17 Dis 2009

Siapa Sebenarnya Yang Lantik J/K Disiplin Parti?

Peti email GB terus-terusan dipenuhi dengan pertanyaan dan persoalan mengenai Pengerusi Lembaga Tatatertib PAS yang kini sedang menyiasat PAS Selangor yang seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily di atas arahan Tuan Presiden.

Adalah menjadi sesuatu keanehan bagaimana arahan boleh diberikan oleh Presiden kepada satu jawatankuasa yang mengikut Perlembagaan PAS, J/K Disiplin ini sepatutnya dilantik oleh Majlis Syura Ulamak.

GB telah mempersoalkan hal ini di dalam satu tulisan di blog Kelab GB tetapi tidak mendapat respons kerana masin-masing tergamam mengenai persoalan "siapa sebenarnya yang telah melantik Jawatankuasa Disiplin PAS?".

Tuan Ibrahim Tuan Man pula nampaknya telah acapkali mengeluarkan "kenyataan-kenyataan yang bias" yang tidak menampakkan beliau mempunyai kredibiliti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin. GB telah juga mengulasnya di SINI.

Diperturunkan kembali tulisan GB yang lepas untuk masing-masing melakukan penilaian supaya kebenaran dan keadilan itu dapat ditegakkan seperti sepatutnya.



Lembaga Disiplin PAS Ikut Arahan Siapa?

Saya telah diminta pandangan untuk membincangkan isu mengenai Lembaga Disiplin Parti Islam SeMalaysia yang mendapat arahan menyelesaikan segera beberapa isu dalaman PAS.

Lembaga Disiplin PAS telah mengadakan persidangan buat pertama kalinya pada 31 Oktober lalu yang dilaporkan memulakan siasatnnya terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini mempunyai lima anggota yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Ustadz Tuan Ibrahim Tuan Man. Sementara jawatankuas yang lain terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS.

Lembaga Disiplin dikatakan akan akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil setelah siasatan ke atas isu PAS Selangor itu selesai.

Persoalan kini, Lembaga Disiplin ini dibentuk oleh parti dengan kuasa pihak mana, mendengar dan mendapat arahan dari siapa serta perlu membuat cadangan kepada pihak mana.

Berdasarkan Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia, Fasal 7 Ceraian 3(c) yang menerangkan hal Hukum dan Kekuasaan Majlis Syura Ulama berbunyi:

Memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS dan melantik ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 75 Perlembagaan ini.

Fasal 75(2)

Sebuah Jawatankuasa Tatatertib hendaklah ditubuhkan di peringkat pusat. Adapun Perhubungan Negeri, Kawasan-kawasan, Cawangan-cawangan dan Dewan-dewan bolehlah melaporkan apa-apa tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang didapati melanggar Tatatertib parti kepada Setiausaha Agung atau Pejabat Agung untuk tindakan sewajarnya oleh Jawatankuasa Tatatertib itu.

Pasal 75(3) berbunyi

Jawatankuasa Tatatertib itu hendaklah terdiri dari:
(a) Seorang Pengerusi
(b) Seorang Setiausaha, dan
(c) Tiga Ahli Jawatankuasa.

Fasal 75(4)

"MAJLIS SYURA ULAMAK", menurut kuasa yang diperuntukkan kepadanya dalam Fasal 7(3)(c) Perlembagaan ini adalah diberi kuasa melantik semua ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib dari masa ke semasa.

Fasal 75(5)

Kuasa Jawatankuasa Tatatertib itu ialah
(a) Memberi amaran
(b) Melucutkan hak-hak dalam parti
(c) Menggantung keahlian
(d) Memecat dari menjadi ahli

Fasal 75(6)

Seseorang ahli yang tidak berpuashati terhadap sebarang tindakan dan keputusan yang dikenakan ke atasnya oleh Jawatankuasa ini bolehlah membuat rayuan bertulis kepada "MAJLIS SYURA ULAMAK" dalam tempoh tidak lewat daripada enam puloh hari dari tarikh tatatertib itu diambil terhadapnya. Keputusan "MAJLIS SYURA ULAMAK bersabit dengan rayuan itu adalah muktamad.

Fasal 77(7)

"MAJLIS SYURA ULAMA" dalam keadaan tertentu dalah berhak mengambil apa-apa tindakan tatatertib dengan sendirinya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tatatertib ke atas mana-mana ahli PAS yang diadukan kepadanya oleh mana-mana pihak yang tersebut dalam ceraian (2) Fasal ini. Keputusan dan tindakan "MAJLIS SYURA ULAMAK" itu adalah muktamad.

Senario yang ada kini nampaknya tidak memenuhi tuntutan seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan.

Menurut Perlembagaan PAS, hal-ehwal tatatertib(disiplin) adalah di bawah urusan Majlis Syura Ulamak yang diberi kuasa untuk menubuhkan Lembaga Disiplin yang dianggotai lima orang jawatankuasa.

Namun, semenjak isu Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali timbul dan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat bagi membincangkan hal itu, Lembaga Disiplin seperti sudah lari dari peranannya yang sepatutnya menerima arahan dari Majlis Syura Ulamak, bukan dari pihak lain. Ini adalah kerana pembentukannya sepertimana yang ditunjukkan di atas dilakukan oleh Majlis Syura Ulamak. Jika perlantikan Jawatankuasa Disiplin yang ada pada hari ini bukan dari Majlis Syura Ulama, dengan sendirinya Lembaga Disiplin yang ada adalah sebuah jawatankuasa yang haram, batal dan tidak sah.

Justeru itu laporan harakahdaily bertarikh 30 Oktober 2009 bercanggah dengan Perlembagaan parti:

Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor.

Arahan ini dibuat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam.


Tidak ada arahan sepatutnya boleh dilakukan oleh Presiden atau Jawatankuasa Pusat atau mana-mana pihak ke atas Lembaga Disiplin kerana Lembaga Disiplin adalah bebas dari sebarang tekanan, manipulasi, eksploitasi, arahan atau apa-apa bentuk suruhan dari mana-mana pihak kecuali Majlis Syura Ulamak.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa PAS Pusat boleh mengambil tindakan berdasarkan Fasal 23(7)(g) tanpa melibatkan Lembaga Tatatertib

Menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti, dan berkuasa menggantung dan membubarkan serta mengambil alih mana-mana Badan Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan dengan melantik satu Jawatankuasa tadbir sementara yang akan mempunyai kuasa sebagaimana sesebuah Jawatankuasa yang diambil menurut Perlembagaan ini untuk tempoh masa yang ditentukan.

Fasal 75 (2) yang menyatakan "apa-apa tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang didapati melanggar Tatatertib parti kepada Setiausaha Agung atau Pejabat Agung untuk tindakan sewajarnya oleh Jawatankuasa Tatatertib itu" bukan memberi kuasa Setiausa Agung untuk mengarahkan tetapi adalah tugas Setiausaha Agong memaklumkan kepada Lembaga Disiplin parti.

Dari Perlembagaan PAS, jelas, bahawa Majlis Syura Ulamak yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am adalah kuasa tertinggi di dalam parti yang bertakluk (bukan tertakluk) ke atas Lembaga Disiplin. Lembaga Disiplin PAS perlu mematuhi hal ini.


Kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin yang menyatakan "lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil" adalah tidak betul kerana mengikut perlembagaan, cadangan hendaklah dihantar terus kepada Majlis Syura Ulamak, bukan Jawatankuasa PAS Pusat kerana nantinya sebarang rayuan adalah dilakukan kepada Majlis Syura Ulamak berdasarkan kepada Fasal 75(6).




Jawatakuasa Disiplin Tidak Boleh Bias

Dato Tuan Ibrahim, selaku Pengerusi Lambaga Tatatertib (meskipun GB sehingga kini masih belum mendapat jawapan tentang pembentukan Lembaga tatatertib samada ia memenuhi kehendak Perlembagaan Parti seperti GB nyatakan di SINI) sepatutnya tidak mengeluarkan perkataan ini:

"Memang ada tuduhan, tapi tuduhan itu tak semestinya benar,"

Sebab saya menyatakan ia tidak boleh di keluarkan, awal-awal lagi ia menunjukkan ciri bias. Kerana ianya boleh ditempelak, "tuduhan itu tak semestinya salah" dan dengan sendirinya kredibiliti dan integriti Lemabaga tatatertib boleh dipersoalkan lantarannya.

Senario yang hampir sama pernah berlaku semasa Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), yang setelah menerima surat pengosongan DUN Changkat Jering dan Behrang mengeluarkan kenyataan berikut:

"Saya telah terima surat dari Speaker Perak, tetapi saya juga telah menerima surat bantahan dari ADUN-ADUN berkenaan".

Sedangkan surat-surat dari ADUN-ADUN berkenaan sepatutnya tidak dilayan kerana tiada peruntukan undang-undang untuk Pengerusi SPR berbuat demikian.

Hasilnya, keputusan tidak berpihak kepada kebenaran yang sepatutnya pilihanraya kecil diadakan, tetapi berpihak kepada konspirasi untuk mempastikan kedua-dua kerusi itu kekal kepada BN.

Jawapan yang hampir sama diberikan oleh Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) sewaktu ditanya mengenai kes rasuah bekas MB Selangor, Mohd Khir Toyo.

"Memang ada laporan tentang kes rasuah berkenaan, tetapi tiada ada bukti kukuh untuk mendakwanya".

Dan Mohd Khir Toyo bebas lepas.

Itu dua contoh "hakim" yang tidak berwibawa. Itu contoh "hakim" yang menyalahgunakan kuasa. Itu contoh "hakim" yang khianat dan durjana.

Seorang hakim tidak boleh berpihak. Seorang hakim perlu adil. Seorang hakim perlu menghukum dengan kebenaran dan keadilan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Hakim itu ada tiga macam, Satu di syurga dan dua di neraka:
1) Yang di syurga adalah hakim yang tahu kebenaran dn ia menghukum dengan kebenaran tersebut
2) Seorang lelaki yang tahu kebenaran tetapi ia menyimpang daripada kebenaran itu, maka ia ke neraka
3) Seorang lelaki yang menghukum manusia tanpa ilmu, maka ia ke neraka.
(Abu Dawud, Tarmidhi, Ibn Majah)

Sebelum ini, GB menyatakan bahawa Perlembagaan PAS menetapkan bahawa Jawatankuasa Tatatertib perlu dilantik oleh Majlis Syura Ulamak.

Jika jawatankuasa yang ada tidak dilantik oleh Majlis Syura Ulamak, tetapi oleh Presiden dan sebagainya, dengan sendirinya ia terbatal dan tidak berkuatkuasa.


Majlis Syura Ulamak sepastinya mengetahui bahawa Jawatankuasa Disiplin yang hendak dilantik perlu mempunyai kriteria seseorang itu mempunyai 'ilmu (dan sebaik-baiknya ada pengalaman) di dalam bidang perundangan dan penghakiman bersuaian dengan hadith yang dinukilkan tadi.

Ini diperkuatkan dengan satu hadith yang lain:

“Apabila sesuatu urusan itu diserahkan bukan kepada ahlinya, maka nantikanlah kehancuran” – (Bukhari)

Ketelitian pemilihan jawatankuasa disiplin atau tatatertib perlu diberikan perhatian serius oleh parti agar kebenaran dan keadilan itu benar-benar ditegakkan.

Saya dengan ini meminta supaya persoalan mengenai ahli jawatankuasa Lembaga Tatatertib disemak semula supaya melantik mereka yang benar-benar berkeahlian memegang jawatan itu sebelum PAS hancur binasa kerananya sesuai dengan amaran hadith kedua tadi.


Mohon pencerahan dari pihak tertinggi parti sebelum sbarang kesilapan (jika ada) terlajak jauh. PAS perlu diselamatkan dari tidak mengikuti Perlembagaan Parti.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Memang ketara Tn Ibrahim ini bias.

Saya lebih suka jika Jawatankuasa Disiplin dipengerusikan oleh mereka yang tidak memegang apa-apa jawatan di dalam parti supaya tidak timbul soal bias.

Hassan Syukri, Subky Latif dan Tun Salleh Abbas adalah di antara calon yang paling layak.

Tanpa Nama berkata...

Inilah akibatnya apabila sesuatu tindakan dibuat tanpa merujuk kepada perlembagaan parti yang kita sendiri gubal tetapi pemimpin tidak pun merujuk kepada perlembagaan parti yg sudah ada. Amat hairan kerana apakah selama ini tidak ada Badan atau Lembaga disiplin parti sehinggakan struktur organisasi dan bidang kuasa badan inipun tidak diambil peduli. Kalaulah pendedahan ini tidak dibuat oleh GB nescaya akan "wala membabi buta" lah sekalian ahli PAS yang ada. Nampak gaya pimpinan sendiri perlu didisiplinkan dan perlu dikenakan tindakan disiplin. Lucu bukan? Apa akan jadi jika badan ini tidak diperbetulkan? Jika badan ini terus juga beroperasi, ia akan membuatkan segala keputusan lembaga ini menjadi sia-sia, tidak sah, terbatal dengan sendirinya. Maka akan ketawalah puak2 UG jika sekirannya mereka didapati bersalah. Hehehehe... Tetapi mampukah pemimpin akan BERKEPALA DINGIN (quote kata-kata Ust Dzholkarnain Abidin-Perlis) iaitu dengan menerima pandangan ahli dan seterusnya memperbetulkan segala kesipan yang berlaku. Wallahu 'alam. Kita sama-sama perhatikan....

Tanpa Nama berkata...

Pemimpin yang tak ikut Perlembagaan biasanya adalah yang gila kuasa.

tak payah sebut nama. orang kampung dah tahu.

sb dehlawi berkata...

Pas sekarang jadi macam umno. ikut presiden babi buta.

Tanpa Nama berkata...

dahulu saya respek kat Ustaz Tuan Ibrahim ni, rasa macam ok jer. tak sebelah mana-mana pihak. rupanya bila dia menang sebagai Naib Presiden baru terdedah rupanya di penyokong UG.

Habis 1Muktamar kena tipu. menggigit jari kepada mereka yang mengundinya.

Tanpa Nama berkata...

APA HUKUMNYA SEORANG HAKIM YANG BERAT SEBELAH? ADUHAI....... BARU JADI NAIB PRESIDEN DAH TUNUK LAGAK BIAS.

Tanpa Nama berkata...

Hujjah GB mantap. Tak mampu disanggah lagi oleh sesiapa. Oleh itu Lambaga Disiplin perlu dirombak semula. Parti perlu diperkasakan dengan besarakan peruntukan Perlembagaan.

Jika tak mahu ikut perlembagaan pas, campakkan saja buku kecil itu ke tong sampah.

Tanpa Nama berkata...

salam semua...
kalau depa tak selesai bende macam ni...
tak tahu la aku..
Ingattt.. nanti aku tanya lagi kat AKHIRAT.
SAUDARA KU sama-sama tolak pemimpin suka bermewah dan gila kuasa...
TAKBIR!!!