30 Jan 2009

Ulasan Isu Hangat 30 Jan 2009

Keputusan SMS menunjukkan 75% tidak setuju cadangan supaya Akta Lompat Parti diwujudkan untuk menghalang mana-mana wakil rakyat melompat dari satu parti ke parti lain. Mursyidul Am PAS, TG Nik Abdul Aziz pernah menyatakan tidak perlu kepada undang-undang khas menghalang mana-mana wakil rakyat melompat parti.

Ini kerana kata beliau ia adalah hak individu terbabit.

“Walaupun undang-undang dibuat untuk mengekang kemaraan anggota Parlimen atau anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) supaya tidak melompat parti, namun tindakan melompat parti boleh berlaku juga,” (Rujuk Harakah 14 Mei 2008)

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga menyifatkan cadangan menggubal undang-undang menghalang wakil rakyat melompat parti dibuat atas kepentingan Umno dan bukannya atas dasar demokrasi.

PERTIKAMAN LIDAH ERDOGAN DENGAN SIMON PERES

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bertindak meninggalkan sidang Forum Ekonomi Dunia (WEF) di hari kedua selepas terlibat dengan perdebatan hangat dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung konflik di Genting Gaza.

Erdogan mengkritik hadirin yang terdiri daripada tokoh korporat dan politik antarabangsa kerana memberi tepukan selepas Peres dengan penuh emosi mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza, sehingga menyebabkan lebih 1,300 rakyat Palestin terkorban.

RAMLANG TIDAK MENYESAL

Bekas imam masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi menyatakan beliau tidak menyesal memberikan ucapan di pentas parti keadilan semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh Ogos lalu. Beliau telah dipecat oleh JAKIM kerana melakukan pendedahan sebenar apa yang berlaku pada masa "sumpah laknat" Saiful Bahri yang mendakwa dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar.

GENERASI MUDA UMNO SOKONG RASUAH?

Generasi muda UMNO dilihat seakan-akan menyokong kegiatan rasuah apabila mengadakan satu bantahan terhadap SPRM dalam menjalankan siasatan terhadap ahli-ahli UMNO yang didakwa menyogok wang kepada perwakilan. Mlah mereka turut mengutuk Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO Tan Sri Tg Ahmad Rithaudeen yang mencadangkan supaya sayap-sayap UMNO dimansuhkan.

KRISIS UMNO PERAK

ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim berkata Umno dilanda krisis dan adun parti itu mempunyai kebijaksanaan menilai kedudukan mereka. Yang pasti ramai yang tidak berpuashati dengan pelbagai isu termasuk kepimpinan di dalam parti tersebut.





Benar UMNO Sedang Menunggu Ajalnya

Setelah saranan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin supaya sayap-sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO dimansuhkan bagi membanteras gejala politik wang tidak diambil peduli, maka itu petanda UMNO sedang menuju kehancurannya.

Persis seorang doktor yang melakukan diagnosis terhadap seorang pesakit yang diserang diabetes mengetahui bahawa kaki dan tangan pesakit perlu dipotong sebelum penyakit itu terus menyerang seluruh badan pesakit tidak diindahkan oleh ahli keluarga pesakit, ertinya saat ajal pesakit berkenaan semakin hampir.

Jika saranan "sang doktor" itu diterima ada kemungkinan peluang untuk hidup sekalipun ringkas masih ada setidak-tidaknya menggunakan "kaki palsu" atau "bertongkat" untuk berjalan, tetapi pemimpin UMNO lebih rela menanggung derita untuk menerima hakikat bahawa "kematian" itu sudah seperti tidak dapat dielakkan dan hanya berserah kepada takdir tanpa perlu diikuti nasihat sang doktor berkenaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib menolak saranan Pengerusi lembaga Disiplin UMNO berkenaan. Begitu juga sayap-sayapnya. Ketua Wanita UMNO tidak mempercayai politik wang itu adalah parasit yang bakal membunuh UMNO malah menganggap politik wang yang menimpa UMNO sekarang hanya sebagai seekor nyamuk:

"Marah nyamuk (kenapa) kelambu harus dibakar... hanya segelintir anggota Umno terlibat dalam gejala politik wang, jadi mengapa 'kelambu' yang berusia lebih 50 tahun menjadi tonggak kekuatan Umno mahu dibakar?"

Saranan doktor yang merawat pesakit nampaknya tidak dihormati lagi apabila saranannya untuk menyelamatkan pesakit tidak diindahkan, malah diperlekehkan daripada kepala keluarga sampailah kepada anak buahnya yang lain.

Oleh itu, seperti yang disuarakan sebelum ini oleh seorang calon Naib Presiden UMNO yang terkempas-kempis untuk mendapatkan pencalonan yang mencukupi bagi melayakkan beliau bertanding, Datuk Seri Abd Hamid Albar sendiri menyuarakan

"Umno mesti berubah sebelum rakyat mengeluarkan hukuman mati terhadapnya"

nampaknya sudah memperlihatkan tanda-tanda sememangnya UMNO sedang menunggu saat ajal untuk menyapanya.

Tajol Akhirnya Terbelit Sendiri

Akhirnya Tajol yang berputar belit mengenai isu perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan terbelit dengan penafian yang dilakukan semalam.

Laporan terkini: "Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat lebih tiga jam, menerima keputusan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkuasa kuasa serta-merta."

Dilaporkan lagi: "Kekosongan itu diisi oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Jawatan Timbalan Pengerusi Umno Perak pula akan disandang oleh Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi."

Seandainya Tajol Rosli tidak membuat kecoh semalam dengan membuat penafian terhadap kenyataannya yang dibuat sebelum ini(sekalipun di dalam pertemuan tertutup) tentang perletakan jawatannya, sudah pasti maruahnya tidak secemar kini.

Di Kampar, beliau menyelar BERITA HARIAN yang melaporkan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak.

Tetapi anehnya beliau berkata akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Gerik pada 29 Mac ini dan juga tidak akan bertanding mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi pada perhimpunan agung Umno dari 24 hingga 28 Mac ini, yang sekali gus akan menyebabkan semua jawatan yang disandangnya melalui lantikan termasuk sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, tergugur.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah berkata, alasan yang diberikan oleh Tajol ialah "adalah lebih baik orang lain memimpin Perak selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota menyertai pembangkang."

"Kita menghormati kehendak dan keputusan. Dia nak undur diri. Lebih baik rasanya bagi orang lain pimpin Umno Perak," katanya

Itulah akibat dari orang yang gagal untuk memegang prinsip "honesty is the best policy". Akhirnya diri sendiri yang ditimpa keaiban apabila telah lama merancang untuk mengaibkan orang lain - HUKUM KARMA mengambil tempatnya! (Untuk tujuan rekod, Tajol Rosli adalah orang yang bertanggungjawab mengaturkan konspirasi sehingga dua orang exco dari Pakatan Rakyat Perak diheret ke mahkamah di atas tuduhan rasuah di atas satu projek prumahan yang tidak pernanh diluluskan).