18 Mac 2009

BN Bukit Gantang Terkangkang : Ku Li Pertikai Lembaga Disiplin UMNO

Keputusan SMS 7 Edition (versi bahasa inggeris) menyaksikan 100% menyatakan tidak munkin pendengaran rayuan kes Ali Rustam dan lain-lain yang didapati bersalah di dalam politik wang didengari sebelum hari pemilihan.

Sementara bancian didalam Edisi 7 (versi BM) yang disiarkan sebelum edisi bahasa inggeris memperlihatkan 80% responden menyatakan rayuan kes politik wang Ali Rustam tidak perlu didengar segera ole Lembaga Disiplin UMNO.



Bagi bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pula hari ini mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin semalam yang menjatuhkan hukuman berbeza antara pemimpin tertinggi dan pemimpin peringkat bawah Umno walaupun kesalahan yang dilakukan seolah-olah sama.

Katanya, beliau khuatir orang ramai akan mempertikaikan kredibiliti Lembaga Disiplin kerana ramai yang merasa keliru dengan dengan keputusan yang diumumkan semalam.

"Macam ada di peringkat bawah digantung keahlian tetapi yang terlibat secara tidak langsung, jadi dalang merancang penggunaan duit dalam politik ini terlepas begitu sahaja dengan amaran, cuma tidak dibenarkan bertanding begitu sahaja," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Lembaga Disiplin Umno semalam yang menjatuhkan hukuman ke atas 15 ahli daripada 29 kes yang disiasat berhubung politik wang.

Antara yang dikenakan hukuman adalah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno dan dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan minggu depan.

Selain itu, calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut didapati bersalah mengikut Perkara yang sama tetapi hanya diberikan amaran dan masih dibenarkan bertanding.

Sementara itu, enam ahli yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin peringkat bawahan digantung keahlian selama tiga tahun, lima ahli digantung selama setahun dan dua lagi diberi amaran.

Mengulas lanjut, Ku Li berkata, beliau berdukacita kerana siasatan membuktikan gejala politik wang melibatkan ahli peringkat senior.

"Orang yang menawar diri adalah untuk jawatan nombor dua parti dan bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri (merujuk Mohd Ali). Kalau menang, bukannya (jawatan) di peringkat rendah.

"Jadi kalau benar bersalah patut dihukum, tidak boleh diberi amaran saja. Jadi kalau tak bersalah, patut dia dibenarkan bertanding.

"Jangan pilih ikan bilis saja...jerung lepas. Ada sesuatu yang tidak kena sama ada silap maklumat tak cukup, saya tidak tahu tapi pandangan orang ramai akan keliru," katanya.

Ditanya kebarangkalian Mohd Ali akan dibenarkan bertanding sekiranya rayuan beliau hari ini berhubung keputusan Lembaga Disiplin semalam diterima, Tengku Razaleigh berkata, hal itu akan menyebabkan tindakan yang diambil Lembaga semalam dilihat sebagai 'tidak kena'.

"Kalau begitu, ahli-ahli Lembaga Disiplin kena berhenti. Mereka sudah pun menjejaskan kedudukan seorang calon untuk bertanding.

"Tiba-tiba selepas rayuan didengar, dia dibenarkan bertanding. Jadi saya rasa, di mana nak letak muka (ahli-ahli Lembaga).

"Mereka semua kena letak jawatan. Kalau begitu, semua tindakan Lembaga tidak kena,"
katanya.

Ditanya sama ada Khairy perlu menarik diri daripada bertanding kerana melibatkan hal moral dan etika, Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak menyalahkan Khairy dalam hal itu sebaliknya hukuman itu sendiri yang sepatutnya dijatuhkan secara adil.

"Kalau betul bersalah, patut semua orang tidak boleh bertanding, patut dihukum.

"Tengok (Tan Sri) Isa Samad dihukum enam tahun. Kalau ada orang terlibat dengan politik wang patut dikenakan hukuman setimpal, tidak hanya amaran saja, patut digantung terus.

Dalam pada itu Datuk Seri Anwar Ibrahim mempetikaikan motif Lembaga Disiplin UMNO yang membuat penyiasatan terlalu dekat dengan pemilihan dimana persepsi atau motif bukan motif membersihkan politik wang di dalam UMNO.

Karpal Singh pul mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap pesalah-pesalah terutama Khairy Jamaluddin. Katanya bukan persoalan dia dibenarkan bertanding atau tidak, tetapi persoalan dia telah didapati bersalah. Politik wang termasuk di dalam lingkungan rasuah, dan ia sepatutnya di ambil tindakan.




Isu Untuk Bukit Gantang : Pak Lah Cuba Dijampi Musuhnya?

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan di parlimen terdapatnya laporan akhbar Sin Chew Daily, dimana polis menemui dua kertas putih dan sepotong kayu kecil, dipercayai dijampi, yang diselitkan secara misteri di bawah meja Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Umno.

Ketua polis daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman hari ini dilaporkan mengesahkan penemuan objek tersebut, tetapi beliau enggan memperincikannya.

Skuad pemusnah bom polis Kuala Lumpur menemui objek misteri itu dalam pemeriksaan rutin mereka beberapa hari lalu di bilik mesyuarat Umno di tingkat 39 bangunan ibu pejabat parti.

Menurut laporan Sin Chew Daily, skuad pemusnah bom polis Kuala Lumpur menemui objek misteri itu dalam pemeriksaan rutin mereka beberapa hari lalu di bilik mesyuarat Umno di tingkat 39 bangunan ibu pejabat parti.

Pemeriksaan itu dijalankan sebagai persiapan mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi (MT) sebelum bermula perhimpunan agung Umno, awal minggu depan.

Dua kertas putih, bersaiz kecil sehingga boleh dimuatkan di dalam mulut, mengandungi tulisan jawi dan kayu kecil yang dibalut kertas putih, lapor harian itu lagi.

Polis dilaporkan telah mengambil keterangan daripada tiga orang yang mempunyai kad akses ke bilik tersebut, termasuk dua anggota polis dan seorang pembantu politik yang bergelar Datuk.

Menurut laporan itu lagi, bilik itu tiada CCTV dan selain pemimpin politik, hanya pekerja pembersihan bangunan yang boleh masuk ke bilik tersebut.

Untuk kepastian lanjut, pasukan polis menghantar objek-objek kepada Jabatan Kimia. Hasil siasatan dilaporkan belum diketuai.

Mengulas laporan akhbar itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan bagaimana objek tersebut berada di bawah meja presiden Umno dan tidak diletakkan di bawah meja timbalannya Datuk Seri Najib Razak.


Agong Dirayu Tidak Perkenankan Najib Altantuya Sebagai PM

Akhbar Malaysianinsider hari ini melaporkan Datuk Zaid Ibrahim telah membuat satu permohonan kepada Yang Dpertuan Agong untuk tidak memperkenankan perlantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, tetapi sebaliknya melantik orang lain dari Umno "bagi menyelamatkan dari tebing kehancuran."

"Seseorang perdana menteri mestilah seseorang yang menerima keyakinan dari majoriti rakyat. Untuk tujuan tersebut tidak sepatutnya ada di dalam minda kebanyakan rakyat bahawa, samada ia benar atau tidak, mengaitkan beliau dengan perkara-perkara yang mempunyai unsur jenayah, salahlaku, atau salahguna kuasa," katanya di dalam satu ucapannya hari ini.

Kenyataan Zaid ini tentunya akan memberikan tekanan ke atas Najib yang sedang mempersiapkan diri untuk mengambil alih kuasa sebagai presiden UMNO minggu depan dari Datuk Seri Abdullah Badawi dan sebagai perdana menteri minggu berikutnya

Di dalam ucapannya, Zaid juga merujuk apa yang dikatakan pelbagai masalah yang belum pernah dibawa oleh mana-mana pemimpin negara sebelum memegang jawatannya.

Dia telah dikaitkan dengan pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu sekalipun beliau telah menafikan dan tidak ada bukti untuk mengikatnya terhadap pembunuhan tersebut.

Populariti Najib cuma 41 peratus, mengikut satu kajian bebas oleh Merdeka Centre.

Zaid berkata bukanlah beliau bermaksud untuk melakukan sebarang tuduhan, namun beliau merasakan Najib bukan merupakan seseorang yang boleh diterima oleh rakyat.

"Rakyat begitu ragu, ditambah pula dengan pelbagai tuduhan yang tidak berjawab. Ia bukan satu perkara yang remeh di dalam fikiran rakyat apabila cabaran terbuka telah dilakukan oleh seorang ahli parlimen terterhadapnya baru-baru ini, timbalan perdana menteri tersebut memilih untuk berdiam diri," tambahnya.

Zaid juga menyatakann RM400 juta komisyen yang dibayar oleh Kementerian Pertahanan sewaktu Najib menjadi menteirnya untuk pembelian kapalselam, dan menyatakan Abdul Razak Baginda, seorang rakan karib Najib merupakan ajen di dalam urusniaga itu.

Pembunuhan Altantuya juga disebut oleh Zaid, yang menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan yang tak berjawab yang mana masyarakat awam perlu mendapat tahu mengenainya.

Beliau juga menyifatkan rampasan kuasa di Perak sebagai malapetaka yang bukan kecil.

"Orang awam sekarang menuduh beliau menggunakan taktik-taktik licik dan kotor untuk memperolehi kuasa.

"Dengan kesemuanya ini dan banyak lagi yang lain, bagaimana kita dapat mengelak dari perasaan gelisah? Bagaimana kita nak tidur dengan tenteram di malam hari?"

Zaid berkata sekalipun Perlembagaan menetapkan Agong dikehendaki melantik seseorang yang menerima keyakinan dari ahli-ahli parlimen, namun ia adalah hal yang tertaluk kepada penilaian baginda.

"Tidak ada kewajipan perlembagaan untuk Agong melantik presiden Umno sebagai perdana menteri.

"Masih ramai yang berkelayakan dari Umno yang boleh dilantik sebagai PM bagi menyelamatkan negara dari tebing kehancuran."


Ali Rustam Kemuka Rayuan, Penyokong Persoal Keputusan Parti

Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam masih bertegas beliau tidak melanggar peraturan pemilihan UMNO sehari selepas Lembaga Displin parti melarangnya bertanding jawatan timbalan presiden atas kesalahan terbabit dalam rasuah politik.

Ali Rustam berkata beliau akan menyerahkan surat rayuan terhadap keputusan itu kepada Lembaga Displin, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib.

Bercakap pada sidang media di Melaka, Ali Rustam berharap rayuannya akan diterima untuk membolehkan beliau terus bertanding pada pemilihan parti minggu depan.

Ketua Menteri Melaka itu dilihat sebagai pilihan utama untuk jawatan Timbalan Presiden Umno yang membawa hadiah kerusi Timbalan Perdana Menteri. Ali Rustam dilihat sebagai mampu mengalahkan saingan Muhyiddin Yassin yang disifatkan sekutu utama Najib Razak.

Penyokong Ali Rustam melihat keputusan Lembaga Displin itu didalangi oleh pihak tertentu untuk memastikan pemilihan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO, sebagaimana yang diinginkan oleh Najib Razak.

Sidang akhbar oleh Mohd Ali dihadiri isteri beliau, Asmah Abdul Rahman, pemimpin Umno Melaka serta penyokongnya.

Ditanya mengenai perasaan beliau berhubung keputusan Lembaga Displin, Ali Rustam berkata: "Saya telah tegaskan kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin bahawa saya tidak bersalah tetapi jawatankuasa mendapati saya bersalah, jadi saya terima dengan hati terbuka".

Mohd Ali turut memohon maaf kepada penyokongnya dan meminta mereka supaya bertenang dan bersatu demi perpaduan parti.

Malam tadi, kira-kira 150 penyokongnya menemui Perdana Menteri setibanya dari Indonesia untuk meminta beliau mempertimbangkan keputusan melarang Mohd Ali daripada bertanding.

Kumpulan penyokong Mohd Ali itu merangkumi ahli dari Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak dan Pulau Pinang.

Ketua Umno Bahagian Batu Gajah Mohd Yusoff Kassim memberitahu pemberita, dalam pertemuan hampir 20 minit itu, Abdullah berjanji memikirkan perkara itu dan akan menemui Ali Rustam hari ini.

Mohd Ali didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga.

Lembaga Displin memutuskan bahawa Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan tiga ejennya yang didapati bersalah melakukan rasuah dan sogokan politik.

Mereka ialah Saadun Basirun, Rosli Hasan dan Zalina Ismail. Saadun dan Rosli adalah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Bukit Katil.Manakala Zalina adalah Naib Ketua Puteri Umno ahagian yang sama.

Ketiga-tiga mereka digantung keahlian selama satu penggal atau tiga tahun berkuatkuasa 12 Mac lalu.

Namun Ali Rustam sendiri tidak digantung keahliannya. Beliau juga kekal naib Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka walaupun didapati bertanggungjawab atas tindakan tiga ejennya itu menyogok wang.

Keputusan mengekalkan keahlian Ali Rustam dalam UMNO dan kerajaan sekali lagi memperlekehkan jaminan Najib Razak, kononya parti itu akan bertindak berani dan adil dalam menangani rasuah politik dalaman dan dalam kerajaan.

Ahli UMNO dan orang ramai tentunya sukar menerima langkah Lembaga Displin untuk hanya memberikan amaran kepada Khairy Jamaluddin walaupun beliau juga didapati bersalah mengikut peraturan yang sama. Alasan yang diberikan ialah kesalahan yang membabitkan Ahli Parlimen Rembau itu, tidak seberat kes Ali Rustam.

Jaminan Najib kononnya UMNO serius membendung rasuah politik sukar diterima oleh akar umbi parti dan rakyat.

Hakikat ialah Najib bingkas bertindak tetapi cuma apabila tindakan itu menguntungkan beliau atau sekutunya.

Laporan : TVAntara
Video : RTM1


Akta Hasutan Kembali Berfungsi Selepas 37 Tahun Tak Digunakan!

Selepas 37 tahun sejak 1972, kelmarin (17 Mac 2009) seorang lagi Ahli Parlimen didakwa di bawah Akta Hasutan. Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dihadapkan di mahkamah apabila menyuarakan hasrat mahu menyaman Sultan Perak dalam isu 'rampasa kuasa' pada 6 Februari 2009.

Pada dekad 1970-an Ahli Parlimen Menglembu Fan Yew Teng, menjadi Ahli Parlimen pertama didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan ketika pentadbiran Tun Abdul Razak. Beliau sekadar menyiarkan teks ucapan seorang aktivis Dr Ooi atas kapisiti pengarang organ partinya.

Teks ucapan Dr Ooi aktivis parti berkenaan di Pulau Pinang menyarankan bahasa pengantar di sekolah-sekolah Melayu disamakan dengan sekolah-sekolah lain. (Sekarang pun sarana itu mahu dilaksana oleh UMNO dengan dasar PPSMI). Fan Yew Teng didapati bersalah, justeru dijatuhkan hukuman di samping hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Ironinya, beliau menerima pencen sebagai ADUN Selangor, tetapi tak pula pencen Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen kedua yang didakwa di bawah Akta Hasutan, Ahli Parlimen Petaling Oh Keng Seng pada period Tun Abdul Razak juga awal dekad 1970-an. Oh Keng Seng didapati bersalah, justeru dilarang lima tahun tak boleh bertanding dalam pilihanraya. Beliau didakwa kerana berucap dalam pilihanraya kecil Rembau-Tampin (sekarang Tampin) tak mahu Askar Melayu dikekalkan, tetapu mewujudkan Askar Malaysia (sekarang pun Asklar Melayu sudah ditukar kepada Tentera Darat. Aduhai!).

Tun Musa Hitam tak didakwa apabila ucapannya mahu menutup sekolah jenis kebangsaan dianggap menghasut, tetapi Tan Sri Melan Abdullah (Pak Melan), Ketua Pengarang Utusan Melayu pula didakwa di bawah Akta Hasutan. Selepas kes-kes berkenaan tak lagi dikuatkuasa Akta Hasutan; apablagi Tun Razak meninggal dunia pada 1976. Karpal Singh Ahli Parlimen ketiga yang didakwa di bawah Akta Hasutan, sekalipun sebelumnya beliau pernah mahu menyaman Sultan Selangor pada dekad 1980-an, tetapi tak pula dikenakan Akta Hasutan.

Dato' Seri Nazri Aziz tak pula dikenakan Akta Hasutan apabila mendakwa Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tungku Naqiuddin mempunyai agenda apabila mendesak dipulihkan kekebalan raja-raja Melayu. Tun Dr Mahathir Mohamad tak juga didakwa di bawah Akta Hasutan apabila meminda perlembagaan pada 1993, dengan menghapuskan 'kekebalan raja-raja' (sebenarnya seperti dikehendaki oleh Malayan Union). Tak hairanlah Karpal Singh mentakrifkan dakwaan ke atas dirinya adalah bermotif politik.

Dharmala NS




Beberapa Keistimewaan Era Rasuah Sebelum Beralih Ke Era Najib Altantuya

UMNO menutup usia politiknya dengan mencipta Era Rasuah dalam politik Malaysia. Tidak perlu bercerita panjang tentang kehebatan UMNO dalam rasuah politik, yang menjadi kebanggaan para pemimpin dan ahli UMNO sendiri. Kata mereka, rasuah dalam parti-parti lain tidak diketahui, atau tidak dibincang secara terbuka, kerana parti-parti itu tidak telus dan tidak malu menutup rasuah dalam parti mereka.

UMNO lain, kata ketua-ketua UMNO dan ahli-ahlinya dengan bangga. UMNO telus dan jujur kepada rakyat, dengan mendedahkan keburukan di dalam UMNO supaya diketahui rakyat bahawa para pemimpin UMNO jujur dan tidak takut mendedahkan perangai rasuah mereka.

Inilah keistimewaan pertama UMNO pada saat-saat terhapusnya parti Melayu ini. Memang istimewa, kerana selama ini UMNOlah yang paling berapi-api menafikan adanya rasuah di kalangan mereka. Tidak ada politik wang, kata mereka dengan bangga.

Sekarang pula, mereka berkata dengan bangga: “Kita mengaku terdapat politik wang, tapi bukan rasuah. Kita telus dan jujur memberitahu rakyat kita pun sama dengan orang lain sukakan wang yang mudah diperoleh dengan adanya kuasa memerintah negara. Siapa boleh cabar kita? Kita boleh tumbangkan mana-mana kerajaan pembangkang yang tidak rasuah.”

Inilah keistimewaan UMNO yang patut dibanggakan: Tidak saja UMNO melaksanakan pembangunan negara, malah lebih istimewa lagi UMNO juga kini mengaku mereka melaksakan rasuah dalam negara dengan teratur dan menurut undang-undang. UMNO sangat tegas dalam melaksanakan undang-undang ini.

Satu sejarah baru telah dimulai oleh UMNO untuk mengugut lawan politiknya. Inilah keistimewaan kedua Era Rasuah UMNO. Seorang Ahli Parlimen digantung satu tahun tanpa gaji dan elaun kerana menuduh Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak terbabit dalam isu Siti Altantuya yang malang itu, yang datang dari Monggolia mencari kekasihnya dan wang sagu hati kerana telah melaksanakan tugas dengan baik dan memuaskan.

Penggantungan ini istimewa kerana motifnya untuk melampiaskan kemarahan UMNO terhadap Ahli Parlimen berkenaan dan bapanya yang tidak mengikut undang-undang walaupun beliau dan bapanya seorang peguam.

Tidak perlu mengikut peraturan biasa dalam melaksanakan penggantungan itu, kata Menteri yang membawa usul penggantungan itu dalam Dewan Rakyat. Peraturan dan undang-undang hanya melambatkan tindakan yang perlu disegerakan demi kebaikan rakyat dan demi menjaga maruah ketua UMNO yang difitnahkan. Inilah kehebatan Era Rasuah UMNO, yang menguasai Dewan Rakyat sejak Malaysia merdeka.

Yang paling istimewa di atas segala-galanya ialah usaha gigih UMNO menjadikan bahasa Inggeris bahasa glokal (?) Malaysia melalui pelaksanaan PPSMI, walaupun projek ini bertentangan dengan undang-undang yang diluluskan oleh UMNO sendiri (kata orang bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan menyalahi Akta Pelajaran).

Kata Dr. Mahathir Mohamed, hero UMNO yang melaksanakan PPSMI itu, bangsa Melayu mesti maju dalam ilmu sains dan teknologi dan matematik, yang hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris. Rugi besar orang Melayu jika tidak tahu bahasa Inggeris, malah tidak cukup patriotik dan tidak nasionalistik sepertinya jika hanya tahu bahasa Melayu. Bahasa Inggeris kepunyaan semua manusia, termasuk orang Melayu.

Itu bahasa dunia. Zaman dulu, kata hero Melayu UMNO ini, orang putih dari Eropah belajar bahasa Arab kerana nak tahu ilmu-ilmu yang maju ketika itu yang tertulis dalam bahasa Arab. Ketika itu orang Eropah pandai berbahasa Arab dan semua mereka dapat memahami ilmu matematik, aljibra, ilmu perubatan kerana mereka belajar bahasa Arab.

Ketika itu sudah ada PPSMA dilaksanakan oleh kerajaan Eropah. Tidak ada yang membantah kerana yang betul-betul mendalami bahasa Arab hanya beberapa kerat ilmuan mereka, bukan semua rakyat Eropah seperti kini semua orang Melayu mesti tahu cakap Inggeris. Itulah keistimewaan Melayu yang dipimpin oleh UMNO.

Dalam Era Rasuah UMNO yang serba mungkin ini, hero Melayu yang istimewa ini (yang pernah dipanggil superman oleh Subki Latif dalam majalah Mastika lama dulu) adalah satu-satunya pemimpin UMNO yang tidak rasuah sedikit pun, malah dengan penuh jujur dia melepaskan jawatannya (sambil menangis terisak-isak dalam perhimpunan UMNO yang bersejarah itu) kepada penggantinya Mr. Clean yang kemudiannya dikutuknya sebagai Raja Rasuah yang mencipta Era Rasuah UMNO. Sungguh istimewa para pemimpin UMNO ini, kerana mengikut hero Melayu ini, seorang pemimpin UMNO boleh berubah sekelip mata dari Mr. Clean kepada Raja Rasuah.

Maka berwasiatlah hero Melayu ini kepada pengganti Mr. Clean alias Raja Rasuah supaya jangan ambil ketua-ketua UMNO yang rasuah yang semua orang tahu memang rasuah menjadi menteri dalam Kabinetnya, supaya UMNO tidak kalah besar dalam pilihan raya dan hapus dari arena politik Malaysia.

Ini satu keistimewaan yang sangat pelik: biasanya orang dari jahat menjadi baik, tetapi UMNO terbalik, dari “baik” menjadi jahat. Tidakkah rasuah itu jahat? Baiknya UMNO ialah para pemimpinnya mengaku mereka rasuah. Itulah kutukan terbesar yang boleh menimpa manusia apabila mereka dengan sedar mengaku kejahatan mereka dan meneruskannya dengan bangga kerana sangka mereka itulah kejujuran paling agung yang perlu dikekalkan. MashaAllah! (17/3/2009)

Mohd Affandi Hassan

Unity Government, Panggilan Yang Melecehkan Kemenangan Islam

Lupakan saja Kerajaan Perpaduan. PAS takkan begitu mudah lupa dengan peristiwa Kerajaan Campuran dan Kerajaan Barisan Nasional.

Tengku Razaleigh Hamzah mengalu-alukan Kerajaan Perpaduan. Alasannya jelas. BN sudah tidak berupaya memerintah. Pembangkang juga tidak berupaya memerintah. Kerajaan tajaan BN sudah hilang legitimacy. Maka dengan itu dibolehkanlah Kerajaan Perpaduan untuk memandu keluar Negara ini dari pelbagai kekalutan.

Kekalutan yang berlaku di Negara ini adalah angkara UMNO. UMNO yang semakin lemah menjadi semakin garang untuk mempastikan ia terus berkuasa. Memang tidak ada letgitimacy lagi! Mereka merasuah dan mengugut. Dengan berbuat begitu mereka semakin kehilangan sokongan dari rakyat, mereka akan kalah dari satu pilihanraya kecil ke satu pilihanraya kecil yang lain.

Malangnya UMNO tidak mahu menerima hakikat bahawa rakyat berbilang kaum tidak selesa dengan kepimpinan UMNO. Terus terang dikatakan bahawa rakyat tidak suka kepada Najib Tun Razak. Selagi Najib mengepalai UMNO dan BN, parti itu akan kecundang dari pilihanraya ke pilihanraya.

Ini bukan salah siapa. Ini salah Najib sendiri. Dia tidak mahu membersihkan diri dia. Banyak skandal dituduhkan kepada dia. Entah betul entah tidak, tidak dapat ditentukan tetapi selagi siasatan secara profesional tidak dapat dijalankan terhadap skandal-skandal ini selagi itulah nama Najib dianggap kotor, dan orang yang kotor tidak layak memerintah Negara ini.

UMNO jangan fikir tentang sokongan dari partinya sahaja. Orang masuk UMNO ada berbagai sebab, nak ini dan nak itu, takut ini dan takut itu, kerana Kerajaan UMNO ini telah meninggalkan satu budaya bahawa jika anda bukan ahli UMNO anda tidak dapat ini dan tidak dapat itu. Maka orang ramai masuk UMNO kerana mahu ini dan mahu itu, tetapi bukan kerana keyakinan terhadap UMNO jauh sekali mahu menyokong pemimpin-pemimpin UMNO.

Tidakkah UMNO sedar bahawa ahli-ahli UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP disesuatu kawasan pilihanraya (parlimen atau negeri), adalah jauh lebih tinggi dari undi yang mereka dapat? Sedangkan ahli-ahli pembangkang tak sampai 1/8 daripada keahlian UMNO, tetapi pembangkang boleh memenangi pengundian dikawasan berkenaan. Ini jelas bahawa mereka yang menjadi ahli UMNO/MCA/MIC/Gerakan/PPP adalah ahli secara luaran saja, kerana mereka takut ini dan takut itu dan mahu ini dan mahu itu, dan semasa pilihanraya mereka mengundi mengikut kesedaran sebenar.

Untuk apa Kerajaan Perpaduan? Untuk memberikan legitimacy kepada UMNO? Untuk memperkukuhkan UMNO kembali seperti apa yang berlaku kepada Kerajaan Campuran/Barisan Nasional? Dan setelah UMNO itu kukuh kembali, maka akan dicampak keluar PAS?

Ataupun memang PAS berhajat untuk bersama Barisan Nasional dan mendapatkan sedikit habuan jawatan seorang dua Menteri dan Timbalan Menteri? Ayuhlah, kalau begitu.

Takkanlah kita tidak menyedari bahawa UMNO ini sudah menyimpang jauh dari dasar untuk Negara, Bangsa dan Agama. Takkanlah kita tidak menyedari bahawa UMNO ini berjuang untuk segelintir orang kaya dan pimpinannya sehingga kini ditolak oleh rakyat, dan kehancuran yang berlaku ini perlu kita memberikan pertolongan kepada UMNO!

Negara ini terkenal dengan gejala rasuah. Siapa dan apa benda tindakan yang telah dilakukan yang menyebabkan Negara ini menjadi Negara hebat rasuah! Tidak ada penyiasatan yang betul-betul profesional yang dijalankan untuk menghapuskan rasuah. Rasuah menjadi isu politik. Orang Pembangkang diikatkan dengan allegasi rasuah untuk “memampuskan” mereka!

Rasuah berprofil tinggi, walaupun sudah dinyatakan didalam Parlimen, tetapi usahkan nak dibawa ke Mahkamah, siasat pun tidak?

UMNO menjadi parti rasuah. Secara rasminya 900 allegasi rasuah dicatatkan untuk pemilihan yang akan berlangsung tidak lama lagi, tetapi rasuah didalam UMNO sudah berakar umbi. Jawatankuasa Disiplin UMNO dan SPRM tidak akan mampu menghapuskan rasuah didalam UMNO.

UMNO mengujudkan Kerajaan yang membelakangkan integriti. Rakyat sangat sedar akan hal ini, dan rakyat menolak kerajaan UMNO. Usahkan rakyat bahkan rakan-rakan UMNO sendiri dari MCA, MIC, Gerakan dan PPP sudah melahirkan perasaan tidak keyakinan kepada UMNO. Mereka bukan saja kritikal terhadap perilaku UMNO, mereka mahu banyak dasar yang dipelopori UMNO dirombak.

Rakyat mahukan integriti untuk sistem kehakiman. Rakyat mahukan ketelusan didalam pentadbiran, rakyat menolak kerja-kerja rasuah mereka, dan rakyat mahukan sistem demokrasi yang tulen dan luas.

UMNO tidak lagi mewakili kepentingan rakyat tetapi kepentingan peribadi pemimpin-pemimpin mereka serta kroni-kroni mereka. Dan UMNO bertanggungjawab kepada kesengsaraan rakyat bawahan yang menanggung harga barangan yang tinggi hasil sistem ekonomi yang tidak berhemah.

UMNO kini berada diambang kejatuhan, dan kita tidak benarkan mereka terjun dengan labu-labunya, kerana harta negara berada didalam labu-labu itu. Kita kena selamatkan Negara kita dan bolehkah kita selamatkan Negara ini jika kita “berpadu” dengan mereka?

Lupakanlah saja Kerajaan “Perpaduan”. Kita buat kerja kita dan PRU-13 bukanlah terlalu lama untuk kita menunggu, dan pada PRU-13 nanti, kita ambil-alih pentadbiran Negara ini dan perintahlah dengan penuh saksama, adil dan berhemah.

dari: sidangonline

ULASAN GB

Sebenarnya isu tersebut tidak perlu diulas panjang lagi. Jawapan masyarakat sudah cukup untuk membuktikan idea itu ditolak.

Jika masih ingin terus memproklamirkan idea tersebut adalah terlebih baik yang termasuk di dalam kumpulan 3% yang menyokong itu menyertai UMNO. Itu jalan paling mudah. Tak perlu susah-susah untuk cipta satu utopia yang hanya indah pada sebutan tetapi hakikatnya ia sama sekali tidak akan tercapai.

Kezaliman yang dilakukan oleh BN selama ini terhadap kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh tiba-tiba dikompromikan dengan pewujudan Unity Government sementelah lagi kita tidak cukup bijak untuk menandingi strategi Rasulullah di dalam bernegara. Jika tidak sudah pasti Rasulullah merupakan orang pertama mewujudkan Unity Government sewaktu kezaliman Quraisy Mekkah tertimpa kepada umat Islam.

Kezaliman dan kemungkaran tidak boleh dihapuskan dengan kita kononnya menjadi pentadbir bersama, dengan entiti politik yang masih berbeza. Jika demikian apa gunanya berpilihanraya lagi? Di mana pengertian jihad kecuali jihad untuk mengejar keduniaan yang menjadi matlamat Kerajaan Unity ini?

Juga, kerajaan unity ini adalah satu penempelakan dan penghinaan terhadap para syuhada yang telah mengorbankan darah dan nyawa untuk Islam zaman berzaman.

Jika ada kerajaan yang sedemikian di dalam Al-Quran dan Sunnah, sila buktikan, kami sedia menimbangkan malah mengikuti dan mendokonginya. Namun jika tidak ada, maka kembalilah ke pangkal jalan setelah jalan yang menyesatkan itu diwarwarkan untuk memecahbelahkan ummah seadanya.

Yang lebih utama perbaiki diri dan parti supaya kita bertambah perkasa untuk diterima oleh rakyat sebagai pemerintah negara. Perbaiki diri wakil-wakil rakyat yang kita ada. Tidak ada apa-apa makna jika bercakap berdegar-degar tentang Kerajaan Unity, tetapi semasa seorang ahli Pakatan Rakyat sedang menerima usul untuk digantung di Dewan Rakyat, mereka tidak ada untuk bersama menentang kezaliman yang menimpa. Sama juga disaat ketika mana kerajaan Perak dirampas kuasanya, mereka sedang berada di luar negara pula. Itukah contoh teladan yang ditunjukkan kepada rakyat jelata? Itukah cara memimpin bagi seorang yang bergelar ketua? Kemudian pulang untuk berucap berapi-api di pentas untuk buktikan aku masih setia sedangkan yang tinggal masa itu hanyalah sisa-sisa yang sudah tidak mempunyai makna apa-apa!

Bukan tugas yang disuruh Allah untuk kita mendengar atau mencipta panggilan di kiri kanan jalan yang melecehkan kejayaan perjuangan Islam sebenarnya sepertimana syaitan yang telah cuba melecehkan perjalanan Rasulullah ke siratul-muntaha di dalam peristiwa Isra Mikraj satu ketika. Perjuangan haq menentang batil akan tetap ada sepanjang masa. Dan bukan tugas kita untuk meneroka jalan singkat ke syurga. Ia sama sekali tidak akan terjumpa. Jalan singkat yang bernama kerajaan perpaduan itu hanya ilusi semata-mata!