10 Mac 2009

Najib Perlu Ikhlas Ajak Pembangkang Fokus Ekonomi

Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun razak mengajak "kerajaan dan pembangkang memberi fokus kepada ekonomi dan rakyat."

"Kita sudah mula kedengaran suara rakyat yang mahu kerajaan dan pembangkang untuk mengutamakan usaha memulihkan semula ekonomi negara dalam keadaan kegawatan ekonomi global dan mengetepikan kemelut politik.

"Saya sendiri menerima saranan ini dengan hati yang terbuka," kata beliau ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) di Dewan Rakyat petang tadi.

"Timbalan Perdana Menteri berkata "kita perlu peka kepada saranan rakyat yang semakin lantang dan kerap diutarakan supaya kerajaan dan pembangkang memberi fokus kepada ekonomi dan rakyat."

"Saya menyeru semua pihak termasuk rakan-rakan sama ada di sebelah sini dan di sebelah sana serta setiap lapisan masyarakat agar berganding bahu dan berusaha gigih untuk mengembalikan ekonomi negara ke landasan pertumbuhan yang lebih kukuh serta mapan," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Beberapa orang pemimpin pembangkang menyatakan bahawa Najib perlu jujur dan ikhlas dengan seruannya itu.

Ini kerana beliaulah yang bertanggungjawab yang menimbulkan kemelut politik yang berlaku di Perak.

"Najib perlu berani mengakui bahawa beliau merupakan orang yang telah menjadikan negeri Perak huru-hara dan perlu merafak sembah Sultan Perak memohon supaya DUN dibubarkan dan pilihanraya di adakan semula," kata seorang pemimpin PAS hari ini mengulas kenyataan Najib yang meminta semua pihak memberi fokus kepada masalah kegawatan ekonomi.

"Bagaimana mungkin selepas beliau merampas negeri orang kemudian meniup wisel untuk menamatkan permainan dan kemudian mengajak untuk berbaik-baik untuk mengalihkan pandangan kepada isu ekonomi?" tambahnya lagi.

Najib telah mengisytiharkan pembentukan Kerajaan BN setelah beliau didakwa berjaya menculik dan menyogok beberapa orang ADUN PKR dan DAP untuk melompat sebagai ahli Bebas yang menyokong BN awal bulan lalu.

Kesan daripada rampasan kuasa itu negeri Perak telah berada di dalam keadaan huru-hara sehingga hari ini dengan diperburukkan oleh penolakan pihak Istana untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihanraya semula bagi mendapat semula keputusan dan mandat rakyat tentang kerajaan yang dipilih oleh rakyat, bukan ditentukan oleh cara yang lain daripada apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.

"Ini negara demokrasi, kedaulatan Undang-undang perlulah dipelihara, jika institusi raja sesuka hati mendengar kata-kata pihak tertentu sahaja, lain kali tak payah ada pilihanraya. Sultan lantik saja kerajaan mana yang baginda mahu untuk mentadbir negeri. Bolehkah begitu?" kata seorang rakyat Perak yang kecewa dengan senario politik yang berlaku di negerinya yang menjelaskan terdapa pihak yang terang-terangan membelakangkan Perlembagaan Negara.

Najib seelumnya telah membentangkan budget tambahan untuk tempoh dua tahun bagi menghadapi kemelut ekonomi semasa berjumlah 60 Billion.

Pada awalnya Malaysian Insider meramalkan 50 Billion sementara beberapa pihak lain menganggarkan 10 Billion sahaja.

Ketika membentangkan pakej rangsangan itu, yang kedua seumpamanya dalam tempoh lima bulan, Najib berkata, pakej untuk tempoh dua tahun itu mengandungi empat teras iaitu:

- mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan

- meringankan beban rakyat terutama golongan mudah terjejas

- membantu sektor swasta menghadapi krisis dan

- membina keupayaan masa depan

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor didalam ulasannya menyatakan bahawa kebimbangan utama "kebocoran" yang berlaku di dalam aliran ekonomi disamping sistem penyampaian dan pengagihan kontrak dilakukan.

Sementara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan apa yang diumumkan tidaklah begitu memberangskan kerana ia cuma memperbaiki keadaan kadar pertumbuhan dari -0.1% kepada +0.1%. Keadaan "best case scenario" ialah 0.1% masih belum mampu untuk mengatasi kemelesetan ekonomi.


Harapan Rakyat Untuk Perubahan

PERUBAHAN. Apa itu perubahan? Semua orang suka bercakap tentang perubahan. Daripada menteri hinggalah kepada rakyat. Tidak kira Umno mahupun DAP- semuanya mahu dilihat membawa perubahan. Agenda perubahan merupakan senjata paling ampuh dalam politik- terutamanya di Malaysia.

Rakan perubahan ialah HARAPAN. Harapan wujud apabila perubahan dijanjikan. Harapan juga boleh musnah apabila janji perubahan tidak dikotakan. Apabila harapan telah musnah, pasti ada pihak yang akan dihukum.

Keputusan PRU 12 telah membuktikannya. Orang ramai telah menghukum Barisan Nasional kerana gagal membawa perubahan yang dijanjikan.

Tetapi pada masa yang sama, harapan baru juga boleh muncul. Harapan baru datang apabila harapan lama telah terkubur. Dalam hal ini, Pakatan Rakyat dilihat sebagai harapan baru dalam meneruskan agenda perubahan di 5 buah negeri. Pakatan Rakyat juga dilihat mampu mendesak Barisan Nasional untuk membawa perubahan dari segi pengurusan kerajaan dan ekonomi di peringkat Pusat.

Berbalik kepada perubahan. Apabila ada pihak yang membawa perubahan, pasti akan ada pihak yang cuba menghalang atau mengkritik. Ini perkara biasa dalam kehidupan.

Untuk kita memahami perkara ini tidak susah. Sila perhatikan isu pemberian tanah di Perak. Bagaimana kerajaan Pakatan telah melakukan perubahan dengan memberikan geran tanah kepada penduduk kampung. Perkara ini adalah selari dengan harapan orang ramai di Perak. Tetapi usaha ini telah dimanipulasikan serta dihalang oleh kerajaan pusat Barisan Nasional.

Dalam isu air di Selangor, bagaimana kerajaan pusat sekali lagi cuba untuk mengsabotaj usaha kerajaan Pakatan dalam mengambil alih syarikat pembekal air. Langkah ini telah menghalang kerajaan negeri dalam melakukan perubahan untuk meringankan beban rakyat.

Begitu juga di Pulau Pinang dalam isu Jambatan Kedua. Semua pihak faham jambatan kedua ini penting dalam pertumbuhan ekonomi zon utara- lebih-lebih lagi Pulau Pinang. Tetapi apa yang berlaku selepas kerajaan negeri bertukar tangan, kerajaan pusat telah melewatkan malah ada cubaan untuk membatalkan projek ini.

Ini merupakan beberapa contoh perubahan yang cuba dihalang daripada dilaksanakan.

Perubahan juga masih boleh dilaksanakan walaupun sudah terlewat. Lewat tidak bermakna tidak boleh berlaku. Kerana di akhirnya orang ramai ingin melihat perubahan itu dilaksanakan, Dan inilah yang berlaku di peringkat pusat.

Kita ambil contoh bagaimana kerajaan Barisan Nasional telah membuat pindaan terhadap Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU). Perubahan ini telah membenarkan mahasiswa di negara untuk lebih bebas berpolitik dan bersuara. Langkah ini adalah selari dengan perubahan yang dituntut oleh orang ramai setelah sekian lama.

Kerajaan Pusat juga telah melakukan satu lagi perubahan- walaupun sudah terlewat. Pendedahan perjanjian konsesi tol telah membuktikan kerajaan Barisan Nasional mendengar harapan rakyat yang mahukan kerajaan lebih telus. Harapan orang ramai ini memang sudah lama didengari. Walaupun baru sekarang kerajaan bersetuju membuat perubahan, ia tetap memberi petunjuk bahawa perubahan telah berlaku.

Ini merupakan contoh perubahan yang berlaku walaupun mengambil masa dan terlewat.

Setahun selepas 8 Mac 2008, harapan orang ramai masih menggunung. Harapan menggunung ini timbul kerana perubahan yang dilakukan baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat masih belum cukup baik.

Dan harapan ini juga akan musnah sekiranya perubahan yang dijanjikan kedua belah pihak tidak dilaksanakan.

Setahun berlalu, empat tahun masih ada untuk perubahan dilaksanakan.

Mohd Fakhruradzi Tajuddin
Malaysian Insider

SIAPA MB BONEKA - NIZAR ATAU ZAMBRY?

Perak sebuah negeri dengan 2 Menteri Besar. Seorang tulen seorang boneka.

Yang tulen ialah yang datang bersesuaian dengan Kerajaan yang dipilih oleh rakyat mengikut peraturan yang terkandung di dalam Undung-undang tubuh negeri Perak. manakala yang boneka ialah yang didatangkan dari tempat bernama Antah Berantah yang kerajaannya ditegakkan bukan dengan pilihan rakyat tetapi dimasyurkan selepas satu rampasan kuasa paling jijik di abad ini.

Tidak terlalu sukar untuk mengetahui yang mana tulen dan yang boneka. Ujian penentuan boleh dilakukan dengan melangkah semula ke gelanggang rakyat untuk kedua-dua kerajaan. Yang benar dan yang tulen tentu berani berhadapan dengan rakyat sementara yang palsu/boneka ialah yang kecut, yang takut dan yang kalut untuk kembali ke gelanggang rakyat.

Zambry boneka siapa? Boneka kepada dalang yang merampas kuasa. Boneka kepada yang memasyurkannya secara tiba-tiba. Boneka kepada kepalsuan yang bermaharajalela.

Biasanya si boneka sama seperti orang gila. Orang gila tak pernah mengaku dia gila sebaliknya menuduh orang lain yang gila. Begitulah si boneka. Dia tidak akan mengaku dia boneka. Dia akan tuduh orang lain sebagai boneka untuk memasuk bakul kemudian cuba mengangkat martabatnya sendiri mendabik dada "akulah yang berkuasa" sedang dunia sedang memperhatikan gelagatnya. Tapi sampai bila?

Sampai dia terkencing sendiri di dalam bakul kerana cuba melonjak-lonjak untuk mengangkat bakul yang sedang didudukinya.

Atau sampai si dalang itu didedahkan peranan jahatnya. Perkara jahat tak boleh tersimpan lama. Bangkai gajah tiada nyiru boleh menutupnya. Lambat-laun pasti akan terbongkar jua. Mana dia mahu lari agaknya?

Atau hidayah turun ke pihak Istana supaya melihat suasana rakyat dengan mata kepala. Jika tidak maka menjadi kenyataanlah nanti titah Sultan Perak sendiri yang pernah berkata : takhta boleh berpindah ke muzium dari Istana apabila takhta berlaku zalim aniaya kepada rakyatnya.

Tidakkah malu memakai pakaian yang bukan untuknya walaupun mendapat titah di raja paling istimewa?

Sepatutnya dia berkata: "Ampun Tuanku, pakaian kebesaran berpermata MB ini bukan untuk patik, kerana tiadalah layak untuk patik menyarungnya. Nanti patik dihina oleh sekalian rakyat tatkala bersua mereka kerana sekalipun Tuanku yang diberikan kuasa memperkenannya namun tanpa restu rakyat, apalah ertinya!"

..

Zambry dan BN Perak Tetap Hancur!


Dilaporkan 5,000 orang menghadiri sambutan 1 tahun Pakatan Rakyat di Perak malam tadi yang diadakan di Dewan Tow Boo Keong.

Kebanyakan pemimpin tertinggi Pakatan rakyat perak hadir termasuklah MB yang sah Nizar dan Lim Kit Siang.

Tetapi yang menjadi tumpuan malam tadi tidak lain ialah YB Speaker V.Sivakumar, seorang yang telah memperkenalkan kepada negara ini tentang Pokok Demokrasi setelah memulakan persidangan tergempar dewan undanga negeri Perak di bawah pokok sena pada 3 Mac 2009. Masing-masing menghargai sumbangan Sivakumar, dengan para hadirin di dalam dalam semua berdiri hormat dan memberikan tepukan gemuruh.

Sepanjang malam itu, ucapan-ucapan berkisar pada tema yang serupa: tuntutan ke arah pilihanraya, kisah Najib yang merupakan dalang kepada mereka yang melompat dan mengapa beliau tidak boleh menjadi PM. Sentimen yang melanda sepanjang malam selama ialah, sekurang-kurang mereka yang hadir, tetap inginkan Pakatan Rakyat berkuasa di negeri Perak. Ia dapat dikesani tatkala mereka memberikan respons kepada ucapan-ucapan yang dibuat samada oleh pemimpin DAP, Keadilan atau PAS.

..

ALTANTUYA, PONTIANAK & POLITIK PERAK

Orang Melayu yang masih percayakan hantu, meskipun sudah menjadi ketua parti yang kaya raya dan memegang jawatan politik yang menguntungkan, tidak teragak-agak untuk membuat kesimpulan bahawa apa yang berlaku di Perak sekarang adalah angkara Altantuya, yang kini sudah menjadi pontianak. Menurut kepercayaan orang Melayu, pontianak dapat dihidupkan kembali untuk menjadi perempuan cantik dengan mencabut paku di tengkuknya. Masalahnya sekarang, orang yang akan mencabut paku itu belum tentu menjadi pilihan Altantuya, kerana sudah serek ditipu semasa hidupnya.

Maka kata bomoh-bomoh Melayu yang memang pandai menjampi walaupun dia tahu jampi itu tidak menghasilkan apa-apa, negeri Perak yang kini sudah menjadi pontianak dalam politik Malaysia boleh diselamatkan jika paku yang ditanam di tengkuknya dicabut oleh orang yang berbuat angkara. Kata ahli politik pula, tak perlu cabut apa-apa paku pun, cukup dengan membubarkan DUN Perak dan biarkan hantu-hantu yang berkeliaran di Perak membuat pilihan sendiri siapa yang mereka mahu jadikan ketua mereka. Kata ahli politik lagi, masalah ini terjadi kerana para pengundi hantu di Perak diikat kaki tangannya dalam PRU 12, Mac 2008, oleh itu tidak boleh mengundi untuk tuan-tuan mereka yang memang memelihara mereka dengan baik selama ini.

Dalam peristiwa pelik yang menimpa Altantuya, rakyat Malaysia diminta dengan rayuan yang amat sedih oleh pontianak Altantuya supaya beliau diberitahu apakah sebabnya dia dibunuh dan diletupkan. Mengapa berahsia sangat tentang dirinya yang malang itu, padahal dia orang luar yang datang ke Malaysia mencari tuah, tidak patut dibunuh dan diletupkan? Dia hanya menjadi kekasih orang yang disayanginya. Sekarang baru dia tahu orang yang disayanginya itu sebenarnya tidak sayangkan dia, maka dibunuh tapi ceritanya terus jadi semakin panjang.

Maka kata Altantuya, aku sumpah negeri Perak menjadi pontianak seperti aku kerana orang yang merampasnya tidak pun mencintai negeri itu, tapi dibuat kerja jahat itu kerana tamakkan kuasa semata-mata. Maka berkawan baiklah dua jenis pontianak ini dan kedua-duanya membingungkan orang Melayu, sudah tak tahu apa nak buat lagi apabila jampi bomoh tidak berkesan langsung. Hanya satu cara saja boleh diselesaikan, cabut paku di tengkuk pontianak Perak supaya Siti Perak yang cantik, secantik Altantuya itu, dibenarkan memilih sendiri kekasihnya, bukan lagi ditentukan oleh peraturan perlembagaan hantu-hantu politik.

Tetapi khalifah kepada segala hantu tidak setuju, kerana menurutnya dia punya kuasa mutlak untuk menjadikan seseorang itu pontianak atau tidak. Akibatnya Siti Perak yang tersiksa terus mengilai dengan suara nyaring, siang malam, tak kira waktu lagi, boleh didengar dari barat ke timur, dari utara ke selatan di seluruh dunia. Bukan saja mengilai-ngilai seperti perempuan gila, tetapi kini sudah mendedahkan dirinya tidur di bawah pokok rendang untuk ditonton kecantikannya di seluruh dunia. Telanjang bulat, tak mahu pakai apa-apa lagi. Sudah marah betul nampaknya. Makin gila bomoh-bomoh politik menjampi, sampai dibawa ke teratak Hakim Bistari di pinggir Sungai Perak untuk disiumankan kembali. Tidak berjaya juga. Tidak ada undang-undang atau apa-apa peraturan sekalipun yang boleh mententeramkan pontianak Siti Perak yang sedang menangis terisak-isak di riba pontianak Altantuya.

Celaru betul dibuatnya bila hantu-hantu buat pasal. Kata penganalisis politik yang bijak bistari, kini hantu-hantu pun mempunyai daulat, tidak boleh diderhakai, mesti diberi salut cara hantu berdaulat, “Minta lalu Datuk Hantu, cucu datuk nak lalu pergi cari emas dalam hutan Perak. Bolehkah Datuk?” Walaupun hantu tidak pernah menjawab apa juga permintaan, orang Melayu yang cerdik terus saja meredah hutan mencuri emas dan lain-lain galian berharga. Pontianak Altantuya dan pontianak Siti Perak yang melihat kerakusan anak cucu hantu itu, berasa serabut perut nak muntah melihat kelakuan rakus mereka berkelahi sesama sendiri berebut tanah hutan yang belum tentu ada bijih emas.

Maka merayulah pontianak Altantuya sambil menangis tersedu-sedu, “Ampunkan hamba Puteri Siti Perak. Sembah hamba sembah derhaka. Hamba tak mahu lagi duduk di Malaysia. Tolonglah cabutkan paku di tengkuk hamba kerana hamba nak jadi manusia yang sempurna balik. Sekurang-kurangnya hamba boleh mencari kekasih baru di tempat lain pula …” Pontianak Siti Perak pun menangis terisak-isak sambil bertitah dengan suara lemak merdu penuh daulat yang syahdu, “Aku tak boleh buat apa-apa. Mana aku tahu kamu cakap benar nak tinggalkan Malaysia?

Sekiranya kamu terus gilakan kendak kamu, aku hendak diletak di mana? Walaupun aku pontianak, aku ada maruah macam kamu juga. Tapi kendak kita tak ada maruah. Bukan saja kamu diletupkan, rekod kamu datang ke mari pun dihapuskan. Sebenarnya kamu tidak ada di sini. Kamu tak wujud pun. Tak ada rekod langsung. Pontianak pun ada rekod, tapi tidak kamu sebagai Altantuya. Baiklah kamu tak usah jadi manusia lagi. Sia-sia dan menyusahkan. Tapi kalau kamu berkeras juga masih ingin jadi manusia yang akan terus dirogol, duduklah di Pahang, negerinya besar tebal pula hutannya.

Orang-orang kaya dan bangsawannya sukakan perempuan cantik seperti kamu, jadi kamu tak perlu takut tak dapat pelanggan. Tapi aku mau kasi ingat, ada di antara orang kaya-kaya mereka yang badannya berbau busuk, memang busuk sungguh-sungguh. Tanyalah pontianak Noritta dari Perlis siapa di antara orang kaya yang berbau busuk itu. … Sekarang mari kita usik kendak kita yang jahat perangai itu …” Kata nenek tua yang sukakan cerita-cerita hantu, cerita dua orang pontianak itu benar-benar memberi keinsafan dan peringatan kepada manusia. Orang baik-baik tidak semestinya tidak boleh jadi pembunuh atau perogol.

Kalau boleh hantu yang cantik-cantik pun hendak mereka rogol juga supaya puas nafsu jahat mereka. Hatta kata nenek tersebutlah asal usul kerajaan hantu di Palembang zaman dulu kala. Maka datanglah perlente Keling ke Palembang, mencari negeri untuk dibuat negara. Maka bertemu dengan penghulu Melayu yang bernama Demang Lebar Daun yang sangat lebar daun telinganya, menandakan kecerdikannya. Maka disembah oleh Melayu akan perlente Keling itu, seperti kisahnya dalam Hikayat Sejarah Melayu. Maka dia sudah naik berahi melihat anak-anak dara Melayu yang berkemban, tak tahan lagi nafsu Kelingnya, seperti Tun Ali gilakan Tun Kudu adik Tun Perak walaupun ketika itu jadi bini raja, hingga diceraikan sultan supaya puak Keling berdamai dengan puak Melayu zaman Melaka.

Lalu dirogolnya semua sekali 39 orang anak-anak dara pertuanan Melayu melalui perkahwinan segera (instant marriage). Esok hari dia cerai, membuat Melayu jadi takut kepada daulat perlente Keling itu. Maka setelah habis 39 anak dara, dia pun tak sabar lagi hendakkan yang satu itu, anak dara Demang Lebar Daun sendiri. Maka dapatlah perlente Keling itu gadis Melayu yang cantik. Bukan itu saja, kini perlente Keling itu dinobatkan menjadi Yang di Pertuan bagi semua orang Melayu, disembah diminta ampun walaupun tidak berdosa. Kata nenek, itulah asal mula sejarah pontianak di negeri Melayu.

Maka dibangunkan sebuah kota besar bernama Pontianak di negeri hutan belantara. Siapa-siapa yang tidak percaya adalah derhaka. Maka nenek pun menyembah dengan tertibnya kepada hantu-hantu itu. Kami anak-anak muda cucu-cicit nenek bertepuk, lucu melihat lakonan nenek itu. “Sembah!,” herdik nenek. Kami yang muda-muda itu lari bertempiaran sambil tertawa sampai tersembur air liur. Ketika itulah kami dengar hilai tertawa pontianak Altantuya dan Siti Perak lucu melihat kelakuan biadab kami tidak mahu menyembah mereka. Gila betul dunia politik ini. He he he, tertawa Pak Dharma. Tak pasti siapa yang kata “Gila betul dunia politik ini”. Pak Dharma atau pontianak? He he he. (6/3/2009)

Mohd Affandi Hassan
Suara Prima
(* Mohd Affandi Hassan sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Beliau juga pesara PTD yang pernah berkhidmat sebagai pegawai tinggi dalam beberapa kementerian)