12 Nov 2010

Projek MMC Gamuda Dihentikan Sehingga Ada Jaminan Bayar Pampasan Kerosakan Akibat Banjir

Henti projek MMC Gamuda: Tiada agenda politik

Kerja pembinaan landasan berkembar diarah dihentikan segera sementara menunggu jaminan daripada MMC Gamuda JV bahawa ia akan membayar pampasan kerosakan akibat banjir.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini berikutan dakwaan bahawa projek itu, yang bermula Januari 2008, telah memburukkan situasi banjir di Kedah.

Menurutnya, syarikat itu dikritik kuat oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.

"Pulau Pinang memandang serius dakwaan dua pemimpin tersebut, seorang dari BN dan seorang lagi dari Pakatan Rakyat; Mereka belum menarik balik kenyataan mereka," kata Lim dalam satu sidang akhbar hari ini.

Oleh itu, katanya, ia bukan lagi masalah politik tetapi pendapat dua pemimpin tersebut mengenai situasi berkenaan.

Kontrak pembinaan sistem berkembar sepanjang 329km yang bernilai RM12.84 bilion dari Padang Besar ke Ipoh, ditandatangani pada 2007.

Lim berkata arahan henti kerja itu akan ditarik balik apabila syarikat berkenaan memberi jaminan bertulis bahawa ia akan menanggung semua kos kerugian akibat banjir di Pulau Pinang, seperti yang ia lakukan di Kedah.

"Ini untuk membela kehidupan rakyat kita, terutama mereka yang tinggal di tanah besar," tambahnya.

Beliau berharap satu pertemuan awal diadakan antara kerajaan negeri dengan wakil MMC Gamuda dan mahukan komitmen bertulis tanpa sebarang syarat.

Lim berkata, kerajaan negeri mahu syarikat berkenaan membuka landasan yang menyebabkan air hujan bertakung apabila banjir berlaku di negeri itu.

Menurutnya, situasi banjir kali ini adalah 'luar biasa', yang terburuk dalam sejarah banjir di Kedah, ekoran hujan lebat. -mk


Kedah dakwa landasan berkembar menjadi punca banjir

ALOR SETAR: Kerajaan PAS Kedah mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri ini adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata semasa banjir besar lima tahun lalu, kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan beberapa kawasan lain tidak pernah ditenggelami air, tetapi sejak pembinaan landasan kereta api berkembar, banjir yang melanda Kedah semakin buruk. “Kami panggil mereka (Gamuda) datang mesyuarat dengan kita hari ini, tetapi mereka tidak datang. Jika mereka tidak datang juga, saya akan arahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membuka laluan air itu dengan segera.

“Kami mahu berbincang dengan pihak Gamuda mengenai perkara ini supaya masalah ini dapat diatasi dengan segera,” katanya selepas mesyuarat perkembangan banjir di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata bekalan air di daerah Padang Terap, Kota Setar (dari Kepala Batas hingga pusat bandar, Jalan Putra, Gunung, Jalan Langgar dan Hutan Kampung) dan Kubang Pasu (Tanah Merah, Taman Kepala Batas, Jalan Kampung Naga dan Taman Tabung Haji) telah pulih sepenuhnya.

“Bagi daerah Pokok Sena, bekalan air bertambah baik. Petang ini, kita akan menerima 10 lori tangki dan sebuah lori besar air minuman dari Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan sembilan lori tangki daripada Lembaga Air Perak.
“Syarikat Air Darul Aman telah menyediakan 89 tangki air kepada orang ramai,” katanya.

Azizan berkata, beliau amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pejabat daerah, bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, pasukan sukarela, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi kerajaan pusat dan negeri dalam menangani bencana itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menambah peruntukan bencana sebanyak RM300,000 lagi menjadikan jumlah keseluruhan yang diperuntukkan ialah RM600,000 dan jumlah itu akan ditambah lagi jika keadaan memerlukan. -bernama



Projek Landasan Berkembar Memburukkan Situasi banjir Di Kedah - Chor

Keadaan banjir di Alor Setar telah menjadi bertambah buruk dengan landasan berkembar, demikian dinyatakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung.

Beliau menambah saliran air telah terganggu dengan kewujudan landasan berkenaan, dan sepatutnya pelan kontingensi untuk membenarkan air mengalir keluar telah dilakukan.

Chor menyatkan beliau telah memaklumkannya kepada Menteri Pengangukutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengenai hal tersebut.

Akibat dari saliran keluar air yang tersekat, kawasan yang tak mengalami banjir serius pada masa lalu kini turut tenggelam dengan beberapa kaki air, tambahnya, dengan mengambil contoh Taman Lumba Kuda, Taman Golf, Taman Rakyat dan Taman Malaysia.

Chor, yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, tinggal bersama keluarganya di Taman Lumba Kuda.

“Rumah saya sekrang ditenggelami air sedalam empat kaki. Kami dah duduk situ sejak 1985, dan ini kali pertama air memasuki ke dalam rumah. Memang ada banjir sebelum ini tetapi hanya jalanraya yang terlibat,” katanya.

Chor yang belum pulang ke rumahnya sejak Khamis lepas kerana melawati kawasan-kawasan yang ditenggelami air di tempat lain di samping memantau dan mengarahkan pasukan Bomba Dan Penyelamat di dalam kerja-kerja menyelamatkan mangsa banjir.

Beliau menyatakan saudara maranya terpaksa datang untuk menolong isterinya. -thestar


Ulasan GB

Tiadanya CSR (Corporate Social Responsibility) di pihak MMC Gamuda amat dikesalkan. Malah mereka cuba mengelak untuk memikul tanggungjawab yang telah menyebabkan rakyat Kedah sengsara dan menderita.

Mereka setakat ini, belum lagi diberitakan ada menghantar apa-apa bantuan kepada mangsa banjir.

Syarikat MMC Gamuda yang dianggotai oleh ahli lembaga pengarahnya seorang anak kerabat di raja tidak sepatutnya berlepas tangan di dalam menangani isu tanggungjawab sosial yang merupakan etika perniagaan yang wajib dilaksanakan dan bukan hanya mementingkan faktor pemaksimaan keuntungan semata-mata.


2 ulasan:

Din Tok Diah berkata...

Moga CHOR tidak goyah dengan kenyataannya mengenai kesalahan Gamuda ! BENAR KERANA BERANI....

Tanpa Nama berkata...

Kerajaan Pusat harus bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan tuntutan yg. diminta kerajaan negeri PP dan Kedah. Ini adalah masaalah rakyat yang telah menjadi mangsa kepada pembangunan. Jangan politik kan masaalah tersebut selesaiakn dengan cara menang-menang. Keikhlasan kedua-dua belah adalah perlu. Insyaallah.