18 Jan 2010

Tasyrif Mengaku Tidak Bersalah

Pelajar Akademik Seni Budaya dan Warisan (Aswara) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan aplikasi dalam Internet untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keselamatan orang lain, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

Tertuduh Mohamad Tasyrif Tajudin, 25, membuat pengakuan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan 4 Mac ini untuk sebutan semula kes itu.

Jumaat lalu, Tasyrif di hadapkan ke mahkamah sama tanpa pengakuan berhubung dakwaan yang dibuat ke atasnya.

Tasyrif didakwa menggunakan aplikasi Internet itu secara sedar untuk memberi komen di laman Facebook dengan niat untuk di laman sosial Facebook dengan niat untuk mengganggu orang lain dengan menggunakan akaun pengguna Shahrul Maizam, dengan menulis “ke nak kau baling bom petrol di sana plak?...harga boleh runding...”

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah bernombor B10-17-20, Blok 10, Jalan PJS 2B/1, Desa Mentari 2, Petaling Jaya pada 10 pagi, 10 Janari lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam bela Mohd Radzlan Jalaludin memohon agar wang jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan yang diwakili timbalan pendakwa raya Amirah Mohamed Yusuff dikurangkan kerana Tasyrif masih pelajar tahun pertama semester kedua jurusan perfileman di Aswara.

Aslam membenarkan Tasyrif diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Ikat jamin dibuat ayahnya, Tajuddin Awang, 51, pembantu awam di sebuah sekolah, selaku penjamin.

“DPP mintak RM10,000 tetapi kita berjaya kurangkan kepada RM6,000 dengan seorang penjamin,” katanya Peguam bela, Mohd Radzlan Jalaludin ketika ditemui di luar mahkamah.


Tasyrif Produk Sentimen Umno-BN

Umno-BN harus bertanggungjawab diatas penahanan pelajar tahun pertama Akademi Seni Budaya dan Warisan yang terbabit dalam tragedi serangan gereja.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor, Haniza Talha, berkata murid ini adalah mangsa percaturan politik Umno-BN dan media pemerintah yang rakus mengapi-apikan sentimen agama.

Mohamad Tasyrif Tajudin ditahan Jumaat lalu selepas mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengaitkan beliau kepada tragedi serangan gereja.

Melalui laman Facebook, Tasyrif berkata dia bertanggungjawab menyediakan bahan yang digunakan dalam bahan letupan dalam serangan keatas gereja yang tidak dinamakan.

Beliau juga mendakwa berada di tempat kejadian.

Tasyrif didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dibawah Seksyen 233(1) A
kta Komunikasi dan Multimedia 1998. Beliau mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Aslam Zainuddin pagi tadi.

Haniza berkata rakyat Malaysia harus insaf bahawa murid ini telah ditahan kerana termakan hasutan media Umno-BN.

“Siapa yang berkata dibenarkan demonstrasi isu-isu sensitif, siapa yang suruh bagi kebenaran macam itu? Bila isu sensitif seperti ini perkara yang dibimbangkan adalah ia tidak boleh dikawal.

“Jadi kalau awak (Najib) dah bagi lampu hijau, orang dah buat dan awak (Najib) tidak boleh kawal, itu kesalah awak (Najib). Itu keputusan yang tidak bijak untuk membenarkan perkara ini diperbesar-besarkan.

Lebih membimbangkan lagi apabila ketegangan ini tidak reda sejak Perdana Menteri Najib Abdul Razak memberi ‘lampu hijau’ kepada tunjuk perasaan tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat.

Sejak Jumaat lalu, 11 gereja di seluruh negara, sebuah kuil Gurdwara, sebuah masjid dan sebuah sekolah menjadi sasaran serangan dan vandalisme.

“Dia (Najib) memberi mesej yang salah, kononnya demokratik tetapi bila buat macam itu ia bagi mesej yang salah, memberitahu kepada orang bahawa perkara ini juga kita boleh tunjukkan kemarahan kita tidak kira sensitiviti orang lain, ini lah bendanya,”katanya.-TVS



PAS seru rakyat Malaysia bersatu kecam keganasan

Bertempat di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran telah berlangsung Makan Malam Perdana 2010. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato' Dr. Hassan Bin Mohamed Ali dan Tuan Haji Ismail Bin Arsat.

Di majlis ini, YB Dr. Abd Rani Osman, ADUN Meru turut memberi ucapan. Dan di dalam ucapan beliau sempat menyeru agar penganut agama Islam dan Kristian saling bertoleransi kerana kerjasama antara Islam dan Kristian sudah terjalin sekian lama.

"Orang Yahudi kata, keluarkan orang Islam kami nak bunuh. yang keluar adalah pastur-pastur, father-father, dia kata if you want to kill the muslim, kill us first. Cross our death body. Itu kata paderi-paderi. Bunuh kami dulu sebelum kamu bunuh orang Islam menyebabkan orang-orang Islam itu terselamat. Yang ini kita hendak beritahu dunia bahawa kerjasama ini dah lama, Kita hendaklah bergerak atas benda kita kesamaan, bersifat toleransi."katanya.

Beliau turut mengajak supaya semua penganut agama perlu kembali kepada ajaran agama masing-masing agar keamanan Malaysia terjamin.

"Saya bagitahu dimana-mana, sama ada saya pergi ke kuil, sama ada saya pergi ke tokong cina, sama ada saya pergi ke church, saya ulang balik apa yang Tok Guru sebut tapi saya tambah sikit la, saya kata kalaulah orang-orang India balik pada ajaran agama mereka, kalau orang-orang cina, berbalik balik pada ajaran agama mereka, kalau orang kristian balik balik visit your church, do what the bible told you to do dan kalau orang-orang Islam balik pada ajaran Quran mereka. Malaysia ini InsyaAllah Allah Taala jadikan negara yang cukup aman."ujarnya lagi.

ADUN Pandamaran, YB Ronnie Liu Tian Khiew turut berucap pada majlis tersebut berpendapat tindakan demonstrasi Umno di Shah Alam sedikit sebanyak turut memberi kesan terhadap sensitiviti agama di Malaysia.

"Saya sangat-sangat bersetuju dengan Tok Guru kerana dia katakan apa yang dilakukan oleh Umno apabila pemimpin mereka mengetuai demonstrasi di Shah Alam dimana mereka membawa kepala lembu. Tindakan itu telah menjadikan sensitiviti agama di Malaysia jadi kurang atau hilang. Sebab itu sekarang ada orang yang ekstrimis yang berani menyerang gereja."katanya.

Sebelum mengakhiri ucapan beliau, Ronnie sempat meminta agar pemimpin Umno tidak memberi sebarang statement sensitif yang boleh menyebabkan kemarahan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Malam ini saya meminta semua pemimpin Umno lebih cermat lebih careful janganlah keluarkan statement yang sensitif yang negatif yang ada unsur menghasut orang yang ekstrimis membuat kelakuan yang jahat. Malaysia ini kita semua faham merupakan satu masyarakat yang majmuk dimana ada bangsa semua. Saya masih ingat Tok Guru beritahu kita jangan memandang rendah apa-apa bangsa kerana walaupun kulit kita berwarna lain, kalau pisau nak bukak, darah samanya merah."ujarnya lagi. -TVS



Kelantan : Exco Yang Mana Bocorkan Maklumat OSA

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa hari ini menyarankan agar siasatan berhubung kebocoran maklumat mengenai kompleks perniagaan Bazar Tok Guru dimulakan dengan anggota exco Kelantan.

Mengusulkan perkara itu kepada Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau berkata langkah tersebut bagi mengelakkan perbuatan menuding jari serta prasangka yang berterusan di antara satu sama lain.

"Jalan yang paling mudah rasa saya ialah Tok Guru (Nik Aziz) memanggil majlis dan dengan menggunakan apa-apa kaedah yang diajar oleh Islam, mencari orangnya," kata beliau menerusi blognya cetusanhati.blogspot hari ini.

Husam mengulas mengenai pendedahan maklumat yang dibincangkan dalam mesyuarat exco pada minggu lepas itu oleh Syed Azidi Syed Abdul Aziz menerusi blognya Kickdefella.

Syed Azidi mendakwa kerajaan Kelantan kerugian RM50 juta dalam isu kompleks Bazar Tok Guru itu ekoran berlaku penyelewengan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang juga menantu Nik Abdul Aziz.

Berikutan pendedahan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan dilapor meminta Nik Abdul Aziz menyiasat kebocoran maklumat tersebut kerana keputusan mesyuarat exco tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). - BERNAMA


Rasa-Rasa Macam Kenal Orang Yang DiMaksudkan Husam

Isu kebocoran maklumat dan minit mensyuarat Bazar Tok Guru telah menimbulkan tandatanya siapa yang bocorkan maklumat. Kata Husam Musa dalam blog beliau yang bertajuk 'Cerita Bazar';

Jika 'kebocoran' ini perlu disiasat, saya sangat menyokong. Ia boleh mengelakkan ada mana-mana pihak menjadi mangsa permainan- baik bernama sangkaan atau tudingan. Jalan yang paling mudah, rasa saya, ialah Tok Guru memanggil majlis dan dengan menggunakan apa-apa kaedah yang diajar oleh Islam, mencari orangnya. Ia boleh bermula dengan Ahli Exco sendiri supaya ia tidak berpanjangan dan berterusan dalam prasangka.

Juma'at lalu, Mahkamah Rayuan di Putra Jaya telah menolak rayuan seorang peniaga yang telah menyaman Akademi Keluarga Bahagia atas isu pembekalan baka-baka kambing. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah juga menolak permohonan mereka.

Isu ini telah dikaitkan dengan saya sedemikian lama oleh seorang penulis blog. Sesekali tulisan penulis blog ini semacam menunjukkan ada maklumat dalaman. Pada masa yang sama, penulis ini berkawan rapat dengan pemimpin dan orang tertentu. Malah permit penerbitannya digunakan untuk menerbit satu tabloid pro PAS.

Rasanya sudah lebih empat tahun blog ini mencincang saya berbagai gaya.

Saya mengambil sikap tidak bertindak balas baik pada penulis blog tersebut mahu pun rakan-rakannya yang sesetengahnya juga adalah rakan saya.
Baca di sini

Kata pula Takiyudin Hasan Exco Kerajaan Kelantan dalam isu minit mensyuarat yang bocor;

“Keputusan ini dibuat pada Rabu lepas dan minit mesyuaratnya pun belum disahkan lagi, soalnya bagaimana maklumat ini boleh bocor.

"Saya minta Menteri Besar supaya menjalankan siasatan berhubung kebocoran maklumat ini kerana kita bimbang akan menimbulkan isu yang tidak sepatutnya pada masa depan,” katanya di sini hari ini.-Utusan Malaysia Online, Baca di sini

Ketua Pembangkang Dun Kelantan Alwi Che Ahmad pula dengan sinis menempelak Tok Guru dalam isu Bazar yang dikatakan rugi itu.

"Dalam dewan kita telah sebut bahawa perjanjian dengan sebuah syarikat swasta itu memang dari dulu berat sebelah, tapi sebab dia (Nik Abdul Aziz) degil nak dengar sangat nasihat menantu yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), sekarang kerajaan negeri kena tanggung rugi.

"Sudahlah Kelantan tidak cukup perbelanjaan mengurus kena pula tanggung rugi besar. Sebab itulah wang ihsan minyak tidak disalur kepada kerajaan negeri sebab yang ini pun dia tak pandai nak urus," dakwanya ketika dihubungi di sini hari ini.-Utusan Malaysia Online.

Nasib Tok guru diserang kiri dan kanan depan dan belakang atas dan bawah. -misaimerah


Ulasan GB

Kita semua kenal blogger itu, MSO, tetapi siapa exco yang membocorkan maklumat daripada mesyuarat exco kepada blogger berkenaan?

Beliau sepastinya seorang exco yang bercita-cita tinggi, untuk menjadi MB. Beliau memusuhi Husam, geram kepada Husam yang menjadi kesayangan TGNA.

Terang dan jelas atau masih samar?

Buaya Di Port Dickson, Penafian MB N9 Kurang Meyakinkan

Jika benar dakwaan ada buaya di pantai Port Dickson, reptilia itu telah tersesat dan tidak mungkin boleh hidup lama disebabkan sukar mencari makanan berbanding habitat asalnya, Kosmo dipetik.

Pensyarah Institut Oceanografic Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Sulung Ibrahim berkata, kehadiran buaya di kawasan pantai bukan sesuatu yang mustahil kerana ia boleh hanyut dan dibawa arus pada waktu banjir.

"Walaupun secara rasionalnya buaya dari muara Sungai Linggi tidak mungkin hanyut ke Port Dickson kerana jauh, tidak mustahil jika ia datang dari sungai-sungai kecil berhampiran,'' jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo! Ahad semalam melaporkan insiden membabitkan seorang posmen, Mohamad Helme Leman, 25, dari Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka yang menerima 50 jahitan selepas mendakwa dia diserang haiwan dipercayai seekor buaya ketika mandi di pantai itu pada 2 Januari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan hari ini luka di kaki seorang pengunjung ke pantai Port Dickson bukan akibat serangan buaya atau ikan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang menerima laporan dari pakar-pakar perubatan menyatakan, kesan luka tersebut mungkin disebabkan oleh punca lain tetapi bukan dari haiwan ganas.

"Ini bukan saya kata tapi menurut pakar yang meneliti kes itu, kita tidak pasti apa yang menyebabkan luka itu tapi macam-macam kemungkinan, mungkin terumbu karang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Katanya, belum pernah berlaku dalam sejarah Port Dickson, pengunjung diserang oleh binatang liar seperti buaya atau ikan yu.

Banyak pihak berpendapat kenyataan MB Negri Sembilan adalah usaha kerajaan negeri untuk memulihkan keyakinan pelancong ke pantai Port Dickson yang terjejas akibat tersebarnya berita mengenai kehadiran buaya berkenaan.

Sekalipun jaminan diberikan oleh kerajaan Negeri Sembilan terhadap keselamatan pelancong, namun laporan pakar tidak jelas dan oleh itu masyarakat masih ragu-ragu kerana rakaman kehadiran buaya itu bukan sekadar rekaan tetapi adalah berserta dengan imej yang tidak dapat disangkal.


Kelibat Buaya Di Tanjung Tuan





PORT DICKSON: “Saya tidak menyangka ketika cuba meneropong pelbagai raptor di kawasan ini tiba-tiba objek yang saya lihat dalam teropong itu adalah seekor buaya,” kata Ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Khoo Swee Seng, semalam.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin ketika dia dan isteri bersama dua sukarelawan datang ke Tanjung Tuan dekat sini, untuk memenuhi hobinya meneropong pelbagai jenis raptor di kawasan itu dan terkejut apabila ternampak kehadiran seekor buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter.

“Setiap tahun saya datang ke Tanjung Tuan sempena Minggu Melihat Raptor untuk menyaksikan penghijrahan pelbagai jenis raptor seperti helang yang menyeberang dari Pulau Rupat, Sumatera ke sini, tetapi kali ini, saya tidak menyangka seekor buaya berada di kawasan ini.

“Buaya yang dipercayai buaya air masin atau nama saintifiknya, estuarine crocodylus prosus, muncul kira-kira 20 meter dari pantai selama kira-kira 30 minit dan kelihatan bergerak melawan arus ke arah selatan,” katanya di sini, semalam.



Senarai Negeri Boleh Guna Kalimah Allah Sudah Bertambah

Minggu lalu, Menteri di JPM, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan kerajaan membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak untuk merujuk Tuhan dalam Bahasa Melayu. Tapi baru sebentar tadi Nazri mengumumkan masyarakat Kristian di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan juga boleh menggunakan kalimah "Allah".

Pendirian itu difahamkan berkaitan dengan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988. Setakat ini 10 negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan menguatkuasakan enakmen itu yang melarang orang bukan Islam daripada menggunakan secara bertulis atau lisan ungkapan dan perkataan yang dilarang.

Jadi kerajaan sudah buat keputusan sebelum Mahkamah Rayuan buat keputusan. Cuma berbeza dengan mahkamah, keputusan kerajaan boleh berubah-ubah dalam tempoh satu minggu. Minggu depan mungkin ada keputusan lain pula. Mungkin minggu depan Nazri akan mengumumkan semua masyarakat Kristian 1Malaysia boleh gunakan nama Allah atau mungkin semua mereka tak boleh guna nama Allah. -pendikargunung



Karpal Tunai Janji, Heret CPO Selangor Ke Mahkamah

Pengerusi DAP, Karpal Singh membuat laporan polis terhadap ketua polis (CPO) Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang didakwanya telah melakukan fitnah dan ugutan jenayah.

Karpal, seorang peguam terkemuka, membuat laporan tersebut di ibupejabat balai polis Ipoh hari ini.

Laporan tersebut berhubung kenyataan Khalid berkaitan dengan setiausaha agung DAP yang juga ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya mengenai Teoh Beng Hock.

Lim sedang disiasat berhubung kenyataannya itu yang diklasifikasikan sebagai berunsur hasutan.

Dalam laporannya itu, Karpal berkata walaupun Khalid - pada 15 Januari lalu - menafikan polis mengugut untuk menangkap Lim, tetapi katanya ketua polis Selangor itu telah mengesahkan bahawa satu kenyataan telah diambil dari Lim pada 9 Januari.

Salinan artikel bertarikh 16 Januari dalam akhbar The Star turut dikembarkan bersama laporan tersebut.

Sementara itu, Karpal juga membuat satu lagi laporan polis terhadap pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani.

Karpal mendakwa Raub yang bertugas di cawangan siasatan SPRM di Putrajaya, telah membuat laporan polis palsu terhadap pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.

Pada 1 Januari lalu, Raub membuat laporan polis terhadap Dr Pornthip selepas sebuah artikel dalam akhbar PKR - Suara Keadilan - mendakwa hasil bedah siasat kedua menunjukkan Teoh telah dibunuh.

Seorang lagi pegawai SPRM, Hisham Mohd Yusoff membuat laporan polis terhadap Suara Keadilan pada hari yang sama.

Bagaimanapun, akhbar PKR itu kemudiannya menjelaskan bahawa sumber maklumat tersebut adalah para pegawai Kementerian Kesihatan.

Pada hari Jumaat, peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Dr Pornthip - saksi terpenting dalam inkues Teoh - tidak melakukan sebarang kesalahan.

Karpal menegaskan bahawa pendedahan Suara Keadilan itu dan kenyataan peguam negara itu, jelas menunjukkan Raub telah membuat laporan palsu.

Salinan dua laporan polis itu diperolehi pihak media petang ini selepas konvensyen nasional DAP di Ipoh berakhir. -malaysiakini video -TVS



Desakan Letak Jawatan, Apakah Mereka Mendengarnya?

Beberapa pemimpin bagi pertubuhan orang kurang upaya (OKU) melancarkan demonstrasi aman menuntut Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kasim Mohamed supaya meletakkan jawatan.

Desakan tersebut ekoran peguam yang mewakili SPRM, Datuk Abdul Razak Musa telah menghina peguam OKU yang mewakili mendiang Teoh Beng Hock, Karpal Singh di kamar perbicaraan minggu lalu.

"Dia (Abu Kassim) perlu letak jawatan, dia tidak layak memimpin SPRM. (Abdul) Razak perlu diambil tindakan kerana menghina seorang OKU.

"Penghinaan dia (Abdul Razak) ‘saya boleh duduk, tetapi kamu (Karpal) tidak boleh bangun’ ini suatu penghinaan kepada seluruh OKU di Malaysia," kata Setiausaha Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC), Gurdip Kaur @ Rina pagi tadi.

Bercakap di depan Rumah Persekutuan yang menempatkan pejabat SPRM, beliau menganggap Abu Kasim dan Abdul Razak sendiri tidak menghormati hak asasi seluruh OKU di Malaysia.

"Sebagai penjawat kerajaan, sepatutnya beliau boleh menerima kunjungan kami. Kami sudah hantar surat (janji temu), tetapi mereka langsung tidak layan, seolah-olah tidak hormati hak kami" jelasnya.

Beliau turut berdoa supaya Tuhan membalas penghinaan terbabit.

"Suatu hari nanti, saya berdoa kepada Tuhan supaya mereka berdua (Abu Kassim dan Abdul Razak) duduk di atas kerusi ini kerana mereka tak tahu menghormati sensitiviti kami semua," katanya.

Turut mempertikai tindakan menghina oleh Abdul Razak dan Abu Kassim adalah Presiden Persatuan Terapi Bantuan Haiwan Untuk Warga Kurang Upaya dan Warga Emas, Malaysia (Perpositive).

"Mengapa begitu susah (Pengarah SPRM) turun (bertemu kami) di sini, mereka bukannya OKU.

"Dia (Abdul Razak) dan Abu Kassim begitu mudah menghina OKU di dalam mahkamah, mengapa begitu susah bersemuka dengan kami memohon maaf," katanya.

Beliau turut menuntut suatu tindakan disiplin dikenakan ke atas Abdul Razak.

Manakala, SPRM pula diminta memohon maaf secara terbuka kepada seluruh OKU serta berjanji tidak mengulangi diskriminasi tersebut.

Penasihat undang-Undang dan bagi badan Rakyat Anti-Diskriminasi ke atas OKU Malaysia (MADD), N. Surendran yang ditemui kemudian mengutuk layanan SPRM ke atas beberapa tuntutan para pemimpin OKU terbabit.

Sebelum pada itu, lebih sejam para pemimpin tersebut terpaksa melaung 'SPRM perlu minta maaf' dan 'jangan hina kami' sambil mengangkat beberapa kad protes.

Bagaimanapun, Pengarah SPRM, Hajah Azni Hamzah yang pada awalnya dilaporkan enggan melayan para pemimpin terbabit, akhirnya terpaksa menurut kehendak mereka. -harakahdaily


Isu gereja: Hishammuddin, Musa wajar letak jawatan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan wajar melepaskan jawatan atau diberhentikan berikutan kegagalan mengawal kejadian pembakaran dan pencemaran ke atas gereja yang sangat memalukan negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keadaan itu terus memberikan imej yang buruk kepada negara kerana dilihat tidak mempunyai keupayaan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam untuk rakyat.

Katanya, kegagalan itu perlu dipertanggungjawab ke atas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Hishammuddin dan Musa yang jelas gagal untuk mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) dan NKRA kedua-dua institusi tersebut.

“Oleh itu, amat wajar Hishammuddin dan Musa melepaskan jawatan atau diberhentikan dari jawatan masing-masing atas kegagalan mencapai KPI masing-masing,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, apa guna bercakap dan bermesyuarat berkenaan KPI apabila KPI paling penting untuk KDN dan PDRM ialah menjaga keselamatan rakyat dan harta benda rakyat tidak dapat dijamin.

Ini, ujarnya dapat dilihat dengan kejadian terbaru di sebuah gereja di Kota Tinggi yang boleh mengakibatkan berlaku pertembungan antara kaum dan agama di kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, kabinet Datuk Seri Mohd Najib Razak hanya bercakap besar tentang pencapaian KPI, walaupun sudah dua kali kabinet membincangkannya, tiba-tiba kewajipan asas kerajaan amnya dan KDN serta PDRM khasnya untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta menjaga harta benda rakyat tidak dapat dilakukan.

“Hishammuddin dan Musa kena berhenti atau diberhentikan daripada jawatan masing-masing dan Najib kena tunjuk pada rakyat ‘kaki bangku’ seperti kedua-duanya tidak ada tempat dalam kabinet dan kerajaan.

“Buang saja mereka, baru Najib boleh bercakap walk the talk,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.


Ulasan GB

GB terharu dengan desakan dari OKU supaya Pengerusi dan peguam SPRM meletakkan jawatan ekoran penghinaan SPRM terhadap Karpal Singh.

Dan sengaja GB lampirkan berita kedua - berita mengenai desakan Mahfuz Omar supaya Menteri KDN Hishamuddin Hussein dan KPN, Musa Hassan melatkkan jawatan mereka masing-masing.

Persoalan yang ada ialah pernahkah berlaku mereka dari kumpulan kerajaan UMNO BN serta agensi mereka ini meletakkan jawatan apabila didesak melakukan demikian?

Tidak pernah. Kerana negara kita berstatus negara korup. Desaklah berpuluh kali supaya mereka meletakkan jawatan, mereka tidak akan melakukan demikian. Mereka tahu mereka disokong oleh pimpinan negara sendiri yang korup.

Namun desakan sedemikian tetap mesti diteruskan. Apabila mereka tidak mahu mendengarnya, namun yakinlah Allah mendengarnya.

Yang pernah disuruh letak jawatan tapi enggan, kemudian Allah campurtangan merembat mereka keluar diantaranya:

1) Abdullah Ahmad Badawi
2) Samy Vellu
3) Chua Soi Lek
4) Syed Hamid Albar
5) Rafidah Aziz
6) Augustine Paul
7) Ahmad Said Hamdan
...

Berbeza pula dengan TG Nik Aziz. Lagi UMNO desak untuknya letak jawatan, lagi Allah perkukuhkan kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri Kelantan dan Mursyidul Am. 200 orang suruh beliau letak jawatan, 20,000 bangkit mempertahankannya!

Namun tak semua pemimpin PAS menikmati "keistimewaan langit" itu. Ada juga yang nak kena rembat keluar apabila mereka nak sangat dengan UMNO. GB ada suruh mereka letak jawatan dalam posting terdahulu. Teka siapa mereka itu? (fill in the blanks)

1)
2)
3)
4)

.....


GAPENA Juga Perlu Lihat Pemimpin Melayu Yang Menzalimi Bangsanya

Gabungan Penulis Nasional (Gapena) melahirkan kebimbangan dengan kewujudan segelintir pemimpin Melayu yang didakwanya sebagai tidak cintakan bangsa sendiri.

Ketua Satu Gapena Tan Sri Ismail Hussein berkata mereka sepatutnya menjadi pihak yang sentiasa berbangga dengan kemajuan bangsa sendiri dan bukannya mengaibkan bangsa sendiri.

"Sebagai contoh, ada pemimpin Melayu yang bersikap anti sastera Melayu," katanya semasa merasmikan seminar kenegaraan dan jati diri Melayu peringkat negeri Perlis di Kangar semalam, lapor Bernama.

Selain itu, beliau berharap bangsa Melayu terus dimartabatkan sewajarnya dalam gagasan 1Malaysia.

Menurutnya, Gapena telah mengadakan hubungan dengan hampir semua kelompok Melayu di seluruh dunia dan ini menunjukkan kaum Melayu begitu besar dan bangsa itu perlu dimartabatkan.

Seminar anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Gapena dengan kerjasama Persatuan Penulis Perlis (3P) itu dihadiri kira-kira 100 peserta daripada pelbagai pertubuhan budaya dan sastera di Perlis. -BERNAMA

Ulasan GB

Tan Sri Ismail Hussein mungkin lupa untuk melihat bahawa sekeping duit syiling itu ada dua muka.

Mengapa hanya sentuh kewujudan segelintir pemimpin Melayu tidak cintakan bangsa sendiri tetapi tidak juga melihat kewujudan pemimpin Melayu yang zalim terhadap bangsanya sendiri?

Berapa kalikah UMNO telah menzalimi negeri-negeri yang diperintah oleh orang Melayu yang beragama Islam sendiri seperti yang dilakukan di Kelantan da Terengganu?

Pemimpin Melayu inilah juga yang melakukan pelbagai perencanaan untuk menghancurkan kerajaan-kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu sendiri.

Malahan hak-hak rakyat Melayu Islam Kelantan dan Terengganu dinafikan. Peruntukan pembangunan disekat, hak royalti mereka dirampas.

Bercakap mengenai soal bahasa dan sastera, Tan Sri pun sedia maklum jika tanpa tentangan dari "pemimpin-pemimpin" Melayu dari parti bukan pemerintah yang memobilasikan rakyat menentang PPSMI, agaknya bahasa Melayu pun hanyut entah ke mana.

Masih Cauviniskah DAP?

Meskipun setiausaha agung DAP terus berusaha mempromosikan agar ia lebih kelihatan sebagai parti pelbagai kaum, perwakilan kalangan Melayu jelas tidak ketara ketika berlangsungnya konvensyen kebangsaan hari ini.

Perwakilan kaum Melayu nampak ‘tenggelam’ dalam lautan lebih 1,200 orang yang menghadiri konvensyen sehari di Syuen Hotel di sini.

Setiausaha agung Lim Guan Eng mengakui hakikat ini dengan menjelaskan bukan tugas mudah bagi DAP untuk menarik orang Melayu menyertai parti itu.

“Kami masih berusaha untuk menyangkal propaganda negatif terhadap kami sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jadi kami memerlukan lebih banyak masa (dalam mencapai matlamat ini),” katanya.

“Saya juga berpendapat bahawa ia persoalan tentang pilihan... ada parti-parti lain yang kemungkinan menjadi tarikan orang Melayu,” tambah Lim.

Menurut setiausaha pengelola kebangsaan DAP Teresa Kok, parti itu hanya mempunyai lebih 1,000 ahli kalangan Melayu iaitu satu peratus daripada keseluruhan anggota di seluruh negara.

DAP merasakan kekurangan ini selepas mencapai prestasi memberangsangkan dalam pilihan raya Mac 2008 khususnya di negeri Perak.

Banyak cawangan diketuai orang Melayu dikatakan mula ditubuhkan di negeri itu.

Bagaimanapun Lim menjelaskan DAP sedang merekodkan kemajuan dalam mendaftar lebih ramai ahli daripada kalangan orang Melayu, situasi yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

“Kami mencatatkan kemajuan tetapi bukan mudah apabila anda mempunyai, kemungkinan, apa yang dilihat sebagai pilihan-pilihan menarik seperti parti PKR dan PAS.

“Lebih-lebih lagi kami tidak mahu bersaing dengan sekutu kami sendiri,” katanya.

Lim menambah apa yang lebih penting adalah mempunyai lebih ramai ahli dalam Pakatan Rakyat secara keseluruhan.

“Kami adalah dalam satu keluarga, jadi ia bukan satu masalah. Kami tidak mahu melihat pada diskriminasi tetapi kami mahu melihat pada manfaat (pada akhirnya).

“Apa yang penting adalah prinsip kita dan dasar kami dan sama ada ia bermanfaat kepada semua,” katanya.

Malah DAP juga pernah dilabelkan sebagai parti masyarakat Cina yang didominasi kaum lelaki semata-mata, imej yang cuba dikikis oleh parti itu khususnya selepas keputusan pilihan raya umum 2008.

Dalam ucapan pembukaannya pagi tadi Lim mengetengahkan konsep “Malaysia Sederhana”, mengajak semua komponen dalam Pakatan Rakyat memperjuangkan asas kesederhanaan, seimbang dan amalkan toleransi.

Di sebalik usaha DAP ini, rakannya dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS yang sebelum ini dianggap sebagai parti ekstremis, kini mula mengamalkan keterbukaan dan kesederhanaan, mengatasi DAP pula.

Minggu lalu PAS telah meluluskan draf perlembagaan untuk menaikkan taraf Kelab Penyokong PAS menjadi Dewan Perhimpunan Penyokong PAS, yang kini mempunyai 20,000 ahli bukan Islam.

Dewan ini akan dilancarkan April ini. -MI

Ulasan GB

Menyentuh tentang penyertaan orang Melayu di dalam DAP, mengingatkan saya tentang satu majlis forum anjuran mahasiswa di sebuah IPT kira-kira hampir tiga dekad yang lalu.

Saya diberikan penghormatan untuk menjadi seorang pengerusi kepada majlis berkenaan. Panelisnya Mohd. Sabu, semasa itu seorang aktivis Pemuda PAS dengan seorang lagi pemimpin DAP berbangsa Melayu dari Teluk Intan, Fadzlan Yahya nmanya, yang pada ketika itu beliau ialah ADUN Pasir Berdamar.

GB terlupa tentang isu apa yang dibincangkan pada forum berkenaan, tetapi yang nyata, sewaktu GB memperkenalkan YB Fadzlan kepada majlis, beliau telah diboo oleh sebilangan mahasiswa. Fadzlan tidak lansung menampakkan wajah resah atau cemas. Beliau amat menyedari tentang sikap "orang Melayu" ketika itu yang skeptikal terhadap parti DAP, yang rata-rata berpersepsi bahawa ia adalah parti cauvinis Cina.

Sewaktu Fadzlan sedang menyampaikan hujjah, Mohd Sabu menulis sekeping kertas kepada saya, "Fadzlan Sosialis!".

Saya hanya mampu senyum dan semasa soal-jawab, mahasiswa/i lebih suka mengajukan soalan kepada Mohd Sabu. Sebagai pengurusi yang sepatutnya bertindak "impartial", saya membuka ruang kepada Fadzlan untuk memberikan pendapatnya walaupun tiada soalan yang dikemukakan kepadanya. Saya terpaksa mencipta soalan dan bertanya kepada Fadzlan.

"Mengapa Fadzlan memilih DAP sebagai platform memperjuangkan hak rakyat?"

Fadzlan dengan tenang menyatakan bahawa beliau lebih suka berpolitik dengan kaum asing. Apatah lagi kawasannya didominasi oleh lebih 90% kaum Cina. Kesediaan DAP menerimanya sebagai wakil untuk kawasannya membuktikan persepsi bahawa DAP sebagai parti cauvinis Cina tidak tepat.

Masa berlalu, dan kini, DAP sebagai sekutu di dalam Pakatan Rakyat telah lebih diterima oleh rakyat berbangsa Melayu. Kehadiran pemimpin-pmimpin DAP di dalam setiap kali pilihanraya kcil yang ditandingi oleh PAS membuktikan bahawa DAP mula mengorak langkah untuk menjadi mereka sebuah parti yang lebih diterima oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

PAS dan PKR menerima DAP dengan hati terbuka, dan yang pasti ialah "keikhlasan" di dalam perjuangan tiga parti berkenaan menjadikan PR sebagai satu kuasa baru yang bakal menumbangkan Barisan Nasional yang hampir pupus itu.

UMNO sedaya upaya menghasut masyarakat Melayu supaya menolak DAP. Tetapi usaha UMNO tidak banyak mendatangkan kejayaan apabila UMNO yang perjuangannya berteraskan kepada perkauman Melayu sudah berada di pinggir jurang kemusnahan.

Islam mengajar "Melayu" supaya tidak menjadikan "kebencian kepada sesuatu kumpulan menyebabkan kita tidak berlaku adil. Kita disuruh berlaku adil kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa."

Dengan sebab itu juga, Mursyidul Am PAS boleh berucap di rostrum DAP. Lim Guan Eng boleh menyumbangkan sebuah LCD besar kepada PAS untuk PRK Kuala Terengganu tahun lalu. Itu semua menyakitkan lagi hati UMNO yang memang berpenyakit.

1Malaysia - UMNO BN berslogan. Pakatan Rakyat yang melaksanakannya.