13 Okt 2010

Ternyata, Azmin Benar-benar Terkesima

Azmin terkejut Khalid juga minat jawatan timbalan

Naib presiden PKR Azmin Ali melahirkan rasa “terkejut” berhubung pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang beliau juga meminati jawatan timbalan presiden parti itu yang sedang diintainya.

“Berdasarkan maklum balas dari rakan-rakan dan pemimpin lain termasuk kakitangan kanannya, beliau telah memberikan komitmen untuk tidak bertanding kerana fokusnya adalah untuk mentadbir negeri.

“Keputusan ini (untuk fokus pada kerajaan Selangor) bukan pilihan saya, tetapi apa yang ditetapkan oleh parti (pada permukiman di Shah Alam),” katanya.

Azmin berkata atas “semangat keputusan” yang dibuat di Shah Alam pada Jun lalu, beliau sepatutnya memberi tumpuan kepada parti manakala Khalid pula dipertanggungjawab menjaga pentadbiran Selangor.

PKR kemudiannya melantik Azmin sebagai ketua di Selangor bagi menggantikan Khalid dalam usaha merapatkan jurang antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Sebelum itu Khalid dibidas teruk oleh ahli-ahli parti termasuk daripada Azmin, khususnya pada kongres PKR di Kota Bharu kerana didakwa tidak banyak membantu parti.

Ahad lalu, Khalid mengumumkan beliau berhasrat bertandung untuk jawatan nombor dua parti bagi “mengimbangi pertandingan” yang telah bertukar menjadi “kotor” semasa penamaan calon sepanjang bulan lalu.

Walaupun Khalid tidak menamakan seseiapa, namun dipercayai ia ditujukan kepada Azmin dan seorang lagi pencabarnya, Datuk Zaid Ibrahim - bukan menjadi rahsia lagi kedua-dua mereka saling 'menyerang' satu sama lain di media. -mk

Ulasan GB

Seperti yang GB ramalkan di SINI, sungguh nyata Azmin kini terkesima, demikian juga para penyokongnya termasuklah dua media Keadilan, iaitu Suara keadilan dan TVSelangor yang GB katakan sebelum ini telah turut mengamalkan kewartawanan longkang apabila menyebelahi Azmin di dalam pemilihan.

Azmin kini semacam terkejut, dan menyatakan seolah-olah terkejut dengan keputusan MB Selangor itu. Sedangkan Khalid telah menyatakan sebab-sebabnya mengapa beliau bertanding.


Antara Sebab Kenapa Tan Sri Khalid Bertanding Jawatan Timbalan Presiden PKR

SHAH ALAM 10 OKT: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan kerana mahu membantu parti menyisihkan sebarang amalan kepimpinan berpuak dan serangan peribadi.

Khalid berkata beliau sanggup berundur daripada pertandingan jika sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkankanya mendapati keputusannya itu memberi kesan kepada perpaduan parti.

Jawatankuasa itu terdiri daripada Syed Sharir selaku pengurus kempen beliau, Irene Fernandez, Tian Chua dan Muhamad Nur Manuty.

“Sekiranya jawatankuasa ini menasihatkan bahawa tawaran saya ini (untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden) tidak baik untuk parti dan ada cara lebih baik untuk saya berkhidmat pada parti, saya akan akur pada nasihat ini,” kata beliau.

Khalid yang mendapat empat pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden akur bahawa beberapa insiden pada pemilihan PKR telah membawa persepsi negatif di kalangan ahli dan dalam media.

Saya juga melihat apa yang berlaku menampakkan kepimpinan berpuak dan serangan peribadi. Perkembangan ini tidak sihat dan perlu diperbetulkan. Sebagai salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat dan Menteri Besar negeri Pakatan Rakyat, saya akan cuba memperbetulkan keadaan ini," tambah beliau.

Khalid adalah calon keempat bertanding jawatan itu selain Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dan Pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub.

Khalid menggariskan lima teras perjuangan bertemakan “Memperkasakan Reformasi” untuk kempennya. Lima teras tersebut ialah;

-Setia kepada perjuangan
-Meneruskan agenda perubahan
-Merakyatkan ekonomi
-Menolak politik pecah perintah
-Kesepaduan parti

“Lima teras perjuangan ini akan mencorakkan pentadbiran ‘inclusive’ dan mengakhiri amalan berkumpulan dan berpuak-puak dalam parti. Hanya dengan ini laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya akan menjadi realiti,” kata Khalid.


Siapakah yang melakukan serangan peribadi di dalam perebutan jawatan selama ini jika bukan Azmin?

GB sudah mengulasnya di SINI.


6 ulasan:

  1. Betul tu GB... ikut suka dialah nak bertanding ke tidak. Ini kan negara demokrasi? Aku kalau nak bertanding pun boleh. Kenapa buat2 terkejut? Takut kalah? Kalau kalah pun apa ada hal? Bukan ke anwar pernah ckp kalau 1 anwar masuk penjara, ada lagi 1000 anwar sdg menanti. Itu anwar... azmin? Bkn kata 1000 malah ada 200000 lagi amin sdg menanti utk memimpin pkr. Apa ada hal?

    BalasPadam
  2. Bertandinglah elok-elok. Menang atau kalah tidak penting. Yang untung dan jadi kuat ialah parti. Ramai lagi pun tak mengapa. Lagi banyak pilihan boleh dipertimbangkan. Semua mereka hebat-hebat dan berkebolehan belaka.
    Pilih yang palig cantik akhlaknya, Baik mulut dan tangannya. Jangan terpengaruh degan lidah. Berhati-hati dengan lidah.
    Pesan Nabi saw, lidah lebih tajam daripada pedang. Pilihlah seorang yang bila berkata sejuk hati. Bergerak tangannya ringan bebanan kita.

    BalasPadam
  3. Aku amat tak suka pemimpin yang suka pamer kemewahan. Lawan Khalid lawan, kalah puas hati, menang aku bangga sangat. Kami akan sokong Khalid.

    BalasPadam
  4. Tuan blog...
    Ikut suka lah siapa pun yg menang. Saya kalau Anwar tidak lagi bersama PKR saya pun tak akan lg mengundi dan menyokong PKR. Saya dan ramai lg diluar sana bersama PKR kerana Anwar,


    Titik

    BalasPadam
  5. Tak suka aku dengan perangai Azmin, macam budak2. Matlamat menghalalkan cara.

    BalasPadam
  6. tak apa kalau bertanding, tapi secara yang jujur dan ikhlas demi negara dan rakyat yang tercinta... jangan main kotor dah lah...

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.