1 Apr 2010

MEB: Fomca, MTUC Bantah Penggunaan Dana KWSP

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) dan Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC) mahu kerajaan memberi jaminan sebarang pelaburan melibatkan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di luar negara, selamat dan terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abd Rahman dan Pengerusi MUTC, Syed Shahir Syed Mohamud senada dalam isu melibatkan MEB yang dicadang Perdana Menteri yang seakan-akan mempertaruhkan setiap sen simpanan wang rakyat.

Kedua-dua pemimpin itu bimbang pelaburan yang dibuat KWSP tidak memberi pulangan yang sewajarnya kepada pencarum, bahkan sebaliknya menghakis dana sedia ada.

"Perlu ada jaminan sekiranya kerajaan membenarkan KWSP melabur di luar negara, maka kerajaan perlu memastikan ia adalah pelaburan yang selamat.

"Sebab, kita dapati banyak pelaburan yang dibuat KWSP tidak memberi manfaat kepada pengguna dari segi pulangan umpamanya pelaburan dalam sektor berisiko tinggi," kata kepada TV Selangor, hari ini.

Mohd Yusof juga menyatakan Fomca bimbang dengan sikap Jawatankuasa Pelaburan yang sering melabur tanpa memaklumkan Lembaga Pengarah KWSP seperti yang dibangkitkan Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC).

"Masalahnya jawatankuasa pelaburan tidak dianggotai oleh wakil pekerja, sebaliknya dianggotai pihak profesional dari segi pelaburan.

"Dari segi pemantauan dan 'check and balance', kita dapati masih kurang. Malah, apa juga yang dilaburkan kadang kala tidak dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah," kata Mohd Yusof lagi.

Syed Shahir pula tidak menolak kemungkinan kekaburan fakta berkaitan MEB mungkin bertujuan menutup kelemahan dasar itu yang hanya menguntungkan golongan atasan sebaliknya meminggirkan masyarakat bawahan.

“Kita tak nampak jelas apakah tumpuannya terhadap golongan bawahan. Seolah-olah wujud andaian bahawa apabila selesai masalah ekonomi, maka selesailah masalah pekerja atau orang bawahan,” katanya.

Beliau jmenganggap cakap-cakap kerajaan mahu meningkatkan pendapatan rakyat hanya omong kosong, sebaliknya bimbang amalan penswastaan menyebabkan pemerintah terpaksa menampung kerugian syarikat dengan menggunakan wang rakyat.

“Kita mendapati banyak kelemahan dalam hal berkaitan penswastaan. Malah ada yang terpaksa diambil balik oleh pemerintah. Misalnya, syarikat penerbangan Malaysia yang suatu waktu dulu diswasta tapi terpaksa ditampung balik," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kerajaan bahawa pelaburan menggunakan dana KWSP perlu dilakukan secara penuh waspada dengan mempertimbangkan setiap risiko.

“KWSP kena berhati-hati betul, cermat berhemat untuk memastikan wang pencarum yang untuk simpanan hari tua itu, selamat dan memberi pulangan munasabah,” katanya. -TVS

Anwar Nak Diheret Ke JK Khas

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini berkata kerajaan akan mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa khas mengenai hak dan kebebasan Parlimen.

"Kerajaan mengambil keputusan membentangkan usul untuk membawa wakil Permatang Pauh ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan 18(2)," katanya.
Menurut Nazri kerajaan telah mendengar penjelasan Anwar Selasa lalu dan memndapati hujah-hujahnya tidak mempunyai asas untuk menyokong dakwaannya.

"Anwar langsung tidak tunjukkan bukti untuk sokong dakwaan 1Malaysia diambil daripada 1Israel.

"Apa yang dijelaskan itu tidak beri bukti nyata, hanya kaitkan secara 'circumstantial' perkara lain, seolah-olah Apco diguna oleh operator-operator itu bukan bukti kukuh untuk kaitkan One Israel.

"Apco juga telah keluarkan kenyataan, disebarkan melalui akhbar, penafian terhadap dakwaan Anwar.

Katanya lagi, beliau bercadang untuk menghantar surat secepatnya esok kepada jawatankuasa berkenaan, yang akan dipengerusikan speaker dewan, untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa berkenaan.

Anwar semasa ucapan lebih tiga jamnya ketika hujah penggulungan terima kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan "One Israel'.

Menurut beliau, Apco pada 1999 menasihatkan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan 'One Israel'.

Nazri kemudiannya memberi ketua umum PKR itu tempoh seminggu untuk memberikan penjelasannya pada Selasa lalu.

Anwar kemudiannya menggunakan kesempatan itu untuk mendedahkan peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggungjawab memperkenalkan Apco kepada perdana menteri.

Anwar dalam pada itu turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel.

Apa-apa yang diluahkan oleh ahli parlimen ketika sidang Dewan Rakyat dilindungi oleh imuniti dan tiada tindakan yang boleh dikenakan, termasuk didakwa di mahkamah kecuali dihadapkan ke jawatankuasa khas itu.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan. -mk


Demi Pertahan Zionis-Israel Umno-BN Sanggup Hukum Anwar

Kerajaan Umno-Barisan Nasional berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa mempertahankan hubungannya dengan syarikat komunikasi pro Zionis-Israel, APCO Worldwide apabila membuat keputusan untuk menghadapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jawatankuasa khas Parlimen.

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali berkata demi mempertahan isu APCO yang semakin memakan diri Umno-BN, kerajaan mahu mengenakan tindakan ke atas Anwar kerana mahu menutup skandal itu.

"Saya tidak terkejut dengan tindakan kerajaan. Ini membuktikan bahawa Umno dalam keadaan tertekan dan sanggup pertahankan Zionis dan APCO untuk mengorbankan Datuk Seri Anwar.

"Speaker telah mengarahkan Datuk Seri Anwar untuk memberikan keterangan di Parlimen. Walaupun saya telah bangkitkan prosedur itu tidak tak kena, kalau prosedur digunakan 37(1) ia mestilah dibangkit ketika ahli Dewan sedang bercakap, tetapi perkara ini dibangkitkan setelah selesai ucapan Ketua Pembangkang bebrapa hari selepas itu," jelas Azmin.

Kata beliau, meskipun Anwar mengemukakan bukti yang cukup jelas mengenai peranan APCO dan slogan 1Malaysia yang diciplak dari slogan Satu Israel, namun kerajaan tetap meneruskan tindakan mereka untuk menghukum Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

"Kenyataan Datuk Seri Anwar berdasarkan bukti yang cukup kuat dan kukuh termasuk beberapa perjanjian yang telah ditandatangani antara Umno dan kumpulan Zionis. Jadi apalagi yang mereka tidak puas hati?," soal beliau.Azmin yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, Pakatan Rakyat akan tetap mempertahankan kenyataan Anwar berdasarkan bukti yang dikemukakan sebelum ini .

"Umno dalam keadaan terdesak untuk hadapkan Datuk Seri Anwar ke jawatankuasa khas tetapi kita akan gunakan ruang ini untuk pertahankan kes kita dengan bukti cukup kukuh supaya rakyat tahu siapa sebenarnya agen Zionis dan dalam perkara ini bukan setakat Zionis tetapi golongan perisik yang pernah berkhidmat dengan rejim Israel," tegas Azmin lagi.

Azmin menegaskan berlaku salah tafsir dalam peruntukan itu yang sepatutnya diguna pakai hanya terhadap anggota Kabinet kerana mereka terlibat secara langsung dalam mengemukakan rang undang-undang di peringkat jemaah menteri dan bukan Ahli Parlimen yang sekadar membahaskan undang-undang tersebut.

"Maka yang dimaksud dengan mengelirukan Dewan ini ialah sekiranya seseorang menteri itu bercakap dalam Dewan dengan tidak berasaskan fakta betul dan tepat dalam keadaan beliau mengetahui bahawa ia boleh ditafsir sebagai mengelirukan Dewan.

"Bukan ahli Dewan kerana kita bukan menteri kabinet dan kita tidak ada akses kepada maklumat kerajaan. Kalaupun dikatakan mengelirukan Dewan, kita telah mengemukakan bukti yang kukuh termasuk perjanjian malahan Ahli Parlimen BN agak terkejut keupayaan Datuk Seri Anwar mempertahankan tuduhan ini dan mengemukakan bukti yang cukup jelas dan terperinci," kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Ditanya penafian APCO, beliau berkata "APCO Malaysia menafikan kenyataan pembangkang, tetapi APCO Worldwide menafikan kenyataan APCO Malaysia. Kalau kita tengok dalam tempoh 24 jam ada dua keterangan daripada APCO yang berbeza antara satu sama lain. Ini membuktikan APCO Worldwide telah mengesahkan memang benar mereka pernah berkhidmat dengan rejim Israel seperti yang dinyatakan Datuk Seri Anwar," jelas Azmin. -SK

Norizan Mahu Polis Dedahkan Sebab Ditembak

Mangsa tembakan polis Norizan Salleh menyerah memorandum kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Parlimen hari ini.

Memorandum yang sama telah diserahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Bukit Aman pada 4 Februari dan juga Suhakam pada 11 Februari yang lepas tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil.

Mangsa yang sebelum ini berusaha untuk menyerahkan memorandum di pejabat Hishammuddin pada 25 Februari lalu tetapi menteri itu hanya menghantar wakilnya bagi menerima memorandum tersebut.

Norizan yang ditemani ibunya, Siti Halimah Abu dan peguam N. Surendran menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin pada pukul 12.15 tengahari di pejabatnya.

Hishammuddin berjanji akan mengambil tindakan dan menyiasat kes seberapa segera.

Sebelum itu pada sidang media di perkarangan lobi Parlimen Norizan memberitahu ingin mengetahui sebab sebenar beliau ditembak selain menuntut bayaran pampasan ke atas kecederaan kekal yang ditanggung.

"Saya datang ini sebab ingin mengetahui apa tujuan sebenar polis tembak saya, sehingga sekarang saya tidak tahu sebabnya. Selain itu berharap pihak kementerian dapat mengambil tindakan segera," jelas beliau.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata kes tersebut akan di bahaskan di dalam Dewan petang ini dan berharap kementerian terbabit akan memberi penjelasan yang sewajarnya.

"Saya akan bahaskan isu tersebut pada petang ini dan berharap kementerian terbabit dapat memberi jawapan selain memberitahu apa tindakan yang akan diambil," kata Tian.

Pada awal pagi 30 Oktober 2009, Norizan telah ditembak polis ketika berada dalam kereta dan ditendang sehingga patah tulang rusuknya semasa merangkak keluar dari kereta.

Daripada lima das tembakan yang ditujukan kepadanya, dua tembakan terkena pada lengan dan pergelangan tangan, satu pada dada, dan dua tembakan lagi terlepas tetapi meninggalkan kesan luka. -SK

Bekas SU Politik Mahathir DiPenjarakan

Matthias Chang, bekas setiausaha politik kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dihantar ke Penjara Kajang hari ini untuk menjalani hukuman penjara atas kesalahan menghina mahkamah.

Peguam berusia 60 tahun itu dibawa ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah tersebut.

Dia tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini kira-kira 9.30 pagi dengan diiringi 30 penyokong dan anggota keluarganya.

Pada Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu dan memberi tempoh seminggu untuk Chang membayar denda tersebut.

Dia didakwa menghina mahkamah selepas gagal memohon maaf kepada mahkamah selepas berbalah dengan hakim dan seorang peguam semasa soal balas dalam kes saman fitnahnya terhadap American Express (Malaysia) Sdn. Bhd.

Semalam, Chang, 60, bersama penyokongnya, menunggu di Mahkamah Sivil di sini mulai 3 petang untuk mendapatkan perintah menyerahkan ke penjara disampaikan kepadanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar K. Pavanni hanya memaklumkan kepadanya kira-kira pukul 4.15 petang bahawa tempoh seminggu yang diarahkan oleh Noor Azian hanya tamat lewat petang.

Menurut prosedur mahkamah, perintah menyerahkan masuk ke penjara hanya boleh dikeluarkan pagi ini.

Jumaat lepas, Noor Azian juga membatalkan samannya dengan menyatakan Chang gagal membuktikan kes selepas mendengar keterangan saksi dari kedua-dua belah pihak serta penghujahan.

Chang, seorang peguam, telah menyaman American Express kerana melanggar perjanjian dan memfitnah kerana kad kreditnya digantung.

Dalam pembelaannya, American Express berkata tidak ada keterangan atau bukti mengenai pelanggaran perjanjian atau fitnah seperti didakwa oleh Chang.

Chang berkata beliau bersedia untuk dipenjarakan walaupun ahli Gabungan Persatuan Kwang Siew Malaysia telah mengumpul RM20,000 untuk membayar denda itu.

"Ini soal prinsip. Saya sanggup masuk penjara bagi membuktikan bahawa hakim tidak harus terlepas daripada sikap yang tidak beretika dan kelakuan yang tidak dapat diterima," katanya.

Chang mendakwa Noor Azian enggan menarik balik beberapa komen menghina terhadap peguamnya dalam saman sivil itu apabila mereka cuba menarik perhatian hakim kepada undang-undang relevan.

Lagi Petanda Buruk Untuk Negara, Bumbung Parlimen Bocor Lagi

Sesi jawapan Menteri terganggu seketika pada pukul 5.15 petang semalam selepas bumbung di tempat duduk Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye di dalam Dewan Rakyat bocor lagi.

Boon Chye kemudian bangun memberitahu Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas menyedari air menitik di sebelah tempat duduk beliau akibat hujan lebat tengahari semalam.

Kes yang sama pernah berlaku pada sidang yang lepas.

Masalah kebocoran yang melibatkan bumbung Dewan Rakyat yang berusia 46 tahun berlaku hampir setiap tahun.

Pada Mei 2008, bangunan Parlimen yang baru diubah suai dikesan mengalami enam kebocoran pada bahagian bumbungnya.

Masalah kebocoran bumbung Parlimen juga pernah berlaku pada April 2005, menyebabkan Sidang Dewan Rakyat ditangguh hingga Jun bagi membolehkan kerja-kerja membaiki kerosakan dijalankan dan melibatkan kos RM25,000. -SK

Model Ekonomi Baru (MEB) Adalah Kitaran Semula Penswastaan Untuk Bantu Kroni

.Model Ekonomi Baru yang dicanang oleh Perdana Menteri Najib Razak tidak lebih daripada satu lagi kitaran pengswastaaan yang hanya menguntungkan pemimpin dan kroni UMNO Barisan Nasional tapi meminggirkan rakyat keseluruhannya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar terbaru Najib sekali lagi meminjam kerangka Agenda Ekonomi Malaysia yang didokong oleh Pakatan Rakyat tetapi tidak mengisinya dengan program-program untuk membela rakyat.

Anwar menyifatkan MEB tajaan Najib itu sebagai tidak lebih daripada satu lagi cubaan cetek yang digubal dengan bantuan syarikat perunding yahudi APCO untuk memulihkan imej Najib dan kerajaan pimpinannya.

MEB yang dibawa oleh Najib menjanjikan banyak benda tetapi tidak memberikan butiran untuk sebarang program bagi membendung rasuah, ketirisan dana atau merombak institusi- institusi awam.

“Jadi kita pertikai sama ada frasa atau ayat yang digunakan tapi persoalannya, persamaan kenyataan pada pada kenyataan. Tidak pada program yang konkrit, tidak ada perubahan besar pada dasar, tidak ada komitmen untuk merubah institusi awam.”

“Model itu juga tidak menyentuh usaha membanteras rasuah awam yang menyebabkan kehilangan berpuluh billion ringgit yang merupakan musuh ekonomi negara. Ternyata Barisan Nasional dalam konteks ini dengan nasihat APCO, hanyalah untuk memperbaiki taktik perhubungan awam,” kata Anwar.

Antara aspek MEB yang pastinya menimbulkan keresahan rakyat ialah langkah untuk memberikan kumpulan wang simpanan pekerja peranan lebih rancak untuk melabur dan membeli syarikat- syarikat tertentu.

Anwar berkata tindakan itu dikhuatiri akan digunakan sekali lagi untuk mengggunakan simpanan rakyat bagi mengkayakan atau menyelamatkan pihak tertentu yang berkait rapat dengan pemimpin UMNO- BN.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk berjaga- jaga dan memantau apa- apa keputusan pelaburan atau pembelian KWSP selepas ini, kerana kita pasti ada tangan-tangan yang cuba memaksa dan mempengaruhi keputusan KWSP,” tambahnya lagi.

Anwar menyelar kerajaan UMNO BN kerana tidak ada langkah kukuh diambil dalam membina kredibiliti dan kewibawaan beberapa institusi kerajaan, dasar kerajaan dan amalan pelaksanaan hingga mendorong kepada kerapuhan ekonomi.

Sebaliknya Najib hanya bertindak menciplak dasar- dasar asas MEB dari AEM Pakatan Rakyat, tanpa rancangan komprehensif untuk membina ketelusan serta urus tadbir yang baik dan beramanah.

“Ini menjadi tema dan ulasan Pakatan Rakyat sepanjang sesi parlimen kebelakangan ini. Pakatan Rakyat mengemukakan AEM dan melihat bahawa banyak pandangan yang kita kemukan dicedok dalam MEB ini,” kata Anwar.



Kaki Judi Peralat Ayat Al-Quran

Bentong – Gerak hati seorang pengusaha kedai makan dekat sini, melihat cebisan kertas ditinggalkan pelanggan di atas meja makan ‘membongkar’ perkara sebelum ini mungkin tidak diketahui umum.

Pengusaha kedai, Jamariah Ahmad, 57, berkata, pada mulanya dia ingin membuang kertas itu kerana mengandungi catatan nombor bercetak dipercayai nombor ramalan.

Menurutnya, namun selepas diperiksa dengan teliti di bahagian belakangnya terdapat tulisan ayat al-Quran dan ia begitu mengejutkan dirinya.

“Saya benar-benar terkejut melihat kertas itu kerana di bahagian depan dicetak banyak nombor tetapi di belakang tertera ayat al-Quran.

“Kebiasaannya, apabila ada pelanggan meninggalkan cebisan kertas dan sampah di meja, saya terus membuangnya, tetapi kali ini tergerak hati untuk melihat kertas itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, sebagai umat Islam, dia sedih atas kejadian itu kerana ia seolah-olah satu penghinaan memandangkan ayat suci kitab itu tidak sepatutnya dipermainkan sebegitu rupa.

Kamariah berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti mencemar kesucian agama Islam ini perlu diambil tindakan sewajarnya supaya tidak terus berlarutan.

“Saya percaya, mungkin masih banyak lagi perkara sebegini berlaku dan pemantauan pihak berkuasa perlu dilakukan.

“Sekurang-kurangnya, kesucian agama Islam tetap terpelihara, lebih-lebih lagi al-Quran adalah kitab suci umat Islam,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Islam Daerah Bentong, Abdul Aziz Abdul Karim ketika diminta mengulas berhubung perkara itu berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkaitan ayat al-Quran yang dicetak bersama nombor ramalan, namun pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, tindakan mencampuradukkan perkara baik dan kurang baik itu perlu dielakkan bagi mereka beragama Islam.

“Kita perlu menjauhi perkara ini kerana banyak lagi perkara lain yang boleh mendatangkan pahala. -SH

Najib Bayar A$420,000 Kepada APCO Untuk Khidmat Nasihat 6 Bulan

Kerajaan Umno-Barisan Nasional didakwa telah membayar A$420,000 (RM1.6 juta) kepada firma antarabangsa APCO Worldwide yang dikaitkan dengan rejim Zionis Israel untuk khidmat runding selama enam bulan.

Dalam surat yang bertarikh 15 Julai 2009 dengan menggunakan kepala surat rasmi Jabatan Perdana Menteri dan dialamatkan kepada Paul Stadlen, kerajaan Malaysia mengesahkan terma yang dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan bersama APCO pada 10 Julai 2009.

Salinan surat tersebut yang dimuatnaikkan dalam blog dan internet didakwa telah ditandatangani oleh Samsuri Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kewangan dan Pembangunan di Jabatan Perdana Menteri.Surat Penerimaan setebal lima mukasurat itu menggariskan bidang kerja APCO kepada kerajaan Malaysia di bawah tajuk 'Public Affairs and Goverment Affairs Services' atau Perkhidmatan Perhubungan Awam dan Kerajaan.

"Dengan penerimaan kerajaan terhadap tender yang dikemukakan oleh pihak tuan, adalah dimaklumkan bahawa kini wujud ikatan kontrak antara kerajaan dan pihak tuan.

"Satu perjanjian yang lebih lengkap yang memasukkan semua terma dalam tender akan ditandatangani. Pihak tuan akan dimaklumkan apabila dokumen kontrak siap untuk ditandatangani," kata surat tersebut.

Surat itu yang juga ditandatangani oleh Paul Stadlen yang mewakili Mind Teams Sdn Bhd dan APCO Worldwide sebagai kontraktor serta Ronald Barnetto dari England sebagai saksi antara lain menggariskan empat bidang kerja utama berkaitan hubungan awam yang menjadi sasaran khidmat runding APCO kepada kerajaan Malaysia.

Mereka menandatangani surat penerimaan itu pada 21 Julai 2009.

Stadlen kini adalah Pengarah Urusan APCP Worldwide cawangan Malaysia.

Ini termasuk penyelidikan, pembangunan strategi dan mesej utama, pencapaian serta perundangan dan pematuhan.

Di bawah bidang penyelidikan, APCO dikehendaki mengenalpasti bidang kerjasama antara kerajaan Malaysia dan pemerintah Amerika Syarikat yang signifikan dan selari, membangunkan mesej komunikasi dengan pembuat dasar Amerika Syarikat dan tokoh penting masyarakat sivil serta mengenalpasti pegawai kerajaan, 'think tank', wartawan, NGO yang relevan kepada hubungan Malaysia-Amerika Syarikat.

Dalam sektor pembangunan strategi dan mesej utama pula, APCO akan memberi khidmat sokongan kepada Kedutaan Malaysia di Washington dan kerajaan Malaysia dalam melaksanakan program bagi mengukuhkan hubungan dan persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Bagi khidmat pencapaian pula APCO akan membantu mengeratkan hubungan dengan 'think tank', melaksanakan kempen mempromosi Amerika Syarikat bersama sektor perniagaan penting di Malaysia dan melaksanakan kempen media bebas Amerika Syarikat. -SK

22 Pelajar IPTA/IPTS Dihadapkan Ke Mahkamah Syariah Shah Alam

Di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, 22 remaja lelaki dan 3 gadis yang juga pelajar IPTA/IPTS didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral pada 15 November tahun lalu.

Hakim Syarie Kamaruzzaman Ali menjatuhkan hukuman denda antara RM2000-RM3000 terhadap 10 remaja lelaki selepas mereka mengaku bersalah manakala 12 remaja lelaki dan 3 gadis yang mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan ikatjamin antara RM1500 hingga RM2500 dengan seorang penjamin.

Kes ini akan disebut semula 7 Julai ini.

Mahkamah juga turut memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap 6 remaja lelaki dan empat gadis kerana gagal hadir ke mahkamah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 29 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Semua mereka ditahan oleh penguatkuasa agama Islam Selangor pada jam 2.30 pagi 15 November tahun lalu di sebuah bilik di Intekma Resort Shah Alam Selangor.