20 Feb 2009

NGO Serah Memorandum Rakyat Kepada DYMM Sultan Perak

KUALA KANGSAR, 19 Feb. : Tepat jam 3:00 petang tadi satu gagasan NGO yang dikepalai oleh Tuan Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS) telah mengetuai pakatan NGO telah mmengadakan satu majlis penyerahan Memorandum, Referendum Rakyat kepada DYMM Sultan Perak di pejabat DYMM Sultan Perak bersebelahan Istana Iskandariah.

Antara objektif utama penyerahan memorandum tersebut ialah untuk menyampaikan suara rakyat berkenaan dengan isu politik terkini yang sedang bergolak di Perak.

Didalam memorandum tersebut juga disertakan bersama sejumlah 20,000 tandatangan sokongan dari rakyat Perak dan kami difahamkan bahawa terdapat lebih dari 100,000 lagi tandatangan penanda sokongan dari rakyat Perak bakal menyusul selepas ini.

Majlis penyerahan berjaalan dengan cukup lancar dan memorandum berkenaan tekah selamat diterima oleh wakil dari Pejabat DYMM Sultan Perak.

Selepas selesai majlis penyerahan memorandum, satu sidang akhbar telah diadakan untuk menjelaskan kepada umum sebab-sebab memorandum diserahkan (transkrip dan rakaman sepanjang majlis berlangsung dan juga sidang akhbar akan disiarkan kemudian selepas selesai kerja-kerja editor).

sya~reformis








Najib, Kamulah Punca Semua Ini

Sebelum naik sebagai PM, Najib perlu membuktikan kebolehannya. Dia perlu dilihat lebih hebat daripada Abdullah. Apa yang menimpa Umno dalam PRU yang lalu seolah-olah menjadi ‘hujah’ kepada Najib bahawa Abdullah perlu diganti. Namun begitu kekalahan Umno dalam dua PRK selepas itu kembali memudarkan imej Najib.

Dengan kekalahan itu, Abdullah dilihat punya hujah semula untuk kekal kerana Najib dikira gagal membuktikan kebolehannya. Tun Dr M berkata, bukan suatu kemestian Presiden Umno adalah PM. Abdullah akan berundur, tetapi bukan sebagai PM, cuma sebagai Presiden Umno. Presiden Pas ‘dinasihati’ Muhyidin apabila membangkitkan perkara ini di parlimen.

Muhyidin tumpang bimbang kalau-kalau ‘nasihat’ Abdul Hadi itu diterima pakai oleh Abdullah. Dia yang dipromosi oleh Najib sebagai timbalannya tentu kempunan. Justeru, dia perlu memintas cepat supaya nasihat Abdul Hadi tidak terpakai.

Bukan menjadi rahsia umum bahawa krisis di Perak berpunca daripada rencana Najib. Boleh saja Najib menafikannya, tetapi penafian itu memperkukuhkan lagi sangkaan itu. Najib ingin membuktikan selepas kegagalan rancangan 916 bikinan Anwar, bahawa dia juga boleh melakukannya. Dia menjadikan rencana Anwar sebagai alasan tindakannya.

Sedari awal Perak diserang. Nasarudin dijadikan umpan. Tajol Rosli menjadikan alasan Nasarudin menyertai PKR untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak. Sebaik sahaja jawatan itu disandang Najib, ramai yang sudah dapat menghidu rencana itu. Berlakulah apa yang berlaku.

Bila Anwar menyebut bahawa dia mempunyai rakaman CCTV berkaitan tindakan membeli dan merasuah wakil rakyat PKR terlibat, sangkaan umum bahawa Najib terlibat dengan semua ini menjadi bertambah kuat.

Najib tidak berseorangan dalam rencananya ini. Dia membela banyak ‘hantu raya’. Hantu-hantu ini diberi makan secukupnya. Disebut-sebut bahawa ‘hantu-hantu raya’ ini adalah bekas-bekas orang kuat PKR yang menyertai Umno terutama bekas pimpinan angkatan mudanya.

Mereka bergerak dari satu negeri ke satu negeri yang dikuasai PR. Bermula dengan Perak, Kedah dan Selangor turut diserang. Hantu-hantu raya ini datang dengan dua senjata, ugut dan duit. Ada yang berjaya ditewaskan dengan duit dan ada yang ditewaskan dengan ugut.

Najib tidak bermasalah untuk membela semua hantu itu kerana dia memang menjaga perbendaharaan negara. Ditambah pula hantu-hantu yang dibela Najib itu pun memang bermasalah kewangan semenjak menyertai PKR. Maka keupayaan Najib apabila digabungkan dengan keperluan hantu-hantu itu, rencana menjadi lancar dan berhasil.

Sebulan lebih sedikit sahaja lagi Najib akan jadi Presiden Umno tapi belum tentu dia jadi PM. Mungkin itu mustahil pada perkiraan orang Umno tetapi tidak mustahil dalam roda politik. Najib perlu membuktikan bahawa dia bukan sekadar layak jadi Presiden Umno tetapi layak juga jadi PM.

Untuk itu dia perlu melakukan lebih banyak onar untuk menonjolkan dia lebih ‘brutal’ daripada Abdullah. Sasaran onar itu tentulah negeri-negeri PKR. Ingat Najib, kamulah punca semua ini. Tunggu kamu akan dihukum oleh rakyat. Kalau rakyat berani menghukum Tun Dr M, mengapa tidak kamu?

Cuma, kalau Najib belum cukup hantu raya, dia boleh ambil orang ini sama. Siapa orang itu? Cuba teka.


Zolkarnain Abidin
bongkarsauh.blogspot.com

Derhaka Tuah dan Derhaka Jebat

Saya kira semua tahu hikayat Hang Tuah dan Hang Jebat dan kisah kesudahan persahabatan mereka yang menyaksikan Tuah membunuh Jebat. Ia berpunca dari fitnah terhadap Tuah yang menghasilkan tindakan melulu Sultan Melaka menghukum Tuah dibunuh tanpa usul periksa. Keputusan Sultan pada ketika itu telah pun menyebabkan beberapa tindakan derhaka berlaku. Bendahara derhaka kerana tidak membunuh Tuah, sebaliknya menyembunyikan Tuah. Tuah derhaka kerana tidak memastikan dirinya dibunuh, walaupun titah Sultan supaya dia dibunuh. Akhirnya Jebat menderhaka kerana telah membantah keputusan yang dibuat oleh Sultan Mansur Shah. Semua derhaka!

Derhaka Bendahara dipuji Sultan kemudiannya, Tuah diampun dan diterima kembali, sedangkan derhaka Jebat dimurkai baginda Sultan. Namun hakikatnya ketiga-tiga watak utama telah menderhaka. Derhaka Jebat tidak diampunkan kerana berterangan dan mencabar Sultan. Derhaka Bendahara dan Tuah diampunkan kerana diketahui Sultan pada ketika ianya mendatangkan manfaat kepada baginda Sultan.

Ahli sastera dan cendiakawan Melayu sering membahaskan siapa yang lebih mulia, Tuah yang taat kepada Sultan sehingga sanggup membunuh Jebat atau Jebat yang bangun membela sahabatnya yang dizalimi. Ada yang berpandangan Tuah yang ‘hero’, ada yang mengatakan Jebat. Namun kedua-dua pandangan bersetuju bahawa keputusan melulu yang kurang bijak yang dibuat oleh Sultan adalah punca segala-galanya. Mereka juga bersetuju bahawa pencacai dan pemfitnah Hang Tuah-lah yang merupakan musuh sebenar Negeri Melaka pada ketika itu!

Samada Tuah hero atau Jebat hero pada pandangan saya adalah soalan kedua. Persoalan utamanya ialah, apakah ikhtibar yang boleh kita perolehi untuk mengelak tragedi yang sama berulang? Yang jelas Sultan mesti mampu membuat keputusan yang bijaksana. Alangkah baiknya sekiranya keputusan membunuh Tuah dihindarkan pada ketika itu? Maka Melaka tidak akan melihat tragedi seperti itu dan persahabatan dua sahabat karib akan berpanjangan. Melaka akan terus mendapat khidmat pendekar Jebat yang jelas mempunyai kehebatan seni pertarungan dan pertahanan diri sehingga akan tersebarluas lagi kehebatan Negeri kesultanan Melayu itu.

Dalam menganalisa tragedi ini kita tidak boleh mengelak diri dari berkata, “Alangkah baiknya sekira Bendahara mampu membela Tuah sehingga tidak sampai dikenakan hukuman bunuh?” Atau rakyat menzahirkan sokongan terhadap Tuah dan menuntut supaya bukti yang kukuh dikemukakan sebelum Laksamana mereka dihukum. Tuah juga seharusnya dibenarkan membela diri, dan pada masa yang sama pencacai itu dibawa ke depan supaya dikenal pasti siapa gerangan orangnya yang membawa cerita ini. Adakah orang yang berwibawa ataupun sebaliknya? Ada udang disebalik batu ataupun ada agenda tersendiri? Kalau semua ini dilakukan, mungkin tragedi ini tidak berlaku.

Pengalaman sejarah Melayu seperti ini seharusnya membawa orang Melayu untuk berfikir bagaimana tragedi sebegini tidak akan berulang. Kerana bukankah itu antara sebabnya kita mengkaji sejarah? Bukan sekadar melihatnya sebagai satu cerita penglipurlara yang tidak mempunyai pengajaran yang boleh digunapakai pada masa ini. Sebagai contoh berhubung dengan politik Perak dewasa ini.

DS Nizar dituduh telah hilang sokongan majoriti ADUN di Perak. Adakah tuduhan ini benar? Tiga ADUN lompat tidak lagi merupakan ADUN kerana Speaker telah menerima surat perletakkan jawatan mereka dan telah pun mengumumkan kerusi-kerusi mereka telah kosong. Ini bererti 28 kerusi DUN sekarang berada dengan PR dan 28 kerusi yang lain bersama BN. Ini bererti BN juga tidak mendapat majoriti.

Apabila Sultan mendengar pertuduhan ini, Sultan seharusnya mengesahkan dahulu kedudukan ketiga-tiga ADUN yang menjadi punca timbulnya fitnah ini, jangan terima bulat sandiwara fitnah yang ditaburkan pencacai dan pemfitnah BN. Adakah para ADUN ini bercakap benar, adakah mereka orang yang lurus dan berintegriti? Ini semua sepatut diambil kira oleh Sultan sebelum membuat keputusan.

Kedudukan ketiga-tiga ADUN ini adalah hak Speaker menetapkannya. Ini adalah apa yang telah ditetapkan oleh undang-undang tubuh Negeri Perak dan SPR tiada hak menyanggahnya. Sekiranya ADUN berkenaan tidak berpuas hati, mereka boleh bawa kes mereka ke mahkamah tetapi sambil itu SPR mesti memulakan proses untuk mengistiharkan Pilihan Raya kecil untuk Behrang, Cangkat Jering dan Jelapang. Sekiranya mahkamah mendapati ada kes, mahkamah boleh mengarahkan Pilihan Raya kecil ditangguhkan sehingga selesai perbicaraan tetapi sambil itu kerajaan dan MB yang sedia ada boleh terus mentadbir negeri Perak sehingga isu ini ditentukan oleh mahkamah. Ini apa yang sepatutnya berlaku.

Sekiranya Sultan menerima nasihat yang kurang tepat berkenaan perkara ini, kita berkewajipan menasihati Sultan supaya menjamin tragedi yang lebih besar tidak menimpa Negeri Perak. Sepertimana dalam kes Melaka, kesilapan yang tidak diperbetulkan mengakibatkan natijah yang buruk berpanjangan terhadap semua.

Namun, disebabkan hasutan pihak pencacai dan pemfitnah BN (jelas watak ini telah wujud sejak sekian lama), serta kehadiran 3 ADUN lompat itu di hadapan Sultan, maka Sultan percaya segala dakwaan mereka ini dan DS Nizar diminta letak jawatan! Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman sejarah Laksamana Melayu yang diketahui umum ini, adakah wajar orang Melayu dipatuk dari lubang yang sama buat kali yang entah keberapa?

khalid samad