24 Mei 2010

Manikumar : Tidak Wajar Untuk Saya Lompat Parti

Ahli Exco Negeri Kedah, S Manikumar Manikumar menyeru rakyat supaya menolak propaganda Umno-Barisan Nasional yang menyebarkan fitnah bahawa kerajaan negeri goyah disebabkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri akan keluar parti sambil menyatakan keyakinan penuh dan taat setia beliau kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Manikumar yang juga ADUN Bukit Selambau berkata musuh ingin melihat Pakatan Rakyat tumbang di Kedah yang dilihat sebagai sebuah parti pemerintah yang kuat sekarang ini namun beliau akan tetap bersama dengan KEADILAN dalam apa juga situasi dan kondisi.

"Saya mendapat tempat untuk menjadi wakil rakyat adalah atas kepercayaan kepimpinan parti kepada saya. Oleh kerana itu adalah tidak wajar bagi saya untuk meninggalkan parti yang telah memberi satu penghormatan dan tanggungjawab untuk saya laksanakan bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.

"Justeru itu desas-desus dan dakwaan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab seperti mana yang dilaung-laungkan sebelum ini bahawa terdapat ADUN Pakatan Rakyat akan melompat parti adalah satu dakyah jahat yang sengaja Umno-BN rekacipta semata-mata untuk melihat kita dalam Pakatan Rakyat berada dalam keadaan yang goncang dan goyang.

"Oleh kerana itu jugalah maka saya dengan ini suka menyatakan pendirian saya bahawa KEADILAN adalah tetap menjadi parti untuk saya memberi khidmat dan sumbangan kepada rakyat yang telah memilih saya dalam pilihan raya kecil yang lalu sehinggalah kepada pilihan raya umum yang akan datang," kata Manikumar semasa beucap di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar Sabtu lalu. -SK

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kesian sungguh kepada UBN Kedah. Dah tak ada cara lain ke nak rampas kuasa. Tunggulah pilihanraya tak lama lagi. Macam-macam cara untuk burukkan kerajaan negeri seperti nak laga-laga pemimpin PR dan menuduh kerajaan negeri tidak tunaikan janji. Macam perangai UBN Pulau Pinang. Semasa perintah dulu mengapa tak buat projek-projek yang kononnya kerajaan PR tak buat. Bila orang lain perintah macam-macam komplen.