23 Jul 2010

Sungguh Dasyat Mentaliti Perkauman SPRM Tajaan UMNO, Bertentangan 1Malaysia Yang Dilaungkan

Inkues Teoh: 'You dari China kah?'

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah hari ini pada inkues kematian Teoh Beng Hock mendakwa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyoal-siasatnya memaksa beliau berdiri selama empat jam.

Beliau yang tampil sebagai saksi juga menolak dakwaan peguam SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, yang menuduh Tan mempunyai dendam dengan suruhanjaya itu selepas samannya berhubung soal siasat selepas waktu pejabat oleh SPRM ditolak oleh mahkamah.

Pada inkues pagi ini, Abdul Razak meminta Tan mengesahkan sama ada pengakuannya ke atas SPRM adalah palsu dan ia bertujuan mencemarkan nama baik suruhanjaya itu. Tan menafikannya.

Tan juga mendakwa disoal secara kasar termasuk dihambur perkataan kesat dan berbaur perkauman, selain menyentuh ahli keluarganya.

"Ada pegawai yang cucuk muka saya (bahagian dahi dengan jari) dan cakap 'you tak faham bahasa ka?','you dari China ka', 'macam ni ka ahli majlis'. Mereka juga tanya pasal bini (isteri) saya, tetapi mereka tidak percaya dan kata nak bawa anak bini saya ke situ," katanya.

Beliau berkata demikian apabila disoal peguam kepada keluarga Beng Hock iaitu Gobind Singh Deo.

Teoh Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai, 2009 di Plaza Masalam, Shah Aam selepas memberi keterangan dalam satu siasatan kes yang dijalankan SPRM Selangor.

Beliau diminta membantu siasatan berhubung beberapa dakwaan terdapat salah-guna dana kerajaan negeri oleh exco Selangor, Ean Yong Hian Wah yang juga merupakan majikannya.

Bagaimanapun pada keesokan hari, mayat Teoh dijumpai di verandah tingkat lima bangunan itu.

Mundar mandir di pantri

Tan Boon Wah pada keterangan hari ini memberitahu bahawa tiada sebarang bunyi jeritan kedengaran dan tiada sesiapa dipukul sepanjang beliau ditahan di pejabat SPRM.

Katanya, beliau mula ditahan jam 8 malam pada 15 Julai tahun lalu di rumahnya dan dibebaskan keesokannya pada jam 3 petang.

Menceritakan bagaimana beliau terserempak dengan Teoh, Tan yang juga ahli perniagaan berkata beliau melihat pembantu politik kepada exco kerajaan negeri Selangor itu pada jam 5 pagi ketika beliau dalam perjalanan ke tandas.

"Saya nampak dia (Teoh) berjalan mundar mandir di pantri dengan muka mengadap ke lantai. Saya tanya dia 'Teoh, kamu masih di sini?', dia tengok saya dan tak balas, saya kemudian ke bilik air terus," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Abazafree Mohd Abas, yang membantu Koroner Azmil Muntapha Abas dalam prosiding itu.

Tan juga memberitahu bahawa beliau mendapati ketika itu Teoh tidak mengalami sebarang kecederaan serta tidak mengadu apa-apa.

Ketika disoal Abdul Razak adakah pada malam itu (ketika bertemu Teoh) beliau telah memarahi Teoh kerana Teoh menyebabkannya dipanggil oleh SPRM, Tan berkata: "Tidak."

Beliau juga menafikan memarahi Teoh kerana membabitkannya dalam isu tuntutan pembelian bendera sempena hari kemerdekaan serta menafikan marah dengan SRPM kerana beliau terpaksa membayar RM20,000 selepas kalah dalam kes samannya terhadap SPRM.

Suara agak kasar

Tan, ketika disoal Abdul Razak, kelihatan beremosi terutama apabila Abdul Razak memintanya menjawab soalan dengan serius dan tepat.

Tan juga menafikan beliau ada menjerit "ini semua lu punya pasal" kepada Teoh di dalam tandas sepertimana didakwa oleh penolong penguasa SPRM Putrajaya, Bulkani Paharuddin, dalam perbicaraan lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa Teoh ada memintanya untuk membekalkan bendera melalui syarikat milik isterinya (Tan) dan SPRM menahannya untuk menyoal siasat berhubung perkara itu.

Tan yang berusia 40 tahun sekali lagi menegaskan kenyataannya itu bukan rekaan apabila disoal Ketua Pendakwa SPRM Datuk Abdul Razak Musa.

Tan juga menolak andaian Razak yang menyatakan beliau mahu mencemar nama baik dan berdendam terhadap SPRM melalui pendedahannya pada inkues berkenaan.

Tan berkata, selepas disoal selama empat jam, beliau dibenarkan minum air di pantri dan selepas itu dibenarkan tidur kira-kira jam 2.45 pagi. Beliau ke bilik air untuk kali pertama pada jam 5 pagi (bertembung dengan Teoh) dan kali kedua pada kira-kira jam 7 pagi.

Abdul Razak yang menyoal Tan kemudiannya mencadangkan bahawa keterangannya yang dirinya disoal dalam keadaan berdiri adalah rekaan semata-mata, Tan dengan tegas berkata: "Tidak."

Terdahulu, di awal prosiding, Koroner Azmil menolak permohonan Abdul Razak untuk memanggil saksi yang mempunyai kaitan dengan invois yang dicetak dari komputer riba Teoh.

Azmil menetapkan 9 Ogos untuk sambung bicara. -mk

1 ulasan:

Matketor berkata...

Oleh kerana terlalu banyak hangguk dalam budaya kehanggukan Kerajaan UBN maka tersimpullah urat tengkuk para juak juak mengkuatkuasa dan merenglah agaknya otak mereka..terimalah kamu UBN, satu lagi peringatan ALLAH SWT atas penindasan kamu terhadap rakyat...bak kata Che Det, "dah lamaa dah"...cukuplah UBN, rakyat sudah jelak, muak, meloya,