21 Okt 2010

Hati Mana Tak Terharu Membaca Berita Ini...

Nik Aziz: Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam

KOTA BHARU, 21 Okt: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dinobatkan Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam sempena ulang tahun kerajaan Kelantan ke-20, malam tadi.

Sempena penganugerahan itu, Tuan Guru menerima cenderahati daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, pada acara yang penuh bersejarah itu.

Penganugerahan itu juga sebagai simbolik beliau menjadi tunjang pada pentadbiran Kelantan yang kini Menerajui Perubahan.

Saat biodatanya dibaca oleh penyair terkenal Kelantan, Abdul Hadi Yusof, Tuan Guru tidak dapat menahan sebaknya.

Turut hadir berangkat pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Terdahulu, Sultan Kelantan telah berkenan merasmikan ulang tahun pentadbiran kerajaan Kelantan tepat jam 10.30 malam pada program yang diadakan di Kelantan Trade Cantre (KTC).

Tuan Guru sewaktu berucap pada majlis tersebut mengimbau kembali sejarah kemenangan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990 sehingga ianya turut menjadi perhatian dunia.

Katanya, Kelantan tiba-tiba sahaja menjadi perhatian dunia bukan hanya kerana menang bersih pada pilihan raya 1990, sebaliknya berusaha mengamalkan dasar Islam dalam pentadbiran.

“Ramai yang mencela, ramai yang menyindir kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan hanya tiga bulan, kemudian akan bankrap dan jatuh.

“Namun hari ini tuan-tuan dapat saksikan sendiri dengan pertolongan Allah yang tidak pernah menzalimi hamba-Nya sentiasa membantu dan terus membantu kerajaan negeri hingga berjaya sampai kini,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Mohd Hanif Wan Mohammad, memenangi pertandingan mencipta logo sempena sambutan ulang tahun ke-20 itu.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Nasharuddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen.

Secara umumnya, sambutan program itu penuh dengan aktiviti keagamaan yang bermula dengan menunaikan solat Maghrib, solat sunat hajat yang diimamkan sendiri oleh Tuan Guru.

Ulasan GB

GB tidak dapat menahan airmata yang mengalir tatkala membaca berita di atas. Seorang manusia bertubuh kerdil yang menjadi harapan seluruh umat Islam dinegara ini khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Tanpa menyedari tubuh yang telah dimamah usia, tetapi masih terus gigih memperjuangkan dan mendaulatkan agamanya.

Menjadi benteng paling bertenaga menghadapi gelombang serangan luar dan dalam parti yang tanpanya mungkin saja PAS telah hanyut bergelandangan dengan parti-parti sekular lain.

Sesungguhnya, berkat usaha gigih dan komitmen tinggi pemimpin PAS dan Tok Guru Nik Aziz sepanjang berhadapan kekalahan sejak 1978 telah membuahkan hasil. Rakyat mula memberi perhatian kepada apa yang disampaikan oleh PAS. Sebahagian timbul kesedaran untuk bersama perjuangan Islam yang dibawa PAS. Tok Guru Nik Aziz dan beberapa ulama’ serta pemimpin PAS sering diundang menyampai kuliah dan ceramah ke segenap Dun dan Parlimen di Kelantan. Sehinggalah PAS mendapat sokongan padu golongan rakyat semasa pilihan raya umum 1990. PAS mencapai kemenangan mutlak bersama-sama dengan Angkatan Perpaduan Ummah. Mandat daripada kemenangan mutlak itu, menjadi kekuatan bagi parti PAS menerapkan dasar peruangannya di dalam pentadbiran negeri. Justeru dasar Membangun Bersama Islam dijadikan pakaian rasmi di dalam mentadbir kerajaan negeri. Inti pati kepada dasar pentadbiran ini adalah amal maaruf nahi mungkar yang berpaksikan ketakwaan kepada Allah. Oleh itu, rekod kemenangan PAS dan kejayaan memerintah Negeri Kelantan penuh berliku, dan liku-liku itulah yang telah mencorak senario politik rakyat Kelantan sehingga dua dekad ini rakyat kekal memberi mandat kepada PAS.

Azmin Dan Saifuddin Mengata Dulang Paku Serpih

Azmin dan Saifuddin bidas Zaid, jangan bawa propaganda Umno

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Calon timbalan presiden Azmin Ali mendakwa pesaingnya Datuk Zaid Ibrahim mengamalkan pendekatan propaganda Umno ekoran kenyataan beliau kelmarin bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bergerak atas isu tunggal — Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya nak bertanya Zaid, mengapa beliau bercakap menggunakan bahasa Umno?” kata Azmin kepada The Malaysian Insider mengulas tulisan Zaid dalam blognya kelmarin.

“Ini adalah kedudukan yang diambil Umno sejak hari pertama (Anwar dipecat pada) 1998, mengatakan bahawa Keadilan adalah parti yang hanya berpusatkan (kepentingan) Anwar,” kata beliau yang memperoleh pencalonan tertinggi pada pemilihan PKR kali ini.

Dalam tulisan terbarunya, Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan berkata, PKR perlu diacuankan untuk menjadi sebuah “kekuatan politik yang tulen, sebagai sebuah kekuatan yang boleh dijadikan sandaran rakyat dan rakan-rakan dalam pakatan dalam usaha membentuk masa depan yang lebih baik.”

Oleh itu kata beliau, pemilihan ini — yang julung kali berlandaskan sistem pemilihan langsung — adalah penentu masa depan parti dan negara.

“Kita perlu terlebih dahulu memperbaiki diri kita sebelum kita boleh memikirkan soal memperbaiki negara.

“Kita perlu meletakkan diri sebagai pemimpin dalam Pakatan Rakyat, menjadi pentas yang kukuh bagi orang ramai dan mengemudi Pakatan bagi memenangi PRU-13 nanti.

“Kewujudan kita harus menguntungkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dan bukannya hambatan. Kita perlu memperjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun pada masa yang sama juga terdapat banyak ketidakadilan yang menimpa rakyat negara ini yang memerlukan perhatian kita,” kata beliau.

Zaid menambah, rakyat rata-rata mendesak mahukan keadilan ekonomi dan keadilan sosial dan hak supaya diberi layanan dengan hormat dan bermaruah mengikut kedaulatan undang-undang.

“Kita tidak patut menurunkan darjat parti ini menjadi sebuah parti yang memperjuangkan hanya satu isu. Hal ini tidak adil bagi mereka yang ingin kita wakili.

“Kita bukan sahaja sebuah parti ‘reformasi’, sebagai nama bagi sebuah gelombang di hujung 1990-an, tetapi juga sebuah parti yang menuntut refromasi tulen dan sanggup untuk mereformasi diri,” kata bekas pemimpin Umno ini yang menyertai PKR pertengahan tahun lalu.

Azmin, yang juga Naib Presiden PKR menekankan bahawa partinya tidak pernah berpusatkan isu Anwar meskipun ia berjuang memastikan perbicaraan yang adil bagi Ketua Umum Pakatan Rakyat itu, yang kini berhadapan dengan kes liwat kedua dalam tempoh 12 tahun ini.

“Keadilan tidak pernah bertindak sebagai parti berpusatkan Anwar. Pandangan bahawa Keadilan adalah parti berpusatkan Anwar adalah propaganda Umno,” kata Azmin.

“Ya, kami berjuang untuk keadilan bagi Datuk Seri Anwar pada 1998, 1999, tetapi sudah pasti PKR bukan merupakan parti berpusatkan Anwar kerana kami juga bercakap mengenai agenda reformasi,” katanya.


Saifuddin turut berbeza dengan pandangan Zaid.
Azmin menekankan bahawa pemimpin-pemimpin parti tidak harus mengulangi fitnah satu dekad Umno terhadap PKR.
“Pemimpin-pemimpin parti tidak harus membuat kenyataan yang dibawa oleh umno sejak 10, 12 tahun lalu,” kata Ahli Parlimen Gombak ini.

“Sebagai pemimpin kanan parti, kami tidak akan jatuh dalam perangkap Umno.

“Menjadi keyakinan saya dan keyakinan ahli-ahli parti bahawa ini adalah parti reformasi,” tambah beliau.

Azmin berkata, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat oleh kerajaan negeri Selangor dan pendiriannya partinya mempertahankan hak peneroka Felda adalah bukti PKR memperjuangkan prinsip demokrasi, yang sudah pasti berbeza daripada isu Anwar.

“Kami memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat. Ia tiada kaitan dengan Anwar,” katanya.

Seorang lagi calon jawatan timbalan presiden ialah Mustaffa Kamil Ayub.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memperlihatkan nada yang seiring dengan pendirian Azmin sambil menekankan, kenyataan-kenyataan Zaid menggambarkan pemikiran tipikal yang dibawa Umno selama ini.

“Ini fikiran tipikal Umno sejak 12 tahun lalu. Untuk mengatakan PKR hanya berjuang demi kepentingan Anwar (seorang), ia sebahagian daripada usaha mereka cuba membuatkan orang ramai percaya perkara ini,” kata Saifuddin.

Ahli Parlimen Machang ini memberitahu, partinya berdiri teguh bersama Anwar sebab pendirian beliau memperjuangkan keadilan adalah simbolik membawa matlamat yang lebih besar.

“Saya tidak bersetuju dengan Zaid. PKR mempertahankan Anwar kerana layanan tidak adil yang beliau lalui 12 tahun lalu... ketidakadilan di mana beliau dipenjarakan, beliau dipukul, dan bagaimana beliau melalui perbicaraan... kesemua ini adalah gambaran kemusnahan institusi-institusi negara,” katanya lagi.

“Kami berjuang bagi Anwar sebagaimana kami berjuang untuk Teoh Beng Hock, Kugan dan Aminulrasyid Amzah,” kata Saifuddin.

Justeru kata beliau, keputusan pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan BN dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen adalah bukti rakyat percaya pada perjuangan PKR.

“Rakyat mengundi PKR, Pakatan kerana mereka tidak percaya cara BN menguruskan negara. Jadi, bagaimana anda boleh mengatakan yang PKR hanya berjuang untuk Anwar,” kata beliau lagi. -TMI

Ulasan GB

Zaid menggunakan bahasa UMNO? Siapa pula yang "bertindak" dengan cara, perlakuan dan sikap UMNO?

Lihat SINI

dan mastermind pemilihan adalah Penasihat PKR sendiri yang dulunya sengsara di penjara kemudian, Allah melepaskan, kemudian melakukan hal yang tak senonoh lagi. GB sentiasa mengikuti perkembangannya. Salah satu perlakuan yang ketara UMNOnya ialah ini:


Ia bukan "superimposed". Kalau perlakuan itu diperbolehkan oleh PKR, ternyata jogetnya telah menimbulkan fitnah kepada agama Islam dan jemaah Islam yang bersama PKR iaitu PAS. Ada banyak lagi yang sebenarnya boleh GB dedahkan di sini, namun ini bukan ruang yang sesuai untuk membalas segala serangan Azmin, Sivarasa, Saifuddin dan sekalian komrad Anwar. GB serahkan kepada Allah sendiri untuk mendedahkannya yang GB tahu apabila Dia mendedahkannya sendiri, tentu lebih parah lagi nanti.

Dan dengan penjelasan di atas, apakah GB pula yang akan dituduh menggunakan bahasa UMNO kerana membelasah DSAI? GB jawab ringkas:

Al-Quran dengan jelas menyatakan:

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah telah banyak memaafkan. "(QS. 42:30)

Sesungguhnya GB tidak takut dengan kamu-kamu semua, tetapi GB takut untuk bersekongkol dengan kamu-kamu semua yang dengan sebabnya kami ditimpakan musibah yang sama.

Ummu Salamah Radiallohu `anha berkata: aku mendengar Rasulullah Sholallohu `alaihi wa sallam bersabda:

“Apabila maksiat sudah merajalela di kalangan umatku, Allah akan menurunkan siksa dari sisi-Nya kepada mereka secara merata…” -HR. Ahmad, dll. Hadith Sohih

Berdasarkan hadith di atas, kamu berbuat salah kami juga akan ditimpakan bala!

Bakar Rumah Selepas Bergaduh

Alor Setar: “Saya terpaksa buat laporan polis kerana bimbang anak saya ugut nak bakar diri dan rumah ini,” kata Khua Ai Git, 56, ibu kepada Tan Chee Leng, 32, yang dipercayai kurang siuman dan bertindak membakar rumahnya selepas bergaduh dengan adiknya dalam satu kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah dan kereta di Lorong Mat Saman, Seberang Perak, malam kelmarin.

Khua berkata, pergaduhan itu bermula jam 4 petang antara Tan dengan adik lelakinya tanpa diketahui puncanya.

“Saya takut kerana anak saya ada sakit mental...dia ugut nak bakar diri dia dan rumah ini. Saya buat laporan polis kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku.

“Selepas membuat laporan, anggota polis datang rumah memujuk anak saya, manakala saya pula berada di balai polis kerana bimbang pulang ke rumah,” katanya.

Berikutan laporan itu, empat anggota polis ke rumah berkenaan memujuk dan mententeramkan keadaan, namun lelaki itu berkeras dan mengurung diri dalam rumahnya.

Bagaimanapun, kira-kira jam 8 malam, lelaki itu membakar bahagian dalam rumahnya menyebabkan kebakaran kecil berlaku dan api tidak dapat dikawal serta merebak dengan pantas apabila dia dikatakan menyimbahcecair dipercayai petrol.

Difahamkan apabila mendapati api marak, lelaki itu melarikan diri mengikut pintu belakang.

Sementara itu, Khua berkata, beliau dihubungi adiknya memberitahu rumahnya dan dua rumah jiran mereka termasuk kereta terbakar.

“Saya bergegas pulang ke rumah kerana terlalu risau dengan kejadian itu apatah lagi kedua-dua anak saya sedang bergaduh.

“Saya tidak sempat menyelamatkan barang kerana ketika saya sampai di rumah, api marak dan kereta di hadapan rumah saya terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Idris Maidin, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran pada jam 8.29 malam dan 24 anggota bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan api.

Katanya, bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dan siasatan menemui dua bekas mengandungi cecair mudah terbakar yang digunakan lelaki kurang siuman itu untuk membakar rumahnya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, mengesahkan suspek ditahan ketika menerima rawatan di hospital tidak lama selepas melarikan diri dari rumah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. -hmetro

Tak Semudah Itu Azmin Nak Gulingkan MB - Khalid

Khalid: Lampu hijau rakan parti diperlukan untuk "guling" MB

Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim mendakwa dirinya tidak tahu sama ada wujudnya cubaan daripada Naib Presiden PKR, Azmin Ali untuk menggulingkan beliau, tetapi hanya meneka bahawa pengikut Azmin atau mereka yang berminat mungkin menyimpan niat ini. Bagaimanapun, Khalid mengingatkan bahawa bukan mudahnya untuk menggulingkan seseorang Menteri Besar, kerana perlu mendapat lampu hijau daripada rakan parti Pakatan Rakyat.

Demikianlah kata-kata Khalid Ibrahim yang baru menarik diri dari pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 16 Oktober 2010. Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview di pejabat Menteri Besar pada 18 Oktober 2010, Khalid Ibrahim ditanya sama ada benar Azmin Ali (gambar kanan) cuba menggulingkannya, sebagaimana yang tergambar dalam persepsi umum.

"Dia (Azmin Ali) tak boleh senang (melakukannya). Ini bukan satu perkara yang senang boleh menggulingkan Menteri Besar. Itu sebab orang ingat satu parti Keadilan boleh menggulingkan Menteri Besar, ini tidak benar. Walaupun parti Keadilan saya mewakilinya, untuk pemilihan Menteri Besar dia perlu mendapat sokongan dan cadangan dari ketiga-tiga parti, iaitu Keadilan, PAS, dan juga DAP. Ketiga-tiga mesti bersetuju yang ini dilakukan. Kemudian mereka juga akan meminta ehsan dari Tuanku Sultan supaya perkara ini dipersetujui," katanya.

Beliau menyambung, "Sudah tentulah, seseorang itu nak menggulingkan Menteri Besar, dia mesti mendapat persetujuan dari pihak DAP dan juga dari pihak PAS. Kalau mereka tidak mendapat persetujuan, maknanya sukar untuk dilakukan."

"Kedua, keadaannya di Selangor, parti Keadilan dan DAP agak sama dari segi jumlahnya. Dan oleh sebab itu, kalau ada kehilangan kerusi oleh parti Keadilan, sudah tentu mungkin DAP ingin mencadangkan ahlinya," sebelum beliau menambah, "Suratkhabar memang senang boleh membuat andaian, tetapi perlaksanaannya bukan senang..."

Beliau ditanya lagi sama ada wujudnya cubaan untuk menggulingkannya, Khalid Ibrahim menjawab, "Itupun saya tak tahu cubaan dia. Tapi boleh jadi pengikut-pengikut daripada Azmin Ali ataupun yang berminat. Tapi saya rasa, kalau orang pandai dari segi political administration dan sebagainya, perkara ini bukan boleh dibuat dengan sesenang mungkin."

Tidak khuatir kalau Azmin menang

Wartawan menyusul dengan soalan sama ada Khalid Ibrahim yakin untuk mendapat sokongan dari PAS dan DAP dalam perkara ini?

Itu sebab saya juga mesti dengar pandangan daripada PAS, pandangan daripada DAP, pandangan daripada Parti Keadilan. Kalau saya agak, terlalu tertumpu kepada Parti Keadilan, nanti PAS dan DAP akan mempunyai pandangan yang lain. Jadi, oleh sebab itulah saya mesti menunjukkan profesionalisme saya, maknanya untuk membolehkan saya memerintah ataupun mentadbir di negeri Selangor dengan adil, (menjaga) kehendak Parti Keadilan, kehendak PAS dan kehendak DAP," jawabnya.

"Tapi saya bernasib baik. Ketiga-tiga parti ini mempunyai kehendak yang sama, supaya mentadbir dengan baik, dengan amanah, dan juga memberikan keutamaan kepada kebajikan mereka yang perlu ditolong, dan menumpukan kepada pembangunan dan pendidikan. Dan semua ini sudah kami jalankan."

Namun demikian, adakah Khalid Ibrahim risau bahawa kedudukannya mungkin tergugat seandainya Azmin Ali terpilih sebagai Timbalan Presiden?

"Tak ada, saya tak ada risau. Sebab ini akan berlaku selepas PRU ke-13. Bukan sekarang. Jadi maknanya untuk ini, sampai ke pilihan raya ke-13, saya rasa perkara itu tak tergugat. Tapi perkara itu akan berlaku selepas itu. Selepas itu pun, mesti ada persetujuan ketiga-tiga parti."

Dalam Kongres Tahunan yang berlangsung pada Mei 2010, PKR diselubungi suasana muram lantaran kekalahan dalam PRK Hulu Selangor. Kehilangan kerusi parlimen dalam negeri yang ditadbir parti sendiri seolah-olah satu tamparan kepada PKR sendiri. Lebih-lebih lagi, skandal kecurian pasir di negeri Selangor terdedah pada ketika itu, lantas Khalid dijadikan tumpuan kritikan dalam parti.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan ahli jawatankuasa Biro Politik, Chua Jui Meng pada ketika itu mendesak agar jawatan dalam anak syarikat kerajaan negeri dibuka untuk anggota PKR. Mengimbas peristiwa tersebut, MerdekaReview bertanya sama ada Khalid Ibrahim merasakan kedudukan dirinya tergugat pada ketika itu?

"Tak ada, sebab saya rasa saya mesti, you must be humble (kamu mesti rendah diri). Kerana saya tahu, dari segi kerja, saya tidak bimbang. Tetapi dari segi pemahaman terhadap kemahuan politik umum, saya mungkin tidak mempunyai pengalaman yang luas dan lama. Jadi, dalam konvensyen di Kota Bahru menunjukkan...."

"Beliau meneruskan, "Pertama, saya menghargai komen mereka, kehendak mereka, keperluan mereka. Tetapi, saya tidak harus menggadaikan keperluan rakyat Selangor semata-mata untuk menggembirakan mereka. Jadi, saya harus menyeimbang antaranya. Tetapi saya perlu mendengar. Sebab, kalau kamu seorang pemimpin kumpulan kamu, kamu perlu mendengar kepada kehendak dan komen mereka."

"Namun, saya juga perlu memastikan, hasil daripada reaksi saya terhadap segala-gala ini tidak akan menjejaskan kebajikan dan kepercayaan seluruh rakyat Selangor, yang mana harus saya kendalikan. Jadi saya harus mencari kesimbangan antaranya," jelas beliau.

Menerima kritikan

Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim cuba meredakan suasana ketika itu, sambil mempertahankan Khalid sebagai Menteri Besar dengan syarat beliau menunjukkan prestasi yang unggul menjelang kongres parti pada hujung tahun. Jadi, apakah perubahan selepas empat bulan?

Khalid berkata, beliau telah membuka peluang kepada seluruh anggota untuk menilai pentadbiran negeri Selangor, misalnya dialog bersama rakyat, dan rundingan dengan rakyat sebelum merangka Belanjawan 2011 negeri Selangor. Di samping itu, beliau cuba memberi ruang kepada penyertaan anggota parti dalam kerajaan negeri Selangor, tetapi tetap berpegang kepada prinsip bahawa tiada tempat untuk anggota parti yang tidak berkemampuan.

Ketika ditanya sama ada beliau berada dalam dilema ketika mengendalikan isu ini, Khalid Ibrahim berkata, "Tapi, kita hanya mendapat dilema jika perkara itu tidak dilakukan dengan betul. Umpamanya, walaupun seseorang itu boleh, mendapat tanggungjawab dalam pentadbiran negeri, tetapi dia mesti berasaskan kepada prinsip kebolehan dan keupayaan. Kalau ahli kita tidak mempunyai keupayaan, kita tidak boleh memberikan peluang tersebut."

"Kedua, kita juga mesti menolong negeri, sebab, kalau orang yang tak berkebolehan, dia akan menyusahkan negeri, bukan menolong negeri. Jadi, ketiga, sudah tentulah orang-orang parti komponen kita, PAS dan juga DAP akan juga menilai sama ada keputusan kita itu dibuat secara profesional atau tidak."

Beliau berkata, "Jadi pada saya, permintaan oleh Chua Jui Meng dan Azmin Ali adalah valid, adalah valid. Kita mesti mengutamakan rakan-rakan kita. Tetapi hanya dia kata, mereka-mereka ini mempunyai keupayaan dan kebolehan sahaja. Kalau tidak, dia akan juga merosakkan persatuan dan pembangunan yang kita lakukan."

Melihat kepada barisan pemimpin yang dilantik untuk bekerja bersama Khalid Ibrahim, seperti Elizabeth Wong dan Syed Shahir, malah anggota Jawatankuasa Khas yang dilantik seperti Tian Chua dan Irene Fernadez, barisan yang berasal dari latar balakang badan bukan kerajaan (NGO). Wartawan bertanya sama ada ia menggambarkan tekad Khalid Ibrahim untuk menyerap pemimpin NGO ke dalam politik dirinya?

Beliau menjawab, "Salah satu daripada sebab saya nak masuk politik ialah memberikan nilai tambahan kepada rakyat. Saya terima perkara tersebut. Sudah tentulah mereka-mereka yang saya sebut nama ini ada sangat mesra memperjuangkan idealisme untuk rakyat."

Beliau menyambung, "Kedua, mereka ini bukan 100% dari parti tapi daripada NGO. Betul. Tapi bukan satu kumpulan yang sama. Ada kumpulan yang berbeza-beza. Tapi inginkan keadilan dan memperjuangkan demokrasi. Itu betul. Jadi pada saya, kedua-duanya penting dalam zaman politik yang akan datang, bukan sahaja kita berpolitik, tetapi kita mesti ada idealisme dari segi pembangunan masyarakat."

Malah, Khalid Ibrahim mengakui dirinya berkecimpung dalam politik pada peringkat yang agak lewat. Dari segi pentadbiran, beliau mempunyai pengalaman yang banyak. Tetapi dari segi pemahaman politik, beliau mengakui bahawa dirinya memerlukan nasihat dan pengalaman mereka.

"Itu sebabnya saya memilih kumpulan ini. Ia lebih daripada politik untuk kepentingan politik, tetapi politik untuk untuk mengimplementasikan idealisme yang didukung," kata bekas tokoh korporat ini.

Menteri besar atau menteri kabinet?

Jawapan beliau mencungkil minat wartawan untuk bertanya, sama ada beliau yang biasa berkecimpung dalam dunia korporat, berasa kecewa apabila berdepan dengan taktik-taktik kotor dalam arena politik?

"Tak ada, ini satu cabaran baru. Tapi orang mesti mengkaji daripada latar belakang saya. Saya sudah menjadi ahli korporat dan sudah lama bekerja. Pada saya, penyertaan saya dalam politik negara adalah untuk memberi sumbangan kepada negara. Dan juga kepada parti yang saya ungkit tadi. Dan, saya bukan mempunyai ambition (cita-cita) untuk pergi lebih jauh. Kerana, dalam kerjaya saya, saya telah mencapai satu tahap, yang menjadi kebanggaan untuk kebanyakan orang."

Beliau berterus-terang, "Jadi, saya tak dapat kerja pun tak ada apa. Tapi saya hanya melakukan satu-satu kerja yang sesuai supaya menjaga nama baik saya dan juga menjalankan tugas dengan baik. Jadi kalau saya, katalah tak ada bekerja, saya tidak jadi masalah dalam kerjaya saya."

"Saya berada pada kedudukan yang tiada kehilangan apa-apa (no lost position). Jadi saya tidak berminat untuk menjual diri atau orang lain semata-mata untuk kerja itu. Maknanya kalau orang suruh buat, satu perkara yang tidak betul, kerana saya nak jaga jawatan Menteri Besar, saya tidak akan buat, sebab saya lebih pentingkan perkara yang betul."

Malah, Khalid Ibrahim menekankan, "Saya tidak berminat untuk cuba mengekalkan kerjaya saya kalau saya rasakan ia akan menjejaskan sejarah posisi saya. Jadi saya tak ada takut. Itu sebab saya senang."

Ketika ditanya sama ada Khalid Ibrahim akan menjadi Menteri Besar atau menteri kabinet, seandainya Pakatan Rakyat menang dalam PRU yang akan datang, Khalid Ibrahim berkata, "Itu terpulang. Saya tidak mahu membuat keputusan sekarang. Itu terpulang. Sebab saya nak tengok apa keputusan rakyat. Itu yang paling penting. Bukan kerana saya. Keputusan rakyat. Pilihan raya yang ke-13 ialah satu keputusan rakyat yang mesti kita timbang dulu sebelum kita buat keputusan-keputusan. Sebab, serupa juga pada pilihan raya yang ke-12, kita kena tunggu keputusan rakyat."

"Tsunami (politik) 2008 ialah hasil daripada keputusan rakyat. Lepas keputusan rakyat, barulah ada Pakatan Rakyat. Sebelum tu belum ada lagi Pakatan Rakyat, walaupun ada...," beliau sambung, "Jadi kita perlu tunggu. Saya rasa keputusan itu akan memberikan kita peluang untuk kita merancang, dan menubuhkan satu pasukan yang mantap sebab kita tahu kehendak rakyat. Jika perlu saya jadi Menteri Besar. Saya jadi Menteri Besar. Jika perlu saya jadi Menteri dalam (kabinet), kalau kita menang di pusat, saya juga bersedia. Tapi saya tidak nak buat apa-apa keputusan sekarang."

Wartawan cuba membangkitkan cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengehadkan agar calon Pakatan Rakyat hanya bertanding sama ada kerusi DUN atau Parlimen sahaja, sebagai cubaan untuk mendapatkan jawapan dari mulut Khalid.

Namun beliau tetap tidak memberi jawapannya, "Itupun kita akan buat sebelum pilihan raya. Tak boleh kita buat sekarang. Jadi maknanya kita mesti tahu, strategi dan taktik kita mesti betul. Kalau kita dedahkan strategi dan taktik kita sekarang, ia akan menjejaskan kami sendiri."

Rozaliya Ditemui Di Bukit Bintang

Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang dilapor hilang selepas keluar bersama tunangnya untuk membeli barangan perkahwinan di sini 13 Oktober lepas ditemui di kawasan Bukit Bintang di ibu negara, Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jasmani Yusoff berkata Rozaliya dibawa pulang oleh anggota polis yang mendapat maklumat mengenai lokasi gadis itu dan diserahkan kepada keluarganya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, polis mendapati wanita itu ke Kuala Lumpur bersendirian dengan menaiki bas tanpa paksaan daripada pihak lain dan tindakan Rozaliya melarikan diri itu berpunca daripada masalah keluarga.

"Rozaliya juga sempat bekerja selama dua hari di Bukit Bintang dan hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu. Kes ini dianggap selesai," katanya kepada pemberita di sini Rabu malam.

Rozaliya yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 12 November ini dilapor hilang ketika keluar membeli barangan persiapan perkahwinannya di sini, Rabu lepas.

Rozaliya yang berasal dari Bandar Baru Cheneh, Kemaman keluar bersama tunangnya Mohd Hilmi Mohd Nor, 24, yang menjemput gadis itu di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi dan dia dilapor hilang selepas menghantar SMS kepada tunangnya di sebuah pasar raya di sini.

Mohd Jasmani berkata bertindak atas laporan polis mengenai kehilangan gadis itu yang dibuat pada pukul 10.41 malam Rabu lepas, polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan Rozaliya.

Hasil laporan media dan gambar yang dikeluarkan, polis menerima panggilan daripada orang ramai pada pukul 12 tengah hari tadi yang memaklumkan gadis itu berada di Bukit Bintang, katanya.

Beliau berkata Rozaliya tiba di Kuantan kira-kira pukul 8 malam ini dan disambut oleh saudara mara dan keluarga tunangnya, Mohd Hilmi Mohd Nor.

Ayah Rozaliya, Mat Lazim Mat Ismail, 52, berkata dia amat gembira dan lega dengan kepulangan anaknya itu dan akan mengadakan majlis kesyukuran. - BERNAMA


Lari tak mahu nikah

KUANTAN: “Jika dia (Rozaliya) setuju, perkahwinan mereka akan dibatalkan,” kata Mat Lazim Mat Ismail, 52, bapa kepada Rozaliya, 20, bakal pengantin yang dilaporkan hilang pada 13 Oktober lalu ketika membeli persiapan perkahwinan bersama tunangnya di Pasar Besar Kuantan, di sini.

Menurut Mat Lazim, punca anak perempuannya melarikan diri dipercayai kerana tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, selepas hubungan mereka berdepan masalah kira-kira setahun lalu.

“Anak saya memaklumkan mereka sudah tidak sehaluan dan Mohd Helmi dikatakan mulai berubah sikap.

“Dia memberitahu tunangnya itu bertukar menjadi panas baran, suka mengongkong dan susah diajak ke mana-mana selepas mereka mengikat pertunangan, berbeza ketika mereka masih berkawan dulu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi.

Terdahulu, Rozaliya ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, selepas dikatakan dua hari bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan berkenaan.

Difahamkan, penyelia kedai berkenaan memaklumkan perkara itu kepada polis selepas wajah dan berita kehilangan gadis terbabit terpampang dalam akhbar sebelum dia dibawa anggota polis ke IPD Kuantan malam tadi untuk diserahkan kepada keluarganya.

Ketika sidang media di IPD Kuantan, Rozaliya turut hadir, tetapi enggan memberikan sebarang ulasan, sebaliknya lebih banyak tunduk dan menutup mukanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rozaliya, 20, seorang jurujual di kedai menjual telefon milik bapa saudaranya di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu dilaporkan hilang sejak 13 Oktober lalu.

Sebelum kejadian itu, dia dikatakan keluar dari rumah keluarganya di Bandar Cheneh Baru dengan berpakaian blaus hitam dan seluar denim gelap bersama tunangnya, kira-kira jam 11 pagi untuk membeli persiapan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 12 November depan.

Selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin berhampiran Pasar Kuantan di sini, tunang wanita itu bergegas pulang ke pejabatnya di Bandar Cheneh Baru kerana perlu menyelesaikan urusan penting dan berjanji menemui Rozaliya, kira-kira jam 3 petang hari sama.

Bagaimanapun, Mohd Helmi gagal menemui Rozaliya di tempat dijanjikan dan terus mencarinya hingga jam 6 petang sebelum menghubungi keluarga wanita itu.

Kelmarin, akhbar melaporkan ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, sebagai berkata dia mengesyaki ada yang tidak kena dalam perhubungan anaknya dan Mohd Helmi.

Wanita itu mendakwa, Rozaliya pernah berhasrat memutuskan pertunangannya.

Semalam, akhbar melaporkan Mohd Helmi tampil di IPD Kuantan untuk menafikan andaian dia terbabit dalam kehilangan tunangnya itu.

Bapa Mohd Helmi, Mohd Noor Juah, 53, turut menafikan anaknya membawa lari dan menyembunyikan Rozaliya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berharap kedua-dua pihak mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan masalah itu.

“Siasatan mendapati kejadian ini bebas unsur jenayah dan lebih kepada masalah peribadi atau keluarga,” katanya sambil memaklumkan polis turut mengambil keterangan Rozaliya selepas ini bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangannya.

Sementara itu, Mohd Helmi ketika ditemui selepas sidang media sama berkata, sebelum ini, dia begitu menyayangi Rozaliya, namun selepas kejadian itu, hatinya sudah tawar.

“Saya maafkan perbuatannya dan biarlah takdir menentukan nasib kami,” katanya. -metro






Ini Kisah Monorel Di Melaka. Terhenti Selepas 4 Jam Dilancarkan.

Melaka 20 Okt. - Tidak sampai empat jam ia dilancarkan, perkhidmatan monorail di Stesen Hang Jebat, Taman Rempah di sini terhenti secara tiba-tiba ketika orang ramai berada di dalamnya.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang tadi, sebaik sahaja pengangkutan awam termoden di negeri ini itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini pada pukul 1 petang.

Ketika kejadian, terdapat kira-kira 20 penumpang di dalam monorel tiga gerabak itu yang terhenti secara tiba-tiba kira-kira 100 meter selepas bertolak dari Stesen Hang Jebat, Taman Rempah.

Tinjuan Utusan Malaysia di stesen tersebut pada pukul 5.15 petang ini mendapati sebuah jentera 'sky lift' sedang sibuk melakukan kerja-kerja pembaikan di gerabak monorel tersebut yang masih berada dilandasannya.

Bagaimanapun difahamkan, kesemua kira-kira 20 penumpang berjaya dipindahkan ke kawasan selamat menggunakan 'sky lift' kira-kira pukul 4.45 petang.





Monorel Sungai Melaka Berharga RM16.5 Juta Dilancar Hari Rabu

MELAKA, 20 Okt (Bernama) -- Projek pelancongan monorel Sungai Melaka yang menghubungkan Taman Rempah ke Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya, sejauh 1.6 kilometer berharga RM16.5 juta, dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari Rabu.

Projek pelancongan terbaru menggunakan teknologi hijau dari China yang menyusuri Sungai Melaka itu dan menghubungkan Stesen Hang Tuah dan Stesen Hang Jebat di Taman Rempah, dibangunkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

"Monorel satu koc ini boleh membawa 22 penumpang pada setiap perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 30 minit pergi dan balik," katanya kepada pemberita selepas pelancaran projek monorel itu di Stesen Hang Jebat di Taman Rempah di sini.

Beliau berkata bayaran yang akan dikenakan kepada pengguna dewasa adalah RM10 manakala kanak-kanak RM2 dan akan dibuka kepada orang ramai bermula esok.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan (Datuk Kong Cho Ha) kerana meluluskan permit pada pagi ini dan projek ini akan merancakkan program pelancongan di Sungai Melaka," katanya sambil menambah bahawa projek itu bermakna sempena perisytiharan Melaka mencapai Status negeri Maju 2010 malam ini.

Projek itu mula dibina pada Mei 2008 dan siap pada Jun tahun ini oleh Agibs Engineering Sdn Bhd menggunakan kaedah reka bentuk dan bina.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan telah meluluskan fasa kedua projek itu berharga RM13.2 juta yang akan dihubungkan ke Jalan Tun Ali, berhampiran Jalan Bunga Raya.

Kerja-kerja pembinaan fasa kedua akan bermula hujung tahun ini dan dijangka disiapkan pada tahun depan yang akan menambah kapasiti kepada tiga buah koc dan 66 penumpang bagi setiap perjalanan.-- BERNAMA


Ulasan GB

Monorel di Mekah bertujuan untuk memudahkan jemaah haji menunaikan fardhu Islam kelima dengan sempurna dan selesa.

Tetapi berbeza monorel di Melaka. Untuk berjalan bersiar-siar melihat "keindahan" betapa kotor Sungai Melaka.

Jika monorel yang dibina boleh digunakan oleh rakyat Melaka sehari-hari untuk pergi ke satu-satu destinasi (misalnya dari Melaka Sentral ke MITC atau Mahkota Parade)mungkin banyak juga kegunaan dan kebaikannya. Tetapi ia sekadar produk pelancongan yang entah abad ke berapa baru dapat pulangan modalnya yang sebanyak RM16.5j itu. Siapa pulak nak naik monorel melawat sungai tu setiap hari? Hanya bergantung kepada pelancong yang tiba sekali sekala.

Sungguh kurang cerdik pelaburan sedemikian. Setelah projek Eye On Malaysia gagal, kini Melaka terus-terus melakukan kerja-kerja pembaziran. Ia mengekori kerajaan Pusat yang berlumba-lumba membangunkan projek mega seperti projek Menara Warisan berharga RM5 billion tetapi tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada rakyat jelata.

Berbanding dengan projek mega di Mekah yang bertujuan untuk ibadah. Di negara kita projek mega hanya untuk bermegah.

Akibatnya baru empat jam dirasmikan dah tersangkut. Mujur tak tergelincir. Mohon dijauhkan Allah kejadian-kejadian yang tidak elok.



20 Okt 2010

[Bergambar & Video] Monorel Mina-Arafah Diuji Hari Ini

Monorel Mina-Arafah diuji hari ini

MAKKAH: Sistem monorel yang baru siap dibina akan digunakan buat pertama kali pada musim haji tahun ini bagi mengangkut jemaah untuk perjalanan antara Arafah dan Mina.

Wartawan Malaysia yang dipimpin pengurus pasukan media Tabung Haji (TH) Malaysia, Ahmad Fadzil Ghazali, berpeluang melihat sistem itu dilaksanakan secara percubaan hari ini.

Bagaimanapun, difahamkan pada peringkat permulaan sistem pengangkutan itu akan hanya dibuka kepada jemaah haji tempatan.

Sistem itu penting bagi mengatasi kesesakan lalulintas setiap musim haji terutama ketika jemaah bergerak menuju ke Padang Arafah untuk melakukan wukuf di sana - satu daripada rukun haji yang mesti dipenuhi oleh setiap jemaah.

Wukuf kali ini ialah pada 15 November, bersamaan 9 Zulhijjah.

Jemaah haji dari Makkah akan bertolak ke Arafah dengan berpakaian ihram pada 8 Zulhijjah dan bermalam di sana.

Di Arafah, jemaah ditempatkan mengikut benua dan kemudian negara. Khemah disediakan oleh Muassasah, badan kerajaan Arab Saudi yang mengurus haji.
Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia musim ini akan dibawa dengan bas ke Arafah untuk bersama jutaan umat Islam lain.

Pasukan wartawan Malaysia turut melihat persiapan untuk kemudahaan jemaah di Arafah, Mudzalifah dan tempat melontar di Mina.

Kerja penyelenggaraan dan mencantikkan Arafah yang terletak kira-kira 21.9 kilometer dari Makkah giat dilaksanakan. - BERNAMA

BERITA MUSIM HAJI TAHUN LALU


Ratusan Pekerja Monorail Mekah berasal dari Cina Masuk Islam

Makkah – Setelah menunaikan tahallul, kelihatan beberapa orang jamaah haji di Mina mengganti kain ihram mereka dengan mengenakan t-shirt bertulikan, “Alhamdulillah, ana muslim jadid” (Alhamdulillah, saya seorang muslim yang baru). Menurut harian Al-Madinah, (2/12/2009), Rabu, mereka adalah para mualaf yang berkesempatan menunaikan ibadah haji tahun ini. Jumlah mereka sekitar 150 orang, datang dari beberapa bandar di Arab Saudi.

Dari sejumlah muslim baru tadi, kelihatan beberapa pekerja monorail yang beasal dari negeri Cina yang sedang bekerja di Makkah. Kebanyakkan , mereka masuk Islam sejak bulan Ramadhan yang lalu .

Menurut Christian, Salim Vorchy, dan Abdul Rahim muallaf asal Filipina, mereka masuk Islam setelah berbincang dan membaca buku-buku Islam yang diterjemahkan ke dalam bahasa mereka sendiri.

Bagi mereka, perjumapaan jutaan manusia di Arafah dan Mina menjadi pemandangan yang indah dan mempesonakan.

Salah seorang jamaah, Mendosa Jamal yang semula memeluk agama Katholik, mengatakan bahawa haji dan Islam itu terlalu indah. Ia berkali-kali bersyukur kepada Alah yang telah mengurniakan nikmat keimanan pada dirinya.


















Azmin Berkempen Sebijik Macam UMNO

Dalam merebut jawatan di dalam PKR, calon Timbalan Presiden, Sdr Azmin Ali beriya-iya sangat sekrang ini berkempen.

Masa mula-mula pencalonan dah ketara sangat bahawa budaya kempen yang dilakukan saling tak tumpah dengan budaya kempen yang dilakukan oleh UMNO.

Peringkat awal lagi dia dah menyerang lawannya habis-habisan.

Kita tak sebut lagi pasal berapa perbelanjaan yang sudah digunakan di dalam kempen pemilihan PKR ini. Calon Timbalan Presiden, Mutaffa Kamil Ayub pernah meminta supaya JPP mengarah calon-calon bertanding isytihar harta dan perbelanjaan kempen. Tetapi JPP dan pimpinan pusat tak nak layan permintaan Mustaffa kerana jika demikian calon favorit mereka, Azmin pasti terkangkang.

Biarlah gambar-gambar berikut nanti jadi pengajaran agar jangan tiru gaya berkempen seperti ini kerana jika menang pun menang tak bermaruah:












# Ini bukan serangan peribadi, tapi teguran yang benar. Terpulang kepada penilaian masing-masing. Di dalam Islam, calon sebegini sudah ditolak awal-awal.

Kisah bagaimana Khalifah Abu Bakar menyerahkan jawatan kepada Umar, kemudian Umar menolaknya menyerahkannya semula kepada Abu Bakar untuk diisytihar Khalifah Islam yang pertama sepatutnya dijadikan model untuk memilih pemimpin.

Abu Bakar tak menyusun ahli-ahli parlimen atau ADUN-ADUN dari kalangan Quraisy yang menyatakan sokongan terhadapnya. Umar pun takda buat kain rentang besar-besar sokonglah Umar jadi Khalifah. Tak juga buat satu majlis khas untuk melancarkan manifesto.

Bila saya tinjau-tinjau ucapan Azmin, rupanya dia tahu satu jer perkataan Arab dan itu digunakan sehabis-habisnya.... "istiqamah" dengan reformasi... tersenyum simpul orang jemaah mendengarnya... Nak buek camano.. sampai takat tu jer dia faham ertinya istiqamah.


Shafie Apdal Kena Bedal

Pemuda Kedah: Gantikan pengerusi Umno negeri ‘diimport’

KUALA LUMPUR, 20 Okt — Perwakilan Pemuda Umno dari Kedah hari ini menggesa agar kepimpinan parti menukar pengerusi-pengerusi perhubungan yang “diimport” dari negeri lain sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketua Pemuda Jerai Bassori Hassan berkata, pelantikan Datuk Seri Shafie Apdal (gambar) dari Sabah sebagai pengerusi negeri sebenarnya memberi laluan kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang ahli-ahli politik tempatan.

“Datuk Seri Shafie ini orang hebat, dia mampu menangkan negeri Kedah ini. Tapi kita kena realistik.

“Sentimen ini dimain-mainkan oleh pembangkang, takde pemimpin baik dari Kedah sampai kena import pemimpin dari luar.

“Tolong kaji balik pelantikan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah dan negeri-negeri pembangkang lain,” kata beliau ketika menyertai perbahasan pada Persidangan Pergerakan Pemuda Umno hari ini.

Bassori berkata mereka yang memegang jawatan pengerusi perhubungan negeri juga harus mempunyai hubungan yang kukuh dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan istana untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Shafie dilantik sebagai pengerusi Kedah bersama dengan dua naib presiden lain iaitu Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing menerajui kepimpinan Umno Terengganu dan Pulau Pinang.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pula merupakan pengerusi Umno Selangor manakala timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai Umno Wilayah Persekutuan. -TMI

Ulasan GB

Pakatan Rakyat tak der ambil pot pun siapa Ketua Perhubungan UMNO Negeri. Itu kamu punya pasal.

Tapi ia dijadikan alasan oleh pemuda Kedah untuk membedal Shafie Apdal. Sebenar ada hal lain yang tak kena dengan kepimpinan Shafie. Tak tak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah.


Retorik Cerberus Khairy

Pemuda: Hambat 'raksasa Cerberus 3 kepala'

Perhimpunan agung mana-mana parti politik, termasuk Umno tidak sempurna tanpa dijadikan sebagai medan menghentam lawan politiknya.

Kali ini, Pakatan Rakyat - gabungan PKR, PAS dan DAP- digelar sebagai raksasa hodoh berkepala tiga bernama Cerberus (watak dalam hikayat klasik Rom) oleh ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

"Bayangkan betapa susah dan menyesalnya menjadi badan kepada raksasa ni - satu kepala nak makan, satu kepala nak tidur, satu lagi nak jalan, pasti huru-hara jadinya.

"Itu belum lagi kalau ketiga-tiga kepala itu bergaduh, saling menggigit hingga boleh terjelepok jatuh di tengah jalan," kata Khairy yang juga anggota parlimen Rembau.

Menyampaikan ucapan dasarnya hari ini, Khairy berkata "politik raksasa" itu semakin nyata dalam isu negara Islam antara PAS dan DAP.

"Sungguhpun ada segelintir pemimpin PAS yang berkata penubuhan negara Islam bukan keutamaan demi menjaga hati DAP, tetapi jika ditanya Dewan Pemuda PAS, mereka masih tegar dengan perjuangan ini," katanya.

Sambil menyindir perjalanan pemilihan cabang PKR, parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu didakwa berkecamuk dengan krisis dalaman akibat politik ghanimah (harta rampasan perang) gilakan kuasa "sehingga kerusi boleh terbang, pengundi hantu boleh wujud dalam senarai pemilih".

'Pengiktirafan khas' buat Guan Eng

Menurut Khairy lagi, dalam PKR, demokrasi "dibunuh" kerana jawatan tertinggi parti itu "dianugerahkan kepada satu keluarga tanpa bertanding".

Beliau bagaimanapun mengingatkan, Umno tidak boleh hanya bersandar dengan kelemahan pihak lawan.

"Walau badai datang melanda, walau bercerai jasad dan nyawa, pahlawan Pemuda akan terus mengejar Cerberus sehingga ke hujung dunia bagi menghapuskan si biang keladi penjahanam rakyat dan pemusnah negara ini," katanya.

Di samping kritikan terhadap Pakatan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjadi tokoh tunggal pembangkang yang dinobatkan 'pengiktirafan khas' sebagai "Khalifah Pakatan Al-Lim".

Setiauasaha agung DAP itu dikritik kerana didakwa gagal menunaikan janji dalam manifesto bagi memastikan bekalan air yang selamat, murah dan mencukupi di negeri yang diperintahnya.

"Ternyata jauh panggang dari api. Realitinya, dalam kemeriahan umat Islam menyambut Aidilfitri, 'Khalifah Pakatan Al-Lim membawa 'hadiah raya' yang istimewa dengan menaikkan harga air. Hadiah raya yang sama turut diterima oleh rakyat Negeri Kedah," katanya.

Ulasan GB

Pada kempen pilihanraya 2008 yang lalu Khairy tampil di Kelantan dengan kempennya "Tak Nak 18" ertinya dah 18 tahun PAS memerintah Kelantan, jadi kononnya Pemuda nak tamatkan usia pemerintahan PAS pada PRU tersebut.

Hasilnya? Rakyat Kelantan tolak seruan Khairy. Malah orang yang diwarwar oleh UMNO BN jadi MB, Awang Adek tergolek di Bachok.

Sekarang sekali lagi budak sekolah yang akan dipantau prestasinya untuk dimasukkan ke dalam kad laporan Muhyiddin, mengeluarkan retorik baru - Cerberus 3 Kepala - yang hasrat mereka berlainan di antara satu sama lain.

Sedangkan Cerberus yang ada di dalam UMNO dia tak berani nak dedahkan. Yang berjuang ikut Perkasa, yang berjuang 1Malaysia, yang berjuang tak kira apa asalkan masyuk... atau yang ikut kategori: "geng najib", "geng pak lah" & "geng mahathir"...