18 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Nik Aziz Akan Saman Akhbar Putar Belit Kenyataannya

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak media yang memutar belit kenyataannya dengan mendakwa beliau berkata "ahli Umno tidak masuk syurga".

"Saya akan berbincang dengan peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana media yang telah menokok tambah kenyataan saya," katanya sewaktu sidang media di pejabatnya tadi.

Beliau berkata demikian kepada media sebagai menenafikan laporan akhbar hari ini yang melaporkan kenyataannya bahawa "Ahli Umno Tidak Akan Masuk Syurga", di pejabatnya tengahari tadi.

Sebuah akhbar harian menyiarkan di muka depan kononnya Nik Aziz berkata, ahli Umno tidak akan masuk syurga.

Sebelum ini, akhbar yang sama telah memohon maaf kepada Nik Aziz di muka depannya kerana mentyiarkan kenyataan yang salah tentang Nik Aziz.

Nampaknya, Nik Aziz terpaksa sekali lagi mengambil pendekatan saman terhadap akhbar ini.

"Saya biasanya mengunakan perkataan penyokong Umno, saya tidak mengunakan ahli Umno. Penyokong lain, ahli lain.

"Saya tidak pernah menyentuh mengenai ahli-ahli Umno, tetapi saya menyentuh dasar yang dibawa oleh Umno," katanya lagi.

Tambahnya lagi, memang mana-mana orang Islam yang mengasingkan Islam dan iman mustahil akan masuk syurga.

"Mana-mana gerakan orang Islam yang hanya mementingkan Islam sahaja tanpa iman, memang mustahil masuk syurga, itu yang saya sebut, tidak langsung maksudkan anggota parti Umno," tegasnya.

Sambungnya lagi, beliau juga turut menafikan beliau mendakwa parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

"Saya tidak sebut langsung tentang Palestin waktu tu, ni semua tak lain tak bukan untuk memburukkan saya dan membiarkan saya ni jadi balah (berkelahi) pula dengan Umno,"ujarnya.

Ketika diminta mengulas adakah kenyataan beliau sering diputar belitkan kerana musim pilihan raya kecil, Tuan Guru memberitahu beliau memang sedar tentang perkara itu.

"Kita memang dah tahu dah cara (taktik) parti ni, memang macam tu lah,"ujarnya.

Akhbar perdana sudah jadi akhbar Umno

Menyentuh kenyataan Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakarian, yang mengulas kenyataannya melalui hanya membaca di akhbar, Nik Aziz berharap agar Harussani mendapat maklumat yang sebenarnya melalui beliau.

"Sebagai seorang mufti kalau nak buat kenyataan kena tanya saya dahulu iaitu tuan punya cakap.

"Beliau tidak boleh turut (baca melalui) surat khabar, surat khabar arus perdana sekarang ni surat akhbar Umno, macam mana dia nak buat ulasan menurut surat khabar," ujarnya.

Nik Aziz juga berharap, agar rakyat di negara ini merdekakan pemikiran dari menurut manusia kepada menurut Nabi Muhamad SAW.

"Manusia kena menukar pemikiran dari mengikut manusia kepada menurut kepada ajaran Nabi Muhamad SAW,"katanya. -harakahdaily


Era Najib Altantuya : MB Selangor Jawab Peguam Negara

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menghalang sekiranya Peguam Negara, Abdul Gani Patail mahu mengambil tindakan mahkamah berhubung pekelilingnya menegah kakitangan kerajaan negeri memberi keterangan di luar waktu pejabat.

Khalid menyifatkan itu sebagai kuasa mereka dan tidak mempertikaikan kuasa SPRM, tetapi mempertikaikan cara pengendalian mereka dalam siasatan kes.

"Walaupun kita memberi kebebasan penuh kepada SPRM menjalankan tugas mereka. Akan tetapi, proses mendapatkan maklumat itu oleh agensi itu mestilah dilakukan secara munasabah dan bertamadun selain tidak menafikan hak individu seperti yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pagi tadi.

Katanya, pekeliling itu dikeluarkan bagi menjamin keselamatan pegawai-pegawai kerajaan negeri berkaitan dengan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 16 Julai lalu.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut meminta SPRM meneliti dan belajar daripada pengalaman daripada negara-negara maju yang mempunyai kadar rasuah yang rendah seperti di New Zealand dan Finland.

Katanya, tindakan itu dilihat akan memberikan manfaat kepada SPRM menjalankan tugas mereka termasuklah dari segi prosedur penguatkuasaan serta siasatan.

Kerajaan negeri Selangor telah mengeluarkan Pekeliling Bilangan 4 Tahun 2009 melarang pegawainya memberi keterangan kepada SPRM selepas waktu pejabat atau diluar pejabat untuk menjamin keselamatan mereka dan tidak mahu kejadian yang menimpa Beng Hock, berulang. -TVS

Era Najib Altantuya : Bukan Melayu Tolak BN Di Permatang Pasir

Harapan Barisan Nasional untuk mengharapkan sokongan masyarakat bukan-Melayu di dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir hancur berkecai dengan disebabkan dua isu penting yang melibatkan kaum bukan-Melayu.

Yang pertama ialah isu skandal Pelabuhan Bebas Pelabuhan Klang. Pendedahan bahawa Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat menerima RM10 juta dari CEO Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dari kontraktor utama Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Datuk Seri Tiong King Sing di samping Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sudah cukup untuk menghancurkan kredibiliti parti MCA, sebuah parti komponen utama BN.

Hari ini Tiong membuat satu lagi pendedahan, dengan mendakwa anak syarikatnya hanya mengenakan kadar sewa RM1 bagi kesemua 32 unit yang menempatkan kampus Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) milik MCA, di Penampang, Sabah.

Kesemua unit kedai terdiri daripada lapan blok bangunan empat tingkat milik Wawasan Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Dijaya Corporation. Ia disewa oleh KTAR sejak Februari 2007.

Sebelum ini, ketika ditemubual oleh akhbar berbahasa Cina, Tiong dilaporkan menyifatkan jumlah RM1 itu sebagai tanda simbolik sumbangannya kepada kolej dan parti berkenaan.

Pendedahan terbaru ini merupakan rentetan daripada pertelingkahan terbuka di antara Tiong dan presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat yang semakin serius - ekoran isu membabitkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Sementara isu N.Gobalakrishnan yang tercedera akibat keganasan polis telah menimbulkan rasa kurang senang masyarakat India yang akan berkempen habis-habisan menentang calon BN di Permatang Pasir.

Malah tidak cukup mencederakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat tersebut, beliau kini dikenakan pula tuduhan jenayah kekerasan terhadap seorang anggota polis semasa berlangsungnya proses penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

Tuduhan dikenakan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan. Beliau yang dirawat di Hospital Bukit Mertajam, dibawa ke mahkamah majistret di sini dengan ambulans kira-kira 11.20 pagi tadi dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Kedua-dua isu itu telah menimbulkan kemarahan kaum bukan-Melayu dan meletakkan BN kini menjadi parti yang amat dibenci oleh mereka di Permatang Pasir yang membentuk hampir satu pertiga dari jumlah keseluruhan pengundi.

Era Najib Altantuya : UMNO BN Pembohong Besar

Jelas kini kebenaran semakin terserlah bahawa UMNO memang pembohong besar.

Setelah memperkenalkan calon mereka di Permatang Pasir sebagai peguam muda yang kemudiannya terbukti, Rohaizat Othman sebenarnya telah ditarik balik lesen guaman sivilnya, Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan Rohaizat dengan menyatakan yang bersalah ialah rakan kongsi Rohaizat.

Pengerusi Umno Pulau Pinang itu pada sidang media di bilik gerakan sepusat BN di Bukit Merah menyatakan (Mstar 16 Ogos 2009):

"Dari penjelasan yang diberikan oleh penasihat undang-undang bahawa pihak Koperasi Pekebun-pekebun Kecil Getah Pulau Pinang, yang diperjelaskan oleh Bendaharinya, Tuan Haji Omar (Hamid), pembayaran terhadap wang yang dipegang oleh syarikat guaman Saudara Rohaizat telah pun diselesaikan lama dahulu.

"Oleh yang demikian, mereka juga telah lama menarik balik laporan yang dibuat terhadap penggunaan wang pelanggan oleh firma guaman Saudara Rohaizat, di mana yang melakukan perbuatan itu bukanlah saudara Rohaizat tetapi bekas rakan kongsinya... di mana perkara ini telah pun diselesaikan," katanya.

Majlis Peguam di dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiuasahanya, George Varughese menyatakan bahawa Rohaizat telah ditarik lesen guaman sivilnya pada 7 Mac 2008 kerana perbuatan salahlaku.

Badan Disiplin Majlis Peguam telah membuat keputusan itu hasil dari siasatan terhadap duan terhadap Rohaizat Othman oleh seorang pembeli hartanah. Mengikut pengadu, Rohaizat Othman gagal mengembalikan sejumlah hampir RM161,000 kepada pengadu setelah trasanksi diantara mereka terbatal.

Rohaizat Othman telah merayu terhadap keputusan Badan Disiplin Majlis Peguam di Mahkamah Tinggi, dan rayuannya telah ditolak pada 12 Ogos 2009. Dengan itu beliau tidak layak untuk bertindak sebagai peguambela dan peguamcara.

Perbuatan salahlaku tersebut adalah merujuk kepada Rohaizat Othman sendiri (bukan rakankonsinya), kerana Badan Disiplin tidak akan mempertanggungjawabkan seseorang peguam apa-apa tindakan yang dilakukan oleh rakan-kongsinya.


Justeru itu kenyataan Zahid yang menyatakan bahawa Rohaizat tidak bersalah kerana perbuatan salahlaku adalah perbuatan bekas rakankogsinya nyata satu pembohongan!




Era Najib Altantuya : Zahid Ketepikan Pandangan Akar Umbi Sebelum Memilih Rohaizat

Naib Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata Pas tidak berhak untuk mempertikaikan pemilihan Rohaizat Othman sebagai calon Barisan Nasional sedangkan yang sebenarnya kira-kira 65 peratus ketua Umno cawangan sendiri serta ketua Pemuda cawangan di DUN tersebut dikatakan berkumpul di sebuah kedai makan, kerana tidak puas hati dengan pemilihan Rohaizat.

Zahid dilaporkan oleh Bernama berkata hak untuk menentukan siapa calon yang sesuai dan layak mewakili BN terletak di tangan BN sendiri dan bukannya pihak lain.

"Apa nak dipertikaikan mengenai pemilihan Rohaizat ini? Pada kami, beliau adalah calon yang terbaik walaupun dia mempunyai sabitan dengan Majlis Peguam.

Malaysiakini melaporkan menurut satu sumber, ini kerana mereka mengharapkan ketua Pemuda Umno bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said - yang mesra dipanggil "cikgu" - akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Kata sumber yang turut hadir dalam perhimpunan tersebut, Mohd Zaidi terpaksa mententeramkan mereka yang tidak berpuas hati dan menasihatkan mereka supaya bertenang.

"Bekas guru itu turut berkata kepada mereka bahawa beliau masih lagi berpeluang untuk menjadi calon pada masa akan datang," kata sumber itu lagi.

Sehubungan itu, kata sumber itu, Mohd Zaidi menasihatkan penyokongnya agar tidak mementingkan diri sendiri tetapi perlu menjaga kepentingan parti.

Rohaizat, calon yang diketengahkan oleh BN sebagai peguam muda di hari pertama diumumkan sebagai calon telah terpukul dengan pendedahan bahawa lesen guaman sivilnya telah ditarik balik oleh Majlis Peguam Negara.

Sekalipun pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO cuba mempertahankan Rohaizat, namun beberapa orang ahli UMNO sendiri kurang senang dengan pencalonan Rohaizat dan mereka tidak terkejut akan terdapatnya undi protes dari ahli UMNO sendiri yang tidak akan memberikan undinya kepada calon mereka.

Pas sebelum ini telah meminta calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, menarik dari daripada bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini disebabkan lesen guaman sivil beliau dibatalkan oleh Majlis Peguam Malaysia.

"Dari segi undang-undang beliau memang layak bertanding tetapi dari segi moral beliau hilang kelayakan," kata Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mahfuz Omar, kepada pemberita di sini hari ini.

Pada pilihan raya kecil itu, Rohaizat, 38, yang juga Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, berdepan dengan Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Salleh Man, 52.

Era Najib Altantuya : Gobala Akan Dakwa Polis

Ahli Parlimen Permatang Serai Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikenakan tuduhan jenayah kekerasan terhadap seorang anggota polis semasa berlangsungnya proses penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir akan membuat dakwaan balas terhadap polis yang mencederakannya.

Pemimpin PKR pusat itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikenakan dan minta dibicarakan.

Tuduhan dikenakan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan. Beliau yang dirawat di Hospital Bukit Mertajam, dibawa ke mahkamah majistret di sini dengan ambulans kira-kira 11.20 pagi tadi dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesnya akan disebut semula pada 28 September.

Kira-kira 11.20 pagi semalam, Gobalakrishnan ditahan kerana didakwa cuba menghalang tugas polis ketika penamaan calon pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Gobalakrishnan, antara pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir proses penamaan calon di Institut Kemahiran Beliau Negara (IKBN), ditahan di luar pusat tersebut.

Beliau merupakan antara pemimpin Pakatan Rakyat yang keluar untuk memberikan sokongan moral kepada para penyokong mereka yang berkumpul di sebelah kiri IKBN.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob menjelaskan, Gobalakrishnan ditahan apabila menyerang anggota polis yang meminta beliau tidak menggunakan pembesar untuk berucap di hadapan para penyokongnya.

Kata beliau, Gobalakrishnan telah diberikan amaran dua kali agar tidak menggunakan pembesar suara.

Banyak pihak merasakan tindakan polis adalah keterlaluan dimana mereka yang melakukan keganasan sebaliknya, mangsa mereka pula yang dikenakan pendakwaan.

Hal ini mengulangi beberapa kes sebelum ini dimana pegawai polis yang melakukan kesalahan terlepas sebaliknya mangsa yang terkena kezaliman polis pula yang dikenakan tindakan seperti kes Azman dan Suwandi di Batu Burok beberapa tahun lalu.

Gobala yang masih dirawat di Hospital Bukit Mertajam dijangka akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) jika laporan polisnya "tidak berjalan" dan akan meminta SUHAKAM menyiasat kejadian tersebut untuk beliau mendapatkan keadilan selanjutnya.

Era Najib Altantuya : UMNO Tak Mampu Serang Calon PAS

Umno tidak akan menggunakan kaedah "serang calon" kerana calon yang diketengahkan oleh PAS tidak ada kriteria yang boleh UMNO BN serang atau pertikaikan.

Itulah jawapan kebanyakan pengundi Permatang Pasir mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa "BN tidak serang peribadi calon".

PAS telah mencalonkan Persuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustadz Mohd Salleh Man sebagai calon untuk menentang Rohaizat Othman, seorang calon yang bermasalah dari Barisan Nasional.

Ustadz Mohd Salleh Man diakui sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng sebagai calon yang bersih dan berkelayakan serta boleh melaksanakan tugasnya dengan baik.

Berbanding dengan calon Barisan Nasional dimana sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan "tak boleh ada pekung di dada", yang ditujukan kepada sesiapa yang berhasrat menjadi seorang ahli politik ataupun pemimpin, demikian lapor harakahdaily.

"Apabila ada sesuatu kesalahan dilakukan, tidak dapat tidak rakyat akan dapat tahu... kita tidak boleh sembunyikan.

"Sebab itu kalau hendak jadi ahli politik ataupun pemimpin, jangan terlibat dengan benda-benda yang tidak baik," katanya.

Sehari selepas kenyataan Dr Mahathir itu, muncul pula berita dalam sebuah akhbar tempatan yang melaporkan calon Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir, Rohaizat Othman dipecat dari Majlis Peguam.

Prosiding pemecatannya dibuat di bawah Seksyen 103D Akta Akta Profession Guaman 1976. Seksyen tersebut melibatkan salah laku seseorang peguam.

"Kesalahan itu adalah tanggungannya sendiri dan tidak melibatkan orang lain kerana Rohaizat sendiri yang dinamakan oleh pihak pengadu dan bukan rakannya.

"Rohaizat dipecat pada 7 Mac tahun lalu dan beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi berikutan keputusan Majlis Peguam itu, di mana mahkamah juga menolak rayuannya pada 12 Ogos tahun ini," akhbar The Edge semalam melaporkan kenyataan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan.

ImageRagunath berkata, kesalahan yang dilakukan itu melibatkan wang pemegang amanah Koperasi Pekebun Getah dan tidak ada akaun untuknya.

"Apabila lembaga menyiasat perkara ini dan perintah dibuat, tidak dipulangkan kepada pemegang amanah melibatkan wang berjumlah RM140,000.

"Walaupun anda membayarnya, tetapi kesalahan telah dilakukan dan ia merupakan kesalahan yang serius kerana ia melibatkan transaksi dengan wang pelanggan.

"Jika anda tidak bersalah, anda tidak akan didapati bersalah oleh ahli jawatankuasa disiplin dan tuduhan di bawah Seksyen 103D sama seperti salah laku jenayah," katanya lagi.

Laman web Majlis Peguam di bawah tajuk "Disciplinary Orders: January-March 2008" menyenaraikan nama Rohaizat sebagai salah seorang yang digugurkan dari majlis itu.

Apabila Ragunath menyebutkan "kesalahan yang serius" dan "sama seperti salah laku jenayah," persoalan yang timbul ialah adakah para pengundi di Permatang Pasir akan mengundi seseorang yang terdedah kepada tuduhan mempunyai pekung di dada?

Adalah dipercayai, isu pemecatan Rohaizat dari Majlis Peguam akan akan menjadi isu utama yang berpanjangan sepanjang pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Satu lagi persoalan yang timbul ialah mengapa BN khususnya Umno membelakangkan ingatan Dr Mahathir dan berkeras mahu mencalonkan seseorang yang terdedah kepada tuduhan mempunyai pekung di dada?

Jika dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Dr Mahathir menyifatkan pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon BN di dalam pilihan raya kecil itu sebagai "benar-benar pilihan yang sangat buruk," adakah Rohaizat "benar-benar pilihan yang sangat baik"?


Era Najib Altantuya : Tindakan Muhyiddin Tak Senonoh

Banyak pihak mengecam tindakan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin yang menggunakan jentera kerajaan seperti helikopter TUDM untuk merasmikan mesyuarat UMNO.

"Benar-benar tak senonoh. Jika semalam beliau menyatakan perbuatan Gobala di Permatang Pasir tak senonoh, beliau lebih tak senonoh kerana sebagai TPM, beliau sepatutnya menunjukkan teladan yang baik," kata seorang pemimpin Pakatan Rakyat hari ini.

"Mujur tak ada apa-apa berlaku, sepatutnya beliau mengambil iktibar dari kejadian yang menimpanya di Tuaran," tambahnya merujuk kepada insiden helikopter yang dinaiki oleh Muhyiddin yang terpaksa mendarat cemas di Tuaran, Sabah kerana cuaca buruk.

Semalam, Muhyiddin menyifatkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang N Gobakrishnan yang sengaja menimbulkan kekecohan pada proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pagi tadi sebagai sesuatu yang tidak senonoh.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan proses penamaan calon berlangsung dengan aman dengan kawalan pihak berkuasa.

"Memang tak sepatutnya berlaku jika polis itu polis yang bertamaddun dan menhormati nyawa manusia apatah lagi seorang ahli parlimen. Tetapi yang nyata polis-polis adalah dari species bukan-manusia agaknya sehingga tergamak melakukan kekasaran dan keganasan ke atas Gobala di khalayak ramai," tempelak seorang pemuda PKR yang turut ada di tempat kejadian.

"Muhyiddin sepatutnya membela rakyat agar tidak dizalimi tetapi beliau membela polis yang berlaku zalim. Memang kerajaan UMNO BN perlu ditumbangkan segera," tambahnya.



Era Najib Altantuya : Polis Serbu Pejabat Exco Selangor

Polis Bukit Aman menyerbu dua pejabat Exco Selangor semalam berhubung laporan polis kononnya pejabat mereka digunakan oleh anggota kongsi gelap dan membincangkan aktiviti-aktiviti haram.

Dua pejabat berkenaan ialah pejabat Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah.

Pegawai polis dari Unit Siber Multimedia, Azizi Haji Abdul Halim, tiba di Pejabat Ronnie kira-kira jam 11 pagi dan mengambil keterangan daripada pembantunya, Siti Fairous Shohaime selama hampir 2 jam setengah.

Ketika soal siasat, Ronnie berada di Permatang Pasir untuk memberi sokongan kepada calon Pakatan Rakyat yang bertanding.

Pegawai polis itu juga dilihat turut membawa pulang buku pelawat asal dan beberapa salinan dokumen daripada pejabat Ronnie.

Seorang lagi pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Kormersil, Superintenden Mohamed Osman pula memasuki Pejabat Ean yang bersebelahan pejabat Ronnie di tingkat 15, pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Mohamed mengambil masa sejam untuk mendapatkan keterangan daripada Ean dan pembantunya, Norazah Ismail.

Ean yang ditemui berkata, soal siasat ini dilakukan berikutan dakwaan Ahli Parlimen Wangsa maju, Wee Choo Keong, baru-baru ini bahawa ada pejabat Exco Selangor digunakan sebagai tempat perbincangan kumpulan kongsi gelap.

“Superitendent Mohamed dari JKJK Bukit Aman datang ke pejabat saya untuk membuat siasatan mengenai satu laporan yang telah dibuat tentang isu pejabat Exco yang digunakan oleh ahli-ahli kongsi gelap untuk berbincang mengenai aktiviti-aktiviti haram. Siapa yang buat laporan polis,pegawai tersebut tidak mahu memberitahu.

“Mereka telah mengambil keterangan pembantu tadbir saya, Puan Azah dan akan bertemu dengan saya jika perlu selepas ini. Proses ini mengambil masa selama satu jam bermula daripada pukul 1.30 petang hingga ke pukul 2.30 petang" katanya.

Menurut Ean, pihak polis juga akan meneruskan siasatan terhadap exco lain berikutan tiada exco khusus yang disebut dalam laporan polis berkenaan.

Ean berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan polis untuk memudahkan siasatan.
Dalam pada itu, Ean turut melahirkan rasa terkilan dengan pihak polis yang tidak mengambil sebarang tindakan berhubung laporannya mengenai kenyataan sebuah laman blog yang mengelirukan berhubung peruntukan ADUN.

Blog berkenaan mengaitkan Ronnie dan Ean dalam skandal salah guna peruntukan DUN di Sungai Pelek dan Sungai Panjang.

Ean berkata pihak polis lebih menumpukan siasatan kepada pejabat Exco Selangor, berbanding laporan yang mereka kemukakan.

“Sampai hari ini polis belum lagi ambil keterangan dari Ronnie dan saya. Malangnya polis telah menjalankan siasatan tentang ahli-ahli kongsi gelap telah menggunakan bilik exco untuk buat perbincangan.Apakah keutamaan mereka?Adakah laporan polis dibuat oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat mereka tidak akan membuat siasatan tetapi laporan polis ataupun tekanan daripada Barisan Nasional mereka akan membuat siasatan dengan segera," katanya. -TVS

Era Najib Altantuya : Insiden Keganasan Polis Cemari Permatang Pasir

Suasana penamaan calon Dewan Undangan Negeri N11 Permatang Pasir berjalan dengan baik dan ramai penyokong dari Pakatan Rakyat (PR) berada dalam keadaan berdisiplin dan penuh semangat.

Ribuan yang hadir mewakili Pakatan Rakyat memerhatikan penamaan calon itu memberi sokongan sepenuhnya kepada Pakatan Rakyat sekaligus membuktikan jumlah tersebut mengatasi jumlah penyokong- penyokong UMNO Barisan Nasional.

Walaubagaimanapun menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata terdapat insiden keganasan apabila pasukan polis menggunakan kekerasan terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan dan menyebabkan beliau dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam.

“Situasi di Permatang Pasir setelah penamaan calon, Pakatan Rakyat terus menjalankan aktiviti kempen cuma berlaku insiden keganasan apabila pasukan polis menggunakan keganasan terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang menyebabkan beliau cedera dan sekarang dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam. Saya kebetulan berada bersama beliau dan melihat bagaimana tindakan polis yang jahat, kasar dan biadap menjatuhkan beliau dan cuba untuk menggari dan menyebabkan pakaiannya koyak,” kata Sahmsul.

Beliau berkata tindakan polis tersebut merupakan tindakan biadap dan tidak sepatutnya pendekatan tersebut digunakan dalam suasana berkempen yang menjunjung proses demokrasi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengatakan tindakan tersebut merupakan alat UMNO Barisan Nasional ekoran parti itu semakin terdesak dalam memulihkan keyakinan rakyat selepas PRU ke 12 pada 8 Mac tahun lepas.

Tegasnya, beliau memberi amaran kepada pihak polis dengan mengatakan pilihan raya adalah satu proses demokrasi dan beliau tidak akan bertolak ansur dan bertoleransi sekiranya ada kekerasan yang melampau dari pihak polis dan parti lawan Umno Barisan Nasional.

Pilihan raya Permatang Pasir diadakan ekoran kematian DUN Permatang Pasir wakil rakyatnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.


Gobala Dipukul Polis Dikhalayak Ramai

Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishan dibelasah oleh polis sehingga seluarnya terlondehkan pada hari penamaan calon pilihanraya kecil Permatang Pasir.

Anggota polis menendang dan memijak wakil rakyat itu sebelum menggari dan menahannya di khalayak ramai dalam satu lagi insiden keganasan polis tanpa provokasi terhadap orang awam.

Dalam kekasaran itu, seluar Gobala terlondeh dan anggota polis membiarkan beliau dengan hanya berseluar dalam di khalayak ramai.

Gobala terpaksa menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam kerana kecederaan di peha dan tulang belakang.

"Gengster! Ganas!, Tidak Bertamadun!" Itulah luahan isteri Gobala terhadap tindakan 25 anggota polis yang membelasah sehingga menyebabkan suaminya cedera.

"Suami saya mengalami kecederaan di sebelah kiri pehanya, belakangnya sakit akibat ditendang dari belakang oleh polis dan tangan serta bahu kanannya amat sakit kerana dipukul dan dipijak ketika dia ditiarapkan ke permukaan jalan tar," kata R. Vasanthi.

"Doktor telah mengambil x-ray dan melakukan ECG dan kita sekarang menunggu keputusannya," tambah beliau yang menemani suaminya di hospital itu.

Kesalahan Gobala pada pandangan pihak polis hanyalah perkara yang dianggap enteng - melaungkan "Reformasi" bagi menaikkan semangat ribuan penyokong Pakatan Rakyat yang berhimpun di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam.

Kejadian berlaku ketika Gobala ingin menyeberangi ke kawasan perhimpunan penyokong PR melalui jalan belakang disebabkan kesesakan dikawasan itu.

Menurut jurukamera kanan Suara Keadilan, Mohd Shahril Rani yang sempat merakam kejadian itu Gobala berjalan merentasi zon yang memisahkan antara penyokong Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

"Apabila beliau merapati penyokong Pakatan Rakyat, Gobala pun melaungkan slogan "Reformasi" untuk menaikkan semangat mereka. Polis menggunakan kesempatan itu untuk mengepung dan membelasah beliau," kata Mohd Shahril ketika dihubungi.

Menurut Vasanthi beliau amat marah dengan perbuatan biadap polis terhadap suaminya.

"Kalau polis boleh memperlakukan kepada seorang Ahli Parlimen sebegini dahsyat dan seperti penjenayah bagaimana pula nasib rakyat biasa?" tanya beliau.



-TVA


Era Najib Altantuya : Sekitar Penamaan Calon Permatang Pasir

Penamaan calon di IKBN Kubang Semang pagi semalam berjalan lancar. Namun dalam usaha untuk bertanding kali ini dan usaha untuk menjatuhkan air muka DSAI di mata rakyat sekali lagi Umno Bn akan berhadapan dengan jentera Pakatan rakyat di Permatang Pauh.

Ini bukan sahaja memalukan Umno dengan peguam yang telah di tarik balik lesen guamamnya, kini rakyat di kampung-kampung menyatakan bahawa Rohaizat bukan seorang calon yang sesuai untuk di letakkan kerana mempunyai masalah berkaitan dengan moral.

Beliau di katakan terbabit dengan kes pecah membabitkan wang pembeli rumah. Ini akan di jadikan isu oleh pihak pakatan untuk menjelaskan kepada rakyat. Ini juga membuktikan Umno tiada calon dan pimpinan yang boleh di ketengahkan. Sayang sekali Umno masih juga tidak belajar. Dan Pakatan rakyat harus belajar dari peristiwa ini.

Nama kedua-dua mereka disahkan sebagai calon selepas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menolak 15 bantahan yang dibuat terhadap mereka.

Usaha seorang pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, yang pernah bertanding di Bukit Gantang dan Penanti untuk menjadi calon tidak kesampaian apabila beliau terlambat menghantar kertas pencalonan melebihi masa yang ditetapkan iaitu sebelum jam 10 pagi.

Beliau dilaporkan tidak serius untuk menyertai pertandingan kali ini selepas dua kali hilang wang pertaruhan untuk dua kali penyertaannya sebelum ini. -wartawan LR















Era Najib Altantuya : Tindakan Muhyiddin Memalukan Negara

Sebagai respons terhadap kenyataan Muhyiddin yang menyatakan tindakan N.Gonalakrishnan sebagai yang dituduh menimbulkan kekecohan di hari penamaan calon permatang Pasir semalam sebagai memalukan Ahli Parlimen, banyak pihak menyelar tindakan Muhyiddin menggunakan helikopter milik TUDM untuk kerja-kerja parti sebagai memalukan negara.

Dilaporkan pada hari kelmarin helikopter Nuri Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang membawan Muhyiddin terpaksa membuat pendaratan cemas di Tuaran Sabah akibat cuaca buruk.

Selain Muyiddin, turut berada dalam pesawat yang membawa 14 penumpang serta anak kapal itu ialah setiausaha akhbar beliau Datuk Ainon Mohd serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin, demikian lapor Bernama.

Bagaimanapun, tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu.

Menurut Ainon sebelum kejadian mereka berlepas dari Kudat pada 1.45 tengah hari selepas Muhyiddin merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kudat, menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

"Selepas itu beliau sepatutnya merasmikan mesyuarat Umno bahagian Penampang pula," kata Ainon.

Muhyiddin sebelum ini telah menggunakan kemudahan kerajaan secara berlebih-lebih terutama penggunaan helikopter TUDM untuk melakukan kerja-kerja parti dan telah dikesan semenjak pilihanraya kecil Manek Urai dimana Muhyiddin dilaporkan berulang alik dari Kuala Lumpur ke Manek Urai menggunakan helikopter-helikopter tersebut.

Apa yang berlaku di Tuaran sepatutnya menginsafkan Muhyiddin, tetapi telah menjadi kebiasaannya untuk bersikap angkuh merasakan dirinya terlalu hebat setelah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan akibatnya kehebatannya dicabar oleh Allah s.w.t. dengan memberikan "signal" sehingga helikopter yang dinaikinya terpaksa mendarat cemas di Tuaran.

Kita mencabar Muhyiddin untuk mengulangi keangkuhan dan perbuatan salahlakunya yang menggunakan hak milik kerajaan untuk kerja-kerja parti seperti pergi berkempen ke Permatang Pasir dengan helikopter lagi.

Mudah-mudahan kali ini akan memperolehi "signal yang lebih jelas" dari Allah s.w.t. Siapa tahu kot semasa itu baru Muhyiddin akan sedar diri?


Tindakan Gobalakrishnan Memalukan Anggota Parlimen, Kata Muhyiddin

Tindakan anggota Parlimen pembangkang N.Gobalakrishnan menimbulkan kekecohan semasa penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir hari ini adalah seperti individu yang tidak tahu undang-undang dan memalukan Parlimen, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan seolah-olah sengaja hendak menunjukkan kejaguhan di tempat yang salah.



Era Najib Altantuya : Muhyiddin Jangan Berbohong. Jadikan Harta Kerajaan Harta Partinya

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, baru-baru ini terselamat dari terlibat dengan tragedi apabila helikopter Nuri milik TUDM yang dinaikinya terpaksa membuat pendaratan cemas di Tuaran disebabkan cuaca buruk.

Sambil mengucapkan syukur atas terhindarnya Muhyiddin dari tragedi, Saudara Ahmad Nizam Hamid, Penasihat Undang-Undang PKR Negeri Pahang sempat melontar persoalan yang terbit berikutan kejadian tersebut.

Ini kerana Muhyiddin menaiki helikopter Nuri milik TUDM tersebut untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu setelah selesai merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kudat. Pada petang hari yang sama, Muhyiddin dijadual akan merasmikan pula Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Penampang.

Nizam mempersoalkan kenapa Muhyiddin dibenar bagi menggunakan helikopter milik tentera, milik kerajaan untuk kerja-kerja partinya, Umno?

Walaupun beliau berjawatan dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi itu tidak pula pernah memberinya tiket untuk turut mendapat keistimewaan kemudahan kerajaan dalam menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Presiden Umno.

Lainlah kalau Muhyiddin boleh membuktikan yang Umno telah menyewa helikopter tersebut dari TUDM untuk kegunaannya di Sabah.

Nizam menambah, sikap Muhyiddin mungkin gambaran sikap Umno keseluruhannya, yang sudah tidak dapat membezakan di antara harta peribadi dan harta kerajaan, harta kerajaan itu harta parti, Umno itu kerajaan, kerajaan itu Umno.

Sikap yang melambangkan bahawa Umno secara dasarnya tidak pernah berubah, walaupun telah terpukul teruk dalam pilihanraya umum yang lalu.

Jika Umno, seperti yang ditunjukkan Muhyiddin, secara berterusan menggunapakai harta kerajaan bak harta sendiri dan harta parti, tanpa sedikitpun ada rasa bersalah, maka jelaslah Muhyiddin bagi Nizam, sebenarnya adalah pengkhianat, mengkhianati amanah negara yang telah mempertanggungjawabkan kedudukan Timbalan Perdana Menteri ke bahunya. Dengan menyalahgunakan kedudukannya, Muhyiddin telah “mencuri” harta negara untuk digunakan bagi kemudahan diri dan partinya.

SPRM sepatutnya boleh membuka fail siasatan terhadap Muhyiddin berdasarkan laporan akhbar. SPRM sepatutnya boleh menyerbu ke pejabat Muhyiddin dan mengheret setiausaha peribadi atau pembantu khas beliau di hadapan orang-ramai. Tegas Nizam, perbelanjaan minyak dan lain-lain berkaitan juruterbang serta seumpamanya boleh sahaja mencecah RM150,000 jika mengambil contoh skandal yang didakwa melibatkan Presiden MCA, Ong Tee Keat yang gagal menjelaskan bil penggunaan jet persendiriannya.

Simpul Nizam, bagi pemimpin Umno seperti Muhyiddin, istilah pertanggungjawaban dan memegang amanah secara jujur tiada dalam kamus hidup dan politik mereka. Tanggungjawab moral bagi pemimpin seperti ini hanyalah retorik pidato dalam siaran media dan kempen pilihanraya. Mereka, ujar Nizam lagi mencuri, menggadai dan menyalahguna harta negara, kemudiannya melepaskan tanggungannya ke pundak rakyat. Lebih teruk ia dilakukan tanpa sedikit pun rasa bersalah dan menyesal. -Zukri Aksah