3 Feb 2009

Ulasan Isu Hangat 3 Feb 2009

Banyak pihak menyelar tindakan Suruhanjaya Pilihanraya yang memutuskan tidak wujud kekosongan bagi kerusi Behrang dan Changkat Jering.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berkata, SPR telah bertindak di luar perlembagaan dalam keputusannya tidak mahu mengiktiraf notis makluman kekosongan yang disampaikan oleh Sivakumar.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor di Perak berkata, bukan urusan untuk SPR bertindak dan merampas jurisdiksi mahkamah dalam mempertikaikan keputusan Speaker DUN negeri itu.

Pakatan Rakyat memberi SPR tempoh 48 jam untuk mengkaji semula keputusannya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi Behrang dan Changkat Jering.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, jika SPR gagal melakukan demikian, Pakatan akan mengambil tindakan susulan yang akan ditentukan kemudian.

"Kami juga menggesa SPR supaya meletakkan jawatan memandangkan ia bukan lagi bebas".

Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS, Mohamad Hanipa Maideen menyatakan kurang keyakinannya terhadap keputusan SPR itu sebagai benar-benar independent (bebas dan berkecuali) dan tidak dipengaruhi oleh parti politik pemerintah.

MENGAPA BUKAN NAJIB YANG NAFIKAN TAWARAN RM50 JUTA?
Isu tawaran RM50juta yang dibangkitkan oleh Ketua PKR Bhgn Ipoh Barat, Fauzi Muda di dalam Akuan Bersumpah telah dinafikan oleh Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin. Ramai yang tertanya-tanya kenapa orang lain yang melakukan penafian itu?

KONSPIRASI JAHAT UMNO PERALATKAN JAMALUDDIN
ADUN Behrang Jamaluddin Mohd. Radzi tampil hari ini membuat kenyataan beliau tidak menyertai mana-mana parti politik yang sekaligus mengesahkan spekulasi banyak pihak sebelum ini yang menyatakan kedua-dua ADUN PKR yang hilang akan menjadi anggota bebas sebelum membuat pengumuman menyertan UMNO.

Beliau yang cuba memperbodohkan rakyat menyatakan beliau sedang mengikuti rawatan tradisional di sebuah kawasan di Pahang dan menolak dakwaan beliau menerima habuan untuk menyertai BN.

Semalam Firdaus Saharuddin dan Puzi Ghazali yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai khas kepada kedua-dua exco terbabit mengedarkan kenyataan kepada media tanpa kemunculan kedua-dua exco terbabit termasuklah Jamaluddin. Menurut aminiskandar Firdaus Saharuddin yang mendakwa dirinya adalah pegawai khas kepada Jamaluddin Mat Radzi adalah seorang kontraktor di Behrang dan merupakan ahli Umno disitu.

Apakah Firdaus Saharuddin dan Puzi Ghazali dihantar oleh Umno untuk membuat kenyataan bagi pihak Jamaluddin dan Osman?

Menurut Harakahdaily, Jamaluddin adalah exco yang memburuk-burukkan Menteri Besar sendiri dengan pelbagai tohmahan sebelum ini.




SPR Bertindak "Ultra Vires" & Hina Sultan Perak

SPR hari ini telah bertindak "ultavires" (melampaui bidang kuasanya) apabila mengumumkan tiada pilihanraya kecil di Perak.

Demikian ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, YB Tian Chua. Beliau menambah di bawah perlembagaan, SPR tiada kuasa untuk mempersoalkan keputusan speaker dewan undangan negeri Perak.

"Dengan ketiadaan keputusan atau perintah mahkamah, tugas SPR hanyalah untuk menentukan tarikh dan menjalankan pilihanraya kecil, dan bukan untuk menentukan kesahihan perletakan jawatan (yang mana ia bidangkuasa mahkamah).

Sementara itu ADUN Titi Serong, YB Khalil Idham Lim menyatakan tindakan SPR itu menghina Sultan Perak.

Saya menyifatkan Suruhanjaya itu bertindak "bercanggahan dengan perlembagaan" negara dan negeri Perak apabila membelakangkan keputusan Speaker DUN Perak.

Lebih malang apabila dokumen yang dipertikaikan oleh SPR itu telah diserahkan kepada DYMM Sultan Perk kelmarin oleh Menteri Besar Perak, dan mendapat ulasan banyak pihak seperti bekas Hakim dan bekas Pengerusi SPR mengenai SPR yang patut akur dengan keputusan Speaker sesuai dengan peruntukan undang-undang yang diberi.

Keputusan mengosongkan DUN berkenaan dengan pertikaian kesahihan surat adalah dua perkara berbeza. Hanya mahkamah tempat yang boleh mengesahkan pertikaian surat perletakan dua ADUN.

Kenapakah SPR pada hari ini bertindak seolah-olah sebagai mahkamah dan saya menyifatkan sebagai satu keputusan yang jelas dipengaruhi oleh kepentingan politik pihak tertentu.

Dengan ini selaku pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak membantah keputusan SPR yang jelas menghina Sultan Perak dan Institusi Speaker di Negeri Perak.

Keadaan ini amatlah dikesali dan sangat tidak bertanggung jawab dalam suasana hari ini seluruh rakyat di Perak malah diseluruh negara sedang meraya Jubli Perak DYMM Sultan Perak yang kami kasihi.
.






UMNO Takut Hadapi Pilihanraya

Nampaknya UMNO/BN masih meneruskan agenda jahatnya untuk merampas Perak dengan menggunakan kaedah tidak demokratik.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia di dalam keputusannya menyatakan bahawa kerusi Behrang masih lagi disandang oleh Jamaluddin Mat Razi dan Changkat Jering masih diwakili oleh Osman Jailu.

Dengan keputusan itu juga kredibiliti Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah tercalar dan turut dipersoalkan oleh rakyat yang mana dilihat keputusannya itu lebih dipengaruhi oleh elemen yang datang dari parti kerajaan. Ini kerana bekas Pengerusi SPR sendiri, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum ini telah menyatakan: "mengikut perundangan pilihan raya, sebaik sahaja notis kekosongan diterima daripada Speaker, pilihan raya kecil wajar diadakan.

Mengikut skop perundangan, kata beliau, SPR perlu menerima langkah Speaker mengumumkan kekosongan yang tidak boleh dicabar atau diketepikan.".

"Sama ada seseorang wakil rakyat itu mahu mengambil tindakan mahkamah kononnya pihak tertentu atau parti mereka menggunakan surat letak jawatan yang telah ditandatangani terlebih awal, sebelum kekosongan diumumkan, merupakan satu soal berlainan."

Ini juga bererti Pengerusi SPR ini gagal menjalankan tugasnya secara professional dan non-partisan.

Pemerhati politik berpendapat segala-galanya ini telah dirancang oleh dalang yang menculik kedua-dua exco berkenaan yang membawa mereka ke Pekan Pahang baru-baru ini.

Keputusan SPR itu juga persis mahu melaksanakan harapan Perdana Menteri yang sebelum ini menyatakan adanya ADUN PR dari Perak akan menyertai UMNO.

Ini kerana bagaimana mungkin kedua-dua exco tersebut hanya muncul sebaik sahaja speaker Dewan Undangan Negeri Perak menyatakan perletakan jawatan mereka dan kemudiannya kedua-dua exco ini menafikannya.

Yang aneh pada hari semalam mereka dikatakan masih di dalam perjalanan pulang dari Pahang tetapi telah mampu untuk menghantar surat penafian perletakan jawatan kepada Pembantu Khas mereka dan juga surat penafian perletakan jawata kepada SPR.

Sementara itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberi jaminan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas, termasuk dirinya tidak akan keluar parti dan memberi sokongan penuh kepada Pakatan Rakyat.

"Tindakan Barisan Nasional (BN) yang mengadakan perjumpaan dengan dua Adun itu Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jong, Osman Mohd Jailu lebih melahirkan perasaan simpati rakyat, sekali gus meraih sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat."

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pula telah menyatakan

Dilihat dari gaya berita, Jamaluddin sebenarnya tidak berhasrat meletakan jawatan ADUN tetapi surat persetujuannya meletakkan jawatan ADUN yang telah ditandatangani sebelum ini mungkin telah digunakan untuk dimajukan kepada Speaker.

Maknanya, Jamaluddin bersetuju keluar parti (dalam proses menjayakan apa yang disebut Abdullah) tetapi tidak mengjangka langkahnya dihalang dengan tindakan pengosongan kerusi. Jamaluddin mungkin terkejut. Itu menyusahkan beliau. Pemimpin UMNO yang mungkin bersama merancang penyeberangan juga sudah tentu terkejut.

Kalau begitu, pilihanraya semula adalah sesuatu yang tidak mereka gemari. Mereka nak kerusi percuma dan tak mahu berhadapan semula dengan pengundi.


Husam menambah lagi:

Samada pengosongan kerusi itu sah atau tidak adalah soalan yang akan ditentukan akhirnya. Tetapi, samada pemimpin UMNO menyokong atau tidak satu pilihanraya kecil diadakan adalah mustahak. Jika tidak, UMNO telah tersilap langkah dan pengumuman Abdullah telah menjejaskan strategi UMNO samada untuk mendapatkan ADUN percuma maupun stand UMNO/BN tentang lompat parti. Selepas ini, UMNO/BN tidak lagi boleh bercakap mengenai undang-undang anti lompat.

Abdullah yang pada mulanya telah ceria dengan bakal berita penyeberangan, sudah tentu tercabar kredibilitinya. Watak beliau kelihatan seperti Pak Kadok - pengumuman Pak Kadok mengundang malang.


LANGKAH SEWAJARNYA KINI:

1. Speaker Dewan Undangan Negeri wajar mengheret SPR ke muka pengadilan. Ini kerana "Mengikut undang-undang (Perlembagaan negeri dan persekutuan), SPR perlu menghormati notis pengesahan kekosongan dan mengadakan pilihan raya kecil dengan sewajarnya (dalam 60 hari)."

2. Jawatankuasa Tertinggi Pakatan Rakyat perlu bermesyuarat dan mengambil ketetapan membantah keputusan SPR tersebut disamping memobilasikan rakyat supaya memandang jijik perbuatan UMNO dan SPR berkenaan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima di dalam sebuah negara demokrasi yang berdaulat bagi menghentikan segala eksploitasi dan manipulasi tangan-tangan eksekutif demi membersih dan meletakkan identiti SPR ke tahap yang lebih telus dan dihormati.




Najib Sudah Hilang Kredibiliti Memimpin Negara

Ekoran pendedahan Ketua bahagian KeADILan Ipoh Barat, Fauzi Muda yang mendakwa Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencuba tahun lalu untuk memujukkan supaya melobi dua ahli dewan undangan negeri (Adun) Pakatan Rakyat) di Perak supaya melompat parti dengan habuan RM50juta, kredibiliti Najib yang bakal ditabalkan sebagai Perdana Menteri ke 6 kini sedang dipersoalkan.

Sekalipun agensi berita nasional BERNAMA cuba melakukan cover-up terhadap kes berkenaan dengan memetik ulasan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian yang menyatakan dakwaan itu tidak logik kerana lebih baik BN menggunakan wang yang besar jumlahnya itu untuk projek yang membawa faedah dan manfaat kepada rakyat, terutama projek pembangunan yang akan memberi kelebihan kepada parti gabungan itu daripada membeli dua ADUN PR.

"Kenapa perlu menghabiskan RM50 juta untuk dua orang wakil rakyat? Ia perkara yang tidak rasional dan merupakan satu tuduhan liar oleh Pakatan terhadap BN, dan jika BN membuat tawaran sedemikian, ia memberikan imej negatif kepada parti gabungan itu".

Namun Dr. Sivamurugan terlupa bahawa sebenarnya pembelian kedua-dua ADUN berkenaan adalah di dalam satu grand-design untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat. Justeru itu RM50juta adalah satu angka yang sudah menjadi kecil pada orang yang telah terdesak untuk menunjukkan bahawa kononnya parti di bawah kepimpinannya telah menerima sokongan rakyat.

Harakahdaily melaporkan Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Mahfuz Omar menyatakan beliau tidak terkejut dengan pendedahan itu malah ia merupakan amalan biasa bagi Umno.

Beliau berkata sebelum ini Umno dan Barisan Nasional (BN) pernah cuba membeli calon PAS di Johor dan terdapat bukti di mana BN melakukan perkara yang sama di Sabah.

"Perkara ini satu amalan biasa bagi Umno dan BN. Suatu masa dahulu Adun PBS di Sabah di culik dan dikuarantin dan akhirnya BN dapat bentuk kerajaan di Sabah," tegas beliau.

"Pada tahun 60an juga, akibat dari perbuatan Umno ini lah yang menyebabkan kerajaan PAS di Terengganu tumbang," tegas beliau.

Fauzi turut mendakwa baru-baru ini ditawarkan pula RM5 juta untuk dirinya serta RM5 juta seorang untuk mendapatkan keduadua Exco kerajaan Negeri Perak daripada PKR iaitu Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) supaya melompat parti.

Beliau mendakwa kononnya BN turut berjanji akan menggugurkan tuduhan rasuah ke atas Mohd Osman dan Jamaluddin iaitu dakwaan menerima rasuah berhubung kelulusan permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah.

Pendedahan ADUN Bukit Selambau Kedah, Arumugam a/l Vengatarakoo yang mendakwa terhadap cubaan untuk menculiknya pada 17/10/2008 disamping tawaran daripada beberapa individu untuk memujuknya keluar dari Parti Keadilan Rakyat, yang terbaru sekali beberapa hari yang lalu, dengan beberapa tawaran lumayan menjelaskan bahawa UMNO/BN sanggap melakukan apa saja bagi mempastikan mereka mendapat semula kerusi-kerusi DUN atau parlimen yang telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat sekalipun menggunakan taktik kotor.

Seandainya Najib sebelum ini pernah bersumpah beliau tidak mengenal Altantuya, kini beliau dicabar untuk bersumpah bahawa beliau tidak terlibat di dalam isu penculikan dua exco negeri Perak beberapa hari lalu dan juga menawarkan jutaan ringgit kepada individu yang sanggup melompat parti dari Pakatan Rakyat ke UMNO/BN. Beliau juga dicabar untuk bersumpah bagi menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau terlibat di dalam mempengaruhi keputusan hakim yang membebaskan Abdul Razak Baginda di dalam kes Altantuya.

Beliau yang selama ini seniasa memperlekehkan setiap tuduhan dan cabaran yang dihadapkan kepadanya tidak lagi akan dapat melepaskan diri terutama di dalam isu kemelut politik di Perak apabila telah nyata bahawa beliau terlibat dengan strategi jahat dan kotor untuk merampas Perak dengan cara yang tidak demokratik.

Dengan pelbagai laporan terkini, rakyat menjadi semakin sangsi apakah beliau kerkesempatan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke6 kerana perbuatan jijik yang dilakukan dengan menggunakan limpahan dana sebegitu banyak untuk menjadi orang nombor 1 negara tidak mungkin akan berjaya.

Arus kebangkitan rakyat pasca pilihanraya menyaksikan bahawa rakyat menolak segala bentuk rasuah, kezaliman dan penipuan yang menjadi amalan UMNO/BN selama ini dan rakyat akan tetap menghukum pemimpin-pemimpin yang tidak bertegriti daripada berkuasa.

Suara rakyat adalah suara keramat. PRK Kuala Terengganu yang lalu mengesahkan jutaan ringgit yang ditaburkan oleh Najib sebagai jurumudi kempen UMNO/BN sudah tidak lagi mampu untuk menjamin boleh menjulangkan semula namanya seperti kesombongannya dan keangkuhannya di dalam PRU2004 setelah meraih majoriti yang lebih besar selepas hanya menang dengan majoriti 241 undi pada PRU11 pada 1999 di Pekan Pahang. Jangan lupa fakta itu Najib!






Persoalannya Kenapa Kedua Exco Ini Tidak Jujur?

Apa yang perlu dilakukan kini oleh kedua-dua exco Perak yang diculik ialah BERKATA BENAR. Rakyat menuntut supaya mereka berlaku jujur terhadap apa yang sebenarnya berlaku sepanjang tempoh "kehilangan" mereka sehingga mereka tidak dapat dihubungi oleh pimpinan Pakatan Rakyat, malah oleh ahli keluarga mereka sendiri.

Memberi alasan sakit di belakang badan dengan kemudian dikatakan berada di negeri Pahang untuk mendapatkan rawatan menjadikan rakyat terus sangsi dan berteka-teki terhadap apa yang sebenarnya berlaku.

Lebih melucukan salah seorang menteri yang bermasalah Syed Hamid Albar namanya yang cuba melakukan "cover-up" untuk sdra berdua menyatakan sdra mungkin pergi bersiar-siar di Pahang.

Mengapa perlu takut untuk menyatakan hal sebenar? Mengapa perlu berhelah untuk menipu rakyat? Mengapa perlu risau jika anda tidak melakukan apa-apa kesalahan?

Akibat daripada ketidakwujudan kejujuran, maka rakyat tidak dapat untuk bersama anda sekalipun rakyat mengetahui anda berdua difitnah dengan kes rasuah yang anda tidak lakukan.

Atau apakah alasan-alasan yang mutakhir yang anda berikan itu juga termasuk di dalam skrip "grand design" yang diatur oleh mereka yang membawa anda ke Pahang?

Kini, tidak banyak yang boleh dilakukan lagi. Hanya menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihanraya menentukan samada pilihanraya kecil bakal diadakan di Behrang dan Changkat Jering, tempat dimana sdra-sdra adalah wakil-wakilnya.

Seandainya berlaku pilihanraya kecil, adalah malang sdra tidak boleh lagi bertanding. Yang ada hanyalah mengharapkan tindakan mahkamah untuk sdra cabar mengenai surat perletakan jawatan yang sdra sendiri perlu akui akibatnya sewaktu menandatanginya dahulu.

Dan itupun jika sdra masih meyakini perjuangan yang sdra telah ikuti bersama iaitu di dalam wadah Parti Keadilan Rakyat.

Seandainya ditakdirkan sdra menang di mahkamah kemudian mengisytiharkan diri menjadi ahli bebas atau lebih buruk dari itu, menyeberangi ke parti UMNO/BN, maka benarlah spekulasi rakyat selama ini bahawa anda berdua telah termakan umpan jutaan ringgit dari dalang yang kuasanya semakin hilang yang anda temui di Pekan Pahang itu. Sewajarlah nanti kutukan ditimpakan kerana ketidak-jujuran dan penipuan yang dilakukan.

Mangsa yang telah terkena bukan sdra berdua. Telah ramai menerima habuan itu, Balasubramaniam, Saiful, Ezam dan beberapa hakim yang terlibat di dalam kes Altantuya adalah kemungkinan diantara mereka yang tersenarai lebih dulu dari sdra berdua.

Ingatlah, sekali lencong ke ujian seumur hidup orang tak percaya!