3 Dis 2010

Bas Wanita: Langkah Wajar Yang Terpuji


Khidmat bas untuk wanita dapat sambutan


KAUM wanita kini lebih selesa dengan adanya khidmat bas awam untuk mereka yang disediakan oleh RapidKL sejak kelmarin.

KUALA LUMPUR - Percubaan perkhidmatan Rapid Bas Wanita yang diperkenalkan oleh Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL), mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada penumpang wanita.

Rata-rata golongan itu mahukan perkhidmatan tersebut diteruskan memandangkan penumpang wanita tidak lagi perlu berhimpit dengan penumpang lelaki terutama pada waktu puncak.

Seorang penumpang, Vidyavaty Mohd. Aris, 34, memberitahu, idea RapidKL mengasingkan penumpang wanita cukup bernas dalam mengutamakan keselamatan setiap penumpang.

"Selepas ini penumpang wanita tidak perlu takut untuk menaiki bas terutama selepas pulang dari pejabat. Ini merupakan kali kedua saya menggunakan perkhidmatan bas wanita dan diharap ia dilanjutkan sehingga pukul 9 malam," katanya.

Kelmarin, RapidKL mengumumkan tempoh percubaan Rapid Bas Wanita sepanjang bulan ini meliputi laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai.

Syarikat berkenaan memulakannya dengan dua sesi perkhidmatan iaitu di sebelah pagi bermula pukul 6.45 dan 7.30. Diikuti pula dengan sebelah petang pada pukul 6 dan 6.45.

Tinjauan Kosmo! di hab Pasar Seni semalam mendapati, masih ramai penumpang lelaki tidak menyedari notis khas 'untuk wanita sahaja' yang ditampal dicermin depan bas.

Menurut Penyelia RapidKL, Ahmad Roslan Abu Bakar, ramai penumpang lelaki masih keliru dengan arahan yang dikeluarkan. -kosmo


PAS puji bas wanita Rapid KL

KUALA LUMPUR, 2 Dis: PAS memuji langkah pihak pengurusan Bas Rapid KL yang memperkenalkan bas khusus untuk wanita.

AJK PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali berkata, langkah itu wajar dipuji kerana memberi faedah besar kepada kaum wanita.

"Sekali lagi tahniah atas perkhidmatan bas Rapid KL khusus untuk wanita.

"Satu peningkatan yang terpuji dan akan memberi faedah yang banyak kepada kaum wanita. Teruskan usaha-usaha baik ini," katanya kepada Harakahdaily.

Penghargaan sama turut disampaikan Dewan Pemuda PAS Pusat yang menyifatkan langkah itu sebagai bijak dan mesra wanita sekaligus memberi sumbangan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan kaum hawa.

"Saya percaya ia mampu mengurangkan kadar jenayah seperti jenayah seksual, ragut dan sebagainya. Semoga usaha yang baik dan mulia ini.

"Walau masih diperingkat percubaan namun perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan," kata ketuanya Nasrudin Hassan.

Cadangnya lagi, perkara tersebut diangkat menjadi satu perundangan negara di bawah peraturan jalanraya agar ia menjadi satu dasar perkhidmatan pengangkutan awam yang melibatkan perkhidmatan bas, teksi, LRT dan seumpamanya di seluruh negara khasnya di bandar-bandar utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Bas RapidKL Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain semalam berkata, perkhidmatan khas itu dilaksanakan untuk memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada penumpang wanita, selain melindungi mereka daripada gangguan seksual serta bersesakan dengan penumpang lelaki pada waktu puncak.

Tempoh percubaan itu dijalankan di tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.

Laluan yang terbabit pada sesi pagi ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves), U8 (Hab Damansara Damai), U22 (Hab Sri Nilam), U40 (Hab Terminal Kajang), U60 (Hab Puchong Utama), U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81(Hab Subang Suria).

Bagi sesi petang, laluannya ialah U1 (Hab Medan Pasar), U8(Hab Medan Pasar), U22 (Hab Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Pasar Seni), U60 (Hab Pasar Seni), U80 (Hab Pasar Seni) dab U81 (Hab Pasar Seni). -harakahdaily


Tepat pada masa bas khas untuk wanita

Dewan Muslimat PAS Pusat sangat mengalu-alukan langkah baik Rapid KL mengadakan perkhidmatan bas khas bagi golongan wanita saja. Langkah ini tepat pada masanya dan amat sesuai dengan senario semasa di mana ramai penjawat awam dan swasta dari kalangan wanita menggunakan perkhidmatan bas untuk pergi balik ke pejabat dan rumah mereka terutamanya di waktu sesak di bandar-bandar besar seluruh negara.

Sedikit masa dulu kita berasa amat selesa apabila KTM memulakan perkhidmatan koc khas untuk wanita pada waktu sesak. Tindakan tersebut mendapat respons yang sangat menggalakkan. DMPP turut turun padang dan membuat kajian rambang serta mendapati perkhidmatan tersebut disokong oleh para pengguna baik dari kalangan wanita mahupun lelaki.

Langkah ini juga sudah lama dinanti-nantikan serta telah beberapa kali disuarakan oleh badan-badan NGO wanita yang prihatin terhadap keselesaan dan keselamatan golongan wanita di dalam menggunakan pengangkutan awam. Malah di negara-negara maju di Eropah seperti Sweden, langkah-langkah ini telah terlebih dulu dilaksanakan serta terbukti ianya membantu mengurangkan kadar jenayah dan gangguan seksual terhadap wanita.

Jika kita menoleh ke belakang sejenak terhadap manifesto PAS pada PRU 12, Mac 2008, di antara tawaran yang hendak PAS laksanakan adalah menjaga keselesaan dan keselamatan wanita dengan menyediakan pusat rekreasi dan sukan khas untuk wanita. Termasuk juga perkhidmatan pengangkutan awam khusus bagi golongan wanita.

Sehubungan itu tindakan ini dilihat sesuai dari sudut tuntutan Islam di mana Islam telah meletakkan martabat yang tinggi terhadap wanita serta menuntut dipelihara maruah mereka dengan sebaik-baiknya. Tindakan menyediakan perkhidmatan bas khas bagi wanita ini dapat dirasakan kesesuaiannya dengan iktibar dari hadis Rasulullah sa.w. yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi; yang mafhumnya; “ Sebaik-baik di kalangan kamu, adalah orang yang paling baik dengan isterinya, dan akulah dari kalangan kamu yang paling baik dengan isteriku”. -harakahdaily



Ulasan GB & Berita berkaitan:

RapidKL Perkenal Bas Khas Wanita


1 ulasan:

siti KL berkata...

Tahniah ! Tapi pemandunya lelaki ke wanita ? Satu lagi ada tak alat nak mengesan penumpang; takut kes lelaki tapi auu macam wanita sebijik ?