28 Feb 2009

97% Kata Sidang Tergempar DUN Perak SAH

Keputusan Undian SMS yang dikendalikan oleh 7 Edition yang bertanya pendapat rakyat Malaysia "Apakah Sidang Tergempar SAH?" menunjukkan 97% rakyat menyatakan ia SAH dan cuma 3% sahaja menjawab TIDAK SAH.

Keputusan itu amat signifikan. Rakyat tidak nampak alasan-alasan yang dikemukakan untuk menghalang persidangan tergempar yang dipanggil oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V.Suvakumar oleh pelbagai pihak dapat diterima kerana ia lansung tidak mempunyai apa-apa sandaran yang menasabah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, Speaker DUN tidak boleh memanggil sidang tergempar kerana mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu.

Katanya, sebarang keputusan untuk mengadakan sidang DUN Perak bergantung kepada keputusan mahkamah berhubung kes terbabit.

Selain bertentangan dengan Perlembagaan Negeri, Zambry yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak awal bulan ini berkata, keputusan Sivakumar juga bercanggah dengan undang-undang dan peraturan DUN.

Ternyata jawapan Najib dan Zambry tersebut tersasar jauh ditinjau dari apa sudut sekalipun. Ini kerana kes yang ada di mahkamah lansung tidak melibatkan Speaker dan walau apa pun keputusan mahkamah, Speaker berhak untuk menjalankan tugasnya.

Sementelah lagi kita tidak tahu bila kes di mahkamah akan selesai. Jika ianya beleret bertahun-tahun, apakah bererti Sidang DUN tidak perlu diadakan sepanjang tempoh itu?

Sebenarnya jawapan Najib itu juga menunjukkan beliau tidak boleh menganggap kerajaan BNnya yang juga meletakkan Zambry sebagai Menteri Besar, sebagai SAH kerana status kerajaan negeri itu belum diputuskan oleh mahkamah!

Membuktikan kepada kita bahawa Najib tidak memiliki pengetahuan asas undang-undang dan tidak pula merujuk kepada penasihat yang berpengetahuan dan bercakap hanya berdasarkan kepentingan kerajaan haram BN yang beliau sendiri terlibat membentuknya.

Begitu juga Zambry. Tidak ada alasan dan hujjah yang dikemukakan. Sama seperti cara beliau menjawab semasa beliau dan para exconya disaman hadir di hadapan V.Sivakumar selaku Pengerusi jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang kemudiannya Zambry terpaksa akur dan mematuhi saman berkenaan.

Terdapat beberapa justifikasi untuk Speaker memanggil Sidang DUN tergempar ini yang tidak memerlukan perkenan Sultan.

Pertama, beliau telah mendapat dua notis usul daripada dua ADUN Perak untuk dibincangkan segera. Usul pertama daripada YB Khalil Idham Lim Abdullah (ADUN Titi Serong) yang mahu ahli dewan memberikan sokongan kepada Menteri Besar Perak, YAB Ir Muhammad Nizar Jamaluddin. Manakala usul yang kedua daripada YB Chang Lih Kang (ADUN Teja) yang mahu DUN dibubarkan bagi memberikan laluan kepada rakyat untuk berpilihanraya.

Kedua, tindakan Speaker ini tidak perlu mendapat perkenan Sultan Perak. Sidang DUN yang lepas hanya ditangguhkan dan boleh disambung semula tanpa perlu lagi perkenan sultan. Maka speaker berhak panggil sidang tergempar. Contoh Sidang parlimen pasal isu palestin yang diadakan baru-baru ini tidak pun perlu mendapat perkenan Agong terlebih dahulu.

Ketiga, sidang DUN tergempar ini tidak perlu diberikan notis 14 hari seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan Tetap 27 (3) Peraturan Peraturan Tetap DUN Perak kerana notis itu hanya untuk persidangan biasa bukan tergempar.

Sidang DUN Perak ini amat penting kerana Perak kini terjebak di dalam kemelut politik yang berpanjangan semenjak rampasan kuasa dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan perlu bersidang secepat mungkin atau perlu mendapat mandat daripada rakyat semula supaya keadaan kembali tenang. Salah satunya atau kedua-duanya mesti dilakukan untuk mencapai tujuan itu.




Isu Uthayakumar Akan Kalahkan BN Di Pilihanraya Kecil

Tindakan pihak polis melepaskan tembakan meriam air untuk menyuraikan kira-kira 300 orang yang berhimpun di luar ibu pejabat polis Brickfields untuk membuat laporan polis beramai-ramai berhubung layanan perubatan terhadap tahanan ISA, P Uthayakumar adalah petanda bahawa BN pasti ditolak oleh masyarakat India di dalam pilihanraya kecil yang bakal di adakan terutama di Bukit Selambau.

Demikian diramalkan oleh penganalisis politik yang menyatakan bahawa pihak kerajaan tidak pernah belajar dari kesilapan.

"Mereka telah ditolak di dalam PRU12 yang lalu apabila masyarakat India mengalihkan sokongan mereka dari MIC - BN kepada Pakatan Rakyat akibat tindakan keras Kerajaan melalui anggota polis terhadap anggota Hindraf yang berjuang untuk kaum India di negara ini," kata seorang penganalisis politik tempatan.

"Malah sehingga kini Kerajaan lansung tidak memperdulikan signal jelas masyarakat India supaya Kerajaan membebaskan pemimpin-pemimpin kaum India yang ditahan di bawah ISA apabila M.Manoharan yang turut ditahan di bawah ISA menang di dalam pilihanraya di Dewan Undangan Negeri Kota Shah Alam," tambah beliau.

Pada hari ini beratus-ratus orang dari masyarakat berketurunan India berkumpul sebagai membantah kerana kegagalan pihak berwajib memberikan layanan perubatan terhadap tahanan ISA, P Uthayakumar yang mengidap kencing manis.

Beberapa anak jari kaki kiri Uthayakumar mengalami kecederaan pada 31 Januari lalu ketika berada di Kem Tahanan Kamunting.

Pada 20 Februari lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, jika keadaan itu berterusan, 'beratus-ratus" laporan polis akan dibuat terhadap pihak berkuasa hari ini.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata tindakan membuat laporan polis beramai-ramai dilihat sebagai satu cara untuk mempersendakan tugas pihak polis kerana menurutnya walaupun hanya satu sahaja laporan dibuat, ia tetap akan disiasat seadil-adilnya.

Kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur itu walaubagaimana pun dibentak oleh mereka yang berhimpun pagi tadi yang menyatakan bahawa polis perlu berlaku adil di dalam melayani aduan rakyat. Menurut mereka, polis tidak berhak menghalang aduan dilakukan kerana itu sahaja cara yang paling terhormat untuk menunjukkan rasa marah mereka terhadap layanan yang diberikan kepada Uthayakummar.

Seramai 17 orang termasuk Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam telah ditahan.

Dalam pada itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan polis menahan beberapa orang, termasuk, ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam yang berkumpul bagi membuat laporan polis beramai-ramai berhubung layanan perubatan terhadap tahanan ISA, P Uthayakumar.

"Beliau hanya datang untuk membuat laporan kerana merasakan berlaku ketidakadilan kepada rakan di Kamunting dan ditahan kerana menyebabkan kesesakan di kawasan itu (Brickfields).

"Mereka (polis) boleh jaga lalu lintas... pada hal sebelum ini, saya pernah melihat perhimpunan Umno di Pulau Pinang, polis menjaga kesesakan lalu lintas dan tiada yang ditahan," katanya.

“Hendak buat laporan untuk mempertahankan rakan mereka di Kemunting ditangkap. Jadi, nampak polis ini macam alat atau ketua cawangan Umno,” kata ketua pembangkang itu.

Rakyat Desak SPRM Siasat Najib Bukan Pengadu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini didesak supaya menyiasat Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak di atas aduan yang dilakukan oleh beberapa orang ADUN sebelum ini berhubung dengan tawaran berpuluh juta ringgit untuk mereka melompat parti.

"Adalah tidak mungkin ADUN-ADUN berpakat dan mempunyai jalan cerita yang hampir sama apabila masing-masing mengadu menerima tekanan dan sogokan untuk mereka melompat parti," tegas seorang pemimpin PAS Kawasan hari ini.

Rakyat juga meminta pihak Jawatankuasa Aduan dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM yang baru dilantik supaya mempastikan Najib tidak terlepas dari disoalsiasat dan Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah dan Panel Penilaian Operasi mesti mempastikan bahawa soal-siasat dilakukan secara adil dan telus.

Ini bagi membersihkan integriti dan kredibiliti SPRM yang telah tercalar ekoran dakwaan pegawai-pegawai SPRM melaksanakan tugas secara tidak profesyenal dan melakukan siasatan dan dakwaan terpilih. Tindakan SPRM yang hanya menyiasat para pengadunya menyebabkan nanti tiada lagi yang berani tampil untuk mengemukakan aduan rasuah akibat intimidasi berterusan SPRM terhadap mereka dan dalam masa yang sama perasuah-perasuah terlepas bebas untuk sekian lama.

Keshvinder Singh telah mendakwa ditawarkan RM20 juta oleh 'agen-agen' Dato'Seri Najib Tun Razak dengan menggunakan nama Jabatan Perdana Menteri dan beliau mendakwa beliau telah dihubungi setiap hari oleh agen Najib dan bertanya berapa bayaran yang beliau mahu sekiranya ia tidak terima RM20 juta itu.

Tawaran itu katanya dibuat sebelum Tahun Baru Cina dan mendakwa sekiranya bersetuju beliau dijanjikan dengan jawatan tertentu.

"Pada mulanya beliau tidak percaya dengan tawaran itu tetapi setiap hari dihubungi barulah saya dapati ada satu usaha untuk saya bersetuju melompat ke BN,"katanya.

Menurut beliau, tawaran ini semakin aggresif mendapati 'agen-agen' menggunakan jiran, kawan dan saudara beliau untuk mempengaruhinya.

"Semua kenalan saya memujuk saya agar menerima tawaran itu tetapi saya tidak buat apa apa keputusan, sebaliknya saya rujuk ke pada Dato' seri Ir Mohamad Nizar," katanya.

Beliau percaya tawaran tersebut daripada agen-agen Najib yang cuba menjatuhkan Pakatan, dan apabila berlakunya krisis politik di negeri ini yang melibatkan tiga Adun melompat parti, beliau rasa bertanggungjawab untuk melaporkan kepada SPRM.

Tindakan ini katanya diambil kerana ia membabitkan masa depan keluarga, anak-anak dan masyarakat.

Beliau turut ditawarkan dengan jawatan dan aset-aset tertentu antaranya seperti rumah, kereta dan sejumlah wang.

Apabila ditanya oleh wartawan berapa kali agen-agen tersebut menghubunginya, beliau memberitahu secara purata setiap hari dan tawaran pertama ialah RM 10 juta .


"Saya percaya pendekatan yang sama juga ditawarkan kepada Adun Jelapang, Hee Yit, jika bersetuju dengan tawaran itu, saya jadi adun bebas. saya tidak akan setuju dan buat perkara macam itu."

Selanjutnya beliau memberitahu sekiranya tawaran itu diterima, wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan bank di luar Negara dengan membawa beliau serta keluarga ke luar negara dengan menaiki "private jet " manakala semua urusan pemergian ke sana tidak akan dicatit atau didokumenkan sama ada masuk atau keluar negara, katanya.

Pendedahan ini menjelaskan mengapa ianya tidak mudah dikesan dengan hanya mengharapkan semakan kewangan di dalam bank-bank dalam negara. dan Najib telah berkali-kali dengan angkuh meminta pihak yang menuduh memberikan bukti kerana ianya telah dirancang terlebih awal dengan begitu licik. Malah Najib pada satu ketika MENGUGUT para pengadu bahawa mereka akan menerima padah jika membuat laporan palsu.

Apabila ditanya oleh pemberita adakah beliau akan umumkan nama-nama mereka, Keshvinder memberitahu akan beritahu pada masa sesuai.

Apabila didesak oleh pemberita siapakah agen tersebut, beliau memberitahu antaranya wartawan bebas dan beliau difahamkan wartawan itu ada kepentingan dalam konsesi balak.

"Beberapa kali orang itu (agen) kata tawaran tersebut datangya dari Dato' Najib yang akan menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi. Sekiranya beliau bersetuju agen tersebut akan membawanya bertemu dengan Najib.

"Saya beri amaran kepada kumpulan ini jangan memaksa saya, atau saya akan buat laporan."katanya

Pendedahan itu dibuat Keshvinder Singh di luar pejabat SPRM Negeri Perak, serentak dengan itu beliau membuat laporan tersebut bersama Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamsari.

Sebelum ini Ketua bahagian PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda di dalam satu akuan bersumpah mendakwa bahawa Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencuba tahun lalu untuk memujuknya supaya melobi dua ahli dewan undangan negeri (Adun) Pakatan Rakyat) di Perak supaya melompat parti.

Fauzi mendakwa, beliau telah ditawar sejumlah RM50 juta bagi perkhidmatannya itu dan untuk membayar mereka yang berjaya dipujuk melompat parti. Bagaimanapun, katanya, beliau tidak membuat apa-apa tindakan untuk memenuhi hasrat Najib itu.

Tambah satu lagi.. penipu pula...


Jika mereka sendiri dah menunjukkan mereka adalah kumpulan yang melakukan perbuatan celaka yang mengundang kecelakaan kepada diri sendiri dan negara, kemudian ditegur oleh Yang Dipetua Dewan Negara sebagai kumpulan yang bodoh, kini untuk melepaskan diri mereka sanggup menjadi penipu pula.

Alkisah...

"Menceritakan kejadian tersebut, Lat berkata, 12 ketua Pemuda Umno bahagian dari Selangor bersama 10 penyokong pergi ke bangunan Parlimen kerana ada temujanji makan tengahari dengan seorang timbalan menteri.

Bagaimanapun, ketika berjalan pulang, mereka terserempak dengan Karpal yang sedang masuk ke dalam dewan dari bangunan pentadbiran Parlimen."

Itu saja yang ada di dalam tempurung kepala pemuda UMNO yang menyerang Karpal Singh apabila cuba hendak mengelak dari tekanan yang mereka hadapi kini ekoran tindakan mereka sebelum ini yang tidak memikirkan akibat dari perbuatan celaka mereka itu.

Seandainya Jawatankuasa Siasatan Aduan Karpal Singh yang diketuai oleh Speaker Dewan Rakyat, Pandika Amin Mulia menjalankan siasatannya nanti dan kemudian mengulangtayangkan CCTV yang memaparkan mereka tersadai di situ sekian lama yang hanya menunggu "jamuan" tiba dengan kedatangan Karpal di perkarangan Palimen berkerusi roda, tidakkan nanti mereka ini akan boleh didakwa lagi: untuk kesalahan selanjutnya :memberikan keterangan palsu kepada sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh Parlimen?

Shahadan kata mereka lagi:

"Kami menghampirinya dan bertanya 'mengapa anda kata Pemuda Umno celaka. Kamu jangan berselindung di sebalik kekebalan bangunan Parlimen."

"Karpal menjawab 'saya malas nak layan kamu, saya nak masuk dewan Parlimen'," kata Lat lagi.

Sementara Ketua Pemuda Umno bahagian Serdang, Ungku Salleh Ungku Jamal yang turut hadir semalam berkata, rombongan Pemuda itu mencabar Karpal mengulangi perkataan "Pemuda Umno celaka" di luar dewan Parlimen.

Bagaimanapun, pemimpin kanan DAP itu enggan berbuat demikian, katanya ketika dihubungi hari ini.

Daripada dialog itu sahaja sudah cukup untuk membuntikan bahawa sang Pemuda lah yang memulakan episod hodoh lagi jelek itu di perkarangan Parlimen tersebut.

Sesuatu perbuatan yang salah tetap salah. Sekalipun ianya cuba dibantu oleh pak-pak mertua dan pak-pak sedara yang terdiri dari mereka yang menguasai media arus perdana. Malah kekayaan berjuta tak mungkin melepaskan perbuatan yang salah untuk menghumban anda ke penjara. Bangkai gajah tak dapat ditutup dengan nyiru.. kata orang tua-tua. Apa tah lagi kalau doa sekalian rakyat yang tak suka dengan perbuatan kamu yang samseng lagi hina.

Paling tidak orang akan menempelak (berdasarkan dialog itu), perangai anak muda UMNO yang tak reti bahasa. Perangai mat rempit dibawa ke tempat yang mulia, hanya kerana perangai sang menantu punya angkara.

Isy anda sudah terpijak najis yang banyak wahai sang menantu. Dan dengan najis itu nanti anda hendak bawa ke majlis perhimpunan dan nak bertanding sebagai Ketua Pemuda. Sedangkan tatkala anda melewati mereka, semua akan segera menutup hidungnya kerana tak tahan baunya yang busuk, jijik lagi hina. Memalukan paduka ayahanda mertua yang bakal bersara.


Ulasan Isu Hangat 27 Feb 2009 Bhg 2

HENTIKAN PENJUALAN PERKHIDMATAN KESIHATAN

Gabungan Membantah Pengswastaan Perkhidmatan Kesihatan mendesak kerajaan tidak menjual perkhidmatan kesihatan tanpa perbincangan umum. Malah kerajaan juga diminta tidak memberikan kontrak pembekalan rawatan kesihatan kepada kumpulan korporat yang hanya mementingkan keuntungan.

Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) yang bergabung dengan badan itu turut mendesak kerajaan agar membekukan hospital swasta baru yang akan hanya meletakkan jurang pemisah kepada golongan berpendapatan rendah.

Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mahmud menyatakan statistik menunjukkan tenaga kerja adalah 11.5 juta dan penswasta perkhidmatan kesihatan akan memberikan kesan negatif kepada mereka.

PENDIRIAN SULTAN SELANGOR BERHUBUNG KES YB ELIZABETH WONG

Pelbagai pihak menjunjung tinggi keputusan baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyerahkan kepada Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat keputusan membabitkan isu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Elizabeth Wong.

Baginda selanjutnya menyatakan keyakinan baginda atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh Dato’ Menteri Besar dan percaya bahawa ianya dibuat secara adil dan bijaksana, dengan mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan negeri Selangor amnya.

Ahli Parlimen Ampang YB Zuraida Kamaruddin menyatakan rakyat Selangor khususnya menjunjung tinggi titah Sultan yang turut menyatakan rasa bimbang dan dukacita baginda dengan perkembangan akhir-akhir ini di mana perbuatan menceroboh hak peribadi dan privasi individu dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang.

PERKATAAN "ALLAH" DIBERIKAN SYARAT DALAM PENERBITAN KRISTIAN

Penerbitan bahan agama Kristian dilarang menggunakan perkataan "Allah" melainkan jika di kulit muka depan penerbitan itu ditulis dengan terang perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN".

Perkara itu terkandung dalam warta kerajaan P.U. (A) 62 bertarikh 16 Feb 2009 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009.

Perenggan 2.(1) warta itu menyebut: "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apa-apa dokumen dan penerbitan yang berhubung dengan agama Kristian yang mengandungi perkataan "Allah", "Kaabah", "Baitullah" dan "Solat" adalah dilarang melainkan jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN".

Perenggan 2.(2) Perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN" yang disebut dalam subperenggan (1) hendaklah ditulis dengan fon jenis Arial bersaiz 16 dalam huruf tebal.


Ulasan Berita Hangat 27 Feb 2009 Bhg 1


PEGUAM MB SEANGOR TUNTUT PENJELASAN KETUA PESURUHJAYA SPRM

Peguam Menteri besar Selangor Sankara Nair menghantar Surat Tuntuan Penjelasan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan terhadap kenyataan terbukanya mendakwa kononnya mempunyai bukti kukuh MB Selangor salahguna kuasa.

Beliau diberikan tempoh 7 hari memberikan penjelasan tersebut yang dianggap di luar bidangkuasanya. Peguam Sankara Nair meminta Ahmad Said Hamdan memberitahu peruntukan yang digunakan di dalam Akta SPRM 2009 untuk membuat kenyataan itu.

2 surat tuntutan juga dikemukan kepada Pengerusi Gerak (sebuah pertubuhan tidak berdaftar), Mohd Nazree Mohd Yunus supaya memohon maaf di atas fitnah yang dilakukan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung isu lembu koran dan penyenggaraan kereta peribadi Menteri Besar.

TINDAKAN PEMUDA UMNO MENYERANG KARPAL SINGH DIKECAM PELBAGAI PIHAK

Tindakan serangan sekumpulan Pemuda UMNO terhadap Karpal Singh di Parlimen telah menerima kecaman dari pelbagai pihak.

Para akademik dan ahli politik menyifatkan ia sebagai detik sedih didalam demokrasi Malaysia. Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng kesal dengan apa yang b
erlaku dan menyifatkan kumpulan itu sebagai samseng parlimen dan tindakan itu sebagai memalukan.

"Memalukan kerana tidak menghormati Parlimen sebagai insitusi tertinggi dan terunggul di dalam Perlembagaan Malaysia. Dalam masa yang sama mengancam keselamatan ahli Parlimen, menghalang masuk ke Parlimen.. menyerang seorang OKU," tegas Lim.

KENAIKAN KADAR TOL DITUNDA

Kabinet akhirnya menunda kenaikan kadar tol yang diumumkan semalam ke hujung tahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zin Mohamed menyatakan mesyuarat kabinet yang dipengerusikan YAB Tim Perdana Menteri, setelah mengambil kira riaksi rakyat dan dalam keadaan ekonomi kini, kenaikan kadar tol itu ditangguhkan pada masa ini.

Semalam kerajaan mengumumkan kenaikan kadar tol di lima lebuhraya seluruh negara diantara di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuat kuasa 1 Mac ini selaras dengan terma perjanjian konsesi antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya.

KAWALAN KESELAMATAN PARLIMEN DIPERKETAT

"Apa yang berlaku semalam adalah sesuatu yang tragis dan tidak patut berlaku di Parlimen tetapi disebabkan kebodohan kumpulan tertentu, sekatan terpaksa dikenakan terhadap sesiapa yang ingin memasuki kawasan Parlimen," katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi anggota Parlimen Eropah di Parlimen di sini.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Hamid berkata, beliau berasa sedih mengenai insiden itu dan menyifatkan kumpulan tersebut sebagai manusia yang tidak memahami penguatkuasaan undang-undang dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Katanya, insiden semalam bukan hanya memalukan Parlimen malah seluruh rakyat Malaysia.

KARPAL SINGH SERAH PITA RAKAMAN UCAPAN TUN ZAKI AZMI KEPADA AGONG

Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini menyerahkan satu salinan pita rakaman audio kepada Istana Negara, dimana beliau mendakwa mengandungi suara Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi mengenai ucapan hakim tersebut mengenai rasuah.

Setibanya di Istana Negara beliau menyerahkan salinan rakaman itu kepada kakitangan istana untuk disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Karpal Singh mendakwa salinan pita itu adalah rakaman ucapan Zaki dalam satu konvensyen di Kuching, Sarawak pada November lalu.

SIVAKUMAR PANGGIL SIDANG TERGEMPAR DUN PERAK

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar berkata beliau akan memanggil satu sidang tergempar dewan itu pada 3 Mac ini bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Menurutnya persidangan ini tidak memerlukan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

NIZAR SERAH KEDIAMAN RASMI, SIMPAN KERETA CAMRY

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini secara rasminya menyerahkan kunci kediaman Menteri Besar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk terus menyimpan kereta rasmi Toyota Camry walaupun kerajaan negeri telah mengambil semula kesemua kereta 10 bekas Exconya.

Pegawai khas beliau, Amran Harun memberitahu media, Nizar akan menyimpan kereta tersebut sebagai tanda beliau tidak pernah mengalah dalam mempertahankan yang beliau masih Menteri Besar yang sah.

"AJS10 akan disimpan sebagai simbol sementara menunggu keputusan mahkamah.