11 Mei 2010

Saiful Terjerat : Tak Solat Kerana MUNGKIN Diliwat

Berikut ialah Transkrip perbicaraan Fitnah Kali Ke Dua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (soal balas hari pertama) semalam.

Perbicaraan tersebut didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

(10.37 pagi - Saiful Bukhari Azlan mengangkat sumpah semula dalam Bahasa Melayu)

Karpal Singh (KS): Tadi ada bersumpah? Bersumpah untuk apa?

Saiful Bukhari (SB): Untuk berkata apa yang benar.

KS: Itu tidak benar, bukan?

SB: Tidak.

KS: Benar sahaja tidak mencukupi dalam bagi keterangan? Do you speak English? (Awak boleh berbahasa Inggeris?)

Yang Arif (HAKIM): Jawab dalam Bahasa Melayu sebab saksi angkat sumpah dalam Bahasa Melayu.

KS: Baca sekali lagi sumpah itu.

SB: (Saksi membaca semula sumpah)

KS: Yang terakhir, melainkan yang benar?

SB: Ya.

KS: Bukan senang masuk dalam kandang itu? Ada kewajipan, bukan?

SB: Ya.

KS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kenal?

SB: Ya, Perdana Menteri. Kenal sejak kecil lagi.

KS: Ada jumpa Perdana Menteri (PM)?

SB: Ada, pada 24 Jun 2008.

KS: Jumpa di mana?

SB: Di kediaman Perdana Menteri di Taman Duta, KL.

KS: Masa itu Timbalan Perdana Menteri (TPM)?

SB: Ya.

KS: Jumpa TPM untuk apa?

SB: Saya mengadukan pada beliau tentang masalah saya.

KS: Pada 24 Jun?

SB: Ya.

KS: Lepas itu ada jumpa dia?

SB: Tidak jumpa lagi. Langsung tidak jumpa.

KS: Dengan isteri PM?

SB: Tidak pernah.

KS: Kenal seseorang bernama Mumtaz?

SB: Rakan kepada keluarga saya, kenal sejak kecil.

KS: Pernah jumpa isteri PM?

SB: Tidak.

KS: Kejadian berlaku bila?

SB: 26 Jun 2008.

KS: Pada 27 Jun ada jumpa PM? Pada 28 Jun?

SB: Tidak jumpa.

KS: PM ada menyatakan awak ada jumpa dia.

SB: (Saksi tidak menjawab)

(Karpal mengulangi pertanyaan)

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden (MY): Saya tidak fikir Karpal patut terus mendesak.

KS: Ada pernah jumpa PM?

SB: Itu tidak pasti tetapi saya jumpa dia (PM) 24 Jun, langsung tidak jumpa lepas itu.

KS: Ada jumpa Asisten Supritendan (ASP) Rodwan? Sekarang dia Asisten Komisioner?

SB: Ada jumpa.

KS: Bila jumpa?

SB: 24 Jun 2008, waktu malam, di Hotel Melia di Jalan Imbi.

KS: Pukul berapa.

SB: Pada masa itu dia yang telefon saya. Masa telefon kata nak bertemu dengan saya.

KS: Tujuan apa? Apa terjadi bila jumpa dia?

SB: Masa telefon dia tidak beritahu tujuan apa. Masa jumpa, dia nak tahu masalah apa yang saya sedang hadapi.

KS: Pernah jumpa ASP Rodwan sebelum 24 Jun?

SB: Tidak.

KS: Jumpa Rodwan selepas jumpa PM?

SB: Ya.

KS: Siapa yang arahkan Rodwan jumpa kamu?

SB: Saya tidak pasti.

KS: Ada tanya mana dia dapat nombor kamu?

SB: Saya tak tanya dia.

KS: Apa berlaku lepas jumpa dia?

SB: Saya beritahu saya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) beberapa kali.

KS: Jadi, masa jumpa PM, beritahu dia apa yang berlaku sebelum 26 Jun?

SB: Ya.

KS: Itu sahaja?

SB: Ya.

KS: Ada buat kenyataan bahawa kamu diliwat tanpa kerelaan?

SB: Ya, dalam laporan polis.

KS: Baca P3 (laporan polis).

(SB membaca semula laporan polis yang dibuat olehnya. "Saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan ingin melaporkan saya telah diliwat oleh majikan saya. Perkara ini berlaku tanpa kerelaan saya. .... berlaku ialah pada 26 Jun 2008. Laporan dibuat dengan tujuan mendapatkan keadilan dan pembelaan. Bimbang keselamatan diri dan keluarga jika perkara ini tersebar luas ke pengetahuan khalayak ramai. Majikan saya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.")

KS: Kejadian 26 Jun?

SB: Ya.

KS: Selepas 26 Jun ada diperiksa oleh doktor?

SB: Ada.

KS: Sebelum 28 Jun?

SB: Ada.

KS: Oleh siapa?

SB: Oleh doktor di Hospital Pusrawi tetapi bukan sepenuhnya.

KS: Jumpa doktor di Pusrawi bila?

SB: 28 Jun.

KS: Kejadian 26 Jun? Laporan dibuat 28 Jun?

SB: Ya.

KS: Kamu orang Islam yang baik?

SB: Try my best to be (Cuba yang terbaik untuk jadi baik)

KS: Ada sembahyang 5 kali sekali?

SB: Ada, kalau dulu ada tertinggal.

KS: Dalam bulan Jun 2008?

SB: Semasa kerja dengan DSAI, saya kurang sikit sembahyang.

KS: Selepas itu?

SB: Selepas membuat laporan, saya kembali insaf.

KS: Dari 26 hingga 28 Jun ada sembahyang? Kewajipan orang Islam.

SB: Saya ada pergi sembahyang Jumaat.

KS: 26 Jun?

SB: 26 Jun tidak sembahyang.

KS: Kenapa tak sembahyang? Ini kewajipan.

SB: Saya tidak bersolat. Ini mungkin kerana saya telah diliwat.

KS: Pada 27 Jun?

SB: Ada sembahyang Jumaat.

KS: Ada mandi? Cuci badan semua sebelum sembahyang pada 27 Jun?

SB: Ada, mandi sedikit sahaja tetapi saya tidak cuci di bahagian dubur.

KS: Biasa mandi semua badan bukan sebahagian, bukan?

SB: Ya.

KS: Mandi junub, wajibkan?

SB: Ya.

KS: 26 (haribulan) tidak solat?

SB: Tidak.

KS: Tidak mandi wajib?

SB: Tidak.

KS: Jadi, pada 27 Jun, tak mandi wajib jadi sembahyang kamu tidak sah?

SB: Ya, tidak sah.

KS: Bermakna kamu adalah bukan seorang Islam yang baik?

MY: Ini pendapat peguam.

KS: Saya ada hak untuk mencadangkan kepadanya.

HAKIM: Kalau awak serang peribadi dia, nanti pihak pendakwaan juga boleh menyerang peribadi DSAI. Awak tak boleh membantah.

KS: Tidak apa, mereka boleh berbuat demikian. Ia bukan isu.

KS: Saya cadangkan, kamu tidak mengikut syarat-syarat dalam Islam.

SB: Pada tempoh tersebut, saya tidak.

KS: Jadi kamu bukan seorang Islam yang baik?

SB: Saya dalam keadaan darurat pada ketika itu kerana kalau saya mandi... (Saksi dihalang daripada meneruskan jawapannya oleh KS)

KS: Pada 28 Jun, ada mandi wajib?

SB: Tidak.

KS: Kamu tidak ikut cara Islam?

SB: Saya terpaksa.

KS: Dalam darurat?

SB: Ya.

KS: Pada 28 Jun, sebelum pergi Hospital Kuala Lumpur (HKL), ada jumpa doktor lain?

SB: Di Pusrawi.

KS: Sebelum itu ada pergi Hospital Tawakal?

SB: Ya tapi Tawakal tidak jumpa doktor.

KS: Tujuan apa?

SB: Untuk dapatkan pemeriksaan.

KS: Pada 26 Jun, ada pergi jumpa doktor?

SB: Tidak.

KS: Pada 27 Jun pun tidak?

SB: Tidak.

KS: Hanya pada 28 Jun?

SB: Ya.

KS: Apa nama doktor yang kamu jumpa di Pusrawi?

SB: Dr. Osman.

(Dr. Mohd. Osman bin Abdul Hamid dipanggil dan dicamkan oleh MSB)

KS: Ada buat apa-apa aduan sebelum diperiksa?

SB: Saya hanya kata saya sakit di bahagian dubur.

KS: Itu saja? Lain?

SB: Sakit perut.

KS: Tidak ada aduan lain?

SB: Sebelum dia periksa, saya cakap sakit perut dan dubur. Semasa diperiksa saya cakap saya telah diliwat.

(Saksi dirujuk dengan nota pemeriksaan perubatan Hospital Pusrawi)

KS: Dalam laporan ini ada ditulis "introduction of plastic into the anus (kemasukan objek plastik ke dalam dubur)."

SB: Kurang jelas tulisan ini, tidak boleh baca tulisan.

KS: (Karpal ulang baca nota pemeriksaan) Adakah ini benar perkara ini?

SB: Saya tidak pernah buat aduan ini.

KS: Doktor akan dipanggil beri keterangan, masih berpegang pada keterangan tadi?

SB: Ya, saya tidak pernah buat aduan ini.

KS: Jadi kenapa doktor tulis begini? Adakah doktor ini berbohong?

SB: Saya tidak pasti kenapa dia tulis begini. Ini bohong, tidak benar.

KS: Selepas itu ada pergi HKL?

SB: Ya.

(KS memohon untuk memasukkan nota pemeriksaan perubatan Hospital Pusrawi sebagai bukti pembelaan. Permohonan dibenarkan.)

KS: Ada kenal doktor itu sebelum ini? Sebelum 28 Jun?

SB: Sebelum ini tidak pernah.

KS: Siapa hantar kamu pada dia?

SB: Saya pergi dengan pakcik saya, Uncle Tuah.

KS: Doktor ini bohong?

SB: Mengikut laporan ini, doktor berbohong.

KS: Ada apa-apa sebab dia hendak berbohong, ada berselisih faham dengan dia?

SB: Tidak.

KS: Lepas itu HKL?

SB: Ya, itu cadangan Dr. Osman.

KS: Dalam pukul 3 petang?

SB: Ya, tiba di HKL lebih kurang pukul 3 petang.

KS: Ke Pusrawi pukul 2 petang?

SB: Ya.

KS: Dari pukul 3 hingga 9 malam ada di HKL?

SB: Tidak. Dari pukul 3 hingga 12 malam dan keesokkan harinya sebab dimasukkan ke wad.

KS: Ada Dr. Danial periksa kamu?

SB: Dr. Danial tidak periksa. Dia arahkan saya ke Pusat Khidmat Krisis Sehenti (One Stop Crisis Centre - OSCC).

KS: (Pohon Dr. Danial dipanggil untuk dicamkan).

MY: Ini adalah soal balas. Masalahnya doktor ini memerlukan sekurang-kurangnya notis lapan jam, mereka pakar bedah di HKL.

KS: Ini masalahnya apabila senarai saksi tidak dibekalkan.

HAKIM: Esok boleh datang?

MY: Kesemua doktor?

KS: Semuanya.

KS: Ada doktor ambil atau rekodkan latar belakang atau sejarah perubatan?

SB: Saya tak pasti tapi ada tanya berkali-kali tentang masalah yang saya hadapi seperti laporan saya.

KS: Buat laporan polis di HKL?

SB: Ya, di HKL.

KS: Buat di pondok polis?

SB: Tidak, di wad.

KS: Polis datang untuk buat repot? Siapa?

SB: Ya, ada 2 orang polis. Saya tidak cam.

KS: Jude Blasious ada di sana?

SB: Masa pemeriksaan, dia ada dalam bilik.

(Supritendan Jude Blasious Pereira dicamkan)

KS: Jadi, kamu diperiksa oleh tiga doktor? Lelaki?

SB: Tiga tetapi ada seorang doktor perempuan, dia tidak periksa.

KS: Pemeriksaan rapi?

SB: Ya.

KS: Adakah kamu dapat laporan doktor ini?

SB: Tidak.

(SB dirujuk dengan nota pemeriksaan perubatan HKL)

KS: Rujuk muka surat dua 'Anal examination to the external anus doesn't show any recent of injury.' (Pemeriksaan dubur di bahagian luar anus tidak menunjukkan sebarang kecederaan baru). Kamu bersetuju dengan ini?

MY: Sukar untuk saksi untuk menjawab setuju atau tidak pada soalan ini.

HAKIM: Kita dengar dulu apa jawapan saksi.

SB: Saya tak dapat lihat bahagian anus saya sendiri.

KS: Sekarang dirujuk pada kamu masalahnya. Apa pendirian kamu tentang perkara ini. Tiada masalah dengan anus kamu?

SB: Saya tak dapat tengok anus saya sendiri. Doktor yang buat keputusan itu pun kena tengok anus saya. Saya tidak dapat simpulkan laporan ini.

MY: Ini soalan patut ditanya pada Doktor.

HAKIM: Saksi dah beritahu jawapan dia.

KS: Apa jawapan dia?

HAKIM: Dia cakap dia tidak boleh tengok anus dia sendiri.

KS: Memanglah dia tidak boleh tengok anus dia sendiri. Jadi?

SB: Sebab masa saya diliwat, gunakan pelincir, jadi, saya tak pasti ...

KS: Rujuk muka surat terakhir, Rumusan/Kesimpulan. Tiga doktor menyatakan "no conclusive clinical finding of anus penetration". (Tiada penemuan klinikal yang kukuh menunjukkan kemasukan di anus). Apa komen kamu?

SB: Tiada komen.

(KS pohon nota pemeriksaan perubatan HKL dimasukkan sebagai bukti. Permohonan dibenarkan)

KS: Ada pernyataan dari kamu direkodkan oleh sesiapa, polis?

SB: Ada, banyak kali.

KS: Berapa kali kamu bagi keterangan?

SB: Tak pasti, banyak kali oleh DSP (ketika itu) Jude.

KS: Keterangan yang direkodkan ada baca balik?

SB: Ada setiap muka surat.

KS: Diliwat tanpa kerelaan?

SB: Ya, seperti dalam laporan saya.

KS: saya membuat permohonan kepada mahkamah supaya keterangan bersumpah dibacakan di mahkamah.

HAKIM: Saya perlukan pihak-pihak berhujah. Peguam minta dibekalkan dengan semua keterangan bersumpah di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

MY: Apa asas perundangan bagi permohonan ini?

KS: Dia (SB) tidak berkata benar.

HAKIM: Ada alasan lain? Kamu menggunakan peruntukan yang mana?

KS: Kebiasaannya ia merupakan satu hak istimewa tetapi ada pengecualiannya.

HAKIM: Kalau pihak pendakwaan ingin membantu saksi untuk ingat semula tetapi ia bukan yang berlaku sekarang.

(Mahkamah berhenti seketika selama kira-kira satu jam)

KS: Kami telah berbincang mengenai perkara ini. Kami perlukan masa untuk menyediakan hujahan lengkap. Kami berharap mahkamah dapat menangguhkan kes sehingga esok.

MY: Tiada bantahan.

HAKIM: Tangguh sehingga esok?

MY: Ya.

HAKIM: Mahkamah ditangguhkan sehingga pukul 9 pagi esok (hari ini). -erapakatan

Ulasan GB

Hmm baru jelas, Saiful sendiri tak pasti dia diliwat atau tidak. Dia mengakui "mungkin" dia diliwat, lantaran itu tak solat jumaat.

Justeru tuduhannya menyatakan DSAI telah "meliwatnya tanpa kerelaaan" jelas satu pembohongan.

Percanggahan itu jelas dan nyata. DSAI perlu dibebaskan segera dari tuduhan yang jahat dan jelek itu.

Manicka Ada Hati Nak Jadi MB Selangor?

Khalid temu MP Kapar esok berhubung dakwaan rasuah

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam esok berhubung dakwaannya tentang kegiatan rasuah melibatkan syarikat berkaitan kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Setiausaha politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam satu kenyataan berkata mesyuarat itu membolehkan Manikavasagam secara formal menyampaikan kepada Khalid dakwaannya mengenai penyelewengan di kalangan pegawai kanan KSSB dan seterusnya merangka tindakan bagi menentukan syarikat itu bebas dari amalan rasuah.

KSSB, syarikat yang terlibat dalam industri pasir dan mineral adalah milik penuh Menteri Besar Incorporated (MBI).

“Kerajaan negeri memandang serius dakwaan Manikavasagam itu dan akan mempertimbangkan segala cadangannya bagi menangani hal itu,” kata Nik Nazmi, dan menambah hasil pertemuan akan diumumkan selepas mesyuarat exco negeri esok.

Manikavasagam sebelum ini mencadangkan agar kerajaan negeri membentuk sebuah badan bebas bagi menyiasat dakwaannya.

Semalam, dua pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang ke pejabat Manikavasagam bagi mengambil kenyataan beliau mengenai kegiatan rasuah itu.

Manikavasagam bagaimanapun tidak menyerahkan sebarang dokumen kepada pegawai itu, atas alasan beliau tidak yakin SPRM mampu menjalankan siasatan dengan berkesan. — Bernama


Manikavasagam: Kewibawaan SPRM dipertikai

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam berkata, beliau tidak mahu membuat laporan mengenai rasuah dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak percaya dengan kewibawaan Suruhanjaya itu.

"Sudah banyak laporan saya buat terhadap SPRM tetapi sebaliknya saya sebagai pengadu yang disoalsiasat," katanya kepada Free Malaysia Today hari ini.

"Sebab itu saya tidak percaya kepada SPRM kerana tidak menyiasat orang yang saya buat laporan tetapi sebaliknya mereka menyiasat saya. Contohnya dalam kes tanah di Kampung Perpat, Kapar, saya membuat aduan tetapi saya yang disiasat," katanya.

Ahli majlis pimpinan tinggi PKR itu berkata demikian ketika ditanya mengapa beliau tidak mahu membuat laporan SPRM berhubung dakwaannya pegawai syarikat tersebut mengamalkan rasuah.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mahu Manikavasagam membuat laporan SPRM mengenai dakwaannya dalam Kumpulan Semesta tersebut.

Manikavasagam sebelum ini dilaporkan mendakwa bahawa pegawai atasan KSSB mengamalkan terlalu banyak rasuah dan perkara itu perlu dibersihkan segera oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau juga dilaporkan memberi masa 72 jam bermula semalam kepada Khalid untuk mengambil tindakan segera terhadap pegawai yang dimaksudkannya itu sebelum beliau mendedahkan nama pegawai yang terlibat.

KSSB ditubuhkan oleh kerajaan di bawah Pakatan Rakyat bagi mempelopori industri pasir dan bahan batuan serta mineral lain secara bersepadu di Selangor.

Semalam, sekumpulan pegawai SPRM dari ibu pejabat Putrajaya datang menemui ahli parlimen PKR Kapar di pejabatnya untuk mendapatkan dokumen mengenai syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Manikavasagam tidak memberikan dokumen yang diminta oleh pegawai terbabit. -FMT


Ulasan GB

Lain macam pula perangai Ahli Parlimen Kapar ni sekalipun beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang track record yang tidak bagus terhadap Pakatan Rakyat.

Kemungkinan apa yang dilakukan ialah hasratnya untuk melihat sebuah kerajaan PR yang telus dan berwibawa di Selangor. Maka itu beliau menggunakan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong tindakannya.

Apa-apa pun, Manicka ialah seorang "wistle-blower" di dalam PR. Tetapi Manicka sepatutnya telah bertemu dengan MB Selangor terlebih dahulu daripada membuat kenyataan terbuka seperti yang dilakukannya sekarang.

Atau beliau memang tak suka Tan Sri Khalid sebagai MB, atau Manicka sendiri ada hati nak jadi MB Selangor?

Manicka, do you know what does teamwork mean?

Bernama Wujudkan Berita Palsu Untuk Kelirukan Masyarakat Sibu

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin menafikan laporan media yang menyatakan Ketua AMK Sibu keluar parti dan menganggap ia sebagai satu pembohongan.

Beliau menyifatkan berita itu sengaja direka akibat tindakan terdesak Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya kecil parlimen berkenaan, 16 Mei ini.

"Dia bukan Ketua AMK Sibu. Umurnya sahaja sudah 42 tahun. Ini adalah taktik lapuk dan usang yang dilakukan BN menunjukkan mereka semakin terdesak untuk menang pilihan raya kecil ini,"katanya kepada Suara Keadilan.

Bernama semalam melaporkan Ketua AMK Sibu, Jee Chang Peng, 42 keluar parti dan bercadang untuk menyertai parti komponen Barisan Nasional.

Menurut Shamsul, berita itu sengaja diadakan bagi melemahkan pengaruh Pakatan Rakyat Sarawak yang kini semakin kuat dan bakal memberikan saingan sengit kepada BN pada PRK itu.

"Di Sibu bukan KEADILAN yang bertanding tetapi DAP. Tetapi mereka melakukan ini untuk melonggarkan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat.

"Perkara ini tidak sedikit pun melemahkan kita dan kita semakin yakin untuk menentang mereka," ujarnya.

Menurut Shamsul satu sidang media akan diadakan bagi menjelaskan perkara itu oleh Ketua AMK Sarawak, Nazib Johari hari ini. -SK

PRK Sibu : Polis Bantu BN, Halang Guna Isu Kalimah "Allah"

Parti-parti politik dilarang daripada menggunakan polemik penggunaan kalimah “Allah” — antara isu hangat — sebagai bahan kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen yang sedang berlangsung.

Arahan itu dikeluarkan oleh Polis Sarawak beberapa jam selepas majlis anjuran DAP bagi penganut Kristian semalam, yang mendapat sambutan, di mana pemimpin parti itu menggesa pengundi menunjukkan protes berhubung isu “Allah” pada 16 Mei ini.

Pengundian pilihan raya kecil ini akan berlangsung Ahad ini. Kempen bermula Sabtu lalu.

Larangan itu diumumkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC II Huzir Mohamed yang turut memberi amaran akan mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap mereka mengingkari arahan itu.

“Kami sedang memantau ceramah dan mendapati ada parti politik yang menggunakan kalimah Allah sebagai satu isu,” kata Huzir pada sidang media di sini hari ini.

“Ini satu isu yang sensitif. Kami menasihatkan semua pihak daripada berhenti menggunakan isu sama sekali,” kata beliau sambil menambah, jika ada mana-mana pihak yang menggunakan isu ini, “kami akan mengambil tindakan.”

Dalam pada itu, dengan menamakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, DAP bertanya sama ada polis akan menahan mereka yang bertanggungjawab membangkitkan isu berkenaan

“Biar Perdana Menteri menjelaskan sama ada ini adalah arahan beliau,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan menegaskan pihaknya tidak akan mematuhi arahan tersebut.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, Barisan Nasional (BN) menerusi SUPP juga bertanggungjawab membawa isu-isu sensitif dalam kempen di sini.

“Jika isu 'Allah' tidak boleh dibangkitkan, mengapa mereka menggunakan isu negara Islam,” katanya.

Pemimpin-pemimpin SUPP mendakwa DAP menyokong penubuhan negara Islam kerana ia bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

DAP menjadikan isu kalimah “Allah” sebagai bahan kempen utama dengan calonnya, Wong Ho Leng berjanji akan menyelesaikan perkara itu jika dipilih hujung minggu ini.

Bagaimanapun calon BN Robert Lau Hui Yew dari SUPP menganggap ia sebagai isu kebangsaan memandangkan larangan “Allah” tidak berbangkit di Sibu sama sekali.

Isu polemik kalimah Allah menjadi isu sejak 2007 selepas Kementerian Dalam Negeri menggunakan keputusan Kabinet 1986 untuk melarang bukan Islam daripada menggunakan sesetengah perkataan dalam bahasa Arab, antaranya “Allah” termasuk oleh akhbar mingguan Katolik Herald.

Bagaimanapun penerbit akhbar itu menang dalam kes mereka yang diputuskan akhir tahun lalu, tetapi ia berakhir dengan kontroversi apabila beberapa rumah ibadat diserang, kebanyakannya gereja.

Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberi jaminan kepada masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak bahawa larangan “Allah” tidak akan memberi kesan kepada mereka.

Kira-kira 53 peratus daripada 55,000 pengundi di kawasan Sibu merupakan masyarakat Kristian. -TMI

Ketrengan Saiful Bercanggah, Prosiding Ditangguhkan Lagi

Fitnah 2 - Keterangan Saiful Bercanggah, Prosiding Ditangguh Lagi

KUALA LUMPUR 11 Mei -Prosiding kes fitnah 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Jalan Duta bersambung pagi ini selepas ditangguhkan semalam selepas peguam bela Karpal Singh memohon penangguhan untuk membuat penghujahan bagi mendapatkan beramaran Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat hadir memberikan sokongan pada pagi ini ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang.

9.15 Pagi - Saiful memberikan keterangan bahawa semua kenyataannya telah direkodkan oleh pegawai polis Jude Pereira semenjak 29 Jun 2008

9.15 Pagi - Saiful keluar daripada kandang saksi selepas Karpal memohon untuk mendapatkan keterangan yang telah dibuat kepada polis

9.29 Pagi - Karpal mempertikaikan kenyataan Saiful kerana menurutnya kenyataan yang dibuat di mahkamah berbeza dengan kenyataan yang dibuat kepada polis.

Menurut Karpal, Keterangan Saiful kepada polis adalah "tanpa kerelaan" yang mana kesalahan tersebut di bawah seksyen 377(B) kanun acara jenayah.

Dalam hujahnya, Saiful mendakwa hubungan seks yang dilakukan itu adalah tanpa kerelaannya, manakala Anwar pula didakwa menurut Seksyen 377b atas kesalahan mengadakan hubungan di luar tabii, maka berlaku percanggahan antara dakwaan dan kenyataan Saiful.

9.33 Pagi - Karpal mahukan keterangan tersebut dibawa ke dalam mahkamah untuk siasatan lanjut.

9.54 Pagi - Hakim Mohd Zabidin Md Diah meminta tempoh sama ada untuk memberikan kenyataan saksi Saiful

Mahkamah membuat keputusan menangguhkan perbicaraan sehingga esok pagi

Semalam, prosiding soal balas Saiful ditangguhkan selepas tiga jam apabila pihak pembelaan telah dinafikan dengan senarai saksi.

Hari ini, prosiding tamat dalam masa tidak sampai satu jam apabila Karpal mempertikaikan tuduhan yang dikenakan terhadap Anwar samada "tanpa kerelaan" atau sebaliknya.

Karpal turut meragui kenyataan Saiful yang bercanggah dan tidak konsisten di dalam mahkamah dan keterangannya kepada polis.

Zabidin menangguhkan perbicaraan mahkamah hingga esok pagi bagi membuat keputusan sama ada keterangan Saiful itu boleh dirujuk ke mahkamah. -TVS

Kes Bunuh Aminul-rasyid: Seorang Koperal Dikambinghitamkan

Pakatan rakyat hari ini mempertikai mengapa tiga lagi anggota polis yang terlibat dalam kes Aminulrashid Amzah, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis 26 April lalu, tidak diheret ke mahkamah.

Lantaran itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mempersoal kegagalan pejabat peguam negara mendakwa tiga anggota berkenaan dan bimbang kegagalan berbuat demikian mungkin sebagai cubaan bagi menutup keseluruhan peristiwa sebenar.

Hanya seorang anggota polis, Koperal Jenain Subi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menyebabkan kematian Aminulrashid manakala tiga lagi rakannya yang dilapor berada dalam kereta peronda tidak didakwa.

Jenain dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Aminulrashid pada 26 April antara jam 1.10 pagi hingga 2.00 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 Shah Alam membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bercakap kepada TV Selangor, Khalid Samad bimbang situasi ini tidak memberi gambaran sebenar kerana semua aspek, dari siasatan hingga pendakwaan dijalankan polis semata-mata sedangkan orang yang kena tuduh adalah anggota polis.

"Yang mendakwa atau yang menyiasat adalah polis dan polis atas dasar siasatan mereka melaporkan bahawa seorang saja yang menembak. Semua bukti-bukti ada di pihak polis dan peguam negara bertindak atas dasar laporan itu, mungkin mereka pun terlibat juga merangka cas-cas dakwaan yang berhubung dengan kes ini," katanya.

Pendakwaan hanya seorang anggota polis ini menimbulkan keraguan kerana ia memberi gambaran tiga lagi rakan tertuduh langsung tidak ada peranan dalam kejadian tragis ini.

"Secara umumnya kita memang tidak puas hati berhubung ketelusan itu tidak ada. Kita difahamkan banyak kelongsong peluru telah dikutip dan kita tak tahu kelongsong peluru itu dari pistol yang satu yang sama. Semua laporan forensik semua ada di pihak polis semata-mata.

"Kita rasa tidak mungkin hanya seorang daripada empat yang terlibat mungkin ada yang lain tetapi atas sebab tertentu untuk hendak menutup jalan cerita yang sebenarnya mungkin hanya satu saja yang dikambing hitamkan,” katanya. -TVS

500 Hadir Tapi 1,700 Yang Keluar Parti?

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menafikan laporan media yang dipetik kononnya 1,700 ahli KEADILAN isytihar keluar parti di Kulim, Kedah hari ini

Johari turut menafikan laporan tersebut kerana menurutnya tidak sampai 20 orang yang mengumumkan keluar parti dalam Majlis Hari Ibu yang telah disalahguna oleh MIC.

"Sebenarnya apa yang diadakan semalam adalah program meraikan Hari Ibu.

"Kehadiran dalam majlis tersebut cumalah 480 orang dan rata-ratanya daripada kaum India.

"Majlis tersebut dihadiri bukan sahaja ahli KEADILAN tetapi orang ramai daripada mana-mana parti pun boleh datang tetapi ada dalang mengambil kesempatan dalam majlis tersebut.

"Tetapi yang peliknya, kehadiran dalam majlis itu tidak sampai 500 orang tapi yang diumumkan 1,700 orang keluar parti," kata Johari ketika dihubungi Suara Keadilan.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan MIC itu sebenarnya untuk mendapatkan undi kaum India dan semata-mata untuk memperkukuhkan personaliti pemimpin tertentu dalam parti tersebut.

Tambah beliau, gimik keluar parti ini biasanya akan kedengaran di musim pilihan raya terutamannya di Sibu yang menyaksikan pilihan raya kecil 16 Mei nanti. -SK