4 Jan 2010

Rakyat Terus Dibeban Kenaikan Harga Barang

Tinjauan Detik Selangor, buletin harian hanya di TVSelangor.com, siaran secara langsung TV sesawang maya ini, mendapati rungutan ramai kalangan rakyat bahawa mereka terus dibeban dengan kenaikan harga barang pengguna, khususnya kenaikan harga gula sejumlah 20 sen sekilo, berkuatkuasa semalam.

Rakyat dibebankan kenaikan harga gula dari RM1.45sen sekilo kepada RM1.65sen di Semenanjung dan RM1.75sen di Sabah dan Sarawak.

Bendahari Agung FOMCA Mohd Yusof Abdul Rahman mengingatkan rentetan kenaikan lain-lain barangan pengguna akibat dari keputusan kerajaan Barisan Nasional menaikkan harga gula ini.

Dinyatakannya demikian dalam rancangan Apa Khabar Selangor, hanya di TVSelangor.com di sini semalam.

Mohd Yusof Abdul Rahman turut mendedahkan siapa Raja Gula dulu, Robert Kuok, dan kini, Syed Mokhtar Al-Bukhari yang mungkin meraih manfaat dari kenaikan ini khususnya harga gula.

Mohd Yusof Abdul Rahman mengkritik Belanjawan 2010 Kerajaan Malaysia sebagai tidak banyak memanfaatkan rakyat.

Tambahnya terdahulu harga minyak telahpun dinaikkan, diikuti dengan harga rokok pada 2009, dan di pembukaan 2010 kerajaan Barisan Nasional pimpinan YAB Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak telah memutuskan kenaikan harga gula serta menarik kembali subsidi roti putih.

Kejutan seterusnya menurut Mohd Yusof Abdul Rahman ialah kenaikan harga minyak petrol dan diesel dijangka Mei depan.

Satu kelemahan bersabitan kenaikan harga barangan pengguna menurut pandangan pemimpin FOMCA ini, ialah ketiadaannya Suruhanjaya Harga di Malaysia, diwujudkan supaya ada kawalan ke atas sesiapa yang ingin menaikkan harga barang secara wewenang.

Walaupun disertakan dalam sesi dialog, namun FOMCA tidak dirujuk kerana tiada keperluan berbuat demikian dalam penentuan berapa kenaikan harga gula, katanya lagi.

Di kalangan rakyat ada yang bertanya inikah kelebihan 1Malaysia yang digembar-gemburkan bahawa rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan? -TVS



Apabila Kalimah Allah Hanya Sebagai Tangkal

Isu Kalimah
Oleh Khalid Samad

Isu kalimah ‘Allah’ kembali mendapat perhatian umum semenjak keputusan mahkamah untuk membenarkan majalah ‘The Christian Herald’ menggunakannya. Ada yang menyatakan saya menyokong malah menggalakkan penggunaan perkataan Allah oleh masyarakat Kristian. Sebenarnya kenyataan tersebut tidak benar. Saya tidak menyokong ataupun menggalakkannya. Saya sekadar menyatakan bahawa penggunaan kalimah tersebut oleh masyarakat bukan Islam merupakan satu perkara yang diharuskan berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan kebiasaan masyarakat antarabangsa, khususnya masyarakat Arab.

Kenyataan saya sebelum ini merupakan ‘a statement of fact’ atau satu kenyataan fakta dan soal saya menyokong atau menggalakkannya tidak timbul sama sekali. Ianya dipohon bukan oleh saya tetapi oleh sebahagian masyarakat Kristian tanpa apa-apa dorongan dari saya. Namun, apabila saya ditanya, saya menyatakan fakta bahawa pada dasarnya tiada halangan untuk orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah kerana sudahpun digunakan di banyak negara dan diperakui oleh Al-Quran sendiri. Hujjah-hujjah berhubung persoalan ini telahpun saya nyatakan dalam tulisan saya sebelum ini.

Apa yang saya hendak tegaskan di sini ialah bahawa yang menentukan Islam atau tidak Islam bukan dengan penggunaan kalimah Allah tetapi kefahaman terhadap Allah sebagai Tuhan yang Esa. Ini disebut sebagai konsep ‘Tauhid’. Itulah sebabnya mengapa apabila seseorang memeluk agama Islam dia mengucap “Aku naik saksi tiada tuhan (yang disembah) melainkan Allah”. Ini bahagian pertama dari dua kalimah syahaadah. Ucapan ini berbentuk penafian dan penolakkan akan wujudnya tuhan-tuhan lain selain Allah. Ianya bukan sekadar mengatakan “Allah adalah Tuhan” tetapi lebih dari itu ia juga menolak wujudnya tuhan-tuhan lain. Kalau kita perhati dan fikirkan sejenak dengan mata hati, maka kita akan memahami sebabnya.

Masyarakat Jahilliyah pada zaman Rasulullah (SAW) memang percaya pada Allah. Namun mereka juga percaya pada tuhan-tuhan rekaan mereka sendiri yang mereka dakwa adalah anak pada Allah atau pengantara di antara manusia dan Allah. Termasuk di dalam kategori tuhan-tuhan palsu ini adalah Al-Latta wal Uzza dan beratus-ratus lagi tuhan yang mereka letakkan di keliling Kaabah pada masa itu.

Di antara bukti bahawa masyarakat Jahilliyah menggunakan kalimah Allah adalah dalam kisah surat perjanjian pemulauan kaum Bani Hashim oleh kaum Quraisy di mana akhirnya surat perjanjian tersebut telah habis dimakan serangga. Yang tinggal hanya mukaddimah surat tersebut yang berbunyi, “BismikaLlahhumma” atau ‘Dengan namamu Allah, Tuhan kami’.

Walaupun kaum Musyrikin zaman Nabi (SAW) percaya pada Allah dan menggunakan kalimah ‘Allah’, ini tidak bermakna mereka telah Muslim. Mereka tetap kafir musyrik walaupun mereka percaya kepada Allah dan menggunakan kalimat ‘Allah’. Yang menjadikan mereka musyrik adalah kerana mereka mensyirikkan Allah dengan mengadakan tuhan-tuhan lain yang turut disembah.

Itulah sebabnya apabila seseorang memeluk agama Islam dia menegaskan keEsaan Allah. Dia menegaskan keEsaan Allah supaya membezakan pendiriannya dari mereka yang mengatakan Allah mempunyai anak dan sekutu. Kepercayaannya terhadap keEsaan Allah yang menjadikannya Muslim bukan kepercayaannya terhadap wujudnya Allah semata-mata.

Begitu jugalah keadaannya berhubung golongan Ahlul-Kitab ia itu Yahudi dan Nasrani. Konsep Trinity pegangan orang-orang Nasrani telah pun wujud pada zaman Rasulullah (SAW). Walaupun mereka turut menggunakan kalimah ‘Allah’, tetapi kepercayaan ummat Islam dibezakan dari kepercayaan mereka melalui konsep keEsaan Allah yang dibawa Islam. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menegur kesesatan kepercayaan orang Nasrani yang mendakwa Isa (AS) sebagai anak Allah dan Allah sebagai satu dari tiga. Ini semua ditegur walaupun pada masa yang sama orang Nasrani terus menggunakan kalimah Allah. Di antara ayat-ayat ini adalah Ayat 72 dan 73 Surah Al-Maidah di mana Allah berfirman,

“Telah menjadi kafir mereka yang menyatakan sesungguhnya Allah adalah Al-Masih anak Mariam…” (ayat 72)

“Telah menjadi kafir mereka yang menyatakan sesungguhnya Allah adalah yang ke-tiga dari tiga...”


Dalam kedua-dua ayat ini tidak dapat dinafikan bahawa kaum Nasrani atau Kristian menggunakan kalimah Allah tetapi kepercayaan mereka yang menolak keEsaan Allah menjadikan mereka kafir. Tiada kutukan dari Allah terhadap penggunaan kalimah Allah oleh mereka.

Andaian bahawa orang Nasrani sekarang berpegang kepada konsep Triniti dan orang Nasrani pada zaman Rasulullah tidak dan oleh itu mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah adalah tidak berasas. Ini jelas dari ayat-ayat tersebut yang diturunkan pada masa itu dan menegur kepercayaan orang Nasrani pada masa itu.

Konsep Tauhid yang menentukan seseorang itu Muslim atau sebaliknya. Inilah pada dasarnya yang membezakan Islam dengan agama yang lain. Namun, tidak juga mencukupi dengan hanya itu. Ada juga satu aspek lagi dalam kalimah syahadah ummat Islam yang bererti “Aku naik saksi Muhammad Rasul Allah”. Oleh itu, kalau ada sekalipun golongan yang mengEsakan Allah tetapi menolak keRasulan Nabi Muhammad (SAW), dia tetap bukan seorang Muslim. Termasuk dalam golongan ini kumpulan Qadiayani dan mungkin juga Sikh dan Yahudi.

Berdasarkan penghujahan yang dibentangkan di atas, jelas bahawa masalah kalimah Allah yang ingin digunakan oleh bukan Islam adalah masalah yang diada-adakan. Yang membeza Islam dan bukan Islam adalah konsep Tauhid dan keRasulan Nabi Muhammad (SAW) bukan kalimah Allah. Ini sebenarnya perkara asas dan wajib difahami oleh semua ummat Islam. Dengan kefahaman ini mereka mampu menangkis segala usaha untuk mengelirukan mereka (sekiranya ada) dengan penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam. Tanpa kefahaman ini, hakikatnya mereka sudah pun berada di dalam kekeliruan walaupun tiada pihak lain yang menggunakan kalimah ‘Allah’.

Dari sudut dakwah Islamiah, sekiranya orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah maka ia memudahkan kita berdakwah kepada mereka. Melalui penggunaan kalimah yang sama ini, iaitu ‘Allah’ kita sudah mempunyai titik pertemuan dari mana untuk bertolak. Ini di dalam Al-Quran diistilahkan sebagai “ala kalimatin sawaain” atau ‘atas kalimah yang sama’ dan metodologi dakwah sebegini yang telah digunakan oleh Rasulullah (SAW) berdasarkan perintah Allah yang terdapat di dalam Surah Al-Maidah ayat 64.

“Katakan (Wahai Muhammad); Wahai Ahli Kitab, marilah kepada kalimah yang sama di antara kami dan di antara kamu, iaitu kita tidak menyembah selain Allah dan janganlah kita mensyirikkanNya dengan sesuatu…”

Hakikat bahawa hanya ada satu Tuhan yang sama ditegaskan lagi dalam Surah Al-Ankabut ayat 46 yang bermaksud ;

“Dan jangan berhujah dengan golongan Ahli Kitab kecuali dengan cara yang terbaik dan jangan (berhujjah sama sekali) dengan yang Zalim di kalangan mereka. Dan katakan, Kami beriman dengan apa yang telah diturunkan kepada kami dan apa yang telah diturunkan kepada kamu, dan tuhan kami dan tuhan kamu adalah satu, dan kami berserah kepadaNya.”

Sebenarnya isu ini merupakan sesuatu yang menguntungkan ummat Islam. Ia mampu menjelaskan kepercayaan Tauhid yang dibawa Islam di kalangan ummat Islam dan bukan Islam. Sambil itu ia membuka pintu dakwah kepada golongan bukan Islam, khususnya golongan ahli kitab.

Namun ianya sengaja dikelirukan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik mereka, untuk mencari titik perbalahan menakutkan ummat Islam dan mengelirukan ummat Islam dengan lebih lagi. Melalui kekeliruan ini mereka akan terus berkuasa, kerana rakyat yang keliru mudah ditipu dan dikuasai.


WaLlahu 'Alam

* Berkaitan:
Garis Panduan Penggunaan Nama Allah [Dr. MAZA]
Kes Herald –Di Mana Silap Dan Betulnya Hakim? [Hanipa Maidin – Peguam PAS]

Ulasan GB

Self-explanatory! Yang menjadi perhatian dan persamaan dengan pendirian GB ialah sepatutnya isu ini merupakan sesuatu yang menguntungkan ummat Islam. Ia adalah peluang bagi umat Islam menjelaskan konsep ketuhanan yang sebenar, menjelaskan sifat Allah yang maha suci dari segala kelemahan dan kekurangan, menjelaskan zat Allah yang tidak ada sekutu bagiNya - kepada mereka yang menggunakan kalimah Allah sebagai nama Tuhan.

Dan Allah mengurniakan isu ini untuk umat Islam di negara ini supaya menggunakan kapisiti akal dan ilmunya untuk menjelaskan kepada golongan musyrik mengenai keesaan Tuhan.

Allah mengurniakan isu ini juga kepada PAS supaya Islam atau PAS For All itu dapat disempurnakan dengan membebaskan Islam itu untuk semua, bukan menjadi milik eksklusif golongan ulamak (dalam tafsiran sempit) semata-mata. Begitulah kalimat Allah, ia sepatutnya menjadi milik semua sebab itulah fitrah insaniah tanpa mengir siapa yang hendak menemui tempat asal kejadiannya.

Tetapi malang, pemberian Tuhan ini disia-siakan malah dipolitikkan sedemikian rupa sehingga hendak dikurungkan lagi kalimat itu sepertimana telah terkurungnya hukum Islam dan agama Islam sendiri oleh umatnya sehingga tidak berkembang ugama Islam lantarannya.

Dan bagi mereka yang ariffin pula sepastinya mengenali zatNya tidak bergantung kepada apa-apa, sekalipun dengan namaNya, kerana ZatNya yang suci dari segala sifat kelemahan itu adalah Zat Maha Tinggi Lagi Maha Mulia, yang tak tercapai oleh apa-apa kalimat pun. Tiada huruf yang dapat mencapai ZatNya kerana huruf-huruf itu adalah hijab sehingga ada yang syirik menjadikan huruf-huruf dan kalimat-kalimat itu sebagai tangkal azimat yang dililit di lengan dan diperutnya. Itulah Melayu!


Perbezaan bukan dalam makna tetapi pada perkataan dan teknikal. Muslim memanggilnya Allah, Hindu Brahma, Kristian Jesus. Segala-galanya dan di mana saja di bumi dan di langit menyembah Dia. Ada satu kisah: Jibrail mendengar suara "Labbaik" (di sini Aku), "Labbaik" (di sini Aku), dari Allah. Jibrail hairan kepada siapakan suara Allah itu ditujukan. Dia tidak nampak sebarang 'abid dalam mana-mana masjid, gereja atau tempat ibadat memuji Allah pada masa itu. Tiba lagi suara ketuhanan itu, "Pergilah kau ke rumah berhala di Rum dan ketahuilah apa sebenarnya".

DI sana Jibrail ternampak seorang Majusi sujud pada berhala, dan dengan hati yang terbakar dia mengeluh dan menangis dan berkata, "Oh tuhanku, oh tuhanku" dan dia mendengar suara "labbaik, labbaik" sebagai jawapan. Jibrail marah dan berdoa supaya dibenarkan merobohkan berhala itu berserta Majusi itu sekali. Tiba-tiba jawapan melarang: "oh jibrail, makipun dia telah kehilangan tempat penyembahnya,"yang disembah" itu tidak hilang darinya. Dialah "yang disembah" di mana-mana dan dalam keadaan apa saja". - petikan dari Ana-al-Haq



Selangor Ada Kuasa Sekat Salahguna Kalimah Allah

Kerajaan Selangor boleh menghalang sekiranya ada pihak yang menggunakan nama Allah dengan tujuan untuk merosakkan Islam, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Jika perkara-perkara yang dibuat memberi kesan negatif kepada agama Islam, sudah tentulah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyekat berlakunya perkara itu," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri Majlis Menuai Padi di Kampung Parit 15, Simpang Lima di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Catholic Herald baru-baru ini. Keputusan itu telah menimbulkan rasa marah umat Islam.

Ditanya mengenai pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyokong keputusan mahkamah itu, Khalid berkata, ada antara mereka yang berbeza pendapat daripada segi konsep kebebasan penggunaannya tetapi kebanyakan mereka bersetuju supaya kalimah itu tidak digunakan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ketika ditemui pada majlis yang sama berkata, penganut agama lain perlu melihat sensitiviti penggunaan kalimah Allah di Malaysia dan tidak membandingkannya dengan keadaan di negara-negara Islam yang lain seperti Mesir.

"Orang Melayu boleh hilang adat atau harta tetapi untuk agama, mereka menjagainya dan akan mempertahankannya bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau berharap rayuan akan akan dibuat nanti di mahkamah bakal didengar bukan sahaja daripada perspektif undang-undang tetapi juga daripada perspektif agama, kesatuan dan perpaduan kaum. - BERNAMA


KDN Fail Rayuan Penggunaan Kalimah 'Allah'

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan "Allah" digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald.

Esok, kementerian itu akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Disember.

"Notis penangguhan pelaksanaan perintah itu akan difailkan esok di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala notis rayuan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini," kata Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said semasa dihubungi.

Semasa Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan itu pada 31 Disember, Kamaluddin telah memaklumkan mahkamah yang beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada Kementerian Dalam negeri dan kerajaan sama ada akan merayu atau memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu.

Hakim Datuk Lau Bee Lan memutuskan mengikut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Herald mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan penganut agama Kristian.

Beliau juga berkata, mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan "Allah" untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi 'God' dalam bahagian bahasa Malaysia. Perkataan 'Allah' digunakan secara meluas di kalangan pelbagai etnik beragama kristian di Sabah dan Sarawak, kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri memberikan justifikasi bagi larangan penggunaan perkataan itu oleh majalah itu atas alasan demi keselamatan negara dan mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam. - BERNAMA


Ulasan GB

Gambar yang GB paparkan di atas sebagai iringan entri ini ialah salah satu contoh bagaimana nama Allah disalahguna dan ianya boleh disekat/dihalang.

Mahfuz Selar UMNO Lengahkan Beberapa Isu Berbagkit

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein dilihat seolah-olah cuba melengah-lengahkan usaha mengfailkan rayuan berhubung larangan orang bukan Islam dari menggunakan kalimah ‘Allah’.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Umno dalam isu kudeta Perak dilihat begitu pantas mengemukakan rayuan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

“Persoalan pertama kenapa KDN yang diketuai oleh Naib Presiden Umno (Hishamuddin) lambat mengemukakan rayuan... pada hal dalam kes politik perak hari ini yang memutuskan Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar yang sah, Umno (dan) BN terus buat rayuan,” ujar Mahfuz (Gambar) ketika dihubungi pagi tadi.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menganggap tindakan Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno itu sebagai suatu mengapi-apikan sensitiviti umat Islam, khususnya masyarakat Melayu agar mereka bersatu dan kembali melihat parti perkauman itu sebagai pembela bangsa dan agama.

Ujar Mahfuz lagi, Umno dilihat seolah-olah ghairah menggunakan media cetak dan media elektronik demi menyempurnakan agenda politik Umno tersebut.

“Kita lihat media cetak arus perdana yang berada di bawah kawalan KDN yang menterinya Hishammudin berserta media eletronik yang berada di bawah kawalan Kementerian Penerangan terus mengambil kesempatan bagi menghangatkan isu ini dalam menyempurnakan agenda umno,” jelasnya.

“Pada hal, kalau Umno mahu kalimah Allah hanya untuk kegunaan umat islam saja, dia boleh aturkan dari awal lagi (supaya) kes ini dibicarakan (oleh) Hakim yang ada jiwa Islam.”

Tambahnya lagi, tektik licik Umno tersebut tersebut sebenarnya demi memperbaiki kepercayaan rakyat terhadap partinya.

“Bukankah Ketua Hakim Negara adalah ahli Umno yang boleh pastikan hakim yang berjiwa Islam untuk mengendalikan kes ini...saya percaya apabila isu ini sudah cukup panas, Umno secara tidak langsung akan dilihat (sebagai) juara.

“Rayuan akan dibuat (oleh) Umno (lalu) mahkamah yang bersidang dijangka membatalkan keputusan mahkamah tinggi... Umno pun akan dabik dada (mengatakan bahawa) dialah yang mampu pertahankan Islam,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Mahfuz berkata, isu tersebut berjaya menenggelamkan beberapa isu berbangkit seperti kehilangan enjin jet, kenaikkan harga gula dan makanan rutin, ketirisan Bajet bernilai RM28 bilion, kerajaan hadiah rumah bernilai RM12 juta kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sebagainya.

Semalam, dilaporkan KDN akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah supaya Gereja Katholik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan mereka, The Herald.

Tindakan KDN itu selepas beberapa pertubuhan Islam dilaporkan media arus perdana, melancarkan demontrasi serta menyerahkan suatu memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tindakan KDN itu selepas beberapa pertubuhan Islam melancarkan demontrasi serta menyerahkan suatu memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di kalangan kepemimpinan PAS pula, ada yang bersetuju dengan tindakan kerajaan dan sebaliknya.

Selagi mahkamah tidak mempercepat perbicaraan kes tersebut, selagi itu pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan atas sensitiviti umat Islam dan bukan Islam. -harakahdaily

Siksa Rakyat Kerana Nak Tegur Isteri?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak rakyat Malaysia sama-sama berfikir apakah perlu kerajaan terus memberikan subsidi harga gula, satu bahan makanan yang ternyata boleh mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM1 billion setiap tahun untuk subsidi harga gula, sedangkan bilangan pesakit kencing manis di negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.

"Apa yang patut dilakukan kita perlu mengubah citarasa kita supaya kita kurangkan gula, saya sendiri tak guna gula kalau minum teh. Maknanya kita boleh ubah citarasa kita, tak perlu gula terlalu banyak.

"Tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 billion setahun untuk subsidi satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Pekan, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkuatkuasa 1 Januari yang turut disifatkan ramai pihak sebagai "hadiah" tahun baru kepada rakyat.

Ditanya kesan kenaikan harga barangan lain berikutan kenaikan harga gula berkenaan, Najib berkata: "Kita akan kawal, mana (barang) (di) bawah harga kawalan tak boleh dinaikkan, kita akan pantau perkara ini.

"Kita akan kawal, ada barang komoditi yang kita kawal, ada yang terpaksa kita kaji dari semasa ke semasa, ada yang kita buat untuk kebaikan rakyat," kata Najib.


Obesiti

Di Malaysia, terdapat enam juta orang dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes. Demikian menurut kajian yang dijalankan oleh Kementerian KesihatanMalaysia, Kaji Selidik Pemakanan Orang Dewasa Malaysia 2003. Selain daripada lemak dan kolesterol, salah satu faktor utama yang menyebabkan obesiti ialah kalori, contohnya kalori daripada gula. Gula pasir itu menambah tenaga (kalori) tanpa menambah nutrien yang lain ke dalam diet anda. Jika anda makan lebih kalori daripada yang anda guna, lebihan itu akan disimpan sebagai lemak dan anda akan menjadi semakin gemuk. Gula berlebihan dalam badan akan ditukar kepada glikogen untuk kegunaan masa hadapan sebagai sumber tenaga, atau disimpan sebagai lemak.

Kencing manis

Walaupun tiada bukti yang boleh menunjukkan gula ada kaitan langsung dengan kencing manis, namun gula boleh membawa kepada obesiti, yang seterusnya boleh menggalakkan kencing manis. Pengambilan gula yang banyak akan meningkatkan risiko keobesan, dan seterusnya meninggikan risiko kencing manis. - KPDNKK


Ulasan GB

Najib berkata kenaikan harga gula ialah untuk mendidik masyarakat supaya mengurang penggunaan bahan yang boleh mmudharatkan kesihatan. Bravo!

Oh. Bercakap mengenani KPI, mungkin Najib sudah mengetahui BMI Rosmah sudah tidak boleh dibendung, lantas langkah drastik menaikkan harga gula perlu diambil?

Yang kedua, seringkali kerajaan berjanji "Kita akan kawal, mana (barang) (di) bawah harga kawalan tak boleh dinaikkan, kita akan pantau perkara ini". Itu adalah ungkapan basi yang tak pernah berlaku. Harga barangan yang naik berpusar tidak mampu dikawal oleh BN, malah kita yakin kabinet Najib akan mengumumkan kenaikan harga barangan lain selepas ini.

Pengerusi SPRM Angkat Sumpah, SPRM Masih Begitu Juga

Datuk Abu Kassim Mohamed Isnin mengangkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu di sini.

Pelantikan Abu Kassim, 49, berkuatkuasa 1 Jan lepas bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang memutuskan untuk bersara pada 31 Dis lalu iaitu lima bulan lebih awal daripada tempoh kontraknya berakhir.

Menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 Sept 1984 sebagai pegawai siasatan, Abu Kassim memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarjana Sains dalam bidang Kehakiman Jenayah dari Michigan State University, Amerika Syarikat.

Beliau pernah menjadi Pengarah Perancangan dan Koordinasi Dasar di ibu pejabat BPR, Pengarah BPR Perak dan Pulau Pinang, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan dipinjamkan sebagai Ketua Pegawai Integriti, Amanah Raya Berhad.

Abu Kassim dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) BPR pada 1 Jun 2007.

Apabila BPR bertukar menjadi suruhanjaya pada 1 Jan tahun lalu, Abu Kassim dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya. -Bernama

Ulasan GB

Perkembangan mutakhir menunjukkan status quo SPRM masih tetap tidak berubah. Hanya Pengerusinya bertukar tetapi prinsip dan modus operandi kekal di takuk lama.

Terbukti apabila SPRM membuat laporan polis terhadap seorang ahli patologi, Porntip, yang umum melihat ia sebagai satu percubaan untuk menghalang autopsi kedua itu dibentangkan di dalam inkues nanti.

Kartika Tertekan, Hukuman Keatasnya Masih Tergantung

Saya harap dapat tunai umrah, tetapi sehingga kini saya juga masih terus menanti (kes sebatan).”

Itu ungkapan yang dilontarkan tatkala persoalan mengenai perkembangan terkini wanita tabah ini diajukan.

Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, yang menggegarkan negara pada Julai tahun lalu apabila rela untuk meneruskan hukuman enam sebatan terhadapnya di atas ketelanjuran diri meminum arak di sebuah pusat peranginan di Pahang, merasakan dirinya masih terumbang-ambing.

Beliau yang berhasrat untuk mengerjakan umrah Mac ini khuatir kerana status kesnya yang masih belum selesai mungkin akan menimbulkan masalah untuk mendapatkan Visa.

“Pelbagai perkara tidak dapat saya teruskan terutamanya perancangan masa depan, selagi hukuman belum terlaksana,” katanya kepada Sinar Harian di kediaman keluarganya di Kampung Jawang di sini, semalam.

Meskipun boleh merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah Kuantan enam bulan lalu, namun keinsafan mengatasi segalanya sehingga beliau mahu hukuman itu dilaksanakan segera.

“Hidup saya dalam keadaan yang ‘tergantung’ selagi hukuman belum dijalankan,” katanya yang ditemani bapa, Shukarno Abdul Mutalib, 60.

Kartika yang merasa tertekan dengan keadaan itu mengambil keputusan untuk memohon perkenan mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dengan harapan dapat meluahkan segala kepayahan yang ditanggung ekoran hukuman yang masih tertangguh.

“Surat memohon mengadap Tuanku sudah lima kali dihantar ke pihak istana oleh peguam yang kami lantik,” katanya yang kini melakukan kerja-kerja amal di Pusat Pendidikan Al-Barakah.

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang jawapan diterima malahan sebab-sebab hukuman ditangguhkan juga terus menjadi tanda tanya.

Kartika menjawab tenang ketika ditanya mengenai perkembangan rumah tangganya yang dikatakan sedang dalam proses penceraian.

“Sebenarnya pergolakan rumah tangga kami sudah pun berlaku ketika kes berkenaan sedang dibicarakan.

“Kini saya dalam proses untuk memfailkan pengesahan lafaz talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar kerana urusan itu lebih mudah dilakukan di negara ini,” katanya.

Kartika berkata, biarpun pengesahan itu dibuat ia tidak bermakna hubungan dia dan bekas suami, Mohamad Afandi Amir, tidak baik.

“Demi anak-anak, kami tidak bermusuhan dan saya faham, dia juga tertekan dengan kes saya pada ketika itu.

“Ketika saya dihimpit kegelisahan sewaktu hukuman dijatuhkan, dia juga berada di samping kami sekeluarga,” katanya.

Kartika turut berharap kembali kepada Mohamad Afandi jika ada jodoh demi anak-anak yang kini di bawah jagaannya.

Bagaimanapun, anak-anaknya diberi hak berhubung dengan bapa mereka, tambahan pula anak keduanya, Kaithlynn Saridewi, 6, akan memasuki pra sekolah di Ipoh, tidak lama lagi.

Menurutnya, Mohamad Afandi adalah seorang yang bertanggungjawab dan masih tidak putus memberikan nafkah untuk sara diri dan persekolahan anak-anak biarpun mereka sudah tinggal berasingan.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup, Kartika harapkan sinar pada masa hadapan agar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak dan menganggap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. -SH

‘Manusia Memang Patut Panggil Tuhan Dengan panggilan Allah - MAZA

Bekas mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin berpendapat pihak berkuasa perlu menyediakan garis panduan tentang penggunaan kalimah “Allah” ekoran bantahan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Herald menggunakan perkataan tersebut dalam terbitannya.Dalam kenyataan pertamanya sejak Khamis lalu, Asri juga berhujah bahawa manusia memang patut memanggil Tuhan dengan panggilan Allah.

“Ya, manusia memang patut memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Itulah Tuhan yang sebenar.

“Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW pun, nama Allah telah digunakan untuk memanggil Tuhan,” katanya.

Bagaimanapun jelas beliau penggunaan kalimah “Allah” untuk tujuan menghina tidak wajar dibenarkan.

“Namun meletakkan nama tersebut dengan tujuan menghina adalah patut ditentang. Ini seperti jika menulis nama Allah pada berhala,” kata beliau dalam tulisan blognya di bawah tajuk “Isu Nama Allah: Kenyataan Pertama Dr. Mohd Asri”.

Beliau menjelaskan, “jika mereka berkata Allah Tuhan semesta alam, itu tidak menjadi masalah kerana itu kenyataan yang benar.

“Kuffar Quraish pun memanggil Tuhan Allah, tetapi tidak menamakan berhala mereka Allah,” ujar beliau.

Oleh itu kata beliau, jika keputusan mahkamah mengenai penggunaan nama Allah itu hendak dipakai, garis panduan dan peraturan hendaklah dibuat.

“Maka peraturan mesti dibuat. Elakkan perbalahan kaum tanpa melihat kepada penyelesaian terlebih dahulu. Saya akan mencadangkan beberapa garis panduan selepas ini,” jelas Asri.

Dalam artikel disiarkan sebelum ini, Asri pernah berkata bukan soal nama “Allah” itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar.

“Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman,” katanya.

Khamis lalu Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Herald boleh menggunakan perkataan “Allah” dalam penerbitannya.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.

Beliau berkata lanjutan kepada Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam untuk menggunakan perkataan “Allah” kepada umat Islam untuk menyebarluaskan agama itu.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu kesalahan untuk bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama, kata Lau. -MI

Isunya Bukan Politik, Isunya Hak Orang Ramai

Adun Kota Damansara Dr Nasir Hashim mengesahkan bahawa perobohan Dewan milik Umno berhampiran Flat Gugusan Melati, Seksyen 4 Kota Damansara dibuat mengikut lunas undang-undang.

Ketika dihubungi TV Selangor, Dr Nasir menjelaskan dewan terbabit tidak memiliki sebarang permit sejak ia dibina pada tahun 2006.

Apa yang lebih mendukacitakan dewan tidak dapat digunakan penduduk setempat kerana berkunci.

“Isunya bukan isu politik, isunya tempat ini tidak dapat digunakan oleh semua. Oleh pihak tertentu sahaja. Walhal tempat ini adalah milikan semua. Maka ada yang masuk mahkamah”.

Pihaknya juga telah meninjau dewan berkenaan beberapa kali namun tiada sebarang kegiatan dijalankan di dewan berkenaan.

“Kami pergi siasat. Empat kali kami pergi tempat itu bertutup dan berkunci. Lepas itu MBPJ untuk mendapatkan dua-dua pihak untuk berunding bersama”.

Bertindak atas permintaan penduduk setempat yang tidak berpuas-hati, Majlis Perbandaran Petaling Jaya telah merobohkan dewan tersebut pada 28 Disember lepas setelah pemilik gagal mengadakan sebarang perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan.

“MBPJ tidak ada pilihan kecuali merobohkan kerana ruang ini ditutup dan tidak dapat digunakan oleh orang lain dan ini ruang untuk UMNO walhal orang bukan Islam dalam bangunan itu. 50 peratus bukan Islam tidak dapat menggunakan bangunan ini. Bila MBPJ merobohkan, tidak ada masalah lah tapi pada sebelah petang ada orang luar yang datang protes” ujarnya lagi.

Dr Nasir melahirkan kekesalan dengan tindakan Umno menggunakan kanak-kanak mengaji Al-Quran untuk menagih simpati masyarakat Islam.

Beliau berkata penduduk turut terkejut dengan taktik tersebut, kerana penunjuk perasaan, dan anak-anak kecil yang mengaji Al-Quran di robohan dewan bukan dari kalangan penduduk pangsapuri.

“Besok itu, mereka gunakan anak-anak, pakai cantik-cantik di bawah itu macam mengaji lah. Ini pun telah keluar dalam Sinar, di mana penduduk di situ mengatakan budak-budak ini bukan anak-anak mereka, dan orang-orang yang protes juga bukan di kalangan mereka”.

Bimbang dengan taktik propaganda seperti ini, Nasir berkata perobohan dewan tidak menjejaskan aktiviti melestarikan Islam kerana sebuah surau dan dewan yang yang berpermit telah sedia-ada di pangsapuri terbabit.

“Maknanya dewan yang digunakan ini adalah memang untuk UMNO tapi kita berharap dapat satu perbincangan untuk dibuka kepada semua orang. Ia sentiasa tertutup, orang lain tidak boleh pakai. Tetapi orang yang memiliki itu tidak mahu beralah dan tidak mahu berbincang”.