9 Okt 2010

Galas: Dewan Pemuda Dan Briged Muslimat Tiup Semboyan Petang Ini

PGalas: Jentera Pemuda PAS dilancar hari ini

KUALA LUMPUR, 9 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan melancarkan jentera pilihan raya pemuda peringkat negeri Kelantan bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas di Markaz PAS Kawasan Gua Musang jam 3 petang ini.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, seluruh pemuda negeri khususnya di Gua Musang dikerah untuk memulakan gerak kerja setelah jentera dilancarkan petang ini.

"Untuk peringkat kebangsaan kita dah lancar di program ijtima’ minggu lepas dan hari ini untuk peringkat negeri Kelantan sendiri," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau, seramai 5,000 pemuda di seluruh negara telah dikerahkan untuk turun membantu jentera Kelantan pada PRK kali ini.

"Kita telah sasarkan seramai 5000 pemuda akan turun bertugas mengikut syif yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Ketua DPP Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman memberitahu, Kelantan telah menyediakan seramai 400 pemuda dari setiap kawasan untuk bertugas.

Jumlah petugas dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Kita telah gerakkan gelombang pertama bermula 7 Oktober lalu. Setiap gelombang akan bertugas mengikut syif iaitu satu syif selama lima hari dan akan berterusan sehingga ke hari membuang undi," katanya.

Majlis pelancaran petang ini akan dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa dan akan dihadiri oleh beberapa pimpinan DPPP. -harakahdaily


Briged Dewan Muslimat PAS dirasmi petang ini

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengorak langkah baru apabila mereka menubuhkan Briged Dewan Muslimat PAS Pusat secara rasmi petang ini.

Briged itu ditubuhkan dengan tujuan untuk menggerakkan tenaga muda wanita dalam gerak kerja parti termasuk pada pilihan raya sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa wanita muda "tidak ada" dalam PAS.

"Penubuhan briged ini sebagai platform kepada wanita muda PAS bagi menarik sokongan dan penglibatan wanita dalam kerja-kerja parti. (Kerja) pilihan raya adalah sebahagian daripada tuntutan itu," kata setiausaha DMPP Kartini Ahmad.

Menurutnya, tugas rasmi pertama briged itu adalah untuk membantu jentera pilihan raya PAS pada pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini.

Setakat ini, kata Kartini briged berkenaan mempunyai kira-kira 1,000 ahli dan telah memulakan tugas mereka semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Kartini berkata majlis pelancaran hari sebagai merasmikan penubuhan briged berkenaan dan masanya juga bertepatan dengan kempen pilihan raya Galas yang bermula 26 Oktober ini.

Kartini juga tidak menafikan peranan briged dewan muslimat itu "mungkin dikatakan sama" dengan Puteri Umno iaitu untuk menarik golongan muda supaya mempunyai kesedaran bahawa mengundi itu satu tanggungjawab yang besar.

"Kita juga mahu meningkatkan kesedaran kepada pengundi muda yang belum mendaftar sebagai pemilih," katanya sambil menambah briged DMPP akan berada di bawah seliaan dewan terbabit.

Majlis pelancaran itu dijadual pada jam 5 petang ini di dewan perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam yang akan disempurnakan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Antara pemimpin muslimat yang dijangka hadir adalah ketuanya, Nuridah Salleh dan pengarah pilihan raya DMPP Dr Mariah Mahmud.

Menurut Kartini lagi, majlis pelancaran diadakan secara terbuka dan sidang media akan diadakan selepas majlis tersebut. - mk

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah, teruskan perjuangan menentang UMNO

Tanpa Nama berkata...

lawan tetap lawan biarpun najib atau muhyidin jadi calon

Tanpa Nama berkata...

muga2 pas dapat pertahankan dun galas INSYAALLAH.

Tanpa Nama berkata...

semoga allah tumbangkan UMNO dan kezalimannya...