1 Mei 2010

BERSIH Perlu Dihidupkan Semula

Calon Parti Keadilan Rakyat pada pilihanraya kecil Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim menyeru badan-badan bukan kerajaan atau NGO seperti Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk menghidupkan kembali gerakan memulihkan sistem pilihanraya tanahair.

Mengulas apa yang berlaku pada pilihanraya kecil Hulu Selangor, Zaid berkata, rakyat Malaysia tidak harus membiarkan senario seperti pilihanraya kecil Hulu Selangor berulang kembali.

“Kita harus mempunyai pilihanraya kecil yang bebas. Saya menyeru badan-badan bukan kerajaan, NGO seperti BERSIH untuk menghidupkan semula kempen-kempen supaya Suruhanjaya Pilihan Raya dan undang pilihanraya diaplikasikan di negara ini sama dengan negara lain" ujar Zaid.

Pada pilihanraya kecil Hulu Selangor, 25 April lalu, kerajaan UMNO telah menggunakan segala taktik yang ada termasuk memberi sogokan RM 50 ribu kepada bekas peneroka Felda Sungai Buaya, mendirikan sebuah sekolah Cina bernilai RM 3 juta dan banyak lagi untuk membeli undi penduduk.

Mengulas kenyataan Zaid, Presiden TERAS Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid yang turut serta dalam perhimpunan BERSIH pada 10 November tahun lalu berkata, seruan dari mantan Menteri Undang-undang itu mempunyai asas yang begitu kuat.

“Saya kira pengalaman di Hulu Selangor ini sesuatu yang membuktikan tidak ada perubahan pun yang berlaku seperti yang dijanjikan oleh BN. Mereka masih lagi mengamalkan perkara yang nampaknya sama. Menggunakan satu pendekatan yang mencemar demokrasi” ujar Azmi.

“Jadi seharusnya memang rakyat perlu bangkit untuk menyatakan bahawa kita tidak boleh bertoleransi lagi dengan amalan yang dibuat begini. Jadi saya kira ada relevannya supaya rakyat sekali lagi menyatakan pendiriannya melalui apa cara sekalipun seperti BERSIH tetapi mesti ada sesuatu yang dilakukan” tambah beliau lagi. -TVS

Tuduhan Rasuah Agenda BN Jatuhkan Kerajaan PR Di Perak

Barisan Nasional (BN) didakwa mempunyai agenda terselindung untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Perak dengan mensabitkan 16 pertuduhan rasuah ke atas ahli Exco Dewan Undangan Negeri (ADUN), Changkat Jering Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi.

Ironinya dua bekas exco serta tiga individu lain yang terlibat dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh 23 April lalu tanpa dipanggil bagi membela diri.

Pembebasan mereka jelas ekoran pendakwaan gagal membuktikan kes ‘prima facie’ dan mahkamah mengarahkan mereka dibebaskan serta merta.

Menurut Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Khoo Ham, peguam bela Abdul Roni Rahman yang mewakili kedua-dua exco terbabit mengaku bahawa BN mempunyai agenda tertentu untuk mensabitkan anak guamnya.

"Mengikut kenyataan peguam bela, Abdul Roni beliau mendedahkan kenyataan anak guamnya (Osman Jailu dan Jamaluddin) mengakui bahawa BN mempunyai agenda tertentu untuk mengenakan mereka.

"Sedangkan pertuduhan dikenakan ke atas mereka tidak berasas sama sekali," kata Ngeh yang juga Adun Sitiawan ketika dihubungi Free Malaysia Today, hari ini.

Ngeh mendakwa pertuduhan rasuah terhadap mereka berdua hanya bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak semata-mata.

Strategi jatuhkan Pakatan

Beliau berkata, "saya bersetuju dengan Abdul Roni, BN cuba merangka strategi untuk jatuhkan Pakatan dengan dakwaan ke atas bekas exco terbabit.

"Malah menyalah gunakan kuasa dengan menggunakan institusi mahkamah dan kehakiman dengan membuat pertuduhan yang tiada asas. Mereka melakukan sedemikian hanya untuk menjatuhkan Pakatan," kata beliau lagi.

Ngeh berkata tuduhan ke atas bekas exco terbabit berunsurkan ‘tuduhan politik’ kerana tiada asas pendakwaan untuk disabitkan.

Maka beliau menggesa agar Peguam Negara lebih meneliti ‘asas pertuduhan’ agar tidak mengheret individu yang tidak bersalah dalam hal tersebut.

"Pada hemat saya, jika mereka bersalah atas tuduhan rasuah itu, maka perlu bukti kukuh untuk sabitkan mereka. Semua asas pertuduhan perlu dibuktikan," jelas Ngeh.

"Maka sebagai Peguam Negara beliau perlu meneliti asas pertuduhan. Jika ada asas maka boleh melakukan pendakwaan di mahkamah.

Namun dalam kes ini katanya, tiada asas pertuduhan tetapi lebih kepada ‘tuduhan politik’ semata-mata.

"Situasi ini amat bahaya kerana individu yang dituduh didakwa di mahkamah sedangkan mereka tidak bersalah," katanya. -FMT

Kes Tembak Remaja: Polis Reka Cerita?

Khalid Samad: Keterangan Saksi Kedua Sokong Saksi Pertama

Keterangan saksi kedua, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, mengesahkan jalan cerita saksi pertama berhubung kematian tragis Aminulrasid Amzah yang maut ditembak polis, 27 April lalu.

TV Selangor difahamkan, Zafrullah, yang mendiami salah sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian, antara yang terawal tiba di lokasi kejadian dimana allahyarham ditembak mati sejurus selepas kereta mangsa terbabas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini mengatakan anggota terbabit melihat mangsa berusia 14 tahun ini sebagai satu ancaman serius lalu bertindak mempertahankan dirinya dari dilanggar mangsa.

Menurut keterangan polis, kereta mangsa terbabas selepas terbabit dalam aksi kejar-mengejar, dan Allahyarham cuba mengundurkan kereta dan melanggar kereta peronda yang menyekat laluan mangsa.

Keterangan saksi kedua, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, bagaimanapun menyanggah kesahihan keterangan polis ini.

“Dia telah turun untuk melihat selepas kes tembak-menembak di mana Aminulrasyid telah mati, kereta itu telah terbabas dan melanggar tembok. Tetapi apabila dia menceritakan kepada saya apa yang dia lihat dan apa yang dia saksikan, saya telah meminta dia membuat laporan polis.

“Kerana maklumat yang terpenting dalam penyaksian dia ialah dia mengesahkan jalan cerita saksi yang pertama iaitu kereta itu terbabas dan melanggar tembok dan tidak ada-ada mana ketika aruah telah cuba untuk mengundurkankan kereta dan hendak langgarkan kereta peronda,” katanya.

Zafrullah Ahmad Zainal Abidin merupakan saksi kedua yang tampil bagi memberi keterangan kepada pihak polis pada 29 April 2010. Keterangannya diambil bermula jam 10.27 malam semalam sehingga jam 2 pagi.

Saksi kedua ini meluru ke tingkap yang terletak di tingkat dua rumahnya lalu menyaksikan enam buah kereta peronda mengepung kereta mangsa, yang telah terbabas ke dinding rumah jiran. Zafrullah turut menyaksikan saksi pertama cuba menyelamatkan diri dari gerombolan anggota polis ketika itu.

Curiga dengan apa yang disaksikannya, Zafrullah bergegas menghampiri lokasi kejadian dan ternampak Allahyarham Aminulrasid tersembam di tempat duduk pemandu.

“Tidak ada mana-mana ketika bila polis itu mengeluarkan parang daripada kereta kerana beliau berada di situ, maka pertuduhan yang menceritakan bahawa ada senjata dalam kereta tidak ada hujah yang menyokong kerana saksi yang pertama rakan Aminulrasyid dan saksi yang kedua yang berada di situ telah menyatakan pihak polis menyuluh dalam kereta tidak ada mengeluarkan parang atau apa-apa senjata daripada kereta berkenaan,” katanya. -TVS

Ulasan GB

Penembak remaja tersebut sepatutnya boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 302 iaitu bunuh yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

Polis tidak sepatutnya mempertahankan anggotanya yang diketahui tidak menjalankan tugas dan kerjanya secara profesional dan efektif.


Apa Agenda Kickdefella?

Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz hari ini telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung dakwaannya menerima lebih RM4 juta.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Syed Azidi tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 6 petang.

Baru-baru ini Syed Azidi mendakwa menerima peruntukan lebih RM4 juta sepanjang tiga tahun bagi memburuk-burukkan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi .

Syed Azidi juga mendakwa beliau membelanjakan wang itu bagi membiayai pelbagai aktiviti termasuk membeli aset, peralatan, pembayaran upah operatif dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan satu Operasi Gerak Saraf bgi mewujudkan persepsi buruk ke atas Abdullah dan memastikan PAS kekal memerintah Kelantan. — Bernama

Ulasan GB

1) Kickdefella diberi tanggungjawab "membelanjakan" RM4 juta untuk memburukkan Pak Lah? Arahan siapa dan dari mana wang itu diperolehi?

2) Tiada siapa yang percaya bahawa

a) TGNA terlibat dengan agenda memburukkan Pak Lah semata-mata nak kekalkan kuasa di Kelantan. Apa kena mengena Pak Lah dengan kerajaan Kelantan? Tidak logik samasekali.

b) Siapa Kickdefella sehingga boleh diberikan tanggungjwab sampai pegang RM4 juta oleh sebuah kerajaan negeri? Sekali lagi tidak logik.

3) Saya rasa banyak lagi perkara yang bermenafaat yang kerajaan Kelantan boleh lakukan jika benar ada RM4 juta.

4) Tiada di dalam agenda PAS atau mana-mana kerajaan pimpinan PAS menyediakan peruntukan sekian banyak untuk melakukan gerak saraf bodoh seumpama itu kecuali ianya dilakukan UMNO dengan arahan APCO.

5) Apa tujuan Kickdefella menaburkan fitnah sedemikian terhadap kerajaan PAS Kelantan kalau bukan penyakit di hati untuk membalas dendam kerana telah dipecat dari jawatannya?

6) SPRM, pantas nampaknya di dalam hal-hal yang melibatkan kerajaan Kelantan. Tetapi hal Khir Toyo yang telah sekian lama terbongkar kenapa senyap?

30 Apr 2010

Rais Seorang Hipokrit - Tamrin Ghafar

Anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Ghafar menyifatkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai hipokrit apabila mempertikai kehadiran beliau pada dua ceramah kempen pilihan raya kecil Pakatan Rakyat di Hulu Selangor minggu lalu.

Ketika ditemuramah Suara Keadilan, Tamrin yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Berendam selama dua penggal berkata berbanding Rais beliau tidak pernah meninggalkan Umno dan juga tidak bertindak membakar 'jambatan'.

"Tidak pernah dalam sejarah karier politik, saya tinggalkan parti tetapi Rais pernah berada di dalam parti Semangat 46 dan berkata beliau telah membakar jambatannya dengan Umno.

"Semasa di luar Umno beliau memaki hamun, mencerca dan menyerang begitu hebat sekali semua pemimpin Umno termasuk Najib dan isterinya Rosmah.

"Apabila dia perlukan jawatan Menteri kembali Rais sanggup mencium tangan yang membina jambatan yang dibakarnya," kata Tamrin di pejabatnya hari ini.

Tamrin yang juga bekas Pengerusi MARA dan Exco Pergerakan Pemuda Umno menyifatkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu sebagai seorang politikus yang licik tetapi gagal sebagai seorang anggota Kabinet.

"Rais akan berbuat apa sahaja dan cakap apa sahaja untuk memuaskan hati ketuanya asalkan jawatan dan kepentingan dia terjamin.

"Semasa menjadi Menteri Luar beliau gagal mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih sehingga kita hilang pulau itu kepada Singapura.

Tamrin mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang memetik Rais sebagai berkata bahawa tindakan beliau menyertai ceramah Pakatan Rakyat diibarat seperti 'mendengar guruh dilangit, air tempayan dicurahkan' serta tidak mencerminkan perjuangan ayahnya, Tun Abdul Ghafar Baba.

"Sekarang ini Umno pandai bercakap mengenai perjuangan Tun Ghafar tetapi apabila sahaja ayah saya tidak lagi berada dalam kerajaan tidak ada pemimpin Umno yang peduli atau datang melawatnya. Mereka hanya datang ziarah disaat Tun Ghafar menghembuskan nafas terakhir beliau. Begitulah Umno melayan dan mengiktiraf jasa dan sumbangan Tun Ghafar. Dia hanya penting ketika pegang jawatan tinggi dalam parti dan kerajaan," kata Tamrin dalam nada kesal.

Menyentuh mengenai kehadirannya pada ceramah Pakatan Rakyat di Sungai Buaya dan Stadium Kuala Kubu Baharu, Tamrin berkata beliau mengkagumi ketokohan Datuk Nik Aziz Nik Mat sejak dalam Pemuda Umno lagi.

"Saya dengar Tuan Guru Nik Aziz akan berada di Sungai Buaya jadi saya pergilah. Kebetulan Datuk Seri Anwar, kawan lama saya, ternampak saya dan memperkenalkan saya kepada hadirin dan menjemput saya ke atas pentas. Apabila Tuan Guru tidak datang saya kembali keesokan malamnya untuk mendengar ceramah beliau di stadium. Baru sekarang saya dapat berpeluang untuk mendengar ceramah Tuan Guru setelah menunggu sekian lama.

"Terpulang kepada pucuk pimpinan parti sekiranya mereka ada niat untuk pecat saya. Saya sedia menerima apa juga keputusan dengan hati terbuka," kata beliau lagi. -SK

UMNO Kutuk MCA, Desak MCA Keluar BN

Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mendesak MCA keluar dari Barisan Nasional (BN) daripada terus menuding jari di atas kegagalan mendapatkan sokongan pengundi Cina di pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu.

Ahmad Tajuddin mendakwa kegagalan MCA meraih sokongan pengundi Cina tidak hanya di Hulu Selangor tetapi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu juga keadaan sama berlaku.

Menurutnya, pilihan terbaik kepada MCA adalah menarik diri sebagai parti komponen supaya tidak terus membebankan BN dengan kegagalan meraih kepercayaan pengundi Cina.

“Keluarlah dari BN untuk elak daripada terus membebankan parti komponen lain. Jangan menuding jari kepada sesiapa berikutan kegagalan kita sendiri. Sepatutnya mereka mengakui kesilapan bukan menuduh orang lain sebagai penyebab.

“MCA perlu mengaku bahawa mereka tidak lagi diberi kepercayaan daripada kaum Cina. Ia bukan berlaku pada pilihan raya kecil tetapi pada PRU 2008 lalu juga berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan MCA menyalahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana menjadi penyebab kekurangan undi masyarakat Cina pada pilihan raya kecil di Parlimen Hulu Selangor.

“Dakwaan MCA sekadar untuk menutup kegagalan mereka meraih sokongan masyarakat Cina. Pada saya ia tindakan yang tidak bertanggungjawab. MCA gagal meyakinkan masyarakat Cina supaya menyokong calon BN daripada MIC di Hulu Selangor.

“Jika UMNO mampu meyakinkan pengundi Melayu untuk menyokong calon MIC, mengapa MCA tidak boleh?. Jangan mencipta alasan yang tidak bijak untuk menutup salah,” katanya. -SH

Ulasan GB

Najib akan cuba menepis saranan Ketua UMNO Bhgn Paya Besar itu kerana dengan mengiyakannya bererti BN kehilangan satu komponen utama.

Namun MCA, apa lagi jika dah dikutuk sedemikian rupa? Masih ada harga diri?

Timb Menteri Turut Selar Tindakan Polis

Saya berasa kesal dengan kematian Aminulrasyid Amzah, dan marah kerana polis memperlekehkan nyawa rakyat. Remaja ini tidak seharusnya mati di tempat kejadian. Masa depan seseorang remaja terkubur begitu sahaja hanya kerana kesilapan polis ketika membuat tafsiran.

Aminulrasyid Amzah tidak harus dilihat sebagai penjenayah tegar, malah tidak mempunyai rekod jenayah lama. Mengapa remaja sebegini dilihat sebagai penjenayah besar? Ia tidak memperlihatkan kewajaran.

Isu remaja ditembak mati polis telah mencungkil perbincangan umum, terutamanya di laman sosial, Facebook. Tidak kurang pelayar internet yang menganggap bahawa polis membunuh mereka yang tidak berdosa.

Kita ketepikan isu sama ada Aminulrasyid Amzah disyaki melakukan jenayah atau tidak buat sementara. Bagaimanapun polis tidak harus menembak mati remaja ini. Polis mempunyai banyak cara untuk menghentikannya, termasuk menembak dengan menghala ke atas, menembak ke arah tayar keretanya, tetapi bukan menembak ke arah seorang remaja berumur 15 tahun.

Saya amat kesal dengan prestasi polis. Beberapa bulan kebelakangan ini, pasukan polis bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk membina imej mereka. Malah, Perdana Menteri Najib Razak telah memutuskan untuk mempertingkatkan kebajikan polis, dengan harapan untuk memperkemaskan pasukan polis, lantas mengembalikan kewibawaan polis. Namun, kini polis disyaki memperlekehkan nyawa rakyat, membunuh mereka yang tidak berdosa, mengakibatkan usaha sebelum ini disia-siakan begitu sahaja.

Saya amat yakin, Aminulrasyid Amzah bukanlah penjenayah yang terkenal dengan rekod buruknya, malah beliau tidak mempunyai rekod jenayah. Dalam keadaan sedemikian, saya anggap beliau cemas dan cuba melarikan diri kerana memandu tanpa lesen. Tetapi, polis seharusnya boleh menafsir pada ketika itu. Realiti membuktikan bahawa polis yang bertugas salah tafsir. Malah, hukum mati bukan jawapannya seandainya kesalahan memandu tanpa lesen dibawa ke mahkamah.

Sementara sesetengah pihak menyalahkan pengundi Cina tidak mengundi BN kerana tidak tahu bersyukur, kita seharusnya faham bahawa isu seperti Aminulrasyid Amzah adalah punca pokok mengapa Cina hilang yakin kepada kerajaan BN. Isu ini menjurus kepada hilang yakin rakyat terhadap polis, tidak kira warna kulit mangsanya, dan ini menyebabkan imej kerajaan terjejas.

Saya berharap, sementara kerajaan mengendalikan kes Aminulrasyid Amzah ini, kerajaan juga harus bertekad untuk memperkemaskan pasukan polis, termasuk menggunakan segala penyelasaian untuk memperbaiki imej polis, barulah meningkatkan kewibawaan kerajaan BN di kalangan rakyat.

*Wee Ka Siong ialah Ketua Pemuda MCA merangkap Timbalan Menteri Pelajaran. Diterjemah dari kenyataan bahasa Cinanya. -MR

CPO Selangor Usah Celupar - Mahfuz

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menasihatkan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar tidak mengeluarkan kenyataan celupar meminta ahli-ahli politik mengelak dari mengulas insiden remaja 15 tahun mati ditembak polis.

“Adalah menjadi tanggungjawab warga PDRM untuk menuntut Ketua Polis Selangor Datuk Khalid menutup mulut dari mengeluarkan kenyataan celupar dan tidak membantu usaha memperbaiki imej PDRM,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata kenyataan Khalid yang meminta ahli politik jangan campur tangan dalam kes menembak mati Allahyarham Aminulrasyid Amzah di Shah Alam Isnin lalu amat dikesali.

“Kenyataan beliau seolah olah ahli politik cuba mencampuri dan mengganggu urusan polis,” kata beliau lagi.

Mahfuz juga berkata, kenyataan ketua polis negeri itu juga dilihat sebagai satu percubaan yang terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat dari mempersoalkan integriti polis.

Kejadian yang menimpa Aminulrasyid, kata beliau, memburukkan lagi persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan dan polis.

“Sedangkan tindakan yang diambil oleh ahli politik hanya bersifat untuk memberi pembelaan dan keadilan untuk mangsa dan keluarganya.

“Kepada anggota PDRM ingin saya nyatakan kenyataan ketua Polis Selangor telah menambah persepsi negatif rakyat terhadap polis,” katanya.

Kelmarin, Khalid meminta semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak campur tangan dalam siasatan polis berhubung insiden tersebut.

Beliau berkata campur tangan sedemikian akan hanya mengganggu siasatan.

Dalam kejadian berkenaan kira-kira pukul 2 pagi, Aminulrasyid meninggal dunia selepas terkena tembakan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri dalam satu sekatan polis. -TMI

Ulasan GB

Apa lagi polis, tembak sahaja semua ahli politik termasuk Mahfuz sampai mati. Tak begitu?

Ezam Bakal Dilantik Timbalan Menteri?

Bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka akan dilantik sebagai Timbalan Menteri selepas mengangkat sebagai Ahli Dewan Negara Isnin depan.

Sumber Umno mengatakan Ezam kemungkinan akan dilantik sebagai salah seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah porfolio Tan Sri Koh Tsu Koon dan akan bertanggungjawab mengenai NKRA dan KPI.

Lantikan sebagai Senator dan Timbalan Menteri dilihat sebagai satu "habuan politik" setelah membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor dalan pilihan raya kecil Ahad lalu.

Antara tugasan Ezam yang dianggap "berjaya" oleh pimpinan Umno ialah tindakan keluar parti oleh beberapa pimpinan AMK peringkat cabang di Selangor dan Kelantan serta memainkan isu arak terhadap calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim di kawasan majoriti pengundi Melayu di kawasan Felda semasa kempen PRK Hulu Selangor.

Ezam, 42, meletak jawatan sebagai Ketua AMK Pusat yang dipegang beiau sejak 1999 dan juga Ketua Cabang Shah Alam pada Februari 2007 dan keluar KEADILAN pada Jun berikutnya.

Beliau menyertai semula Umno pada 28 Mei 2008 dengan menyerahkan borang keahlian parti kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut dijangka mendapat "hadiah politik" ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel ayang bakal dilantik sebagai Menteri.Palanivel yang merupakan pilihan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu terpaksa memberi laluan kepada calon MIC pilihan Umno, P Kalamanathan setelah mendapat bantahan dan pandangan negatif dari kalangan pimpinan Umno.

Dua lagi Senator baru selain Ezam dan Palanivel ialah Pengerusi Eksekutif firma Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno Pagoh, Noriah Mahat.

Mereka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara pada hari Isnin pukul 9 pagi. -SK

29 Apr 2010

Mahathir Akui BN Menang Kerana Tiupan Api Perkauman PERKASA

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini memuji Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwanya berjaya meningkatkan sokongan masyarakat Melayu kepada Barisan Nasional pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu.

“Mungkin, sumbangan PERKASA, kerana kebanyakan orang Melayu mengundi untuk BN. Kita tak tahu, Dulu ramai orang Melayu tidak sokong BN. Jika BN tidak menyokong PERKASA, kita tidak akan mendapat undi Melayu.

“Dan jika kita tidak mendapat undi orang Cina, undi itu akan pergi ke Pakatan (Rakyat) lah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan kertas kerjanya yang bertajuk '"Malaysia As A Maritime Nation - Are We There? di Institut Maritime di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir juga mengulangi bahawa isu-isu perkauman tidak harus dibincangkan secara terbuka kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum.

"Seorang bercakap sesuatu, maka orang lain akan membalas. Jika anda cakap orang itu bersikap perkauman, maka mereka akan kata anda seorang bersikap perkauman," katanya.

Awal minggu ini, Dr Mahathir berkata BN harus melakukan analisis mengenai sokongan kaum Cina yang berkurangan kepada gabungan itu pada pilihan raya kecil tersebut.

Ditanya sama ada krisis dalaman MCA yang berlarutan sebelum ini merupakan salah satu faktor, Dr Mahathir berkata: "Semua parti komponen BN - MCA, Gerakan, MIC dan Umno, juga mempunyai masalah masing-masing." -mk

Ulasan GB

Pertama, semua orang kenal PERKASA, sebuah badan NGO yang tebal sifat perkauman Melayunya yang dikatakan mesra-BN.

Di dalam perhimpunan mesyuarat agong yang pertama, TDM yang telah merasmikannya.

TDM memang dahaga platform untuk bersuara setelah hampir 8 tahun dia diketepikan sewaktu era Tun Abdullah sebagai PM.

Kini dia bernafas sedikit di era Najib.

Hairannya TDM memang kenal sangat dengan perwatakan Ibrahim Ali, tetapi sengaja memberikan sokongannya kepada PERKASA kerana itu satu cara untuk dia menghentam UMNO yang telah menyisihkannya sekian lama.

UMNO tak lantik TDM apa-apa jawatan dalam parti. Kerajaan pun tak berinya apa-apa jawatan selain dari jawatan Timbalan Menteri kepada anaknya Mukhriz.

Dan kini TDM mengakui bahawa PERKASA lebih vokal menyuarakan hal-hal kemelayuan daripada UMNO. Sekaligus memperakui bahawa kemenangan BN di Hulu Selangor adalah permainan isu perkauman kemelayuan yang membolehkan BN mendapat sokongan dari orang Melayu semula.

And Mahathir, let me quote your own words: Menang tak dapat semua, kalah tak hilang semua.

BN menang di Hulu Selangor, tapi slogan 1 Malaysianya hancur lebur apabila sokongan masyarakat Cina merudum dengan api perkauman yang dimainkan oleh PERKASA semata-mata untuk menarik sokongan kaum Melayu. Justeru BN akan hanya didokongi UMNO secara sendirian selepas ini.

PR kalah, namun tapaknya semakin kukuh didokongi oleh masyarakat berbilang bangsa untuk menjulang parti itu sebagai pengganti BN sebagai pemerintah di negara Malaysia tercinta selepas ini.

What say you TDM?


Jawapan Musa Hassan Dedahkan Keangkuhan Polis

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membidas kritikan pelbagai pihak berhubung kematian remaja berusia 14 tahun - Aminulrasyid Amzah dan berkata beliau sedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat.

"Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-udnang atau tidak.

"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya dalam laporan The Star online.

Musa mengulas kenyataaan pelbagai pihak berhubung kematian Aminulrasyid, apabila polis melepaskan empat tembakan ke arah kereta yang dipandu remaja itu kerana didakwa cuba berundur dan merempuh ke arah polis.

Kejadian itu berlaku di Seksyen 11, Shah Alam apabila Aminulrasyid dikatakan memecut dan melanggar beberapa lampu isyarat merah tanpa berhenti meskipun diarahkan berbuat demikian.

Menurut Musa, beliau tidak mahu membuat seberang spekulasi mengenai perkara itu dan meminta orang ramai agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan tentang kejadian.

Beliau juga mengulangi jaminannya bahawa tiada apa yang akan disembunyikan berhubung kes itu.

"Saya tak berat sebelah, jangan buat spekualsi. Seperti yang saya kata sebelum ini, kami tak akan menyembunyikan apa-apa dan kami akan berlaku adil dalam siasatan kami. Oleh itu, tunggulah hasilnya nanti," katanya dalam laporan Bernama.

Ditanya tentang keadaan yang membolehkan polis menggunakan senjata api, beliau berkata: "Orang saya tahu bahawa mereka hanya boleh menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri, itu sudah menjadi peraturan dalam tugas kami".

Musa berkata sesebuah kenderaan itu sama bahayanya dengan pistol, pisau atau tukul.

"Kenderaan boleh digunakan sebagai senjata... senjata bukan bermakna pistol, pisau atau parang saja. Kalau seseorang itu enggan berhenti dan cuba merempuh pegawai yang cuba menahannya, ia (kenderaan) boleh dianggap sebagai senjata kerana ia boleh membahayakan nyawa pegawai penguatkuasa," kata beliau.

Sebelum ditembak, mengikut polis Aminulrasyid mengundur kereta dan cuba merempuh pegawai polis untuk cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya berhampiran rumahnya.

Musa juga menasihati orang ramai supaya berhenti apabila diminta berbuat demikian oleh polis atau pegawai penguatkuasa dan jangan cuba melarikan diri kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan rasa curiga.

"Dalam keadaan gelap itu, siapapun tak akan dapt pastikan sama ada pemandunya adalah seorang remaja atau orang dewasa.

"Setakat itu saja yang boleh saya komen tentang isu ini kerana ia sedang disiasat. Oleh itu, jangan buat sebarang spekulasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara menderma darah oleh anggota polis di Pusat Darah Negara bersempena sambutan Hari Polis di Kuala Lumpur hari ini. -mk

Ulasan GB

Prosedur menembak perlu diperbetulkan. Di dalam kes yang menimpa adik Aminulrayid Amzah dan Norizan Salleh, jelas menunjukkan bahawa polis telah melepaskan tembakan secara wewenangan TANPA benar-benar pasti mereka adalah penjenayah.

Ada banyak kaedah lain yang boleh digunakan. Mengapa polis tidak menembak tayar kereta misalnya, tetapi terus menerus menembak figur manusia di dalam kenderaan?

Apakah modus operandi sedemikian dilakukan selama ini dengan kemudiannya mengisytiharkan simati adalah "penjenayah yang dikehendaki yang mempunyai rekod jenayah sekian-sekian banyak" untuk melepaskan polis daripada bertanggungjawab tanpa perlu membawa kes itu ke mahkamah lantaran mangsa sudah tiada lagi?


Masyarakat agak terperanjat dengan jawapan biadab Ketua Polis Negara seperti dilaporkan di atas. Ini kerana kamu-kamu polis dibayar gaji oleh rakyat untuk menjaga keselamatan dan mengurangkan jenayah. Rakyat tidak menyatakan bahawa kamu-kamu tidak perlu lagi mengawal keselamatan tetapi yang rakyat inginkan ialah supaya polis berlaku benar dan professional di dalam menjalankan tugas kamu sebagai anggota polis.

Mungkinkah ini akibatnya dengan melantik orang yang berlagak sombong dan tak reti menjalankan tugas sebagai Ketua Polis Negara?

Tan Sri Musa Hassan perlu menghormati suara rakyat dan kes ini telah dibawa dan disuarakan sehingga ke peringkat parlimen. Beliau juga perlu menghormati kabinet kerana kes ini juga telah pun dibawa ke kabinet.

Kabinet perlu tegas dengan menganggil Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri Selangor yang telah membuat kenyataan memperlekehkan suara rakyat apabila mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang melulu dan seolah-olah menunjukkan bahawa tiada yang lebih berkuasa di dalam negara selain polis.

KPI dan NKRA yang meletakkan sasaran supaya kadar jenayah dapat dikurangkan tidak menjadi prioriti PDRM dengan tidak mengendahkan lansung mutu kerja yang professional tetapi mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu kes iaitu TEMBAK MATI!

Fitnah Kickdefella Untuk Jatuhkan TGNA, Pemuda PAS K'tan Cabar Dedahkan Siapa Biaya RM4 juta

Dewan Pemuda PAS Kelantan mencabar penulis blog Kickdefella, Syed Azizi Syed Abdul Aziz, mendedahkan siapa yang didakwanya membayar RM4 juta kepadanya untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan PAS kekal memerintah Kelantan.

“Bila dia (Syed Azidi) sebut terima RM4 juta, menjadi tanggungjawab dialah untuk mendedahkannnya. Ia daripada tulisannya. Kalau betul (dakwaannya), dedahkanlah,” cabar ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar).

Selepas dipecat daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) November tahun lalu oleh menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab Rahman – peneraju PMBK ketika itu - Syed Azidi menjadi tumpuan kerana kerap mendedahkan pelbagai dakwaan 'kepincangan' dalam kerajaan pimpinan PAS itu.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai dakwaan Syed Azidi dalam blognya semalam.

“Kami Pemuda PAS negeri tidak tahu menahu. Jadi kita akan bincangkan perkara ini dalam mesyuarat Dewan Pemuda yang akan datang.

“Kita tidak tahu perkara tersebut (isu peruntukan RM4 juta), mungkin pihak atasan tahu. Kita tidak tahulah,” kata beliau yang juga setiausaha akhbar menteri besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.


Ditanya bilakah dewan tersebut akan bermesyuarat, Ahmad Fahdli yang juga seorang pensyarah agama di sebuah kolej milik kerajaan negeri menjawab: “Dalam masa terdekat”.

Ahmad Fadhli yang dilantik sebagai setiausaha akhbar Nik Aziz sejak Februari lalu, diminta mengulas dakwaan Syed Azidi bahawa beliau (Syed Azidi) menerima peruntukan tersebut dalam tempoh tiga tahun bagi pelbagai aktiviti “Operasi Gerak Saraf”.

Menulis dalam blognya semalam, beliau yang juga digelar “Sheikh” di kalangan penulis blog, dilaporkan merujuk kepada kenyataan Ahmad Fadhli dan tulisan seorang lagi penulis blog – Abdul Rahman Talib (Tulang Besi) - yang didakwa menyifatkannya (Syed Azidi) sebagai 'seorang yang kecewa dan membuat pelbagai pembohongan'.

Dalam coretannya berjudul 'Saya yakin Nik Aziz akan kena dakwa – jawapan kepada S/U akhbar MB Kelantan dan Tulang Besi' semalam, Syed Azidi mencabar Ahmad Fadhli menyiasat perbelanjaan wang itu dan membuktikan sama ada ia digunakan bagi tujuan peribadi.

Sementara Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai “Tulang Besi” pula dicabar menyiasat dan mendedahkan nama individu yang membiayai aktiviti yang ditaja itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini ini, Ahmad Fadhli berkata Dewan Pemuda PAS Kelantan tidak akan melayan cabaran daripada seorang “penulis blog murahan”. -malaysiakini

Ezam Senator : Ayam Sabung Najib Dapat Habuan

Perlantikan mantan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Ezam Mohd Nor sebagai Senator adalah ganjaran kepada serangan politik terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim semenjak 10 pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini.

Demikian menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin sambil menyifatkan Ezam tidak mempunyai kredibiliti dan wibawa serta tidak mempunyai jasa kepada negara untuk dilantik sebagai senator.

"Ini menjejas dan mencemarkan institusi negara dan bertentangan dengan perlembagaan negara kerana beliau tidak ada jasa kepada rakyat dan negara ini.

"Pada saya, ini bentuk suapan dan habuan politik hasil serangan bertubi-tubi beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Terbukti Ezam merupakan ayam sabung kepada Datuk Seri Najib Razak," tegas Shamsul lagi kepada Suara Keadilan.

Menurut laporan portal berita The Star Online, Ezam merupakan salah seorang dari empat yang lain dilantik sebagai Senator termasuk timbalan presiden MIC Datuk G Palanivel, pengerusi eksekutif firma Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan ketua Wanita Umno Pagoh, Noriah Mahat.

Mereka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan presiden Senat, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara, Isnin depan. -TVS

Khir Toyo Tiup Api Perkauman - Gerakan

Kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohamad Khir Toyo di dalam blognya supaya Barisan Nasional (BN) menyemak semula dasar kerajaan terhadap kaum Cina di Selangor susulan pendirian kaum itu yang lebih berpihak kepada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu dikritik.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Datuk Chang Ko Youn berkata, komen yang dikeluarkan Khir adalah tidak bertanggungjawab dan berunsur perkauman serta boleh menimbulkan salah faham orang-ramai.

Menurutnya, kenyataan tersebut seolah-olah mempersoalkan demokratik Malaysia iaitu bebas memilih dan membuat undian terhadap calon mana yang dikehendaki jelas sekali menentang konsep 1Malaysia seperti dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Khir bukan sahabat BN apabila cuba membangkitkan sentimen perkauman yang tidak baik untuk masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Tumpuan pengundi Cina di Hulu Selangor yang lebih berpihak kepada parti pembangkang tidak wajar dijadikan isu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian semalam.

Ko Youn berkata, semua pemimpin BN seharusnya membantu Perdana Menteri menjaga perbuatan dan kata-kata dalam menunaikan wawasan 1Malaysia kerana apa yang dinyatakan Khir boleh menjejaskan kredibiliti BN sebagai parti yang mewakili semua rakyat Malaysia.

Menurutnya, ini adalah masa untuk kepimpinan BN bekerjasama sebagai satu pasukan memahami masalah kaum Cina sekali gus mendapatkan semula keyakinan dan sokongan mereka.

“Sikap menuding jari dan menuduh mana-mana parti atau komuniti hanya akan memburukkan keadaan yang langsung tidak membawa kebaikan kepada negara,” katanya.

Khir, dalam blognya mendakwa dasar Kerajaan Negeri di Selangor yang bergantung pada kuasa orang Cina perlu diberi perhatian dan dinilai kerajaan hari ini agar pengorbanan pengundi Melayu dan India dihargai.

Menurutnya yang merujuk kepada PRK Hulu Selangor, kaum Cina memilih untuk setia kepada Pakatan Rakyat bukan bersandarkan isu pembangunan dan polisi sebaliknya ramai rakyat Selangor beranggapan yang menguasai kerajaan hari ini adalah DAP manakala Menteri Besar sekadar pembuat kenyataan bukan keputusan.

“Saya berharap Datuk Seri Najib dan saf kepimpinan BN melihat semula semua polisi ini dan menghargai pengorbanan pengundi Melayu dan India,” katanya. -SH

Ulasan GB

Slogan 1Malaysia hanya satu fantasi, satu penipuan. Hakikatnya minda pemimpin-pemimpin UMNO masih terkepung dengan semangat nasionalisma sempit dan berpegang kepada konsep assabiyah yang hanya memperjuangan "keris"nya.

Islam telah lama kuburkan fahaman assabiyah yang kini bangkai assabiyah itu dipikul oleh UMNO. Perjuangan PERKASA dan tulisan Khir Toyo adalah manifestasi dari perjuangan kebangsaan sempit itu yang diberikan "endorsement" oleh pemimpin tertinggi UMNO BN.

Jadi, 1 Malaysia hanyalah satu utopia di dalam BN. Konsep itu hanya mampu "dilaksanakan" dengan sempurna oleh Pakatan Rakyat tanpa perlu berslogan kosong seperti yang dilakukan oleh UMNO. Slogan I Malaysia UMNO hanyalah satu replika kepada 1 Israel, tidak lebih dari itu.


Apa Lagi Orang Cina Mahu? - Kolumnis Utusan

Kegagalan meraih sokongan orang Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor baru-baru ini terus menghantui Umno dan sekutunya.

Bagai tiada isu untuk dimainkan, akhbar pro-Umno sekali lagi membangkitkan isu perkauman dengan menyerang 'orang Cina Malaysia' secara halus.

Tindakan sebahagian besar orang Cina yang tidak mahu kembali kepada parti kerajaan dilihat bukan sahaja mewujudkan rasa tidak puas hati kerajaan, malah jika diperhalusi, menimbulkan kebimbangan yang terlampau pada parti itu.

Kolumnis kontroversi Utusan Malaysia, Cuit Zaini Hassan, dalam tulisannya ' Orang Cina Malaysia, Apa Lagi Yang Anda Mahu?' cuba meniup api perkauman dengan mempertikaikan kemewahan dan kesenangan yang diperolehi orang Cina di Malaysia.

"Orang Cina di Malaysia hidup lebih daripada biasa-biasa," lapornya.

Zaini dalam tulisannya juga dcuba menakut-nakutkan orang Melayu dengan membayangkan sejarah tragedi 13 Mei, perarakan penyapu, sikap cauvinis dan gelombang bawah tanah yang bakal berulang sekiranya rakyat tidak berhati-hati dengan DAP.

"Saya juga sering mengaitkan cita-cita DAP yang mahu 'pulun' semua sekali pengaruh Cina di negara ini," akui penulis itu.

Sama seperti ucapan beberapa pemimpin Umno sebelum ini, isu kerakyatan dan sejarah kehadiran orang Cina ke tanah melayu tidak pernah diabaikan.

"Ternyata, percaturan datuk moyang mereka dulu berbaloi. Mereka dapat apa yang mereka mahukan. Mereka hidup mewah di bumi bertuah Malaysia ini.

"Malah, bukan Malaysia sahaja, Singapura pun mereka kuasai sepenuhnya. Singapura bukanlah negara asal mereka. Orang Cina Singapura pun asalnya adalah dari tongkang yang sama bersama-sama orang Cina Malaysia," katanya seperti dipetik media.

Menurutnya, pilihan raya umum 2008 bukanlah satu ujian sebenar bagi proses demokrasi di negara ini dan ia terjadi hanyalah kerana kecelaruan fikiran orang Melayu ketika itu.

DAP dituduh mencuri peluang itu dan mengakibatkan tsunami politik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

"Apa lagi yang mereka mahu? Apakah mereka masih merasakan merekalah penentu kepada sesuatu keputusan pilihan raya di negara ini?" tulis kolumnis itu.

Selain itu, kenyataan Lim Kit Siang dalam ucapannya di rapat umum penutup selepas keputusan PRK Hulu Selangor diumumkan turut dimainkan.

"Lim memberitahu para hadirian yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu, keputusan itu sebenarnya ialah kejayaan kepada 'rakyat' Hulu Selangor.

"Tanpa mahu menyentuh perasaan orang Melayu di situ, beliau sebenarnya merujuk 'rakyat' itu sebagai orang Cina Hulu Selangor yang rata-rata tidak memberi undi kepada BN, tapi sebaliknya memihak kepada DAP," petik media lagi.

Perbandingan yang dilakukan Zaini dalam tulisannya turut menyentuh soal pendidikan dan pekerjaan.

"Kebanyakan pelajar-pelajar di kolej-kolej swasta yang terbaik di Malaysia dipenuhi oleh pelajar-pelajar Cina. Orang Melayu hanya mampu ke kolej milik kerajaan dan yang tidak ternama. Pusat-pusat membeli belah di kompleks-kompleks ternama di Malaysia dipunyai oleh orang Cina.

"Di organisasi korporat dan swasta, orang Cinalah yang menguasainya. Orang Melayu boleh di bilang jari dan pekerja bawahan. Malah, kini mahu mohon kerja di situ pun perlu faham cakap Mandarin, sebagai prasyaratnya," ujar Zaini dalam tulisannya. -erapakatan