12 Mac 2008

Zam menangis berpisah dengan RTM

Bekas menteri penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin, yang tewas di Sungai Petani, hari ini mengadakan sidang akhbar terakhirnya di Angkasapuri dan meluahkan rasa terkilan terpaksa "berpisah dengan kawan rapat, terutama di bilik berita Radio Televisyen Malaysia (RTM)."

"Saya tidak menangis kehilangan jawatan ahli parlimen dan menteri penerangan. Saya bukan mencari jawatan. Saya hanya penumpang," katanya kepada media.

"Saya menangis kerana terpaksa berpisah dengan kawan rapat di kementerian terutama bilik berita RTM."

Beliau menambah, "saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Biar rakyat menghakimi saya."

Zainuddin, yang lebih popular dipanggil Zam, juga mengakui pilihanraya 2008 berjaya menonjolkan semula pengaruh bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mendakwa ingin bersara sebelum pilihanraya 1999 tetapi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengajaknya bertanding di kerusi Merbok, yang dimenanginya pada 2004.

"Dr Mahathir yang menilai prestasi saya. Tun Khalil Yaakob, waktu itu setiausaha agung Umno, kata Dr Mahathir mahu saya bertanding," katanya, sambil menambah beliau yakin pada Umno.

Mengulas kekalahannya di kerusi parlimen baru yang ditandinginya, Zainuddin berkata beliau dimaklumkan dipindahkan ke kerusi itu dua hari sebelum penamaan calon.

"Saya diarah bertanding di Sungai Petani hanya dua hari sebelum penamaan calon. Saya tidak tahu apa-apa tentang Sungai Petani," katanya.

"Orang tidak mahu undi saya (di Sungai Petani). Saya kata (pada mereka), 'undi BN, bukan undi saya'," katanya.

"Jika bertanding di Merbok, saya menang."
(Bagaimanapun, calon BN di situ juga tewas kepada calon PKR, dengan majoriti 3,098 undi).

Beliau juga mengakui ditolak pengundi bukan Melayu. "Saya tidak dapat 9,000 undi Cina," katanya.

"Ada juga orang Melayu dan Umno tidak gembira dengan saya. Itu (perkara) biasa."
Dalam analisisnya, pembangkang menang besar kali ini kerana undi bantahan. "Mereka akan mengundi siapa sahaja," katanya.

Beliau menambah, parti politik kini sudah moderat dan menampilkan senario politik baru sebagai melambangkan kematangan demokrasi di Malaysia.

"Tetapi berapa lama?" katanya.


ditulis oleh Muda Mohd Noor

Ahmad Said MB baru Terengganu?

Pengerusi BN Terengganu Datuk Idris Jusoh sedang menyaksikan drama besar dalam tempoh terdekat apabila namanya kini bukan lagi satu-satunya calon Menteri Besar.

Pihak istana dikhabarkan memohon tiga nama, termasuk Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said dan Ajil, Datuk Rosol Wahid.

Di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur kini khabar bertiup kencang Idris mungkin ditamatkan perkhidmatannya akibat tidak mendapat perkenan pihak istana.

Desas-desus tentang Idris, yang memegang jawatan itu pada 2004 susulan kejayaan BN merampas Terengganu daripada PAS, akan digantikan berkembang mulai Isnin selepas istiadat melafaz surat pengisytiharan pelantikan Menteri Besar yang dijadual di Istana Maziah ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Ketika ditemui wartawan semalam, Idris jelas berasa tidak senang untuk mengulas isu pelantikan semulanya sebagai Menteri Besar.

Idris, yang kelihatan terganggu apabila terus ditanya persoalan tersebut, terus menjawab "(awak) faham ke tak? Saya kata (pelantikan MB) itu atas istana (tentukan). Saya tidak perlu jawab soalan tersebut."

Menurut Bernama, sebelum itu Idris diminta mengulas spekulasi bahawa beliau mungkin tidak dapat meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar akibat ura-ura ditolak oleh pihak istana.

Sementara laman web Utusan Malaysia pula melaporkan semalam, "Idris kelihatan sugul" dan enggan mengulas lanjut.

Selain Terengganu, BN juga berdepan masalah pelantikan Menteri Besar di Perlis apabila Datuk Seri Shahidan Kassim didakwa dihalang pihak yang tidak senang dengannya.

Buletinonline.net melaporkan “Nama Idris Jusoh kurang diminati pihak Istana kali ini dan beberapa nama baru dicadangkan termasuk Dato’ Rosol Wahid, Dato’ Ahmad Said dan Dato’ Awang Tera,” kata sumber yang enggan disebut namanya.

Katanya, ‘tembelang’ Dato’ Idris Jusoh sudah pecah dan ura-ura berlaku kurang senang pihak Istana terhadap beliau bermula sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, nama Dato’ Rosol turut diketengahkan sebagai calon MB tetapi beliau dikatakan kurang berminat dengan jawatan tersebut.Selain itu, katanya nama-nama lain cuba ditonjolkan seperti Dato’ Ahmad Said dan Dato’ Awang Tera sebagai calon Menteri Besar Terengganu.

Sehubungan itu, bagi menutup malunya berpuluh buah kenderaan dipercayai penyokong Idris Jusoh di Besut berarak ke Kuala Terengganu bagi menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, semalam.Ketibaan beliau itu, disambut hampir 500 orang penyokong dengan laungan ‘Hidup Umno’,’Hidup Idris Jusoh’ serta slogan ‘Gelombang Biru’ bagi menunjukkan kekuatan sokongan terhadapnya oleh rakyat.

Tinjauan Buletin Online mendapati kesemua yang datang berkumpul dalam perhimpunan haram itu adalah penyokong-penyokong Umno Besut sahaja yang ‘diupah’ dengan makanan serta minyak kenderaan percuma.

Sementara itu, Bernama mengesahkan kedudukan Idris Jusoh sama ada dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu adalah bergantung kepada pihak istana.

Beliau yang ditemui pemberita selepas melawat rumah seorang pengundi, bagaimanapun enggan mengulas lanjut malahan dikatakan manjadi sedikit panans mengenai perkara tersebut.

Mengenai spekulasi bahawa beliau tidak akan meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar,
Idris berkata "tak apalah (mengenai spekulasi itu). Saya kata itu (kedudukan jawatan Menteri Besar) atas istana (yang tentukan), saya tidak perlu jawab soalan tersebut.

"Ketika ditanya bila kedudukan Menteri Besar itu dapat diketahui, beliau yang kelihatan tidak selesa dengan soalan tersebut berkata: "faham ke tak.

Saya kata itu atas istana (tentukan). Saya tidak perlu jawab soalan tersebut."Menjawab soalan bahawa Terengganu yang merupakan antara negeri dikuasai Barisan Nasional (BN) yang masih belum mengadakan majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar, Idris menjawab dengan ringkas: "itu biasa".

Pada masa ini khabar angin bertiup kencang bahawa Idris tidak akan meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar.

Rakyat Desak Adakan Pilihanraya Semula Di Terengganu!

Banyak pihak hari ini mendesak kerajaan supaya satu Pilihanraya diadakan semula di negeri Terengganu apabila telah terbyata bahawa pilihanraya yang dijalankan di negeri tersebut penuh dengan segala macam penipuan dan ketidak-adilan.

PAS sebelum ini telah mendapati 190 buah bas dan 2,000 kereta yang membawa "pengundi hantu" bergerak pantai timur, khususnya ke Terengganu dan Kelantan, untuk memastikan kemenangan BN terutama daripada beberapa buah IPTA.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali berkata, projek membawa masuk pengundi-pengundi ini dijalankan oleh sebuah syarikat agensi pelancongan yang mendapat kontrak daripada sebuah yayasan milik kerajaan negeri itu.

Buletinonline.net melaporkan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPPNT), Tuan Haji Yahaya Ali ketika ditemui hari ini di Pejabat BPPNT, dekat sini menyatakan:

“Masih terdapat kes-kes pengundi yang telah mati ‘bangun’ mengundi, kes-kes pengundi ‘hantu’ dan pengundian lebih dari sekali yang dilakukan oleh seorang pengundi, kita sedang mengumpulkan kes-kes ini dari seluruh negeri dan akan mengambil tindakan.”

Sehubungan dengan itu, BPPNT sedang mengorak langkah untuk mengadakan ‘postmortem’ secara yang lebih lengkap dan lurus supaya mendapat dapat maklumat yang tepat dan menyeluruh berhubung apa yang berlaku dalam pilihan raya pada kali ini.

Seorang pemimpin sebuah persatuan akivis sosial mendakwa bahawa apa yang berlaku di Terengganu sebenanya adalah konspirasi UMNO(BN) Terengganu bersama-sama dengan SPR dan pihak Polis.

"Kita dapat melihat bagaimana polis diperalatkan untuk melindungi pengundi-pengundi hantu in dan bagaimana SPR mengaturkan tipu muslihatnya dimana beberapa hari sebelum pengundian Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzzaman sudah kelihatan berada di Terengganu", tegasnya.

Beliau berkata seandainya pilihanraya di Terengganu perlu diadakan semula, perjalanan dan pengendaliannya hendaklah dipantau ketat terutama apabila kita mengetahui permainan licik SPR selama ini untuk mengelirukan orang ramai terutama di dalam hal pengundi hantu dan pos.

"Badan SPR itu perlu disiasat hingga ke akar umbi dan pemegang-pemegang jawatan tertinggi badan itu perlu ditahan serta di siasat juga. Satu Suruhanjaya DiRaja patut ditubuhkan untuk menyiasat ketelusan dan integriti badan tersebut supaya ia mendapat kepercayaan rakyat", tambah beliau.