15 Ogo 2012

Ular Menyusur Akar, Tak Hilang Bisanya....



Raja duduk bersila bersama rakyat takkan hilang daulatnya..

ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!!!

sumber:FB

Beberapa Pemimpin Sabah Akan Sertai PAS Raya Ini

PAS sedang bersiap sedia untuk menerima kemasukan beberapa pemimpin Sabah ke dalam parti selepas sambutan Hari Raya tidak lama lagi.

Mengumumkan persediaan parti untuk perhimpunan 5000 orang di sini pada 1 Sept nanti, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata Mursyidul Am merangkap Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menerima kemasukan pemimpin-pemimpin tersebut pada majlis itu.

"Tok Guru (Nik Aziz) akan mengumumkan nama-nama beberapa pemimpin Sabah yang akan menyertai PAS. Beliau akan mengumumkan nama-nama pada perhimpunan khas pada 1 Sept.

"Perhimpunan khas dipanggil Himpunan Hijau ke Putrajaya dan akan turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin PAS Pusat, termasuk Presiden TG Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Mohamad Sabu, naib presiden dan ahli jawatankuasa," kata Lahirul.

Juga dijangka hadir ialah Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi, Timbalan Ketua Nik Abduh dan Naib Ketua Pemuda, Dr Raja Ahmad Al-Hiss.

Ini merupakan kali pertama PAS Sabah akan mengadakan satu acara secara besar-besaran.

Menurut Lahirul, acara ini juga disambut dengan semangat kemerdekaan dan memperingati serta menjulang 49 tahun kemerdekaan Sabah".

Sabah telah menjadi pusat tumpuan misi Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menarik Ahli Parlimen di negeri ini, meminta mereka untuk tinggalkan BN dan berdiri sebagai calon bebas atau di bawah panji-panji Pakatan.

Menurut Anwar, apa yang penting ialah bahawa mereka menyokong agenda Pakatan.

Ramai Lagi Yang Akan Tinggalkan BN

Dua ahli parlimen BN telah pun melompat parti - Lajim Ukin (Beaufort) dan Wilfred Bumburing (Tuaran). Pada hari Ahad lepas, Naib Presiden UPKO Senator Maijol Mahap juga mengisytiharkan sokongan untuk Anwar.

Semalam, Lajim mendakwa bahawa tiga lagi ahli parlimen dari BN akan ikut serta menyeberang ke Pakatan Rakyat selepas Hari Raya.

"Ini bukan spekulasi atau khabar angin tetapi sesuatu yang benar. Walau bagaimanapun, kami tidak akan mendedahkan nama-nama mereka.

"Mereka akan mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada parti dan menyokong Pakatan secara berperingkat-peringkat dari selepas Hari Raya sehingga pembubaran Parlimen," katanya kepada Keadilan Daily.

Beliau juga mendakwa bahawa 18 daripada 35 ahli jawatankuasa Umno Bahagian Beaufort telah meletak jawatan dan menyertai Pakatan Perubahan Sabah (PPS), yang merupakan sekutu Pakatan.

"Beberapa lebih ketua-ketua cawangan Umno di Sabah, bekas ahli parlimen dan pemimpin yang telah dilantik sebagai menteri juga akan meninggalkan parti itu.

"Pengumuman akan dibuat pada masa yang sesuai," katanya. -FMT/Terjemahan bebas: GB

Mahkamah Tolak Saman Timbermine, TGNA Minta Rakyat Kelantan Solat Syukur

Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras” (Surah Ibrahim ayat 7).

Pada hari Isnin, 3 Ramadhan (23 Julai 2012) Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan mengetepikan saman berjumlah RM800 juta oleh syarikat Timbermine Sdn. Bhd. terhadap Kerajaan Negeri Kelantan. Penghakiman itu dibuat berikutan pihak Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Rabu, 30 Disember 2009.

Berdasarkan perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu, Kerajaan Negeri diarah RM800 juta kepada Timbermine menurut tuntutannya melibatkan ganti rugi RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat, selain itu ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan RM1.74 juta, faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Saya pernah mengulas perkara ini semasa kuliah Jumaat di Medan Ilmu (1 Januari 2010) kerana saya agak terkilan dengan apa yang berlaku. Ini kerana kes saman tersebut adalah kerja orang lain, kerja kerajaan BN dulu. Kerana orang lain buang sampah, kita kena sapu. Inilah penyakit bila kita beri tugas jaga negeri kepada orang yang tidak pandai.

Mengenang kepada cerita di sebalik kes saman Timbermine ini, memanglah berlaku perjanjian antara Kerajaan Kelantan dengan syarikat ini tahun 1964. Tetapi ketika kerajaan campuran tahun 1975, ia dibatalkan kerana campurtangan pihak tertentu yang bukan daripada PAS. Justeru Kerajaan Negeri selepas itu (sekitar 1977) mengalami darurat, maka PAS dituduh menjual negeri kepada pihak Singapura. Namun, selepas itu BN yang mendapat kuasa dari rakyat, mereka gagal menyelesaikan isu itu secara baik hingga menyebabkan Kerajaan Negeri disaman pada tahun 2004. Sedangkan, timbul cerita ketika itu tuduh PAS yang gadai tanah balak kepada tauke Singapura, iaitu Timbermine dan pihak BN tuduh kata nak tebus balik jika undi BN, kalau tak undi akan digadai selamanya.

Ayat kempen puak BN ketika itu telah masuk dalam kepala rakyat. Sebab itulah BN dapat undi dan menang tahun 1978. Kita sangka bila menang, BN sudah tebus balik. Namun apa yang berlaku kita Kerajaan sekarang ini kena saman RM800 juta. Ia suatu penipuan kepada rakyat Kelantan.

Bersyukurlah, kerana tergerak hati kita untuk rayu. Maka Kerajaan Negeri telah merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu tersebut. Justeru saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada peguam, Dato’ Sulaiman Abdullah yang arif menghujah bagi mengenepikan saman. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat.

Sehubungan itu, saya mohon seluruh rakyat Kelantan dapat menunaikan solat sunat syukur dua rakaat bagi menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Mudah-mudahan dalam semangat Ramadhan yang mulia ini, kita semua ditambah nikmat dan keredhaan-Nya jua.

Allahu Akbar.

TG Dato' Hj Nik Abd Aziz Nik Mat

[VIDEO] Lelaki Berjubah Putih Mengangkat Pemuda Syahid Dengan Sebelah Tangan

Ketika askar upahan rejim Basyar Al-Assad sedang menggila membunuh penunjuk perasaan, tiba-tiba keluar sosok tubuh seorang lelaki berjubah putih dari arah sebelah tentera Basyar Al-Assad. Lelaki itu mengangkat mangsa yang syahid dibunuh askar upahan Basyar Al-Assad dengan tenang sedangkan dibelakangnya ada tentera bersenjata.

Kelihatan lelaki berjubah putih itu tenang mengangkat pemuda yang telah mati syahid itu dengan sebelah tangan sahaja.

Siapakah lelaki berjubah putih itu? Masih menjadi persoalan. Tengok video di bawah ini, mungkin kurang jelas tapi video yang kedua di penghujungnya mungkin anda dapat amati betul-betul.. Wallahu a’lam





Manusia atau malaikat? Kalau manusia tidak hairan. Kalau malaikat, maka kita melihat dari 3 sudut hukum: hukum adat, hukum akal, hukum syarak.

Hukum adat atau kebiasaan menunjukkan ia agak pelik kerana adat dan kebiasaannya orang ramai akan gelabah dan kalut ketika pihak keselamatan mengamuk (tak percaya tanya peserta BERSIH). Tetapi lelaki berjubah dan berserban putih itu tenang sahaja seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Datangnya pula dari arah kawasan yang dikuasai tentera.

Hukum akal pula mengatakan tidak mustahil kalau itu adalah malaikat. Yang mustahil pada akal ialah seperti anak lebih dewasa dari bapa.

Hukum syarak pula boleh diambil dalilnya dari al-Quran dan Hadis. Dalam al-Quran Allah diceritakan kisah Nabi Ibrahim yang didatangi 2 Malaikat berupa lelaki segak memberitahu tentang Nabi Ibrahim yang akan dikurniakan anak dari Sara walaupun Sara tidak mampu lagi mengandung. Malaikat itu pula tidak menjamah daging lembu panggang yang dihidang oleh Nabi Ibrahim.

2 Malaikat itu juga datang kepada Nabi Lut memberitahunya supaya keluar dari negerinya sebelum waktu Subuh kerana Allah akan membinasakan negeri itu yang penduduknya beramal dengan homoseks. (Golongan LGBT, ambil perhatian perkara ini!).

Jibril as sendiri datang kepada Nabi SAW dengan rupa lelaki segak, berpakaian putih tanpa kesan musafir, rambut hitam.

Dalam beberapa riwayat disebutkan Saidina Ali juga pernah berurusan jualbeli unta dengan Malaikat Jibril dan Mikail yang berupa dengan rupa lelaki setelah Saidina Ali memberi sedekah kepada fakir miskin.

Justeru, kalau lelaki yang mengangkat orang yang ditembak itu adalah malaikat, maka ia bukanlah sesuatu yang mustahil menurut hukum syarak. Maka perkara ini boleh dianggap satu karamah kepada mereka yang syahid kerana diangkat oleh malaikat, atau kemuliaan juga bagi rakyat Syria secara umumnya yang menentang pemerintah yang zalim seperti Basyyar al-Asad itu.

Dalamasa yang sama, perlu diingat dengan ungkapan: ‘Al-Istiqaamatu khairun min alfi karaaamah’ . Istiqamah iaitu tetap dalam prinsip agama, perjuangan, ibadah dan kehidupan menurut Islam sebenarnya lebih baik dari seribu karamah (kemuliaan) yang diberi yang ditunjuk antaranya melalui klip video tersebut.

Moga Allah membantu rakyat Syria yang dizalimi dan menghancurkan kezaliman dan penzalim di seluruh pelusuk bumi ini.

Oleh: ustaznik

Pemuda Itu Halang Saya Berundur Dari Sejadah Kuning Yang Empuk Itu...

Perkongsian hebat dari seorang warga Kelantan, Wan Norhaziki Wan Halim:

Suatu hari ketika saya di tingkatan tiga, saya ke Masjid Muhammadi, Kota Bharu untuk mendirikan solat Jumaat.

Di dalam masjid, saya berasa hairan kerana para jemaah tidak berani menduduki beberapa helai sejadah kuning yang dihamparkan di belakang sejadah imam. - gambar fail

Tanpa mempedulikan orang lain, saya terus bersolat tahiyyatul masjid di atas sehelai sejadah kuning bersebelahan sehelai sejadah kuning empuk yang paling istimewa.

Ketika beri'tikaf, saya mula menyedari bahawa diri saya sedang diperhatikan oleh orang ramai termasuk tuan imam.

Tidak lama kemudian, beberapa individu berbaju Melayu kuning bersamping datang ke arah saya lalu duduk di atas sejadah-sejadah kuning berkenaan.

Baru saya menyedari bahawa Sultan Kelantan (Sultan Ismail Petra) duduk betul-betul di sebelah kiri saya di atas sejadah empuk tadi.

Ketika itu, saya mula rasa bersalah dan bertekad hendak mundur ke saf belakang kerana menyedari bahawa sejadah yang saya duduki di sebelah baginda sultan itu telah dikhaskan untuk seorang individu.

Ketika saya cuba berundur ke belakang, seorang pemuda yang saya yakini merupakan pemilik sejadah tersebut menghalang saya dari berundur dan beliau duduk bersebelahan saya.

Ketika bersalaman dengannya, beliau menghadiahkan senyuman manisnya kepada saya. Hari ini pemuda tersebut telah bergelar 'Sultan' bagi Negeri Serambi Mekah.

Jika dahulu semasa bergelar 'Raja Muda' baginda pernah membenarkan sejadahnya dipijak oleh saya, hari ini pula setelah bergelar 'Sultan' baginda telah membenarkan mahligainya diinapi oleh ribuan rakyatnya untuk berqiyamullail.

"Allahuakbar"

sumber: FB

Oki Setiana Dewi: Untuk Apa Cantik Di Mata Manusia Tetapi Tidak Di Mata Allah?



Bagi saya kecantikan sebenar seorang Mukmin adalah ketaatan pada Allah. Jika seseorang mentaati Allah dengan mengerjakan perintahnya dan menjauhi larangannya, maka seseorang itu akan terlihat cantik di mata manusia,” begitulah antara pandangan yang dilemparkan oleh Oki Setiana Dewi ketika ditanya mengenai keindahan dan kecantikan seorang Muslim. Beliau ditemui semasa kunjungan khusus ke pejabat editorial majalah i, Kumpulan Media Karangkraf.

Menurutnya lagi, ramai yang menilai ‘kecantikan’ itu dengan berdasarkan kepada sifat fizikal seseorang. Kita selalu terlepas pandang kepada kecantikan yang tidak mampu untuk dilihat, iaitu sifat yang lahir dari dalam diri, yang mampu untuk mendorong seseorang ke arah kebaikan.

“Tidak semua insan yang cantik pada sifat luarannya, mampu untuk memiliki kecantikan pada sifat dalamannya juga. Kadang kala mereka hanya cantik pada luarannya tetapi memiliki akhlak yang tidak elok.

“Jika ingin dibandingkan antara kecantikan luaran dan kecantikan dalaman, adalah lebih baik jika kita memiliki kecantikan pada sifat dalaman kerana ia akan kekal lama selamanya,”
jelasnya.

Bagaimanapun Oki juga tidak menolak bahawa kecantikan luaran juga amat penting. Katanya mementingkan kecantikan dalaman tidak bermakna mengabaikan kecantikan luaran seperti kebersihan diri dan pakaian kerana Rasulullah s.a.w ada mengingatkan umatnya supaya mengambil berat terhadap penampilan diri yang bersih dan menyenangkan mata memandang.

“Innallah jamil, wa yuhibbu jamal yang bermaksud ‘Allah itu indah, dan sukakan keindahan’. Setiap manusia harus senantiasa menjaga kebersihan dan keindahan dirinya. Berbusana yang baik dan sopan, menjaga kebersihan sehingga kecantikan yang berada di dalam pun akan semakin terpancar.

“Orang mengatakan 70 peratus kesan pertama akan diperoleh seseorang ketika melihat penampilan orang lain. Untuk itu alangkah baiknya jika seseorang itu menjaga penampilannya agar terlihat baik dan menyenangkan. Sehingga orang pun akan senang bercakap dan berinteraksi dengannya. Pakailah pakaian yang sopan dan menutup aurat, kerana itu lambang pakaian takwa yang dianjurkan agama, dan bersikaplah yang baik kepada sesama insan,” pesannya pada hadirin semasa majlis sidang media di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf.

Pandangan Oki jelas memperlihatkan bahawa beliau amat menitikberatkan aspek kecantikan luaran dan dalaman dalam diri. Sepertimana yang diperkatakannya seperti itulah juga keadaan dirinya.

Petang itu busananya nampak sopan. Walaupun hanya berjubah dan bertudung labuh, tetapi jelas terpancar sinar keindahan pada penampilannya. Malah beliau berulang kali menegaskan bahawa pakai tudung dan menutup aurat tidak menghalang seseorang untuk mencapai kejayaan.

Dakwah Melalui Lakonan

Nama Oki Setiana Dewi tidak asing di kalangan remaja Muslimah di Malaysia terutamanya bagi mereka yang meminati filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB). Lakonannya sebagai ‘Ana athaful nisa’ seorang Muslimah yang solehah, betul-betul telah memberikan impak yang sangat besar kepada penonton, terutamanya kepada golongan remaja Islam. Sehingga kini ramai yang telah menjadikan dirinya sebagai ikon dan ada yang memanggilnya dengan panggilan ‘Ana’ sebagaimana nama yang beliau lakonkan dalam filem KCB.

Ditanya kesan atas kunjungan kali pertamanya ke Kuala Lumpur, Oki tidak menafikan beliau berasa janggal sehingga pernah melarikan diri tatkala peminat sibuk ingin merakam gambarnya. Namun beberapa hari selepas itu dirinya mula terbiasa dengan keadaan itu.

Walaupun usianya masih muda, semangat Oki di dalam meningkatkan pencapaian diri cukup memberikan inspirasi. Jelasnya kini beliau tengah mempersiapkan dirinya untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana (Master) setelah menamatkan Ijazah Sarjana Mudanya. Bukan itu sahaja, kegiatannya seharian juga banyak dihabiskan untuk belajar dan mengajar.

“Saya saat ini banyak mengisi acara seperti bedah buku, kajian tentang wanita Islam, seminar-seminar motivasi, baik dalam mahupun di luar negera. Saya juga sedang mengikuti program hafalan al-Quran dan tengah menyiapkan penulisan buku saya yang ke-empat,” jelas Oki yang juga sering melawat ke penjara untuk memberi motivasi serta berdakwah kepada warga banduan dalam penjara.

Sebagai seorang pendidik, penulis buku dan pelajar, minat Oki terhadap dunia lakonan masih belum padam. Katanya, dia masih minat untuk berlakon tetapi mengakui agak selektif kerana hanya menerima tawaran daripada filem mahupun drama yang mempunyai unsur mendidik.

Memutar semula penglibatannya di dalam filem ketika Cinta Bertasbih (KCB), ujarnya ia adalah merupakan satu hikmah yang terbesar buat dirinya. Pembabitan beliau di dalam filem berkenaan bukan sebagai pelakon semata-mata tetapi juga merupakan satu proses pembelajaran untuk lebih memperbaiki diri.

“Saya sangat bersyukur sekali ketika mendapatkan peluang untuk berlakon sebagai Ana dalam filem Ketika Cinta Bertasbih. Syukur alhamdulillahlah, dengan lakonan itu, membawa saya ke arah yang lebih baik.

“Saya diberi kesempatan oleh Allah untuk berada dalam satu komuniti yang baik, berlakon dalam adegan-adegan yang baik. KCB telah membuat saya tahu lebih banyak tentang agama Allah dan lebih dekat dengan-Nya. Saya juga memperoleh banyak ilmu, mulai dari bagaimana menjalankan peranan dan berlakon dengan baik, sehingga berpeluang mendalami ilmu-ilmu agama yang belum pernah saya diketahui sebelumnya,” kongsinya

Memulakan Karya Penulisan

Sebagai seorang ikon Muslimah, Oki sentiasa memikirkan jalan yang terbaik untuk dirinya melakukan usaha dakwah terutamanya kepada remaja yang kini dilihat lebih cenderung untuk ke arah hiburan berbanding program agama. Sebab itu Ok menceburkan diri dalam dunia penulisan.

“Dengan menulis saya cuba untuk menyentuh sanubari kawan-kawan remaja yang berjiwa muda khususnya, untuk lebih mengenal agama dan senantiasa berusaha memperbaiki ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Pada waktu yang sama, saya juga selalu berusaha memperbaiki diri sendiri. Mulai cara berbicara, berpakaian, dan melakukan apa saja. Kerana bagi saya perbuatan adalah lebih efektif dari kata-kata sehingga seseorang itu boleh berubah ke arah yang lebih baik jika melihat contoh yang baik,” jelasnya yang kini baru sahaja melancarkan buku keduanya yang bertajuk ‘Sejuta Pelangi’.

Penulisan buku keduanya itu adalah rentetan daripada kejayaan buku pertamanya yang bertajuk ‘Melukis Pelangi’. Buku tersebut telah pun dicetak balik sebanyak lapan kali. Menurut Oki, jikalau buku pertamanya lebih mengisahkan mengenai dirinya, buku yang keduanya adalah lebih kepada kisah-kisah yang berlaku di sekelilingnya.

Sebelum mengakhiri pertemuan, Oki sempat berpesan kepada remaja Muslim agar sentiasa berjuang sehabis baik menegakkan agama Islam melalui bidang dan potensi masing-masing, selain mengekalkan rasa bangga sebagai seorang Muslimah.

“Bersyukurlah pada Allah atas kurnianya yang luar biasa iaitu menjadi seorang Muslim. Jadilah Muslim yang taat kepada-Nya. Tunjukkanlah identiti kita sebagai Muslim dan Muslimah sejati yang menjadi kebanggaan Islam, Berkaryalah, berprestasilah dan berbuat baiklah kepada sesama. Jadilah pemuda pemudi yang menginspirasi dunia dengan prestasi yang luar biasa.

“Bangkit dan lakukanlah yang terbaik dalam hidup. Tak ada kejayaan yang boleh dicapai melainkan dengan perjuangan, dan semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang senantiasa berada dalam kebenaran,”
doa dan harapan Oki Setiana Dewi mengakhiri pertemuan. -majalah i

14 Ogo 2012

Nasaruddin Sertai Rombongan Najib Ke Mesyuarat OIC



Bkeas Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa mengikuti rombongan PM Najib Tun Razak ke Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Keempat di Mekah.

Berikut ialah laporan capton bagi foto di atas oleh BERNAMA:

MAKKAH, 14 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) mendengar penerangan dari Tokoh Ulama Arab Saudi Sheikh Dr. Abdullah Hamad Al Jalaly (kanan) semasa pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Keempat di sini pagi ini.

Turut hadir (dari kiri) Mufti Masjid Haram Makkah, Sheikh Dr. Sulaiman Al Salumi dan Anggota Parlimen Bachok " Ustaz Nasharudin Mat Isa.


Sebelum itu, Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota rombongannya termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Mohamad Al-Saggaf dilaporkan telah memulakan ibadah umrah dengan tawaf mengelilingi Kaabah.



Ulasan GB

Semakin terdedah, tokoh-tokoh UG di dalam PAS. Mujur kalah di dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden dahulu.

Biarkanlah dia, penipuan terhadap jemaah amat besar akibatnya. Serahkan kepada Allah swt untuk menguruskan hal beliau.

Lihat saja apa yang telah berlaku kepada bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Hassan Ali. Semakin hari semakin gila, semakin hari semakin hina.

Dan Najib sanggup melakukan apa saja, belanja seberapa banyak yang ada kerana telah menghidu sesuatu yang buruk akan berlaku... kini membilang hari UMNO BN dicampak keluar dari Putrajaya!


PRU13: Najib tertekan, perisik lapor peralihan kuasa

KUALA LUMPUR: PAS melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus berada dalam keadaan tertekan untuk membuat pengumuman pembubaran parlimen bagi menghadapi Pilihanraya Imum ke-13 (PRU13).

Kenyataan tersebut disuarakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) apabila 'task force' rasmi yang terdiri daripada perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut melaporkan akan berlaku peralihan kuasa pada PRU13 nanti.

"Melihat kepada apa yang berlaku sekarang pada senario politik negara, Najib terus berada dalam keadaan tertekan untuk membuat pengumuman pembubaran parlimen bagi mengadakan PRU13.

"Tekanan itu lebih teruk lagi apabila laporan dari perisik rasmi kerajaan yang telah menyatakan rakyat telah menunjuk sikap tidak selesa mereka kepada kerajaan, malah menjangkakan akan ada perubahan kuasa," jelasnya sewaktu majlis berbuka puasa di sebuah hotel semalam.

Mahfuz yang turut menjangkakan Najib akan mengadakan pilihanraya pada awal tahun hadapan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Katanya lagi, faktor kesuntukkan masa iaitu sambutan kemerdekaan, musim haji dan juga peperiksaan kepada pelajar-pelajar sekolah juga antara sebab utama PRU13 dibawa ke tahun hadapan.

"Sudah pasti pilihanraya tidak akan diadakan pada musim haji kerana rakyat negara ini akan keluar untuk menunaikan haji dan begitu juga musim peperiksaan yang mana ibubapa akan lebih tumpukan kepada peperiksaan anak mereka.

"Jika Najib ingin mengadakan pada musim peperiksaan ia akan menimbulkan kemarahan kepada ibubapa, malah peglibatan guru-guru dalam menguruskan peperiksaan juga akan turut terganggu," sambungnya.

Menurutnya, kerajaan akan menggunakan sebaik mungkin belanjawan 2013 yang akan dibentangkan pada sesi parlimen akan datang.

"Sokongan rakyat sudah semakain menurun dan saya pasti Najib akan menggunakan sepenuhnya kelebihan senjata terakhir mereka pada belanjawan kali ini untuk menarik undi rakyat.

"Apatah lagi senario perubahan yang besar akan berlaku di Sabah, Najib dijangka bertindak luar biasa kepada rakyat di sana.

Sebelum itu, menurut laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin yang telah keluar BN dan mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan Rakyat turut mendakwa tiga lagi ahli parlimen BN akan lompat parti selepas Hari Raya.

Menurut Lajim lagi, seramai 18 daripada 35 ahli jawatankuasa Umno bahagian Beaufort menuruti langkahnya meletak jawatan dan mempromosi Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang menyokong Pakatan.
-HD


Panas!!! Ditangkap Berkhalwat Di Bulan Puasa Kerana Terlalu Letih Bershopping!


Kuala Lumpur – Pasangan kekasih memberi alasan menyewa di sebuah hotel selepas penat membeli-belah pakaian dan barangan sempena Aidilfitri ketika dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), awal pagi semalam.

Wanita yang hanya berkemban dengan tuala itu dicekup bersama pasangannya yang hanya memakai seluar pendek di hotel berkenaan pada jam 1 pagi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Wan Jaapar Wan Ahmad berkata, wanita berusia 24 tahun itu membuka pintu bilik selepas pintu bilik diketuk.

“Wanita itu memberi alasan hanya dia seorang diri tidur di dalam bilik berkenaan, namun pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki menyorok di tandas,” katanya.

Menurutnya, lelaki berusia 24 tahun itu memberi alasan dia tertidur di dalam bilik selepas membeli-belah.

“Difahamkan lelaki terbabit tidak bekerja, manakala pasangannya bekerja di sebuah syarikat swasta,” katanya.

Dalam operasi yang berasingan yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, sepasang kekasih yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dicekup khalwat di sebuah hotel berasingan.

Beliau berkata, lelaki berusia 42 tahun itu sudah berkahwin, manakala pasangannya berusia 18 tahun tidak mempunyai pekerjaan.

“Pasangan berkenaan juga memberi alasan membeli-belah sempena Aidilfitri. Pada awalnya lelaki berkenaan memberi alasan gadis terbabit merupakan tunangnya,” katanya.

Kedua-dua pasangan terbabit antara 23 individu yang dicekup khalwat di lima hotel bajet sekitar ibu kota.

Beliau menasihati ibu bapa memantau anak mereka kerana kebanyakannya yang dicekup khalwat memberi alasan membeli-belah bersama pasangan di sini.

“Ibu bapa harus bertanggungjawab, jangan memberi kelonggaran dan kebebasan terhadap anak mereka kerana khuatir mereka akan terlanjur di hotel bajet,” katanya.

Operasi selama empat jam itu dijalankan mengikut Seksyen 27 Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara. –SH

Boleh Merogol Jika Anda Seorang Ahli Sukan Atau Punyai Masa Depan Yang Baik?

Mahkamah kekal perintah berkelakuan baik ke atas Noor Afizal

PUTRAJAYA – Pemain boling tenpin handalan kebangsaan Noor Afizal Azizan terselamat daripada hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya bagi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskannya dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikat jamin RM25,000 kerana merogol gadis bawah umur.

tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif sebulat suara mengetepikan tempoh penjara lima tahun yang dikenakan ke atas Noor Afizal oleh Mahkamah Tinggi Melaka kerana membenarkan rayuan pendakwaan bagi meningkatkan hukuman.

Dalam keputusannya, Raus bersetuju dengan peguam Noor Afizal, Hisyam Teh Poh Teik bahawa kepentingan awam tidak akan dilaksanakan jika Noor Afizal dihantar ke penjara memandangkan dia mempunyai masa depan yang baik.

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk K.N.Segara dan Datuk Azhar Ma’ah adalah dua lagi hakim yang bersidang sebagai panel.

Pada 5 Julai tahun lepas, Mahkamah Sesyen Melaka melepaskan Noor Afizal dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun bernilai RM25,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka antara 12.30 pagi dan 5 pagi pada 5 Jun 2009.

Mahkamah Sesyen dalam perintahnya itu menimbang beberapa faktor termasuk ia adalah hubungan seksual tanpa paksaaan antara dia dan gadis itu.

Dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 20 September tahun lepas yang membenarkan rayuan dibuat oleh pihak pendakwaan yang tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen untuk mengikat jaminnya.

Dia dibenar ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin sehingga rayuannya kepada Mahkamah Rayuan.

Noor Afizal mewakili negeri Sembilan antara 2004-2010 dan pada masa sama mewakili Malaysia dalam kategori remaja selama lima tahun antara 2004-2008. Dia juga bertanding dalam kejohanan terbuka antarabangsa Thailand, April lalu.

Dia dijangka meakili Kedah dalam beberapa kejohanan akan datang seperti kejohanan terbuka antarabangsa Kuala Lumpur 2012.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Mohd Tajuddin.- Bernama

Ulasan GB

Pelik sungguh keputusan para hakim Mahkamah Rayuan.

kepentingan awam tidak akan dilaksanakan jika Noor Afizal dihantar ke penjara memandangkan dia mempunyai masa depan yang baik

Kepentingan awam dikorbankan kerana ahli sukan itu dikatakan mempunyai masa depan yang baik!

Semua orang boleh dakwa mempunyai masa depan yang baik bukan sekadar ahli sukan. Oleh itu undang-undang "merogol bawah umur" sudah tidak lagi relevan?

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1809.
Daripada ‘Aisyah r.a. bahawa kaum Quraisy amat memusingkan mereka hal seseorang perempuan suku Makhzum yang melakukan pencurian. Mereka mengatakan: “Siapakah yang boleh berbicara dengan Rasulullah saw. (mengemukakan permintaan supaya perempuan itu dibebaskan)? Tiada yang berani untuk membicarakan hal itu hanyalah Usamah kesayangan Rasulullah saw,” Lalu Usamah berbicara dengan Rasulullah saw. dan beliau menjawab: “Adakah engkau hendak menolong supaya orang bebas dari hukuman Allah?” Kemudian itu Nabi berdiri dan berkhutbah, sabda beliau: “Hai orang ramai! Orang-orang yang sebelum kamu menjadi sesat jalan disebabkan apabila seorang bangsawan mencuri, mereka biarkan saja (tidak dihukum). Tetapi kalau seorang yang lemah (rakyat biasa) mencuri, mereka lakukan hukuman kepadanya. Demi Allah! Kalau seandainya Fatimah anak Muhammad mencuri, nescaya Muhammad akan memotong tangan anaknya itu. “


Bangunan UMNO Port 'Selamat' Lepas Nafsu

Bandar Temerloh - Sebuah bangunan Umno lama yang terletak di bandar ini dipercayai menjadi tempat pasangan kekasih melampiaskan nafsu mereka.

Gambar: Bangunan Umno ini dikatakan menjadi tempat pasangan kekasih melepaskan nafsu mereka.

Peniaga, Mohd Redzuan Abdul Ghani, 34, berkata, golongan itu menggunakan tingkat atas bangunan terbabit bagi mengelak dikesan orang ramai atau pihak berwajib.

Menurutnya, kebiasaannya bangunan tersebut dikunjungi pasangan tidak bermoral itu pada waktu tengah malam kerana keadaan lengang dan dikatakan lebih 'selamat' daripada pandangan orang ramai.

“Memang ada perbuatan tidak bermoral dilakukan di bangunan ini terutama golongan remaja. Mereka dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh itu dalam masa yang singkat sahaja.

“Mungkin mereka tidak mampu menyewa bilik hotel murah, tambahan pula takut dicekup pihak Pejabat Agama Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Redzuan berkata, golongan remaja kini dilihat semakin bebas bergaul dan tanpa rasa segan berpeluk di khalayak ramai.

Katanya, masalah berkenaan perlu diatasi bermula dari rumah kerana institusi keluarga yang rapuh menyebabkan anak-anak tidak mendapat pendidikan agama secukupnya.

“Remaja yang masih di bangku sekolah terdedah dengan pelbagai faktor yang menjurus mereka melakukan perbuatan tidak baik.

"Budaya couple dalam kalangan pelajar sekolah perlu dibendung kerana boleh membawa banyak keburukan. Daripada couple itulah mereka terus hanyut dalam cinta monyet hingga membawa kepada perkara tidak sepatutnya,” katanya. -SH

MISTERI - 1000 Tanda Nama Polis Disorok Bunian

Seorang pegawai polis yang bertanggungjawab ke atas operasi pasukan itu di Dataran Merdeka semasa perhimpunan BERSIH 3.0 berkata beliau tidak mengetahui bagaimana tanda nama anggotanya tertanggal ketika perhimpunan tersebut memuncak.

ASP Ahmad Jais Usang, yang mengetuai operasi di zon Dataran Merdeka semasa perhimpunan tersebut berkata, semua 1,000 pegawai itu memakai tanda nama ketika beliau memberi taklimat pada pagi 28 April.

"Pada waktu pagi semasa taklimat semua mereka memakai tanda nama," katanya kepada panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dalam inkuiri yang dijalankan pagi semalam.

Bagaimanapun, pakaian seragam itu hanya menunjukkan nama anggota dan tidak menunjukkan nombor anggota terbabit.

Ahmad Jais menjelaskan bahawa sesetengah tanda nama itu dijahit di pakaian seragam tertentu manakala yang lain menggunakan kancing velcro yang boleh dipasang dan ditanggalkan pada bila-bila masa.

Inkuiri yang masuk hari ke-13 semalam bertujuan untuk menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa dan selepas perhimpunan BERSIH 3.0.

Ulasan GB

Dimana logiknya sehingga begitu ramai polis yang tercicir tag nama?

Bukankah sebenarnya ia satu taktik polis sendiri supaya tidak dicam oleh rayat dengan menanggalkan tag nama tersebut?

Dan kedua, polis yang memberi keterangan semalam, masih berupaya untuk terus berbohong dan berdusta di hadapan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di bulan puasa?


[GAMBAR SEBENAR] Siling Hospital Serdang Runtuh, 4 Cedera


Projek 1 Malaysia! Keselamatan Rakyat Dibahlulkan Kekayaan Kroni Diutamakan!! Siapa punya kroni agaknya yg buat Hospital Serdang ni? Berapalah untung mereka dapat? Sehingga siling Hospital Serdang ni pun boleh runtuh!! INI BUKAN KALI PERTAMA!!

Ini merupakan kejadian kedua di Hospital Serdang, yang beroperasi sejak Disember 2005, selepas insiden siling di kawasan lobi utama runtuh pada Januari tahun lepas.

SERDANG – Tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita Jabatan Kecemasan Hospital Serdang cedera selepas 15 keping papan siling bersaiz 2 kali 2 kaki di jabatan itu runtuh pada 2.45 pagi Isnin.

Pengarah Hospital Serdang Datuk Dr Ardi Awang berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas satu skru yang mengikat lantai siling itu tercabut, menyebabkan siling yang bercantum antara satu sama lain runtuh serentak.

“Ketika kejadian, terdapat tiga jururawat wanita dan seorang pegawai perubatan wanita berusia 20-an sedang betugas di bahagian kaunter meja jururawat manakala pesakit berada di bilik masing-masing.

“Runtuhan itu menyebabkan seorang jururawat menerima jahitan di tangan manakala yang lain cedera di kepala dan belakang badan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian.

Ulasan GB

Berikut ialah berita kejadian siling runtuh di hospital yang sama yang dilaporkan pada 31 Januari 2011

Siling Lobi Hospital Serdang Runtuh

Siling berukuran di kawasan lobi utama Hospital Serdang dilaporkan runtuh tengah malam tadi, dipercayai insiden pertama seumpamanya yang berlaku di hospital itu sejak ia mula beroperasi pada Disember 2005.

Insiden yang berlaku kira-kira 12.30 malam itu telah mengakibatkan bahagian-bahagian dan serpihan siling bertaburan di kawasan lantai lobi.

Jurucakap hospital tersebut ketika dihubungi berkata tiada kecederaan yang berlaku kerana ketika kejadian tiada orang awam atau pelawat berada di sekitar lokasi.

"Kami juga telah kerahkan pengawal untuk menutup kawasan itu sebaik sahaja kejadian sampai kepada pengetahuan kami. Satu lencongan juga telah dibuat bagi tujuan keselamatan," katanya.

Jurucakap itu berkata satu siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan kejadian telah dilakukan, katanya. --Bernama


Tokoh Keparat Noh "Udang" Cabar Tokoh Korporat Khalid Ibrahim Letak Jawatan MB

Noh Omar: MB Selangor perlu letak jawatan jika gagal ambil alih Syabas

PUTRAJAYA - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar meletak jawatan sekiranya tidak berjaya mengambilalih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menjelang September nanti, sepertimana yang beliau janjikan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata sebagai seorang tokoh korporat, Abdul Khalid seharusnya lebih tahu tentang proses pengambilalihan syarikat.

"Kita tunggu dan kita takkan kacau, kita biar dia uruskan. Tapi kalau tak boleh ambil alih juga beliau harus letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan papan seranta awam atas talian kedua Draf Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan, di pejabatnya di sini, hari ini.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata pada masa yang sama Abdul Khalid juga tidak boleh menghalang projek Loji Rawatan Air Langat 2 daripada diteruskan, kerana sama ada pengambilalihan itu berjaya atau tidak, rakyat Selangor tetap memerlukan bekalan air bersih.

Beliau berkata kerajaan pusat bertolak ansur sebelum ini dengan membelanjakan sejumlah RM600 juta untuk projek-projek mitigasi air di Selangor bagi mengelakkan krisis air, termasuk membina loji Sungai Labu dengan kos RM298 juta untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air di sekitar Sepang.

"Kerajaan negeri masih berfikiran seperti pembangkang dan ini akan merugikan negeri itu sendiri. Mereka sepatutnya berfikir seperti kerajaan yang sentiasa mencari jalan untuk membela nasib rakyat," katanya.

Mengenai Loji Rawatan Air Langat 2, Noh berkata kerajaan masih akan memohon kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk pembinaan tersebut memandangkan ia terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.

Beliau berkata permohonan sebelum ini bukannya ditolak MPKj, tetapi ditangguhkan namun tidak diketahui tempoh masanya.

"Pada masa yang sama tender untuk pembinaannya akan dikeluarkan," katanya.

Mengenai penyaluran air dari Pahang, Noh berkata kerajaan pusat melantik konsultan yang mengambil masa tujuh tahun untuk membuat kajian dan perancangan mengenai cara terbaik untuk mengatasi krisis air di Selangor termasuk dengan cara tersebut.

Beliau berkata ia berbeza dengan kerajaan Selangor yang mengutarakan cadangan terlebih dahulu sebelum melantik konsultan untuk membuat kajian mengenainya.- Bernama


Ulasan GB

Sungguh lucu seorang yang sekarang ini terbelit dengan masalah perniagaan udang mahu mencabar Menteri Besar Selangor yang sah yang dipilih oleh rakyat Selangor supaya letak jawatan sebagai MB jika gagal ambil-alih SYABAS.

Sedangkan umum sadah mengetahui peranan Kerajaan Pusat yang Noh Udang turut sama di dalamnya mempunyai grand design menghalang pengambil-alihan SYABAS oleh kerajaan negeri.

Masalah air di Selangor hanya rekaan, sabotaj yang dilakukan oleh pengurusan SYABAS untuk menunjukkan kononnya kerajaan Selangor tidak berupaya untuk mengatasi masalah berkenaan.

Kita ingin menasihati mereka supaya hentikanlah taktik kotor itu kerana hukum kebenaran dan keadilan sesekali tidak akan berpihak kepada golongan yang salah dan busuk hati apatah lagi percubaan untuk merampas Selangor dengan cara yang jelek dan jijik.

Noh Udang sengaja menimbulkan cabaran itu untuk menutup satu skandal yang beliau terlibat secara lansung.

Sekarang kamu Noh Udang sila jawab yang bawah ini:

AMK : Noh Omar Perlu Perjelas Memiliki Tanah Seluas 30 Ekar

SHAH ALAM, 3 OGOS – Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK) mendesak Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mengemukakan penjelasan kepada rakyat bagaimana beliau boleh memiliki tanah seluas 30 ekar di Tanjong Karang.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri mempersoalkan apakah keistimewaan beliau sebagai Menteri Pertanian dan Asas Tani sehingga melayakkan beliau untuk memiliki tanah berkenaan dengan jumlah bayaran premium sebanyak RM 9,760 pada tahun 1995.

“Apa yang kita ingin pertikaikan, bagaimana nama beliau boleh mendapat tanah tersebut dan atas dasar apa yang melayakkan beliau. Yang ini beliau kena jelaskan. Sehingga hari ini beliau tidak menjawab pendedahan yang dibuat oleh YB Ng Suee Lim dalam sidang Dun Selangor baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor pada Julai 12, Suee Lim mendedahkan yang Noh membeli tanah itu pada 13 Jun 1995.

Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

Dokumen berkenaan mendakwa penglibatan Noh Omar terhadap projek kolam udang di Tanjong Karang disamping penemuan satu kaveat agar Noh terus menyewakan tanahnya seperti dipersetujui kedua-dua pihak.

Dakwanya lagi, dalam dokumen yang perolehinya itu menunjukkan adanya akuan bersumpah yang menunjukkan adanya kerjasama antara Noh dengan syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd yang melaksanakan projek penternakan udang itu.

Di dalam laporan portal Malaysiakini sebelum ini, Noh yang juga Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani berkata beliau menyewakan tanah seluas 30 ekar miliknya kepada syarikat itu dan tidak terlibat mengusahakan projek udang tersebut.

Pengarah Pristine Agrofood, Chu Bak Teck juga turut menafikan penglibatan Noh Omar dan menyatakan beliau hanya menyewakan tanahnya sahaja.

Pada 8 Ogos lalu kira-kira 150 petani dan nelayan mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk projek kolam udang yang didakwa dimiliki Noh Omar di mana kewujudan kolam berkenaan menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Azmizam dan AMK Selangor turut mengucapkan terima kasih diatas pendedahan yang dibuat Suee Lim dan selain penghargaan tahniah kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah meluluskan dasar supaya semua wakil rakyat tidak boleh mendapat tanah selain rakyat yang memerlukan.


13 Ogo 2012

Saman Anwar Ke Atas Utusan, Hassan Ali Terbelit Kata "Ya" Kepada 2 Soalan Bertentangan

Kes Anwar saman Utusan: Hasan Ali gelabah diasak peguam

KUALA LUMPUR 13 Ogos: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali tidak keruan selepas diasak peguam N Surendran berhubung tuduhan beliau kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghalalkan homoseksual.

Dalam keadaan tertekan, Hasan tetap mempertahankan kenyataannya mendakwa Anwar menyokong homoseksual seperti yang disiarkan pada muka depan Utusan Malaysia pada 17 Januari lalu bertajuk “Tolak Anwar – Hasan”.

Berikut adalah soalan yang diasak Surendran kepada Hasan:

Surendran: Anwar telah mengatakan “We Muslims and non-Muslims in Malaysia generally believe and committed to support the sanctity of marriage between men and women”. Berdasarkan pendapat anda, adakah ayat ini menunjukkan Anwar tidak menyokong homoseksual?

Hasan: Yang Arif saya membaca keseluruhan ayat. Ayat pertama dan ayat kedua (but we should not be seen to be punitive and consider the archaic law as relevant) tidak dapat berdiri dengan sendirinya dan ia tidak memberi maksud homoseksual tidak diterima.

Surendran: Kalau kita lihat ayat kedua, adakah anda setuju ‘archaic law’ adalah undang-undang lapuk?

Hasan: Saya tak setuju sebab kelapukan tidak pernah berlaku dalam undang-undang Islam.

Surendran: Adakah anda setuju tidak ada apa-apa rujukan undang-undang Islam dalam ayat itu?

Hasan: Undang-undang Islam tidak ada tetapi ayat ini merujuk kepada undang-undang Islam.

Surendran: Adakah anda setuju tidak ada rujukan undang-undang Islam?

Hasan: Ya, tidak ada.

Surendran: Berdasarkan kenyataan “We Muslims and non-Muslims in Malaysia generally believe and committed to support the sanctity of marriage between men and women” adakah Anwar menyokong institusi perkahwinan antara lelaki dan perempuan?

Hasan: Ya setuju.

Surendran: Dalam ayat ketiga “We need to review them. We do not promote homosexuality in public sphere and domain”. Adakah ayat itu menunjukkan Anwar menyokong homoseksual?

Hasan: Ya (disambut gelak tawa pemerhati di galeri awam kerana Hasan dilihat tetap mempertahankan pendiriannya).


Surendran: Anda pasti dengan jawapan itu?

Hasan: Ya!

Surendran: Saya cadangkan kepada anda ayat ini tidak sokong homoseksual tapi sokong perkahwinan.

Hasan: Saya tak setuju!

Dalam soal balas itu, Hasan turut ditanya peguam Latheefa Koya adakah sesuatu dosa itu akan menjadi jenayah apabila ia dilakukan di khalayak umum.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu menjawab, dalam hukum Islam dosa tetap dianggap satu jenayah tidak kira ia dilakukan secara sembunyi atau terang-terangan.

Latheefa: Adakah anda tahu perbezan antara dosa dengan jenayah.

Hasan: Saya tak pasti.

Latheefa: Saya cadangkan kepada anda sesuatu kegiatan yang dilakukan dalam Islam boleh dianggap sebagai dosa tetapi sekiranya tidak dilakukan di hadapan khalayak ramai, ia tidak boleh dijadikan sebagai jenayah. Adakah anda setuju?

Hasan: Tidak setuju. Sama ada di tempat awam atau tertutup, kalau itu tidak dibolehkan (berdosa), maka ia tetap tidak dibolehkan. -KD


Anwar saman Utusan RM50 juta


KUALA LUMPUR : Kes saman fitnah oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Utusan Melayu (M) Berhad berkenaan penyiaran artikel bertajuk ‘Anwar ulas isu gay’ bertarikh 18 Januari 2012 telah mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Kes saman ini adalah dari lanjutan laporan temubual antara Anwar dan wartawan British Broadcasting Company (BBC) pada 12 Januari 2012 di Mumbai, India yang menurut Anwar telah dimanipulasikan oleh Utusan dengan niat memburukkan imej beliau dan Pakatan Rakyat (Pakatan).

Anwar yang tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9.38 pagi ditemani isterinya yang juga Presiden Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah serta beberapa penyokong beliau.

Anwar diwakili oleh peguam yang tidak asing lagi di kalangan ahli Pakatan iaitu N.Surendran, Latheefa Koya dan Murni Hidayah manakala Utusan diwakili peguam, Firoz Hussein dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Hidayah.

Pada perbicaraan tersebut Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk V. T. Singham telah bersetuju untuk meneruskan perbicaraan dan mendengar tuntutan saman oleh Anwar dan menolak penangguhan yang dicadangkan oleh peguam Utusan bagi mengelakkan lebih banyak masa diambil untuk kes ini diselesaikan.

Sesi soal jawab bermula pada jam 10.14 pagi diantara peguam Utusan dan Anwar sebagai planitif. Pada perbicaraan tersebut, dua seksyen telah disebut sebagai rujukan iaitu seksyen 52 dan seksyen 55.

Turut disebut semasa perbicaraan adalah kenyataan Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali kepada Utusan di bawah artikel bertajuk ‘Tolak Anwar – Hasan’ yang turut mengulas berkenaan kenyataan Ketua Pembangkang tersebut kepada BBC.

Anwar ketika perbicaraan telah beberapa kali menegaskan bahawa beliau menyokong penuh institusi keluargaan dan menolak sepenuhnya aktiviti homoseksual. Beliau juga bertegas bahawa kenyataan beliau pada BBC tidak langsung bermaksud menyokong atau mahu menghalalkan kegiatan homoseksual.

Ketika diasak dengan pelbagai soalan oleh peguam defenden, Anwar dilihat beberapa kali menegur peguam tersebut berkenaan isu pentafsiran dan maksud ‘review’ yang beliau nafikan mempunyai maksud yang sama dengan ‘kritik’.

Dalam pernyataan tuntutan yang diserahkan kepada pengurusan Utusan Melayu (M) Berhad, Anwar menuntut ganti rugi sebanyak RM50 juta. Anwar menuntut Utusan menarik balik segala laporan palsu dan permohonan maaf terhadap dirinya dan menuntut permohonan maaf disiarkan di muka hadapan akhbar tersebut dan tempoh 48 jam diberikan. Anwar menamakan editor Utusan Malaysia sebagai defendan pertama dan Pengarah Urusan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defenden kedua.

Abdul Aziz dilihat hadir pada perbicaraan tersebut. Turut kelihatan adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua. Perbicaraan berhenti rehat pada jam 1.06 petang dan diteruskan untuk sesi petang dan masih berlangsung ketika berita ini disiarkan
– TMT


Dicekup Bercumbu Lepas Berbuka

Petaling Jaya - Empat pasangan kekasih melakukan perbuatan tidak senonoh ditahan anggota Biro Amal Maaruf Nahi Mungkar Masjid Al-Muhtadin di beberapa lokasi di sekitar Damansara Damai awal pagi, semalam.

Dua pasangan masing-masing berusia 19 tahun yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dicekup ketika sedang bercumbuan di belakang sebuah rumah kedai.

Manakala dua lagi pasangan ditahan di sebuah kawasan gelap di Damansara Prima dekat sini.

Ketika disoal siasat, pasangan pelajar itu mendakwa sedang bercuti dan mengaku sudah menyewa bilik hotel untuk bermalam bersama manakala dua pasang lagi memberi alasan baru pulang selepas berbuka puasa.

Ketua operasi, Adnan Mohd Zin berkata, operasi kali kedua sepanjang Ramadan itu dilakukan bagi membanteras kegiatan maksiat di perumahan itu.

Difahamkan, seramai 30 anggota terlibat dalam operasi cegah maksiat melibatkan kawasan di sekitar hotel bajet.

“Selain remaja, kebanyakan orang luar datang ke sini untuk melakukan maksiat ditambah dengan kewujudan beberapa hotel bajet di sini,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke masjid menaiki van jenayah sebelum diberi tazkirah dan nasihat oleh Imam Masjid Al-Muhtadin, Ustaz Fadil Mohd Nor manakala keluarga pasangan turut dihubungi. -SH