16 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Teoh Beng Hock Diarah Siasat Atas Arahan SPRM Putrajaya

Operasi mengheret mendiang Teoh Beng Hock ke kancah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki diarahkan Putrajaya, dan bukan SPRM negeri.

Peguam Gobind Singh Deo mengesyaki tangan-tangan Putrajaya mendalangi siasatan ini.

Kenyataan ini dibuat berdasarkan kepada pededahan Penolong Penguasa Risikan, Arman Alias kepada Koroner Azmil Muntapha Abas di Inkues hari ini.

“Saya merasakan ada dua perkara yang menimbulkan keraguan daripada keterangan Arman bahawa beliau adalah merupakan seorang Pegawai daripada SRPM Putrajaya menunjukkan dalam siasatan kes ini pada awal-awalnya arahan diberikan oleh Pegawai daripada Putrajaya supaya mereka boleh ikuti dengan dekat perkembangan kes ini,’’ katanya.

Dalam pada itu, Gobind turut mengatakan Arman sebenarnya tidak memahami dengan jelas apa yang disiasatnya ekoran dari kenyataan beliau apabila diminta menjawab beberapa soalan.

“Apabila disoal, beliau bersetuju pada permulaannya, beliau tidak tahu secara tepat apa kesalahan dan tidak dapat melihat dengan jelas. Mereka itu seolah-olah hanya membawa semua fail dan mencari sahaja, hendak mencari satu kesalahan,” katanya.

Sementara itu, bekas majikan Teoh Beng Hock, Ean Yong Hian Wah meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan memberi penjelasan mengenai campurtangan pegawai SPRM Putrajaya dalam siasatan terhadap Beng Hock.

Menurutnya Ahmad Said tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri seperti yang dilakukan ketika mayat Beng Hock ditemui di Plaza Masalam 16 Julai lalu tanpa memberi sebarang penjelasan walaupun mendiang masih dalam tahanan SPRM.

“Saya harap ketua pesuruhjaya SPRM Datuk Seri dia perlu beri penjelasan pada rakyat dan keluarga Teoh Beng Hock mengapa pegawai-pegawai SPRM Putrajaya datang untuk mencampurtangan dalam siasatan begini.

“Saya juga minta SPRM perlu bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock dan sehingga kini tiada siapa mengaku bersalah dan tiada sebarang penjelasan daripada SPRM bagaimana Teoh Beng Hock boleh jatuh dari pejabat SPRM di tingkat 14 Plaza Masalam,” katanya.

Menurutnya campurtangan pegawai SPRM Putrajaya berkenaan merupakan usaha menakut-nakutkan dan menjatuhkan wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor.

“Memang kita dapati apabila SPRM mula membuat siasatan ke atas semua wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor, mereka mempunyai agenda yang tertentu. Jika hari ini kita dapati ada pegawai SPRM dari Putrajaya masuk ke dalam Selangor untuk menyiasat wakil rakyat dan bukan sahaja Teoh Beng Hock jelas sekali mereka mahu menakutkan kita dan mahu menjatuhkan wakil rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Beng Hock adalah setiausaha politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah dan ditemui mati berhampiran ibu pejabat SPRM negeri 16 Julai lalu.

Pakatan Rakyat mengesyaki Beng Hock adalah mangsa konspirasi siasatan besar-besaran SPRM terhadap kerajaan Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seraya mengeluarkan arahan sebarang siasatan selepas ini hanya boleh dilakukan dalam keselamatan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Perbincangan inkues Beng Hock akan bersambung pada 21 Oktober ini. -TVS



Era Najib Altantuya : Sikap Binatang UMNO Jelas Bila Mahu Sekat Peruntukan Ke Selangor

Umno mahu Putrajaya menyekat peruntukan ke Selangor supaya rakyat negeri ini sedar hanya Umno dapat membantu mereka.

Perwakilan Umno Selangor Abdul Shukur Idrus berkata sekatan ini perlu kerana kerajaan Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim meraih sokongan meluas dari program bantuan sosio-ekonomi yang dilaksanakan.

Abdul Shukur menjelaskan kerajaan negeri mengagihkan RM1,000 berupa bantuan khairat kematian dan RM1,500 kepada warga tua - walhal Umno sekadar menyumbang RM300.

Beliau menambah agihan sosio-ekonomi seperti ini menjadi buah-bicara rakyat Selangor walhal peruntukan sebenarnya datang dari Kerajaan Pusat.

Abdul Shukur berkata demikian ketika membahaskan ucapan Presiden Umno Najib Abdul Razak di Persidangan Umno ke-60 hari ini.

Sementara itu Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari berkata kerajaan pusat telah menyekat peruntukan kepada kerajaan negeri selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri.

Menurutnya gesaan berkenaan jelas menunjukkan ketidak matangan pemimpin Umno memahami memahami sistem federalisme dan demokrasi sehingga sanggup menghukum rakyat.

"Hari ini pun peruntukan pusat pada negeri telah ditarik balik. Kerajaan negeri membangunkan negeri dengan pendapatan yang ada sahaja.

"Pemimpin Umno kena faham apa makna kerajaan persekutuan, ada kerajaan persekutuan dan ada kerajaan negeri, dan dia perlu menghormati demokrasi. Mana kita ada pilihan raya, rakyat dihukum kerana membuat pilihan sendiri," katanya.

Menurutnya kerajaan Pusat perlu memberi penjelasan kepada rakyat Selangor begaimana wang peruntukan yang seharusnya disalurkan kepada Ahli Parlimen dan Pejabat Daerah digunakan.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan berusaha memastikan bantuan sosio-ekonomi kepada rakyat Selangor tetap dilaksanakan walaupun mendapat halangan dari kerajaan pusat.

Katanya isu berkenaan tidak seharusnya timbul memandangkan rakyat Selangor berhak menerima peruntukan dari kerajaan pusat kerana mereka merupakan pembayar cukai.

"Peruntukan Ahli Parlimen ditarik balik, peruntukan di pejabat daerah ditarik balik dan kita mempersoalkan di mana duit itu dibelanjakan, apa jadi dengan duit-duit itu.

"Kerajaan pusat kena jelaskan kepada rakyat Selangor bagaimana wang itu dibelanjakan secara telus. Dia kena ingat 32 peratus pendapatan pusat dari Selangor, hasil cukai Negeri Selangor," katanya.


Era Najib Altantuya : UMNO Bertanggungjawab Memundurkan Kelantan

Setelah Umno cuba mengulangi kembali idea silamnya, mendakwa Kelantan sebagai sebuah negeri mundur, para pemimpin PAS negeri amat menyedari sememangnya itu adalah sebahagian daripada strategi lapuk Umno dalam usahanya untuk menawan Kelantan, lapor Malaysian Insider.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman, semasa mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein, dan Setiausaha Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Alwi Che Ahmad, yang mendakwa Kelantan masih mundur berbanding dengan negeri-negeri lain berikutan kegagalan Kerajaan Negeri melaksanakan pembangunan sebagaimana dijanjikan pada pilihan raya tahun lepas.

Abdul Latiff memberitahu, Umno berada di dalam keadaan terdesak kerana merasakan kredibilitinya kian terhakis akibat diancam gelombang politik yang tidak keruan sejak akhir-akhir ini memaksa mereka memanipulasikan keadaan bagi menutup beberapa isu negara yang tidak pernah selesai daripada terus menjadi perhatian rakyat. Malu dan mengaibkan!

Tanpa menolak kemungkinan, Abdul Latiff turut berkata, penyakit fobia bahana tsunami politik pada pilihan raya umum (PRU) 2008 yang hampir merobek seluruh persada politik didokongnya sejak lebih 50 tahun merupakan tragedi ngeri amat menakutkan belum berjaya dipulih untuk menghadapi PRU ke 13 akan datang. Lalu mereka jadikan Kelantan mundur sebagai umpan perang saraf peringkat awal mereka menjelang pilihan raya umum atau kecil.

“Maka mereka eksploitkan semula idea lapuknya, merekacipta tuduhan mengatakan Kelantan mundur di bawah pemerintahan PAS” jelasnya, dan menyeru adalah lebih baik pemimpin Umno negeri dapatkan isu lain daripada terus mengguna idea lapuk yang sudah dimomok rakyat sebelum ini.

Tuduhan Kelantan sebagai sebuah negeri yang termundur dengan kadar kemiskinan yang tertinggi dalam negara merupakan isu pernah dimainkan Umno sebaik sahaja kerajaan PAS memerintah Kelantan sejak hampir 20 tahun lalu.

Namun ia nampaknya semakin ghairah dieksploitasikan semula oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga selaku Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin, dalam kempen pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang 11 Oktober lalu. Ia kemudiannya melata, diperbesar-besarkan oleh pemimpin Umno negeri.

Dakwaan Muhyidin itu bagaimanapun disangkal oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad, sebagai dakwaan mengarut dan tidak berasas kerana tidak menepati fakta statistik kemiskinan tegar yang dengan jelas mencatatkan bilangan isi rumah dalam kategori miskin tegar di Perak, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak ternyata lebih besar berbanding negeri Kelantan.

Sementara itu Abdul Latiff menegaskan sekiranya dakwaan tersebut adalah benar maka pihak yang bertanggungjawab memundurkan Kelantan adalah kerajaan Umno-BN sendiri, bukannya PAS kerana tanggungjawab terhadap perkara tersebut adalah terletak di tangan kerajaan Umno-BN selaku organisasi induk kepada negeri-negeri di bawahnya termasuk Kelantan.

“Peruntukan pembangunan negeri tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri tapi disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), jadi siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini?” soalnya.

Tegasnya lagi, Umno sebenarnya banyak beremosi semasa membuat kenyataan. Tindakannya umpama memasang jerat untuk menjeratkan batang tubuhnya sendiri. Dan ianya jelas terbukti, pada majlis Penyampaian Bantuan Ihsan Mangsa Ribut peringkat parlimen Bachok, dekat sini, Awang Adek sendiri mendedahkan bahawa Kerajaan Pusat tidak mungkin menyalurkan peruntukan menerusi kerajaan negeri.

Sehubungan itu Abdul Latiff mengingatkan rakyat Kelantan agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah politik kotor Umno yang sudahpun diancam kepupusan modal untuk diisi dalam wadah perjuangan mereka.


Nizar vs Zambry : Apa Perlunya Sivakumar Panggil Sidang DUN Di Butiran Yang Sama?

Semalam bernama melaporkan Pakatan Rakyat{PR) di Perak yang sebelum ini berhasrat memulau persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 28 Oktober ini dengan alasan notis oleh Speaker, Datuk R Ganesan, adalah tidak sah, mengubah pendirian dan akan menghadirinya berdasarkan notis yang dikeluarkan bekas Speaker, V Sivakumar.

Jurucakap PR, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa keputusan untuk hadir dibuat setelah mereka menerima notis daripada Sivakumar semalam memaklumkan persidangan itu akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Katanya, pakatan pembangkang masih mengiktiraf Sivakumar sebagai Speaker DUN Perak dan mereka akan mematuhi notis yang dikeluarkannya.

Pada masa sama, katanya, mereka meminta Ganesan menarik balik notis dikeluarkannya kerana mendakwa arahan itu tidak sah.

Saya terkejut dengan keputusan berkenaan. Kerana saya merasakan tindakan tersebut mengundang lebih banyak buruk dari baiknya, apatah lagi persidangan yang dipanggil oleh Sivakumar adalah pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Ia memberikan satu persepsi awal bahawa Pakatan Rakyat sengaja ingin menimbulkan "huru-hara" setidak-tidaknya itulah tuduhan yang bakal dimainkan oleh media-media arus perdana.

Sepatutnya langkah yang paling wajar ialaha ADUN-ADUN PR terus memboikot persidangan DUN Perak yang dipaggil oleh Speaker yang tidak sah itu, R.Ganesan, dan jika ingin mengadakan persidangan maka Speaker yang sah tidak perlu untuk mengadakan di "tempat" yang sama.

Pertama, ia akan mengulangi kekecohan sidang pada ketika di mana Sivakumar telah diculik dan diangkat keluar dari dewan. Kedua, ia seperti tidak menerima persidangan DUN kedua yang berlansung di Heritage Hotel, Ipoh pada beberapa minggu yang lalu.

Malah, dilaporkan bahawa Datuk Seri Nizar sendiri menyatakan beliau tidak dapat meramalkan apa yang bakal berlaku sewaktu ditanya sama ada akan berlaku perebutan kerusi Speaker pada persidangan itu nanti.

Era Najib Altantuya : Pembaharuan Umno Hanya Gimik

Reformasi Umno yang dilaungkan parti berkenaan sempena Perhimpunan Agungnya ke-60 untuk mewujudkan demokrasi dan pembaharuan hanyalah gimik politik parti berkenaan, kata Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya sekiranya benar parti berkenaan mahu mewujudkan demokrasi, maka sistem perwakilan yang tetap dikekalkan harus dihapuskan.

Beliau menjelaskan walaupun Umno meluluskan pindaan untuk menambah bilangan perwakilan kepada 146,500 namun ia masih tidak memberi keterbukaan kepada ahli malah tidak menghentikan politik wang.

“Tidak mungkin kerana kalau ikut politik perwakilan tidak terbuka ianya masih boleh lagi berlaku politik wang, mungkin ada penurunan tetapi ia susah hendak terjadi kerana bila ianya diwakili perwakilan dia akan cuba menyogok ketua-ketua dan sayap-sayap untuk memilih individu tertentu,” katanya.

Zuraida berkata meskipun Umno menghapuskan sistem kuota namun parti berkenaan masih bertindak tidak adil kepada ahli kerana masih mengunapakai sistem perwakilan.

“Setuju bagi memastikan individu yang bertanding mempunyai rekod prestasi tetapi bila tidak terbuka kepada ahli hanya terbuka pada pencalonan ia tidak adil.

“Ia lebih penting untuk terbuka diundi oleh semua ahli, yang pencalonan baguslah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan Umno yang kononnya membuat sistem terbuka adalah gimik kerana masih mengenakan syarat merupakan tindakan untuk menyelamatkan individu tertentu.

“Umno walapun hendak buat kononnya sistem terbuka tetapi jika dikaji balik ianya ada selektif, sistem terbuka yang terpilih. Ada beberapa perkara yang dirasakan merugikan sesetengah pihak maka dikenakan kriteria tertentu,” katanya.

Beliau turut menempelak Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil kerana apabila hanya menambah seorang wakil wanita dalam Majlis tertinggi, Bahagian dan Cawangan bagi menambah suara wanita dalam parti itu.

“Jadi ia tidak mencerminkan agenda yang Shahrizat kononnya mahu meniru PKR. Ini tidak melambangkan dan mencerminkan seorang yang memegang jawatan menteri wanita bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan perkhidmatan wanita sedangkan untuk parti pun tidak dapat dilaksanakannya,” katanya.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menyifatkan pindaan berkenaan hanya mekanisme terbaik yang mampu disediakan Umno namun ia belum tentu dapat menghapuskan politik wang dalam parti berkenaan.

“Isu politik wang adalah budaya atau adat yang menjadi kebiasaan, apa yang dipinda hanya mekanisme. Mereka boleh ada mekanisme yang bagus ungtuk mengurangkan potensi politik wang yang ubah dan pinda perlembagaan.

“Tetapi jika kesedaran ahli tiada dan menjadi budaya Umno walaubagaimana baik mekanisme yang ada tidak akan berupaya mengurangkan atau memerangi budaya politik wang. Ia kena ada kesedaran ahli sendiri,” katanya.

Mengulas penambahan suara wanita dalam Majlis Tertinggi Umno, Khairul berkata itu tidak bermakna Umno mengangkat martabat wanita.

“Oklah mereka boleh tambah lagi satu kuota tapi belum lagi mencerminkan kaum wanita di Malaysia dalam perkhimdatan berlaku dengan baik.

“Jika mahu jadikan kayu pengukur ia tidak tepat. Jika kata hari ini Umno tambah kuota dalam Majlis Tertinggi, Umno menangkat martabat wanita ia kayu pengukur yang tidak tepat,” katanya. -TVS