23 Mei 2010

MP Kapar Tak Akan Sertai Kumpulan Katak

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam yang kebelakangan ini digembar-gembur kononnya bakal keluar parti termasuk dakwaan pengumuman mengadakan sidang media, menceritakan apa yang dilakukannya pada hari semalam.

"Waktu pagi macam biasalah. Saya jumpa dengan masyarakat dan pengundi saya di Pusat Khidmat. Kemudian sekitar jam 11 pagi, saya ke Puncak Alam berjumpa dengan Dr Hamka, bekas setiausaha.

"Selepas itu, saya tertinggal handphone. Saya berbincang-bincang, kemudian balik dan ada banyak miss call. Saya telefon semula. Saya bercakap dengan (Naib Presiden PKR), Azmin Ali, dia tanya, betulkah saya mahu lompat?

"Saya kata, tidak. Pendirian saya jelas. Bukan pasal isu ini sahaja tapi atas apa isu sekalipun saya tetap bersama parti," katanya kepada TV Selangor, malam tadi.

Pendirian ini diulangi Manikavasagam pada ceramah di Ampang malam tadi, sekali gus berdepan ugutan melalui kejadian simbah cat yang dilakukan pihak tertentu.

Untuk sekian kali, Manikavasagam menafikan beliau akan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi ahli Parlimen Bebas.

Beliau terpaksa mengulangi kesetiaannya berikutan ada usaha pihak tertentu yang tidak jemu-jemu menyebar fitnah, kononnya mahu keluar parti dengan mengaitkan pendedahannya berhubung isu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

"Saya masih ingat, ramai yang bantu saya ketika pilihan raya lalu. Mereka siang malam bantu saya, berhabis-habisan untuk saya. Saya ingat jasa mereka. Jangan harap boleh beli saya dengan wang. Saya teguh dengan parti," katanya. -TVS

Ulasan GB

Itu yang kami mahu dengar dari MP Kapar ini - jangan samasekali lupa dan khianati para pengundi dan penyokong. Jangan menjadi katak-katak yang tak menghargai pengundi dan penyokong mereka, lebih-lebih lagi si katak yang kemudian menceritakan pulak kisah "seluar dalam" kepada Bapa Judi yang telah memberikan habuan wang dari hasil perjudian yang diperolehi.

Ingatlah, rakyat mengundi kita untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, rakyat mengundi kita untuk menentang kezaliman kerajaan UMNO BN, rakyat mengundi kita untuk kita wujudkan satu sistem pemerintahan yang bersih, adil dan telus di bawah payung Pakatan Rakyat. Jika mereka dikhianati nantinya rakyat akan berkata, pergi mamposlah kamu bersama BN yang pasti akan hancur juga akhirnya!

Najib Akan Berkata Kepada SPRM : "You help me, I help you".

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung "You help me, I help you" semasa kempen pilihan raya Sibu.

Pelbagai pihak, khusus parti-parti pembangkang mendakwa kenyataan Perdana Menteri itu melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Ketua SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed (kiri, berdiri) memberitahu wartawan semasa sidang media di Petaling Jaya bahawa pihaknya telah menerima aduan berkenaan dan sedang menyiasatnya.

Pengarah siasatan SPRM, Mustafar Ali juga mengesahkan perkara itu kepada wartawan sambil berkata, suruhanjaya itu akan memanggil beberapa orang saksi untuk dirakamkan kenyataan mereka.

Kedua-dua pegawai kanan SPRM itu menghadiri sebuah forum Transparency International berhubung pembaharuan politik kewangan di Malaysia.

Pada 17 Mei lalu, Pengerusi DAP Karpal Singh mendakwa Najib terbabit dalam 'pembelian undi' pada pilihan raya keci parlimen Sibu.

Beliau merujuk kepada satu majlis di Rejang Park, pada 15 Mei seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar harian bahasa Inggeris Sunday Eastern Times.

Berikut petikan kata-kata Najib yang dipertikaikan itu yang dibuatnya dalam bahasa Inggeris.

“I want to make a deal with you. Can we have an understanding or not? The understanding is quite simple. I help you, you help me,” kata Najib.

Pada majlis ini, Najib menjanjikan kerajaan persekutuan akan memberi RM5 juta untuk projek tebatan banjir di Sibu jika BN menang pilihan raya berkenaan.

Menurut Karpal tindakan itu jelas mencabuli Akta Kesalahan Pilihan Raya dan secara berseloroh berkata sekiranya tidak berhati-hati, Perdana Menteri boleh dihumban ke penjara dan negara terpaksa mengadakan pilihan raya kecil di Pekan pula. -TMI

Ulasan GB

Tak sukar bagi Najib berkata kepada Pengerusi SPR, "you help me, I help you"!

Perpecahan PPP, MCA, Kini MIC - Bukti BN Menuju Kemusnahan

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menggesa MIC menyelesaikan masalah dalamannya secepat mungkin agar ia tidak melemahkan jentera Barisan Nasional (BN).

Gesaan ini dibuat ketika BN sedang berusaha untuk pulih daripada prestasi buruk dalam pilihan raya umum 2008.

MIC, antara parti komponen BN yang banyak kehilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada 8 Mac 2008.

Datuk Seri Najib Razak berharap kemelut yang sedang berlaku dalam MIC, salah sebuah parti komponen BN dapat diselesaikan.

Najib, yang juga pengerusi BN, berkata kemelut dalam MIC kini semakin hangat kerana ramai di kalangan pemimpin parti terbesar kaum India itu yang berpendapat perlunya berlaku perubahan dalam kepimpinan tertinggi parti.

“Perkara ini (kemelut kepimpinan MIC) harap dapat diselesaikan oleh MIC,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Aero Mall dan Bandar Lapangan Terbang Senai di Lapangan Terbang Senai, Johor Baru hari ini.

Dipetik Bernama, Pengerusi BN ini berkata apa yang penting adalah MIC sebagai salah sebuah parti komponen BN perlu turut memainkan peranannya untuk meyakinkan rakyat supaya menyokong parti pemerintah.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya tentang kemelut yang berlaku dalam MIC ketika ini yang menyaksikan timbalan ketua pemuda MIC, V. Mugilan dipecat berikutan desakannya agar presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatannya dengan segera.

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta MIC menyelesaikan masalah dalamannya secepat mungkin agar ia tidak melemahkan jentera BN.

“Yang penting jangan parti berpecah. Kalau perpecahan berlaku, ini akan melemahkan kedudukan BN. Kita nak elakkan itu...,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Parlimen Setiawangsa di PPR Sungai Bonus di sini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno, melahirkan kebimbangan terhadap kesan daripada masalah yang dihadapi oleh parti komponen BN.

“Kita tak mahu dalam situasi sekarang ni, parti komponen yang kita tahu masih belum kuat dihadapkan dengan isu baru.

“Ada satu atau dua perkara yang berbangkit mungkin masalah-masalah tertentu, jadi saya yakin kepimpinan MIC yang sedia ada dapat menyelesaikan masalah,” katanya.

Muhyiddin berkata pemimpin parti peringkat tertinggi juga telah diberitahu supaya tidak menimbulkan sebarang masalah dan sekiranya ia berlaku, kepimpinan parti tersebut perlu menyelesaikan masalah itu tanpa melibatkan parti komponen lain.

“Yang ini kita dalam pertemuan dengan semua pemimpin komponen dah beritahu janganlah timbulkan apa-apa masalah baru.

“Kalau ada apa-apa isu biar selesaikan, ini soal dalaman. Kita di peringkat tertinggi tak akan campur tangan dalam masalah itu dan saya percaya mereka boleh selesaikan sendiri,” katanya.

Ulasan GB

Perang dalam komponen BN, bermula dengan PPP, kemudian MCA, kini MIC. Menjadi bukti BN sedang menuju kehancuran.

APCO atau kepala bapak APCO gagal untuk mengemukakan pelan strategik untuk memperkuatkan BN setelah tewas teruk di dalam PRU 2008.

Eh, UMNO BN guna wang negarakah untuk bayar APCO untuk kerja-kerja konsultansi merangka strategi untuk parti mereka selain dari gagasan 1 Malaysia? Jika benar begitu, UMNO BN adalah pengkhianat kepada rakyat Malaysia.

Kedah Utuh, Hanya Si Katak Bawa Cerita Kedah Bakal Tumbang

Sebagaimana dijanjikan kesemua tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR muncul dalam perhimpunan raksasa di sini malam ini bagi membuktikan kerajaan negeri Kedah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) masih kukuh lagi mantap.

Perhimpunan ini menarik perhatian bukan sahaja kerana spekulasi berterusan sejak lebih enam bulan lalu, malah di sebalik khabar angin terbaru pagi tadi bahawa dua daripada tiga Adun itu sudah pun berada di Shah Alam, Selangor untuk mengumumkan mahu keluar parti.

Sidang media yang dikatakan bakal diadakan di Shah Alam pukul 2 petang akhirnya terbukti palsu.

Adun-adun PKR ini muncul di Kota Sarang Semut di sini malam ini bagi membuktikan mereka akan terus kekal bersama kerajaan negeri Kedah yang masih stabil.

Adun Sidam Tan Show Kang muncul sebagai penceramah pertama apabila perhimpunan bermula pukul 10 malam tadi.

Berucap dalam Bahasa Malaysia di hadapan hadirin kira-kira 1,000 orang yang majoritinya orang Melayu, Tan melahirkan kekecewaan dengan siri khabar angin bahawa beliau merupakan antara wakil rakyat yang akan keluar.

“Saya penat dan bosan kerana terpaksa menjawab soalan yang sama berkali-kali. Biar ia dihentikan malam ini,” kata Tan dalam ucapannya.

Tan juga berkata, beliau tidak lagi akan melayani permintaan media untuk mendapatkan komen.

“Berapa kali hendak saya mengatakan saya tidak mahu melompat? Saya terus bercakap benda yang sama — tidak. Media minta saya adakan sidang media, jadi saya memberitahu mereka OK, buat selama-lamanya, kita akhir perkara ini.

“Saya akan berada di sini pada 22 Mei dan ini adalah kali terakhir saya mahukan mengatakan tidak, saya tidak akan melompat dan tidak, kerajaan negeri tidak akan tumbang,” katanya lagi.

Kemudian Tan mencuit perasaan para hadirin dengan berkata, “ini bukan lagu merdu, yang anda boleh dengar berulang kali.”

“Jika ia lagu yang sedap, saya tidak keberatan untuk dengar.

“Tetapi ini adalah soalan bodoh, di mana saya akan memberikan jawapan yang sama. Jadi, mengapa asyik bertanya benda yang sama?” katanya.

PKR berhadapan dengan dilema kehilangan wakil rakyatnya sejak pilihan raya umum 2008.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu kehilangan lebih 10 wakil rakyat, antaranya kerana keluar parti, dipecat dan kehilangan kerusi ketika pilihan raya kecil. -TMI

Ulasan GB

Jelas, kerajaan PR Kedah kukuh dan utuh, yang bawa cerita Kedah akan tumbang macam Perak hanyalah si katak bedebah itu.... (anda kenal dia, yang bertemu dengan Najib untuk ceritakan "seluar dalam" DSAI, mungkin dah terliur dengan kekayaan dari Raja Judi itu) ...

ADUN Kerdau Kembali Kritikal, UMNO Pahang Sesak Nafas

Anggota Dewan Undangan Negeri Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Mei lepas kini kembali kritikal.

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin, 63, tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh jururawat kira-kira pukul 6 pagi semalam.

"Saya dimaklumkan oleh salah seorang anaknya yang beliau tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh jururawat untuk diberi ubat pagi tadi. Saya difahamkan, kemungkinan beliau mengalami strok dan dia kini dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata, anggota keluarga Zaharuddin diminta datang ke hospital oleh doktor yang merawatnya kerana beliau berada dalam keadaan koma, dan doktor turut memaklumkan bahawa keadaan jantung serta paru-paru Zaharuddin dalam keadaan lemah, dan beliau memerlukan perhatian serius.

Zaharuddin dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh pada 3 April lalu untuk menjalani pembedahan ulser usus setelah mengadu sakit di bahagian perut sebelum dirujuk ke IJN selepas berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya. - BERNAMA


Zaharudin, 63, menang kerusi DUN Kerdau dalam pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim. Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus lain-lain kaum.