10 Ogo 2013

Anggota Tentera Pula Cedera Kena Tembak Di Sempadan M’sia-Thai

.Seorang anggota tentera yang sedang membuat rondaan kawalan keselamatan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand di sini, cedera selepas terkena tembakan dalam kejadian awal hari ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Nashir Ya, kejadian berlaku pukul 4.30 pagi ketika anggota tentera yang berusia 26 tahun itu selesai membaiki pagar yang dikopak di kawasan berkenaan.

Sementara itu, berdasarkan laporan yang diterima polis, mangsa sedang melakukan rondaan bersama seorang lagi anggota tentera dengan menaiki motosikal tentera apabila mereka ternampak bahagian pagar keselamatan yang dikopak.

Mangsa kemudian turun daripada motosikal dan membaiki pagar itu sebelum ternampak cahaya lampu suluh dari arah negara jiran.

Mangsa yang selesai membaiki pagar itu kemudian berjalan menuju ke motosikal sebelum kedengaran bunyi letupan tembakan yang mengenai mangsa.

Mangsa digegaskan ke Hospital Kangar dan didapati terkena enam das tembakan iaitu dua pada paha kanan, satu pada paha kiri dan tiga pada bahagian belakang.

Rakan setugas mangsa dilapor tidak mengalami kecederaan. – Bernama

Awakening Bukan Tulisan Pak Lah - Nik Nazmi

Shah Alam – Buku Awakening, The Abdullah Years in Malaysia bukan hasil tulisan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebaliknya, koleksi artikel penulis berlainan latar belakang termasuk pemimpin pembangkang.

Perkara itu disahkan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut menyumbangkan artikel di dalam buku tersebut.

Nik Nazmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, buku yang disunting editor Bridget Welsh dan James UH Chin itu merupakan himpunan pandangan pelbagai pihak mengenai era pemerintahan Abdullah.

“Tema umum buku itu ialah penilaian umum dan pandangan masyarakat sepanjang pentadbiran Abdullah. Kedua-dua editor ada menemubual sendiri beliau.

“Selain itu, buku tersebut turut memuatkan artikel daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin BN dan pembangkang, ahli akademik dan sarjana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Portal AntaraPos melaporkan artikel dalam buku tersebut turut disumbangkan pemimpin Umno seperti bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Bendahari Umno, Datuk Azim Zabidi.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula menulis pra-kata buku itu.

Manakala, pemimpin pembangkang pula terdiri daripada Nik Nazmi sendiri, Liew Chin Tong dan Farish Noor.

Bagi sesetengah pihak yang telah membaca sebahagian buku berkenaan mendapati ia lebih kerap membidas Abdullah daripada menceritakan keadaan yang sebenarnya.

Antaranya, Abdullah dilaporkan berkata Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang pemimpin yang penuh kontradiksi dan sekiranya hasrat bekas perdana menteri itu dituruti, Malaysia hari ini sudah muflis.

Ia juga menceritakan bahawa Abdullah meminta bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya bersara setahun sebelum PRU 2008.

Turut dimuatkan adalah kenyataan Abdullah yang berkata tidak salah memperjuangkan satu-satu kaum di negara ini tetapi perjuangan itu tidak seharusnya seperti yang dilakukan oleh Perkasa.

Bagaimanapun, Tun Mahathir ketika ditemui media baru-baru ini tidak mahu mengulas mengenai dakwaan dalam buku tersebut kerana belum membacanya lagi.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga menantu kepada bekas perdana menteri itu juga enggan mengulas lanjut kandungan buku tersebut kerana belum meneliti kandungannya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, tulisan beliau dalam buku itu lebih memfokuskan kepada kegagalan Abdullah sebagai pemimpin terutamanya selepas PRU 2008.

“Saya melihat Pak Lah mempunyai banyak peluang untuk membuat perubahan. Tetapi beliau gagal menunjukkan kepimpinannya dan mensia-siakan mandat besar diberi rakyat.

“Sebagai penulis, terpulang kepada saya untuk melahirkan pandangan.

Begitu juga terserah kepada pembaca untuk menilainya,” katanya.

Pembantu ADUN Didakwa Hina Islam Dalam Facebook

Pagoh - Dikatakan berlaku satu lagi kes menghina masyarakat Islam di negara ini menerusi laman Facebook yang didakwa milik seorang pembantu kepada seorang wakil rakyat.

Ia menggambarkan kad hari raya yang tertera kepala babi panggang yang diapit lemang di sebelah kiri dan ketupat di sebelah kanan dengan kata-kata yang menjemput umat Islam menikmati hidangan itu.

Bagaimanapun carian di laman Facebook di akaun yang menggunakan nama 'Alan Tang' mendapati posting kad ucapan itu sudah tidak ada lagi.

Sebaliknya Alan yang merupakan pembantu kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Stulang, Andrew Chen Kah Eng dalam posting statusnya mendakwa terdapat individu lain yang meniru foto serta nama pengenalannya di laman Facebook itu dan memfitnahnya dengan posting sedemikian.

"Saya tidak pernah berniat menghina mana-mana agama dan sebaliknya saya amat berbangga kerana berada di negara yang menerima pelbagai agama seperti Malaysia," katanya.

Beliau mendakwa turut menerima panggilan ugutan menerusi telefon pada pukul 9 pagi semalam daripada pemanggil yang menggunakan nombor persendirian.

Alan yang kemudiannya menyedari posting itu lalu membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi, Johor Bharu pada pukul 4.30 petang hari yang sama.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Johor, ACP Nor Azizan Anan mengesahkan polis menerima laporan tersebut dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasatnya.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek turut melahirkan rasa kecewa dengan kejadian itu dan berkata ia membuktikan generasi muda kini tidak memahami sensitiviti agama dan kaum.

Beliau yang ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Seri Pekembar di sini hari ini, berkata negara sudah hampir 60 tahun mencapai kemerdekaan tetapi sejak kebelakangan ini semakin banyak tindakan serta kelakuan antara kaum yang berlaku yang boleh menggugat keamanan negara dan ini amat berbahaya. - Bernama

9 Ogo 2013

‘Cina Mahu Zakat’ Satu Hasutan Berbahaya


Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling, kelmarin terhadap blogger pro-Barisan Nasional (BN) yang memfitnah dengan tuduhan tanpa asas mahu agar wang kutipan zakat ‘diberi kepada orang Cina’.

“Saya menolak sekeras-kerasnya hasutan yang menimbulkan kebencian itu, saya juga tidak pernah terfikir supaya wang zakat diberi kepada orang Cina (yang bukan Islam),” tegas beliau.

Pada satu sidang media, Pengerusi DAP Selangor itu menegaskan bahawa artikel ‘Cina pun mahu duit zakat – Teresa Kok’ yang disiarkan dalam blog, bnbesut.blogspot.com adalah hasutan daripada ‘orang gila’ dan boleh menimbulkan kebencian orang Islam terhadapnya.

“Ia telah disiarkan di laman sosial secara meluas. Ini adalah jenayah penipuan dan hasutan. Polis perlu menyiasatnya,” katanya

Menurut Teresa, beliau juga akan membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap penulis blog itu yang masih belum dikenal pasti.

Teresa menjelaskan, laporan itu amat penting kerana ia adalah tindakan pencegahan daripada ‘dihambat’ polis sambil merujuk kepada insiden 2008 berhubung isu ‘Azan’.

Pada 2008, Teresa Kok pernah menjadi sasaran apabila beliau difitnah pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan dalam satu artikelnya bertajuk “Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya” yang disiarkan pada 10 September 2008.

Akibatnya, dua hari selepas tulisan itu disiarkan, Teresa Kok ditahan mengikut ISA pada 12 September 2008 selama tujuh hari. Rentetan fitnah yang berbahaya itu, Teresa telah memfailkan saman terhadap Zaini dan Utusan Malaysia pada 9 Oktober 2008 dan perbicaraannya masih belum selesai.

Pada Konvensyen Media Sosial 1Malaysia tahun lalu, Zaini dilaporkan media mengeluarkan kenyataan bahawa sesuatu fakta itu boleh diputar (spin).

“Dalam bentuk penulisan kita ada; satu fakta, satu spin (putar fakta), satu lagi blatant lie (pembohongan terang-terangan)…Kita boleh spin, macam mana kita nak spin sesuatu fakta itu memihak kepada kita, itu okay”, kata Zaini

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lagi, DAP acap kali menjadi sasaran fitnah pihak lawan apabila parti itu dilihat semakin diterima masyarakat Melayu di bandar dan meluaskan pengaruhnya ke kawasan luar bandar dengan pelbagai dakwaan fitnah berbaur perkauman, sentimen keagamaan dan sebagainya.

Hakikatnya, DAP adalah sebuah parti yang jelas dalam perlembagaannya berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu serta sistem demokrasi berparlimen.-Roketkini

Pemimpin MCA Cakap Tak Serupa Bikin, Ramai Masih Pegang Jawatan Dalam Kerajaan


Pegang jawatan k'jaan, Chua sedia hadapi JK disiplin

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sedia menghadap Jawatankuasa Disiplin kerana masih memegang jawatan dalam kerajaan iaitu sebagai Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang.

"Bukan saya seorang sahaja yang patut dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti, malah Ong Ka Ting, Wong Nai Chee, Ng Yen Yen dan juga semua anggota jawatankuasa kemajuan kampung juga patut turut dikenakan tindakan sama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana, di Putrajaya semalam.

Beliau mengulas demikian berhubung tindakan lapan Bahagian MCA yang tidak berpuas hati dengan Dr Chua yang masih memegang jawatan itu walaupun parti itu menerima resolusi untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan selepas kekalahan teruk pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13), Mei lepas.

Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting kini memegang jawatan sebagai 'Duta Khas Perdana Menteri ke China', anggota parti Wong Nai Chee merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri manakala Naib Pengerusi parti Datuk Seri Dr Ng Yen Yen memegang jawatan sebagai Pengerusi Tourism Malaysia.

Minggu lepas, Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju Datuk Yew Tian Lock bersama-sama dengan pengerusi bahagian Titiwangsa Datuk Alex Chuah serta enam lagi pengerusi bahagian lain menegaskan bahawa mereka akan menghantar memorandum kepada jawatankuasa disiplin parti sekiranya Dr Chua masih enggan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang.

Enam lagi bahagian yang turut menggesa Dr Chua untuk meletakkan jawatan kerajaan itu adalah MCA Teluk Intan, Bentong, Kuala Selangor, Kual Krau, Raub dan Paya Besar

MCA sebelum PRU13 telah memutuskan untuk tidak akan menerima jawatan dalam kerajaan jika ia tidak menerima sokongan penuh masyarakat Cina.

Namun, Dr Chua dilaporkan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi parti telah memutuskan bahawa mana-mana jawatan yang dipegang sebelum PRU13 masih boleh diteruskan dan ini telah menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam parti. - Bernama


MCA Gantung Keahlian Exco Johor, Tiga Tahun


KUALA LUMPUR - MCA semalam menggantung keahlian Datuk Tee Siew Kiong selama tiga tahun berkuatkuasa serta merta kerana menerima jawatan Exco Kerajaan Negeri Johor.

Presiden MCA Datuk Ser Dr Chua Soi Lek berkata anggota Majlis Presiden sebulat suara menerima syor Jawatankuasa Disiplin untuk menggantungkan keahlian Tee kerana melanggar keputusan parti.

Sebelum ini, MCA telah membuat resolusi pada 2011 dan 2012 untuk tidak akan menerima sebarang jawatan kerajaan pusat dan negeri sekiranya parti itu mencatatkan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas.

"Bagaimanapun, Tee mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu selepas menerima surat rasmi penggantungan," kata Dr Chua pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden di sini.

Tee, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Sebatang, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor dalam pentadbiran kerajaan negeri atas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dr Chua berkata jawatan Setiausaha Organisasi Pusat yang disandang oleh Tee sebelum ini akan diambil alih oleh Setiausaha MCA Perak, Datuk Tan Chin Meng. Pada 14 Jun lepas, Tee melalui kenyataan media umumkan melepaskan semua jawatan dalam parti, sama ada di peringkat pusat dan negeri termasuk Setiausaha Organisasi Pusat, Anggota Jawatankuasa Mesyuarat Agung Parti, serta semua jawatan dalam peringkat cawangan Pontian dan negeri Johor.

Tee turut mengumumkan beliau hanya anggota seumur hidup parti itu.
-mstar 21/6/2013

[VIDEO] Pendukung Mursi Rayakan Aidil-Fitri Di Lokasi Demonstrasi


Hari Raya Aidil-Fitri dirayakan para pendukung presiden yang digulingkan tentera Mesir, Muhammad Mursi dengan turun ke jalan. Mereka menuntut jawatan Mursi dikembalikan. Mereka merayakan Aidil-fitri pada hari Khamis (8/8) di lokasi demonstrasi di Nasr City.

"Pendemo di sini sekarang jumlahnya ramai, mengatakan kepada pemerintah, Mursi adalah presiden yang sah, dan mereka tidak akan pergi sehingga kedudukan Mursi dikembalikan," ujar laporan Aljazeera.

Kedua belah pihak, pendukung dan penentang Mursi meminta pendukung masing-masing untuk protes. Presiden sementara Mesir, Adly Mansour dalam pesanannya sempena Aidil-Fitri menyatakan Mesir dalam keadaan kritikal. Pemerintahan sementara akan menekankan rancangannya sendiri untuk membuat pemilihan baru dalam sembilan bulan.

"Kereta masa depan sudah berangkat, dan setiap orang harus sadar momen dan menangkapnya, siapa saja yang gagal menyadari momen ini harus bertanggungjawab terhadap keputusannya," ujar Mansoour.

Sebelumnya, utusan AS, William Burns menjadi orang tengah kompromi diantara pemerintah dan Ikhwanul Muslimin. Utusan Eropah, Bernardino Leon juga berada di Kaherah untuk usaha yang sama. Brussel dan Washington mengatakan semua pihak di Mesir harus mengatasi masalah yang dinilai telah berbahaya.

"Situasi ini sangat rapuh, yang tidak hanya berisiko lebih banyak pertumpahan darah dan polarisasi di Mesi, tetapi juga menghalang pemulihan ekonomi yang sangat penting bagi kejayaan transisi Mesir," ujar Menteri Luar Negeri AS, John Kerry dan ketua urusan luar negeri Kesatuan Eropah, Catherine Ashton dalam pernyataan bersama.

isteri Mursi, Naglaa Mahmoud, yang jarang kelihatan di depan umum turut ikut serta dalam demontrasi aman semalam. Ia berbicara di hadapan para demonstran di Kaherah dengan menyerukan suaminya untuk diizinkan kembali ke tampuk kekuasaan. Para peserta aksi menyambut pidato Naglaa dengan teriakan "Kembali! Kembali!".




[BERGAMBAR] Kes Tembak Lagi: Apa Mahu Jadi Malaysia? -updated

Seorang lelaki yang sedang memandu kereta cedera parah selepas terkena tembakan dilepaskan dua suspek bermotosikal di Taman Klebang Putra, dekat Chemor di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, dua lagi yang berada dalam kereta itu dipercayai anggota keluarga lelaki berusia 29 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

"Kedua-dua suspek yang menaiki sebuah bermotosikal menghampiri kereta mangsa yang sedang dipandu di kawasan perumahan berkenaan dan dipercayai melepaskan enam das tembakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek memakai topi keledar 'full face' semasa melakukan jenayah berkenaan dan identiti mereka tidak dapat dikenal pasti buat masa sekarang.

Polis menjumpai enam kelongsong peluru di atas jalan tempat kejadian berkenaan dan setakat ini polis menerima satu laporan daripada seorang saksi berhubung kejadian itu, katanya.

Sum berkata mangsa yang bukan berasal dari sini sedang dirawat di sebuah hospital di sini dan keadaannya dilaporkan stabil. - Bernama


Lelaki Ditembak Mati Di Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Anson



GEORGE TOWN: Seorang lelaki ditembak mati ala geng mafia selepas berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Anson di sini.

Dia ditembak mati dari jarak dekat pada kira-kira pukul 11.50 pagi Khamis

Menurut Ketua Polis Daerah George Town Asisten Komisioner Gan Kong Meng, si mati berketurunan India, berusia 37 tahun dan tinggal di Air Itam, Pulau Pinang.

Dia mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes narkotik.

Ketika kejadian mangsa sedang memandu kereta mewah BMW dengan nombor pendaftaran KUala Lumpur, walaupun kereta tersebut dikhabarkan dipinjam daripada seorang rakan.

Difahamkan penembak melepaskan lebih daripada 15 das tembakan kerana berbilang kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian.

Gan mengesahkan mangsa ditembak sebanyak 14 kali dan kebanyakannya di kepala.

Ahli patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh turut berada di tempat kejadian.
-mstar




ULASAN GB

Sungguh menghairankan. Modus operandi tembakan hampir serupa. Dua orang bermotosikal menembak mangsa yang berada di dalam kereta. Suspek menggunakan topi keledar full face. Seperti skrip yang berulang.

Apa yang GB katakan sebelum ini menjadi kenyataan. Petikan:

Dan seperkara yang perlu direnungkan ialah, kejadian jenayah berleluasa sehingga negara menjadi seperti sangkar samseng bermaharajalela sekarang ini adalah kerana kita mempunyai seorang Menteri KDN yang mempunyai rekod jenayah memukul orang awam yang kesnya masih berjalan di mahkamah.

Dan kita mempunyai seorang KPN yang diisytiharkan oleh mahkamah sebagai orang bertanggungjawab terhadapematian tahanan di dalam penjara!


Dan nampaknya, dengan maaf, selagi Menteri KDN dan KPN tidak ditukarkan, kita akan mendengar lebih banyak lagi kes-kes tembak menembak ini. Itulah "aura" yang dibawa oleh Menteri KDN dan KPN kita.



Hukum Kebenaran dan Keadilan akan terus berjalan.

8 Ogo 2013

Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin Dari GB Untuk Semua


A

ndai Ramadan dapat ku tahan
Ingin sekali ku pohon lanjutan
Rasa tak cukup ampunan mu Tuhan
Buat diriku yang tandus amalan
Namun Syawal tanda kemenangan
Rahmat Ya Rabbi untuk setiap insan
Justeru ayuh kita raikan
Dengan doa dan kesyukuran


Kepada semua peminat, pembaca & penjengah blog Kelab Greenboc ini
GB ucapkan Selamat Hari Raya
Maaf Zahir & Batin.

7 Ogo 2013

Kekuatan Najib Hanya Ada Pada Penipuan, Politik Wang & Pendatang Asing


Masa depan negara gelap dibawah kepimpinan yang mediocre

Dr Mahathir kata dia akan terus bercakap mengenai orang Melayu. Kenapa Mahathir perlu bercakap begini? Kerana dia tidak yakin Naib faham apa ertinya menjadi pemimpin Melayu terlebih dahulu sebelum jadi pemimpin Malaysia.

Kita pun mendapat perkhabaran dimana dalam perjumpaan tertutup, Mahathir membalun Najib. Kerosakan UMNO bermula dari zaman Pak Lah kata Mahathir. Najib menyambung kerosakan tersebut. Kesilapan terbesar Najib ialah dia hilang keyakinan kepada jenama UMNO.

Najib mengikut Mahathir sudah malu menjaja jenama UMNO. Sebab itu dia menjaja Najib sebagai jenama dan 1Malaysia sebagai jenama tambahan. Najib ingat negara kita sudah menjadi demokrasi ala Amerika dimana kita pilih presiden. Kesana kesini para juak Najib membesar besarkan faktor Najib untuk mendapat kemenangan.

Keadaan bertambah buruk kerana Najib mempunyai barisan penasihat yang tidak ada pengalaman politik dan tidak sensitive terhadap kesan daripada nasihat yang diberi kepada seorang PM yang kurang cerdiknya. Mengikut Mahathir- BR1M adalah suatu kesilapan kerana ianya membiasakan orang akan berfikiran bahawa mendapat wang setiap kali adalah suatu hak. Masaalah akan timbul bila kerajaan tidak mempunyai wang untuk mendanai rasuah dan politik wang. BR1M boleh kita ibaratkan sebagai seorang yang menunggang harimau yang sudah takut untuk turun kerana akan dibaham harimau tersebut.

Najib bukanlah pemimpin yang kuat. Dalam kawasan parlimen nya, kita amat hairan bagaimana jumlah pengundi mencecah 80,260 orang. Orang yang tidak datang dari Pekan tentulah tidak memahami perkara ini. Sesak dan semak Pekan jika ada orang seramai ini.

Dari tahun 2004 hingga 2008, jumlah pengundi bertambah pada kadar 5534 orang sahaja. ( dari 52, 683 dalam tahun 2004 kepada 58,217 dalam tahun 2008). Ini pertambahan yang munasabah memandangkan ada kem tentera wataniah dan kolej2. Tapi sejak tahun 2008 hingga 2023, yakni 5 tahun, jumlah pengundi bertambah secara mendadak dengan tambahan 22,043. Ini pertambahan yang menakjubkan. Dari mana datang nya 22,043 ini?

Kita tahu pegawai2 Najib menjalankan operasi membawa masuk orang asing dan memberi kad pengenalan kepada mereka. Sekurang kurang 18,000 warga asing dari kemboja dan Myanmar dijadikan rakyat negara ini dan beralamat di Pekan. Kalau kita tolak 18,000 dari majoriti Najib dalam tahun 2013, maka majority nya hanyalah 17,000. Dan mengikut maklumat dari orang Pekan sendiri, pertambahan pengundi asing amat mendadak antara 2008-2013.

Pada PRU11, Najib mendapat majority 22,922. PRU12 majoriti nya 26,464. Majoriti sebenarnya dalam PRU13 jika kita tolak 18,000 warga asing (Myanmar, Kemboja dll) , majoriti Najib hanya 17,000. Ini bermakna, Najib tidaklah bertambah kuat dalam kawasan nya sendiri. Kekuatan nya bertumpang kepada warga asing yang dapat KP segera. Dan Dr Mahathir tahu maklumat ini sebab ramai perisik masih setia dan mengkagumi Dr Mahathir.


BR1M pada hakikat nya kemuncak amalan politik wang. Ini masaalah terbesar yang sedang dilakukan oleh kerajaan hari ini. Yakni, kerajaan telah memertabatkan politik wang kepada tahap yang lebih tinggi dan mereka yang berkepentingan membisu malah menyokong rasuah dan politik wang. Atas otoriti apa misalnya, timbalan pengerusi SPR menyatakan janji projek dan pemberian wang bukan politik wang? Dia bukan tokoh politik tapi anggota suatu suruhanjaya yang berjawab kepada Tuanku Agong.

Politik wang tidak lain dan tidak bukan ialah pembelian undi untuk kekal berkuasa dan setelah dapat kuasa kerajaan akan mencari jalan mengutip balik wang yang telah dibelanja dengan kadar untung pula. Proses ini diulangi setiap kali pilihanraya dan masyarakat terjerumus semakin dalam dalam sedutan politik wang.

Kenapa ini terjadi? Ini terjadi kerana politik wang sudah menjadi budaya UMNO. pemimpin naik keatas kerana membeli undi dan bukan menawarkan keupayaan dan kemampuan. Kita akan tiba pada suatu keadaan dimana barisan pimpinan adalah mereka yang telah membayar untuk naik hairaki kepimpinan. Kita mendapat mediocre leadership dan mediocre leadership tidak akan dapat membangunkan negara. Satu mediocre leadership akan menghimpunkan kumpulan orang yang sepemikiran dengan nya dan secara kolektif, ini akan menjahanamkan negara kita.

Dr Mahathir tidak percaya Najib melakukan yang terbaik untuk orang Melayu. Atau mampu melakukan nya. Bahkan dia anggap Najib seorang pemimpin ynag lembik dan berkompromi dengan bangsa lain. Mahathir memberi contoh kesediaan Najib meletakkan SPR dibawah pemantauan parlimen sebagai bukti Najib tunduk kepada tekanan. Bukan rahsia lagi Mahathir sekarang sedang menyerang Najib secara senyap2. Sementara dia berlari bersama arnab, dia memburu bersama anjing2. -yb sakmongkol

Ketua Menteri, Exco & Adun PR Pulau Pinang Isytihar Harta Secara Terbuka


Semua 11 ahli exco negeri dan 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang mengisytiharkan aset mereka semalam.

Salinan pengisytiharan aset dari exco dan ADUN dari PR diedarkan kepada pemberita di Komtar, Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata butiran aset termasuk hartanah, pelaburan dan kenderaan bermotor dilaporkan sehingga 5 Mei tahun ini.

Berdasarkan pengisytiharan, Lim mempunyai dua rumah kedai di Melaka; dan RM308,368 dalam simpanan tetap, saham dan unit amanah di lapan syarikat.

Sebuah rumah kedai dibeli pada harga RM435,000 sementara sebuah lagi dengan harga RM530,000.

Lim juga melunaskan pinjaman pembelian dua rumah kedai itu. Beliau tidak mempunyai kenderaaan, menurut The Star hari ini.

Phee Boon Poh pula adalah ADUN yang mempunyai hartanah terbanyak di Pulau Pinang dengan memiliki lapan pemilikan hartanah.

Phee mengisytiharkan sebuah apartmen di Butterworth; sebuah rumah di Taman Dahlia; sebidang tanah di Teluk Air Tawar; sebuah megapuri di Bagan Ajam dan sebidang tanah di Batu Kawan.

Beliau turut mempunyai rumah dan tanah di Hamilton, New Zealand dan mempunyai pegangan saham di 24 syarikat serta enam unit amanah di enam syarikat.

Pengisytiharan itu akan dimuatnaik di laman sesawang kerajaan negeri hari ini. - TMI


Exco Pulau Pinang isytihar harta secara terbuka


Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ahli exco majlis kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Bagaimanapun, pegawai ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kewangan negeri dan pegawai undang-undang negeri tidak diwajibkan berbuat demikian.

Lim berkata perisytiharaan aset mereka itu bertujuan memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

"Saya yang mencadangkan langkah-langkah integriti ini bagi memastikan kepimpinan yang yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT iaitu cekap, akauntabel, telus (CAT) ," katanya kepada pemberita di kompleks pejabat kerajaan negeri di Komtar.

Lim juga mencadangkan enam langkah integriti yang akan diambil termasuk mengharamkan pembabitan mereka dalam bidang perniagaan yang boleh membawa kepada konflik kepentingan parti-parti politik; sistem tender terbuka, undang-undang maklumat bebas dan perisytiharan aset peribadi.

Mengenai sama ada aset teman dan ahli keluarga akan juga diisytiharkan, Lim berkata, "Kami akan mengambil langkah satu persatu."

Ditanya bagaimana orang ramai boleh mengesahkan aset ahli-ahli politik berkenaan, Lim berkata, perisytiharan ini adalah secara sukarela oleh semua ahli exco.

Menurut borang perisytiharan aset yang diedarkan kepada wartawan hari ini, pelaburan Lim dalam Amanah Mutual Bhd menunjukkan sedikit peningkatan dari 112,843 unit kepada 124,845 unit antara Mac 2008 dan akhir tahun lalu.

Pelaburan Dana Public Mutual miliknya pula meningkat dari 10,000 unit hingga 25,989 unit manakala simpanan tetapnya menunjukkan kenaikan daripada RM245,000 hingga RM298,785. Pelaburan lain iaitu sebanyak 8,000 unit tidak menunjukkan peningkatan dari tahun 2008.

Selain itu, Lim juga memiliki dua rumah kedai di Melaka, satu daripadanya adalah harta milik bersama yang bernilai RM435,000 dan satu lagi bernilai RM530,000. Beliau juga ada membuat pinjaman RM650,000 bagi membayar hartanah itu.

Paling mencururi tumpuan adalah ahli exco dan ADUN Batu Maung Datuk Abdul Malik Abul Kassim kerana borang pengisytiharannya menunjukkan beliau tidak memiliki sebarang harta mahupun membuat sebarang pelaburan.

Beliau hanya memiliki kereta Proton Tiara apabila mengambil alih jawatan pada tahun 2008, dan baru-baru ini membeli sebuah Honda CRV 2.0 berharga RM143,000 yang dibayar dengan pinjaman kerajaan.

"Rumah saya kepunyaan isteri kerana dia bekerja. Saya kini tinggal di sebuah rumah sewa. Rakan-rakan saya melawak bahawa sekiranya saya bergaduh dengan isteri saya, maka saya akan tidur di kereta," katanya. -mk

Mahkamah Terima Petisyen BN DUN Klian, Kedudukan Lajim Ukin Terancam


Kota Kinabalu: Mahkamah Pilihan Raya di sini semalam memerintahkan perbicaraan bagi petisyen kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias yang dimenangi calon PKR, Datuk Lajim Ukin.

Hakim Datuk Yew Jen Kee membuat keputusan itu selepas mendapati perkara dibangkitkan calon Barisan Nasional (BN), Isnin Aliasnih berhubung bahan cetak tidak memaparkan nama pencetak dan penerbit serta berlaku rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), perlu dibicarakan.

Keputusan itu adalah petisyen pertama diterima untuk dibicarakan oleh Mahkamah Pilihan Raya setakat ini.

Jee Kee bagaimanapun memutuskan petisyen terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Klias dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditolak kerana perkara ditimbulkan Isnin terhadap dua responden itu tidak memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya.

Isnin yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Beaufort diarahkan membayar RM10,000 kepada kedua-dua responden terbabit.

Pada prosiding itu, Isnin diwakili Jaafar Esteban, Rizuan M Borhan dan Saiful Azian Mokhtar, manakala Lajim oleh Datuk Chau Chin Tang serta Datuk Lawrence Thine. SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd Radhi Abas.

Petisyen Lajim ditolak

Pada PRU-13, Lajim menang DUN Klias dengan majoriti 179 undi selepas memperoleh 6,324 undi, Isnin (6,145 undi), Mohd Sanusi Taripin (SAPP) 182 undi, manakala Aliapa Osman (STAR) 71 undi.

Pada prosiding sama, Jen Kee turut menolak petisyen Lajim untuk membatalkan keputusan PRU-13 bagi kerusi Parlimen Beaufort dimenangi calon BN, Datuk Azizah Mohd Dun.

Keputusan itu dibuat selepas pempetisyen gagal mengemukakan kesalahan pada petisyen mereka mengikut Seksyen 11 (1) (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya selain tidak mempunyai merit. -BH

Pak Lah Tolak Perkasa Sebagai Model Perjuangan Melayu


Tidak salah memperjuangkan satu-satu kaum dan komuniti namun ia tidak seharusnya dilakukan dengan cara yang tidak sepatutnya seperti dilakukan Perkasa, kata bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam bukunya.

Melalui bukunya berjudul Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia, Pak Lah berkata menjadi kesalahan memperjuangkan satu-satu kaum dengan menolak kaum lain.

Kumpulan yang diketuai Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin mendesak agenda kanan, terutama konsep Ketuanan Melayu, dan mengambil pendekatan keras terhadap mereka yang dilihat sebagai musuh Melayu dan Islam.

Menjelang pilihan raya, Perkasa mencetuskan kontroversi apabila mengugut untuk membakar Al-Kitab, Bible berbahasa Melayu, dan juga video menunjukkan Zulkifli mengkritik agama Hindu.

Menyentuh konsep Ketuanan Melayu, Abdullah berkata ia tidak seharusnya bermaksud sebagai kuasa mutlak Melayu.

"Apa maksud tuan? Bagaimana kamu menjadi tuan? Dengan melakukan apa yang kamu buat - sama ada dalam pembelajaran, profesion, perniagaan.

"Hanya kerana kamu Bumiputera, kamu tidak boleh jangka semuanya diserahkan kepada kamu dan panggil kamu sebagai tuan. Ketuanan bukanlah satu hak. Ia perkara yang kamu perlu kerjakan," kata Pak Lah dalam bukunya.

Beliau mengakui adanya kebimbangan sesetengah orang Melayu terhadap perjuangan bangsa mereka kerana banyak lagi yang ketinggalan.

"Bagaimanapun, kebimbangan itu boleh disalurkan melalui kaedah yang betul, dan bukan melalui cara yang kasar seperti mana tindakan Perkasa,"kata Abdullah.

"Saya yakin kita perlu ada sebab dan rasionalnya bila kita berbicara mengenai seseorang," kata Abdullah, yang dipaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2009 selepas Barisan Nasional (BN) yang diketuainya memperolehi keputusan yang teruk dalam pilihan raya.

BN buat pertama kali gagal mendapat keputusan dua pertiga dalam pilihan raya itu.

Perkasa sentiasa mendapat pembelaan dari bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mendesak Pak Lah berundur.

Ekoran itu ramai pemimpin Umno enggan menyuarakan kritikan terhadap kumpulan berkenaan secara terbuka, khuatir kesan akibat lidah Ibrahim dan akhbar Umno, Utusan Malaysia, satu lagi suara yang memperjuangkan agenda kanan. -TMI

Ikhwan Tidak Berganjak: Kembalikan Mursi Sebagai Presiden Sebagai Syarat Penyelesaian


Mesir: Ikhwan Muslimin menegaskan tidak akan menerima sebarang solusi yang dicadangkan mana-mana pihak kecuali pihak tentera bersetuju dengan syarat bahawa Dr Muhammad Morsi perlu dikembalikan sebagai Presiden Mesir yang sah.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Parti Kebebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwanul Muslimin sebagai menjawab kepada pertemuan Wakil Menteri Luar Negeri AS, William Burns yang mahu memujuk Ikhwan menerima solusi damai terhadap krisis politik yang berlaku di Mesir.

Kunjungan utusan AS itu sendiri adalah yang terbaru dalam penerusan langkah diplomatik menjadi orang tengah antara pendukung Mursi dan pemerintah sementara yang dikuasai tentera.

Ikhwan mendakwa, pendirian mereka tidak berubah, agar pihak tentera yang merampas kuasa mengembalikan legitimasi Mesir dengan menyerahkan kembali pemerintahan kepada Morsi yang telah dipilih oleh rakyat negara itu secara sah.

Dalam pada itu, Ahram Online melaporkan, Menteri Luar Negeri UEA Abdullah Zayed bersama rakannya dari Qatar Khalid Al-Attiyah serta William Burns telah mengunjungi orang kedua Ikhwanul Muslimin Khairat Asy-Syatir di penjara Tora malam tadi.

Ianya sebagai usaha memujuk Ikhwan menerima inisiatif penyelesaian yang mahu dikemukakan bagi menamatkan krisis di negara itu.

Namun Al-Jazeera kemudian melaporkan, Asy-Syatir, yang telah ditahan atas "tuduhan rekaan" menghasut pembunuhan, menolak untuk bertemu dengan mereka bertiga itu.

“Muhammad Mursi adalah presiden sah Mesir. Mereka harus berbicara kepada Mursi,” kata Asy-Syatir seperti dipetik Al Jazeera.

6 Ogo 2013

Elak Bil Telefon Bimbit Anda Melambung, Jangan Aktifkan "Data Roaming"

Saya terkejut apabila saya mendapat bil seperti itu kerana saya hanya memeriksa e-mel saya semasa makan tengah hari dan makan malam ketika berada di sana.

Syarikat telekomunikasi berkata ia disebabkan data roaming saya sentiasa diaktifkan. Walaupun bil saya telah diselesaikan oleh syarikat, saya rasa ia sangat tidak patut," katanya.

Seorang pengguna telefon pintar telah berada di Timur Tengah selama 12 hari dan telah menerima satu 'kejutan' bil telefon berjumlah RM122,703 untuk khidmat 'data roaming'.

Satu lagi kes berlaku untuk perjalanan selama empat hari ke Singapura dan pengguna dikenakan caj sebanyak RM23,000 kerana memeriksa e-mel dalam tempoh tersebut.

Justeru, anda perlu berhati-hati dengan penggunaan telefon pintar.

Melayari Internet di telefon bimbit semasa di luar negara boleh menjadikan bil anda melambung tinggi.

Jika tidak berhati-hati, ia boleh berakhir dengan caj data yang dikenakan melebihi harga sebuah kereta.

Nama-nama besar juga tidak terkecuali berdepan situasi ini.

Seorang "mangsa" yang dikenakan caj yang tinggi adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang menerima 'bil kejutan' selepas perjalanan yang singkat ke Indonesia.

"Saya hanya menggunakan 'data roaming' selama beberapa minit sehingga akhir penginapan saya tetapi saya telah dikenakan bil sejumlah RM4,500 untuk itu," katanya kepada The Star.

Menurut Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), aduan terhadap syarikat telekomunikasi meningkat dalam tempoh dua tahun lepas, dengan caj data mudah alih dan caj 'data roaming' menjadi rungutan utama.

Pengarah CFM Ahmad Izham Khairuddin menambah: "suatu ketika dulu aduan kebanyakannya mengenai liputan yang buruk, tetapi telah berubah sejak 2011."

CFM ditubuhkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada tahun 2001.

Dalam kes yang melibatkan pengadu dengan bil berjumlah RM122,703, CFM menjadi pengantara dan pengguna telah diberi diskaun sebanyak 88 peratus, dengan rebat 10 peratus dan peraturan pembayaran separa.

Pengadu, bagaimanapun, masih belum bersetuju dengan penyelesaian tersebut.

Dalam kes lain, Sara Kamal (bukan nama sebenar), 45, mengadu bahawa dia telah dihantar bil berjumlah RM23,000 selepas menggunakan servis 'data roaming' selama empat hari semasa perjalanan urusan perniagaan ke Singapura pada tahun 2011.

"Saya terkejut apabila saya mendapat bil seperti itu kerana saya hanya memeriksa e-mel saya semasa makan tengah hari dan makan malam ketika berada di sana.

Syarikat telekomunikasi berkata ia disebabkan data roaming saya sentiasa diaktifkan. Walaupun bil saya telah diselesaikan oleh syarikat, saya rasa ia sangat tidak patut," katanya. -PBO

Ibu Kecewa Anak Gadisnya Ditangkap Khalwat Dalam Kereta

Paling memalukan keluarga'

Kuala Terengganu - “Terus terang saya katakan, kejadian ini paling memalukan keluarga dan mengaibkan hidup saya sepanjang bergelar ibu kepada dia. Selepas peristiwa itu, saya dan suami memang memantau gerak gerinya dan jika hal ini berulang lagi, saya sendiri yang akan hantar dia ke pusat pemulihan akhlak,”. Illustrasi hiasan.

Demikian luahan hati seorang ibu selepas anak gadisnya berusia 18 tahun mengaku bersalah melakukan satu perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah bersama pasangannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, selepas ditahan bersama kekasihnya yang dalam keadaan mengaibkan pada Jun lalu.

Wanita berusia 40-an berkata demikian di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail selepas dipanggil bersama suaminya bagi mendengar rayuan terhadap kes anak gadis mereka.

Sementara itu, bapa kepada lima anak itu berkata, mereka tidak menyangka anak ketiganya itu tergamak menghancurkan kepercayaan diberikan selepas membenarkan keluar bersama lelaki tersebut sebelum kejadian.

“Sebelum itu, dia ada memberitahu hendak ke bandar untuk urusan pendaftaran di sebuah kolej swasta dengan ditemani lelaki itu.

“Disebabkan lelaki itu ada juga pertalian hubungan kekeluargaan dengan kami, jadi saya memang tidak menyimpan sebarang syak dan meletakkan kepercayaan kepada mereka sepenuhnya agar dapat menjaga diri,” katanya.

Selain itu, anak gadisnya yang masih menuntut di sebuah kolej turut membuat rayuan memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan sudah insaf dan bertaubat dengan melakukan solat sunat Taubat.

Terdahulu, dia mengaku bersalah melakukan satu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang lelaki berusia 20 tahun yang bukan suaminya di dalam sebuah kereta di kawasan Taman Awam Pulau Warisan, di sini, kira-kira jam 6.50 petang, pada 5 Jun lalu.

Susulan pengakuan bersalah itu, dia dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan dua penjamin.

Kamalruazmi juga dalam penghakimannya berkata, apa yang dilakukan gadis itu dan pasangannya adalah kesalahan serius dan berdosa di sisi agama.

“Kamu sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kerana ditahan pegawai penguat kuasa syariah. Jika tidak, mungkin kamu berdua sudah terlanjur dan kejadian lebih buruk akan berlaku. Ini masanya untuk kamu berubah dan saya harap kamu benar-benar bertaubat,” katanya.

Pasangannya memohon mahkamah menangguhkan hukuman terhadapnya dibebaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

18 Ogos depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan fakta kes, pasangan remaja itu ditahan pegawai penguat kuasa syariah di kawasan Taman Awam Pulau Warisan, di sini, kira-kira jam 6.50 petang pada 5 Jun lalu.

Ketika kejadian, pegawai berkenaan sedang melakukan rondaan di sekitar bandar raya ini sebelum ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.

Sebaik menghampiri, pasangan itu berada dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan mereka bukan pasangan suami isteri sebelum ditahan untuk siasatan lanjut. -SH