18 Mei 2010

Senang Cakap, Cina Tak Mahu BN Lagi

BN tidak tahu apa Cina mahu?

Keputusan PRK Sibu akhirnya diumumkan secara rasmi pada jam 10.58 malam kelmarin. Calon DAP-Pakatan Rakyat Richard Wong Ho Leng yang sebelum ini dianggap tidak berpeluang mengecapi kemenangan, akhirnya membuat kejutan apabila menang tipis ke atas calon SUPP-BN Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi.

Kemenangan ini sekurang-kurangnya menceriakan PR yang terpalit dengan "fenomena lompat parti" kebelakangan ini. Malah, kesudahan ini mungkin di luar jangkaan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Najib Razak yang telah menaburkan peruntukan RM18 juta kepada sekolah Cina tempatan - apabila pengundi Cina menjadi penentu kemenangan PR di Sibu.

PRU 8 Mac 2008 menyaksikan bagaimana kuasa kerajaan di lima negeri jatuh ke tangan PR, dan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen dinafikan. 11 PRK yang diadakan selepas tanggal tersebut, sama ada melibatkan kawasan DUN mahupun parlimen, memperlihatkan kecenderungan orang Cina terhadap PR. Biarpun calon PKR-Pakatan Rakyat Zaid Ibrahim gagal mempertahankan kerusi PR dalam PRK Hulu Selangor pada 25 April 2010, namun PR tetap meraih sokongan kira-kira 80% pengundi Cina.

Dalam PRK Sibu, pengundi Cina masih menyebelahi PR, dengan undi yang lebih kepada DAP berbanding PRU ke-12. Daripada mengatakan bahawa senario ini merupakan krisis SUPP, lebih baik dikatakan ia merupakan krisis bersama parti yang berasaskan orang Cina dalam BN (seperti MCA dan Gerakan). Daripada mengatakan ia krisis bersama parti yang berasaskan orang Cina, lebih baik dikatakan ia krisis ketandusan idea BN untuk menangani sokongan Cina yang semakin kehilangan. Malah, model "perkongsian kuasa" dalam BN telah menemui jalan buntu.

Namun demikian, "krisis" mungkin bukan istilah yang paling tepat untuk menggambarkan keadaan BN sekarang. Sejak PRU pada tahun 2008, BN bukannya tidak tahu bahawa sokongan Cina terhadapnya semakin mengurang. Malah, kerana pemahaman itulah, BN semakin bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk memikat undi orang Cina. Misalnya, ketika PRK Hulu Selangor dan PRK Sibu, Najib turun sendiri ke padang untuk menaburkan jutaan dan puluhan juta ringgit kepada sekolah Cina dan kawasan perumahan Cina.

Ironinya, serangan berpelurukan wang dana yang dilancarkan oleh BN ke atas komuniti Cina bukan sahaja tidak mendatangkan pulangan, malah mengundang kesan yang sebaliknya. Pengundi Cina tetap mengundi calon PR, menongkah segala wang ringgit dan janji manis yang ditaburkan. Mesej yang tersirat di sebaliknya, berbunyi "hegemonic discourse" yang digunakan oleh BN sepanjang puluhan tahun untuk memperdayakan orang Cina seperti "kesulitan dipermudahkan seandainya ada orang sebangsa dalam pucuk kerajaan", "perkongsian kuasa"-- sedang terburai kalau bukan telah terburai.

Imaginasi baru untuk pengundi

Apa yang memilukan BN adalah, mungkin mereka masih tidak tahu, semakin mereka memikat undi Cina dengan gula sedemikian, semakin terdedahnya ketidaksaksamaan dasar kerajaannya ketika melayani kaum bukan bumiputera dalam puluhan tahun yang lepas. Semakin BN menabur peruntukan sekali gus kepada sekolah Cina, semakin hebat ia mencungkil ketidakpuasan dan rasa protesnya yang terpendam pada zaman di mana "mustahil berlaku pertukaran kerajaan".

PR berjaya memerintah di lima negeri selepas tahun 2008, dengan dasar yang secara bandingannya lebih adil untuk semua kaum. Ia bukan sahaja menonjolkan ketidakadilan BN, malah melakar imaginasi baru dalam politik untuk pengundi. Kepiluan BN adalah, biarpun dengan sumber yang lumayan dalam genggamannya, namun ia gagal mengutarakan politik baru yang boleh menandingi PR, membina semula hegemoninya yang hampir termusnah.

Saban kali apabila kehilangan undi Cina dalam pilihan raya, BN akan berlagak bingung dan mengajukan soalan, "Apa orang Cina mahu?" Selepas kekalahan dalam PRK Sibu, Timbalan Setiausaha SUPP Wong Soon Koh ketika menjawab soalan daripada media berkata, "Saya sudah tidak tahu apa yang orang Cina Sibu mahu."

Inilah kepiluan BN. Namun, apakah BN benar tidak tahu apakah kemahuan Cina, malah kemahuan semua kaum? Atau BN langsung tidak sanggup memandang berat terhadap tuntutan untuk perubahan, kerana kepentingan dirinya yang sudah berakar umbi dalam sistem yang lama?

Sokongan pengundi Cina terhadap PR, terutamanya mengundi calon Melayu di kawasan majoriti Melayu seperti Hulu Selangor, telah menyanggah tuduhan bahawa Cina bersikap cauvinis. Pada hakikatnya, ia merupakan satu langkah ke depan dalam politik berbilang kaum, dan apa yang dikecapi hari ini merupakan hasil yang terkumpul sejak pergerakan reformasi pada tahun 1998.

Namun demikian, kemanisan datang bersama keresahan. Selepas PRU 2008, suasana politik yang memperlihatkan konflik antara kaum berkembang seiring dengan politik baru yang dianjurkan PR. PR mungkin menyambut sokongan pengundi Cina, tetapi pada masa yang sama perlu berdepan dengan ideologi yang dibawa oleh UMNO dan PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia). Harus diingatkan, perluasan pengaruh politik berbilang kaum adalah usaha politik yang lebih penting daripada sekadar memenangi PRK. -MR

Najib, Bapa Judi Ditentang Banyak Pihak

Perhimpunan Bantah Lesen Judi 3 Julai

KUALA LUMPUR 18 Mei - Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan himpunan besar-besaran 3 Julai depan bagi membantan tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bolasepak Piala Dunia bermula Jun ini.

Satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong juga akan diserahkan pada himpunan tersebut.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, himpunan tersebut akan bermula di masjid negara sebelum bergerak ke Istana negara.

"Pada himpunan tersebut, kita akan menyerahkan memorandum kepada Tuanku, agar mendesak kerajaan menarik balik kelulusan lesen judi yang telah diberikan," katanya kepada Harakahdaily selepas mesyuarat dewan harian Pemuda PAS Pusat petang ini.

Biarpun menerima kritikan hebat dari pelbagai pihak, kerajaan awal bulan ini tetap meneruskan hasrat meluluskan lesen judi bolasepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya yang dimiliki Tan Sri Vincent Tan.

Menurut Nasruddin lagi, sebelum himpunan besar itu, satu himpunan serentak di seluruh negara akan di adakan pada Jumaat, 21 Mei ini di masjid negeri masing-masing.

Ianya akan disusuli dengan penyerahan memorandum kepada mufti negeri masing-masing bagi tujuan sama.

"Bemula hujung Mei hingga ke penghujung bulan Jun, kita juga akan menggerakkan usaha untuk menyerahkan memorandum kepada mufti di setiap negeri dan menggesa mereka membawa kepada Majlis Mufti agar mendesak kerajaan membatalkan kelulusan lesen judi itu," tambahnya lagi.

Sepanjang tempoh menjelang himpunan 3 Julai itu juga, dewan pemuda PAS katanya akan mengadakan roadshow ke seluruh negara bagi memberi penjelasan berhubung tindakan kerajaan itu.

"Sepanjang Jun ini, kita akan turun ke setiap negeri bagi memperjelaskan implikasi judi kepada rakyat negara ini dan menyeru mereka agar tidak terlibat dalam kancah perjudian tersebut," jelasnya. -Harakahdaily


Kerajaan Didesak Batal Lesen Perjudian Bola Sepak

KUALA LUMPUR 18 Mei - Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (PAKKU) mendesak kerajaan membatalkan serta merta lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat dewan tertinggi pertubuhan itu yang dipengerusikan presiden Tan Sri Adam Abdul Kadir dan dihadiri beberapa anggota lain antaranya bekas Menteri Pertanian Tan Sri Sanusi Junid dan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Sabbaruddin Chik, kata naib presiden Tamrin Ghafar dalam kenyataan di sini hari ini.

Berjaya Corp dilaporkan telah menerima kembali lesen perjudian sukan.
Pada 6 Mei, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen berkenaan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. -Bernama




JIM P.Pinang Kesal Kerajaan Beri Lesen Judi Bola Sepak Piala Dunia

PULAU PINANG 18 Mei - Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang mendesak kerajaan menarik balik lesen konsesi berbilion ringgit kepada Kumpulan Berjaya Corporation bagi mengendalikan pertaruhan judi bola sepak sempena Piala Dunia 2010 Jun ini.

Yang Dipertuanya Mohd Taufek Abdul Rahman berkata JIM bimbang aktiviti perjudian akan meningkatkan gejala sosial, jenayah dan ketagihan judi dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda.

Katanya JIM berharap kementerian prihatin dengan kesan yang telah, sedang dan bakal timbul kepada rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah.

"Kita juga khuatir aktiviti meminjam daripada ceti haram seperti ah long akan berleluasa ketika Piala Dunia kerana orang ramai meminjam wang untuk berjudi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa Kementerian Kewangan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan judi bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010. -Bernama




Balas Dendam Kerana Kalah Di Sibu - 2 ADUN PR Digantung

Kerajaan Umno-Barisan Nasional Sarawak bertindak membalas dendam dengan menggantung dua Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) selepas berjaya menawan kubu kuat BN di Sibu.

Mereka yang digantung ialah Adun Pandungan dari KEADILAN, Dominic Ng Kim Ho dan Adun Kota Sentosa, Chong Chien Jen dari DAP.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sarawak Baru Bian berkata hukuman tersebut adalah bertujuan menutup mulut ADUN Pakatan rakyat daripada memberikan pandangan rakyat di dewan.

"Tindakan Umno-BN menggantung kedua-dua Adun Pakatan itu tidak adil dengan kesalahan yang mereka buat.

"Mereka menggunakan majoriti yang besar dalam dewan untuk menghalang Adun kita daripada bersuara.

Lagi pun katanya, kesalahan yang dibuat oleh dua Adun berkenaan tidaklah sebesar mana pun tetapi hukuman yang dikenakan menyebabkan mereka tidak boleh masuk ke dewan selama setahun.

"Saya tidak menolak kemungkinan tindakan ini mempunyai hubung kait dengan kemenangan Pakatan di Sibu," tambahnya lagi.

Hukuman penggantungan yang berkuat kuasa serta merta itu diumum Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri.

Dominic digantung kerana didakwa menghina dewan manakala Chien Jen digantung atas alasan mendakwa Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) membohongi rakyat dalam isu banjir. -TVS

Ulasan GB

Itu petanda keruntuhan kerajaan UMNO-SUPP-BN di Sarawak.
Nantikan adegan selanjutnya dimana rakyat Sarawak akan tentukan pemerintah Kerajaan Sarawak tidak lama lagi.

Ayam Tua Yang Masih Berkokok Walau Dah Kena Sembelih

Taib: Jangan ingat seekor ayam kokok, hari sudah siang

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan kemenangan DAP merampas kerusi Parlimen Sibu kelmarin bukan isyarat kepada permulaan penguasaan parti pembangkang di Sarawak.

Abdul Taib yang merupakan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, takrifan DAP dan pakatan pembangkang terhadap keputusan itu merupakan soal lain.

Sarawak akan mengadakan pilihan raya umum negeri dipercayai dalam waktu terdekat dengan mandat semasa akan berakhir Julai 2011.

“Jangan sangka apabila seekor ayam berkokok, maka ertinya hari sudah siang,” kata beliau mengulas mengenai keputusan pilihan raya itu.

Abdul Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu berjalan dengan baik dan proses pengundian juga adalah adil.

Dengan kemenangan kelmarin DAP mempunyai dua kerusi Parlimen di Sarawak.

Ketua Menteri paling lama itu berkata, BN negeri menerima keputusan itu kerana ia merupakan pilihan rakyat di kawasan berkenaan.

“Kita akan lakukan ‘post mortem’ bagi mengenal pasti punca kekalahan kerana terlalu awal untuk membuat kesimpulan,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia.

BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek mendapat 18,845 undi dan Hui Yew memperoleh 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Hoi Chew menang dengan majoriti 3,235 undi bagi mengekalkan kerusi itu yang majoriti pengundinya adalah kaum Cina dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan Ho Leng dan Lim Chin Chuang daripada Parti Keadilan Rakyat. -TMI


'Gagal pertahan Sibu bukti Taib Mahmud ditolak'

Keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu yang berpihak kepada Pakatan Rakyat memberi gambaran buruk kepada BN untuk kekal relevan dalam pilihan raya negeri selepas ini, menurut penganalisis.

Gambaran itu dilihat melalui jumlah ayunan sokongan pengundi kepada wakil DAP Wong Ho Leng kali ini, yang membolehkan beliau dipilih ke Dewan Rakyat.

DAP memasuki gelanggang Sibu dengan harapan untuk meraih sekitar 40 peratus undi sahaja bagi memperbaiki prestasi mereka pada Mac 2008, di mana BN menang dengan 3,235 majoriti.

Keputuan kali ini bagaimanapun menujukkan DAP menang dengan kelebihan sebanyak 398 undi sahaja, namun ia menunjukkan BN kehilangan sokongan dengan begitu banyak, kata seorang pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak.

Menurut Dr Jeniri Amir, antara faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini ialah perubahan sikap pengundi kepada tindak-tanduk pemimpin BN, sama ada di peringkat negeri mahupun kerajaan pusat.

Penolakan ini, secara lantang, disuarakan masyarakat Cina terhadap SUPP, sebuah parti tertua sekali di Sarawak.

Dr Jeniri, seorang keturunan Iban negeri itu berpendapat, kekecewaan masyarakat ini lahir daripada janji-janji dan juga impian mereka yang tidak ditunaikan oleh pemimpin SUPP sebelum ini.

'Keluarga Lau tidak disukai'

"(Kemenangan DAP) juga kerana kekuatan calon Wong Ho Leng yang dilihat mampu menjadi suara yang lantang dan berani menentang Robert Lau Jr.

"Apatah lagi dia dan keluarga mendiang Robert Lau ini tidak disukai ramai di sini, khususnya oleh masyarakat Foo Chow. (Keadaan) ini berkait langsung dengan penguasaan ekonomi keluarga (Robert Lau) di sini," katanya.

Tambahnya masyarakat yang dikenali dengan sikap berdikari ini menunjukkan sikap yang negatif apabila disogok dengan bentuk-bentuk sumbangan yang mendadak ketika tempoh kempen pilihan raya.

Katanya lagi, golongan ini melihat bentuk bantuan dan sumbangan yang dihulurkan oleh BN ini lebih daripada tindakan "ala bomba."

"Maksudnya seperti hendak memadamkan api semasa kebakaran sahaja tetapi tidak memberi kesan jangka panjang," katanya lagi.

Jelasnya, BN walaupun mempunyai kelebihan dari segi sumber kewangan bagi menjalankan jentera dan kempen pilihan raya, namun tidak berjaya mendalami perasaan pengundi Cina di Sibu.

"(BN) tidak lagi boleh teruskan dengan pendekatan ala bomba ini, sebaliknya perlu ambil pendekatan yang ikhlas dan memberi kesan jangka panjang kerana tindakan seperti ini tidak dapat menakluk pengundi Cina.

'Hina pengundi Cina'

"Pengundi Cina ini ada sikap berdikari yang tinggi. Pemberian projek-projek mi segera (seperti diumumkan oleh pemimpin BN) ini dianggap menghina mereka. Apatah lagi, apa saja projek yang diberikan itu, bagi mereka, sememangnya merupakan hak mereka," katanya lagi.

"Sekarang bukanlah soal sumber atau kelebihan wang yang banyak. Yang penting adalah untuk menjaga perasaan pengundi. Jangan biarkan perasaan mereka terluka, apatah lagi sekiranya luka itu sudah terlalu dalam dan berlarutan sejak sekian lama," katanya.

Jelasnya, DAP mampu menjadi alternatif kepada masyarakat di situ kerana tidak mempunyai kebergantungan dengan struktur pentadbiran di Sarawak.

"Mereka tidak perlu menjaga kepentingan pihak tertentu dalam kerajaan, sebab itu mereka boleh bersuara dengan lantang," katanya.

Tambahnya, beliau masih belum berpeluang untuk melihat pola sokongan masyarakat di pedalaman, khususnya daripada kaum Iban.

"Sekiranya benar (trend sokongan kepada pembangkang), ini memberikan satu lagi petanda kepada parti BN yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang," katanya lagi.

Tamparan kepada Taib

Tambahnya, penolakan terhadap calon BN juga merupakan satu tamparan kepada kepemimpinan ketua menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Jelasnya, kekecewaan masyarakat itu timbul daripada kegagalan kerajaan menangani isu tempatan seperti pengangguran dan masalah infrastruktur seperti banjir dan isu hak ke atas tanah adat Bumiputera (NCR).

"Ini merupakan kekecewaan arus bawah yang amat deras, yang perlu difahami betul-betul oleh BN, khususnya SUPP. Jika tidak nasib mereka sama dengan MCA dan Gerakan di semenanjung," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis beranggapan, undi protes daripada masyarakat Cina di Sibu merupakan mesej yang jelas terhadap pentadbiran Abdul Taib Mahmud.

'Muak dengan SUPP'

Professor James Chin daripada Universiti Monash berkata, ia merupakan antara tiga pengajaran utama yang boleh diambil daripada pilihan raya kecil Sibu.

“Pertama sekali, majoriti pengundi Cina menghantar mesej yang jelas kepada Taib supaya meletakkan jawatan. Saya rasa, Taib sudah terlalu lama memegang jawatan ketua menteri," katanya.

Taib menerajui Sarawak sejak tahun 1981, tahun yang sama menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri.

Katanya lagi, pengundi Cina juga telah muak dengan pemimpin-pemimpin SUPP.

"Sekiranya anda lihat, kebanyakan pemimpin SUPP berusia lebih daripada 60 tahun. Malah mendiang Robert Lau memegang kerusi Sibu selama empat penggal.

“SUPP gagal meraih sokongan daripada golongan muda masyarakat Cina dan mereka gagal menghasilkan pemimpin muda yang berkebolehan.

"SUPP kekal tidak berubah semenjak dulu dengan pemimpin-pemimpin lama. Saya rasa pengundi Sibu sedar bahawa mereka mahukan perubahan," katanya.

Sedia tinggalkan BN

Beliau juga beranggapan bahawa masyarakat Foochow itu sudah bersedia dengan komuniti lain di semenanjung untuk meninggalkan BN.

Pengundi Cina menunjukkan perubahan sokongan secara mendadak kepada pembangkang ketika pemilihan Mac 2008.

“Sekarang, ini menjadi satu realiti kepada masyarakat Cina Foochow di Sibu. Mereka (menerima) lebih kesedaran politik," katanya.

Chin juga berkata, keputusan pilihan raya kecil ini mungkin memaksa Abdul Taib untuk menunda tarikh pilihan raya negeri yang dijangka secara meluas akan berlangsung pada Julai tahun depan.

Taib sangkal keputusan ukuran situasi sebenar

“Mungkin tekaan saya salah kerana sukar untuk menjangka bilakah pilihan raya negeri akan diadakan. Tapi saya rasa, berikutan kekalahan di Sibu, Taib akan menyelaraskan pilihan raya negeri dengan pemilihan peringkat persekutuan.

“Saya tidak fikir ia akan diadakan dalam tempoh terdekat disebabkan keputusan semalam," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata BN menerima kekalahannya itu dengan hati terbuka dan keputusan itu harus dihormati kerana ia adalah pilihan rakyat.

Taib, yang juga pengerusi BN negeri, berkata pilihan raya itu dijalankan dengan cukup adil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, kekalahan itu tidak seharusnya menjadi kayu ukur kepada situasi sebenar tentang sokongan rakyat Sarawak kepada BN setakat ini. -mk




TGNA : Keputusan Di Sibu Petunjuk Rakyat Mual Dengan BN

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu sebagai salah satu petunjuk yang rakyat sudah terlalu mual dengan politik wang yang diamalkan oleh parti itu.

Nik Aziz berkata, UMNO dan BN perlu sedar tidak semua rakyat boleh dibeli dengan wang ringgit seperti membeli ayam itik.

“Binatang ternakan boleh dibeli, tapi jika manusia pun ingin dibeli, jelas sekali manusia sudah ingin disamakan dengan ayam itik. Saya berharap UMNO dan Barisan Nasional sedar, tidak semua manusia boleh dibeli.

“Taburlah berlian dari langit sekalipun, prinsip bukannya barang dagangan. Alhamdulilah, kami di Kelantan sudah kenal perangai budi UMNO,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Program Internet Thoyyibah di Kompleks Balai Islam dekat sini, semalam.

Beliau berkata, kaum Cina sudah jelas menolak BN seperti mana yang berlaku di Hulu Selangor ekoran laungan ketuanan Melayu yang bergema.

“Sedarkah UMNO ada hati yang terasa, ada sanubari yang terguris? Menjulang keris dan menciumnya di khalayak ramai sambil memekik Ketuanan Melayu seolah-olah Cina dan India bukan rakyat Malaysia, inikah politik yang nak dibawa oleh UMNO?

“Bukanlah saya anti Melayu, namun Melayu yang dilaungkan UMNO hanyalah slogan ‘buaya darat’ yang mencari mangsa untuk dibaham dan ia terbukti apabila royalti minyak kepada Kelantan dinafikan sedangkan Kelantan ialah negeri yang lebih 90 peratus rakyatnya Melayu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, langkah Pas menolak perpaduan dengan UMNO dan sebulat suara mengambil ketetapan untuk terus bersama-sama mengukuhkan Pakatan Rakyat adalah satu tindakan yang tepat. -SH


Nik Aziz: ‘Umno, BN beli undi macam beli ayam itik’

KOTA BARU, 17 Mei — Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rakyat sudah terlalu mual dengan amalan politik wang Umno-Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan ia gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sibu semalam.

“Rakyat sudah terlalu mual dengan politik wang (janji-janji pilihan raya),” kata Menteri Besar Kelantan ini.

“Umno dan BN membeli rakyat seperti membeli ayam itik, binatang ternakan boleh dibeli, tapi jika manusia pun ingin dibeli, jelas sekali manusia sudah ingin disamakan dengan ayam itik,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan petang ini.

BN memberikan janji projek pembangunan selain dana, antaranya RM5 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam terakhir kempen untuk mengatasi masalah banjir di Rejang Park.

Nik Aziz mengharapkan BN sedar kekalahan itu menjadi bukti bahawa tidak semua manusia boleh dibeli walaupun ditabur dengan berlian dari langit dengan berkata “prinsip bukannya barang dagangan.”

Sehubungan itu, beliau percaya realiti di Sibu malam tadi menjadi tamparan hebat kepada BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Pilihan raya kecil Parlimen Sibu malam tadi berakhir dengan kejayaan Wong menewaskan calon BN, Robert Law Hui Yew dan Narawi Haron dari Bebas dengan majoriti 398 undi.

Narawi hilang wang pertaruhan.

Kemenangan Wong sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri setelah 28 tahun kerusi Parlimen berkenaan dikuasai BN. -TMI




Gertakan GERTAK Bakal Hancurkan BN

Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) tetap dengan pendirian untuk meneruskan perhimpunan “Melayu Bangkit” walaupun terpaksa membuat beberapa perubahan termasuk menukar nama program itu yang diadakan memperingati tanggal 13 Mei.

Pengerusinya, Razali Idris berkata, perhimpunan tersebut akan tetap diteruskan dan beberapa perubahan akan dibuat bagi mengelak fitnah daripada pihak-pihak tertentu.

“Kita masih tetap akan meneruskan perhimpunan ini walaupun terpaksa melakukan beberapa perubahan lain termasuk nama program, lokasi dan juga tarikh.

“Nama program iaitu Melayu Bangkit akan ditukar kerana ia telah menimbulkan fitnah dan ketakutan kepada pemimpin politik dan juga rakyat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Perhimpunan “Melayu Bangkit” yang sepatutnya berlangsung Khamis lalu terpaksa ditangguhkan kerana mendapat tekanan daripada pelbagai pihak termasuk PAS dan beberapa komponen Barisan Nasional.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadiri pertemuan itu minggu lalu.

Dalam reaksinya hujung minggu lalu Dr Mahathir mempertahankan keputusannya menghadiri majlis itu sambil menekankan rakyat tidak harus melupakan peristiwa 13 Mei 1969 bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

Kira-kira 10,000 orang termasuk anggota 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka bakal menyertai program “Melayu Bangkit” untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

Perhimpunan itu turut mendapat kerjasama daripada Institut Integriti Negeri Terengganu (IINT).

Razali berkata intipati perhimpunan tersebut tetap sama walaupun nama program akan diubah.

“Kita tidak kisah untuk mengubah nama perhimpunan ini kerana apa yang penting adalah intipati program ini.

“Melalui perhimpunan ini matlamat kita cuma satu iaitu supaya orang Melayu bersatu hati dalam mempertahankan bangsa dan agama tanpa mengira fahaman politk masing-masing,” katanya.

Menurut Razali perhimpunan tersebut dijangka diadakan pertengahan bulan Jun dan keputusan rasmi akan diketahui selewat-lewatnya minggu depan.

Beliau yang ternyata masih kecewa dengan penangguhan tersebut mengatakan program tersebut bukan untuk membangkitkan kemarahan bangsa lain di Malaysia. “Kita bukan nak membangkitkan kemarahan bangsa lain, ia cuma fitnah dan provokasi yang dibuat parti pembangkang.

“Perhimpunan ini hanya sebagai anjakan paradigma bagi orang Melayu dan ia tidak ada kene-mengena langsung dengan kebangkitan orang Melayu.

“Ia hanya provokasi yang dilakukan parti pembangkang untuk menakutkan rakyat dan pada masa sama mahu perhimpunan ini dibatalkan,” katanya lagi. TMI


Ulasan GB

Silakan GERTAK anjurkanlah perhimpunan perkauman Bangkitlah Melayu kamu tu. Anda sedang mewujudkan sentimen api perkauman di Malaysia yang pastinya akan mengundang tindkbalas yang sama dari kaum bukan-Melayu, sekurang-kurangnya melalui peti undi nanti.

UMNO BN pasti tewas lagi selepas ini di dalam PRK nanti.

Dan kemudian ia bakal ditalkinkan. Ucaplah selamat tinggal Putrajaya.

Semua Katak Sepatutnya Letak Jawatan Dan Bertanding Semula

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan ahli parlimen yang sebelum ini mengisytihar diri mereka keluar parti meletak jawatan dan bertanding semula atas tiket Bebas. .

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut berkata sikap ahli parlimen terbabit adalah tidak bermaruah kerana mengkhianati amanah dan perjuangan rakyat.

"Tindakan keluar parti oleh Choo Keong ketika pilihan raya kecil Sibu berlangsung merupakan tindakan politik yang dirancang oleh pihak tertentu.

"AMK Selangor menggesa wakil rakyat yang keluar daripada KEADILAN mutakhir ini melepaskan jawatannya segera.

"Mereka ini sepatutnya malu kerana kemenangan tersebut bukan kemenangan individu tetapi keyakinan rakyat kepada perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat," tegasnya.

Tambah Ezli, perjuangan KEADILAN dan Pakatan tidak akan lemah dengan tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan bahkan semakin kuat dengan sokongan rakyat yang semakin kukuh kepada Pakatan dalam PRK Sibu.

"Kemenangan ini adalah langkah bermakna Pakatan Rakyat untuk menawan Sarawak dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"AMK Selangor mengucapkan tahniah atas kemenangan Pakatan di Sibu.

"Ini akan menjadi pembakar semangat untuk Pakatan mengorak langkah ke Putrajaya mendepani arus perubahan dalam agenda "Selamatkan Malaysia"," ujar Ezli dalam kenyataan media tersebut.


AMK Selangor Desak Wee Choo Keong Letak Jawatan Ahli Parlimen Wangsa Maju

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Wangsa maju segera. Beliau yang menang dalam PRU-12 sewajarnya melepaskan jawatannya dan bertanding semula atas kapasiti bebas kerana rakyat memilihnya atas tiket PKR pada ketika itu.

AMK Selangor yakin tindakan keluar parti Wee Chee Keong ketika saat pilihanraya kecil Parlimen Sibu sedang berlangsung adalah tindakan politik yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu. Tindakan sedemikan adalah tidak bermaruah dan memalukan kerana mengkhianati amanah dan perjuangan rakyat.

AMK Selangor juga menggesa wakil-wakil rakyat yang keluar daripada PKR mutakhir ini melepaskan jawatannya segera. Mereka sepatutnya malu kerana mereka menang bukan kekuatan nama sendiri tetapi rakyat memilih kerana yakin dengan perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat.

Perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat tidak akan lemah dan longlai dengan tindakan keluar parti. Sebagai bukti kemenangan Pakatan Rakyat melalui DAP di Sibu adalah petanda rakyat memberi sokongan kuat dan mantap kepada perjuangan Pakatan Rakyat. Justeru kemenangan ini adalah langkah bermakna Pakatan Rakyat untuk menawan Sarawak dalam pilihanraya DUN Sarawak.

AMK Selangor mengucapkan tahniah atas kemenangan Pakatan Rakyat di Parlimen Sibu. Ia menjadi pembakar semangat untuk mengorak langkah ke Putrajaya dalam PRU-13. Kita akan terus mendepani perubahan kerana hanya ini langkah terbaik dan tepat untuk membawa agenda ‘Selamatkan Malaysia’.


Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor