8 Ogo 2010

Dimana Kesesatan ESQ?

ESQ satu ‘ideologi’ bukan ‘metodologi’Aizam Mas’od

Ketika menyampaikan kuliah Maghrib malam tadi (6 Ogos 2010, di Wilayah Persekutuan), kebetulan penulis sampai kepada bab berkenaan “Asma dan Sifat Allah SWT”, penulis mengambil kesempatan menjelaskan tentang penyelewengan ESQ dalam mentafsirkan nama-nama Allah SWT yang Maha Baik. Perkara ini bertepatan dengan ayat 74 di dalam surah al-Nahl. Bermaksud: “Maka janganlah kamu menjadikan perumpamaan-perumpamaan bagi Allah”.

Ayat ini menjadi hujjah kepada aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah seperti yang terkandung di dalam Sifat 20 yang mengajarkan kepada kita bahawa Allah SWT itu bersifat “al-mukhalafah lil hawadith” iaitu “bersalahan daripada segala yang baharu”.

Tetapi ESQ mengajar sebaliknya apabila cuba mengiyaskan semua sifat-sifat makhluk dengan nama-nama Allah. Kesannya, ada di kalangan alumni ESQ yang memahami bahawa gunung itu tinggi kerana Allah itu Maha Tinggi, alam itu luas kerana Allah itu Maha Luas, bunga itu cantik kerana Allah itu Maha Cantik dan pelbagai lagi.

Ini adalah hasil daripada ajaran ESQ yang mengatakan bahawa “seluruh alam mewakili sifat Allah”. Lihatlah betapa dangkalnya ajaran ini kerana ia tidak berpijak kepada kaedah mantiq yang betul, bagaimana mungkin gunung dan alam yang mempunyai isi padu, had dan mengambil ruang boleh dikatakan menyamai sifat Allah SWT yang qadim?

Malah gunung dan alam itu akan hancur apabila tiba masanya manakala bunga pula akan layu. Ini menunjukkan bahawa sifat alam ini “hadith” (baharu) dan tidak kekal (fana”) sedangkan Allah SWT itu bersifat baqa” (kekal) dan tidak binasa. Juga menjadi persoalan, bagaimana pula dengan makhluq-makhluq seperti iblis, syaitan, haiwan liar, segala jenis penyakit yang kesemuanya adalah perkara-perkara buruk (pada zahirnya)... adakah ia juga mewakili sifat-sifat Allah yang Maha Baik itu?

Apakah bentuk akidah yang diajarkan oleh ESQ ini sebenarnya?

ESQ juga mengajarkan bahawa manusia itu mewakili sifat-sifat Allah SWT hasil daripada suara hati yang sedia wujud di dalam fungsi ketiga otak manusia yang dinamakan God Spot. Suara hati ini menurut ESQ adalah fitrah yang telah ditiupkan dengan 99 nama Allah SWT ketika Allah SWT meniupkan roh-Nya ke dalam diri manusia.

Menurut ESQ suara hati ini universal dan terdapat pada seluruh manusia tanpa mengira agama mahupun kepercayaan termasuk atheis sekalipun. Oleh kerana itu, ESQ mengatakan manusia itu berkasih sayang kerana sifat Allah itu yang Maha Pengasih, manusia itu adil kerana Allah itu Maha Adil, manusia itu berwawasan kerana nama Allah itu al-Aakhir dan pelbagai lagi. Bermaksud kesemua sifat manusia yang benar-benar mengikuti suara hatinya yang fitrah itu adalah merujuk kepada 99 nama Allah SWT yang sedia wujud di dalam God Spot tersebut.

Akibatnya kesemua nama-nama Allah SWT termasuk yang mempunyai makna-makna khusus bagi-Nya seperti al-Jabbar, al-Mutakabbir, al-Khaliq, al-Muhyi, al-Mumit diterjemahkan sesuai dengan sifat-sifat manusia. Alasannya kerana manusia itu mewakili sifat-sifat Allah SWT.

Kaedah ESQ ini juga amat jelas menyalahi kaedah mantik yang betul, jika benarlah manusia yang mengikuti suara hati itu dikatakan mengikuti fitrah sifat-sifat Allah SWT, bagaimana pula dengan sifat-sifat manusia seperti makan dan minum, berkahwin, tidur, bernafsu dan lain-lain.

Adakah sifat-sifat ini juga mewakili sifat-sifat Allah SWT kerana ia juga fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia? Ia bukan hasil daripada emosi atau fikiran. Malah kaedah literal ESQ yang mengatakan kerana manusia itu berasal daripada Allah SWT maka sifat manusia itu menyamai sifat Allah SWT adalah dangkal kerana ia menyalahi nas dan akal yang sejahtera.

ESQ sebenarnya terperangkap dengan jerangkap “spiritual quotient” yang digagaskan oleh Danah Zohar dan Ian Marshall. Ia didokong oleh hipotesis yang dibuat oleh VS Ramachandran kononnya terdapat fungsi “pencarian Tuhan” di dalam otak manusia.

Padahal al-Quran sendiri telah mengatakan bahawa “otak manusia yang sejahtera” jika berfikir secara rasional sememangnya akan menemui siapakah penciptanya.

Oleh itu, di dalam al-Quran manusia disuruh berfikir dan bertafakur tanpa perlu menunggu penemuan Barat ini. Hakikatnya, teori ESQ lahir dalam keadaan “worldview” Barat yang tidak percayakan Tuhan dan berselirat dengan falsafah materialisme.

Epistemologinya juga jelas hanya berasaskan kepada falsafah Barat dan hipotesis sains. Logiknya bagaimana mungkin ia boleh menjadi tafsiran kepada Islam?

Penulis tidak fikir ESQ akan berjaya diislamkan. Ini kerana ia adalah satu “ideologi” bukan “metodologi”. Ia sama dengan usaha sesetengah orang yang cuba untuk mengislamkan sekularisme, liberalisme, kapitalisme, komunisme dan lain-lain.

Jika ada juga yang cuba untuk mengislamkannya maka akan lahirlah Muslim sekular, Muslim liberal, Muslim kapitalis dan lain-lain. Islam adalah Islam.

Epistemologinya adalah bersumberkan wahyu bukan akal, falsafah atau dapatan sains. Hal ini berlaku kepada Ary Ginanjar. Dia tidak pernah berjaya mengislamkan ESQ, sebaliknya Islam pula yang terpaksa disesuaikan dengan ESQ.

Sebagai contoh, kita tidak pernah mendengar bahawa ihsan itu God Spot atau suara hati atau 99 nama Allah atau tiupan roh Allah. Apa yang kita tahu “ihsan” itu adalah satu martabat tertinggi dalam beribadah. Sama ada seseorang itu mencapai maqam musyahadah atau muraqabah. Syarat ibadah tentulah seseorang itu beriman dan menganut Islam. Ia adalah maqam yang amat eksklusif dan bukan inklusif.

Tetapi ESQ telah membaratkan pengertian “ihsan” dengan mendakwa ia adalah “spiritual quotient” yang berlaku kepada semua manusia tanpa mengira apa jua anutan agama.


Ia dianggap sesuatu yang universal dan inklusif hatta kepada mereka yang tidak beragama. Apa yang berbeza hanyalah pada metodologi bagaimana untuk mereka mencapai “spiritual quotient” itu.

Ia mungkin dicapai dengan solat, yoga, meditasi, pertapaan atau mendengar muzik kerana ia adalah sesuatu yang “built-in” dalam diri manusia dan tidak terikat kepada ritual keagamaan untuk memperolehinya.

Sebab itulah, Ary telah menyenaraikan peneraju syarikat-syarikat besar seperti Walt-Disney, Starbucks, Body Shop, Visa International, Nokia, Matsushita dan lain-lain sebagai tokoh-tokoh sufi korporat yang telah berjaya mencapai “spiritual quotient” sehingga menepati nama-nama Allah SWT yang telah menjadi fitrah dalam diri mereka.

Jenis sufi dan tasawwuf apakah yang diajar oleh Ary Ginanjar ini?

Terus terang penulis katakan, ESQ adalah satu trend halus untuk menerapkan faham “perennial philosophy” ke dalam penganut agama seluruh dunia. Faham ini masuk dengan pelbagai kaedah seperti melalui “Global Theology”, “Global Ethic” dan lain-lain.

Kesemua faham ini pada zahirnya cuba mencari persamaan nilai yang universal antara semua manusia. Asas kepada ideologi ini adalah manusia bersatu pada titik spiritualnya yang disebut sebagai “metaphysical unity” atau kesatuan metafizik (esoteric). Inilah sebenarnya inti pluralisme agama.

Amat silap jika sesetengah pihak beranggapan bahawa pluralisme agama itu hanyalah apabila seseorang mengatakan “agama itu semuanya sama”.


Malah sememangnya “perennial philosophy” itu mengiktiraf agama-agama itu berbeza tetapi hanya pada “level” eksoteriknya (zahirnya) tetapi kesemuanya menuju atau bertawaf kepada paksi yang sama pada level “eksoteriknya” (batinnya). Lebih daripada itu, “perennial philosophy” juga tidak pernah menyekat penganut mana-mana agama mengamalkan agamanya, apa yang penting penganut agama-agama itu menerima bahawa mereka semua bertemu akhirnya pada titik yang sama. Itulah “spiritual quotient” yang dimaksudkan.

Kesimpulannya, inilah rupa paras ESQ yang sebenar... lihatlah worldview kelahirannya dan epistemologi yang mencetuskannya... anda akan kenal apa ESQ yang sebenar!



TIRAM Dilancarkan Bantu Pakatan Rakyat Tawan Putrajaya

Tiram Secara Rasmi Dilancar, Bantu PR Tawan Putrajaya

Pakatan Rakyat melancarkan Tabung Impian Rakyat Malaysia atau singkatannya TIRAM bertujuan bagi mengumpul dana menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 dan menawan Putrajaya.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan juga Penasihat TIRAM Husam Musa berkata tabung tersebut dilancarkan sebagai kesinambungan kepada perjuangan rakyat menuntut perubahan politik di negara ini.

Menurut Husam, langkah pertama TIRAM ialah menanam kesedaran mengenai sistem pilihan raya, pemerintahan dan perlembagaan negara serta berusaha menyedarkan pengundi tentang tanggungjawab mereka sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi.

"Permulaan yang baik, dan kita akan turun ke negeri-negeri tertentu dan akan edarkan lagi kupon-kupon derma sehingga kita memenuhi jumlah yang mencukupi bagi membantu persiapan," kata Husam.

Mengulas lanjut mengenai TIRAM ini, Pengarah Majlis Makan Malan Mega TIRAM, Ir Izham Hashim berkata pelbagai program akan diadakan selepas ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat terutama kepada golongan muda.

"Ada pelbagai program yang akan dilakukan untuk beri kesedaran demokrasi, antaranya kita rancang untuk adakan kongres impian orang-orang Melayu. Kita juga akan buat kajian mendalam mengenai kecenderungan dan kehendak pengundi muda," kata Izham.

Lembaga pemegang amanah TIRAM terdiri daripada Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar, Izham sendiri dan tiga yang lain iaitu Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek, Alex Ong Kiang Yen dan Asmawi Mohamad.

Tabung Impian Rakyat Malaysia (TIRAM) ditubuhkan atas kesedaran betapa perlunya suatu wadah atau platform yang membiayai usaha-usaha pemerkasaan dan memurnikan sistem demokrasi di Malaysia.

Sebahagian daripada usaha ini melibatkan gerakan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang tanggungjawab mereka sebagai rakyat di sebuah negara yang demokratik samada dari aspek perlembangaan sistem pilihanraya dan pemerintahan negara.

Tumpuan juga akan diberikan kepada kerja-kerja penyelidikan dan mempromosikan sistem demokrasi yang sihat kepada seluruh rakyat bagi menyumbang ke arah negara yang lebih demokratik dan adil.

Sementara itu, Majlis Makan Malam Mega TIRAM yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam, yang turut dihadiri oleh orang ramai.

Menteri Besar Kelantan Datu Nik Aziz Nik Mat yang dijadualkan hadir ke majlis itu diwakili Naib Presiden PAS Mahfuz Omar kerana mengalami masalah kesihatan.

Manakala bagi pihak Presiden Parti Keadilan rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim diwakili Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali dan DAP Lim Kit Siang pula diwakili Ahli Parlimen Beruas. -TVS

1001 Misteri Semasa Najib Jadi PM

Rakyat diseru menolak Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti apabila kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dilihat kian lemas dengan pelbagai isu yang ditakrif sebagai misteri dan tidak terjawab selepas tsunami politik 2008.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata banyak persoalan yang melanda negara yang sehingga kini menjadi tanda tanya dan dianggap misteri disebabkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban tidak diamalkan oleh Umno-BN.

"Terbaru, kita dikejutkan dengan kematian dua orang pemimpin Umno yang dianggap misteri oleh media tapi sebenarnya banyak lagi perkara yang berlaku tetapi dibiarkan begitu sahaja tanpa jawapan yang sahih.

"Kita lihat apabila Najib pergi bercuti, secara tiba-tiba bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik didakwa berhubung skandal Pelabuhan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), pada yang sama juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengkritik gagasan 1Malaysia, ini juga satu misteri," kata Shamsul kepada Suara Keadilan.

Menurut beliau, Umno-BN seolah-olah tidak boleh menyelesaikan banyak isu yang membabitkan negara menyebabkan pentadbiran Najib dianggap 'kerajaan penuh misteri'.

Kata Shamsul keadaan ini telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan negatif terhadap imej negara di peringkat antarabangsa.

"Banyak lagi perkara yang menjadi misteri seperti pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu apabila rekod kemasukkannya ke negara ini didapati hilang, malah motif pembunuhan yang sebenar juga masih tidak diketahui.

"Sama juga seperti kes terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga misteri kerana laporan perubatan serta keterangan saksi utama, Saiful Bukhari Mohd Azlan tidak diberi. Lebih misteri apabila Saiful menjalinkan hubungan intim dengan ahli pasukan pendakwa raya, Farah Azlina yang menyebabkan saksi hilang kredibiliti sekaligus kes tersebut sebenarnya boleh dibuang," tegas beliau lagi.

Tambahnya, apa yang berlaku jelas menunjukkan konspirasi politik apabila skrip yang sama pada 1998 diulang.

Pengadu, Azizan Abu Bakar, bekas pemandu Anwar yang menjadi saksi utama dalam perbicaraan Fitnah I ketika itu telah ditangkap khalwat bersama pasangannya pada 15 September 1999 menyebabkan kes tersebut menjadi pincang.

Ini kata Shamsul sekali gus membuktikan apa yang didakwa sebagai konspirasi untuk menamatkan karier politik Anwar adalah benar.

"Sebab itulah, orang luar memberikan pandangan mereka secara sindiran dan sinikal kerana mendapati perbicaraan terhadap Ketua Pembangkang itu tidak mengikut saluran dan lunas undang-undang yang betul seperti yang diamalkan oleh negara yang bertamadun," ujar Shamsul yang merujuk kepada kenyataan Al Gore dan Paul Wolfowitz dalam akhbar ekonomi berpengaruh di Amerika Syarikat, The Wall Street Journal yang meminta kes terhadap Anwar digugurkan segera.

Dalam artikel bertajuk "Malaysia's Opposition On Trial", Al Gore dan Wolfowitz mendesak kerajaan Malaysia meletakkan kepentingan hukum sebagai landasan dalam proses politik di mana elemen keadilan dan kebebasan saling bergantungan antara satu sama lain.

Menurut mereka lagi, ia adalah peluang terbaik bagi Malaysia membuktikan bahawa sistem keadilan negara ini mempunyai kapasiti untuk berbuat sesuatu yang betul bukan sahaja untuk Anwar tetapi juga bagi jutaan rakyat Malaysia yang melihat Anwar sebagai jurucakap kepada segala aspirasi mereka. -SK

Potret "Tangisan Doa Syahdu" Dibida RM6,000

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dijadualkan hadir ke pelancaran majlis Tabung Impian Rakyat Malaysia (TIRAM) malam tadi terpaksa dimasukkan ke hospital petang semalam kerana kepenatan.

Menurut ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Nik Aziz dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan.

"Beliau (Nik Aziz) mengalami kepenatan dan dihantar ke hospital, supaya mendapat rehat yang cukup dan tidak mendapat sebarang gangguan," kata Khalid.

Namun tanpa kehadiran Nik Aziz, 79, popularitinya tetap menjadi tarikan kepada semua yang hadir dengan tiga buah potretnya berjaya mengumpul RM11,500 pada malam itu.

Bidaan paling tinggi melalui potret beliau bertajuk ‘Tangisan Doa Syahdu’ dengan RM6,000 yang menjadi milik seorang isteri ahli perniagaan Rosinah Mohammad.

Manakala dua potret beliau iaitu ‘Seceria Suria Pagi’ berjaya memungut masing-masing RM3,000 dan RM2,000 ketika bidaan berlangsung.

Bidaan ini dilakukan untuk membantu Pakatan Rakyat (PR) mengumpul dana bagi pilihan raya umum akan datang.

Selain potret Nik Aziz, turut menyaksikan kartunis terkena Zunar mendapat bidaan kartunnya sebanyak RM3,500.

Pakatan melalui platform TIRAM ini menetapkan sasaran RM20 juta untuk mengumpul dana bagi membantu aktiviti dalam memberi kesedaran demokrasi terhadap orang ramai.

Menurut Penasihat TIRAM Datuk Husam Musa, kutipan dana ini juga bagi mempromosikan agenda perubahan kepada orang ramai dengan mereka terus mendapat akses maklumat lebih baik mengenainya.

"Jika mereka (Umno-Barisan Nasional) mengongkong media hasrat itu tidak akan berjaya. Maka kita di TIRAM perlu usaha bersepadu untuk mendekatkan jarak dengan menyediakan infrastruktur umum dengan pelbagai isu perubahan.

"Dana TIRAM ini sebagai wadah untuk memurnikan demokrasi dan terus memberi maklumat kepada orang ramai tentang penyalah gunaan kuaasa serta porak peranda pemerintah kini yang memberi impak kepada rakyat.

"Bukan sahaja di Semenanjung malah dana ini untuk rakyat di Sabah dan Sarawak," kata Husam ketika ucapan perasmiannya di stadium Melawati malam tadi.

Dalam pada itu, TIRAM turut memberi sumbangan kepada beberapa keluarga mangsa termasuklah keluarga Aminurrasyid Amzah, A Kugan, Ibrahim Libya (Memali), Teoh Beng Hock dan lain-lain.

Majlis perasmian itu menyaksikan kira-kira 30 wakil rakyat daripada Pakatan serta 12,000 orang hadir.

TIRAM berjaya mengumpul lebih daripada RM35,000. -FMT