28 Apr 2009

Abdul Aziz SPR Disarankan Pegang Jawatan Pengerusi Pemilihan Umno

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusuf disarankan supaya menjawat posisi Pengerusi Pemilihan Umno sahaja apabila sering dilihat menyebelahi Umno, demikian lapor harakahdaily.

Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar berkata demikian semasa mengulas pelbagai isu yang membabitkan SPR mutakhir ini terutamanya dalam penangguhan pengumuman pilihan raya kecil Dun Penanti dan isu barung panas.

"Saya ingat lebih baik Pengerusi SPR ini jadi Pengerusi Pemilihan Umno, pasti Najib (Dato' Seri Najib Tun Razak) kekal jadi Presiden Umno seumur hidup," kata Mahfuz.

Dalam isu memansuhkan barung panas parti-parti politik, Mahfuz melihat tindakan SPR itu tidak rasional dan tidak membantu kelancaran perjalanan pembuangan undi.

Barung-barung panas disediakan parti politik yang bertanding hanyalah untuk membantu SPR dalam menyelesaikan perjalanan pembungan undi dengan lebih baik dan segera, katanya.

"Kita tak kisah jika SPR nak jarakkan lagi barung, jika nak mansuhkan itu akan hanya menutup ruang parti politik untuk memastikan penyokong parti masing-masing ada akses kepada maklumat tentang saluran mengundi," katanya.

Jika tiadanya barung panas, pastinya kelewatan dan kesesakan berlaku di barung SPR dimana pengundi akan bersesak menggunakan barung SPR sahaja, katanya.

Mengulas isu dolak halik SPR dalam mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi kerusi Dun Penanti, Mahfuz mengecam tindakan SPR itu.

"Apa yang dibuat SPR memang tidak rasional seperti dalam keputusan nak tentukan bila penamaan calon Dun Penanti,

"SPR berdolak-dalih, tunggu SPRM buat keputusanlah dan suruh Fairuz Khairuddin (bekas Adun Penanti) tarik balik keputusan dan macam-macam lagi, ini apa ini?," katanya kesal.

Justeru, beliau mengulangi cadangan agar Pengerusi SPR memegang jawatan Pengerusi Pemilihan Umno sahaja bagi memastikan Najib kekal selaku Presiden Umno selamanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut mempersoalkan tindakan SPR mengambil masa panjang untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian di Penanti.

Sikap SPR itu membayangkan betapa tahap kecekapan dan professionalisma badan tersebut sangat dipersoal dan mengurangkan keyakinan rakyat, katanya.

Guang Eng berharap SPR akan lebih efisien, bebas, adil dan bersikap profesional dalam melaksanakan pilihan raya kecil.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Saifuddin Nasution Ismail pula melihat keputusan SPR itu bertentangan dengan ketetapan yang dibuat pada pilihan raya umum 2004.

Ujar Saifuddin, pada tahun 2004 (sebelum pilihan raya), SPR tidak membenarkan pondok panas tetapi pada pagi hari mengundi, BN (Barisan Nasional) telah mendirikan pondok panas sedangkan Pakatan Rakyat patuh dengan peraturan itu.

Sebaliknya apabila pembangkang meminta penjelasan mengenai perubahan ketika itu, SPR mendakwa peraturan itu diubah pada pagi pilihan raya tersebut, kata Saifuddin lagi.

Bagi Saifuddin, SPR perlu konsisten dalam hal ini dan selari dengan peranan SPR sebagai badan yang menjalankan pilihan raya secara bersih, telus dan adil.

Saifuddin juga melihat cadangan menghadkan bilangan calon pula tidak wajar dilakukan SPR kerana pilihan raya adalah hari pesta demokrasi kepada rakyat.

Mengulas isu yang sama, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berpendirian SPR menggunakan faktor kesesakan bagi melarang kewujudan pondok panas dan mengehadkan jumlah pengundi tidak perlu timbul.

Beliau percaya pihak polis mampu mengawal keadaan pada hari penamaan calon dan hari mengundi.

MSTAR Melaporkan Pakatan Rakyat sebulat suara menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menarik balik keputusannya semalam yang melarang parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi.

Malah Pakatan Rakyat juga sebulat suara menolak keputusan suruhanjaya itu semalam kerana beranggapan alasan-alasan yang diberikan adalah tidak munasabah.

"Kita mahu agar SPR tidak melaksanakan larangan yang mereka putuskan itu dan kita mahu sistem pilihan raya dilaksanakan seperti pilihan raya sebelum ini," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata, Pakatan Rakyat juga mahu menemui semula SPR Khamis ini - buat kali kedua - bagi membincangkan mengenai larangan tersebut.

"SPR sebelum ini menyatakan bahawa parti-parti politik ini ialah pelanggan mereka, jadi kami sebagai pelanggan, mungkin akan pergi kedai mereka semula.

"Kami cadangkan untuk berjumpa dengan SPR Khamis ini untuk jelaskan semula dan untuk lihat apa sebenarnya perkara-perkara yang dirasakan (SPR) boleh menimbulkan masalah... kami akan berikan hujah-hujah," kata beliau selepas mengadakan mesyuarat bagi menentukan pendirian Pakatan Rakyat berhubung larangan tersebut di sini hari ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa berkata, larangan yang dibuat oleh SPR itu bercanggah dan tidak mengikut undang-undang pilihan raya.

"Kami dah teliti dari segi undang-undang dan di sini kami menyatakan untuk menolak pendirian yang diambil oleh SPR.

"Ini satu pendirian yang tidak munasabah dan bagi kita ia tidak mengikut undang-undang pilihan raya itu sendiri," katanya.

Malah jelas Sivarasa, keputusan yang dibuat oleh SPR itu juga bercanggah dengan pendirian suruhanjaya sebelum ini.

"Keputusan ini bercanggah dengan pendirian mereka sendiri yang dibuat dulu pada pilihan raya umum 2004.

"Undang-undang pilihan raya membenarkan parti politik mendirikan pondok panas mengikut Seksyen 24 B (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Sivarasa juga berkata menerusi surat yang dikeluarkan oleh SPR pada 19 Mac 2004, jelas menyatakan bahawa semua parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya dibenarkan menubuh atau menyelenggara pejabat atau pondok parti di luar kawasan sempadan 50 meter dari tempat mengundi.

"Jadi jelaslah bahawa tindakan mereka melarang untuk adakan pondok panas bercanggah dengan tafsiran mereka sendiri yang dibuat dahulu," katanya.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Dr. Siti Maria Mahmud (PAS-Kota Raja) dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).


Saman Zambry - Nizar Akan Ditentukan Oleh Mahkamah Tinggi

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Zambry Kadir dari Barisan Nasional untuk mendapatkan perisytiharan bahawa beliau Menteri Besar Perak yang sah.

Mahkamah juga memutuskan bahawa pertikaian antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mengenai siapa menteri besar yang sah akan didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara memutuskan wujud pertikaian fakta dalam dua afidavit yang diikrarkan oleh Mohd Nizar dan Penasihat Undang-undangan Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Prosiding untuk meneliti afidavit Ahmad Kamal akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada hari Isnin. Ini merupakan kali kedua kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi..

Kali pertama ialah pada 23 Mac apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan isu membabitkan tafsiran Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak perlu didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi dan hanya boleh dirujuk semula ke Mahkamah Persekutuan melalui rayuan.

Alauddin, Hakim Besar Malaya Datuk Ariffin Zakaria dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusuf dan Datuk James Foong hari ini dijadual mendengar permohonan Zambry, yang difailkan pada 21 April, untuk memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah menteri besar yang sah.

Peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah membantah permohonan Zambry atas alasan wujud pertikaian fakta berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual didengar di Mahkamah Tinggi minggu depan.

Katanya percanggahan itu adalah antara apa yang diikrarkan oleh Ahmad Kamal dalam afidavitnya dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam pertemuan antara Mohd Nizar dan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 4 Februari 2009.

"Saya menegaskan bahawa semasa saya menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan, saya tidak pernah menyatakan dan tidak memaklumkan, dan tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan bahawa terdapatnya kehilangan kepercayaan terhadap saya sebagai Menteri Besar oleh majoriti ahli-ahli DUN. Saya juga tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri selaras dengan Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

"Merujuk kepada afidavit penasihat undang-undang, saya menyatakan bahawa versi Datuk Ahmad Kamal berkenaan apa yang telah berlaku adalah salah dan tidak tepat," kata Sulaiman ketika membacakan afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar.

Beliau juga berhujah Ahmad Kamal telah mewakili Zambry apabila kes itu disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof pada 18 Februari.

"Datuk Kamal telah mewakili Zambry dan ini jelas menunjukkan yang beliau tidak bersikap berkecuali," kata Sulaiman.

Katanya atas prinsip "res judicata" (perkara yang sudah diputuskan), permohonan itu tidak sepatutnya didengar oleh Mahkamah Persekutuan kerana permohonan yang sama terhadap isu yang sama telah ditentukan oleh mahkamah yang sama pada 23 Mac.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry dalam hujahan balasnya berkata terdapat keterangan dokumen berdasarkan dua pucuk surat yang ditulis oleh Mohd Nizar kepada Sultan Perak pada 4 dan 5 Februari untuk menunjukkan tidak terdapat pertikaian fakta seperti dakwaan responden.

Beliau juga berkata prinsip 'res judicata' tidak boleh diguna pakai kerana isu Perkara 63 tidak timbul pada perbicaraan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Mac.

Turut hadir pada prosiding itu ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah, peguam Mohd Reza Hassan selaku peguam pemerhati bagi Barisan Nasional dan Penolong Penasihat Undang-undang Negeri Perak Zulqarnain Hassan.

Di luar mahkamah, Mohd Nizar berkata kepada pemberita bahawa keputusan hari ini adalah petanda yang krisis politik Perak akan dapat mencapai penyelesaian muktamad.

"Saya harap persidangan Dewan Undangan Negeri 7 Mei ini ditangguhkan sehingga pertikaian ini diselesaikan di Mahkamah Tinggi. Tidak perlulah kita tergesa-gesa (untuk membuat persidangan itu) kerana terdapat banyak fakta-fakta yang dipertikaikan di sini," katanya.

Selain cuba memintas Mahkamah Tinggi, Zambry telah menggerakkan usaha untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri pada 7 Mei.

Beliau sebelum ini mendakwa bahawa Sultan dan bukan rakyat yang menentukan pihak mana harus menubuhkan kerajaan negeri.


LANJUTAN TULISAN NIK ABDUH : AWAS PERANGKAP UMNO

Nampaknya isu muqabalah dan kerajaan perpaduan masih lagi panas di pasaran. Kenyataan terakhir Nik Abduh di dalam blognya telah menghangatkan lagi suasana pemilihan barisan pimpinan di peringkat kawasan yang sedang berlangsung sekarang dan diikuti dengan dewan-dewan dan seterusnya di peringkat PAS Pusat pada muktamar pada bulan Jun nanti. Saya ada mengikuti pandangan pelbagai pihak samada yang menyokong atau membantah tulisan Nik Abduh dan merasa terpanggil untuk melontar beberapa cetusan idea saya yang mungkin tak pernah tinggi nilainya.

Pertamanya saya sangat mengalu-alukan pendekatan perbincangan, syura, percambahan minda, penghujahan, perdebatan dan apa saja yang sewaktu dengannya di dalam kita membicarakan perkara-perkara penting di dalam jamaah asalkan ia berpaksikan kepada pembudayaan ilmu. Dan sudah sewajarnya penggunaan kata-kata kesat, pembohongan dan penyelewangan fakta tidak termasuk di dalam etika perbincangan apatah lagi jika ia dibuat di dalam konteks sebuah gerakan Islam.

Kita tidak boleh menyekat perkembangan budaya yang sihat ini kerana ia menjadi teras kekuatan pembangunan keilmuan Islam sejak zaman berzaman. Perbedaan pendapat tidak wajar dianggap sebagai tidak berakhlak atau tidak wala’ kepada kepimpinan.

Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) sendiri, apabila ditanya berhubung isu kerajaan perpaduan dan muqabalah, pernah berkata bahawa isu sebesar ini (yakni berkaitan dengan UMNO dan BN) perlu dibawa berbincang di dalam EGM (Mesyuarat Agung Khas) kerana kita perlu mendapat pandangan akar umbi kita. Saya yakin ini kehendak majoriti ahli PAS yakni supaya kita berbincang dengan teliti dan mendengar pandangan semua pihak sebelum kita buat keputusan yang amat besar ini.

Saya tidak nampak permintaan ini sebagai amat tidak munasabah atau sebagai tidak wala’ kepada kepimpinan sedangkan pimpinan kita selalu bercakap kita perlu menegur pemimpin jika kita dapati atau mengesyaki mereka melakukan kesalahan.

Tradisi menegur pemimpin ini bukanlah perkara baru dan ia sarat di dalam seerah Nabi saw dan seerah Khulafa’ Ar-Rashidin rh. Ucapan Saidina Abu Bakr ra ketika dilantik menjadi Khalifah Islam yang pertama telah menyatakan bahawa beliau bukanlah yang terbaik dari kalangan ramai. Jika beliau melakukan yang betul maka taatinya dan jika ia melakukan yang salah maka betulkannya.

Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Saidina Umar ra sendiri pernah diunjukkan dengan pedang oleh seorang sahabat apabila beliau meminta menegurnya jika beliau berbuat salah.

Fenomena ini jelas menunjukkan betapa penting kita kembali bersama-sama menghayati tradisi pembudayaan ilmu dan konsep syura sebenar sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para sahabah rh agar kita dapat membuahkan pandangan dan keputusan terbaik dan diikuti tindakan yang bersepadu daripada semua lapisan ahli kita.

Elakkan merendah-rendahkan pandangan orang lain dengan cara yang menghina dan bersifat peribadi. Bukankah Rasulullah saw ada bersabda bahawa sampaikan daripadanya walaupun satu ayat? Adakah golongan tertentu (yakni yang ada sijil belajar agama) saja yang berhak bercakap tentang Islam? Siapalah kita untuk berkata si pulan dan si pulan ini saja yang berhak bercakap tentang Islam dan yang selainnya tak layak sedangkan mempelajari Islam itu tanggungjawab semua yang mengaku mukmin muslim? Jika ada individu tu bercakap benda yang salah maka tegurlah di bahagian mana yang salah bukan dengan cara ‘shoot the messenger’ (yakni hukum si yang becakap).

Kita mesti ada keberanian untuk memenangkan pandangan kita melalui penghujahan yang kukuh dan meyakinkan, dan bukan dengan serangan peribadi dan penggunaan kata-kata yang tidak wajar. Kecenderungan untuk ‘mensekularisasikan’ agama yakni bab agama adalah hak ‘ustaz-ustaz’ saja dan orang lain tidak boleh langsung membicarakannya amatlah merbahaya dan tidak selaras dengan tuntutan agama kita.

Saya yakin ramai dari kalangan kita yang tidak belajar Islam secara ‘formal’ (yakni tanpa sijil) tetapi telah mempelajari dan mendalami agama secara tidak formal di merata tempat tanpa jemu dan secara berterusan dalam hidup mereka. Mungkin ini tidak melayakkan mereka bergelar ulama’ tetapi dalam masa yang sama tidaklah boleh dijadikan alasan untuk menghalang mereka daripada membicarakan bab-bab yang berkaitan agama setakat kemampuan ilmu yang ada pada mereka. Inilah tradisi keilmuan sebenar yang dituntut oleh Islam.

Oleh itu muhasabah dan munaqashah kita adalah proses berterusan sesama kita dari semua lapisan di dalam membentuk keputusan dan tindakan.

Muktamar Agung PAS tahun lepas, yang merupakan badan tertinggi PAS, telah membuat keputusan supaya kita memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Jadi selagi tidak ada mesyuarat agung khas atau pertemuan lain yang sama taraf dengannya diadakan untuk membuat keputusan yang lain, maka adalah ‘haram’ kita membuat kerja yang bercanggah dengan keputusan ini.

Malangnya ada di kalangan kita yang tak faham etika bersyura dan telah bertindak di sebalik keputusan ini. Harap jangan salahfaham apa yang saya cuba bangkitkan ini. Saya tidak kata keputusan ini baik atau tidak baik. Apa yang saya ingin tekankan ialah aspek displin syura.

Jika kita rasakan bahawa keputusan muktamar berhubung isu Pakatan Rakyat didapati tidak begitu sesuai maka bawa semula ke muktamar agung khas dan kita bincang semula dan buat keputusan lain. Lepas tu apa keputusan pun yang diputuskan bersama semua kena terima dan laksanakan. Inilah apa yang saya maksudkan dengan akhlak bersyura yang nampak masih longgar di dalam jamaah kita.

Keduanya, keyakinan banyak pihak bahawa kita (yakni Melayu Islam) akan lebih selamat jika kita bergabung dengan UMNO adalah satu pandangan yang amat merbahaya kepada keutuhan jamaah.

Ini berdasarkan kepada kajian semasa dan pengalaman lepas berinteraksi dengan UMNO. Bayangkan di kala kita dengan slogan ‘PAS For All’ atau ‘PAS Untuk Semua’ telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan antara PAS dengan golongan bukan Melayu (hakikat yang diakui semua), wajarkah dalam nafas yang sama ‘berkhalwat’ dengan UMNO bagi tujuan membentuk kerajaan haram yang dibenci oleh majoriti ahli dan penyokong kita sendiri.

Bayangkan jika usaha ini berjaya dilakukan, apakah yang akan berlaku? Awal-awal lagi masyarakat bukan Melayu akan meninggalkan kita atas pengkhianatan ini dan kita tidak akan mendapat kepercayaan mereka lagi untuk satu jangka masa yang amat lama.

Ahli-ahli PAS malah PAS sendiri berkemungkinan akan berpecah teruk menyebabkan kita lemah dan lesu. Jika kita berjaya memerintah dengan UMNO pun, dan dikurniakan dengan pelbagai jawatan penting, kita tetap akan menjadi kuda tunggangan mereka kerana dari segala segi kita memerlukan mereka untuk terus berkuasa. Bayangkan selepas setahun dua apabila mereka dah ada kekuatan, kita akan lihat tembelang sebenar UMNO dan di kala itu apa yang PAS boleh buat?

Berdasarkan pengalaman lepas, apabila UMNO rasa mereka dah kuat dan PAS tak diperlukan lagi, mereka akan cari jalan bagaimana untuk menendang kita keluar. Di kala itu kita akan tersungkus ke tanah tanpa ada sesiapa yang sanggup menyambut kita. Ini tidaklah menghairankan kerana siapa yang nak sambut orang yang pernah bergelar pengkhianat?

Saya tidak menyatakan bahawa tidak boleh ada muqabalah atau muzakarah atau perpaduan atau sebagainya dengan UMNO atau BN. Apa yang saya katakan ialah kita perlu berdiri atas platform PR di dalam mendepani pendekatan politik sebegini kerana kita sudah ada persefahaman dengan parti komponen PR.

Maknanya jika BN ingin berbincang tentang usaha bersama menanggani kemelut ekonomi atau yang sewaktu dengannya maka kita akan pergi atas PR. Dengan cara ini kita dapat mengelakkan salahfaham sesama kita dan dalam masa yang sama menjaga kewibawaan parti kita. Perbedaan pendapat dan pandangan antara parti di dalam PR adalah biasa dan macamana biasa juga boleh diselesaikan melalui perbincangan dan permuafakatan.

Malah di dalam BN pun mereka sering berbeda pandangan atau bergaduh sesama sendiri. Adakah kita sudah tak pandai nak berbincang dan berpakat dengan orang lain dan apabila ada masalah sikit kita terus nak ‘abandon the ship’? UMNO ini bukan saja terkenal di dalam menekan dan menipu parti lain tetapi sesama mereka pun mereka bergigitan dan bercakaran. Tengok hukuman terpilih yang mereka buat ke atas Isa Samad dahulu dan baru-baru ini Ali Rustam. Lihat bagaimana mereka ‘mengenakan’ Khairy Jamaluddin apabila barisan Kabinet dibentuk.

Ketika kita sibuk tengah bincang isu muqabalah dan kerajaan perpaduan pun UMNO siap rampas kerajaan Perak yang bermenteribesarkan PAS! Pendek kata banyak lagi boleh kita ceritakan di sini tentang kisah pengkhianatan UMNO. Mungkin kita boleh sambung di lain masa dan ketika.

Pengajarannya ialah kita perlu berhati-hati dengan UMNO kerana UMNO telah seringkali mengkhianati kita dan umat Islam. Apa saja pendekatan yang bertujuan mendekati UMNO atau apa saja perlu dibincang dengan teliti dan dimaklumi oleh akar umbi bagi mengelak persengketaan sesama kita. Kenyataan pimpinan yang dikeluarkan perlulah berhemat dan dibuat dengan penuh hikmah. Janganlah kebencian kita kepada seseorang menyebabkan kita berlaku zalim terhadapnya. Kesimpulannya kita semua akan berdepan dengan Allah rabbul jalil untuk dipertanggungjawabkan atas segala percakapan, tulisan dan tindak-tanduk kita. Moga Allah mengampunkan kita semua.

Anak Bapa: Islam mengajar kita ”Kalau Islam kuat, Melayu, Cina dan India (malah apa bangsa sekali pun) akan selamat ......”. Segelintir pimpinan PAS pula berpandangan ”Kalau Melayu kuat, Islam dan bangsa-bangsa lain akan selamat ......”. Apa pandangan anda? -anakbapa


Umno seumpama bertaraf parti ‘Bebas’ : Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata taraf Umno sekarang seumpama wakil rakyat ‘bebas’ kerana belum memutuskan samada mahu bertanding atau tidak pada pilihanraya kecil Dun N12 Penanti, 31 Mei depan.

“Umno memiliki kerajaan yang besar tetapi sikap pemimpin mereka seperti wakil rakyat ‘bebas’ kerana sehingga sekarang belum pasti hendak bertanding atau tidak,” katanya.

Berikutan Perdana Menteri Najin Razak menyebut Barisan Nasional akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihanraya kecil di Dun Penanti atau sebaliknya.

Sementara itu, diranya mengenai cadangan Umno untuk mengubal undang-undang anti letak jawatan, beliau pula mahu supaya Kerajaan mengubal akta anti culik wakil rakyat bagi memastikan tiada wakil rakyat ‘dilari dan disembunyikan’ lagi pada masa hadapan.

Mursyidul Am Pas itu mempersoalkan mengapa pemimpin Umno sibuk sangat dengan cadangan undang-undang anti meletak jawatan sedangkan peraturan anti culik lebih penting.

“Akta seumpama itu lebih perlu berbanding akta bagi menghalang wakil rakyat meletak jawatan seperti dicadangkan ramai pemimpin Umno” kata beliau.

Menurut Nik Abdul Aziz, “Mana baik meletak jawatan secara terhormat atau menculik wakil rakyat dan kemudian memaksa mereka menyokong parti tertentu sehingga menyebabkan sebuah kerajaan tumbang,”

“Itulah realiti yang berlaku di Perak sekarang sehingga kerajaan Pakatan Rakyat tumbang melalui rampasan kuasa. Kalau ada akta anti culik sudah tentu perkara seperti itu tidak berlaku,” mengikut kenyataan yang dipetik dari Harakah Daily.

Pada Febuari lalu tiga bekas wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak ‘diculik’ dan kemudian muncul bersama Najib Razak di Putrajaya dengan membuat kenyataan menyokong BN.

Menteri Besar bersama isteri, Tuan Sabariah Tuan Ishak berada di Makkah bagi mengerjakan umrah lebih seminggu lalu. Keadaannya sihat dan dapat mengerjakan umrah dengan baik.

Beliau juga turut menyampaikan salam kepada seluruh rakyat Malaysia dan mendoakannya supaya dapat melakukan ibadat dengan sempurna dan selamat kembali ke tanah air. Beliau dijangka pulang ke Malaysia pada 3 Mei ini. -sk

Pondok panas : Pakatan Rakyat mahu penjelasan SPR

Pakatan Rakyat mahu penjelasan dari pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu melarang barung atau pondok panas didirikan semasa hari pembungana undi.

“Pakatan Rakyat amat terkejut dengan kenyataan itu kerana pihak SPR tidak memberi sebarang reaksi semasa mendengar hujah dari Pakatan Rakyat tetapi sebaliknya mengeluarkan kenyataan di akhbar selepas mendegar hujah kami,” kata Pengarah Pilihanraya Pas Mustafa Ali dalam sidang akhbar yang diadakan di ibupejabat Pas hari ini.

Berikutan keputusan SPR semalam yang melarang kewujudan barung atau pondok panas dan peraih undi sama sekali bertentangan dengan ketetapan yang dibuat pada pilihan raya umum 2004.

“Walaupun Pakatan Rakyat telah memberikan hujah kukuh dengan menyatakan bahawa pondok panas bukan penyebab atau mendatangkan pergaduhan kerana setakat ini tidak ada sebarang laporan polis yang dibuat mana-mana pihak,” kata beliau.

“Pada tahun 2004, sebelum pilihan raya, SPR tidak membenarkan pondok panas tetapi pada pagi hari mengundi, Barisan Nasional telah mendirikan pondok panas sedangkan kita patuh dengan peraturan itu, bila kita tanya SPR, mereka kata peraturan itu diubah pada pagi pilihan raya itu,” katanya Mustafa lagi

Terkini SPR memutuskan semua parti politik tidak lagi dibenarkan mendirikan pondok panas 50 meter dari bilik mengundi selain dilarang memancing undi pada hari mengundi yang akan dikuatkuasakan mulai pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti penghujung bulan depan.

Menurut Mustafa, SPR perlu konsisten dalam hal ini dan selari dengan peranan SPR sebagai badan yang menjalankan pilihan raya secara bersih, telus dan adil .

Berhubung mengehadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon, Saifuddin berkata, tindakan itu juga tidak wajar dilakukan SPR kerana pilihan raya adalah hari pesta demokrasi kepada rakyat.

“Ia adalah hari rakyat mengamalkan hak demokrasi yang mereka ada. SPR tidak perlu menjadikan faktor keselamatan sebagai alasan kerana itu kerja poli, biar polis lakukan kerja mereka,” katanya.

Katanya, beliau yakin larangan-larangan yang dikeluarkan oleh SPR ditujukan khusus kepada Pakatan Rakyat.

“Pihak KeADILan juga sangat kecewa dengan keputusan SPR semalam,” kata Ahli Majlis Tertinggi Sivarasa Rasiah yang juga menghadiri sidang akhbar tersebut.

“SPR telah mengeluarkan kenyataan larangan itu tanpa memberi hujah-hujah balas terhadap alasan yang telah kita berikan dan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau percaya larangan itu dikeluarkan bagi menyekat jumlah peraih undi bagi Pakatan Rakyat yang lazimnya ramai pada hari mengundi.

“Kalau dulu, di sesetengah tempat, BN lebih ramai dari pembangkang tapi sekarang pembangkang dah lebih ramai berbanding BN,” katanya.

“Tindakan mengehadkan jumlah penyokong itu juga tidak wajar dilakukan kerana bilangan penyokong yang ramai untuk memeriahkan hari penamaan calon adalah perkara biasa,” jelas beliau.

Katanya, “Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat sama ada hari ini atau esok berhubung keputusan SPR semalam,”

Berhubung isu yang sama, Bendahari Dap, Fong Kui Lun berkata, SPR menggunakan faktor kesesakan bagi melarang kewujudan pondok panas dan mengehadkan jumlah pengundi tidak perlu timbul.

Fung berkata, beliau percaya pihak polis mampu mengawal keadaan pada hari penamaan calon dan hari mengundi.

Sementara itu, ahli Parlinen Pas bukit Raja Dr mariah mahmus berkata bahawa secara tradisinya pondok panas sudah ujud semenjak pilihanraya pertama lagi pada tahun 1959.

“Ianya terbukti bahawa pondok panas sangat memberi manafaat kepada pengundi untuk memudahkan dam melancarkan perjalanan pilihanraya,” jelas beliau.

“Hanya kerana akhir-akhir ini pondok panas Pakatan Rakyat yang sentiasa penuh dan lebih meriah, maka ianya harus dihentikan, dulu pondok panas berpihak kepada BN, pihak parti lain akur dengan keadaan itu,” jelas beliau lagi. -sk

Pas Tak Sama UMNO, PAS Tidak Sorok Masalah Dalaman

Dakwaan pemimpin Pas cuba menyembunyikan masalah dalaman kerana tidak mahu dilihat sebagai parti yang mempunyai masalah disangkal ahlinya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Pas mahupun pimpinan parti itu tidak menyorokkan masalah dalaman yang dihadapi sebaliknya menguruskan perbezaan pandangan yang timbul dengan cukup baik.

Menurutnya, dalam setiap muktamar yang lalu sudah dinyatakan dalam bahawa tidak ada satu budaya atau sikap dalam Pas untuk sengaja menyembunyikan maklumat.

“Amalan dalam Pas, kebaikan atau kesejahteraan parti tertakluk kepada pengurusan perbezaan pandangan dengan cara yang terbaik.

“Kita tidak mentaati pemimpin Pas begitu sahaja dalam proses membuat keputusan, kepimpinan akan ditegur dan dikritik dan ini berlaku dalam muktamar Pas. Tidak ada kekangan atau halangan dalam parti untuk mencetuskan pandangan atau idea yang berbeza sebaliknya ia perlu untuk menjana pemikiran tetapi tidak kerap atau sehingga membawa kepada perpecahan dalam parti,” katanya.

Beliau turut mengambil contoh isu muzakarah yang berjaya ditangani dengan baik yang mana pendekatan muqabalah lebih disenangi pimpinan Pas Pusat tanpa mengambil kira siapa yang mengutarakan pandangan berkenaan.

Dr Dzulkefly berkata, pendapat terbaik yang diutarakan akan dibincangkan dan dipertimbangkan di peringkat pemimpin tertinggi sebelum diputuskan oleh Majlis Syura.

“Setiap pandangan yang diberikan adalah berdasarkan fakta bahkan mereka sendiri menyelidik terlebih dahulu sebelum berhujah mengenai sesuatu perkara.

“Namun, selepas keputusan dibuat oleh Majlis Syura, seharusnya tidak ada pertikaian yang dibuat oleh mana-mana individu,” katanya.

Cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga antara contoh terbaik yang menunjukkan cara Pas menangani perbezaan panda-ngan.

Katanya, Hadi hanya melontarkan atau mencetuskan idea, kemudiannya berlaku perdebatan dan perbaha-san.

“Tetapi pandangan ramai lebih mirip kepada tidak menyokong cadangan berkenaan, namun itu bukan bermaksud mereka menolak presiden sebaliknya hanya menolak cadangan yang diutarakan, iaitu sama ada belum sampai waktu atau tidak sesuai.

“Dalam politik, banyak perkara yang tidak jelas dan perlu dikaji serta diamati dengan cermat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib berkata, dalam dunia tanpa sempadan ini, semua pihak boleh mendapatkan maklumat yang mereka kehendaki.

Menurut Saari, tidak timbul soal sembunyikan atau tidak masalah dalam parti kerana orang tetapi akan mengetahuinya walaupun ingin disembunyikan.

“Justeru agak mustahil untuk pimpinan Pas menyembunyikan atau merahsiakan apa yang berlaku dalam parti.

“Mengenai perbezaan idea atau pandangan memang ada dalam Pas tetapi ia akan dirundingkan dalam parti dan seharusnya semua pihak akur dengan keputu-san Majlis Syura serta memberikan kerjasama untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul isu perpecahan dalam parti kerana pencalo-nan dibuat secara terbuka mengikut kawasan masing-masing, yang mana mereka akan mencalonkan individu yang dirasakan layak untuk diketengahkan.

“Sekiranya ada masalah dalaman, tidak kira di peringkat atas atau bawah, masing-masing akan berbincang dan menyelesaikan dengan baik,” katanya -sinarharian

SPRM = UMNO? Khalid Saman SPRM, Kerajaan Malaysia

Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjaya SPRM Ahmad Said Hamdan dan Kerajaan Malaysia.

Khalid memfailkan saman itu berikutan kenyataan fitnah Ahmad Said bersabit penyenggaraan kereta peribadi Khalid dan pengagihan lembu korban pada Hari Raja Haji yang lalu.

Saman fitnah terhadap Ahmad Said difailkan oleh peguam Khalid, Sankara Nair di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saman itu merujuk kenyataan Ahmad Said sebagaimana yang disiarkan di akhbar New Straits Times bertarikh 21 Februari.

Akhbar itu memetik Ahmad Said sebagai berkata SPRM kononnya mempunyai bukti salah laku oleh Khalid.

Sankara berkata Ahmad Said jelas melanggar tatakerja dengan membuat tuduhan melulu terhadap Menteri Besar Selangor itu.

Ini kerana hanya Peguam Negara berhak membuat sebarang kenyataan mengenai berhubung isu-isu pendakwaan dan pertuduhan.

"Tindakan MACC secara langsung melanggar kuasa-kuasa yang diberikan kepada badan itu di bawah Akta SPRM 2009 dan juga tatakerja mereka kepada Menteri Besar dan dalam melaksanakan tugas mereka," kata Sankara.

Sankara berkata kenyataan Ahmad Said memberi gambaran bahawa klien beliau terbabit dalam amalan rasuah.

Sankara menegaskan tuduhan Ahmad Said bukan sahaja tidak berasas, tetapi berniat untuk mencemar nama baik Khalid Ibrahim dan pejabat Menteri Besar Selangor.

Sehingga ke hari ini, Peguam Negara tidak membuat sebarang pertuduhan terhadap Khalid.

"Menentukan kecukupan bukti untuk pendakwaan terletak sepenuhnya dibawah bidang kuasa Peguam Negara dan tindakan SPRM menuduh sewenang-wenangnya secara jelas melanggar bidang kuasa Peguam Negara. Tuduhan Ketua Persuruhjaya yang disiarkan di dada-dada akhbar bersamaan seperti serangan terhadap klien dan mencemar nama-baik beliau," kata Sankara.

Sankara berkata saman fitnah terhadap Ahmad Said difailkan selepas Ketua SPRM itu enggan menjelaskan tindakannya menfitnah Menteri Besar Selangor.

Khalid menuntut ganti rugi dan serta perintah injunksi ke atas Ahmad Said dan SPRM daripada mengulangi tuduhan-tuduhan itu secara bertulis dan lisan.

"Kita tidak menyatakan jumlah spesifik yang mahu dituntut dari mereka. Bagi Khalid Ibrahim, soal wang ringgit bukan kepentingan sebaliknya gantirugi ini sebagai pengajaran kepada mereka. Apa yang penting bagi beliau adalah membersihkan namanya dari tuduhan-tuduhan itu," kata Sankara. -TVA


Zambry vs Nizar : Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Zambry Isytihar MB yang Sah


Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Zambry supaya diisytiharkan sebagai MB yang sah. Keputusan itu dibuat oleh kelima-lima hakim. Dalam penghakiman tersebut, mereka sebulat suara berpendapat kes itu perlu dirujuk dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi bukan Mahkamah Federal.

Nampaknya jalan pintas yang cuba diguna oleh Zambry melalui peguam-peguamnya telah dipintas juga oleh para hakim yang arif lagi bijaksana. Zambry gagal menggunakan Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkannya sebagai MB yang sah. Dia berbuat demikian sebab tertekan dengan gelombang rakyat yang tidak mengiktiraf sebagai MB yang sah di Perak. Kemana sahaja dia pergi rakyat mencemuhnya dan mengelar MB haram.

Dalam kes yang difailkan oleh Zambry pada beberapa hari yang lepas, beliau menuntut Mahkamah Persekutuan untuk mentafsir:

1) Samada Sultan Azlan Shah mempunyai kuasa menolak permohonan Nizar untuk membubarkan DUN apabila beliau hilang kepercayaan DUN.

2) Apabila Sultan tidak mempersetujui permintaan Nizar, adalah dianggap Nizar dan EXCOnya telah meletak jawatan.

3) Apabila Nizar tidak mahu meletak jawatan, Sultan mempunyai hak untuk melantik Zambry berdasarkan Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas Sultan berpuas hati Zambry mendapat kepercayaan DUN.

Zambry mahu Mahkamah Persekutuan membuat pengiktirafan bahawa beliau merupakan Menteri Besar Perak yang sah dari tarikh perlantikannya iaitu 6 Februari 2009. Zambry membuat permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mentafsir Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Dengan itu, kes permohonan Zambry bagi mengisytiharkannya sebagai MB yang sah akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. -misbahulmunir