1 Okt 2009

Inkues Teoh Beng Hock : Pemilik DNA Misteri DIketahui Esok

Pemilik DNA lelaki misteri yang dikesan pada tali pinggang dan blazer Teoh Beng Hock akan diketahui esok berikutan adanya penemuan terbaru ahli Kimia.

Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia memaklumkan perkara tersebut dalam inkues kematian setiausaha politik itu di Mahkamah Koroner di sini hari ini dan beliau turut memberitahu bahawa ahli kimia, Dr Seah Lay Hong akan dipanggil semula untuk memberi keterangan berkaitan perkara itu.

Katanya, seorang lagi ahli kimia akan dipanggil untuk memberi pandangan terhadap hasil siasatan Dr Seah itu dan beliau juga akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan hasil siasatan.

Laporan terbaru ini merupakan hasil siasatan kali ketiga Dr Seah berkaitan perkara sama yang mana hasil sisatan sebelum ini gagal menemui lelaki misteri yang mempunyai kesan DNA pada kedua-dua tempat itu.

Dalam siasatan kedua, Dr Seah telah menganalisis profil DNA bagi 157 individu untuk perbandingan, dan mereka terdiri daripada 14 pegawai dari jabatan patologi forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur, 49 pegawai polis, 81 pegawai SPRM, dua tukang cuci, lapan kakitangan penyelenggaraan dan keselamatan dan tiga saksi individu.

Manakala pada siasatan pertama hanya melibatkan 102 tetapi kedua-duanya gagal menemui pemilik DNA misteri ini dan ia hanya dinamakan 'male 1'.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati, 16 Julai lepas di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, kira-kira 10 jam selepas memberi keterangan kepada SPRM dalam siasatan dakwaan salahguna wang oleh ahli majlis exco negeri.

Sementara itu abang Teoh, Beng Kee, 33, yang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi ke-24, memberitahu adiknya itu tidak mempunyai sebarang masalah kewangan walaupun menerima gaji bersih RM1,500 sahaja.

Malah katanya, adiknya itu juga tidak pernah mengadu mengenai sebarang masalah sebaliknya beliau adalah seorang yang penyayang serta suka membantu.

Beng Kee berkata, sekiranya Teoh mempunyai masalah beliau selalunya akan memberitahu kepada ahli keluarga.

Sebelum itu, Peguam Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertanya tentang tindakan Teoh yang ingin menyegerakan perkahwianan dengan teman wanitanya Soh Cher Wei kerana wanita itu telah mengandung, Beng Kee berkata: "Setuju"

Bagaimanapun Beng Kee tidak bersetuju bahawa Teoh mempunyai masalah kewangan ekoran majlis yang tergesa-gesa itu kerana Teoh mempunyai wang simpanan.

Majlis perkahwinan Teoh sepatutnya berlansung Sabtu ini (3 Oktober) dan pada 18 Julai (dua hari selepas kejadian) Teoh dan Soh perlu mendaftarkan perkahwinan mereka serta menghadiri majlis fotografi.

Selain itu Beng Kee yang merupakan anak kedua daripada empat beradik mengakui tidak begitu rapat dengan Teoh dan jarang berhubung antara satu sama lain.

Beng Kee turut memberitahu bahawa Teoh tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak pernah menerima apa-apa rawatan.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarganya sama ada Teoh mempunyai sebab untuk membunuh diri, Beng Kee berkata: "Tiada."

Bakal pengapit di hari perkahwinan Teoh, Woo Chuan Sing, 30, yang memberi keterangan selepas Beng Kee turut memberitahu, bahawa rakannya itu tidak pernah bercerita tentang sebarang masalah kepadanya.

Katanya, Teoh yang dikenalinya ketika sama-sama belajar di universiti dahulu telah menghubunginya sehari sebelum kejadian (15 Julai), pada pukul 8.36 pagi, untuk mendapatkan jawapan mengenai undangan ke majlis perkahwinannya dan Woo berkata beliau hanya menjawab "akan hadir."

Tetapi sebelum itu Woo berkata Teoh telah menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS)pada pukul 7 pagi untuk memaklumkan mengenai perkahwinan itu dan meminta beliau menjadi pengapitnya tetapi SMS itu tidak dibalas kerana masih tidur.

Selain perbualan itu, Woo berkata tiada lagi sebarang perbualan lain.

Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas disambung esok. -Bernama

Era Najib Altantuya : Hong Kong Rampas Wang Musa Aman?

Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin berlepas ke Hong Kong sebentar tadi untuk mendesak Badan Pencegah Rasuah Hong Kong menyoal siasat sekutu Ketua Menteri Sabah Musa Aman berhubung kes penyeludupan dan pengurupan wang RM16juta.

Michael Chia ditahan di Hong Kong pada Ogos lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Hong Kong apabila cuba berlepas dari wilayah China itu menuju Kuala Lumpur, membawa wang berkenaan.

Shamsul mengesahkan beliau akan membuat laporan terhadap Chia dengan pihak berkuasa Hong Kong esok. Laporan itu bertujuan mendesak supaya siasatan terperinchi dijalankan terhadap Chia dan Musa bersabit wang berkenaan.

Wang itu dikatakan mempunyai hubung kait dengan lesen membalak di Sabah yang membawa pulangan lumayan kepada ahli politik Barisan Nasional di negeri itu.

Blog-blog di Sabah telah memberikan liputan meluas kepada penangkapan Chia.

Berikut disiarkan satu daripada laporan itu yang dipetik dari blog "Deep Throat Sabah" yang mendakwa Chia ialah adik angkat Ketua Menteri Sabah.

Penangkapan adik angkat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman iaitu Michael Chia di Hong Kong pada jam 2.35 petang khamis (14 Ogos 2008) telah membongkar misteri di sebalik enigma.

Michael Chia ditangkap polis Hong Kong di Lapangan Terbang Chek Lap Kok, Hong Kong ketika ingin menyertai penerbangan ke Kuala Lumpur.

Menurut sumber rapat Polis Hong Kong dan Interpol, mereka telah memantau kegiatan haram Michael Chia sejak tiga tahun lalu dan akhirnya berjaya menangkap Michael bersama bukti wang tunai Singapura bernilai RM16 juta yang diseludup keluar daripada Hong Kong di dalam beg pakaiannya.

Setelah disoalsiasat, Michael merayu agar dibebaskan kerana wang berkenaan milik Musa Aman dan beliau hanyalah agen membawa keluar wang berkenaan ke Kuala Lumpur bagi membantu meringankan beban kewangan Barisan Nasional dalam proses penamaan calon di Permatang Pauh dan sebahagiannya untuk kegunaan pilihanraya kecil berkenaan.

Penangkapan ini membuatkan Musa Aman berang dan bimbang beliau akan terjerat berikutan penahanan Michael Chia bersama bukti dan lebih malang lagi apabila akaunnya di beberapa bank di Hong Kong dibekukan serta merta.

“CM (Musa) marah betul atas kebodohan Michael Chia kerana bawa wang tunai. Kenapa tidak TT (Telegraphic Transfer) saja? Saya rasa CM kita dalam bahaya,” ujar Datuk Amin Khan, seorang proksi Musa Aman ketika memberitahu rakannya yang juga Datuk melalui telefon di sebuah coffe house hotel terkemuka yang sempat didengar wakil Malaysia Today di Sabah yang secara kebetulan menikmati makan malam di situ.

Penangkapan suspek ini mengejutkan semua pihak terutama Badan Pencegah Rasuah Sabah kerana Michael Chia tidak boleh meninggalkan Negara ini tanpa mendapat izin BPR kerana pasportnya dalam simpanan BPR atas beberapa pertuduhan rasuah bersama Loh Man Heng.

Michael yang sebelum ini ditangkap bersama rakan kongsi Musa Aman, Loh Man Heng dan Chong ‘Khung Long’ (Chong Dinasour) kemungkinan akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Hong Kong pada hari ini bagi menghadapi pertuduhan penyeludupan wang dan pengurupan wang haram (Money Traficking dan Money Laundering).

Penangkapan Michael ini memberi tamparan hebat kepada Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan kerana desas desus yang tersebar meluas mengatakan bahawa Kes Rasuah Loh Man Heng telah ditutup berikutan pengakuan Loh Man Heng sendiri bahawa beliau telah membayar sejumlah RM4 juta melalui pegawai kanan BPR, Mohd Jamidan Abdullah yang sebelum ini menutup kes Musa Aman dalam kegiatan pembalakan haram di Keningau.

Sebelum ini, Pengurus Besar Operasi Kumpulan Yayasan Sabah, Mohd Daud Tampokong yang sering kelihatan bersama dengan Michael Chia di Hong Kong dan Singapura untuk menjalankan transaksi kewangan bagi pihak Musa Aman.

Namun bak kata pepatah moden, sepandai-pandai ayam melompat, akhirnya menjadi KFC, Michael Chia terjebak walaupun sebelum ini telah berjaya melakukan traksaksi pemindahan wang dalam jumlah yang besar, namun kali ini tertangkap kerana gelojoh membawa wang tunai dengan jumlah melebihi had yang dibenarkan.

Musa Aman begitu mempercayai Michael Chia kerana syarikat bapa Michael, Chia & Sons telah banyak membantu Musa di era beliau membina kerjaya dalam bidang pembalakan dan kontrak, terutama penyewaaan skau (tongkang) untuk menarik kayu balak Musa.

Apabila Musa menjadi Pengarah Yayasan Sabah dan Ketua Menteri Sabah, Michael telah menjadi ‘Taiko’ dalam bidang perhutanan terutama di konsesi Yayasan Sabah.

Michael turut dibantu oleh Chong ‘Khung Long’ atau yang digelar ‘Dinosour’ kerana kegiatannya dalam bidang pembalakan haram untuk membekalkan balak kepada Michael selain daripada konsesi dengan kerjasama Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan @ Sam Singh.

Berita penangkapan Michael Chia belum diketahui umum namun tidak mengejutkan penduduk Sandakan kerana selama ini beliau menunjukkan kekayaan luar biasa dan hidup mewah dengan memiliki sekurang-kurangnya dua bungalow dan 17 kereta mewah, selain harta yang dibeli di Hong Kong dan Singapura.

Era Najib Altantuya : Korban Gempa Meningkat Lebih 500 Orang

Gegaran susulan dijangka akan berterusan untuk beberapa hari ekoran gempa bumi berskala 7.6 Richter yang berlaku di Padang, Sumatera barat, semalam.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang kerana kekuatan gempa bumi susulan yang berlaku hari ini dan pada beberapa hari akan datang dijangkakan semakin lemah, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

JMM berkata sejak semalam, lapan gegaran susulan direkodkan berskala 4.5 hingga 6.8 Richter.

Satu daripadanya sekuat 6.8 skala Richter turut dirasai di Semenanjung pada pukul 9.53 pagi hari ini iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"JMM akan sentiasa memantau dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku serta mengeluarkan amaran sekiranya berlaku ancaman tsunami kepada Malaysia," katanya.

JMM berkata gempa bumi yang menyebabkan ramai terkorban dan kemusnahan yang teruk di Padang telah menyebabkan tsunami kecil setinggi 0.27m sekitar Padang dan tidak mengancam Malaysia.

Ramai lari keluar dari bangunan tinggi di beberapa tempat di pantai barat Semenanjung apabila gegaran turut dirasai petang semalam.

Sementara itu, Jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di Sumatera Barat petang semalam masih bercelaru dengan pelbagai laporan menyebut antara 215 orang hingga hampir 500 orang terkorban setakat tengah hari ini, ketika usaha mencari dan menyelamat giat dijalankan.

Pemerintah Indonesia bagaimanapun menganggarkan jumlah kematian akan mencapai angka ribuan kerana masih ramai mangsa yang dikhuatiri tertimbus dan terperangkap di bawah runtuhan lebih 1,000 bangunan termasuk hotel dan rumah serta prasarana lain.

Laporan beberapa pihak berkuasa setempat sehingga tengah hari ini menyebut lebih 100 mangsa dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan Hotel Ambacang di tengah Kota Padang dan lebih 60 murid pula terperangkap dalam bangunan tiga tingkat tempat mereka sedang mengikuti tuisyen ketika kejadian pada pukul 5.16 petang semalam.

Visual TV tempatan menunjukkan anggota tentera, ibu bapa dan orang ramai masih berusaha mencari dan menyelamatkan muridmurid itu, termasuk dengan menggunakan kudrat tangan kosong cuba mengalihkan tiang dan dinding konkrit yang sangat tebal, diiringi jerit tangis kaum keluarga yang menunggu.

Daripada hotel Ambacang pula, kelihatan seorang wanita berjaya di selamatkan dalam keadaan letih lesu dan terus dikejarkan ke hospital, pada ketika beberapa hospital termasuk Hospital Mohamed Jamil dilaporkan sudah tidak cukup tangan menangani mayatmayat mangsa yang dibawa ke situ.

Sejumlah orang juga dilaporkan masih terperangkap dalam runtuhan bangunan Hotel Bumi Minang, yang merupakan satu daripada hotel yang digemari rakyat Malaysia yang melancong ke Kota Padang atau menziarahi saudara mara di sana.

Maklumat dari pusat bencana di Pejabat Gabenor Sumatera Barat pula menunjukkan 215 orang disahkan mati di tiga lokasi utama yang paling teruk dilanda gempa iaitu di Kota Padang (139 orang), daerah kecil Padang Pariaman (62) dan Kota Pariaman (14).

Ketika keadaan di Kota Padang, Padang Pariaman dan Kota Pariaman masih kelam kabut, pagi ini Pulau Sumatera digoncang lagi oleh gempa bumi berkekuatan 7.0 SR di Jambi, berpusat di KM 46 ke tenggara Sungai Penuh pada kedalaman 10 KM di daratan pada pukul 8.52 pagi, dan gempa 5.5 SR berdekatan pada pukul 9.20 serta gempa 5.1 SR di Sipura Mentawai pada pukul 10.34 pagi.

Pemerintah Indonesia mengisytiharkan keadaan darurat bagi provinsi Sumatera Barat dan pelbagai bantuan ubat, makanan dan minuman dilapor telah dikirim ke sana dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang baru pulang dari Amerika Syarikat dijadual melawat Padang hari ini.

Di Malaysia, pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati lima bangunan tinggi di sekitar Lembah Klang mengalami keretakan kecil akibat gempa bumi yang berlaku petang semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata keretakan tersebut dikesan hasil pemeriksaan terhadap 47 buah bangunan tinggi di seluruh negara selepas penghuninya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan turut merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan.

"Ini bukan bermakna hanya 47 buah bangunan tinggi sahaja yang merasai gegarannya kerana ada juga pemilik bangunan tinggi lain yang tidak melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Bagaimanapun retakan yang berlaku di lima buah bangunan tinggi itu didapati tidak serius selepas pemeriksaan oleh jurutera dan pihak yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Sains, Teknologi dan Angkasa (SAINTEK) Perak 2009 di Stadium Indera Mulia di sini Khamis.

Katanya walaupun tiada kemalangan jiwa dan kerosakan harta kesan daripada gempa bumi berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan menyelamat pada bila-bila masa diperlukan.

Gempa bumi semalam dituruti oleh satu lagi gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan Sumatera Selatan iaitu kira-kira 162 km di Barat Laut Bengkulu, Indonesia pada pukul 9.53 pagi tadi.


Era Najib Altantuya : Shahruddin Dipecat Jika Tanding Bebas

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memecat Anggota Jawatankuasa PKR Bahagian Telok Kemang, Shahruddin Abdul Hamid sekiranya bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Okt depan.

Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Saifudin Nasution Ismail berkata bagaimanapun siasatan status keanggotaan ahli itu akan dibuat terlebih dahulu sekiranya hasrat untuk bertanding menjadi kenyataan pada hari penamaan calon 3 Okt ini.

"PKR ada keadah-kaedah tertentu dan jikalau sabit untuk bertanding melibatkan pelanggaran disiplin parti akan diambil tindakan," katanya mengulas hasrat Shahruddin untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil itu nanti.

Semalam, Shahruddin mengumumkan bahawa beliau akan tetap meneruskan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Shahruddin, 52, berkata matlamatnya adalah untuk menyampaikan hasrat dan visi pembangunan komprehensif di daerah Port Dickson sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat kawasan itu.

Beliau juga sedia keluar PKR dan meletak jawatan sebagai anggota jawatankuasa PKR bahagian sekiranya keputusan itu dikehendaki oleh pengundi di kawasan terbabit.

Saifudin berkata PKR telah membuat pendirian untuk menyokong calon PAS yang bertanding mewakili parti Pakatan pada pilihan raya kecil itu.

"Sekiranya apa yang diwar-warkan itu benar dan calon itu (Shahruddin) ahli PKR, kami tidak teragak-agak mengenakan tindakan mengikut kaedah yang ditetapkan," katanya. -Bernama

Era Najib Altantuya : Gegaran Gemparkan Lembah Klang

Penduduk di Lembah Klang gempar dengan gegaran kira-kira lima minit yang turut dirasakan di beberapa kawasan kira-kira jam 6.15 petang tadi, terutama di bangunan tinggi di Shah Alam, Klang dan Kuala Lumpur.

Penduduk di pangsapuri dan rumah pangsa dilihat bergegas keluar ke kawasan lapang, selepas bangunan kediaman mereka bergoyang beberapa kali.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata, mereka berasa pening dan merasakan satu gempa bumi telah berlaku di kawasan berhampiran lalu berlari keluar ke kawasan selamat.

"Saya tengah tidur, isteri kejut saya apabila rasa bergegar, rasa bangunan goyang, rasalah goyang lama jugak, yang ni ada dalam lima minit lenih kurang, kuat..sangat pening," kata Ashraff Nasjarudin.

"Kami rasa bangunan ini bergegar dan bergoyang, jadi kami sekeluarga berlari keluar, ia sangat menakutkan kami dan ini kali kedua ia berlaku di bangunan ini," kata Sarah Baskaran.

"Situasi tadi, saya rasa kepala saya pening, saya ingat pening biasa, rasa betul-betul bergoyang rasa nak tumbang, kuat dan cepat-cepat turun, orang menjerit bila building bergoyang,cepat turun," kata Sivabalan.

"Rasa gegaran, so semua turun…masa tu tengah tidur balik kerja..rasa pening sebab bergoyang kuat," kata Khairol Asfar.

Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku akibat gegaran itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang dihubungi juga melaporkan tiada sebarang kerosakan bangunan atau tanah runtuh berlaku akibat gempa bumi ini.

Menurut jurucakap bomba Selangor, pihaknya menerima lebh 40 panggilan, terutama dari Petaling Jaya, Damansara dan Kajang sejak jam 6.20 petang tadi, berikutan gegaran itu.

Laporan awal dari Sumatera mengesahkan, satu gempa bumi berukuran 7.9 skala ritcher di kesan di Sumatera Barat, berhampiran Padang, iaitu kira-kira 475 kilometer dari Kuala Lumpur.

Kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 5.15 waktu Sumatera atau 6.15 waktu Malaysia.



Era Najib Altantuya : Kes Kugan Peguam Dan Keluarga Kesal

Hanya seorang anggota polis yang didakwa dalam kes kematian A Kugan iaitu Konstabel Navindran Vivekanadan dan 10 yang lain terselamat dari sebarang pertuduhan.

Navindran bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan untuk mendapatkan pengakuan Kugan. Navindran didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan atau Seksyen 330 kanun yang sama iaitu menyebabkan kecederaan kepada si mati.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua tuduhan tersebut.

Sebelum ini Peguam Negara, Tan sri Gani Patail memutuskan ada kes untuk pendakwaan berdasarkan kepada penelitian terhadap bukti-bukti yang telah diberikan.

Berdasarkan keterangan yang diambil dari 92 saksi, Navindran dikatakan telah memukul Kugan menggunakan hos getah dan empat hari kemudiannya Kugan menemui ajal.

Peguam dan keluarga Kugan kesal, sekiranya disabitkan kesalahan, anggota polis yang terlibat hanya dikenakan hukuman penjara dan ia tidak setimpal dengan apa yang menimpa Kugan.

"Keluarga sangat kecewa. Hanya seorang yang didakwa. Dan dia didakwa di bawah seksyen 330 dan 331. Kugan mengalami kecederaan parah. Sukar untuk diterima. Hanya seorang yang dipertanggungjawabkan di atas semua kecederaan yang dialami oleh Kugan" ujar Gobind, peguam pemerhati keluarga Kugan.

Gobind yang mewakili keluarga si mati berkata, pihaknya tidak akan membenarkan perkara ini berlalu begitu sahaja. Pembelaan ke atas Kugan akan diteruskan.

"Keluarga Kugan tidak akan berhenti di sini sahaja. Kami inginkan jawapan. Kami ingin tahu adakah ini setimpal dengan kecederaan parah yang terpaksa dilalui oleh Kugan" tambahnya lagi.

Namun bagi ibu Kugan, N. Indra, sukar untuknya mengawal kesedihan mengenangkan nasib anaknya yang tidak terbela.

"Apa mahu cakap? Semua orang tipu. Dia boleh dijamin dengan RM 10,000, saya punya anak? Rugilah saya. Senang-senang dia duduk tadi. Hati orang dia tahu ke? Kalau RM 10, 000 saya pun boleh bagilah. Kenapa dia tak dakwa? Apa ini kerajaan?".

Dalam pada itu, ibu tua itu turut mempertikaikan ketelusan polis dalam menjalankan tugas.

"Apa ini polis? Polis kena jaga orang. Semua barang dicuri, inikah polis? Pertama kali kena tangkap, kena siksa dan mati. Sekarang baru 1 orang. Ini apa? pamerankah? satu orang sahaja. Saya mahu angkat semua orang. Kita tak mahu 331, kita mahu 302" ujar keluarga Kugan.

Kes Kugan akan disebut semula pada 5 November nanti. -TVA



Era Najib Altantuya : 200 Korban Gempabumi Padang Sumatera

Gempa bumi kuat yang berlaku berhampiran bandar Padang di Sumatera semalam sudah meragut 200 nyawa dengan ribuan lagi mangsa tertimbus di bawah runtuhan.

Jurucakap agensi bencana Indonesia, Priyadi Kardono, menyatakan angka korban gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu kini ialah di antara 100 hingga 200 orang.

Kira-kira 500 bangunan kediaman di bandar dengan penduduk seramai 900,000 itu runtuh, memerangkap ribuan mangsa.

Ketua Pusat Bencana Kementerian Kesihatana Indonesia, Rustam Pakaya, berkata sehingga pagi ini ribuan orang terperangkap di bawah runtuhan.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, memberitahu sidang media lewat malam tadi bahawa angka korban dijangka meningkat kerana banyak bangunan runtuh.

“Bangunan besar sudah runtuih. Bangunan konkrit semuanya runtuh, hospital, pasar utama runtuh dan terbakar," katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan Kuala Lumpur mempertimbang secara serius kemungkinan memindahkan semua 330 penuntut Malaysia di Padang ke tanah air sehingga keadaan selepas gempa bumi itu pulih.

Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohamed Zain, berkata kemungkinannya ialah dengan membawa mereka pulang menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia sebaik Lapangan Terbang Minangkabau, Padang dibuka semula.

"Membawa mereka pulang adalah pilihan terbaik kerana jika tetap di Padang pun, mereka tidak akan merasa nyaman dalam keadaan serba kekurangan.

“Apatah lagi semua kuliah juga sudah dibatalkan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, kedutaan besar sudah menghantar pegawai Pejabat Konsul Malaysia di Medan dan Pekan Baru untuk ke Padang dan membuat penilaian keadaan tempat tinggal, bantuan pakaian dan bekalan makanan bagi penuntut itu.

"Jika pasukan penilai ini mencadangkan supaya kita memindahkan pelajar kita, kita akan selaraskan pergerakan dan jadual dengan Wisma Putra," katanya.

Sementara itu, satu bilik gerakan dibuka di Konsul Malaysia di Medan sejak petang semalam, untuk menyelaraskan maklumat mengenai para penuntut di Padang dan melayani pertanyaan ibu bapa melalui talian 00626145531342.

Kebanyakan penuntut Malaysia itu sedang belajar dalam bidang kedoktoran di Universiti Andalas, yang dilaporkan rosak teruk di semua bangunannya termasuk bangunan Fakulti Kedoktorannya, runtuh.

Sehingga malam tadi, mereka berada dalam keadaan selamat walaupun, menurut Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar, "Mereka berkumpul dalam keadaan basah ditimpa hujan, tanpa makanan dan minuman."

Setakat pagi tadi, katanya, seorang penuntut tahun dua yang hanya dikenali sebagai Fernisha, mendapat rawatan di Hospital Yodarso kerana kecederaan tulang belakang dan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pelajar Malaysia di Indonesia, yang hanya dikenali sebagai Martaza pula pitam selepas jatuh dari motosikal ketika hendak melawat Fernisha.

Katanya, kedutaan sedang berusaha menyalurkan bantuan yang diperlukan pelajar secepatnya.





-

Era Najib Altantuya : Kenyataan Yusmadi Diputarbelitkan

Ingin saya jelaskan di sini bahawa saya tidak pernah sekali-kali membangkitkan isu jawatan Ketua Menteri digilirkan ikut formula baru,” kata Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mohd Yusmadi Yusof, dalam kenyataan yang dikeluarkan petang semalam.

Menurutnya, beliau dihujani dengan emel dan sistem pesanan ringkas (SMS) daripada pelbagai pihak termasuk pimpinan parti dan teman-teman penyokong Pakatan yang membaca laporan sebuah akhbar bertajuk “Pemuda PKR mahu jawatan KM digilir ikut formula baru.”

Beliau menjelaskan bahawa hanya memberi pandangan berlatarbelakangkan sambutan hari raya yang antara lain menunjukkan bahawa terdapat penerimaan masyarakat terhadap citra kepimpinan politik baru yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR) selepas 8 Mac 2009.

Menurutnya, kunjungan rakyat berbilang kaum ke rumah terbuka anjuran pimpinan PR tidak kira bangsa seperti yang dianjurkan oleh pimpinan PKR, DAP dan Pas menggambarkan bahawa formula kepimpinan yang digunakan oleh Barisan Nasional (BN)/UMNO yang mengangkat agenda perkauman sudah ditolak.

“Saya cadangkan kenyataan saya dibaca tanpa tajuk dan tafsiran yang diberikan oleh akhbar, tetapi fokus kepada petikan (quotation) yang digunakan lebih menggambarkan kenyataan saya yang sebenar.

“Saya yakin pembaca sekalian mempunyai kematangan untuk membezakan apa yang benar dan apa yang salah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau.


Perak Era Zambry : Penduduk Terkejut Cukai Taksiran Naik Berganda

Penduduk Taman Silibin Ria, Ipoh, tersentak apabila menerima notis daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), berhubung kenaikan cukai taksiran tahunan di kawasan berkenaan.

Notis daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berhubung kenaikan cukai tahunan berkenaan dan ianya nyata telah mengejutkan penduduk yang rata-ratanya baru sahaja mendiami kawasan berkenaan.

Berdasarkan kadar cukai terbaru ini, nilai cukai yang perlu dibayar oleh penduduk di sini adalah berjumlah RM576 berbanding RM112.80 pada masa lalu dan kenaikan sebanyak empat kali ganda ini dilihat terlalu tinggi selain turut menambahkan lagi bebanan kepada rakyat.

Keadaan ini turut meresahkan penduduk di kawasan perumahan tersebut dan menganggap kenaikan mendadak ini adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya, terutama ketika negara sedang dilanda kegawatan ekonomi selain kenaikan harga barangan asas yang sudah cukup meresahkan rakyat.

Sehubungan dengan itu, penduduk di kawasan ini telah mengemukakan bantahan kepada MBI terhadap kenaikan cukai taksiran tahunan sebagaimana diperuntukkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) baru-baru ini.

Difahamkan kenaikan yang begitu ketara tersebut adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya berikutan kenaikan harga barangan asas.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan baru-baru ini menyaksikan kawasan berkenaan adalah sebuah kawasan perumahan yang serba baru dan masih belum dihuni sepenuhnya dan menurut sumber, pada masa ini, dianggarkan hanya sebanyak 100 buah rumah di kawasan berkenaan telah didiami hingga kini.

Rata-rata penduduk yang ditemui, menyatakan tidak bersetuju dengan kenaikan cukai tersebut dan mahukan agar cukai ini dikekalkan pada aras sedia ada demi

Pesara, Toon Hoon Toon, 67, berkata, kenaikan cukai ini menimbulkan tanda tanya penduduk di kawasan berkenaan yang rata-ratanya baru sahaja mendiami kawasan tersebut.

Katanya, kadar cukai yang naik sehingga empat kali ganda berbanding kadar terdahulu adalah agak membebankan dan berharap pihak MBI dapat bertolak ansur demi kebaikan semua pihak.

“Kawasan ini masih baru didiami dan kebanyakan penghuninya adalah dari golongan yang berpendapatan sederhana.

“Perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan ini juga masih belum beroperasi sepenuhnya di kawasan ini dan kenaikan cukai taksiran ini adalah tidak munasabah sama sekali,” katanya.

Penyelia Percetakan di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Raj Singh, 52 bersetuju dengan kenyataan Hoon Toon dan menganggap kenaikan ini tidak sewajarnya dilaksanakan.

Menurut Raj, kenaikan ini agak membebankan berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu pada hari ini.

“Perkara seperti ini mampu membangkitkan kemarahan rakyat terutamanya terhadap kenaikan yang boleh dianggap sebagai tidak munasabah ini. Kerajaan perlu bijak memenangi hati rakyat dan penurunan semula kadar cukai berkenaan diyakini mampu meredakan sedikit kemarahan mereka (rakyat),” katanya.

Pekerja kilang, Chew Yee Chun, 32 pula menyuarakan kehairanannya berikutan kawasan perumahan di Taman One Pertama, berhampiran Taman Silibin Ria yang dilaporkan membayar cukai taksiran dengan lebih murah berbanding harga sebuah rumah di kawasan berkenaan yang lebih mahal berbanding dengan kediaman di Taman Silibin Ria.

Katanya, kakitangan di sebuah kilang berhampiran berkata, perbezaan kadar bayaran ini mungkin boleh dipersoalkan kelak, kerana persoalan agak besar pada hari ini adalah berhubung kenaikan kadar cukai yang dikenakan.

“Perbezaan ini adalah agak ketara dan kami harap agar pihak berkenaan dapat memberi penjelasan terhadap persoalan ini,” katanya.

Pesara, Chong Fook Weng, 64, pula berkata, kenaikan cukai ini ini juga adalah tidak patut berlaku kepada rumah yang baru siap dibina kerana nilai rumah berkenaan masih belum ada berbanding rumah lama yang memiliki nilai harta yang tinggi.

Katanya, jumlah cukai yang dikenakan pada kali ini adalah agak tinggi dan kebanyakan penduduk di kawasan ini tidak berkemampuan untuk menjelaskannya.

“Berdasarkan perkara tersebut, kenaikan cukai ini dilihat sebagai tidak adil dan kami masyarakat di sini mendesak agar cukai ini dikekalkan pada kadar harga yang sewajarnya seperti sekarang,” katanya.

Juruteknik, M Gopalan, 38, pula berpendapat berkata, bahawa sebagai sebuah kawasan yang masih boleh dikategorikan sebagai kawasan luar bandar, sewajarnyalah kawasan berkenaan dikenakan kadar cukai yang rendah.

Gopalan turut mengharapkan agar kadar cukai ini dapat dikekalkan berdasarkan kepada kadar terdahulu agar tidak terlalu membebankan rakyat.

“Kadar cukai sebelum agak melegakan kerana ianya masih lagi mengikut perbelanjaan harian saya. Saya sememangnya berharap agar kadar cukai ini akan kembali kepada paras yang sedemikian, katanya.

Operator kilang percetakan, Sim Sau Wan, 35, berkata, kadar cukai ini adalah terlalu tinggi dan berharap ianya dapat diselaraskan semula bagi menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, dia kini terpaksa membelanjakan lebih RM2,000 sebulan bagi menyara kehidupannya.

Sau Wan yang bekerja sebagai, adalah operator di sebuah kilang percetakan berhampiran dan pendapatan bulanannya agak stabil.

“Saya berkongsi membeli rumah ini dengan orang adik beradik selain turut membayar ansuran bulanan selama 15 tahun dengan bayaran RM1,400 sebulan, tidak termasuk lagi bayaran cukai berjumlah RM576 yang perlu dijelaskan.

“Kenaikan cukai ini agak mengejutkan saya dan berharap agar cukai ini akan kembali pada kadar cukai terdahulu,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media ringkas yang diadakan di Taman Silibin Ria kelmarin, Timbalan Pengerusi PSM Malaysia, M Sarasvathy berkata, pihak penduduk di kawasan berkenaan telah mengeluarkan satu surat bantahan kepada Datuk Bandar Ipoh bagi memaklumkan perkara tersebut.

Menurutnya, MBI telah pun datang dan melawat kawasan ini serta melihat sendiri keadaan di sini, baru-baru ini.

MBI juga menyatakan mereka akan menyerahkan surat rasmi hari ini (semalam) bagi mempelawa penduduk hadir untuk berbincang lebih lanjut.

“Saya mewakili pihak penduduk di sini amat berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh berhemah demi kebaikan bersama,” katanya.

Nizar Atau Zambry MB Perak Diketahui 5 Nov

Pertikaian berhubung siapa Menteri Besar Perak yang sah dijangka didengar di Mahkamah Persekutuan pada 5 November.

Leong Cheok Keng, seorang daripada peguam Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Bernama, firma itu telah menerima sepucuk surat bertarikh 3 September yang disakskan dari Pendaftar Mahkamah Persekutuan, di Putrajaya memaklumkan mereka bahawa mahkamah itu telah menetapkan tarikh itu untuk mendengar rayuan Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Mohammad Nizar untuk rayuan selepas responden, Zambry melalui peguam belanya Datuk Cecil Abraham dan pencelah, Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membantah berhubung permohonan itu.

Pertikaian bagi jawatan Menteri Besar Perak, bermula selepas tiga anggota dewan undangan negeri meninggalkan pakatan pembangkang DAP- PKR-PAS, dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Februari.

Mohammad Nizar, 52, kemudian memfailkan semakan kehakiman menuntut writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk tunjuk sebab berhubung atas asas apa atau hak beliau (Zambry) adalah Menteri Besar yang sah.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, tetapi keputusan itu diubah oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Mohammad Nizar atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan Sultan, dan sebaik seorang Menteri Besar dilantik, beliau dan Ahli Majlis Mesyuaratnya hanya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Mahkamah Rayuan pula memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah, adalah betul dalam melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru mengikut Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas berpuas hati Zambry mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri Perak.

Peguam bela Sulaiman Abdullah adalah peguam utama bagi Mohammad Nizar. - Bernama

Era Najib Altantuya : 75 Mati Gempa Sumatera

Sekurang- kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat Rabu malam.

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata jumlah sebenar kematian belum dapat dipastikan tetapi laporan awal yang diterimanya daripada Datuk Bandar Padang menyebut semua mangsa mati di hospital.

"Mungkin angka kematian akan bertambah kerana masih banyak dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan termasuk hotel," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet di kediamannya di sini, Rabu malam.

Mesyuarat itu, menurut laporan media massa tempatan online dihadiri beberapa menteri kabinet yang berkaitan dengan pengurusan bencana.

Jusuf berkata ketika ini Kota Padang gelap gelita akibat terputus bekalan elektrik dan hujan lebat yang masih turun.

Sementara itu, enam pegawai kedutaan besar Malaysia di sini tidak dapat berangkat ke Padang kerana Lapangan Terbang Minangkabau ditutup akibat kerosakan yang dialami dalam kejadian gempa pada pukul 5.16 petang.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar berkata mereka akan berangkat dengan kapal terbang pertama yang dibenarkan terbang dari sini ke Padang esok untuk membantu 330 pelajar Malaysia di Padang, yang walaupun selamat tetapi kehilangan tempat tinggal kerana rumah-rumah mereka runtuh.




















Era Najib Altantuya : Isa Liabiliti Kepada UMNO

Apabila bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pendapatnya bahawa bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad tidak harus dijadikan calon mewakili Barisan Nasional di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, maka bermulalah masalah bagi gabungan parti itu.

Ini kerana jika Barisan memilih juga Isa, maka rakyat Malaysia yang masih banyak menyokong Dr Mahathir akan memandang serong terhadap gabungan parti itu. Nasihat Dr Mahathir telah tidak didengar oleh Barisan sedangkan beliau tentu lebih mengetahui dan mahir dalam percaturan politik daripada pucuk pimpinan Barisan hari ini.

Tetapi jika Barisan mendengar nasihat Dr Mahathir, maka cakap-cakap politik yang timbul ialah, siapakah yang menjadi pemimpin Barisan, bekas presiden Umno itu atau Presiden Umno sekarang? Jadi apapun Barisan putuskan, ia tetap menjadi masalah dari segi pilihan calon itu.

Namun begitu, jika fokusnya adalah untuk memenangi pilihan raya kecil itu, maka pertimbangan bebas harus dibuat untuk memilih sama ada Isa ataupun bukan. Jika risikan undi mendapati bahawa Isa mampu memberi kemenangan kepada Barisan, maka wajar bekas Menteri Besar itu dipilih sebagai calon. Perkara lain ditolak tepi dahulu.

Dalam kempen, bolehlah berhujah bahawa Isa telah pun dihukum dari segi politik wang, maka tidak ada sebab mengapa beliau tidak diberi peluang untuk dicalonkan. Banyak lagi kes dalam politik, di mana salah laku pemimpin, termasuk di kalangan pembangkang yang kedudukan politiknya dipulihkan. Bagi orang Umno, dan Melayu umumnya sebarang tindakan yang dikenakan ke atas Isa bukanlah dilihat sebagai berpunca daripada salah laku, tetapi lebih kepada permainan politik.

Lagipun soal politik wang yang kelihatan serius dan dibimbangi akan melunturkan jati diri Umno dan Barisan, tetapi ada pula pihak yang melihat bahawa keseluruhan cara berpolitik di negara ini, yang dibentuk oleh Umno sejak negara ini mencapai kemerdekaan tidak akan terlepas dari politik wang. Walaupun mungkin ada cara-cara yang boleh mengawalnya, tetapi dari segi asas dan struktur, serta penerimaan pelaku-pelaku politik, maka apa yang dilakukan oleh Isa dan seumpamanya tidak pula dipandang sebagai suatu yang melanggar etika.

Keadaan inilah yang menjadi masalah kepada Pakatan Rakyat dalam cara berpolitik. Sungguh sukar untuk melepaskan diri daripada politik wang walaupun baru sedikit atau hanya bayang-bayang turut menjadi satu cabaran bagi parti-parti Pakatan. Corak politik wang selah-olah diterima oleh orang ramai dan mengubah budaya politik amat sukar bagi Pakatan Rakyat sendiri, apatah lagi Barisan.

Maka dalam hal Isa dan Bagan Pinang, ada kebenaran seperti apa yang disuarakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Dengan meletakkan Isa sebagai calon, mungkin Barisan boleh menang. Tetapi menurut Lim, Barisan akan menang pertempuran dan bukannya peperangan.

Apa yang dimaksudkan ialah mungkin dengan meletakkan Isa sebagai calon, maka Barisan boleh menang di Bagan Pinang, tetapi kesannya ialah gabungan parti itu akan mengalami cabaran terhadap kewibawaannya bagi pilihan raya umum akan datang hingga menyebabkan ia boleh kalah.

Tetapi pandangan Lim ini boleh diterima jika masyarakat Malaysia pada umumnya sememangnya mempunyai pendirian menolak politik wang secara tegas. Di sinilah cabarannya. Andai kata sebilangan besar masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum melihat politik wang sebagai sesuatu yang lumrah dan dapat diterima, maka Barisan akan terus dapat memegang kuasa. Sebaliknya pihak Pakatan pula yang terpaksa menurut jejak Barisan.

Tetapi jika rakyat Malaysia secara umum boleh menerima politik wang dalam konteks berlembut dengan gejala rasuah serta korupsi, maka malang bagi negara ini. Walaupun cuba hendak dibolehkan supaya masyarakat boleh beroperasi lebih-lebih lagi di negara-negara membangun, tetapi pandangan umum melihat bahawa korupsi baik terutama dalam politik akan menjahanamkan negara. Di sinilah Dr Mahathir amat tegas menolaknya walaupun beliau sendiri tidak berupaya menghapuskan semasa ada kuasa dahulu.

Tetapi jika kedua-dua pihak, Barisan dan Pakatan komited untuk membanteras korupsi, rasuah dan politik wang, maka kedua-dua wajar tegas menolaknya. Barisan, dengan tidak perlu teragak-agak menerima saranan Dr Mahathir terus menolak Isa. Walaupun kemungkinan jentera Barisan lumpuh di Bagan Pinang dan adanya risiko kalah, tetapi mempertahankan prinsip menolak politik wang adalah satu asas yang mulia untuk dipegang, tidak kiralah sama ada rakyat Malaysia boleh menerima atau tidak.

Di pihak Pakatan pula, mereka mesti sentiasa berhujah menolak politik wang. Tindakan seumpama ini akan memaksa Barisan mencari calon bersih. Sekaligus Pakatan juga akan berusaha untuk mendapatkan calon yang juga sepadan dengan apa yang diajukan oleh Barisan. Tetapi dalam hal menolak politik wang, ia bukan soal kemenangan mana-mana calon atau parti. Apa yang penting adalah kemenangan negara dan rakyat Malaysia untuk berpegang kepada prinsip menolak politik wang.

Lebih-lebih lagi parti yang akan mewakili Pakatan adalah PAS. Perjuangan yang lebih besar bagi PAS bukan semata-mata untuk memenangj pilihan raya hatta melalui pilihan raya kecil Bagan Pinang tetapi pegangan kepada etika menolak rasuah dan politik wang supaya tidak turut merayap ke dalam organisasi itu.

Pegangan menoloak korupsi bukan saja untuk memelihara imej Pakatan dan PAS tetapi nama Islam itu sendiri. Ini kerana di mana-mana PAS berada atau bertanding untuk pilihan raya, ia membawa panji-panji Islam, dan sudah tentu amanah ini adalah lebih besar. - Zamri Omar