18 Apr 2010

Siasatan Kapalselam Akan Dedah Lebih Banyak Rahsia

Siasatan terhadap skandal rasuah berbilion ringgit berhubung pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia di mahkamah Perancis dijangka akan mendedahkan lebih banyak rahsia yang selam ini terselindung dan tidak diketahui rakyat Malaysia.

Pengarah Strategi KEADILAN, Tian Chua berkata, beliau yakin sistem perundangan Perancis yang lebih terbuka akan membongkar segala penyelewengan dalam pembelian kapal selam yang turut dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga peguam kanan Perancis yang memfailkan permohonan di mahkamah Paris bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pembayaran komisyen pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.

"Badan kehakiman di Perancis telah mengambil perhatian ada unsur penyelewengan dalam perjanjian kapal selam ini dan siasatan telah dilakukan. Kita telah melibatkan diri dalam pembelian kapal selam yang harganya bernilai berbilion. Sekarang didapati ada penyelwengan dalam perjanjian ini.

"Apa pun, kita akan dapati proses siasatan ini akan mendedahkan lebih banyak rahsia yang tidak diketahui orang awam di Malaysia ini," katanya kepada Suara Keadilan.

Menurut Tian Chua, di Malaysia, isu pembelian kapal selam berkenaan telah berulangkali dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pakatan rakyat namun disekat Umno-Barisan Nasional menggunakan kuasa mereka.

Tambah beliau, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis juga telah dilakukan tetapi tidak diendahkan pihak berkuasa.

"Kalau tidak ada penyelewengan, mengapa tidak telus, mengapa tidak mengaku siapa yang dapat faedah dari pembahagian komisyen ini.

"Setakat ini rakyat telah dikecualikan dari mendapat tahu hal sebenar. Selain kita tahu ada kapal selam yang kita beli, kita tidak tahu berhubung kos penyelenggaraan, kenapa kerosakan teknikal berlaku hari pertama kita terima kapal selam ini. Apakah pembelian ini mengikut spesifikasi kerajaan Malaysia," soal Ahli Parlimen Batu itu.

Ditanya samada kemungkinan Najib akan dipanggil untuk disiasat, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa Perancis. Bagaimanapun beliau percaya kes itu akan diadili sebaik mungkin dan yakin dengan sistem kehakiman di negara itu.

"Saya tidak mahu buat andaian sekarang, saya rasa proses keadilan ini harus dijalankan tanpa kebimbangan tidak kira siapa pun yang terlibat. Sistem perundangan di Perancis ini tidak memandang sesiapun kalau didapati melakukan penyelewengan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya bukan pakar dalam undang Perancis tetapi saya percaya siasatan ini akan melibatkan banyak klausa perjanjian dan dokumen. Sebagai bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib enggan mendedahkan kepada golongan awam setakat ini," ujarnya.

Menurutnya, terdapat benyak keraguan dalam pembelian kapal selam berkenaan termasuk latihan yang membabitkan pegawai-pegawai dan kos sebenar latihan.

"Baru-baru ini dalam Parlimen kita dengar 600 pegawai melibatkan kapal selam ini telah dilatih, sebelum ini kita dengar jumlahnya hanya 160. Kenapa kita harus bawa mereka berlatih di Perancis? Semua soalan ini merupakan misteri untuk rakyat Malaysia. Saya amat mengharapkan semua misteri ini dapat dibongkar dalam sistem kehakiman di Perancis," kata Tian lagi.

Menurut laporan Asia Sentinel yang bertajuk "Murky Arms Deal Linked To International Pattern of Kickbacks" oleh wartawan John Berthelsen bertarikh 16 April 2010, skandal berbilion dolar ini yang didakwa didalangi oleh Najib kini tidak lagi dapat dibendung dalam Malaysia dan kini telah melimpah ke arena antarabangsa.

Asia Sentinel berkata tindakan peguam, William Bourdon, Renaud Semerdjian dan Joseph Breham dengan kerjasama pertubuhan hak asasi Malaysia, Suaram, memfailkan kes tersebut dengan pihak pendakwa Perancis.

Pembabitan Malaysia berkisar dakwaan pembayaran komisyen berjumlah €114 juta (RM540 juta) kepada sebuah syarikat tempatan, Perimekar bagi perkhidmatan sokongan berkaitan pembelian kapal selam. Perimekar dimiliki oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd yang dipunyai oleh sahabat baik Najib, Abdul Razak Baginda.

Sebagai Menteri Pertahanan dari tahun 2000 hingga 2008, Najib telah bertanggungjawab terhadap perancangan menaiktaraf pertahanan angkatan tentera Malaysia secara besar-besaran termasuk pembelian dua buah kapal selam daripada Armaris dan pajakan sebuah lagikapal kelas Agosta yang pernah digunakan oleh tentera laut Perancis. -SK

Jelas Mereka Petualang

Tiga Ahli Parlimen Bebas termasuk Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dijangka akan muncul pada pentas yang sama untuk membantu Barisan Nasional (BN) hujung minggu ini.

Dua wakil rakyat Bebas itu ialah Datuk Seri Zahrain Hashim dan Zulkifli Noordin.

Ketiga-tiga mereka akan muncul pada pentas yang sama Jumaat ini.

Zahrain telah keluar dari Parti Keadilan Rakyat Februari lalu manakala Zulkifli pula dipecat oleh parti itu bulan lalu.

The Malaysian Insider difahamkan Zahrain dan Zulkifli akan berkempen di sini selepas pulang dari Washington.

Bagaimanapun berbanding kedua-dua wakil rakyat itu, Ibrahim telah mengadakan bilik gerakannya di Prima Beruntong, Bukit Beruntong sejak beberapa hari lalu.

Dalam SMS dihantar, Ibrahim berkata beliau akan berkempen di Batang Kali di sini malam ini.

Beliau akan berada di sini sehingga Sabtu ini dan telah mengaturkan beberapa program bagi membantu calon BN.

“Datuk Ibrahim membantu kempen BN atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bebas bukannya sebagai Presiden Perkasa,” kata pegawai bilik gerakan Ahli Parlimen Pasir Mas ini.

Ibrahim pernah membantu kempen BN pada pilihan raya kecil Manek Urai dan Bagan Pinang. -TMI

13,488 Pengundi Dipindahkan Pusat Mengundi - Pengkhianatan SPR-UMNO-BN

Sejumlah 13,488 pengundi kawasan Parlimen P094 Hulu Selangor telah ditukarkan pusat mengundi mereka tanpa disedari oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia yang dipercayai didalangi oleh Umno-Barisan Nasional sebagai usaha sabotaj terhadap Pakatan Rakyat.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat, Fuziah Salleh berkata cubaan untuk mengelirukan pengundi itu dikesan berdasarkan daftar pemilih yang dikeluarkan SPR.

"Kita telah meneliti daftar pemilih dan kita mendapati sebilangan besar pengundi dari 64,500 pengundi Hulu Selangor iaiitu seramai 13,488 telah dipindahkan pusat mengundi. Maksudnya berpindah pusat mengundi dari sekolah A ke Sekolah B, ada yang dipindah dari sekolah B ke sekolah A.

"Ini adalah satu penipuan yang dilakukan SPR seolah-olah SPR ini menjadi alat parti komponen BN. Bayangkan sekiranya perkara ini berlaku di seluruh negeri Selangor, maka bayangkan keadaan pada pilihan raya umum akan datang. Ini merupakan satu bukti rancangan jahat SPR untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat,"katanya ketika mengadakan sidang media di pusat media pakatan Rakyat di Kuala Kubu Baru tengahari tadi.

Menurut Fuziah, pertukaran pusat pengundian yang berlaku di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Hulu Selangor akan menyebabkan berlaku banyak kekeliruan dan menyulitkan pengundi pada hari pengundian yang akan berlangsung 25 April ini.

"Bayangkan pada hari mengundi, seramai 13,488 pengundi pergi ke sekolah mengundi biasa mereka dan mendapati nama mereka tiada di situ, bayangkan betapa kecohnya pada hari mengundi. Jumlah 13,000 ribu ini bukan bilangan yang sedikit dan ia melibatkan ketiga-tiga DUN," tegasnya sambil menyeru pihak media supaya menyebarkan maklumat tersebut kepada pengundi khususnya di Hulu Selangor.

Beliau turut menjangka bahawa SPR akan memberikan alasan perkara itu merupakan satu langkah kemaskini biasa dalam daftar pemilih.

"Tetapi jika SPR buat begini, SPR sebagai satu badan pengurusan pilihan raya yang tidak bertanggungjawab. Mereka tidak boleh benarkan perkara ini berlaku kerana ia akan melibatkan terlalu banyak kekecohan pada hari mengundi," tegas Fuziah.

Menurut Fuziah lagi, DUN Batang Kali mencatatkan jumlah pengundi yang paling ramai ditukar pusat pengundian mereka iaitu dari SK Serendah dipindahkan ke SRJK (C) Serendah, 751 orang, dari SRJK (C) Serendah dipindahkan ke Sek Rendah Agama Serendah 1,898 orang, dari SRJK (C) dipindah ke Sk Serendah, 904 orang dan dari SMK Syed Mashor ke SK Bandar baru Batang Kali 2,270 orang.

Di Hulu Bernam terdapat empat pertukaran pusat pengudian iaitu SK Hulu Bernam ke Sekolah Rendah Agama Hulu Bernam, 35 orang, dari Sungai Selisik ke SK Gesir Tengah, 331 orang, dari SMK Kalumpang ke Sek Rendah Agama Kalumpang, 235 orang dan dari Sekolah Rendah Agama Hulu Bernam ke SK Hulu Bernam 1,085 orang.

Sementara di DUN Kuala Kubu Baru pula, dari SRJK (T) Kuala Kubu Baru ke SMK Dato Hj Kamaruddin, 2,824 orang dan dari Sek Rendah Agama Kuala Kubu Baru ke SMK Kuala Kubu Baru Jalan Kolam Air, 1,081 orang.

Manakala di pusat mengundi baru pula, berlaku beberapa pertukaran iatu dari Daerah Mengundi Bukit beruntung ke Sek Rendah Agama Taman Bunga Raya, 550 orang, dari Daerah mengundi Taman Bunga Teratai ke Sek Rendah Agama Taman Bunga Raya, 302 orang dan dari kawasan sekitar, 498 orang.

Ditanya mengenai senarai pemilih yang tidak dapat dikesan dalam daftar pemilih, Fuziah berkata, daripada Disember 2009 sehingga 5 April 2010, sebanyak 558 nama dikesan telah dibersihkan dari daftar pemilih SPR.

"Menurut SPR, nama mereka ini dibersihkan kerana mereka meninggal dunia. Tetapi saya dapati dari Disember 2009 hingga 5 April 2010, tidak ada kemasukan atau tambahan baru. Petugas kita sedang mencari 558 orang ini dan memastikan mereka benar-benar telah meninggal dunia," katanya.

Menurut Fuziah lagi, di Kampung Tanjung, di daerah mengundi Sungai choh dalam Parlimen Hulu Selangor, seluruh pengundi dalam kampung berkenaan iaitu seramai 230 pengundi dipindahkan ke Parlimen Selayang.

"Mereka ini adalah penyokong 'solid; Pakatan Rakyat," dedah beliau. -SK

Potong bekalan minyak ke Iran, bahana upah Apco

Gara-gara percubaan untuk memulihkan imej peribadinya pada mata dunia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk menekan Republik Islam Iran.

Tindakan kerajaan Malaysia menghentikan bekalan minyak mentah ke Iran seperti diumumkan Najib di Washington sah membuktikan pentadbiran Umno-Barisan Nasional menyertai blok penyokong negara haram Israel.

"Perjanjian kerajaan bersama firma perunding Yahudi, Apco Worldwide berjaya menjadikan pentadbiran negara turut serta dalam perang tekanan sekutu Israel ke atas Iran," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad kepada Harakah.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, sebagai sebuah negara Islam, Malaysia patut malu kepada Venezuela dan Bolivia yang berani menentang hegemoni AS serta Barat dan terus menjalin hubungan dagang dengan Iran.

"Apakah kunjungan Najib ke Washington sekadar menjadi pak turut kepada AS? Apakah Apco Worldwide yang menjadi konsultan kerajaan turut mengatur pertemuan Najib-Barack Obama, bertanggungjawab menasihat kerajaan Malaysia menamatkan penjualan gas ke Iran,?" soal beliau.

Syed Azman berkata, Malaysia sudah lupa daratan kerana melalui Petronas, telah bertapak lebih 20 tahun di Iran. Petronas telah mengutip berpuluh bilion dolar menerusi urusniaga minyak dan gas.

"Hubungan Malaysia dengan Iran begitu baik dan tidak pernah ada tekanan walaupun menghadapi ancaman sekatan dari AS," jelas beliau.

"Kita amat kesal dengan tindakan Najib kerana Iran merupakan satu-satunya negara Islam yang aktif membantu Palestin.Pada kita ancaman nuklear Iran hanya helah AS bagi melindungi kepentingan strategik mereka di Teluk Parsi," tegasnya.

Isu sebenar kata beliau, ialah AS mahu menjaga dan melindungi keselamatan Israel dari ancaman Iran.

Israel sebenarnya ancaman dunia

Israel sebenarnya kata beliau, menjadi ancaman dunia kerana memiliki senjata nuklear dan tidak pernah menandatangani perjanjian ‘nonproliferation nuclear treaty’ sedangkan Iran menandatangani perjanjian itu.

"Apakah selepas ini Kerajaan Malaysia akan menamatkan perjanjian antara Petronas dengan Sudan yang turut disenaraikan sebagai sebuah negara ‘pengganas’ oleh AS,?" soal beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamaruddin Jaafar berkata, tindakan Najib menghentikan bekalan minyak mentah ke Iran memberi gambaran Malaysia duduk dalam blok Israel kerana Israel memusuhi Iran. Hanya Iran menjadi ancaman kepada Israel.

"Kita kecewa dengan tindakan ini kerana beliau membawa Malaysia menyokong Israel, sebuah rejim yang jahat, terkenal dengan kekejaman dan kerakusan membunuh umat Islam di Palestin," ujar beliau.

Dalam satu majlis penerangan Pakatan Rakyat di Kuala Kubu Baru baru-baru ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian hadirin dengan dokumen perjanjian di antara Apco Worldwide dan kerajaan Malaysia.

"Ini perjanjian, perjanjian apa? Amerika Israel punya syarikat. Berapa Najib bayar, RM77 juta setahun. Ini merupakan suatu pengkhianatan parti perkauman itu (Umno) terhadap solidariti Palestin dan umat Islam di Malaysia.

Ketika di Washington Jumaat lalu, Najib mengesahkan Malaysia telah memotong bekalan minyak ke Iran sambil memberi amaran bahawa negara Islam itu hampir pasti dikenakan sekatan antarabangsa terbaru berhubung program nuklearnya. -Harakah

Muhyiddin Terdesak Raih Sokongan

MStar melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan, Penasihat PartiKeadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan tertekan dan terdesak apabila mendakwa kerajaan bertindak menzalimi rakyat, sedangkan yang sebenarnya Muhyiddin dan BNlah yang terdesak meraih sokongan rakyat

Timbalan Perdana Menteri berkata, kononnya dakwaan Anwar itu sama sekali tidak berasas kerana kerajaan tidak pernah bertindak zalim sebaliknya sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat sejajar dengan prinsip Gagasan 1Malaysia.

Namun penduduk Hulu Selangor rata-rata melihat disebaliknya.

"Muhyiddin tidak mempunyai idea apa-apa. Malah beliau kini tertekan apabila Gerakan sebelum ini menyifatkan beliau tidak layak untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana beliau dilihat sebagai seorang rasis," kata seorang pemimpin PKR yang ditemui hari ini.

"Setiap kali pilihanraya kecil, Muhyiddin akan menjanji dan menyogokkan dengan pelbagai habuan sehingga kononnya mengambil setiap kawasan pilihanraya sebagai anak angkat, tetapi tidak pula di Hulu Selangor," tambahnya lagi.

Muhyiddin cuba menyerang peribadi Anwar apabila beliau menyatakan bahawa Anwar kini seolah-olah berada dalam situasi tertekan sekarang ini, dengan masalah peribadinya serta kes mahkamahnya serta perkara-perkara yang menimpa beliau selepas meninggalkan kerajaan semasa menyampaikan ucapan pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Choh, di sini hari ini.

Katanya lagi, semasa Anwar berada di dalam Kabinet kerajaan Barisan Nasional (BN), bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak pernah membangkit isu menzalimi rakyat sebaliknya menyokong aspirasi kerjaan.

"Waktu dia ada dalam kerajaan dulu, tak ada pun dalam ucapannya yang kata kerajaan ini menzalimi rakyat," katanya.

Namun menurut pemerhati politik, apa yang ketara, kepimpinan negara era Najib dan Mihyiddin ini adalah sebuah kerajaan yang sanggup melakukan apa saja untuk mengekalkan kuasa termasuk bukan saja merampas hak rakyat malah merampas sebuah kerajaan negeri secara kotor dan hina seperti yang dilakukan ke atas kerajaan negeri Perak.

Mereka sanggup mengupah agensi Yahudi untuk menjenamakan semula slogan-slogan mereka untuk meraih sokongan rakyat apabila mereka telah kalah teruk di dalam pilihanraya 2008 yang epas.

Hal ini terbongkar apabila Anwar mendedahkannya di Parlimen yang sebelum tidak ramai dari kalangan rakyat yang mengetahui tentang peranan APCO Worldwide yang telah diupah oleh kerajaan UMNO BN yang ketakutan kehilangan kuasa memerintah negara.

"Di dalam PRK Hulu Selangor, pemilihan calon BN dari MIC sendiri sudah porak peranda, tidak seperti PKR yang telah istiqamah dari awal menetapkan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calonnya," kata seorang pemimpin PR.

UMNO APCO Pengkhianat Islam

Kerajaan pimpinan Umno-Barisan bersekongkol dengan Zionis Israel sehingga sanggup mengupah jeneral Israel yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai umat Islam Palestin.

Demikian kata Angkatan Muda KEADILAN Negeri Sembilan yang membuat laporan polis baru-baru ini terhadap Apco Worldwide Sdn Bhd, firma antarabangsa pro Zionis yang diupah oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk menasihati kerajaan Malaysia dalam bidang komunikasi dan perhubungn awam.

Menurut Timbalan Ketua AMK Negeri Sembilan, Norazizi Abdullah laporan polis itu adalah susulan kepada berhubung pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hubungkait Apco Worldwide Sdn Bhd dan kerajaan Malaysia.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Azizi dipetik sebagai berkata Apco bukan hanya sebuah syarikat perunding biasa tetapi mempunyai agenda jahat dan mempunyai hubungan dengan kerajaan rejim haram Zionis Israel."Pembabitan itu terbukti apabila salah seorang penasihat antarabangsa kepada Apco iaitu Doeon Berberbest-Elion yang merupakan bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan Agensi Keselamatan Israel yang berpangkat Mejar Jeneral terbabit dalam pembantaian dan 'massive killings' umat Islam di Palestin.

"AMK Negeri Sembilan juga menolak penafian yang dibuat Apco Worldwide bahawa ianya tidak terlibat secara langsung dalam penubuhan gagasan 1Malaysia kerana jelas terbukti syarikat tersebut telah bertapak di Kuala Lumpur dengan menggunakan nama Minds Team Sdn Bhd serta mempunyai Ketua Eksekutif yang sama iaitu Paul Stadlen.

"AMK mewakili rakyat Malaysia juga menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan negara serta menolak sekeras-kerasnya 'penjajahan' bentuk baru ini dan menentang 'neo-colonialism' tajaan Zionis Israel ini.

"AMK juga menggesa rejim Umno BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak supaya jangan mengadaikan keselamatan negara dengan mengangkat rejim Zionis Israel sebagai penasihat dalam hal dasar dalam negara serta menghalau keluar Apco Worldwide demi menyelamatkan Malaysia," tegas Azizi lagi dalam kenyataan media tersebut

Kedah Kukuh Tanpa Katak

Kedah masih lagi kukuh dan kuat walaupun wujud seekor lagi katak yang mengingkari amanah rakyat dengan melompat parti dengan mengumumkan keluar parti dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas.

“Kedah masih lagi stabil dan perjuangan tidak goyah walau sedikit pun. Kita harapkan semua terus memikirkan mekanisma terbaik yang telah disasarkan oleh ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR),” kata Adun Bukit Selambau, S. Manikumar kepada erapakatan.

Bagi beliau, kenyataan Wei Shu yang mengatakan beliau dipermainkan pimpinan parti adalah tidak tepat dan pemikiran seperti itu tidak seharusnya wujud dalam kalangan pemimpin.

“Sepatutnya setiap wakil rakyat perlu ada prinsip yang teguh. Ini baru ada bedilan sedikit terus keluar parti. Tindakan seperti ini hanya akan menyusahkan rakyat yang meletakkan harapan kepadanya,” kata Manikumar.

Beliau dalam kenyataannya mehahirkan rasa kecewa dan simpati dengan tindakan Adun Bakar Arang itu.

“Saya kecewa kerana dia tidak menghormati perjuangan parti dan saya simpati kepada rakyat yang mengundinya di atas tiket PKR,” jelas Manikumar.

Beliau berkata setiap wakil rakyat yang ada perlu sentiasa mengukuhkan keadaan semasa dan Menteri Besar (MB) harus lebih giat dalam mengatur strategi untuk PR sampai ke Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

Terdahulu, Adun Bakar Arang, Tan Wei Shu mengumumkan keluar PKR.

Beliau sebelum ini merupakan exco kerajaan Kedah yang digugurkan dalam rombakan exco pada 10 Mac lalu.

Tempatnya diambil alih oleh seorang lagi wakil PKR, ADUN Sidam, Tan Show Kang. -erapakatan

Zaid Tokoh Berwibawa

Calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim yakin pengalamannya sebagai Ahli Parlimen, menteri kabinet dan hubungan akrabnya dengan kepimpinan kerajaan Selangor mampu memajukan hulu selangor.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula menyifatkan Zaid adalah pemimpin idaman yang secocok dengan keperluan rakyat Hulu Selangor.

Keyakinan Zaid itu bersandarkan keupayaannya dari segi pengalaman, kebolehan dan kesungguhan untuk membela rakyat Hulu Selangor, apatah lagi banyak masalah di hulu selangor boleh diselesaikan di peringkat kerajaan negeri.

Malah, Khalid sendiri mengakui Zaid adalah insan yang diharapkan kerajaan negeri untuk membantu membawa suara rakyat, seterusnya mengembalikan sumber rakyat kepada rakyat.

Menteri Besar itu menaruh keyakinan penuh betapa Zaid adalah calon yang mampu mengisi kekosongan pemimpin berkaliber di Hulu Selangor.

"Rakyat Hulu Selangor dahagakan kepimpinan berwibawa," katanya dengan tegas.

Zaid pula meminta pengundi Hulu Selangor meletakkan kepentingan dan keutamaan mereka dengan memilih pemimpin yang mampu memacu pembangunan dan merungkai segala masalah yang dihadapi sekian lama.

"Dengan pengalaman sebagai ahli parlimen kota bahru, pernah jadi menteri dan kemudahan berurusan dengan pimpinan kerajaan negeri, saya yakin dengan kemampuan saya untuk membantu pengundi Hulu Selangor," katanya.

Dalam soal pembangunan rakyat, Zaid percaya Hulu Selangor memerlukan pelaburan yang lebih bagi membangunkan kawasan Parlimen ini dan menegaskan peningkatan pelaburan memerlukan hubungan baik dengan kerajaan negeri.

"Kalau mahu banyakkan pelaburan, kena ada pemimpin yang ada idea, cekap dan amanah. Selain itu, ia berkait rapat dengan kerajaan negeri. Jadi, perlu hubungan rapat dengan kerajaan negeri.

"Saya dapati penduduk Hulu Selangor perlukan banyak pelaburan dan saya yakin saya orang yang tepat untuk membantu," katanya.

Beliau berharap pengundi Hulu Selangor memberi peluang kepadanya untuk mengubah corak ekonomi rakyat kawasan ini selepas Barisan Nasional gagal melakukan perubahan dalam tempoh 18 tahun. -TVS


Acik Spin Meninggal Dunia Kemalangan Jalanraya

Api marak membakar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 28, dalam satu kemalangan ngeri di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dekat sini, petang tadi.

SEREMBAN, 17 April -- Penyanyi Achik Spin atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari, 27, meninggal dunia dalam kemalangan ngeri di KM 14.7 Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) dekat sini, Sabtu petang.

Pegawai Turut Trafik negeri ASP Abd Halil Hamzah berkata kejadian berlaku pukul 6.15 petang apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki penyanyi itu bersama seorang rakan lelaki yang belum dikenali dikatakan terbabas dan melanggar papan tanda.

"Achik meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan yang dipandunya itu melanggar papan tanda selepas melepasi kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dekat susur keluar ke Pajam.

"Difahamkan kenderaan yang dipandunya itu dalam perjalanan balik ke Seremban bersama seorang rakan selepas menyertai sebuah rancangan di RTM, Kuala Lumpur," katanya di sini.

Katanya Achik meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan.

Allahyarham dikatakan tercampak keluar dari kenderaan, yang kemudiannya terbakar dan meletup.

Mayat Achik dan rakannya yang cedera telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.


Keluarga Allahyarham artis terkenal yang juga vokalis kumpulan Spin, Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 28, berada di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, malam ini.


Sementara itu Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat dari Mantin, Hamizin Khaidir berkata, penyanyi berkenaan tercampak keluar dari MPV dan orang ramai cuba menyelamatkannya sebelum dia meninggal dunia.

Achik merupakan penyanyi utama kumpulan Spin yang popular sekitar tahun 2002.

Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Kita itu telah mendirikan rumahtangga dengan bekas Pegawai Khidmat Pelanggan Astro, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof pada Nov 2005.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Puteri Rania pada 2007 tetapi meninggal dunia ketika berusia dua bulan akibat demam panas dan masalah usus dalam perut.

-- BERNAMA

Fakta Dan Statistik Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor

Berikut adalah fakta dan statistik mengenai pilihan raya kecil Parlimen P.094 kerusi Hulu Selangor.

Calon-calon bertanding: Johan Mohd Diah (Bebas), P. Kamalanathan (Barisan Nasional), V.S. Chandran (Bebas), Datuk Zaid Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat). ,

Sebab kekosongan: Kematian Datuk Dr Haji Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac 2010.

Tarikh Penamaan Calon : 17 April 2010 (Sabtu)

Tarikh Pengundian : 25 April 2010 (Ahad)


Daftar Pemilih Induk (DPI): DPI 2009 yang telah dikemas kini sehingga 26 Mac 2010.

Jumlah Pengundi: 64,500 pemilih, terdiri daripada 63,701 pemilih biasa dan 799 pemilih pos.

Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi: Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Pusat Mengundi: Sebanyak 48 yang melibatkan 47 buah sekolah dan satu dewan orang ramai dengan 136 tempat mengundi (saluran).

Pegawai Pengurus: Nor Hisham Ahmad Dahlan, Pegawai Daerah Hulu Selangor.

Jumlah petugas pilihan raya: 1,343 orang.

Keputusan pilihan raya umum Mac, 2008: Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad (PKR) 23,177 undi, Datuk G Palanivel (BN) 22,979 undi. Dr Zainal menang majoriti 198 undi. -erapakatan