1 Ogo 2010

Kezaliman Polis Petanda UMNO BN Bakal Hancur

Kebiadapan Polis Terhadap Rakyat Percepatkan Kejatuhan Umno-BN

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor, Datuk Chua Jui Meng menganggap Malaysia sebagai sebuah negara polis, apabila bertindak ganas dengan memukul dan menahan dengan kasar orang ramai termasuk peniaga semasa program ceramah anjuran KEADILAN di Markas PAS Kawasan Batu Pahat di Kampung Sungai Tongkang, di sini semalam.

Chua berkata tindakan tidak demokratik pihal polis hanya membuka mata dam menyedarkan lagi rakyat khususnya di Johor bahawa Umno-Barisan Nasional perlu ditumbangkan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Peristiwa ini menunjukkan dengan jelas bahawa, rakyat telah faham yang Umno dan Barisan Nasional di Johor sudah takut dan putus asa sehingga terpaksa menyalahgunakan institusi polis untuk menghalang proses politik dan demokrasi di negara ini.

"Ini akan menambah keazaman dan keinginan kita untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN di Johor dan menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"Ini adalah program pertama saya di Johor selepas dilantik menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri. Memang benar seperti apa yang pernah dikatakan, halangan akan dikenakan kepada mana-mana bekas pemimpin Barisan Nasional seperti saya dan Datuk Seri (Anwar Ibrahim). Jadi kata Tun Dr Mahathir, 'Malaysia Negara Polis' satu ketika dulu, memang benar," komen Chua kepada Suara Keadilan ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Rengit untuk memberikan sokongan kepada mereka yang ditahan semalam.

Turut hadir beberapa pemimpin KEADILAN termasuk Timbalan Presiden, Senator Dr Syed Husin Ali, Ketua Penerangan, Latheefa Koya, Ketua Cabang Batu Pahat, Syed Hamid Ali dan tokoh parti serta peguam, Hassan Karim.

Dalam serbuan yang dilakukan pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ke atas lokasi ceramah di Rengit semalam, seramai tujuh orang ditahan iaitu, Shukri Yusof, 32, Khairul Nurrashid, 26, Sheikh Hussin Abdullah, 43, Radzi Kasim, Ahmad Ariff, 29, Raden NohKamaruzzaman, 22, dan Mohd Hussin Ismail, 19.

Mereka dilepaskan kira-kira pada pukul 4 pagi selepas mendapat jaminan lisan daripada pihak polis.

Tiga daripada mereka yang ditahan iaitu Shukri Yusof, Khairul Nurrashid, Sheikh Hussin Abdullah diminta untuk kembali ke Balai Polis Rengit pada 1 September depan untuk diambil keterangan manakala empat yang lain dikehendaki ke balai polis yang sama pada 13 September.

Sementara itu Ahmad Ariff dan Raden Noh Kamaruzzaman mendakwa mereka telah dikasari oleh anggota FRU yang dikatakan memukul dan memijak mereka sehingga menyebabkan kecederaan.

Kedua mereka dijangkakan akan membuat laporan polis pada hari ini.

Seorang petugas Unit Amal berkata pihak polis dan FRU turut merampas peralatan audio seperti mikrofom dan sistem pembesar suara selain merosakkan beberapa peralatan elektrik dalam tindakan serbuan mereka.

FRU turut melepaskan sejenis gas yang menyebabkan mereka pedih mata dan sakit dada.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, Azlan Ishak mendesak pihak polis memberikan penjelasan berkenaan kekasaran yang dilakukan terhadap orang ramai dalam program malam tadi.

Beliau menganggap tindakan tersebut menyalahi jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan yang membenarkan orang ramai untuk berhimpun dan berekspresi.

"Kita bercadang untuk failkan perkara ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Perbuatan (menyerbu) ini menyalahi undang-undang.

"Program ini diadakan di dalam premis persendirian dan kita telah patuhi. Permit yang dipohon sebenarnya telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), namun ditarik semula atas tekanan politik. Inikah negara demokrasi?" tanya Azlan. -SK

Ulasan GB

PDRM bersama UMNO BN tidak pernah belajar dari sejarah. Pada PRU 1999, mencatatkan keputusan pilihanraya terbutuk buat UMNO BN setelah berlakunya kezaliman polis terhadap isu Anwar. Sekalipun Barisan Alternatif ketika itu BN hanya tinggal sebanyak 148 jatuh 8.6% berbanding 162 kerusi yang diperoleh pada tahun 1995.

Pada PRU 2008, setelah polis melakukan pelbagai kezaliman, sekali lagi UMNO BN hampir terdampar ke lurah jahanam, di mana kali ini Pakatan Rakyat berjaya menghapuskan majoriti dua pertiga UMNO BN di Parlimen.

Tetapi polis masih begitu, kekal dengan fe'el lama mereka terus melakukan kezaliman ke atas rakyat.

Nah, kita tunggukan saja nanti pada pilihanraya umum akan datang, UMNO BN PAS tercampak keluar dari Putrajaya dan ketika itu PDRMlah yang merupakan penyebab utama kebencian rakyat terhadap UMNO BN.

Percaya atau tidak, terpulanglah, tapi itulah realitinya.

Muhyiddin Ibarat Ketam Yang Menyuruh Anaknya Berjalan Lurus

Ketepikan semangat perkauman – Muhyiddin

Semua rakyat perlu mengetepikan semangat perkauman jika mahu lihat Malaysia kekal membangun dalam semua aspek, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sebagai negara yang berhadapan cabaran berikutan mempunyai komposisi pelbagai kaum dan etnik, aspek perkauman perlu diketepikan bagi mengekalkan keamanan negara.

Malah jika sesuatu kaum tetap berdegil mahu mempertahankannya tanpa melihat sesuatu perkara dengan lebih meluas, ia mampu mengundang respon yang berbentuk perseturuan dan menimbulkan ketegangan antara kaum.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Barisan Nasional berkata, "saya ingin mengingatkan para pemimpin muda bahawa mengurus negara yang mengandungi pelbagai etnik memerlukan banyak hikmah.

"Kami harus selalu mengimbangi di antara berkhidmat untuk kepentingan semua kaum dan memenuhi keperluan negara," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Para Pemimpin Pelajar Malaysia Tahunan ke 4 di sini semalam.

Menurut beliau, "kadangkala tuntutan yang melampau oleh sesuatu golongan etnik menyebabkan respon yang negatif dari komuniti yang lain.

"Apabila kaum-kaum saling membuat tuntutan masing-masing dan respon yang negatif akan menyebabkan ketegangan di antara etnik dan meletak keselamatan negara dalam bahaya," katanya

Muhyiddin berkata, semangat perkauman juga boleh diketepikan melalui perubahan sistem demokrasi pendidikan yang berkualiti.

Prejudis perkauman

"Maka tidak timbul nanti, prejudis perkauman atau rasa terpinggir kerana semua anak Malaysia mempunyai hak yang sama rata untuk mendapat pendidikan berkualiti.

Ujar beliau, "oleh sebab pengasingan dari sudut sosial dan ekonomi akan membawa kepada prejudis perkauman dan konflik etnik yang berpanjangan maka usaha meningkatkan kualiti pendidikan sekarang ini, saya yakin, akan menghapuskan semua punca konflik."

Katanya, "melalui perubahan sistem pendidikan sejak Laporan Razak 1956 dan juga Dasar Baru Ekonomi, jurang antara kaum juga dapat dikurangkan. Usaha memupuk perpaduan kaum juga dapat dimanifestasikan melalui beberapa dasar polisi yang diperkenalkan kerajaan.

"Setakat hari ini, kerajaan bertekad untuk membantu semua etnik supaya mempunyai akses kepada pendidikan yang lebih baik melalui peruntukan biasiswa dan perkembangan pendidikan tinggi."

Beliau menegaskan, "bahasa Mandarin and Tamil, dua bahasa ibunda utama di negara ini sebagai mata pelajaran elektif telah pun diperkenalkan.

"Ini termasuk program sekolah yang komprehensif yang telah direncanakan di bawah Bidang Keputusan Utama Nasional (NKRA)," tambahnya.

Ulasan GB

Umum mengetahui bahawa Muhyiddin inilah orangnya yang paling perkauman di dalam kabinet Najib. Buktinya:

Kenyataan Muhyiddin tidak bijaksana, Pemuda Gerakan

Setiausaha Pemuda Gerakan Dominic Lau Hoe Chai tidak menyetujui kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang melihat dirinya sebagai "Melayu terlebih dahulu, dan warga Malaysia kemudiannya".

Dalam satu kenyataan medianya, Dominic Lau (gambar kiri) menganggap hujah ini tidak bijaksana, malah tidak mempertimbangkan perasaan seluruh rakyat kerana jelas membela kaum tertentu.

"Selaku TPM, Muhyiddin harus menjadi TPM untuk seluruh rakyat Malaysia, dan bukannya TPM untuk Melayu. Beliau harus menyedari realiti bahawa Malaysia sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama. Saling hormat-menghormati, layanan yang saksama adalah lebih penting, dan bukannya dominasi satu pihak."

Di samping itu, ketika mengulas pertikaian dan kritikan pembangkang berhubung isu ini, Pemuda Gerakan menyeru agar TPM berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan, terutamanya selepas tsunami politik 8 Mac 2008, yang memberi pengajaran kepada BN agar jangan melewati sensiviti kaum. Apa yang rakyat tuntut adalah kerajaan untuk semua, bukannya kerajaan untuk satu-satu kaum.

*Kenyataan media oleh Dominic Lau Hoe Chai, selaku Setiausaha Pemuda Gerakan. Diterjemahkan daripada kenyataan asal yang ditulis dalam bahasa Cina. -MR



Pemuda MCA kepada Muhyiddin: Hujah anda telah menjadi senjata musuh

Setiausaha Pemuda MCA, Chai Kim Sen menyeru Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin agar berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan. Malah, Pemuda MCA menasihatkan TPM agar tidak mengeluarkan hujah yang akan mencungkil ketidakpuasan kaum lain, semata-mata untuk mengambil hati sesetengah pihak.

Chai Kim Sen berkata, masyarakat umumnya menyetujui penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi Perundingan Antara Agama yang diluluskan oleh kabinet, bahkan menaruh harapan agar konflik dan salah faham antara agama akan diselesaikan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas tersebut.

“Biarpun kuasa Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini mungkin tidak sebesar mana, tetapi tidak harus disifatkan sebagai ‘peranan kecil’, atau ‘tidak penting’ dalam mulut TPM. Walau bagaimanapun, Mesyuarat Jawatankuasa Khas akan mengkaji isu yang berkenaan dengan agama, dan mempunyai peranannya,” kata Chai Kim Sen.

Menurut kenyataan media Chai Kim Sen, TPM seharusnya menggalakkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini untuk merapatkan jurang antara agama di negara kita, terutamanya isu-isu yang berkenaan dengan agama, seperti pertukaran agama, penggunaan kalimah agama dan sebagainya.

Tiada orang yang menganggap bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini akan mengancam kedudukan Islam sebagai agama kebangsaaan. Jadi, tidak perlulah TPM memperkecilkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini untuk meredakan golongan ektremis yang berang tanpa sebab, kata Chai Kim Sen.

Chai Kim Sen mengingatkan Muhyiddin Yassin (gambar kanan) bahawa hujah beliau telah menjadi senjata kepada musuh politik. Seandainya keadaan ini tidak dibaiki, maka persepsi rakyat terhadap Muhyiddin akan menjadi semakin negatif.

*Kenyataan media oleh Chai Kim Sen selaku Setiausaha Pemuda MCA. -FMT


Badan Dunia Desak Kerajaan Malaysia Serah Dokumen, Bahan Bukti Kepada Anwat

HRW Desak Kerajaan Malaysia Serah Dokumen, Bahan Bukti Kepada Anwar Segera

Badan pemantau hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) berkata pihak pendakwa raya dalam kes perbicaraan Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya menyerahkan dokumen dan bahan bukti berkaitan kes tersebut kepada pasukan pembelaan sebelum prosiding bersambung Isnin depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lepas HRW menegaskan tindakan daripada pihak pendakwa raya adalah perlu bagi menjamin perbicaraan tersebut berjalan secara adil dan telus.

Sambil membidas undang-undang warisan era kolonial yang digunakan dalam pendakwaan terhadap Anwar yang membawa hukuman 20 tahun penjara dan sebatan jika sabit kesalahan, badan antarabangsa yang dihormati itu berkata tokoh politik yang disegani itu juga berhadapan disekat daripada bertanding di dalam pilihan raya walaupun dihukum penjara sehari atau didenda RM2,000.

"Sifat asas perbicaraan yang adil memerlukan pihak pendakwa raya menyerahkan dokumen dan bukti supaya Anwar mampu mempertahankan diri beliau.

"Malangnya pihak pendakwa raya di Malaysia telah tidak berlaku adil kepada Anwar dengan menafikannya dokumen penting yang diperlukan oleh pasukan pembelaan beliau," kata Phil Robertson, timbalan pengarah HRW Asia.

Ujar HWR lagi, kerajaan Malaysia masih belum menunaikan janji yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang berkata, 'hak pengadu dan yang tertuduh akan dihormati dalam perbicaraan Anwar'.

Kenyataan itu menambah sejak Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ditahn pada 16 Julai 2008, kes tersebut telah mempamerkan beberapa keputusan pihak mahkamah yang menafikan Anwar untuk mendapatkan dokumen dan bahan bukti setiap kali permohonan dibuat.

"Mahkamah telah menafikan skses kepada senarai saksi pihak pendakwa raya dan kenyataan mereka yang dicatat termasuk kenyataan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Mahkamah juga telah menyekat akses kepada rakaman video keselamatan daripada kondominium di mana kejadian liwat didakwa berlaku.

"Anwar juga terus dinafikan untuk mendapatkan nota perubatan dan catatan lain, laporan, material dan juga spesimen berkaitan pemerikasaan perubatan ke atas Saiful oleh tiga doktor Hospital Kuala Lumpur yang dilakukan pada 28 Jun 2008, dua hari selepas dakwaan liwat berlaku," tegas HRW lagi.

Badan itu berkata Anwar terus dinafikan untuk mendapatkan laporan penuh perubatan Saiful, dokumen berkenaan kelayakan doktor dan pengalaman mereka, dan peralatan yang digunakan dalam pemeriksaan serangan seksual.

"Pakar forensik yang dipanggil oleh pihak pembelaan mengadu beliau tidak mampu membantu dalam sesi soal balas terhadap tiga doktor HKL sekiranya tidak dibekalkan dengan bahan-bahan bukti tersebut," kata HRW.

Dalam perkembangan mutakhir, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Ogos untuk mendengar rayuan terhadap permohonan untuk mendapatkan akses kepada laporan perubatan, beberapa hari selepas tiga doktor HKL dijadual disoalbalas oleh pihak pembelaan.

HRW berkata amalan biasa di Malaysia ialah pihak pendakwa raya akan membekalkan semua bahan bukti dan dokumen kepada pihak pembelaan semasa tempoh pra perbicaraan.

Dalam kes yang melibatkan Anwar, mahkamah memutuskan pihak pembelaan dibenarkan membuat permohonan tersebut semasa prosiding sedang berjalan.

Walau bagaimanapun ketika perbicaraan bermula pada 2 Februari lalu, pihak pembelaan telah membuat permohonan berkaitan namum mahkamah memutuskan ia terhalang oleh keputusan sebelumnya ketika pra perbicaraan.

Akibatnya satu-satu sumber maklumat yang mampu diperolehi pihak pembelaan ialah keterangan yang diberikan oleh saksi pihak pendakwa raya dalam mahkamah.

"Pasukan peguam Anwar terpaksa membela anak guam mereka dengan satu tangan diikat dibelakang.

"Dengan menafikan bahan bukti yang kritikal dalam kes ini, tindakan mahkamah dan pendakwa raya ini akan hanya menimbulkan keraguan terhadap keadilan dalam perbicaraan ini dan seterusnya membuktikan dakwaan terhadap Anwar adalah bermotifkan politik," kata Robertson.

HRW berkata prosiding dilihat bercanggah dengan Seksyen 51A, satu pindaan yang dibuat pada Mac 2006 untuk membuka ruang yang lebih luas bagi pihak pembelaan untuk mendapatkan bahan bukti dalam sesuatu perbicaraan.

Seksyen ini mempunyai peruntukan bahawa pihak pendakwa raya seharusnya membekalkan "apa-apa" dokumen yang boleh digunakan sebagai bukti dan juga kenyataan fakta yang menyebelahi pihak pembelaan kecuali yang bertentangan dengan kepentingan awam.

"Kerajaan Malaysia meminta masyarakat antarabangsa menghormati sistem demokrasi dan komitmennya terhadap prinsip negara hukum tetapi terdapat perbezaan besar antara retorik semata-mata dan realiti.

"Sekiranya kerajaan ikhlas untuk menjamin perbicaraan yang adil maka amat perlu pihak pendakwa raya menyerahkan semua dokumen dan bahan bukti kepada pasukan pembelaan dengan segera," tegas Robertson lagi. -SK

Ulasan GB

Pertama kita jadi hairan mengapa pihak pendakwa dan mahkamah enggan untuk menyerahkan dokumen dan bahan bukti kepada defendan (DSAI). Alasan mahkamah mudah, tidak ada peruntukan untuk mewajibkan pendakwa menyerahkan bahan bukti. Sementara pendakwa pula menyatakan penyerahan dokumen dan bahan bukti mendedahkan saksi diganggu oleh pihak defendan.

Setelah sekalian ribu kes berjalan di mahkamah di negara ini, telah menjadi satu teladan untuk pihak pendakwa menyediakan dokumen dan bahan bukti kepada defendan demi untuk keadilan dan ketelusan penghakiman, tetapi kekecualian ini berlaku di dalam kes liwat2.

Keadaan tersebut menjadikan persepsi masyarakat bahawa kes liwat 2 itu adalah KONSPIRASI PERINGKAT TERTINGGI kerajaan UMNO BN di bawah Najib terhadap bekas Tim Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menjadi semakin benar.

Malah dengan prosiding kes sejak pertama menunjukkan bahawa hakim telah bertindak secara berat sebelah dimana tuntutan-tuntutan defendan tertolak, manakala tuntutan plaintiff sentiasa diberikan laluan. Ia perulangan kepada kes liwat 1 dimana demikianlah cara hakim Augustine Paul menghakimi kes berkenaan.

Terdapat seperti "tangan ghaib" di belakang skrip. Siapa lagi jika bukan Peguam Negera bernama Gani Patail, pengarah keseluruhan skrip bersama Ketua Polis Negara, Musa Hassan, untuk menempatkan masing-masing di hati Najib.

KEBENARAN DAN KEADILAN SUDAH MATI DI BAWAH UMNO BN!