17 Feb 2009

Kes Mana Lebih Aib - Eli, Khir atau Mohd Taib?

Selepas Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor yang dilihat cuba menanngguk di air keruh di dalam isu gambar separuh bogel YB Elizabeth Wong, kini muncul seorang lagi pemimpin UMNO yang lapok bernama Muhammad bin Muhd Taib, calon Timbalan Presiden UMNO yang meminta Elizabeth meletakkan semua jawatannya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, berkata sehubungan itu Pakatan Rakyat khususnya di Selangor perlu membuat satu keputusan yang tepat kerana kes berkenaan telah menjejaskan anggota Exco berkenaan malah parti itu sendiri.

Tatkala beberapa orang individu dan pertubuhan termasuk menteri dari BN sendiri dan Wanita MCA melahirkan simpati kepada Elizabeth Wong, dua orang pemimpin UMNO yang perasan dirinya sudah bersih dari pelbagai skandal tiba-tiba menyongsang arus untuk mendesak Elizabeth Wong meletakkan jawatannya.

Apakah mereka terperasan sendiri dan berharapan bahawa UMNO dan Barisan Nasional boleh merampas kerusi Bukit Lanjan dari Pakatan Rakyat?

Kita ingin nyatakan kepada kedua-dua pemimpin yang kini dalam keadaan terkapai-kapai mencari sokongan untuk pemilihan di dalam Perhimpunan Agong UMNO Mac ini supaya usah menabur benih di angkasa. Ia sesatu pekerjaan yang sia-sia.

Rakyat Selangor mana yang tidak ingat kepada kisah bekas kedua-dua MB Selangor ini dengan pelbagai skandal dan kezaliman mereka semasa mereka menjawat jawatan MB?

Semua orang tahu kisah dosa dan kesalahan Muhammad Taib. Dosanya bukan setakat mencuri tetapi 'merompak' dan 'melanun' juga. Peristiwa beliau ditahan di lapangan terbang Brisbane, Australia tahun 1986 masih segar dalam ingatan.

Suatu perbuatan tidak masuk akal telah dilakukan oleh bekas MB Selangor itu di lapangan terbang berkenaan bila mana beliau ditahan atas kesalahan membawa wang yang tidak istyharkan sebanyak RM2.4 juta.

Beliau telah membawa RM2.4 juta dalam sebuah guni dan ditahan di lapangan terbang berkenaan. Bayangkan betapa banyak wang beliau kalau wang dimasukkan dalam guni macam orang kampung bawa rambutan pula lagaknya, kata seorang sahabat.

Anak tua yang berjiwa muda ini (Muhammad Muhd Taib) pernah tidak ketinggalan untuk mewarnakan hidupnya dengan menikahi anak Sultan Selangor (Ku Yah atau Joan Collins) tanpa keizinan, lebih kurang melarikan anak orang.

Hebat dan sensasi cerita itu. Muhammad Muhd Taib penuh skandal yang nampak atau yang terselindung. Berfoya dengan kemewahan yang ada adalah agenda utama tapi malang rakyat yang duduk berbumbungkan awan dan bermandikan hujan tidak langsung menjadi perhatian.

Begitu juga kisah kezaliman Khir Toyo. Trajedi Kg. Berembang 20 November 2006, mana mungkin kita melupai! Ia mengenai kisah seorang manusia yang bernafsu besar bernama Khir Toyo, ia kisah air mata penduduk yang terpaksa merempat dengan berlantaikan tanah, berbumbungkan langit dan berdindingkan angin malam yang dingin.

Ia juga kisah seorang Menteri Besar yang tidak berhati perut dan tidak pernah kenal erti tangisan rakyat marhain - serta tidak pernah hormat kepada SUHAKAM - sebuah Suruhanjaya yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong.

Atas restu dan arahan MB yang berkuasa pada masa itu bernama Khir Toyo, yang ingin merealisasikan impiannya konon Selangor setinggan sifar, tanpa peduli warga emas, wanita atau kanak-kanak, pihak berkuasa MPAJ tidak mempunyai sedikit pun rasa belas simpati dan kasihan, meruntuhkan rumah serta merempuh mereka. Segala-galanya musnah. Yang tinggal hanya sisa-sia peninggalan, yang tinggal hnayalah runtuhan kemanusian dan yang tinggal hanyalah satu kenangan pahit tentang kezaliman!

Nah kedua-dua bekas MB Selangor ini kini cuba mencuri perhatian kerana masing-masing cuba nak menjadi hero untuk bekalan hari perhimpunan UMNO yang bakal menjelma ini. Khir Toyo bertanding sebagai Ketua Pemuda dan Muhammad Taib calon Timbalan Presiden yang disifatkan oleh Tun Dr Mahathir sebagai Pak Lawak!

Nasihat kita: lihatlah wajahmu dicermin wahai kedua-dua bekas MB, anda bukan sahaja telah ditolak oleh rakyat yang rata-rata kini sedang mengikuti dan menyertai arus Pakatan Rakyat, tetapi anda berdua bakal ditolak oleh ahli-ahli UMNO sendiri pada Mac ini. Apa agaknya yang menyebabkan anda teramat asyik dengan mimpi kamu berdua?




Ulasan Berita Hangat 17 Feb 2009 Edisi Petang

Sebanyak 75% dari responden Edisi 7 tidak bersetuju dengan keputusan Elizabeth Wong untuk meletakkan jawatannya sebagai Exco dan ADUN Bukit Lanjan seperti yang ditawarkannya pagi ini.

Sebelum ini di dalam satu sidang media, Elizabeth Wong Keat Ping yang dikaitkan dengan penyebaran gambar bogelnya di internet, menawarkan diri melatakkan jawatan Exco Selangor dan Adun Bukit Lanjan.

"Saya menerima sokongan padu daripada keluarga, pemilih kawasan saya, rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, sahabat dan masyarakat umum.

"Bagaimanapun, demi kepentingan parti, saya telah memutuskan untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga ADUN Bukit Lanjan," katanya dengan nada sebak manakala penyokong-penyokongnya pula mendesak beliau menarik balik keputusannya.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) untuk mengaturkan penyerahaan tanggungjawab saya dengan baik.

Naib Presiden PKR, YB Azmin Ali berkata: "Beliau hanya menawarkan untuk melepaskan kedua-dua jawatan, bukan meletakkan jawatan."

"Beliau baru sahaja membuat pengumuman dan beliau juga sudah memaklumkan kepada kami malam tadi, kami sudah mendapat penjelasan penuh mengenai isu ini dan kami akan membuat keputusan dalam waktu terdekat," tambahnya.

Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor dijadual membuat kenyataan rasmi mengenainya dalam beberapa jam lagi.

Wong, berusia 37 tahun dan masih bujang, yang memasuki dewan utama Ibu Pejabat PKR dengan ceria kelihatan sebak ketika membacakan kenyataannya.


Beberapa penyokong beliau membawa sepanduk dan poster menyatakan sokongan moral kepada beliau sambil berulang kali menggesa Wong tidak meletakkan jawatan.

Naib Presiden PKR, R. Sivarasa pula berkata, pihaknya menerima keputusan Wong dengan berat hati tetapi bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil jika diadakan.

"Kami bersedia menghadapi pilihan raya kecil di Perak, di Kedah dan juga di sini di Selangor," kata beliau yang turut hadir pada sedia media itu.

Pemerhati politik berpendapat sekalipun tawaran perletakan jawatannya diterima oleh PKR dan pilihanraya bakal diadakan, ia tidak akan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional walaupun Khir Toyo, bekas MB Selangor sebelum ini amat mendesak Elizabeth meletakkan jawatannya.

MOHD ABDUL WAHID ENDUT ANGKAT SUMPAH

Anggota Parlimen Kuala Terengganu yang baru Mohd Abdul Wahid Endut hari ini mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mohd Abdul Wahid, 52, berpakaian baju Melayu berwarna gelap lengkap bersongkok, turut menerima kata-kata nasihat daripada Pandikar Amin, yang mahukan memberi sumbangan yang berguna dan berfaedah kepada Dewan dan negara serta dapat berkhidmat dengan cemerlang.

Wakil rakyat dari PAS itu memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti sebanyak 2,631 undi pada 17 Jan lepas.

Beliau memperoleh 32,883 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh meraih 30,252 undi.

AGUSTINE PAUL MENARIK DIRI MENDENGAR HABEAS CORPUS RPK

Hakim Agustine Paul menarik diri dari mendengar permohonan rayuan kes habeas corpus Raja Petra Kamaruddin hari ini.

Walaubagaimana pun Hakim Nik Hashim Nik Abd Rahman memaklumkan bahawa Agustine dan
hakim Zulkifli Ahmad masih berkuasa untuk mendengar permohonan terbabit dan mengarahkan rayuan diteruskan.

Peguam RPK, Malik Imtiaz mengemukakan dua alasan mengapa hakim Agustine perlu disingkirkan. Pertama, Agustine didakwa terlibat di dalam kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua beliau pernah menolak permohonan harbeas corpus RPK pada tahun 2001.

NAJIB AKUI EKONOMI MALAYSIA HADAPI KEADAAN SUKAR

Jika sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak dengan angkuh menyatakan Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal pada tahun hadapan tetapi pada pagi ini, Najib menyatakan di Dewan Rakyat bahawa petunjuk-petunjuk ekonomi yang ada menggambarkan situasi ekonomi Malaysia berada dalam keadaan sukar.

"Jumlah pemberhentian pekerja bagi tempoh Okt 2008 - Jan 2009 ialah seramai 11,595 orang sementara di bawah skim pemberhentian sukarela ialah serama 2,752 orang. Harga komiditi terus berada di paras yang rendah," kata beliau.

AHLI PALIMEN BN DAN MENTERI PELAJARAN PERLEKEHKAN PERJUANGAN GAPENA

Ahli Parlimen dari BN dan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein memperlekehkan perjuangan yang ditunjangi oleh NGO, GAPENA apabila "membelasah" GAPENA di dalam Parlimen hari ini behubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ahli Parlimen Kinabatangan terus menuduh bahawa "pejuang-pejuang" GAPENA ini mempunyai anak-anak yang belajar di luar negara yang belajar di dalam Bahasa Inggeris sedangkan mereka meminta anak-anak di kampung menerima pelajaran di dalam Bahasa Malaysia.

Sebelum ini, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) hari ini menyerahkan memorandum bantahan mereka terhadap pelaksanaan dasar PPSMI kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammmuddin Tun Hussein.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi gerakan itu, Datuk Dr, Hassan Ahmad di lobi Parlimen pagi ini.

Beliau turut menyerahkan memorandum tersebut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili ahli Parlimen pembangkang.

Seramai 20 ahli GMP berarak dari Tugu Negara pada pukul 9.30 pagi tadi ke bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, hanya 10 orang yang dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen pada pukul 10.15 pagi bagi menyerahkan memorandum itu.

ADUN Jelapang DiHalau Dari Premis

ADUN Jelapang Hee Yit Foong yang melompat dari DAP untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional hari ini diarahkan untuk mengosongkan ruang kedai yang dijadikan pusat perkhidmatan untuk rakyat di kawasan DUNnya demikian di laporkan oleh Sin Chew Daily.

Pemilik kedai berkenaan, yang hanya dikenali sebagai Mani, menyatakan dia khuatir para penduduk akan menunjukkan rasa kecewa mereka dengan merosakkan premis berkenaan akibat tindakan Hee yang melompat parti keluar dari DAP.

Mani, yang membuka sebuah kedai gunting rambut, berkongsi separuh dari premisnya dengan Hee.

Beliau telah dilaporkan berkata: “Hee, tolong turunkan papantanda dan keluarkan barang-barang anda. Saya tak mahu sewakan premis ini kepada anda lagi.

“Kebelakangan ini, ramai penduduk yang datang bertanya kepada saya untuk bertanya di aman anda berada. Saya rasa tak berapa senang. Itu salah satu sebab saya bercadang tidak mahu menyewakan premis ini kepadanya lagi,” tambah beliau.

Menurut Mani, Hee menyewa premis tersebut sejak Disember lalu dengan kadar RM320 sebulan. Dia telah membuat pembayaran dua bulan deposit, dan tambahan RM200 untuk deposit eletrik.

Dengan mengarahkan Hee untuk mengeluarkan komputer, meja dan kerusinya sehingga Mac ini, Mani berharap beliau akan menghubunginya segera untuk membereskan masalah tersebut.

Sin Chew melaporkan kali terakhir Hee muncul di pusat berkenaan ialah pada 22 Jan bila dia membahagikan beberapa hadiah untuk golongan tua sempena perayaan Tahun Baru Cina.







Siapa Sebenarnya Penderhaka Kepada Raja?

Di sebalik krisis politik Perak dan syor agak dikembalikan kekebalan Raja-raja Melayu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam menarik perhatian bahawa isu sebenar yang perlu diberikan tumpuan bukannya tentang status Raja-raja Melayu.

Sebaliknya kata beliau, "isu sebenarnya ialah legitimasi proses pembentukan kerajaan baru Barisan Nasional yang mengambil alih daripada Pakatan Rakyat."

Menulis dalam blognya semalam, bekas Naib Presiden Umno itu juga melontarkan pertanyaan siapa sebenarnya yang menderhaka kepada Raja-raja Melayu?

Malah, dalam tulisannya itu, beliau menempelak pemimpin Umno yang mempersoalkan sikap sesetengah rakyat yang dikatakan tidak lagi hormat kepada institusi raja.


Mengambil kira perkembangan semasa beliau turut bertanya "yang mana satukah mendatangkan keburukan lebih besar, antara pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat kepada Sultan Perak baru-baru ini?"

Tengku Razaleigh mengingatkan bahawa Raja-raja Melayu hari ini boleh dibawa ke Mahkamah Khas kerana pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau ketika itu membantah pindaan tersebut dan beliau tidak berganjak dengan hujahnya dalam perbahasan diparlimen 16 tahun lalu.

"Saya menentang pindaan-pindaan ini... Saya masih kekal dengan pendirian ini," katanya lagi.

Dalam tulisannya itu, Tengku Razaleigh turut menyertakan rakaman video ucapannya semasa membahaskan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993.

Tengku Razaleigh juga mempersoalkan sikap pemimpin Umno yang dilihatnya tidak faham isu pokok.

Katanya, "apakah ini seharusnya bentuk pemimpin dan parti yang dimahukan oleh rakyat."

Malah, beliau juga bertanya apakah Umno hari ini benar-benar mempertahankanundang-undang dan institusi raja-raja Melayu seperti yang didakwa.

Mengenai tindakan Karpal Singh mahu menyaman Sultan Perak, TengkuRazaleigh berkata, beliau tidak setuju dengan Pengerusi Kebangsaan DAP itu.

Bagaimanapun tegasnya, Karpal hanya menggunakan haknya yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

G. MANIMARAN, mstar.

Elizabeth letak jawatan ADUN, Exco

Elizabeth memutuskan untuk letak jawatan Exco dan ADUN ekoran tersebarnya gambar dan video separuh bogel beliau.

Ia diumumkan pada sidang media sebentar tadi.

Terdahulu, pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan dua pertemuan penting - peringkat negeri dan pusat malam tadi - bagi membincangkan nasib Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang menjadi mangsa skandal pengedaran gambar bogel.

Satu mesyuarat diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Shah Alam, dihadiri wakil-wakil rakyat negeri itu manakala pertemuan susulan dipengerusikan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara.

Kenyataan berupa "memikul tanggungjawab" akan dikeluarkan oleh PKR hari ini.

Difahamkan Wong juga hadir dalam pertemuan dengan Anwar dan menjelaskan isu berkenaan.

SMS yang diterima awal pagi ini memaklumkan Wong akan mengadakan sidang media khas di Ibu Pejabat PKR pukul 11 pagi ini.

Susulan kedua-dua pertemuan tersebut, mStar Online difahamkan Wong, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor diberikan opsyen untuk dipertimbangkan termasuk melepaskan kedudukannya itu.

"Mesyuarat mengambil kira bahawa isu tersebut merupakan soal peribadi beliau, tetapi kini ia menjadi isu umum.

"Oleh itu, dan memandangkan beliau mengakui gambar-gambar itu adalah diri beliau, maka pemimpin PKR merasakan beliau wajar mengambil tanggungjawab dari sudut moral.

"Justeru, kepimpinan PKR dijangka akan mengeluarkan kenyataan 'bertanggungjawab' esok (hari ini)," kata sumber itu kepada mStar Online tengah malam tadi.

Pertemuan kedua dipercayai berlarutan hingga awal pagi ini.

Malaysiakini melaporkan:

Sementara itu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Elizabeth menawarkan diri untuk meletakkan kedua-dua jawatan tersebut dan kini terpulang kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pihak partinya untuk membuat keputusan muktamad.

Dalam pilihanraya umum lalu, Elizabeth menang dengan memperolehi 12,125 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Gerakan, Yong Dai Ying, yang mendapat 6,970 undi.

Elizabeth menang dengan majoriti 5,155 undi.

Menurut sumber-sumber, jika berlaku kekosongan, antara calon PKR yang disebut-sebut mungkin bertanding di kerusi tersebut ialah bekas pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan yang juga bekas timbalan menteri, Dr Tan Kee Kwong.

Kee Kwong, yang pernah menjadi ahli Parimen Segambut, menyertai PKR Ogos tahun lalu.

Satu lagi calon yang disebut-sebut ialah bekas ketua wanita MCA Klang dan bekas ahli Parlimen Klang, Dr Tan Yee Kew, yang menyertai PKR tahun lalu.

Sementara itu, Adun Kajang, Lee Kim Sin dari PKR disebut-sebut akan dilantik mengisi jawatan exco yang dikosongkan oleh Elizabeth.

Difahamkan, turut dipertimbangkan untuk mengisi jawatan tersebut ialah Adun Rawang, Gan Pei Nee.

1) G. MANIMARAN, MSTAR.
2) MALAYSIAKINI

Harussani Mengadu Dicerca dan Dimaki

Akhbar Utusan melaporkan, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria kesal dan dukacita dengan tindakan penyokong parti pembangkang yang sanggup mencerca dan memaki beliau ekoran kenyataannya, sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah tetap dianggap menderhaka.

Beliau berkata, tindakan berkenaan langsung kononnya tidak menggambarkan akhlak seorang Islam sejati kerana golongan mukmin mestilah takut kepada Allah, Rasul-Nya dan juga pemerintah.

Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din, sebenarnya sebelum ini telah membidas kenyataan Mufti Perak berkenaan dengan menyifatkan kenyataan Dato' Seri Harussani Zakaria, yang mengeluarkan kenyataan sesiapa tidak taat kepada pemerintah dianggap derhaka dilihat sebagai tidak menepati tugasnya sebagai Mufti yang hanya wajib memihak pada Islam dan bukannya pada mana-mana individu apa lagi untuk kepentingan politik.

"Mufti Perak telah menyatakan pendapatnya, tetapi tidak pernah berlaku seumpamanya sebelum ini di mana Mufti telah memihak pada mana-mana parti politik.

"Sepatutnya sebagai orang yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan agama, Mufti tidak seharusnya terjebak dalam kancah politik, selain hanya memihak kepada kebenaran Islam yang satu," ujarnya lagi.

Haron Din, seterusnya memberitahu kenyataan Mufti sedemikian jelas menampakkan ianya kurang bijak dalam memberikan pandangannya berhubung kemelut politik di Perak.

"Kalau nak membuat sebarang ulasan pun biarlah ianya memberi gambaran yang jelas iaitu Islam,"ujarnya lagi.



Tindakan Harussani yang sebelum ini cuba memporak-perandakan Pakatan Rakyat dan PAS dengan mencadangkan supaya PAS bersatu dengan UMNO tidak mudah dilupakan sehingga telah timbul fitnah yang besar melanda jemaah Parti Islam SeMalaysia sedikit waktu lalu.

Mujurlah dengan ketegasan Mursyidul Am PAS waktu itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, PAS kembali bersatu sekalipun PAS hampir "karam" diakibatkan oleh tindakan Mufti Perak yang berkepentingan ini.

Sebenarnya tuduhan beliau menyatakan tindakan berkenaan (menentangnya) kononnya tidak menggambarkan akhlak seorang Islam sejati kerana golongan mukmin mestilah takut kepada Allah, Rasul-Nya dan juga pemerintah menunjukkan ketaksubannya kepada "pemerintah" tanpa memperdulikan samada pemerintah itu berjalan di atas landasan kebenaran ataupun kebatilan.

Tidak perlu untuk saya perdebatkan mengenai penggunaan Ayat 59 Surah Nisa oleh Mufti Perak berkenaan kerana kita serahkan urusan itu kepada ulama-ulama kita sekalipun telah dijelaskan beberapa kali bahawa "pemerintah" yang dimaksudkan di dalam ayat berkenaan ialah pemerintah dari kalangan orang yang beriman - pemerintah yang tidak menentang hukum Allah dan pemerintah yang tidak menderhaka ajaran Allah dan RasulNya.

Bukan bererti saya menyokong tindakan "memaki dan mencaci" yang dituduh telah dilakukan oleh umat Islam terhadap Sang Mufti itu, namun yang nyata kenyataan Sang Mufti itulah sendiri yang mengundang dirinya untuk dicaci dan dimaki kerana telah menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam yang jauh lebih berbahaya dan mudharatnya dari cacian dan makian yang beliau terima itu.

Dan saya tertanya-tanya, adakah Sang Mufti ini juga ada memainkan peranannya di dalam tindakan Sultan Perak yang kontroversi di dalam episod rampasan kuasa di negeri Perak?

UMNO Telah Lama Menderhaka Kepada Allah - Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar UMNO kerana membelakangkan Islam, menggunakan taktik kotor termasuk rasuah politik untuk merampas kuasa yang milik rakyat. Beliau berucap di dalam satu majlis Pertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang di adakan di Taman Melewar baru-baru ini.

Beliau berkata taktik UMNO menculik ADUN Pakatan Rakyat dan menawarkan imbuhan lumayan supaya mereka lompat parti adalah tindakan terdesak kerana mabuk kuasa.

"Padahal UMNO tahu, culik manusia dari segi demokrasi (satu perbuatan yang) tak betul, (manakala) dari segi Islam, ia adalah haram. Mana ada (tindakan) manusia boleh culik macam boleh dijualbeli seperti ikan di pasar. Mana boleh! Tetapi UMNO buat kerja benda gini. Bagaimana kita nak kata UMNO tidak derhaka kepada Allah s.w.t."

Ribuan rakyat telah hadir mendengar gesaan Nik Aziz mengenai usaha Pakatan Rakyat membawa pembaharuan politik di Malaysia berlandaskan nilai-nilai sejagat dan ugama. Beliau merujuk kepada rampasan kuasa di Perak yang didalangi oleh Najib. Ia dilakukan dengan menghilangkan empat ADUN PR selama seminggu sehingga mereka muncul di sisi Najib menyatakan sokongan kepada UMNO.

Di majlis itu, Nik Aziz juga menjawab dakwaan UMNO yang menuduh PAS menjadi alat DAP. Beliau berkata PAS juga boleh menuduh UMNO selama ini menjadi alat MCA dan MIC.

PENYEBARAN GAMBAR BOGEL MEMPUNYAI MOTIF POLITIK

Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Elizabeth Wong menjadi mangsa serangan peribadi apabila gambar bogelnya diambil tanpa kebenarannya disebarkan kepada umum. ADUN Bukit Lanjan itu membuat laporan polis dan menyatakan perbuatan itu dilakukan untuk mencemar peribadinya.

Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah mendakwa penyebaran gambar berkenaan mempunyai motif politik. Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan adala tidak wajar untuk membuat sebarang keputusan buat masa ini sebelum mendapat maklumat sebenar terhadap kejadian itu.

Beberapa pihak telah menyatakan simpati kepada Elizabeth Wong, Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal-Ehwal Pengguna negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan berusia 37 tahun itu termasuk beberapa orang menteri kabinet sendiri dan juga dari Wanita MCA.

PILIHANRAYA KECIL BUKIT GANTANG SEBAGAI REFERENDUM TERHADAP TINDAKAN KOTOR UMNO DAN NAJIB

PAS menganggap pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang sebagai wadah untuk pengundi menyatakan pendirian terhadap rampasan kuasa di Perak yang di dalangi oleh Najib Razak.

Ketua Pemuda PAS, YB Salahuddin AYub menyatakan pilihanraya kecil itu memberi peluang kepada rakyat menghantar mesej yang jelas kepada Najib. Akibat dari rampasan kuasa itu, Perak dilanda krisis perlembagaan dimana kini Perak kini mempunyai dua Menteri Besar iatu Nizar Jamaluddin yang dilantik atas mandat rakyat melalui PRU yang lalu dan Zambry Kadir, Menteri Besar yang dipilih oleh UMNO yang diperkenan oleh Sultan Perak tanpa diadakan pilihanraya atau perakuan dari sidang dewan undangan negeri.

Beliau juga meragui dengan tindakan SPR yang mengambil masa yang lama untuk mengadakan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau meskipun beliau mengharapkan sebelum ini SPR akan mempunyai perubahan di bawah pengerusinya yang baru. Namun beberapa insiden dan yang terbaru iaitu pengumuman tarikh pilihanraya kecil di Bkt Gantang dan Bkt Selambau beiau mula meragui terhadap ketelusan SPR.

Salahuddin juga menyatakan bahawa PAS bersedia untuk menjawab segala fitnah dan tuduhan UMNo dan Najib mengenai isu derhaka.