10 Okt 2010

Histeria Lagi. Apa Puncanya?

Pelajar Sekolah Agama Kuala Terengganu Diserang Histeria

Gambar: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik ditenangkan oleh guru dan pelajar lain setelah diserang histeria di sekolah itu di sini, hari ini Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU, 10 Okt - Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik di sini kecoh apabila enam pelajar perempuannya diserang histeria selepas acara perhimpunan pagi tadi.

Lima daripada pelajar terbabit merupakan pelajar Tingkatan Lima manakala seorang lagi adalah pelajar Tingkatan Dua yang sebelum ini telahpun terkena histeria pada Khamis lepas.

Difahamkan, pada Khamis lepas, dua pelajar perempuan Tingkatan Dua sekolah itu terkena histeria dan diarahkan dibawa pulang, namun kejadian sekali lagi berulang hari ini apabila seorang pelajar yang sama kembali terkena gangguan itu sebelum merebak kepada lima pelajar Tingkatan Lima.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Razali Daud berkata, sekumpulan ustaz dari Darul Syifa telah dipanggil untuk membantu memulihkan keadaan pelajar terbabit selain usaha membaca surah Yasin yang dilakukan guru-guru dan pelajar sekolah berkenaan.

"Keadaan terkawal dan setakat petang ini hanya tinggal seorang pelajar perempuan yang masih belum pulih sepenuhnya dan kita telahpun membenarkan mereka dibawa pulang oleh keluarga masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita pada hari Ahad.

Katanya, pelajar yang terlibat dibenarkan bercuti sehingga keadaan masing-masing kembali pulih.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada kejadian berpunca daripada gangguan makhluk halus atau tekanan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar berkenaan.

Sementara itu semasa tinjaun dilakukan kedengaran bacaan Yasin dari salah sebuah bilik darjah di mana seorang pelajar perempuan yang masih pulih daripada gangguan itu ditempatkan.

Pelajar terbabit yang merupakan salah seorang pelajar harapan sekolah untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia nanti kemudian kelihatan dibawa pulang oleh ahli keluarganya Kira-kira 2.30 petang. - BERNAMA


Histeria dari sudut sains

Histeria sejenis gangguan psikiatri atau mental boleh berlaku disebabkan tekanan tidak terurai, dan apabila tidak dapat kendalikan dengan baik, maka ia akan mempengaruhi pemikiran individu dan dikeluarkan secara histeria.

Presiden Persekutuan Asean Bagi Kesihatan Psikiatri dan Mental (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata apabila individu yang menjadi punca histeria dirasuk, ia boleh mempengaruhi orang berhampirannya kerana mungkin orang yang berada di sekitarnya ketika itu, turut menghadapi masalah sama dengan `ketua' yang memulakan histeria itu, seperti tekanan akibat peperiksaan dan sebagainya.

"Histeria dikatakan berjangkit, tetapi sains melihatnya sebagai mekanisme minda yang boleh mempengaruhi individu lain. Contoh yang paling mudah, kalau si A menyatakan kubur hujung kampung ada hantu, si A nampak hantu dan menyebarkan cerita itu kepada orang lain, maka orang yang seterusnya akan menganggap memang betul ada hantu di kawasan kubur berkenaan, seterusnya kawasan itu dicop sebagai berhantu.

"Ia adalah tindakan emosi yang menyebabkan ia berlaku begitu, tetapi dalam kes histeria, ia boleh jadi lebih ekstrem lagi. Apabila seorang memulakan, individu lain yang melihatnya akan berasa ketakutan dan turut terbabit histeria. Walaupun histeria turut berlaku di kalangan lelaki, wanita yang lebih ramai kerana naluri, selain pengaruh psikologi mereka," katanya.

Begitupun, Prof Mohamad Hussain berkata, kepercayaan berhubung perkara tahyul, turut mempengaruhi apabila yang menjadi ketua itu dikatakan terkena sampuk sedangkan mungkin sebelum itu individu berkenaan sememangnya sudah berhadapan tekanan perasaan sebelum ini.

"Dalam proses rawatan, kita akan analisa `ketua' itu terlebih dulu bagi memastikan apakah sebenarnya punca masalahnya. Selalunya kita akan berikan pesakit ubat penenang, seterusnya kaunseling dan diberikan cuti rehat. Justeru, majikan atau pihak sekolah harus faham kerana rawatan kadangkala memakan waktu kerana ada rawatan susulan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, histeria juga dikaitkan dengan proses pemodenan. Apabila sesuatu masyarakat itu melalui proses perpindahan dari kampung ke kawasan moden, kejadian histeria dilaporkan semakin berkurangan.

Merujuk pada tahun 1980 dan 90-an dulu, Prof Hussain berkata, ketika itu, banyak kejadian histeria berlaku di sekolah dan industri hingga memaksa berlaku penutupan sekolah serta kilang malah dalam satu kes pada 1980-an, sebuah kilang terpaksa ditutup kerana kira-kira 50 orang pekerjanya terkena histeria.

"Psikobudaya masyarakat yang ada masalah histeria lebih menjurus kepada pemikiran atau masih dikongkong dengan tahyul. Tetapi apabila kita melihat di Malaysia, dari segi etnik, Melayu paling tinggi dibandingkan dengan kaum lain.

Psikobudaya terkongkong dengan pemikiran tradisi yang ada kaitan dengan tahyul banyak berlaku di kalangan orang Melayu.

"Zaman 1960-an lalu, ramai juga orang India serta China terkena histeria, tetapi apabila zaman berubah, golongan daripada kaum itu yang terbabit dengan kejadian histeria semakin berkurangan, tetapi sekiranya dibandingkan antara tiga golongan ini, orang Melayu masih menduduki tempat tertinggi," katanya yang tidak menolak kemungkinan faktor ekonomi rendah turut mempengaruhi mangsa.

Mengambil contoh kejadian histeria, katanya, orang meracau akan mengeluarkan bahasa yang sukar difahami hingga segelintir menyatakan disampuk hantu India atau Cina, tetapi apabila didengar betul-betul, ia sekadar bahasa yang sukar difahami.

Memandangkan histeria berlaku di sekolah, beliau menasihatkan supaya `ketua' yang memulakan histeria dibawa ke hospital dengan segera kerana kesan histeria boleh melumpuhkan sesuatu organisasi.


INFO Kejadian histeria (seperti dilaporkan media)

* 15 Julai 2009

ARAU: SEKURANG-KURANGNYA sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin (SMKSS) gempar apabila beberapa pelajarnya histeria selepas mendakwa melihat kelibat wanita dalam keadaan mengerikan berkeliaran di pekarangan sekolah itu. Pelajar yang baru pulang dari menyertai Latihan Perkhemahan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Bukit Ayer meraung, meracau dan menangis secara tiba-tiba. Malah, ada antara mereka mula bertutur dalam loghat Indonesia sehingga mencetuskan rasa takut di kalangan rakan, sambil menangis meminta tolong ketika cuba dirawat seorang pengamal perubatan tradisional. Kejadian selama sejam bermula 10 pagi itu sebenarnya adalah lanjutan kepada serangan histeria yang dilaporkan berlaku di Bukit Ayer di sini, yang turut membabitkan pelajar sekolah sama, hari sebelumnya. Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya lima daripada 32 pelajar SMKSS yang menyertai Latihan Perkhemahan JPAM di Bukit Ayer, dilaporkan mengalami histeria, sebelum dibawa pulang ke sekolah.

* 28 APRIL 2009

Alor Setar: LIMA pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Langgar (SMKL) di sini, diserang histeria.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika kebanyakan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat sedang membaca surah Yasin di surau sekolah apabila seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit sambil menunjuk ke arah kantin sekolah sebelum diikuti beberapa pelajar lain. Dalam kejadian itu seorang pelajar mendakwa ternampak kelibat seorang wanita berambut panjang dan berkain putih mengelilingi sekolah, menyebabkan ramai pelajar perempuan menjerit dan meracau kerana takut.

* 11 Oktober 2008

Kuala Lumpur: Empat pelajar perempuan Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gombak diserang histeria sejak awal minggu lalu. Seorang pelajar mendakwa kejadian itu turut dialami tiga lagi rakannya sejak beberapa hari lalu selepas waktu rehat sesi petang persekolahan.

Sebaik mangsa dibawa ke bilik guru, rakannya pula melarikan diri kerana mendakwa ada lelaki ingin mencederakannya dan ketika itu juga dia nampak wanita berwajah menakutkan berdiri di sebelahnya.

* 3 OGOS 2010

Kuala Lumpur: Sebuah sekolah menengah di Desa Petaling di sini, terpaksa ditutup sementara selepas lebih 10 pelajar perempuan, seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita tiba-tiba diserang histeria, semalam. Serangan histeria itu bermula kira-kira jam 7.45 pagi apabila seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga, Atikah Abdullah, yang menghadiri perhimpunan pagi tiba-tiba mengamuk dipercayai dirasuk. Keadaan dialami mangsa berjangkit kepada sembilan pelajar lain termasuk seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita ketika semua mereka yang juga rakan sekelas mangsa cuba menenangkannya.


3 ulasan:

kembara putih berkata...

Penyakit orang Melayu, histeria dan latah.

Awanama berkata...

Penjelasan yang cukup baik mengenai histeria dari sudut sains yang boleh diterima akal.

Awanama berkata...

sebab hantu altantuya?