30 Mei 2010

Benar, PR Sedang Menuju Ke Putrajaya

Kongres Terbaik Petanda Masa Depan Cerah Ke Putrajaya

Kongres Nasional KEADILAN kali ini disulami dengan perbahasan dan displin yang baik memberi petanda harapan cerah kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat melangkah menuju ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Naib Presiden, Azmin Ali semasa mengulung perbahasan menyifatkan perjalanan kongres petang tadi oleh perwakilan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama sebagai yang terbaik di antara kongres pernah diadakan sebelum ini.

"Kita lihat kali ini, penyertaan Ramli Logan yang mewakili Orang Asal telah menyampaikan hujah yang cukup baik dan bernas dan ini sama sekali tidak berlaku dalam persidangan yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional umumnya.

"Kita juga bangga dengan sayap baru KEADILAN, Srikandi yang dibarisi wanita muda yang berani tampil ke depan menghidangkan perwakilan dengan perbahasan yang hangat," ujar beliau.

Dalam pada itu, Azmin turut menyokong usul yang dikemukakan oleh Wanita dan mahukan tindakan susulan berhubung usul tersebut.

Beliau juga meminta supaya keempat-empat kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat menghantar ketua-ketua jabatan mendengar dan mencatit segala usul perwakilan tanpa mengharapkan Menteri Besar dan barisan exco yang merekodkan maklumat itu.

"Kita merayu kepada perwakilan yang hadir ini memastikan KEADILAN sentiasa kuat namun pada masa yang sama, kita juga berharap agar kerajaan negeri Pakatan Rakyat dapat membantu anggota parti.

"Bila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim difitnah, bukan pengarah anak syarikat kerajaan negeri yang tampil membela tetapi anggota KEADILAN yang ke depan membela pemimpin mereka," tegasnya.

Azmin turut memberi cadangan supaya anggota parti melakukan perubahan dengan menggantikan ketua-ketua di peringkat cabang yang tidak aktif.

"Mana-mana ketua cabang yang tidak berfungsi, saya minta anggota parti melakukan perubahan.

"Perkemaskan 'delivery system' negeri masing-masing dan jika ini dapat dibuat dengan cepat dan pantas, rakyat akan hantar kita ke Putrajaya," tambahnya lagi.

Justeru itu, beliau turut meminta supaya tanggungjawab itu tidak hanya digalas kepada pegawai kerajaan negeri sahaja tetapi juga diagihkan kepada anggota KEADILAN untuk melaksanakan sistem tersebut.


Mohd Fairus dakwa PKR tunggu masa 'karam'

Bekas timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin berkata krisis dalaman PKR kini kian meruncing dan parti itu hanya menunggu masa untuk "karam".

"Jika dulu Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tohmahan bahawa 'kapal Umno' akan menerima nasib seperti 'Titanic' tapi hakikatnya kini, itulah nasib yang akan dialami PKR tidak lama lagi," katanya ketika ditemui Bernama selepas Ceramah Perdana Program Juara Rakyat anjuran Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, di Kampung Sungai Tengas, dekat Kulim malam tadi.

Hadir sama pada majlis yang disertai hampir 1,000 penduduk tempatan itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainuddin.

Mohammad Fairus berkata Anwar kini berada dalam keadaan terdesak kerana semakin ramai anggota Melayu yang lari keluar PKR kerana bosan dengan tindak-tanduk dan janji palsu pemimpinnya.

Beliau berkata kini ketua umum PKR itu menaburkan pula janji menggunung untuk memberi kedudukan sebagai timbalan perdana menteri kedua kepada orang Cina setelah PAS ditawarkan untuk jawatan timbalan pertama jika beliau menjadi perdana menteri.

Mohammad Fairus juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kongres PKR di Kota Baharu Jumaat lalu bahawa anggota yang keluar parti, khususnya ADUN dan ahli parlimen, telah menerima imbuhan RM2 juta setiap seorang.

“Inilah dia apa yang disebut sebagai pembunuhan politik pusingan kedua yang dilakukan pemimpin PKR seperti Wan Azizah yang sudah ketandusan modal, dan untuk mendapatkan sokongan rakyat, mereka mengeluarkan pelbagai fitnah yang melulu demikian,” katanya, sambil menambah tindakan itu adalah "Prosedur Operasi Standard" Anwar.

Mohammad Fairus berkata perkara itu sebenarnya tidak pernah berlaku kerana penyertaan beliau dalam Umno adalah kerana perjuangan dan tidak pernah menerima sebarang imbuhan walaupun satu sen. - Bernama



TPM II: Saya tidak tahu, kata Hadi

DENGKIL: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau tidak mengetahui tentang janji Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk pemimpin DAP sekiranya pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Malah beliau berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam pakatan itu.

"Saya tak tahu, kita belum bincang. Itu pandangan peribadi dia," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyaksikan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Pas yang bernilai RM30 juta di Paya Indah dekat sini hari ini. - Bernama



Ulasan GB

TAHNIAH PKR. Sebenarnya ramai cemas apabila PKR berjaya menganjurkan Kongres dengan licin dan lancar kerana sebelumnya ramai katak lompat yang mengharap keadaan haru-biru berlaku di dalam kongres berkenaan.

Dan yang menonjol sangat ialah berita-berita BERNAMA yang cuba untuk mempalitkan PKR dengan pelbagai tohmahan serta cuba untuk mengeruhkan hubungan komponen Pakatan Rakyat.

Pertama, disiarkan berita si "budak mentah" bernama Fairus yang kononnya membuat kenyataan menyatakan PKR bakal karam. Sedangkan yang dah karam ialah Fairus sendiri sementara BERNAMA bersama BNnya bakal karam tidak lama lagi.

Kedua, dikejarnya Ustaz Abd Hadi untuk mendapatkan respons Presiden PAS itu tentang isu PM II dengan harapan mereka akan berlaku "kekecohan" di antara PAS dan PKR.

Yang malangnya pula, respons Ust Abd Hadi tidak berapa cantik terhadap soalan BERNAMA tersebut. Sepatutnya Hadi jawab, "baguslah begitu, cepat sedikit matlamat kami untuk meruntuhkan BN tercapai dan cepatlah juga PR untuk merampas Putrajaya."

Dan sudah pasti BERNAMA tercengang kerana kegagalannya untuk mengadu-domba.

Negara Bankrap Kerana Kerajaan BN Korup

ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shamsul Iskandar Mohd Akin menolak pendirian kerajaan bahawa negara akan jatuh muflis jika tidak menghapuskan subsidi menjelang tahun 2019.

Beliau berkata, "negara bukan bankrap dengan pemberian subsidi yang dilaksanakan kerajaan, tetapi sebaliknya oleh sebab banyaknya berlaku penyelewengan, kebocoran dana, amalan rasuah yang berleluasa dan salah urus tadbir.

"Selagi pemerintah sekarang dibiarkan menerajui negara ia kemungkinan mengulangi sejarah yang menimpa Greece," katanya pada majlis perasmian Kongres AMK dan Wanita Keadilan di Pusat Dagangan Kelantan, di sini Jumaat lalu.

Shamsul Iskandar berkata negara sebenarnya menuju ke arah bankrap kerana jumlah hutang negara meningkat kepada RM360 bilion sekarang.

Katanya, keadaan itu adalah suatu yang mengejutkan dan situasi yang paling teruk sejak negara mencapai kemerdekaan dan para pemimpin Umno-Barisan nasional harus segera mengundurkan diri kerana gagal mengurus ekonomi dan kewangan negara dengan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mendakwa jika langkah mengurang dan menghapuskan subsidi dalam tempuh lima tahun akan datang tidak diambil maka negara akan jatuh bankrap menjelang 2019.

Beliau berkata, "negara dapat menjimatkan sebanyak RM103 bilion dalam tempuh lima tahun jika kerajaan memotong subsidi dari sekarang.

"Tetapi sebaliknya (jika subsidi tidak dipotong) negara akan jatuh muflis menjelang 2019 jika hutang negara terus berkembang pada kadar 12% setahun," terang beliau.

"Oleh itu, rakyat harus bersedia untuk berjimat cermat dari sekarang apabila cadangan pemotongan subsidi mula dilaksanakan bulan depan," katanya pada Hari Terbuka Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 27 Mei lalu.

Menurutnya, hutang negara dijangka meningkat 100%, sama paras dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2019 sekiranya pemberian subsidi diteruskan dan akan menjadi seperti Greece, yang dilanda dengan masalah hutang yang dahsyat. -FMT


Anwar Cabar Najib Hapuskan Subsidi RM20 Bilion Setahun Kepada IPP

KOTA BHARU 30 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri supaya menarik balik subsidi RM20 bilion yang diberikan kepada syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan menyelamatkan ketirisan ekonomi sebanyak RM28 bilion setahun dan tidak menjadikan rakyat mangsa kepada kegagalan kerajaan mentadbir kewangan negara.

Anwar berkata rakyat tidak seharusnya menanggung beban kesan daripada amalan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan yang berkalu secara berleluasa di bawah pemerintahan Umno-BN.

"Siapa yang memiliki IPP di negara ini? Mereka adalah tauke dan tokoh korporat yang ingin diselamatkan oleh Umno-BN kerana kroni dan keluarga mereka juga menikmati kekayaan IPP yang dibantu oleh Umno-BN.

"Rakyat yang miskin terus dizalimi dan ditindas dan Umno-BN tidak mempedulikan nasib mereka kerana kuasa yang ada pada Umno-BN hanya digunakan untuk memperkayakan beberapa kerat kroni da kaum kerabat mereka," kata Anwar pada Ceramah Perdana di Padang Perdana malam tadi.

Menyentuh isu lompat oleh beberapa bekas wakil rakyat KEADILAN, Ketua Umum berkata beliau mempunyai cukup maklumat dan bukti untuk mendedahkan sogokan dan rasuah sebanyak RM2 juta dan kontrak yang diberikan sebagai imbuhan memujuk wakil rakyat terbabit keluar parti dan menjadi anggota Bebas.

"Saya ada bukti cukup dan akan saya dedahkan dalam parlimen kelak. Kalau ditanbya di mana saya simpan bukti, di rumah tidak ada, di pejabat lagi tidak ada, dalam beg pun tidak ada, saya sudah lupa mana saya letak," kata beliau berjenaka kepada hampir 20,000 penyokong.

Beliau juga berkata KEADILAN akan lebih berhati-hati memilih calonnya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen mengambil pengalaman pahit lompat parti oleh wakil rakyat parti.

"Kita akan pastikan mereka melalui tarbiyah yang cukup untuk pastikan mereka adalah calon yang sebenarnya bersama perjuangan parti. Kalau tak boleh ikut tarbiyah kita akan kelurakan mereka sebagai calon. Kita mahu mereka berikrar taat setia kepada parti dan tidak sekali-kali terfikit untuk lompat dan khianati perjuangan parti," tegas Anwar lagi. -SK


Era Pemerintahan BN Sudah Di Penghujung Jalan. Jom Ubah!

Lagu khas sempena ‘Judi Bola Sepak’

Isunya bukan subsidi tetapi kemampuan kerajaan - Mahfuz

TAWAU : Kenyataan Senator, Idris Jala yang menyatakan bahawa Malaysia akan bankrap menjelang 2019 jika kerajaan tidak menghapuskan subsidi diselar oleh Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, penarikan subsidi bukanlah jalan terbaik kepada krisis ekonomi di negara ini tetapi persoalannya ialah bagaimana kemampuan kerajaan menguruskan wang rakyat.

“Isunya bukanlah pengurangan subsidi tetapi persoalan pokok yang harus diketahui oleh rakyat ialah kemampuan Umno-BN untuk mencari dana untuk membayar hutang negara.

Sebab itu tuan-tuan, kerajaan Umno-BN semakin terdesak sehingga sanggup meluluskan judi bola sepak semata-mata untuk mendapatkan wang,” katanya dalam satu ceramah umum di Markaz Tarbiah PAS, Jalan Kuhara, Tawau Sabah Jumaat lalu.

Turut serta di majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Muhammad Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah, Ketua Penerangan PAS Sabah, Hisamuddin Sulaiman, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Tze Phin, serta pimpinan Pakatan Rakyat dari daerah Tawau yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tawau, Darmansyah Lamasa.

Sehubungan itu, katanya, Umno-BN kini muflis idea dalam mencari penyelesaian berhubung pengurusan ekonomi negara.

“Kalau BN tidak sanggup dan tidak mampu menguruskan ekonomi negara kita, serahkan pula kepada Pakatan Rakyat kerana kami ada cara tersendiri sepertimana Kerajaan Kelantan dan negeri lain yang kini di perintah oleh Pakatan Rakyat,” dihadapan 2,000 orang yang hadir.

Menurut Mahfuz, PAS semasa mula-mula menawan Kelantan pada tahun 1990 yang dipimpin oleh seorang ulama terkenal, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, BN dengan sombongnya berkata, kerajaan PAS hanya mampu bertahan tiga bulan sahaja kerana kononnya PAS yang dipimpin ulama tidak pandai menguruskan ekonomi dan negeri Kelantan akan bankrap.

Antara langkah kerajaan PAS sebaik memimpin negeri itu ialah menarik semua wang kerajaan negeri dari bank yang mengamalkan riba, menghapuskan pelacuran, menghadkan penjualan arak secara tertutup hanya kepada bukan Islam dan menghapuskan judi.

“Selepas tiga bulan, PAS masih memerintah, Umno-BN meramalkan pula enam bulan, lepas itu tukar lagi kepada setahun dan sehingga kini kerajaan Kelantan sudah memerintah 20 tahun.


Kerajaan Kelantan bukan sahaja tidak bankrap tetapi turut berjaya membayar hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan yang sebahagian besar hutang itu adalah peninggalan Umno semasa memerintah di negeri Kelantan,” katanya yang menerima tepukan gemuruh.

Mahfuz turut memberitahu, Bajet 2008 yang lalu, sekurang-kurangnya RM28 Bilion wang rakyat hangus, tiris dan bocor akibat kegagalan BN.

Menurutnya, perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Kewangan, Husni Hanadzlah dan Jabatan Audit Negara.

Mahfuz yang pertama kali bertandang ke Daerah Tawau sempat mendendangkan lagu ringkas berhubung tindakan kerajaan meluluskan Judi Bola Sepak.

“Kawan saya ada memberitahu, kalau dulu kita menyanyi, marilah mari… pergi mengundi…tunaikanlah kewajipan pada negara.

Kini kawan saya kata, lagu itu perlu ditukar selepas kerajaan meluluskan Judi Bola Sepak ini.

Marilah mari… pergi berjudi…tunaikanlah kewajipan pada negara.

Bagu Umno-BN rakyat miskin merempat tidak mengapa demi negara tetapi pada masa yang sama pemimpin BN kaya raya,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz mengajak rakyat di negara ini terus menyokong gagasan Pakatan Rakyat yang terbukti konsisten dan komited dalam menguruskan wang rakyat seperti yang dibuktikan di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat. -erapakatan