima balasannya. UMNO BN perlu ditumbangkan bagi mempastikan integriti sistem kehakiman diletakkan di tempat yang lebih murni sebagai payung kebenaran dan keadilan untuk rakyat jelata.

Wakil Rakyat dari Pakatan Rakyat yang ramai di Parlimen tak mampu berbuat apa-apa?

"Kecelaruan" di sebalik Persidangan UMNO Bukit Bendera...

Laporan polis menyusul selepas melabuhnya tirai Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bendera semalam, sedikit sebanyak mendedahkan "kecelaruan" yang berlaku di sebalik "kegemilangan" persidangan tersebut. Sungguhpun kesemua jawatan dimenangi tanpa pertandingan, namun sesetengah pemimpin mula meluahkan ketidakpuasan mereka terhadap pimpinan yang dikuasai bekas Ketuanya, Ahmad Ismail.

Anugerah "Wira Bangsa" dikurniakan kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail untuk mengenang jasa beliau yang sanggup untuk tidak memegang apa-apa jawatan dalam Bahagian, sebaliknya masih setia kepada perjuangan parti dan bangsa.

Demikianlah kata-kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri, dalam Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bendera yang diadakan di Hotel Eastin, Bayan Baru, semalam.

Persidangan yang ditangguhkan dua kali sebelum ini telah menyaksikan semua jawatan dimenangi tanpa pertandingan. Jawatan Ketua UMNO Bahagian masih lagi kekal di tangan Abdul Jalil Ariffin dan Timbalannya pula ialah Mohd Salim Bari. Manakala jawatan Naib Ketua pula dimenangi oleh Ismail Abu Bakar.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian buat laporan polis

Bagaimanapun, persidangan yang diraikan dengan penuh adat istiadat Melayu yang gilang-gemilang itu telah dicemari dengan laporan polis yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera, Rose Akmar b. Ahmed di Balai Polis Butterworth.

Menurut Akmar lagi, beliau bersama beberapa penyokong membuat laporan tersebut untuk melahirkan rasa kecewa beliau di atas tindakan UMNO Bahagian Bukit Bendera yang tidak menurut prosedur dalam melaksanakan persidangan bahagian.

"Laporan polis sebelum ini telah dibuat oleh empat perwakilan pada 9 Julai yang lalu. Namun begitu pihak bahagian masih lagi tidak mengendahkan segala laporan yang dibuat," jelasnya.

Rose Akmar mempertikaikan, "Mereka tidak mengikut peraturan dalam Perlembagaan parti. Cawangan saya iaitu Kampung Mutiara hanya menerima notis persidangan pada 6 Ogos sedangkan persidangan pada 8 Ogos. Apakah ini mengikut perlembagaan parti?"

Akmar: UMNO Bukit Bendera bercelaru

Akmar juga berkata, tindakan yang diambil adalah bagi membuktikan bahawa UMNO Bahagian Bukit Bendera masih lagi berada dalam suasana bercelaru.

Manakala Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan Air Itam, Zainol Shaikh Ariffin yang turut hadir berkata, sepatutnya notis persidangan diberikan dalam masa 14 hari, tetapi ini tidak berlaku.

"Mereka tidak mengguna pakai perlembagaan parti yang ada. Mereka hanya menggunakan apabila ianya untuk kepentingan mereka sahaja," sambungnya.

Zainol berkata,"Kami bukan saja tidak dimaklumkan mengenai persidangan ini malah cawangan yang tidak menyokong mereka akan dipinggirkan."

Tidak terima notis mesyuarat

Sementara itu, Ketua Pemuda Cawangan Kampung Mutiara, Rose Azaley pula mendakwa bahawa dalam persidangan pemuda UMNO Bahagian baru-baru ini, mereka juga tidak menerima notis mesyuarat.

Rose Azaley berkata, "Laporan polis juga telah kami buat bagi meminta supaya keadilan bagi pihak cawangan-cawangan yang ditindas ini. Namun begitu sehingga ini tiada tindakan yang diambil."

"Sekiranya ini adalah tingkah laku yang ada pada kepimpinan UMNO bahagian, maka ia bukan saja merugikan penyokong yang sedia ada, malah ia membuktikan betapa seriusnya keretakan yang berlaku dalam UMNO Bahagian Bukit Bendera sendiri," tegasnya lagi.

Ahmad Ismail yang telah digantung sebagai Ketua UMNO Bahagian pada 2008 yang lalu berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Jawatankuasa Bahagian bagi mengadakan pemilihan baru.

Namun begitu, beliau telah menarik diri pada minggu lalu setelah mendakwa bagi memantapkan perpaduan parti dan Barisan Nasional di Pulau Pinang. Sebelum ini, Ahmad Ismail mencetuskan kontroversi dengan dakwaan "kaum Cina dan India sebagai pendatang yang menumpang di Tanah Melaya", malah bertelagah secara terbuka dengan parti komponen Barisan Nasional, Gerakan di Pulau Pinang. -MR

Mahkamah DIcabar Bawa Saiful Dan Farah Ke Kandang Saksi

Peguam bela kes Fitnah II, Karpal Singh mencabar mahkamah supaya mengheret bekas Timbalan Pendakwaraya, Farah Azlina Latiff dan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan yang didapati telah menjalinkan 'hubungan romantis' ke kandang saksi bagi menafikan dakwaan tersebut.

Peguam utama, Karpal Singh yang ditemui media di lobi mahkamah menjelaskan bahawa adalah perlu bagi kedua-dua mereka untuk tampil menafikan hubungan tersebut. Beliau berhujah bahawa, 'hubungan sulit' tersebut didakwa bersalahan dengan etika perundangan dan melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Mahkamah mesti menjadi tempat untuk kedua mereka menafikan hubungan itu. Perkara seperti ini (hubungan sulit pasukan pendakwaan dengan saksi utama) tidak pernah berlaku di mana-mana di negara Komanwel. Oleh itu, mereka sendiri yang perlu hadir dan berikrar di dalam mahkamah, dan bukannya diwakili oleh mana-mana pihak," tegas Karpal.

Beliau dalam pada itu menjelaskan bahawa apa yang dimaklumkan oleh anak guamnya bukannya 'cakap dengar', tetapi merupakan fakta dan kenyataan. Oleh yang demikian, kenyataan penafian oleh kedua-duanya tampil ke mahkamah sangat diperlukan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zabidin Mohamad Diah dalam kamarnya berkata keputusan sama ada Farah dan Saiful akan dibuat petang ini apabila perbicaraan bersambung semula.

"Saya akan tentukan dalam kenyataan sama ada perlu atau tidak untuk memanggil Farah Azlina dan Mohd Saiful Bukhari Azlan pada jam 2.15 petang ini. Dengan itu mahkamah ditangguhkan," katanya dalam penangguhan tersebut.

Perbicaraan kes Fitnah II ke atas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pukul 9.30 pagi tadi dengan pasukan peguam bela membuat permohonan untuk mengenepikan pertuduhan.

Terdahulu sebelum itu, ketua pasukan pendakwaan, Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin membantah permohonan tersebut dengan hujah bahawa, tindakan untuk membawa kedua mereka adalah 'umpan' bagi membenarkan dakwaan tentang 'cakap-dengar' yang dikatakan oleh Anwar.

"Hujah untuk memanggil mereka berdua tidak berasas. Ini kerana kenyataan beramaran yang diberikan oleh Saiful kepada Timbalan Pendakwaraya Mohd Hanafiah Zakaria dan pegawai penyiasat, Judy Pereira sudah cukup untuk membuktikan, bahawa Saiful tidak mempunyai akses untuk mendapatkan maklumat tersebut dari Farah," katanya.

Pada 27 Julai yang lalu, Peguam Negara, Datuk Abdul Gani Patail mengeluarkan Farah daripada pasukan pendakwaan. Beliau kemudiannya ditukarkan ke jabatan lain.

Dakwaan itu didedahkan pengendali laman blog Malaysia Today yang terkenal, Raja Petra Kamruddin. -SK

Terdengar Suara Lingam: Correct, Correct, Correct

Keluarga V.K. Lingam tawar RM50,000 untuk maklumat tangkap pembunuh

Keluarga peguam Datuk V.K. Lingam menawarkan ganjaran RM50,000 kepada pemberi maklumat yang dapat membawa kepada penangkapan suspek dalam kes pembunuhan adik lelakinya Rajendram Velupillai, di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Puteri Puchong, Selasa lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Lingam berkata mereka sekeluarga berasa sangat sedih dan terperanjat dengan pembunuhan Rajendram, 52, yang terkenal sebagai seorang yang alim dan gemar melakukan kerja-kerja di kuil.

“Kami sekeluarga dengan ini menawarkan RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat kepada polis sehingga tertangkapnya suspek yang terlibat dalam pembunuhan Raj (Rajendram),” katanya.

Menurut laporan, Rajendram dipercayai mati kira-kira pukul 3 pagi selepas dipukul tiga lelaki rentetan pertengkaran di sebuah kuil. Laporan itu yang memetik sumber berkata tiga lelaki berkenaan menuduh Rajendram mencuri duit tabung kuil dan mula memukulnya.

Semalam, media melaporkan polis telah menahan seorang suspek berusia 30 tahun dan sedang mengesan dua lagi yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Mengulas mengenai tuduhan terhadap Rajendram, Lingam berkata pihak pengurusan Kuil Avdiar Muniswarar di Bandar Puteri Puchong telah mengesahkan mendiang tidak terlibat.

“Mereka mengesahkan Raj tidak terlibat dalam sebarang kecurian membabitkan sumbangan kepada kuil sepanjang tempoh dua minggu setengah mendiang tinggal di sana.

“Mereka juga mengesahkan kutipan kuil sepanjang tempoh itu kurang daripada RM50, dan dikendalikan sepenuhnya oleh bendahari kuil,” katanya.

Lingam berkata mereka sekeluarga mahu melihat mereka yang terlibat dalam pembunuhan itu dibawa ke muka pengadilan. — Bernama

Ulasan GB

Ayat yang terakhir itu menggelikan hati.

Lingam berkata mereka sekeluarga mahu melihat mereka yang terlibat dalam pembunuhan itu dibawa ke muka pengadilan.

Anda sendiri telah merosakkan dan meenyebabkan sistem kehakiman negara ini menjadi rosak binasa sehingga hakim-hakim tiada lagi menegakkan kebenaran dan keadilan, kii anda berharap pula untuk mencari keadilan di situ? Itu amat melucukan.

Jangan lupa, si hakim bedebah yang telah kamu rasuahkan, membaca kertas penghakiman yang disediakan oleh kamu selaku peguam yang terlibat di dalam kes yang dibicarakan masih lepas bebas dan tidak diambil sebarang tindakan. Rakyat Malaysia tidak pernah dan tidak akan melupakan itu!

Kini kamu baru kehilangan anak, kamu sudah diumpama ayam yang terberak kapur, akan tiba masanya kelak kamu akan kehilangan semuanya - isteri, keluarga, pangkat, harta - waktu itu cubalah cari hakim manakah yang kamu boleh sogokkan lagi dan tabur ganjaran sebanyak mana kepada rakyat negara ini untuk mendapatkannya semula.

Lingam oh Lingam, terdengar sayup suara hatimu:

Correct, Correct, Correct!