10 Apr 2010

Bakar Geran Tanah Sebab Marah JKR

Kecewa dengan projek pembesaran jalan yang didakwa menimbulkan banyak masalah, penduduk sebuah kampung di Port Dickson hari ini membakar geran tanah asli mereka sebagai tanda bantahan.
Dengan bantuan sebuah NGO pemantau prestasi jabatan kerajaan, mereka juga mendirikan sebuah papan tanda besar ala papan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) bertulis "Tapak cadangan tanah perkuburan baru" dan "Homestay mencari maut".

Menurut timbalan pengerusi Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (GEMPAK) Rahimuddin Md Harun, penduduk dan NGO terbabit hari ini mengambil tindakan tersebut kerana kecewa dengan pemantauan JKR terhadap projek tersebut.

Sejak dimulakan pada 2004, tambahnya, projek pembesaran jalan Pasir Panjang-Port Dickson itu tidak dijalankan dengan baik sehingga menyebabkan rumah-rumah di sekitarnya terdedah kepada risiko dirempuh kereta dan banjir.

Katanya, jalan yang ditambak beberapa kaki itu, dengan saliran yang tidak sempurna menyebabkan air dan selut melimpah masuk ke rumah penduduk setiap kali hujan.

Jalan baru tersebut juga tidak mempunyai penghadang bagi mengelakkan kereta yang terbabas merempuh rumah mereka, tambahnya.

Sebanyak 72 keluarga - kira-kira 300 penduduk - terlibat dalam projek pembesaran jalan sejauh kira 5 kilometer itu.

Rahimuddin berkata, penduduk telah mengadukan perkara tersebut kepada pelbagai pihak, termasuk JKR, wakil rakyat, kerajaan negeri, pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

"Kalau hendak kumpul semua aduan, sudah satu rim kertas. Janganlah pandai menabur janji dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor sahaja, tetapi dengarlah juga rintihan penduduk di sini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini selepas bantahan tersebut.
Rahimuddin juga berkata, penduduk Pasir Panjang tidak membantah pembangunan "tetapi janganlah kerana pembangunan, keselesaan dan hak penduduk diabaikan".

Menurut Rahimuddin, projek tersebut diusahakan oleh Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan, sebuah anak syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.

Kira-kira 70 penduduk setempat hadir menyatakan bantahan itu kira-kira jam 11 pagi tadi.

Gi Jahanam UMNO-APCO

Perdana Menteri, Najib Razak terus tertekan berhubung isu Apco apabila Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria membuat laporan polis ketiga berhubung pembabitan Apco Worldwide dengan kerajaan Malaysia hari ini.

Laporan polis itu susulan daripada laporan sama yang dibuat oleh selepas Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali.

Dr Lo' Lo' yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS membuat laporan tersebut semalam di Balai Polis Jalan Dang Wangi manakala Shamsul Iskandar pula tampil mengadu pada Selasa di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut berita yang dipetik daripada portal Malaysiakini Nasir membuat laporan tersebut di Balai Polis Kuala Nerang, Kedah kira-kira jam 1.00 petang tadi.

Dalam aduannya, Nasir sebagai berkata Apco Worldwide mempunyai kaitan dengan kerajaan haram Zionis Israel berdasarkan rekod perjanjiannya dengan negara tersebut sebelum ini.

"Kerajaan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara haram Israel.

"Sudah tentu berurusan dengan syarikat tersebut, yang lembaga pengarahnya terdiri daripada tokoh-tokoh besar negara Israel akan mendedahkan banyak rahsia negara kepada akses pihak luar," memetik kandungan laporan polis yang dibuat Nasir.

Dalam laporannya juga, Nasir yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah menggunakan teks aduan yang sama digunakan oleh Dr Lo' Lo'.

Beliau ditemani beberapa pemimpin parti itu di peringkat PAS kawasan dan KEADILAN Cabang Padang Terap.

Nasir juga memberitahu, pihaknya telah mengedarkan risalah menjelaskan isu Apco di pekan sehari Kuala Nerang sebelum ini. -SK

Hulu Selangor 'Anak Tangga' Ke Putrajaya

Pakatan Rakyat semalam melancarkan secara rasmi jentera pilihan raya bagi Parlimen P094 Hulu Selangor dengan menganggap kemenangan pada 25 April depan sebagai "anak tangga" terpenting merealisasikan impian menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Pelancaran yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di Kuala Kubu Baharu disaksikan lebih 3,000 penyokong dan petugas Pakatan Rakyat dari KEADILAN, PAS dan DAP dari seluruh negara.

Khalid yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor menegaskan perjuangan Pakatan Rakyat pada PRK ini bukan setakat membela nasib rakyat Selangor tetapi juga untuk selkuruh rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan.

"Kita berjuang sekarang bukan hanya untuk rakyat negeri Selangor tetapi untuk negara kita Malaysia yang memerlukan pembelaan dari terus diperintah oleh pemimpin yang zalim, pemimpin yang membenarkan campur tangan luar dalam urusan keselamatan negara seperti Apco yang terang-terang terlibat dengan Zionis-Israel.

"Saya telah bekerja lebih 750 hari dan setiap hari saya bertanya adakah sudah cukup tenaga saya untuk rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat sebelum ini sehingga saya berada kedudukan sekarang. Saya perlu bekerja keras untuk rakyat Selangor kerana tanpa mereka saya tidak akan berada disini.

"Kita tidak boleh tipu rakyat dan juga mengambil hak rakyat, hak mereka kita perlu pulangkan kepada mereka bukannya menjadi milik kita. Perjuangan kita bukan senang banyak lagi yang kita perlu lalui, disebabkan amanah rakyat perjuang Pakatan Rakyat tidak boleh lari dari landasan yang sebenar.

"Kemenangan di Hulu Selangor adalah isyarat kita untuk menang di Sibu dan juga tangga kita ke Putrajaya sudah semakin hampir," kata beliau di Dewan Kuala Kubu Baharu.

Ahli Parlimen Gombak Mohd Azmin Ali yang juga turut hadir menjelaskan bahawa rakyat perlu sedar apa yang telah Barisan Nasional lakukan kepada negara ini yang membiarkan campur tangan asing.

"Kita mahu rakyat sedar apa yang telah kerajaan lakukan, kita tidak perlu campur tangan Apco dalam pentadbiran negara ini dan BN perlu belajar dari Pakatan Rakyat bagaimana ingin mentadbir negara tanpa campur tangan luar. Lihat bagaimana kita mentadbir negeri Selangor.

"Kita lihat bagaimana perpaduan dalam Pakatan yang mana PAS dan DAP telah memberi persetujuan agar KEADILAN yang membuat keputusan bagi calon pilihan raya kecil ini, kita tidak seperti BN yang berebut hendak meletakkan calon masing-masing.

"Calon yang kita pilih benar-benar komited dan mantap, calon yang boleh bekerja untuk segenap lapisan masyarakat dan kaum. Kemenangan kita pada pilihan raya ini akan membawa kemenangan kita di Sibu nanti dan ini menandakan kita semakin hampir ke Putrajaya," tegasnya.

Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa menjelaskan kemenangan di Hulu Selangor sebagai tanda untuk Pakatan merampas negeri Melaka.

"Kekuatan jentera yang ada ini dalam mengekalkan kemenangan kita adalah isyarat kepada kita bahawa dengan kekuatan seramai ini kita akan dapat menawan negeri Melaka kerana saya difahamkan saiz Hulu Selangor sebesar negeri Melaka.

"Kemenangan ini juga untuk kita menghalang kezaliman BN dari terus menindas rakyat. Jentera PAS sudah bersedia dari awal lagi untuk membantu kemenangan calon dari KEADILAN dan kita bergerak atas landasan yang sama," jelas beliau.

Ahli Parlimen Kepong yang juga Naib Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw percaya dengan jentera seramai 3,000 petugas mampu menembusi kubu kuat Umno di setiap ceruk Hulu Selangor.

"Dengan kekuatan ini saya percaya tempat-tempat yang menjadi kubu kuat Umno dapat kita tempuh dan serang, dan kemenangan pada 25 April nanti membuktikan bahawa Umno tidak lagi menjadi pilihan kepada rakyat.

"Kita tidak perlu menjadi macam Najib yang hanya tahu cakap sahaja, janji setiap kali pilihan raya tetapi tidak ditunaikan. Apa yang kita perlu buat adalah tunaikan apa yang kita cakap kerana itu yang rakyat nak," tegas beliau.

Majlis tersebut yang juga turut dihadiri beberapa Exco kerajaan negeri dan juga ahli-ahli Parlimen telah menguatkan semangat jentera yang tidak sabar untuk memulakan tugas berjuang bagi memastikan BN terus berkubur di Hulu Selangor. -SK

Polis Yang Tak Profesyenal Patut Dipecat

Ngeh Kepada Polis,"Tunggu Saya Selesai Tugas Di Parlimen"

KUALA LUMPUR 10 Apr - Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham berkata beliau telah diberi kelonggaran kerana menghadiri sidang Parlimen berhubung siasatan mengenai dakwaannya bahawa terdapat pegawai dan anggota polis ditempatkan di dalam Dewan Undangan Negeri semasa berlangsungnya sidang DUN baru-baru ini.

"Polis hendaklah bertindak profesional, Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah sudah hantar notis kepada saya, tetapi saya belum terima lagi, walau bagaimanapun daripada media dan internet saya sudah tahu polis nak jumpa saya dan saya juga sudah hubungi pegawai penyiasat ASP Kassim dan meminta polis supaya menghormati undang-undang dan perlembagaan.

"Tetapi tindakan polis memberitahu media tanpa mengetahui saya sudah diberi notis atau tidak menunjukkan mereka tidak profesional, saya juga meminta pegawai tersebut datang ke Parlimen jika mahu mengambil kenyataan daripada saya.

"Pada sidang DUN Perak pada 30 dan 31 Mac lepas, saya rasa tergugat dan bimbang kerana Dewan Undangan Negeri dan Parlimen merupakan institusi yang mesti bebas dari cengkaman kuasa eksekutif dan badan kehakiman apalagi pihak polis yang merupakan pegawai pelaksanaan bagi pihak eksekutif, mereka merupakan 'public servant' dan mereka tidak seharusnya campur tangan dalam urusan politik dan seharusnya mereka bersikap profesional.

"Saya rasa khuatir kerana saya berasakan polis tidak mematuhi undang-undang kerana selain mengasari beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat dan saya juga pernah ditangkap secara kasar dan saya juga ingin menyatakan di sini, tidak pernah ada krisis dalam lebih setahun ini antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, tidak ada kekerasan antara kedua-dua pihak dan yang melakukan kekerasan adalah pihak polis.

"Di sebabkan itu saya berpendapat polis tidak perlu dan tidak harus berada di perkarangan, di luar atau di dalam kawasan dewan undangan negeri, seharusnya badan ini bebas dalam menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negeri Perak atau Undang-undang Tubuh negeri Perak dan juga Perlembagaan Persekutuan, jelas Ahli Parlimen Beruas itu kepada Suara Keadilan.

Menyentuh isu pegawai polis yang memanggil beliau, beliau sudah menghubungi pegawai penyiasat untuk datang ke Parlimen bagi mengambil keterangan.

Sebaliknya sekiranya pegawai tersebut enggan ke Parlimen, Ngeh meminta supaya pihak polis menghabiskan beliau selesai tugas di Parlimen.

Ngeh yang juga ADUN Sitiawan dipanggil memberi keterangan mengikut Seksyen (1)(a) Akta Hasutan 1948.

Hulu Selangor : Lebih 9 Calon Bertanding?

Rekod 15 calon merebut kerusi DUN Bukit Selambau April 2009 — paling ramai bertanding dalam satu-satu pilihan raya kecil — kemungkinan berulang di Hulu Selangor?

Sama ada suasana itu akan dapat disaksikan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan ini masih menjadi teka-teki.

Bagaimanapun setakat semalam sembilan borang penamaan calon telah diambil, demikian disahkan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak borang akan diambil selepas ini.

Borang-borang ini diambil sama ada dari pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pejabat Pilihan Raya Selangor di Shah Alam.

“Tidak ada borang diambil dari ibu pejabat SPR,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Sambil menyifatkan jumlah itu “agak ramai”, Wan Ahmad berkata pihaknya tiada maklumat tentang parti politik pihak yang mengambil borang-borang ini mewakili.

“Biasanya kami tidak akan tanya parti politik yang mereka wakili kecuali minta berikan nama dan nombor kad pengenalan mereka.

“Ada jua yang mengambil borang bagi pihak parti dan ada kemungkinan ada pihak yang mengambil lebih daripada satu borang sebagai langkah berjaga-jaga (jika berlaku kesilapan),” katanya.

Tinggal hanya satu minggu sebelum hari penamaan calon.

Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor akan berlangsung 17 April ini manakala hari pengundian dijadual 25 April.

Setiap borang penamaan calon berharga RM20.

“Maklumat kami menunjukkan sembilan borang dikeluarkan setakat petang ini (semalam).

“Setakat hari ini sahaja sembilan borang sudah dikeluarkan. Masa ada masa lagi (menjelang hari penamaan calon)

“Kemungkinan akan ada lagi yang akan ambil borang penamaan calon,” kata beliau.

Setakat ini dua orang telah menyatakan pendirian akan bertanding sebagai calon Bebas selain pesaing tradisi Barisan Nasional (BN) dan komponen Pakatan Rakyat (PR) akan menurunkan calon masing-masing.

Difahamkan akan ada calon daripada Umno dan Pakatan Rakyat akan turun gelanggang ekoran rasa tidak puas hati dengan pemilihan calon.

Umno dari awal mahu kerusi itu diberikan kepada parti itu.

Bagaimanapun Rabu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan kerusi itu akan ditandingi oleh MIC bagi pihak BN.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau di Kedah pada 7 April 2009 menyaksikan 15 calon termasuk BN dan PR bertanding merebut kerusi itu selepas ia kosong kerana penyandangnya, seorang Exco, meletakkan jawatan. -MI

Tuduhan Anwar Benar, Hishamuddin dan Musa Hassan Perlu Letak Jawatan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin menggesa individu yang terlibat menyorok maklumat mengenai penyusupan perisik Israel-Zionis di Bukit Aman, harus sekurang-kurangnya memohon maaf kepada rakyat.

Malah, beliau menyifatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh dengan meletak jawatan.

Ia berikutan tindakan pro-aktif yang dilakukan KDN mahupun PDRM hanya dibuat selepas pendedahan dilakukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

"Maknanya, kita bukan buat pendedahan kosong. Akhirnya, dengan bukti yang kita bagi, Musa Hasan dan Hishamudin sendiri terpaksa mengakui memang Asiasoft itu wujud.

"Kontrak dan tender itu wujud dan lebih dari itu, keselamatan negara tergadai apabila ejen perisikan telah masuk.

"Sekarang, seseorang harus bertanggungjawab. Kalau bukan Ketua Polis Negara, orang yang harus bertanggungjawab ialah Menteri Dalam Negeri. Paling tidak, dia kena minta maaf secara terbuka.

"Kalau lebih bermaruah, dia harus meletakkan jawatan," katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Ibarat terantuk baru tengadah, begitulah gelagat Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia yang kelam kabut melakukan tindakan wajar selepas pendedahan dibuat Anwar.

Mengikut Malaysiakini, Hishammudin mengakui wujudnya masalah dengan Asiasoft yang didedahkan Anwar sebagai syarikat yang membawa masuk dua perisik Israel Zionis bagi mengendalikan perisian komputer di Bukit Aman.

Sepupu Perdana Menteri itu bagaimanapun menyatakan Asiasoft sudah ditamatkan perkhidmatannya dan mahu mengambil pendekatan bagi menyiasat pendedahan penyusupan dua perisik Israel Zionis itu.

Empat pendekatan itu ialah mengarahkan pegawai khasnya membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia, selain membawa isu ini ke Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen. - TVS




'Perisik Israel' di Bkt Aman: Hisham arah siasat

Kementerian dalam negeri akhirnya mengakui bahawa wujudnya masalah dengan firma komputer yang mengendalikan perisiannya di Bukit Aman dan telah mengarahkan perkhidmatan berkenaan ditamatkan.

"Sebagai rekod, kontrak dengan syarikat Asiasoft telah ditamatkan,” kata Menterinya, Datuk Seri hishamuddin Hussein di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan akan mengambil empat pendekatan bagi menyiasat dakwaan bahawa perisik Israel berjaya menembusi maklumat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hishammuddin berkata sebagai langkah permulaan pegawai khasnya telah diarahkan untuk membuat laporan polis.

Laporan yang sama juga dibuat kepada Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara yang sama juga akan dibawa ke Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

"Tuduhan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim adalah serius. Justeru, kita mesti menyiasat bagi menentukan kesahihannya," katanya.

6 April lalu, Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar mendedahkan perisik Israel wujud di Bukit Aman.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu membuat pendedahan berkenaan ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat dengan mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu.

Menurut Anwar penglibatan syarikat berkenaan adalah melalui subkontrak daripada sebuah syarikat tempatan untuk menaiktaraf sistem komunikasi analog PDRM kepada sistem digital.

Kontrak yang dikenali dengan nama APCO 425 itu disubkontrakkan kepada syarikat bernama Asiasoft Malaysia pada tahun 2008.

Dakwanya lagi, dua pemegang saham dalam syarikat berkenaan ialah B System Sdn Bhd dan Asiasoft PLC. -mk