19 Nov 2009

Era Najib Altantuya : TGNA Tersenarai Top 50 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku "The 500 Most Influential Muslims In The World" tahun 2009.

Para tokoh Muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

"500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia" sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai katagori muslim radikal.

Nama tokoh Islam dari Malaysia yang tersenarai ialah Mursyidul Am PAS, TG Nik Abd Aziz Nik Mat yang menduduki tangga ke 42 dari keseluruhan 500 Muslim Yang Berpengaruh.

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 "Honourable Mention" di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia. Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam "Honorable Mention".

Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Dato Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.

Dua orang pemimpin SIS yang kerap menimbulkan kontroversi dan pendokong Islam liberal di kalangan feminis, Sharifah Aljeffri dan Zaynah Anwar juga disenaraikan.

Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.





Era Najib Altantuya : Tamparan Ke Muka SPRM, Tiada Siasatan Selepas Waktu Pejabat

Dalam satu keputusan bersejarah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak lagi dibenarkan menyoal siasat saksi pada waktu malam.

Hakim Mohd Ariff Md Yusof memutuskan SPRM hanya berhak menyoal siasat saksi dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

Keputusan itu dibuat berikutan pendedahan mendiang Teoh Beng Hock disoal siasat sepanjang malam sehingga awal pagi sebelum di jumpai mati di perkarangan ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam 16 Julai lalu.

Seorang lagi saksi yang turut disoal siasat ketika itu, Tan Boon Wah, telah memohon Mahkamah Tinggi untuk menyemak sama ada SPRM berhak menyoal siasat saksi pada bila-bila waktu.

Boon Wah turut mendakwa beliau di kasari oleh pegawai penyiasat SPRM ketika beliau di soal siasat.

Beng Hock mati dalam keadaan mencurigakan, malah seorang pakar bedah dari Thailand tidak menolak kemungkinan mendiang mangsa jenayah.

Berikutan keterangan pakar itu pada inkues Beng Hock bulan lalu, arahan diberi untuk menggali semula mayat mendiang Sabtu ini bagi membolehkan bedah siasat yang lebih terperinchi dijalankan.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Mohd Ariff menolak tafsiran SPRM bahawa

Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM kononnya memberi kuasa kepada badan itu untuk menyoal siasat saksi sepanjang masa.

“Ungkapan dari hari ke hari (untuk jalankan siasatan) dalam seksyen itu tidak bermaksud 24 jam tetapi waktu kerja pejabat yang biasa,” kata beliau.

“Justeru, saya bersetuju bahawa pemohon (Boon Wah) dalam kes ini telah ditahan secara tidak sah untuk disoal siasat. -TVS



Era Najib Altantuya : Khalid Pertahan Beli Hutang Talam Corp

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan tindakannya membeli hutang daripada Talam Corporation Berhad yang mempunyai hutang berjumlah RM391.7 juta.

"Keputusan untuk membeli hutang ini adalah urusan kerajaan negeri. Saya rasa ini isu Talam ini juga adalah isu teknikal dan juga isu kewangan yang menjadi urusan kerajaan negeri.

"Saya percaya bahawa semua polisi utama terutamanya melibatkan polisi awam akan dibincangkan di semua peringkat dalam masyarakat, termasuklah politik, pentadbiran dan awam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di bangunan SUK sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim yang mempertikaikan tindakan Khalid membeli hutang itu.

Exco Pelaburan, Teresa Kok turut menyokong tindakan Menteri Besar keputusan terbaik untuk mengatasi masalah hutang sebelum ini.

Pada Sidang Dewan Negeri sebelum ini, menteri besar mengumumkan kerajaan negeri melalui anak syarikatnya membeli Talam Corporation Berhad. -TVS


Era Najib Altantua : Karpal Telah Sambut, Nazri Tiba-tiba Membisu

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh hari ini menyahut cabaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk mendakwa Datuk V.K Lingam sekiranya Peguam Negara memberikan kuasa kepadanya untuk bertindak.

Tindakan ini dibuat bagi menyahut cabaran Nazri semalam yang mengatakan Karpal boleh mewakili Peguam Negara dan mendakwa Lingam.

Karpal berkata di England ia menjadi perkara biasa apabila kerajaan membenarkan pengamal undang-undang untuk mendakwa sesuatu pihak bagi mewakili Queen’s counsel.

“Di negera ini terdapat peruntukan undang-undang untuk Peguam Negara mengeluarkan sijil iaitu perintah untuk memanggil Datuk Seri Nazri Aziz untuk menasihati Peguam Negara supaya mengeluarkan surat perintah untuk mendakwa V. K. Lingam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siding mediannya ketika mengulas mengenai cabaran yang dibuat Nazri semalam bahawa Karpal boleh mewakili Peguam Negara untuk mendakwa Lingam.

Nazri berkata, sekiranya Karpal mahu, beliau akan menasihati Peguam Negara untuk melantik Karpal mendakwa Lingam bagi pihak kerajaan.

Semalam Nazri berkata, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk melindungi Lingam dan Karpal selaku pengamal undang-undang boleh mendakwanya.

Sehubungan itu, Karpla menyahut cabaran berkenaan dan bersedia untuk mendakwa V. k. lingam terhadap tuduhan di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan.

“Saya terima cabaran berkenaan. Saya telah bersedia untuk mendakwa Lingam dibawah Seksyen 4,Akta Hasutan. Berdasarkan klip video, apa juga yang dikata dikira sebagai cubaan menghasut.

“Dalam perkataan lain, ia berada di bawah seksyen 3(1) (c) Akta Hasutan yang mana ia adalah cubaan menghasut sebagai cubaan membawa rasa benci terhadap pentadbiran keadilan Negara,” katanya.

Karpal menegaskan bahawa Peguam Negara adalah penasihat kepada kerajaan dan kerajaan mempunyai kuasa untuk mengarahkan penasihat.

“Saya rasa Nazri mencabar profesyen undang-undang. Apa yang saya perlu adalah fail berkaitan siasatan video klip berkenaan. Bila saya mendapat arahan daripada Peguam Negara untuk mendakwa, saya akan lakukan apa yang perlu,”katanya.

Karpal percaya Lingam bersalah dari segi hasutan dan harus dihukum.

“Telah sampai masa untuk mengambil tindakan. Kisah V. K. lingam ini telah berlanjutan lama lebih dari setahun. Cadangan yang dibuat Suruhanjaya DiRaja telah di abaikan oleh kerajaan,” katanya -TVS


Era Najib Altantuya : SPRM Tiada Hak Soal Saksi Selepas Waktu Pejabat, Kata Mahkamah (updated)

Dalam keputusan yang dilihat sebagai signifikan, Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh menyoal siasat mana-mana saksi selepas waktu pejabat.

Mahkamah juga memutuskan SPRM telah bertindak secara tidak sah apabila menyoal siasat ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah sepanjang malam di pejabat negeri Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam kira-kira empta bulan yang lalu.

Waktu pejabat yang dimaksudkan antara 8.30 pagi dan 5.30 petang.

Tan disoal siasat sehingga 2 pagi dan hanya kembali ke rumahnya pada waktu tengah hari keesokan hari.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof yang membuat keputusan itu menjelaskan pengertian frasa “sehari ke sehari” yang menjadi pertikaian teras antara Tan dan SPRM “tidak boleh dianggap sebagai sepanjang hari” termasuk merakamkan kenyataan daripada saksi.

Mohamad Ariff berkata, SPRM kemungkinan sedar perkara ini apabila mereka mengarahkan Tan kembali untuk membantu siasatan susulan pada pukul 10 pagi Julai 20, yang termasuk dalam tempoh waktu pejabat normal.

Mahkamah Tinggi juga mengarahkan SPRM membayar ganti rugi dialami Tan ekoran “penahanan tidak sah” antara 9.45 malam Julai 15 hingga 2.53 pagi Julai 16.

Bagaimanapun jumlah itu termasuk kadar faedah akan ditentukan oleh pendaftar mahkamah.

Tan ditahan pada pukul 9 malam Julai 15 lalu, hari yang sama Teoh Beng Hock iaitu pembantu politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor turut ditahan tetapi kemudian ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam.

Tan memohon mendapatkan perisytiharan SPRM hanya boleh menyoal siasat saksi dalam tempoh waktu pejabat.

Mohamad Arif menetapkan hari ini untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan peguam Karpal Singh mewakili Tan selaku plaintif dan Peguam Kanan Persekutuan, Noorin Badaruddin mewakili defendan.

Dalam hujahnya sebelum ini, Karpal menegaskan, walaupun Seksyen 30(3) Akta SPRM 2009 menyebut pegawai suruhanjaya yang menjalankan siasatan boleh memanggil sesiapa sahaja untuk memberi keterangan tetapi perkataan sehari ke sehari yang terdapat dalam seksyen tersebut perlu diperhalusi.

Beliau berpendapat SPRM seharusnya mengamalkan Peraturan 20 Peraturan Lokap dengan para banduan akan dimasukkan ke dalam lokap antara pukul 6.30 petang hingga 6.30 pagi.

Sementara itu, Noorin berhujah, maksud “sehari ke sehari” perlu dilihat dari segi istilah. Jelasnya, menurut buku “In Words, Phrases & Maxims Legally & Judicially Defined”, “sehari” mengikut kalendar Inggeris bermaksud ia bermula pada waktu tengah malam sehingga tengah malam hari yang berikutnya.

Tan, 39, menamakan Ketua Suruhanjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan; Penolong Penguasa SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli dan suruhanjaya tersebut sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Plaintif menuntut perisytiharan bahawa seseorang yang disiasat di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 hanya boleh direkodkan pernyataan sebagai saksi dalam waktu pejabat iaitu mulai pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan bukannya selepas tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut perisytiharan bahawa defendan telah bertindak bertentangan dengan peruntukkan Seksyen 30(3)(a) akta tersebut.

Tan kelihatan gembira semasa keputusan itu diumumkan.

Kata Tan, beliau memfailkan saman dengan harapan agar SPRM berhenti daripada menyoal siasat seseorang pada waktu-waktu pelik selepas tempoh waktu pejabat khususnya selepas apa yang dilalui oleh Teoh.

“Ini keputusan baik untuk semua rakyat Malaysia,” kata Tan.

Tidak diketahui sama ada SPRM akan mengemukakan rayuan ataupun sebaliknya.

Sementara peguam-peguam mewakili SPRM tidak menyatakan sama ada akan membuat rayuan, Karpal merasakan pihak berkenaan akan membuat rayuan memandangkan keputusan hari ini membawa implikasi ke atas pihak berkuasa lain.

Karpal berkata mereka mempunyai masa sebulan untuk mengemukakan rayuan. -MI

Era Najib Altantuya : SPRM Hanya Boleh Soal Siasat Saksi Waktu Pejabat Sahaja

Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia tidak dibenarkan menyoal siasat saksi semalaman, dan hanya boleh dilakukan semasa waktu pejabat, iaitu dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

SPRM juga di dapati bertindak tidak mengikut undang-undang apabila apabila melakukan soalsiasat ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah semalaman di ibu pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.

Hakim mendapati maksud kenyataan "hari ke hari", yang menjadi intipati pertikaian di antara Tan dan SPRM, siasatan yang dilakukan "tidak boleh bermaksud sepanjang waktu" termasuklah merekodkan kenyataan dari saksi.

Tan telah dibawa ke pejabat SPRM pada 9 malam pada Julai 15, hari yang sama Teoh Beng Hock menjalani soalsiasat, dimana Teoh akhirnya ditemui mati di tingkat 5 di luar bangunan SPRM dan inkues mengenai kematiannya Teoh sedang berjalan.

Tan telah di soalsiasat sehingga jam 2 pagi dan telah pulang ke rumah hari berikutnya waktu makan tengahari..

Era Najib Altantuya : DUN Kedah Ditangguh Kerana Kerosakan Penghawa Dingin

Persidangan hari ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis ditangguh ke Ahad minggu depan berikutan pendingin hawa dalam dewan mengalami kerosakan dan menyebabkan keadaan panas serta kurang selesa.

Speaker Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengumumkan penanggguhan itu selepas menerima cadangan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk menangguhkan persidangan hari ini, yang disokong Datuk Phahrolrazi Zawawi (PAS-Pengkalan Kundor).

"Peristiwa ini pertama kali berlaku, memandangkan keadaan dewan yang panas, saya menangguhkan sidang dewan ini pada hari Ahad ini (22 Nov)," katanya.

Sesi persidangan pada Khamis merupakan hari terakhir diperuntukkan bagi perbahasan usul terima kasih atas titah Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika merasmikan sidang Dewan dengan sesi penggulungan dijadualkan pada petangnya. -Bernama

Ulasan GB

Dahulu sewaktu GB mengulas mengenai suasana di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bergelap selama 15 minit sewaktu semua pihak menunggu sebutan kali ke 2 pembicaraan krisis yang berlaku di Perak dan GB bertanya apakah “gelap” selama 15 mnit itu akan membawa satu petanda masih ada ruang “gelap” di dalam sistem kehakiman di dalam negara ini. (baca tulisan ini)

Itu petanda dan petujuk Allah sebelum sesuatu kejadian berlaku. Allah Maha Tahu namun Dia Maha Pengasih Maha Penyayang, memberikan tanda-tanda bagi mereka yang boleh membaca dengan mata hati terhadap apa yang tersirat dari menjengah tentang apa yang tersurat. Tidak ada sesuatu yang datang dari Allah itu sia-sia.

Kini Sidang DUN Kedah kepanasan. Sistem hawa dingin rosak. Terpulang kepada firasat masing-masing.

Era Najib Altantuya : Hadi Sudah Perjuangkan Melayu?

Hadi gesa SPR tambah kerusi Parlimen kawasan majoriti Melayu
Malaysian Insider

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat gesaan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah kerusi Parlimen di kawasan-kawasan majoriti masyarakat Melayu seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Hadi menegaskan beliau kecewa kerana sudah lama keadaan di ketiga-tiga tidak mengalami perubahan, malah tiada penambahan kerusi Parlimen.

Oleh itu, kata beliau, sudah sampai masanya SPR membuat kajian mendalam di ketiga-tiga negeri tersebut supaya kerusi Dewan Rakyat dapat ditambah dengan mengambil kira perubahan keadaan semasa dan penduduk.

Jika penambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri itu tidak dilakukan segera, Hadi memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau khuatir keadaan berkenaan akan menyebabkan ahli-ahli Parlimen mengalami kesukaran melakasanakan tugas mereka dengan lebih berkesan.

“Oleh kerana itu, sangat wajar Suruhanjaya Pilihan Raya di bawah Jabatan Perdana Menteri membuat kajian untuk membuat perubahan kawasan-kawasan (Parlimen) di negeri tersebut," kata beliau dipetik portal berita alternatif.

Lazimnya SPR akan mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya setiap 10 tahun.

Difahamkan SPR akan berbuat demikian mulai tahun depan.

Kerusi Parlimen semasa sebanyak 222 digunakan pada pilihan raya umum 2004 selepas persempadanan semula tahun 2002.

Kedah, Kelantan dan Terengganu kini mempunyai 15, 14 dan lapan kerusi Dewam Rakyat.

Jumlah kerusi itu tidak berubah berbanding ketika pilihan raya umum 1995 dan 1999. Kali terakhir pilihan raya umum diadakan ialah Mac 2008.

Ulasan GB

Sejak bila Parti Islam SeMalaysia (PAS) menukar dasar perjuangan Islamnya kepada perjuangan nasionalisme berteraskan bangsa? Fasal dan perenggan yang mana di dalam perlembagaan PAS ada menyebut "memperjuangkan bangsa Melayu"?

Penambahan kerusi di kawasan yang "Melayu" melalui SPR adalah satu agenda politik UMNO sekian lama, kini Presiden PAS pula yang memperjuangkannya yang setentunya disukai oleh UMNO.

Apakah kekalahan PAS di Bagan Pinang tempohari yang menyedarkan Presiden PAS mengenai kemerosotan sokongan bukan-Melayu terhadap PAS mendorong beliau untuk menuntut "kerusi Melayu" lebih banyak di Parlimen?

Sedangkan yang sepatutnya diusahakan ialah pengembelengan tenaga dan usaha untuk menggilap semula PAS supaya diterima semula oleh bukan-Melayu?

Meminta penambahan kerusi parlimen "Melayu" yang lebih banyak bererti meminta kerusi untuk UMNO lebih banyak.

Kerja gila!

Masaalah yang dibawa oleh pemimpin bermasalah untuk meletakkan parti dalam masalah.

Atau nanti ada pihak dari kumpulan UG yang bangkit menuduh GB memfitnah?

Era Najib Altantuya : PR Mahu Lantik Ku Li Pengerus Kaukus Royalti Minyak

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah semalam mahu beliau mempengerusikan satu kaukus mengenai pertikaian wang royalti minyak membabitkan kerajaan persekutuan dan Kelantan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu mengadakan perbincangan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen kira-kira 30 minit.

Turut menyertai perbincangan itu ialah Ahli Parlimen Machang dari PKR Saifuddin Nasution, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian-PAS) dan Tian Chua (Batu-PKR).

Kemudian Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan ketika ditemui pemberita berkata beliau akan mempertimbangkan tawaran itu.

Bagaimanapun beliau tidak menetapkan bila akan mengumumkan keputusannya.

“Mereka ada mengesyorkan mahu membentuk satu kaukus mengenai minyak kerana ia menjadi isu panas yang dibahaskan antara kerajaan khususnya perwakilan negeri.

“Mereka berpendapat bahawa melalui kaukus ini akan ada alasan-alasan logik untuk mencapai penyelesaian terbaik terhadap masalah ini.

“Jadi mereka memutuskan untuk meminta saya mengetuai kaukus, saya belum memberikan jawapan lagi. Saya akan timbangkan dan memikirkan tentang ini,” kata beliau.

Bekas Naib Presiden Umno ini berkata, beliau akan mempertimbangkan permintaan memandangkan pernah terlibat dalam “urusan minyak” sejak penubuhan Petronas dan penggubalan undang-undang yang berkaitan.

Sehubungan itu katanya, beliau akan memainkan peranan bagi menyelesaikan isu itu “jika ia benar-benar adalah satu masalah.”

Razaleigh telah terlibat secara langsung dalam menggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 bersama Tun Salleh Abas.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS tiada hak untuk menuntut bayaran royalti hasil petroleum.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan, Nazri menjelaskan, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein tidak secara khusus menggunakan istilah “royalti” semasa membahaskan Rang Undang-undang Pembangunan Petroleum 1974, yang membuka laluan kepada penubuhan Petronas dan perjanjian perkongsian lima peratus hasil dengan negeri-negeri mengeluarkan minyak.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan pemberian wang ihsan petroleum daripada kerajaan persekutuan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan khususnya PAS bagaimanapun masih mempertahankan hak Kelantan untuk mendapatkan royalti daripada hasil petroleum, bukannya wang ihsan.

Terengganu juga pernah diberikan wang ihsan selepas ia ditawan PAS pada pilihan raya umum 1999. -MI

era Najib Altantuya : Operasi Lalang Dalam MCA. 9 Penyokong Liow Dicantas

Krisis politik MCA semakin panas apabila sembilan penyokong Datuk Seri Liow Tiong Lai termasuk Ketua Pemuda dan Wanita digugurkan daripada menganggotai Majlis Presiden, berkuat kuasa serta-merta.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, ketika mengumumkan rombakan majlis berkenaan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) di sini semalam dengan alasan tindakan itu dilakukan mengikut perlembagaan parti bagi mengukuhkan MCA.

Liow yang juga Naib Presiden MCA, bagaimanapun mendakwa Tee Keat mengamalkan politik ‘cantas dan hapus’ terhadap pemimpin yang tidak sehaluan dengannya dan menyifatkan keadaan parti itu kini seperti ‘keluarga sedang berperang’.

Mereka yang digugurkan ialah lima timbalan menteri termasuk Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun.

Selain Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran dan Chew (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), turut digugurkan Dr Hou Kok Chung (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi), Wee Jeck Seng (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Datuk Chor Chee Heung (Timbalan Menteri Kewangan), manakala empat lagi ialah Wong Nai Chee, Gan Hong Su, Lee Wei Kiat, Gan Ping Sieu.

Pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Tee Keat turut mengumumkan pelantikan tujuh anggota baru Majlis Presiden.

Dengan rombakan itu, kini hanya tinggal Liow berseorangan tanpa penyokongnya dalam Majlis Presiden.

Majlis itu yang bertindak sebagai badan pengurusan parti, turut dianggotai Presiden, timbalannya, Setiausaha Agung, Naib Presiden dan Bendahari.

Tee Keat berkata, rombakan itu dilakukan bagi memastikan segala dibincang dan didebat oleh MCA dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Selain itu, beliau turut mengumumkan keputusan CC menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua pada 28 November ini yang diusulkan penyokong Liow.

Tee Keat berkata, CC memutuskan resolusi EGM itu untuk mengadakan pemilihan baru parti adalah cacat dan bercanggah dengan perlembagaan MCA.

Seramai 23 ahli CC menolak EGM itu, 10 menyokong dan dua berkecuali, manakala tujuh lagi tidak hadir.

Pada 6 November lalu, kumpulan Liow yang diketuai Nai Chee mengumumkan EGM kedua akan diadakan pada 28 November ini. Bagaimanapun, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 800 perwakilan untuk mengadakan EGM itu.

Liow pada sidang media berasingan, berkata tindakan terbaru Tee Keat itu akan memburukkan lagi keadaan parti.

“Mesyuarat CC hari ini (semalam) membuatkan hati kami berdarah. Presiden menggugurkan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita dalam Majlis Presiden.

“Presiden melantik orangnya dan menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengannya supaya beliau boleh mempunyai kuasa mutlak dalam Majlis Presiden. Majlis Presiden adalah satu jawatankuasa penting yang memutuskan banyak perkara dalam parti,” katanya.

Sambil menegaskan MCA berada pada persimpangan jalan, Liow menggesa perwakilan menghadiri EGM kedua untuk membuat keputusan demi kebaikan MCA serta mempertahankan nilai perjuangan dan prinsip demokrasi dalam parti itu.

“Pemimpin parti mesti mendengar suara ahli, perwakilan dan orang ramai. Kami tidak mahu menjadi `tawanan’ kepada politik kotor, autokratik dan penggunaan kuasa tanpa mempedulikan orang lain,” katanya.

Liow menegaskan beliau akan terus bergerak ke seluruh negara untuk mendapat sokongan perwakilan bagi mengadakan EGM kedua.

FAKTA: Senarai baru Majlis Presiden


Presiden
- Datuk Seri Ong Tee Keat

Timbalan Presiden
- Datuk Seri Dr Chua Soi Lek

Setiausaha Agung
- Datuk Wong Foon Meng

Bendahari
-
Naib Presiden
- Datuk Seri Kong Cho Ha
- Datuk Seri Liow Tiong Hai
- Datuk Seri Ng Yen Yen
- Tan Kok Hong

Dilantik
- Datuk Loke Yuen Yow (kekal)
- Wong Hock Aun (kekal)
- Datuk Seri Tan Chai Ho
- (baru)
- Tan Cheng Liang (baru)
- Datuk Lee Chee Leong

(baru)
- Gan Ping Sieu (baru)
- Datuk Ti Lian Ker (baru)
- Datuk Dr Mah Hang Soon (baru)
- Heng Seai Kie (baru)

Ulasan GB

Kemelut MCA yang berlaku menunjukkan tanda-tanda ke arah kehancuran parti apabila Presiden MCA mengguna kuasa memecat mereka yang ta sehaluan daripada Majlis Presiden.

Sememang tidak dapat dinafikan bahawa tindakannya itu tidak menyalahi Perlembagaan kerana ia adalah prerogatif Presiden utnuk memilih anggota Majlis Presiden, tetapi dengan pemecatan dan perlantikan yang megenepikan suara-suara akar umni jelas menujukkan sifat diktator seseorang pemimpin.

Kita berharap ia menjadi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin tertinggi komponen Pakatan Rakyat terutama PAS.

Sebarang perlantikan yang hanya melibatkan "All The President's Men" dengan membelakangkan hasrat dan suara akar-umbi akan hanya mengakibatkan kehancuran parti.